AISHA; PART 1
===================
-1948, Kota Bharu, Kelantan-
“Assalamualaikum!” laung makcik Jah. Belum sampai tangga rumah lagi, dia dah sibuk bagi salam. Termengah-mengah wanita tua itu membetulkan kain sarungnya yang mahu terlorot. Maklumlah. Perut dah makin besar. ‘Grip’ kain kat pinggang pun tak kuat.
“Allahuakbar!” laung Cik Jah terkejut. Terkejut melihat si Aisha yang duduk berteleku di beranda.
“Kau buat apa tu, Aisha?”
“Aisha tunggu Abang Jalal balik, Cik Jah.” Ujarnya sopan. Cik Jah – tukang urut terkenal di Kampung Batu 48. Dari urut bersalin sampailah ke urut patah, dia tahu. Tapi kes patah hati macam si Aisha, dia tak mampu menolong. Dia menggeleng kepala. Selendang di kepala dibetulkan.
“Mak kau ada?”
“Ada Cik Jah.” Ujar Aisha, masih memandang kejauhan. Menanti sesuatu.
Cik Jah menggeleng. Sempat, dia mengusap kepala Aisha. Menepuk lembut belakang wanita itu, sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
Aisha tahu, semua fikirnya gila. Semua fikirnya tak betul. Tapi dia lebih tahu, Jalal masih hidup. Jalal masih hidup! Dia menggigit bibir. Anak Cina Kelantan itu menunduk. Dia lengkap berbaju kurung, menyarungkan kain sarung tidak berjahit di kepala, menutup auratnya labuh hingga ke siku.
Waktu Jepun datang ke Kota Bharu, keluarganya disembelih Jepun. Dendam mereka pada China masih berbekas, walaupun kaum cina Kota Bharu itu sudah berasimilasi dengan budaya melayu. Sudah pandai makan nasi cicah budu, sudah pandai menyertai sekali main teri (Main Puteri), sudah pandai duduk sekali bila nampak latar wayang kulit dipacak.
Seluruh keluarga Aisha – Cina muslim yang datang dari tanah besar China disembelih. Diseksa. Aisha disorok Jalal dan keluarga mertua, dan gadis bermata sepet itu mengongoi bila mengetahui baba dan mamanya yang sudah tua itu diseksa Jepun. Dia hampir gila apabila membayangkan adik-adiknya yang berumur dalam lingkungan 15-9 tahun itu ditikam hinggai terburai usus.
Kini, Jalal pula dipanggil menyahut seruan berbakti kepada negara. Sekali lagi, Aisha menangis. Mereka baru beberapa bulan berkahwin. Jalal, anak pemain silat terhandal itu mengikut ayahnya, Pak Jamri. Berbakti untuk negara. Petualang harus dihalau. Malam itu, sebelum Jalal bertolak, dia meminta Aisha menceritakan padanya kisah Aishah r.a. Jalal minta Aisha bercerita kisah Fatimah. Kisah taatnya isteri Nabi Ayub. Aisha menurut dalam linangan air mata. Jalal minta Aisha ceritakan kisah-kisah Sulalatus Salatin, terutamanya kisah penaklukan Majapahit ke atas Singapura. Itu kisah kegemaran Jalal.
Aisha menurut. Sepanjang malam, Aisha bercerita pada Jalal, mengenggam tangan kasar suaminya erat.
“Dinda bijak orangnya. Kalau ada apa-apa berlaku, dinda jaga ibu kanda, ya.”
Aisha mengangguk dalam sebak. Pagi itu, Jalal mengucup tangan ibunya. Memohon ampun, mohon halal semua. Pagi itu, alam turut bersedih.
Tak sampai beberapa bulan, Aisha dan ibu mertuanya menerima perkhabaran sedih. Seluruh platun Jalal mati. Tiada yang terselamat. Aisha yang menyambut ibu mertuanya dari jatuh terhantuk ke lantai. Aisha yang mengesat air mata di pipi tua itu. Aisha yang memapah ibu mertuanya bangun untuk mandi. Untuk makan. Berhari-hari tubuh tua itu enggan makan.
“Ibu jangan macam ni bu. Aisha takdok ore lain doh. Aisha sore doh atah dunio ni. Ibu jah nyawo Aisha leni.” Tangis Aisha apabila ibu mertuanya menolak makan.
Mungkin disuntik kata-kata Aisha, Salmah bangkit kembali. Dia bangun memasak lempeng kelapa kegemaran anak menantunya tiba-tiba, pagi itu. Aisha yang baru habis solat Subuh berlari-lari anak ke dapur apabila dia mendengar bunyi bising. Aisha merangkul erat badan tuanya, apabila melihat ibu mertuanya kembali seperti asal. Salmah jadi begitu, kerana takut sebenarnya. Dia takut Aisha akan tinggalkan dirinya suatu hari nanti. Aisha masih muda, baru menginjak umur 19 tahun. Tak adil untuk Aisha berkorban untuk dirinya, si tua yang menanti mati.
“Aisha tak nak tinggalkan ibu. Abang Jalal dah amanatkan ibu pada Aisha.” Ucap menantunya itu, waktu Salmah sibuk mencanai lempeng di dapur.
Kini, mungkin badan kecil Aisha itu tidak tertahan mendengar mulut orang kampung. Kata mereka platun Jalal hancur. Kepala dipenggal. Diseksa sebelum mati. Kuat mana seorang manusia itu? Aisha tak mampu. Sudahlah keluarga pun menemui ajal dengan cara yang sama. Kini anak menantu Salmah cuma termenung di beranda, menanti pulangnya Jalal. Jalal mati tidak berkubur. Awalnya Aisha kuat. Awalnya Aisha yang memimpin Salmah. Kini, Aisha kalah.
“Dia dah makan belum, Salmah?” cuit Cik Jah. Salmah mengeluh.
“Dia masuk untuk solat. Mengaji. Kemudian dia keluar balik. Makan pun cubit sikit-sikit saja, Jah.” Salmah mengeluh.
“Dia jadi begini, sebab apa? Sebab dia mimpikan Jalal?” tanya Cik Jah. Membantu Salmah mengupas bawang. Cik Jah adalah kakaknya si Salmah.
Salmah mengangguk.
“Ceritanya Jalal datang dalam mimpinya berturut-turut. Yang dia masih hidup. Dia selamat. Tapi Jalal tersesat.”
Cik Jah menggeleng kepala. “Ini salah penduduk kampung juga. Duk bercerita cara arwah mati. Allahuakbar, kalau aku pun Mah – aku pun rasa separuh gila.” Cik Jah mengesat air mata. Entahlah bahana air bawang atau dia turut sebak sendiri. Salmah mengangguk. Hatinya kesal dengan orang kampung. Mahu sahaja dia membawa Aisha lari dari Kampung Batu 48, lari jauh-jauh. Tapi ke mana? Dia sebatang kara. Yang dia ada cumalah Jah kakaknya. Anak-anak Jah semua merantau. Tinggallah mereka berdua.
Malam itu, Aisha bermimpi lagi. Jalal sedang berlari dengan kaki cedera, lari jauh ke dalam hutan. Askar-askar Jepun mengejarnya di belakang.
Lelaki kesayangan Aisha itu tidak putus-putus berzikir. Mengulang nama Allah. Aisha cuba berteriak memanggil Jalal, tetapi lidahnya kelu. Lidahnya terkunci!
Jalal berlari di lantai hutan yang berselirat. Dia tersandung, sebelum jatuh terguling ke bawah cerun bukit.
Jalal ternampak sebuah pokok besar, dengan tumbuhan bergayutan dari pepohon. Di batang pokok itu ada huruf jawi yang diukir. ‘Hu’. Tidak berfikir panjang, Jalal menuju ke pokok sebesar lima pemeluk orang dewasa itu, menyorok di belakangnya.
Waktu itu, Jalal tiba-tiba lenyap.
Lalu Aisha terjaga.
Aisha kenal hutan itu, hutan itu dipinggir kampung ini sahaja. Senyap-senyap, Aisha ke dapur. Diambilnya beberapa buah pisang. Sebalang air.
Wanita itu merenung sayu pada tubuh tua yang sedang tidur di lantai. Dia mengucup lembut tangan Salmah.
“Maafkan Aisha ibu. Tapi Aisha kena pergi. Aisha pasti, Abang Jalal masih hidup.”
Dalam pekat malam, gadis itu menarik kuda tua milik Jamri. Sudah lama kuda tua itu tidak ditunggang. “Mari, Merah. Kau kena bawa aku cari Abang Jalal.” Bisik Aisha. Kuda itu berbunyi lembut.
Waktu Salmah terjaga pagi itu, Aisha sudah tiada.
Aisha berjumpa dengan pokok besar itu menjejak Subuh. Segera, Aisha menunaikan solat Subuh. Usai dia mengucapkan salam, dia dengar Si Merah meringking ketakutan.
Aisha mendongak.
“Allahuakbar!” Jerit Aisha. Di atas pokok, bergayut seekor makhluk bertubuh burung hantu. Kepalanya adalah perempuan bermata lapan seperti labah-labah. Makhluk itu tidak berbibir, mukanya cengkung. Merenung Aisha garang.
“Kau siapa?” jerkah Aisha dalam gentar.
“Aku Tsa. Aku penjaga gerbang.” Ucapnya, memusingkan kepala seperti burung hantu. Aisha menelan air liur.
“Kau nampak suami aku, Jalal?” Tanya Aisha tanpa berkias.
“Ya. Aku yang benarkan dia masuk.”
“Masuk ke mana?”
“Alam bunian!” Tsa menyeringai.
“Suamiku manusia. Dia bukan bunian!” Bentak Aisha. Dia benar. Jalal masih hidup!
“Huuu, huu.” Tsa berbunyi seperti burung hantu. Dia melompat dari dahan ke dahan. “Tapi dia membayarku darahnya. Darah dari kakinya!”
“Kau silap. Kaki suamiku tercedera! Dia tak berniat mahu ke dunia bunian!” jawab Aisha. Rasa takutnya hilang apabila mengetahui Jalal masih hidup.
“Huu! Huu! Tsa sudah tersilap. Tapi dia tak pernah keluar. Manusia takkan keluar apabila mereka tinggal di alam bunian!” Makhluk aneh itu mengepak-ngepakkan sayapnya. Aisha menggeleng.
“Tsa, kau boleh tolong aku masuk? Aku mahu bawa suamiku pulang.”
Tsa menyeringai.
“Kau kena bayar dahulu!”
“Aku tiada wang.”
“Aku mahu darahmu!”
“Oh, tak boleh. Darahku tak boleh.” Geleng Aisha. Tsa memusing kan kepalanya. Mengelipkan kelapan-lapan matanya.
“Kenapa tak boleh?”
“Kau tak tau ke aku apa?”
“Kau apa?”
“Aku perempuan.”
“Jadi?”
“Perempuan manusia tidak berdarah. Mereka berdarah sekali sahaja sebulan.”
Tsa mengepakkan sayapnya resah.
“Aku pernah dengar itu! Jadi kau tak berdarah?” Ujar Tsa.
“Ya. Aku tak ada darah. Kau kena tunggu sepurnama lagi, baru aku berdarah.”
“Tsa lapar!” Nyaring makhluk aneh itu berbunyi.
“Kau tak pernah tinggalkan tempat ini untuk mencari makan, Tsa?”
“Tak. Kaum bunian arahkan aku duduk disini selagi tanah tidak bertukar menjadi emas.”
“Kasihan kau, Tsa.”
“Kau kasihankan aku?”
“Ya.” Aisha memancing. “Kalaulah aku boleh berkongsi makanan yang aku bawa, tapi kau cuma makan darah, kan Tsa?”
“Tak! Aku juga makan benda lain. Apa yang kau bawa?”
Aisha menunjukkan sesikat pisang tanduk. Tsa merenung pisang itu kelaparan. Kepalanya digerakkan ke kanan, ke kiri.
“Aku mahu!” Tsa terbang ke bawah. Aisha mengundur, terperanjat. Dari dekat, Tsa kelihatan lagi menakutkan. Dia berdiri setinggi tujuh kaki, mata-mata di kepalanya merenung Aisha tidak berkelip.
“Aku boleh bagi kau, Tsa. Tapi syaratnya, kau kena bagi aku masuk.”
“Nanti, kaum bunian marah Tsa!”
“Kau bagi suamiku masuk. Kaum bunian tak marah. Kalau suami boleh masuk, tentu isterinya boleh. Kan?” Ujar Aisha bermuslihat.
Tsa mundar-mandir. Kehulu, kehilir. Berjalan terkangkang-kangkang seperti burung.
“Huu, huu! Aku benarkan kau masuk. Tapi jangan cakap aku yang bagi!”
“Allahu. Terima kasih Tsa. Ambillah.” Ujar Aisha.
Tsa mengambil pisang itu dengan kakinya yang lebar. Muncul segaris cahaya biru di bawah pokok Hu itu.
“Kau masuk, jangan lupakan nama kau. Jangan lupakan nama suami kau. Nanti kau tak boleh keluar!” Cicip Tsa.
Aisha mengangguk. Tudung kain sarung corak batik Terengganu itu diperkemas.
Tunggu dinda, kanda!
==============
Suntingan dan Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment