Monday, 11 December 2017

TEMAN SEMINGGU - Mobu


TEMAN SEMINGGU
Karya Oleh : Mobu

======================
Aku bekerja sebagai Pembantu Akauntan di sebuah syarikat swasta. Aku menyewa bersama Sarah, rakan sepejabatku di sebuah apartment tingkat 9.
Kami agak rapat, walaupun jarang dapat meluang masa bersama. Aku seringkali menjadi sumber rujukan dan tempat untuk dia berkongsi masalah.
Waktu bekerja kami sama, tapi aku sering mengambil 'overtime' di tempat kerja.Manakala, Sarah lebih cenderung mengambil 'overtime' bersama buah hatinya. Waktu bersua kami, hanyalah pada awal pagi dan petang sebaik habis waktu bekerja.
Jika malam minggu Sarah tiada dirumah, aku akan habiskan masa melepak bersama kawan-kawan aku yang lain.
===================================

Aku dimaklumkan Sarah, bahawa dia akan mengambil cuti selama seminggu bermula hari sabtu ini. Katanya, ingin bercuti ke Bali, Indonesia. Wah seronoknya dapat bercuti ke sana ke mari. Aku, asal cuti je terperap dirumah. Sekali-sekala je keluar melepak.
Sabtu.
Ketiadaan Sarah di rumah, maka aku mengambil keputusan untuk melepak dengan kawan-kawanku. Alah, bukan kemana pun. Melepak kedai mamak je. Borak santai.
12.30 Tengah malam.
Aku tiba di rumah. Aku meluru masuk ke bilik. Terasa badanku berlengas. Tidak selesa. Aku capai tuala dan terus masuk ke kamar mandi.
Usai mandi dan mengenakan pakaian tidur, aku keluar dari bilik. Hajat untuk berehat sebentar di ruang tamu. Terkuak sahaja pintu, mataku terpaku.
Allah! Rasa nak tercabut jantung.Dihadapanku, ada sesusuk tubuh yang sedang duduk diatas sofa. Dia membelakangkan aku.
Dadaku berdebar. Lututku juga menggeletar spontan. Cuak.Aku masih tidak berganjak di hadapan pintu bilik. Susuk tubuh itu juga masih kekal dengan posisinya. Dadaku turun naik, cuba menyelaras nafas yang kian berombak.
"Ehemm..."
Terangkat bahuku, terperanjat. Susuk itu berdehem. Nadanya, seperti biasa kedengaran. Tidak semena-mena, dia bangkit dari duduknya.
Tetapi masih dalam posisi membelakangkan aku. Berdiri tegak. Dadaku kembali diserang debar. Namun, mataku tidak kularikan dari menatap terus susuk tubuhnya.
Aku amati baju yang tersarung ditubuhnya.
"Eikkk, macam kenal je baju ni." Monologku dalam hati.
Ya. Itu memang baju Sarah, tidak syak lagi. Rasa debar yang membuak seawal tadi, beransur hilang.Dengan yakin, aku melangkah mendekatinya.
Tuala kecil yang membaluti kepala, aku tarik. Terurai rambutku yang masih basah. Aku, kini menghadapnya.
"Sarah?"
"Ya!"
"Ehhh.Bukan flight kau petang tadi ke? Kenapa kau kat sini lagi?"
"Tak jadi pergi!"Sugul wajahnya.
"Ermm.Pulak! Tak lain tak bukan, gaduh lagi lah tu kan?"
Sarah tidak menjawab, malah dia menundukkan muka.
Erm. Memang sah gaduh. Getus hatiku. Malas mahu melayan mood puting beliung Sarah. Lebih baik aku masuk tidur.
Sebelum beransur, aku turut memesan kepada Sarah untuk tidur juga. Dah lewat malam. Emosi, kalau dilayan terus menerus, memang tidak akan pernah habis.
Sebaik sahaja aku berpaling untuk menutup pintu bilik, jantung aku sekali lagi tersentak. Aduh, dah kenapa kau ni? Sarah, tercegat di depan pintu bilik aku!
"Aku tidur dengan kau malam ni boleh?"
Aku angguk. Dah jadi kebiasaan. Kalau Sarah bergaduh dengan Naim, akulah peneman makan dan tidurnya. Cuma aku sedikit pelik.Sarah tak banyak bercakap pula kali ini.
Selalunya, mulut dia macam bertih jagung. Pot pet pot pet, tak pandai diam. Tak sah kalau tak berbakul-bakul sumpah seranah dia pada Naim.
Lazimnya, aku yang akan merayu pada dia agar berhenti dan sambung esoknya. Tapi, malam ni mulut Sarah berat. Ermm. Tak apalah, mungkin Sarah penat barangkali.
Sarah, baring di sebelahku. Aku dan dia hanya diam. Akhirnya, tak sedar kami hanyut ketiduran.
Ahad.
Aktiviti aku di hujung minggu berjalan seperti biasa. Mengemas, menonton televisyen, makan dan tidur. Sarah? Pagi-pagi dah lesap. Aku bangkit dari tidur, dia memang dah tak ada di sebelah. Jumpa Naim lah tu!
11.00 malam.
Kedengaran, pintu rumah diketuk beberapa kali. Keras ketukannya. Aku bangkit dari duduk, bergegas untuk membuka pintu. Daun pintu di kuak. Kelihatan, Sarah tercegat dengan wajah yang sugul. Aduhh, tak habis-habis. Main emosi lagi, kan dah jiwa kacau.
"Kunci kau mana?"
Diam. Tiada jawapan dari Sarah.
"Kau dah makan?"
Angguk.
Sarah meluru masuk ke bilik. Eikk, bilik aku? Ermm, tak apa lah. Ada juga aku teman.
================
Khamis.
Sudah 5 malam, Sarah buat hal. Baliknya lewat, keluarnya awal pagi. Bila ditanya, diam. Bila diasak dengan soalan dia menangis. Kesudahannya, aku pun malas nak tanya apa-apa lagi. Janji Sarah balik. Aku tahu, dia pun bosan duduk di rumah. Cuti seminggu kan. Takkan dia nak terperuk dirumah sahaja.
6.00 petang.
Menjadi kebiasaan, aku akan beli bungkus makanan siap-siap sebelum pulang ke rumah.Aku seorang je yang makan. Sarah?Memang payahlah nak tengok dia makan di rumah apatah lagi nak masak.
Aku menuju ke ruangan parkir kereta di belakang pejabat. Dari jauh, aku melihat batang tubuh seseorang sedang berdiri tercegat di sebelah keretaku. Sarah?? Buat apa dia kat sini?
"Sarah? Kenapa kau kat sini?"
"Aku tunggu kau. Aku lapar!"
"La... kenapa tak tunggu je aku kat rumah? Call je lah, bagitau aku suruh tapau. Beriya sangat kau ni, sampai datang ke office."
"Aku bosan. Kau masakkan untuk aku boleh tak? Aku teringin nak makan lauk daging, air tangan kau. Boleh?"
"Ermmm... Patutlah beriya tunggu aku. Nak suruh aku masak rupanya. Yelahhh... Demi kau Sarah, aku turutkan."
Sarah senyum. Aku layankan sahaja permintaan dia. Parah juga kalau orang bergaduh dan putus cinta ni ya?
Menu makan malam kami, nasi putih dan daging masak black pepper. Hasil air tangan aku.Sarah paling teruja. Gelojoh betul dia makan. Bertambah-tambah. Makanlah Sarah, asalkan kau happy. Aku pun ikut happy.
Aku masih lagi mengunyah, Sarah bangkit dari duduknya. Dia beredar meninggalkan aku dan terus masuk ke bilik AKU.
Eikk, ni dah melampau. Dengan pinggan tak berangkat, tangan tak basuh. Kau apa hal ni Sarah? Bungkam aku dibuatnya.
Kita dah masak, tolong-tolonglah basuh pinggan ke. Ini tidak, menonong je blah tinggalkan aku. Aku rasa dah macam kuli dia pula. Ni tak boleh jadi ni.
"Sarahhh!!"
Senyap. Tidak bersahut.
"Wei Sarah. Kau dengar tak aku panggil!"
"Sarah!"
"Kau nak apa!!!"
Terjengul wajahnya di depan pintu bilik. Perghhh. Dia punya pandangan. Menusuk. Siap pakej jelingan. Patutnya, aku yang marah. Ini dia pula yang panas.Mata Sarah masih pegun melihat aku. Bengis.
Ermm.. Malas aku nak berpanjang-panjang. Maka, aku diam seraya menggeleng tanda tiada apa-apa. Sarah? Lepas je tengok aku gelengkan kepala, dia terus lesap semula ke dalam bilik AKU. Bukan bilik dia.
Usai makan dan membasuh pinggan, aku masuk ke dalam bilik. Aku lihat, Sarah sedang duduk bersila diatas lantai. Dia menghadap dinding. Tanpa suara. Matanya tidak berkutik. Pegun, seolah-olah dia terpaku pada sesuatu didasar dinding.
Aku mulai risau. Sarah kemurungan ke? Dia ada terlintas nak buat perkara-perkara yang diluar kawal ke? Tak ada yang mustahil. Mungkin juga Sarah tertekan. Sikapnya jauh beza.
Beberapa ketika, telingaku disahut dengan tangisan halus dari Sarah.
"Sarah.. Kau okay?"
Diam.
"Hehehehhe..."
Okay, Sarah gelak! Damn. Tegak bulu roma aku. Tadi dia lapar. Dah kenyang,dia menangis pula.Dan sekarang, dia gelak?Wei, kau kenapa Sarah? Takut pula aku!
Tidak semena-mena, Sarah bangkit dari silaan. Dia meluru ke arah suis didinding. Pap!! Suis lampu dimatikan. Bilik yang cerah tadi, jadi gelap. Segelap hatiku yang mula menjalar perasaan gusar.
"Tidur!"
Sarah melepaskan arahan. Dalam hati, 'Baik...aku tidur. Sebab aku takut dengan kau. Perangai kau pelik!!'
"Kau cakap apa?"
"Erkkk...Tak. Aku tak cakap apa-apa. Okay, good night Sarah." Yes, aku akui. Aku cuak.
Aku baring menghadap ke kanan. Posisi kebiasaanku jika tidur seorang. Tapi bila bertemankan Sarah, maka aku tidur jadinya menghadap belakang badan Sarah.
Beberapa ketika, tiba-tiba aku dapat merasakan Sarah menukar posisi. Dia mengiring ke sebelah kiri. Jadinya? Dia menghadap aku.
Aku capai handphone disisi katil. Aku on flash light. Sengaja aku tadahkan cahaya tepat di wajahnya. Bundar mata Sarah menatapku. Sedikit pun tidak berkelip.
"Ermm. Sorry. Aku lupa nak set alarm clock. Kang tak bangun pula." Aku berbahasa basi.
Sarah tidak membalas kata-kataku. Usai aku meletakkan handphone di tempat asal, aku terus mengubah posisiku menghadap sebelah kiri. Takut aku nak bertemu empat mata dengan Sarah.
Beberapa ketika. Aku cuba melelapkan mata. Tetapi sukar. Mahu tidak. Dengkuran kasar dari Sarah sangat membingitkan telinga. Dah macam lembu kena sembelih bunyinya. selalunya, Sarah tak pernah berdengkur.
Makin lama, bunyi dengkurannya masih kuat. Arghh, ini tak boleh jadi! Aku perlu gerakkan dia. Kalau aku biarkan, memang tak tidurlah aku.
Aku, mengubah posisi menghadap sebelah kanan. Damn! Kosong.
Ehh, mana Sarah? Dia tak ada di sebelah aku. Aduhh. Kalau ya pun nak balik bilik sendiri bagitahu lah. Tapi.... kalau dia dah balik bilik, bunyi dengkuran tadi tu dari siapa?
"Ktakk!!"
Tiba-tiba, aku terdengar seolah-olah bunyi tombol pintu dipulas. Tidak semena-mena, kain langsir yang menutupi cermin tingkap, terangkat. Seperti ditiup angin. Walhal, aku yakin yang cerminnya bertutup. Aku jarang sekali buka kecuali buat cleaning.
Spontan, biasan cahaya bulan terhasil dari cermin tingkap akibat langsir yang terselak berulang kali. Pantulan cahaya tersamar disudut dinding bilik. Lantas, mataku tertancap pada sesuatu yang kelihatan sedang berdiri pegun menghadapaku.
Aku memicingkan mata. Aku seolah-olah dipertontonkan dengan sesusuk tubuh berkain putih. Nahh, rambutnya panjang hingga mencecah lantai. Aku menggosok mataku berulang kali. Takut-takut mainan mata barangkali.
'Arghh. Tak boleh jadi ni. Entah-entah Sarah sahaja nak mainkan aku.'
Aku capai handphone. Aku hidupkan flash light. Kemudian, aku suluh pada dinding.
Kosong.
"Ermmm. Takda pun! Dah agak dah. Mata ni yang bukan-bukan je nampaknya dalam gelap."
Aku sengaja halakan cahaya pada sudut -sudut lain. Terlebih berani. Mana tahu, kalau - kalau Sarah memang ada dalam bilik aku, main sorok-sorok. Sengaja nak menakut-nakutkan aku.
Tidak ada....
Sehinggalah, cahaya itu berakhir di sebelah aku. Damn!! Wajah itu pucat lesi. Matanya jegil. Bibirnya, menyeringai menampakkan giginya yang tajam seperti mata gergaji.
Dia bukan Sarah. Dia makhluk lain. Handphone ditangan, terlepas. Suasana yang sedia gelap, bertambah gelap.
Aku pengsan!
=============
Jumaat.
Aku tersedar. Mata kubuka perlahan. Aduh, terasa beratnya kepala. Berdenyut.Jam di meja sisi, aku lirik. Allahu. Terkejut beruk aku. 10.00 pagi? Dah lewat sangat ni kalau aku nak pergi kerja. Kebetulan, badan aku pun rasa tak sihat.
Lantas, aku menghubungi pejabat memaklumkan ketidak hadiran aku. Cuti sakit. Aku bangkit dan duduk diatas tilam.Baru sahaja ingin turun dari katil, tiba-tiba pintu bilik dikuak dari luar.
Sarah?
"Kau dah bangun?"
"Kenapa kau tak kejut aku, Sarah?"
"Aku dah kejut kau, tapi kau tak nak bangun. Kau meracau dari malam tadi. Badan kau panas, jadi aku biarkan kau rehat."
"Meracau?"
"Yelah. Kau mimpi buruk barangkali. Aku yang baring dekat sebelah kau pun, habis kau tendang."
"Ehh, betul ke? Kau..kau, tidur sebelah aku?"
"Yelah. Aku tidur dengan kau lah. Dah, tak payah banyak cakap. Ni,aku ada buatkan kau air milo dan bubur.Makan, lapik perut tu sebelum makan ubat demam ni. Kalau kau tak okay lagi, kita pergi klinik ya."
Aku mengangguk. Sarah meletakkan sarapan di meja sisi aku, kemudian dia beredar keluar dari bilik. Dia sempat menghadiahkan senyuman buatku. Manis.
Jujur. Sebenarnya, aku masih keliru. Sarah kata aku meracau? Maksudnya, apa yang jadi malam tadi, apa yang aku nampak malam tadi tu hanya mimpi?
Arghhh. Malas nak fikir banyak. Kepalaku yang masih berat, tiba- tiba rasa berdenyut. Sakit yang amat sangat. Tak selesa. Tanpa fikir banyak, aku baringkan tubuhku kembali. Dan, aku hanyut sebelum sempat menjamah apa-apa pun.
=============
7.00 petang.
"Ergghhhh...."
Aku menggeliat. Bilik aku gelap. Meraba-raba aku capai handphone di meja sisi.
"Mak aiii. Pukul 7.00 dah? Lamanya aku tidur!"
Aku terus bangkit, turun dari katil tanpa berlengah. Suis lampu, aku petik. Terang benderang bilik aku. Tuala ku capai. Aku terus menuju ke kamar mandi. Biar segar badan aku. Seharian aku tidur.
Usai mandi dan mengenakan pakaian, aku terus ke ruang tamu. Aku lihat Sarah sedang duduk di sofa, ralit dia menonton televisyen. Tak pasti aku cerita apa yang tonton. Tapi dari bahasa yang ditutur, aku yakin itu bahasa indonesia.
"Kau tengok cerita apa tu Sarah?"
"Eh, kau dah bangun?"
"Dah. Dah siap mandi pun."
"Aku tengok cerita sundal bolong."
"Suzanna?"
"Ye lahh."
"Weii. Aku suka gila cerita ni. Nak join!"
"Jomlah. Seronok sikit berteman. Boleh seram sama-sama kan?"
Sarah pandang aku. Senyum.
Sedang ralit aku menonton, tiba-tiba handphone aku berdering. Aduhh. Aku letak dalam bilik pula tu.
"Hp kau bunyi lah. Kau tak nak angkat ke?"
Aku diam. Ralit melayan Si Sundel Bolong sedang meratah sate.
"Kringgg....kringg..."
Sekali lagi, tontonanku terganggu. Arghh, lebih baik aku angkat. Kalau tidak, berdering terus. Aku bangun dari duduk, menuju ke dalam bilik. Handphone yang terletak di meja sisi, aku ambil.
Di skrin terpapar, panggilan tidak dijawab.
"Sarah Housemate?"
Aku intai Sarah di ruang tamu melalui bukaan daun pintu bilik yang tidak ditutup rapat. Dia kelihatan sedang ralit menonton. Apa hal pula si Sarah ni call aku? Nak prank aku ke?
"Kringgg...kringgggg..."
Sekali lagi handphone ku berbunyi. Masih tertera nama "Sarah Housemate" di paparan skrin. Sekali lagi, aku intai Sarah. Apahal dia ni? Nak kenakan aku agak-agaklah.
Ehh. Baru aku terfikir. Mungkin handphone Sarah tertinggal pada Naim kot. Mungkin dia nak bercakap dengan Sarah agaknya. Angkat je lah.
"Hello."
"Hooiiii, apasal lambat sangat angkat? Whatsapp tak balas, telefon dari tadi tak jawab. Aku call office, Lin cakap kau MC. Kau ok tak ni? Kau kat mana sekarang? Rumah ke?"
Damn!!
Sarah? Spontan, jantung aku laju. Degupan bertindih-tindih. Seolah-olah aku baru lepas berlari 4 X 400 meter. Apakah?
"Hooiiii..... Kau dengar tak? Apasal diam?" jerkah Sarah.
"Errr....Err.. Sarah... Kau.... Kau kat mana? "Tergagap gagap.
"Aku baru sampai Airport ni? Aku call kau, sebab nak bagitahu yang aku tak jadi balik rumahharini. Naim ajak aku balik rumah parents dia. Mungkin esok malam atay ahad baru aku balik ya. Naim ni ha..sibuk ajak balik rumah mak dia."
Jawapan dari Sarah di talian, buat aku terpempan. Tanpa berlengah, aku capai beg duit dan kunci kereta.Cardigen yang tergantung balik pintu, aku capai dan sarung ke tubuh.
Apa nak jadi, jadilah. Yang aku tahu, aku kena keluar dari rumah. Sekarang!!
Aku keluar dari bilik. Limpas sahaja aku di ruang tamu...
"Kau nak pergi mana tu?"
"Errr....aku, aku nak ke kedai sekejap."
Jawab aku tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.
"Yeke, kau nak ke kedai? Bukan nak lari? Hehehehe...."
Zappp!
Berderau darah aku.
"Elehhhh.. Kau dah tahu kan? Hihihihihi...."
Sumpah. Suara Sarah palsu, terasa begitu dekat di telingaku. Aku telan liur berkali-kali. Meremang.
Pantas aku meninggalkan Sarah di ruang tamu. Kelam kabut, sehingga pintu utama yang aku buka terbiar luas tanpa sempat ditutup kembali.
Aku lari...dan terus lari, sambil jerit......
"Sarah copycat! Jangan ikut aku!!!!!"
"Jahanam kau Sarah!"
PESANAN : PASTIKAN ANDA TIDAK KESEORANGAN SAAT INI. JIKA YA, ANDA PASTI YANG RAKAN SERUMAH ANDA TIDAK PALSU?? HEHEHEH....
TAMAT
=========================
Suntingan: Dee Edot
Gambar: KamenRider
Editor, Arkib Angker Negara

=========================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...


serammm...ni yang buat takut nak duk sorang ni..