DARI MATA ORANG TELUK ANSON
===========================
Nota kaki- Ini adalah cerita dari Bapak aku, dari diri sendiri dan juga orang sekeliling aku yang rapat. Senang cerita, ini cerita hantu dari orang Teluk Anson! Ini adalah beberapa siri cerita seram dari tahun dan orang yang berbeza.
Dan, ianya kisah benar.
Cerita 1
Hari ini aku terpaksa menghabiskan kerja di pejabat aku yang bertempat di bangunan Arked Mara (nama pejabat terpaksa di rahsiakan). Jam sudah jam 9.30 malam. Dalam hati aku, mengeluh. Inilah dugaan kerja makan gaji. Tapi aku bersyukur dengan kerja yang aku dapat. Memang la penat, kadang kala perlu buat kerja selepas jam 5. Tapi bila difikirkan bab gaji yang aku terima sebanyak RM1,800 (tahun 90-an) agak berbaloi juga.
Jam 10 malam aku menerima satu panggilan. Tak lain tak bukan dari bos aku. Gagang telefon pejabat berwarna oren itu aku angkat. Usai bercakap dengan bos aku, aku lega,itu pun dek mendapat pujian dari bos. Dia kagum tengok aku sanggup buat kerja hingga lewat malam. Aku tahu, dokumen itu memang bos aku perlukan kerana esok di pekan, kedatangan Menteri Besar (ketika itu Tan Sri Ramli Ngah Talib) akan disambut oleh bos aku. Oleh itu beberapa dokumen disediakan sebelum diserahkan pada YB Menteri.
"Hujung bulan saya bagi extra!" Ujar bos aku sebelum menamatkan perbualan telefon. Aduh! Gembiranya hati. Aku terus mengemas barang dan terus menuju ke bawah menuruni tangga. Aku menghidupkan motorsikal dan memecut keluar dari perkarangan pejabat.
Rumah aku terletak di Kampung Bahagia dan selalunya aku akan melalui jalan Sungai Nibong, terpaksa melintasi jambatan besi bekas laluan rel keretapi di bawahnya sungai.Jalan ini kecil dan hanya motorsikal sahaja yang boleh lalu. Tiba di persimpangan sekolah, aku memecut laju motorsikal aku.
Selalunya aku akan terdengar bunyi cengkerik dan katak. Tapi malam itu pelik! Ketika aku lalu, senyap-sunyi. Tak seperti kebiasannya.
Perlahan lahan aku menyelusuri jalan rel keretapi itu. Gelap. Jalannya berbonggol dek kerana bekas rel. Aku sambil itu membetulkan beg galas aku yang hampir-hampir nak terjatuh dari raga motorsikal.
Hampir saja mahu tamat ke penghujung jalan mata aku terpandang sesuatu dari arah depan. Betul-betul berdiri di laluan keluar!
Serta merta tengkuk merinding, meremang! Ah sudah! Aku lihat perlahan lahan benda itu terapung perlahan.
"Heeeeeee....Heeeee...," bunyi hilaian. Cukup nyaring! Aku berhentikan motorsikal.
Aku cukup cuak masa itu. Ikut hati mahu saja aku terjun dalam Sungai Bidor tapi dikhuatiri aku juga yang akan mati dibaham buaya! (memang ada buaya di sungai ini)
Aku nekadkan hati. Aku nekad! Aku akan rempuh puaka itu! Aku pulas pendikit minyak sekuat hati!
Bammm! Aku tercampak ke arah depan. Motorsikal aku seakan melanggar tembok keras! Entah, aku fikir mungkin badan puaka itu yang sekeras batu.
Belum sempat aku mengeluh dek kesakitan tersembam, aku lihat makhluk puaka itu melayang perlahan menuju ke arah aku! Aku bangun, dalam kesakitan berlari ke arah rumah. Jarak rumah aku dari jambatan itu adalah lebih kurang 200 meter. Aku berlari-lari anak sambil jerit meminta tolong. Untuk pengetahuan semua, kepala aku seakan di hentak-hentak dari atas waktu itu.
Penyudah cerita, aku tiba di rumah selepas aku menjerit meminta isteri aku membuka pintu. Kata isteri aku, waktu dia buka pintu dia nampak ada wanita berkain putih terbang ke atas selepas tersenyum melihat isteri aku!
Cerita 2
Kejadian ini berlaku pada bapak aku. Ketika ini aku masih darjah 6, bersekolah di SRK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan. Ketika itu aku tiada di rumah kerana aku mengikuti perlawanan bola sepak peringkat daerah di Kuala Kangsar. Jadinya Bapak aku tinggal seorang diri di rumah. Kebetulan pula, Emak aku ketika itu demam teruk. Emak aku ada penyakit mengah atau asthma. Malam itu, Emak mengejut Bapak dari tidur. Dia memerlukan nebulizer, iaitu bantuan alat pernafasan untuk orang yang asthma. Senang cerita,masuk oksigen.
Bapak bergegas mencapai baju dan terus keluar menghidupkan enjin kereta. Mujurlah rumah aku di Pekan Baru jadi jarak ke Hospital Besar Teluk Intan kira kira 10 minit. Usai di hospital, doktor menyarankan supaya Emak dimasukkan ke dalam wad sehari dua oleh kerana kondisinya masih tidak stabil (tekanan darah Emak juga naik). Bapak akur. Sewaktu di dalam kereta mahu pulang dia melihat jam. Sudah jam 2 pagi .Ikutkan mata memang mengantuk, tapi ada baiknya dia balik ke rumah saja.
Perlahan Bapak memandu kereta Saganya menyelusuri jalan Kampung Selabak. Ini adalah jalan yang dilalui Bapak tadi dan ianya memang laluan yang agak gelap. Kiri kanan kebun sawit. Lampu jalan pun tiada. Hanya di simpang masuk sahaja.
Sedang dia fokus memandu, cermin keretanya tiba-tiba gelap! Umpama dihadang kain! Sepantas kilat Bapak menekan brek! Mujur tiada kereta dari arah belakang. Kalau tidak mahu terjadi kecelakaan.
Dia turun pantas keluar dari kereta. Hairan. Tiada apa pun yang ada di cermin. Dia boleh melihat stereng keretanya.Tiada halangan apa pun. Cumanya masa ini Bapak perasan, di kerusi belakang dan hadapan, ada susuk tubuh wanita! Mukanya kurang jelas (itupun hanya berbekalkan biasan cahaya lampu kereta)
Bapak amati, sah! Muka wanita itu seakan dirobek dan dicarik isi kulitnya! Bapak buntu ketika itu, lekas-lekas dia mengalunkan azan. Dan saat itu katanya, seluruh kawasan itu di selang-seli dengan bunyi hilai tawa yang menyeramkan!
Bapak terus masuk ke dalam kereta dan teruskan pemanduan! Dia sudah tak peduli. Sewaktu itu, dia perasan tiada ada yang menumpang dah cuma katanya, sewaktu memandu pulang tu bahunya dan tengkuk sakit dan pedih seperti dicengkam oleh sesuatu sehingga berbekas peritnya.
Cerita 3
Kisah ini berlaku di salah satu taman perumahan terawal di Teluk Intan, Padang Tembak. Taman ini di tengah-tengah perumahan itu ada tangki air. Saiznya agak besar dan boleh dilihat dari sekolah SRK Sultan Abdul Aziz lagi. Cerita ini berlaku sewaktu Emak aku bancuh susu untuk aku. Ketika itu aku baru berusia 3 tahun.
Jam melewati 3 pagi, selepas Emak memberikan aku susu dia ke depan kerana dia terdengar bunyi orang bertukang besi. Hairan. Apa gila orang sini bertukang pada jam begini.
Emak menyelak tabir langsir, alangkah terkejutnya dia melihat tangki air itu betul betul berada di depan pintu rumah! Lokasi tangki air itu sebenarnya kira kira 70 meter sahaja dari rumah! Emak terus berlari mendapatkan Bapak. Terpisat pisat Bapak bangun, terkejut dengan penjelasan isterinya!
"Abang,tangki air tu berjalan!"
Apabila mereka berdua tengok, lokasi tangki air itu kembali ke tempat asal. Bapak mengandaikan mungkin isterinya tersilap pandang. Tapi sangkaannya meleset. Selang beberapa hari, Bapak pula terkena. Dan cerita tangki air berjalan waktu malam ini, hampir separuh penduduk taman itu mengakui kejadian itu! Mereka juga terkena!
Cerita 4
Azrul, ketika itu berumur 16 tahun dan bersekolah di Sekolah Sains Teluk Intan, (SEMESTI) lewat 80-an. Ketika itu, sekeliling sekolah itu bukanlah seperti sekarang. Memang dikelilingi kebun sawit.
Malam itu, dia dan beberapa kawannya bercadang untuk fly. Istilah fly sebenarnya keluar tanpa kebenaran. Selalunya kalau budak asrama, tak lain tak bukan pergi beli makanan atau rokok! Tika itu, Azrul dan sahabat baiknya Hamid bercadang untuk mengambil stok rokok dari kawan kepada abang Hamid. Kiranya, kawan abang Hamid tolong belikan. Yang buat Azrul dan Hamid ni kurang gemar, kawan abangnya ni Rosli gemar mengambil waktu malam sebagai hab pertukaran. Risiko dan berbahaya. Kalau dicekup warden, alamatnya berbiratlah tapak kaki!
Jam 12 malam, mereka berdua keluar. Hendak tak hendak, mereka kena menyelusuri kebun sawit kerana tempat perjumpaan mereka adalah di hujung jalan. Jadi mereka harus jauh dari pondok pengawal. Selepas Azrul dan Hamid berjumpa Rosli di tepi jalan, duit bertukar tangan, rokok sekarton mereka masukkan dalam beg sandang. Usai bersalaman, Azrul dan Hamid ingin pulang semula ke asrama.
Tetapi, Hamid yang mula mula bersuara.
"Rul, aku tak sedap hati..." ujar Hamid perlahan.
Azrul hanya menggelengkan kepala. Dia menidakkan percakapan Hamid. Baginya itu hanyalah perasaannya sahaja. Mereka berlari-lari anak menyusuri jalan kecil di kebun sawit itu.
'Heeeeeeeeee!' Tiba tiba langkah mereka terhenti. Ada bunyi orang ketawa! Belum sempat mereka berdua mengamati suara itu, secara tiba tiba,
Bammmm!
Mereka berdua tersembam ke tanah! Badan mereka berdua ditindih sesuatu! Azrul dan Hamid meronta ronta! Barulah mereka berdua perasan, badan mereka dihempap dengan lembaga berambut panjang. Taringg giginya panjang hingga ke hujung dagu!
Sambil menindih, makhluk itu merengus di hadapan muka Azrul dan Hamid! Dek kerana hal itu, Azrul terkencing dalam seluar! Kedengaran lucu, tapi itulah hakikat! Hampir seminit mereka ditindih, kemudian makhluk bertaring itu tiba tiba lenyap. Azrul bingkas bangkit dan dia melihat Hamid mulutnya berbuih. Sawan! Hamid memang ada penyakit sawan.
Azrul mengusung Hamid ke asrama dan mengejut warden yang lena dibuai mimpi (walaupun tahu akan dihukum, tapi keselamatan Hamid yang utama). Malam itu juga Hamid terpaksa dikejarkan ke Hospital Teluk Intan. Seminggu selepas itu, Hamid kembali ke sekolah dan berjanji akan berhenti merokok hingga ke hari ini.
Cerita 4.
Aku masih ingat sewaktu tahun 1998, aku baru habis syif overtime aku di Kilang Caelygirl. Sudah 2 tahun aku menjawat jawatan pengawal sekuriti di kilang ini. Cuma malam itu aku balik lewat. Jam 11 malam baru aku habis berkerja. Itu pun kerana rakan setugas aku ada kes kecemasan di rumah, anaknya demam panas. Mujur dia datang juga walau lewat. Aku bersiap hendak pulang.
Dalam hati,aku agak risau.Takut takut ada roadblock polis. Maklumlah, lesen memandu aku sudah setahun mati. Aku mulai menunggang motosikal menuju ke rumah aku di Taman Sri Setia. Jalan agak lengang.Sunyi. Pekan Teluk Intan ini boleh dikategorikan sebagai pekan mati bila jam 8 malam ke atas.
Simpang ke rumah aku bukanlah di simpang masuk sekolah rendah Sultan Abdul Aziz, tapi simpang berdekatan dengan rumah YB Adun Rungkup tu, YB Dollah. Aku perlahan masuk ke kiri. Tiba tiba, sewaktu aku menuruni bukit selepas simpang, motorsikal aku terlanggar sesuatu!
Dangg! Hampir terjongket tayar belakang dek impak terlanggar. Aku berhenti. Aku toleh belakang
"Allahuakbar" aku terkejut.
Di depan mata aku ada benda berbungkus di atas jalan raya. Pocong! Kawasan situ ketika itu masih gelap, tapi aku dapat lihat samar samar, memang saling tak tumpah macam mayat baru dikafan!
Aku kaget. Tangan dan seluruh badan aku terasa seram sejuk. Aku lihat benda berbungkus berupa kain kafan itu bergerak. Mengelupur semacam minta dilepaskan! Belum sempat aku hendak memecut laju, sepantas kilat ...
Zasss!
Ada benda yang keluar dari ikatan kafan itu! Macam ada objek hitam yang keluar! Tahu-tahu saja, ada lembaga berdiri di depan aku. Saiz seperti manusia biasa, cumanya hanya ada tulang dan isi daging yang masih melekat di tubuhnya. Matanya merah seakan-akan terbakar dari dalam!
"Argghhh"! Aku menjerit dan terus memecut laju. Tiba di rumah, sejurus aku membuka pintu bilik lembaga itu tadi ada di tempat perbaringan aku. Lembaga menyeramkan yang hanya tinggal tulang itu bingkas bangun dan melompat lompat ke arah aku.
Aku pengsan. Entah apa yang jadi aku pun tak tahu. Subuh esoknya emak aku yang kejutkan aku, sebab aku tidur di atas motorsikal di luar rumah!!
Cerita 5
Kejadian ini berlaku pada tahun 1999, ketika itu aku masih bersekolah di SMK Raja Muda Musa. Ketika itu, aku ditugaskan oleh abang aku supaya bermalam di pondok di dusun durian milik arwah bapa. Memang kebetulan, sewaktu cuti sekolah musim durian pun tiba. Dusun bapa terletak di kawasan Kampung Padang Tembak Dalam. Kebun seluas 5 ekar itu ada lebih kurang 30 batang pokok durian.
Malam pertama, aku ditemani oleh adik sedara,Salleh namanya. Berbekalkan lampu suluh dan selingkar ubat nyamuk, kami duduk bersembang dalam pondok itu. Bosan. Tapi mujur ada komik dan majalah Gila-Gila dalam kuantiti yang banyak.Terhiburlah juga.
"Dengar je bunyi jatuh, pergi ambil terus..," itu pesan abang pada kami. Dia tak dapat berjaga malam ini dek kerana esoknya dia ada temuduga askar laut. Kena bersedia awal awal.
Kira kira jam 230 pagi,telinga aku menangkap bunyi.
Dubb! Dub!! Dub!! Kling!Kling!
Mesti durian dah luruh. Memang ada sesetengah pokok abang gantung jala dan tin kosong. Jadi kalau durian jatuh, tin akan berdenting. Aku segera mengejut Salleh dari tidurnya.
Kami bersiap memakai but getah, helmet dan menyisip parang pendek di pinggang. Aku galas raga. Itu pun sebab saiz badan aku yang sedikit gemuk dari Salleh.
Kami pun pergilah mengutip durian. Tapi dalam keadaan berhati-hati. Takut juga ada haiwan berbisa. Rasa di hati seronok bukan kepalang, kerana hasil durian malam itu cukup 'meriah'. Sampai penuh bakul.
"Hoi, aku kena ambil bakul lain ni tapi kau nanti boleh kan junjung raga?" Soal aku pada Salleh. Dia angguk.
Aku berjalan balik ke pondok,dengan tujuan nak kosongkan raga dan ambil raga yang lain. Aku perasan, lampu pondok itu dipadam. Seingat aku, memang kami tak padamkan. Aku perlahan menghampiri pondok. Tiada tanda tanda orang. Aku hidupkan lampu.
Punggah durian dan mengambil raga yang ada di belakang pondok.
Sebaik sahaja aku melangkah ke belakang, alangkah terkejutnya aku melihat 'Salleh' sedang bercangkung, mengadap aku! Di tangannya ada bangkai biawak sebesar peha lelaki dewasa!
'Arghhhh' Salleh membaham bangkai biawak itu! Sesekali dia senyum melihat aku sambil menghirup sisa darah dari tepi bibirnya. Aku terkejut dan terus berlari ke arah dalam kebun. Pelik! Salleh elok saja sedang mengutip buah durian yang jatuh ke lantai dusun.
"Kenapa bang?" Tanya Salleh. Aku terangkan tercungap cungap! Yang celakanya, Salleh hanya senyum. Katanya,
"Ohh... Itu penjaga saya tu bang, lapar gamaknya" Ujar Salleh sambil menguis daun durian di kakinya. Aku tergamam.Penjaga apa bendanya?!
Lagi menyeramkan lagi bila aku lihat dia seakan akan mengarahkan sesuatu supaya menjauhi kami! Sampai sekarang,aku tak pernah berani nak jumpa dengan anak sedara aku yang satu ini.
Cerita 6
Sewaktu aku masih berusia 4 tahun, tahun 1989, aku gemar bermain buaian di depan rumah aku. Kebetulan, kawasan perumahan Padang Tembak tu memang di hadapannya ada taman permainan kanak-kanak.
Ada buaian, ada gelung gelung, jongkang jongket dan lain lain. Tiap kali selepas Asar, mesti aku akan merengek pada Emak supaya benarkan aku pergi bermain. Kadang-kala Emak temani aku, kadang-kadang tak.
Satu hari, aku lewat pulang ke rumah. Hampir nak Maghrib. Bukan main marah Emak ketika itu.
"Siapa lagi yang dekat padang tu? Anak siapa la yang tak reti balik??!" Marah Emak pada aku. Aku toleh ke belakang. Jujur aku beritahu Emak yang aku tak nampak sesiapa pun dekat padang.
"Tu yang atas buaian tu!" Bentak Emak. Aku diam. Emak terus menarik tangan aku masuk ke dalam rumah. Keesokkan harinya, Emak mengadu juga pada Bapak. Bapak hanya senyum. Katanya, biasalah taman baru buka. Mesti ada 'penduduk' sebelum kita.
Kemudian, gempar kecoh-kecoh dikalangan penduduk Padang Tembak. Kes kejadian buain bergerak sendiri sewaktu Maghrib! Ramai juga yang menyaksikan hal ini, cuma ketika itu tiada kelengkapan digital seperti zaman sekarang. Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk di situ membuat kenduri doa selamat dan bacaan Yassin. Tapi kata Emak, sejak hari itu jam 6 petang, padang mulai kosong. Takda siapa yang berani lagi nak bermain!
-TAMAT-
===================================
Suntingan Karya: KamenRider
Editor, Arkib Angker Negara.
===================================
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment