UKM BERHANTU WOI! - Kisah 1
Oleh: Kamenrider
Salam semua, aku KamenRider (KR). Hari ini aku volunteer ganti slot SP. Harap semua tak kecewa dengan celoteh aku kali ini.
Aku tahu ada yang di antara kalian tak kenal pun aku. Kenapa aku boleh tiba-tiba join AAN? Misteri bukan? Aku nak beritahu kalian yang aku dulu pernah hantar cerita ini di beberapa page yang terkenal. Di situlah permulaan aku bergiat serius dalam bidang penulisan, jika sebelum ini sebagai hobi luangkan masa di blog biawak saja.
Mungkin ramai akan beri komentar... "Arghh dah baca lah cerita ni" Apa yang bezanya di sini, aku perbaiki semula penulisan aku dan ada penambahan sedikit. Sekali lagi aku beritahu, istimewanya AAN ini adalah kami barisan kurator bersungguh-sungguh membuat suntingan hampir kesemua karya penulis yang dihantar. Kerana apa? Kami nak sama-sama belajar dan maju. In sha Allah..
Kalian ingat tak kisah yang aku paparkan sebelum ini? Itu adalah spoiler EPILOG dari kisah UKM BERHANTU WOI! Bayangkan, aku tahu mengenai misteri famili aku bermula di UKM. Fuh!
BEDAH BATIN
Cukup intro... Aku mulakan dengan Bismillah,
===================================
Cerita yang aku lampirkan ini adalah kisah-kisah benar yang berlaku pada aku 3 tahun menetap di UKM. Ramai juga komen, “aku duduk Bangi ok je,” itu kau, untunglah tak kena kacau. Aku hanya ceritakan pengalaman aku saja. Pengalaman ini bukan melibatkan aku sahaja malah rakan sekeliling aku.
Aku graduan UKM budak Zoology, sesiapa yang tahu makmal haiwan jauh nun di dalam hutan UKM. Eh, sabar! Kali ini aku hanya nak ceritakan tentang kolej kesayangan dahulu. Disebabkan berpuluh-puluh pengalaman misteri aku di UKM, aku akan buat banyak sambungan. Jaga! Mana yang aku ingat aku akan tambah. Jangan risau, sambungan aku bukannya cerita tergantung. Kisah demi kisah.
Kisah pertama adalah tentang bilik aku di kolej pada tahun pertama, tahun 2007, blok 11 bilik 506 ke 516 (haha siapalah penghuni bilik ni sekarang?). Bilik aku macam corner lot, menghadap court bola tampar. Belakang court bola tampar ada hutan, tasik. Malam-malam memang gelap, sunyi betul. Satu bilik dua orang, roommate aku Jihan. Jihan ni jenis slumber, hati kering, berani dari aku dan dia adalah kawan baik yang susah senang bersama aku. Tiga tahun kami bersama gaduh, gelak sampai sekarang kami masih berhubung, dia dah beranak dua dan aku pula masih mencari jodoh. Eh!
“Jihan, aku ni penakut tau. So aku minta jasa baik kalau aku nak pergi tandas malam-malam please teman aku,” ini ayat klise yang wajib aku syaratkan kepada rakan-rakan sebilik sejak matrikulasi lagi. Syukur sangat Jihan jenis memahami, dia tak pernah merungut selama tiga tahun menjadi roommate aku.
Kami berdua aktif kelab di kolej, aku kelab Teater Sanggar Mas dan Jihan kelab sukan. Walaupun kami balik lewat, penat macam mana pun kami mesti berteman pergi tandas. Bilik kami selang sebuah bilik dengan tandas, maka kami selalu lah terserempak dengan jiran kami terus jadi BFF. Nad dan Liza, mereka selalu juga lepak di bilik kami, gosip gelak-gelak.
Satu hari, jiran datang bilik kami teman study katanya. Semuanya diam fokus, tekun belajar (padahal masa ni aku layan cerita anime, Code Geass) atas katil. Kiranya atas katil, ada laptop, buku Biology Campbell, ada kertas, ada kamus, memang berselerak. Cadar aku pula berwarna hijau askar material nylon.
Malam itu panas sangat, dan kami jarang sangat jatuhkan langsir, biasa aku puntal dan ikat langsir supaya angin malam masuk seperti aircond. Bila lama-lama duduk atas cadar rasa rimas berlengas, aku alihkan laptop ke atas meja depan tingkap menghadap permandangan luar (court bola tampar dan hutan). Alihkan semua buku-buku ke atas meja dan tiba-tiba ada sesuatu jatuh dari atas (siling konkrit) tepat mengenai cadar depan aku. DARAH? Aku pandang atas..., celah mana batu konkrit keluar darah? Darah tadi merebak pada tilam aku sehingga sebesar 50 sen. Aku terkejut, “Jihan….wehhh mende ni?”. Semua bangun tengok.
“Erkkk siapa datang bulan ni?” Semua menafikan. Siap cek seluar lagi.
“Nadey kaki ko berkudis ke? Cer tengok berdarah kot,” aku yang sedia berseluar pendek terus menyelak depan tiga orang saksi, masing-masing telek tiada kesan darah terpalit. Kami berempat tarik cadar tu, tinggal tilam bogel. Kami periksa mana tahu aku terpijak pepijat kenyang ke? Tiada. Ok darah siapa? Mungkin hantu itu period lupa pakai pad. Masa ni meremang habis, kami berempat diam seribu bahasa hanya berbalas pandangan.
Ah sudah, macam mana aku nak tidur ni? Jihan tak nak bagi aku takut, gigihlah dia ambil air kesat darah tu tapi masih berkesan kot. Sempat lagi dia hidu, memang bau darah. Jiran kami dah cuak, masing-masing pantas je ke bilik mereka. Jihan ajak aku solat dan tidur awal. Jihan tahu aku takut, tapi dia buat bodoh je. Malam tu kami pasang ayat Al-Quran sehingga subuh. Kami tak jatuhkan langsir sebab panas sangat.
Selang beberapa hari, selepas solat Isyak, aku sambung ulangkaji di meja. Kes tilam tu aku buat-buat lupa. Malam tu Jihan nak tidur awal. Tengok Jihan guling-guling atas katil sambil tengok drama korea, aku pon macam tergoda tapi aku ada beberapa bab lagi nak dihabiskan. Rasanya dalam sejam-dua atas meja mata aku dah panas, aku berhenti rehat pandang ke luar.
Sebenarnya aku tak berani pandang ke arah court bola tampar dan hutan tersebut, aku cepat-cepat alihkan mata aku pandang tempat parking motor kat bawah. Paling haramnya, dan-dan tu juga mata aku macam gatal je nak tengok juga arah hutan itu. Aku tak tahu apa yang aku nampak tapi macam kelibat atau benda hitam lari-lari di court bola tampar tu, aku terus rasa meremang. Tidak semena-mena angin kuat masuk ke dalam bilik seperti nak hujan.
“Jihan, nak hujan ni. Syok la kita tidur,” aku terus tutup buku, susun elok-elok dan melompat atas katil. Jihan bersorak sebabnya sudah beberapa hari kami tidur bermandi peluh. Jihan bangun terus tutup lampu utama, namun bilik kami masih berbalam dengan pantulan lampu jalan dari luar.
Selepas beberapa minit tutup lampu bilik, aku dan jihan baru je nak terlelap tetiba, “gedebukkk!" Bunyi buku yang tebal jatuh kat lantai dan bunyi itu memang betul-betul dekat dengan aku. Aku dan Jihan terkejut lalu kami buka lampu study tepi katil. Buku Biology Campbell yang tebal gila tu boleh jatuh tergolek tepi meja aku. Tak logik sebab tadi aku susun buku tu tengah-tengah meja. Kejadah?!
Aku pandang Jihan, dia beri signal suruh tidur. Dan-dan pula cermin solek Jihan yang bercangkuk gantung pada almari jatuh. Bersepai kaca tepi almari kami. Sumpah pelik cangkuk cermin tu bukan jenis mendatar tapi melengkung. Bila cermin tu bergantung kat cangkuk melengkung itu kena ade stail untuk sauk masuk dan sauk keluar. Kesimpulannya, bukan mudahlah untuk cermin itu jatuh. Jihan terus cakap, “dah Nadey diam, esok cite!” Malam tu kami tidur biarkan lampu terbuka.
Hari ni Sabtu, ramai yang balik. Lepas solat subuh aku pandang Jihan, “Jihan, jom kita usha bilik atas? Bilik kosong, aku nak tukar tilam ni. Takutlah tilam berdawah ni”
“Jom!” Laju je Jihan membalas. Kami ini budak nakal, banyak perangai haram kami buat bersama-sama (hehe). Kami keluar jalan-jalan naik ke tingkat 6 tengok bilik kosong sambil bawa tilam berdarah tu. “Bestnya bilik atas ni, angin kuat,” Jihan ambil feel macam scene Titanic.
Tiba-tiba bilik yang kami lalu tadi berdentum pintu tertutup. Melatah aku. Darah naik terus ke kepala, meremang satu badan. Jihan tercengang. Dengan pantas kami masuk ke bilik sebelahnya ambil tilam dan campak tilam yang berdarah tu atas katil, tak susun pun, takut. Kami gigih berlari sambil heret tilam yang kami curi tu sambil terjerit-jerit (tolonglah bayang macam mana aksi kami masa tu). Macam haram.
Sampai je di bilik, aku spray tilam tu dengan air yasin dan masukkan cadar. Kami duduk termenung, mengenangkan perihal misteri yang berlaku dalam bilik kami sejak akhir-akhir ini. Menurut Jihan, malam kejadian cermin jatuh tu dia langsung tak boleh tidur, telinga dia asyik kena sembur/sergah beberapa kali "Fuh! Fuh!" . Dia dengar orang cakar dinding, bunyi orang menangis huuu...huuuuu...
Bagai disuntik hormon berjoyah. Jihan mula berani buka cerita satu per satu yang dia selalu terjaga malam sebab tombol pintu bilik kami macam ada orang nak buka banyak kali, ada juga orang ketuk pintu bilik pukul 2 3 pagi bagi salam tapi tengok aku tidur lena dia pun buat-buat tak dengar je. Pernah sekali dia nak ke tandas, malas nak kejut aku dia pergi seorang. Sampai je pintu tandas dia nampak ada perempuan pelik duduk atas sinki, kepala tertunduk, rambut berjurai. Terus dia pendamkan hajat dia, nasib baik tak batu karang. Mungkin juga dia tengok aku lena, dia lepas hajat kat tepi tingkap. Haha..
Ada satu hari aku pergi latihan teater sehingga lewat pagi, Jihan kata laptop aku ter 'on' tiba-tiba siap buka Yahoo Messenger dan main game Mafia Wars di Facebook. Dia malas nak cerita detail sebab aku ini penakut. “Kita tukar bilik nak?” Jihan beri cadangan macam ini.
Kan aku beritahu, Jihan ni jenis berani, bila dia sebut macam ini aku terus gelupur nak buat aduan dan minta pindah bilik. Esoknya kami jumpa felo, buat aduan.
Muka kakak felo masa itu, tak terkejut langsung. Dia kata bukan kali pertama kes aduan macam sebegini. Bila kami tanya, dia seperti serba-salah nak cerita takut kecoh pula. Masa tu belum zaman viral lagi. Dia buat muka tenang dan berjanji akan beritahu pihak Jaksa. Dia minta kami jangan kecoh-kecohkan hal ini nanti ramai pula yang gelabah.
Dengan perasaan takut yang bersisa, kami kembali ke bilik seperti biasa. Selepas Isyak, ketua Jaksa datang ke bilik kami dan bacakan ayat (mungkin pagar bilik). Kami lihat dari luar saja. Ketua Jaksa keluar dan berikan kertas dengan potongan ayat-ayat yang mana perlu kami amalkan. Dia nasihatkan, "jangan takut. In sya Allah dia takkan kacau kalau kamu jaga bilik ni dengan ayat suci al Quran dan, dan jangan tinggal solat."
Lepas Ketua Jaksa dan felo keluar dari bilik, jiran kami beritahu yang Jaksa bukan datang bilik kami sahaja, malah ada beberapa buah bilik lagi kena kacau juga. Ada yang kena rasuk, katanya saka keluarganya mengamuk. Bilik mana kami tak tahu. Kami yang dengar ini terus rasa tak sedap hati. Apa dah jadi dengan bangunan kolej ini? Namun kami syukur ini bukan kes tunggal yang terjadi pada kami (beramai-ramai kena kacau baru adil bukan?) dan syukur juga kami tak nampak apa-apa hanya kena kacau sahaja.
Tak lama selepas kejadian bilik tu, rutin selepas maghrib aku akan ke GLAM (kedai makan) makan malam bersama Solehin sebelum ke latihan teater. Tetiba kecoh dengan van ambulan dan beberapa buah kereta parkir di depan GLAM. Seorang kawan aku yang keluar dari bilik jaksa beritahu tadi ada seorang perempuan kena rasuk sampai terapung-apung.
Beberapa orang lelaki pegang dia pun tak kuat nak lawan kudrat budak itu. Tak ada pilihan, terpaksa panggil Allahyarham Harun Din tolong. Masa ni arwah dah sakit-sakit tapi sanggup juga datang membantu. Menurut kawan aku, bila Ustaz tanya, terus suara perempuan tu bertukar jadi garau. Katanya saka famili, nak buang tapi saka itu mengamuk.
Rupanya, baru kami tahu punca misteri bangunan blok 11 diganggu sejak akhir-akhir ini mungkin disebabkan saka dia. Dan-dan pula, senior kami datang menyampuk, "kolej ni lain macam sikit. Abang dah 6 tahun kat sini, kau tanya je semua aku tahu. Hantu-hantu ni dah biasa dah aku tengok.." Abang Bear ini memang cabul sikit mulutnya tapi dia baik. Acah-acah sindrom senior.
Sebenarnya ada sebab lain kawan aku beritahu tapi aku dah lupa. Sambil dengar gosip tengok orang ramai kerumun di bilik rawatan, kueh teow habis aku bedal. Menandakan sudah sampai masa untuk ke latihan teater. Maka kami naik meninggalkan tempat kejadian dan menunggu gosip mendatang. Tak habis di situ, sambung pula cerita-cerita seram dari senior teater pula. Malam tu memang aku telefon Jihan ambil aku di Foyer sebab aku takut nak jalan kaki ke blok seorang.
UKM BERHANTU WOI!
Al fatihah hadiah pada Allahyarham Harun Din, sesungguhnya Allahyarham banyak membantu orang sekeliling aku termasuk orang taman aku merangkap kawan sekolah aku di Gombak. Yelah, rumah aku dekat dengan Markas Pas Melewar. Selalu juga berjumpa dengan beliau, ayah aku dulu hobinya heret satu famili dengar ceramah pas Allahuakbarrrr!! Allahuakbarr!!! Allahuakbar!! Tapi apa aku buat? Aku beli makanan dan aku tidur je.
Habis kisah pertama segmen kolej UKM seperti yang dijanjikan. Untuk spoiler kisah kedua, tahun kedua gangguan semakin hebat. Aku dah start kena ganggu dari segi penampakan kelibat, Jihan masih watak utama dan akan ada watak baru. Semua dalam cerita ini adalah kisah benar dan cerita dikongsi mewakili saksi-saksi kejadian.
Aku belanja kisah kedua.
Demi nak post cerita ini, aku skip tengok kamenrider malam ni.
Salam Henshin!
**********************
Gambar : KAMENRIDER
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment