Friday, 22 December 2017

DUGAAN SEORANG PERTAPA - Iskandar Zulfaqar


Tajuk: Dugaan Seorang Pertapa
Nama Penulis : Iskandar Zulfaqar

Aku merupakan seorang ahli pencak silat yang boleh dikatakan hebat. Oleh sebab itulah, aku telah mendapat kepercayaan Tok Guru aku untuk menurunkan ilmunya kepadaku. Ilmu yang nak diturunkan itu bukanlah ilmu biasa-biasa. Menurut Tok Guru, ilmu itu berjaya dimilikinya ketika dia berumur 20 tahun dan kini tiba masanya untuk dia turunkan ilmu tersebut bagi mewarisinya.
Kenapa tak wariskan kepada anak dia? Anak-anak dia memang tidak minat sama sekali dengan seni silat ini, jadi mahu atau tidak terpaksalah dia wariskan kepada anak didiknya. Dalam ramai-ramai anak didiknya, Tok Guru telah memilih aku dan seorang lagi ahli pencak silat ini iaitu Aniq Ashraf.
Salah seorang daripada kami akan dipilih untuk menerima ilmu warisan itu. Pertandingan diadakan antara kami berdua. Aniq tumpas dengan pukulan ke-8 yang aku lakukan kepadanya. Berterabur gigi-giginya di atas tanah. Selain itu, Tok Guru juga pernah beritahu aku bahawa dalam hati Aniq ada sifat tidak baik. Tok Guru yakin Aniq akan riak jika dia memperoleh ilmu itu.
Sekarang aku akan terangkan serba sedikit tentang ilmu ini. Ilmu ini dipanggil Ilmu Singa Semantan Hitam. Tidak semua orang yang dapat memiliki ilmu ini. Dalam sejarah Silat Gayung Garuda yang aku pelajari ini, cuma dua orang sahaja yang menguasai ilmu ini.
Tok Guru aku dan seorang lagi ialah datuknya yang telah lama meninggal. Barangsiapa yang menguasai ilmu ini akan kebal segenap tubuhnya. Tiada tertusuk walaupun mata bilah pedang yang menikam. Dia juga akan digeruni, sesiapa yang ada niat buruk terhadapnya maka akan kelihatan wajahnya seperti seekor singa garang yang ingin menerkam. Ya! Ilmu ini dan silat ini juga asalnya dari Indonesia.
Untuk memiliki ilmu ini, aku perlu bertapa di sebuah gua selama tujuh hari tujuh malam. Aku diberi pilihan untuk memilih gua mana asalkan semua syarat pertapaan harus dipenuhi. Aku mengambil keputusan untuk memilih Gua Sami di Perlis. Gua ini digelar Gua Sami kerana dahulunya sami-sami Siam selalu bertapa di sini. Aku memilih gua ini kerana orang jarang masuk ke dalam gua ini jadi aku mampu memberikan lebih tumpuan dalam pertapaan.
Tok Guru menghantarkan aku ke gua tersebut. Disarungkan tubuhku dengan pakaian rasmi pertapa sambil mengusap-usap kepalaku. Serentak itu juga Tok Guru menitipkanku beberapa nasihat dan pantang larang.
“Ini merupakan fasa terpenting buat kamu. Jika kamu berjaya melepasi pertapaan ini maka kamu layak aku turunkan ilmu Singa Semantan Hitam. Ingatlah! dugaan dalam pertapaan ini sangat tinggi. Lawanlah dengan iman dan keyakinan kamu. Jaga nafsu makan kamu, jaga nafsu serakah kamu dan sabarlah kamu dengan sekuatnya! Yakinlah Allah ada bersama kamu. Letakkan pengharapan kamu hanya kepada Allah!” Tok Guru berlalu pergi meninggalkan aku sendirian selepas menitipkan nasihat-nasihat itu.
Jauh di sudut hati aku memang ada rasa takut kerana dugaan ketika bertapa ini datang dalam pelbagai bentuk. Aku sudah mula berjinak dengan aktiviti pertapaan ini sejak tahun lepas. namun, tahun lepas pertapaan aku tidak terlalu lama. Hanya dua hari dua malam. Itupun pelbagai datang menghadapku. Kali ini 7 hari 7 malam mestilah lagi banyak dugaan menunggu.
Aku memulakan pertapaan dengan tenang meskipun dalam hatiku ada sedikit rasa takut. Mana tidaknya, aku berada betul-betul di perut gua, tiada sinar mentari yang sampai ke tempat aku bertapa. Teman aku hanyalah gelita walaupun pada hari siang. Aku duduk bersila, memejamkan mata, memberikan tumpuan dan fokus sepenuhnya. Alhamdulilah! pada hari pertama tiada apa-apa gangguan pada sebelah siang.
Tatkala malam menjelma, episod gangguan dan dugaan memulakan episodnya. Setelah seharian tidak menjamah sebarang makanan, perutku berkeroncong kuat. Lapar dan dahaga yang aku rasa ketika itu cuma Allah yang tahu. Inilah dugaan pertama buatku demi mengganggu fokus aku dalam pertapaan.
Bukan itu sahaja sebenarnya, ketika fokus aku sedang teruji dengan rasa lapar, tiba-tiba aku terdengar bunyi tapak kaki semakin menghampiriku. Aku membuka mata untuk melihat siapakah yang datang. Sebaik mataku tercelik, sesosok tubuh manusia berkepala botak dan berpakaian bikhu berdiri di hadapanku. Pakaiannya seperti seorang sami Siam. Di tangannya terdapat sebuah dulang yang berisi pelbagai aneka makanan.
“Makan dulu, nak! Tok bawa ini untuk kau!” sapa sami Siam itu kepadaku.
Aku kembali memejamkan mataku erat. Sambil itu, mulutku terkumat-kamit membaca ayat-ayat Al-Quran. Aku yakin yang berada di hadapanku sekarang bukanlah seorang sami Siam tetapi jin yang menyerupai sami tersebut untuk mengganggu pertapaanku. Seusai membaca ayat-ayat Al-Quran, aku membuka semula mata. Kelibat sami itu tiada lagi. Alhamdulilah! Aku berjaya melepasi gangguan pertama.
Pada hari kedua, dugaan yang aku terima lenih menyeramkan. Dua kali aku diganggu. Kedua-dua gangguan ini lebih ekstrem berbanding gangguan hari pertama. Jika hari pertama ‘dia’ menyerupai seorang sami tetapi hari kedua dia menampakkan wajah sebenarnya.
Ketika aku sedang khusyuk bertapa tiba-tiba aku terasa seperti ibu jari kakiku sedang ditusuk sesuatu yang tajam. Aku juga dapat merasakan darah mulai mengalir daripada tusukan tersebut. Aku pantas membuka mata dan seraya itu aku melihat ‘dia’ di pangkuan ribaku sambil enak menghisap darah melalui ibu jariku.
Korang mesti nak tahu wajah ‘dia’ kan? Wajahnya mirip seorang bayi kecil, matanya merah menyala, telinga capang, giginya bersiung tajam yang amat. Oleh sebab itulah dia sedap je ratah jari kaki aku. Aku berdoa meminta sedikit kekuatan daripada Allah dan terus menamparnya sehingga terpelanting daripadaku ribaku. Serentak itu juga ‘dia’ hilang daripada pandanganku. Darah tidak henti-henti mengalir daripada ibu jari kakiku sehinggalah manzil aku bacakan dan aku usap lukaku dengan tangan.
Malam hari kedua itu, dugaan lebih mencabar. Kali ini aku merasakan seolah-olah dihimpit oleh sesuatu yang sangat besar ke dinding gua menyebabkan aku sukar bernafas. Aku bukakan mataku dan yang menghimpitku sekarang ini adalah makhluk yang sangat besar bermata merah menyala. Tubuhnya dipenuhi bulu hitam lebat dan mempunyai sepasang taring yang panjang dan tajam. Jika di Indonesia makhluk ini digelar Gendaruwo.
Sekali lagi aku membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan menolak bagi melawan himpitan makhluk itu. Alhamdulilah sedikit-demi sedikit makhluk itu berganjak dan akhirnya pergi menghilangkan diri. Peluh terus membasahi tubuhku kerana terlalu letih menahan himpitan makhluk itu.
Bukan itu sahaja, aku juga turut diganggu dengan cara lain. Bau yang sangat hanyir dan busuk secara tiba-tiba muncul. Pertapaanku terhenti dengan bau yang menjengkelkan itu. Sebaik aku membuka mata, benda yang korang panggil gula-gula tu betul-betul berbaring depan aku. Berbungkus elok dengan mukanya tiada lagi berbentuk manusia. Mukanya dipenuhi ulat dengan keadaan daging yang mulai reput. Kedua-dua matanya juga terkeluar berjuntai.
Aku tidak teraya menahan loya tekakku sehingga menyebabku aku terpaksa mengeluarkan segala isi perut. Cuma Allah yang tahu betapa jijiknya aku rasa ketika itu. Aku kembali meneruskan pertapaan dan memberikan lebih fokus dambil berdoa supaya Allah memberiku perlindungan. Alhamdulilah lebih kurang setengah jam begitu, bau yang meloyakan itu akhirnya hilang. Kelibat pocong itu juga turut sama hilang.
Gangguan seterusnya ini memang aku tak boleh lupa seumur hidupku. Apa perasaan korang bila sedang berseorangan dalam gelap, tiba-tiba korang didatangi seorang perempuan cantik yang berpakaian amat menggoda. Ya! Begitulah dugaan seterusnya yang menerpaku.
Pertapaanku terhenti apabila aku mendengar suara seorang perempuan mendesah. Semakin lama suara itu semakin hampir kepadaku. Aku terlihat seorang perempuan hanya berkemban dengan kain batik memegang pelita minyak tanah sedang berdiri betul-betul depan aku.
Aku amati wajahnya betul-betul. Melalui sumber cahaya daripada pelita minyak tanah yang dipegangnya itu, dapatlah aku mengecam wajah perempuan itu. Dia adalah Nana, Kalau korang nak tahu, Nana ni crush aku semasa aku sekolah menengah dulu. Tak lawak bro nak kacau aku guna muka crush. Cerita lama tu tak perlu lah nak ungkit!
Jelmaan Nana itu seterusnya melondehkan kain batik yang menutupi tubuhnya itu. Nasib baik juga tepat pada waktu itu aku terus memejamkan mata jadi tak sempatlah aku nak tengok benda yang tak sepatutnya. Korang yang lelaki tu tak payah nak berlagak innocent. Cuba bayangkan korang di tempat aku. Tak jadinya korang nak bertapa!
Aku sangkakan dengan menutup mata dugaan itu tamat tetapi rupanya tidak. Jelmaan Nana itu semakin melampau. Aku terus digoda. Bermacam cara dibuatnya termasuklah menggunakan kata-kata bagi menewaskan imanku.
“Bukalah mata tu! Nana datang ni. Nana serahkan diri Nana dekat you!” Suara dia memang lunak betul untuk menggodaku.
Kalau korang nak tahu dugaan berunsurkan nafsu serakah inilah yang selalunya memusnahkan pertapaan seseorang. Demi Allah, memang iman aku betul-betul tercabar. Aku berserah kepada Allah dan aku yakin hanya Allah mampu menolong aku ketika ini. Doa terus ku pinta sambil diselangi ayat-ayat suci Al-Quran.
Akhirnya, barulah suara manja Nana tu hilang. Aku ingat dah selesai tapi selang beberapa minit selepas itu, satu penampar hinggap tepat di pipiku. Dia punya tampar tu memang lain macam. Sakit yang teramat. Aku bukakan mataku. Wajah cantik Nana tadi berubah sepenuhnya.
Waahnya kini berkedut-kedut, rambutnya yang tadi lurus bertukar kusut-masai, matanya juga sudah layu, mirip seperti nenek kebayan. Dia menatap mukaku betul-betul. Sambil itu juga dia tersenyum menyeringai. Ya Allah! Memang manakutkan cara dia senyum tu. Dah lah penampar muka aku, ada hati pulak nak buat muka scary macam tu. Aku kembali menutup mata kerana tidak sudi melihat wajah buruknya itu.
Namun, dia tetap melawan. Sekali lagi penamparnya lekat dipipiku. Kali ni aku benar-benar tak boleh sabar. Aku buka mata dan mengangkat tanganku untuk memukul makhluk di hadapanku itu. Nasib baiklah aku teringat pesan Tok Guru agar bersabar. Aku batalkan niat aku itu.
Aku kembali menutup mata dan memberikan tumpuan dalam pertapaan. Selepas itu, beberapa kali lagi penampar nenek kebayan itu singgah di pipiku. Aku sabar je dengan perangai orang tua ni. Kalau aku melawan maksudnya kesabaran aku dah mula rosak. Maka pertapaan aku juga mungkin akan rosak.
Alhamdulilah, setelah lama dia mencuba dan aku pun tak tertarik akhirnya dia give up dan berlalu pergi. Barulah aman hidup aku tenang lah sikit aku nak bertapa.
Episod gangguan seterusnya yang aku terima ialah aku berasa tubuhku dilingkari sesuatu yang sangat besar dan panjang. Pertapaanku terhenti. Aku membuka mata dan mendapati seekor ular gergasi sedang melilit tubuhku. Itu bukannya ular betul pun, cuma jelmaan jin.
Bagaimana aku tahu? Saiznya yang tak masuk akal, terlalu besar melebihi anakonda. Belitannya juga tidak sekuat saiznya. Belitannya bukan untuk membunuhku sebaliknya hanya untuk mengganggu pertapaanku. Dengan menggunakan sepenuh kudrat, aku membuka lilitan ular gergasi itu dan membuangnya ke tepi. Sebab tu aku cakap itu bukan ular betul. Kalau ular betul emmang aku tak sempat lah nak buka belitannya. Memang dah arwah dah aku.
Seraya itu juga ular gergasi tersebut menjelma menjadi sesosok tubuh manusia. Dia menyerupai lelaki tua yang botak dan janggutnya serba putih. Janggutnya pula sangat panjang sehingga mencecah kaki. Lelaki tua itu duduk mencangkung dan memandang tepat ke dalam mataku. Aku membalas pandangannya. Tiada sebarang kata yang keluar daripada mulutnya. Akhirnya, dia pun berlalu pergi.
Itulah antara episod-episod gangguan yang menimpaku sepanjang pertapaanku di Gua Sami ini. Gangguan itu semuanya tidak lain dan tidak bukan untuk menghalang aku daripada meneruskan pertapaan. Alhamdulilah, aku telah berjaya menghabiskan sesi pertapaanku selama 7 hari 7 malam.
Aku juga telah dianugerahkan ilmu Singa Semantan Hitam seperti yang dijanjikan oleh Tok Guru aku. Memang aku akui untuk memperoleh ilmu ini, perlu banyak sangat dugaan untuk ditempuh. Ilmu ini juga bukanlah untuk aku bersuka-suka dan takbur. Tetapi aku gunakan untuk menfaat semua.
Jika ada korang yang nak bertapa bagi menguji kekuatan korang tu, aku cuma ada satu nasihat. Jangan sesekali berhenti kerana yang menduga korang tu hanya jin. Makhluk yang dilaknat Allah dan kita jua khalifah yang memimpin mereka!
-TAMAT-
Suntingan Gambar dan karya: Azman Zainordin
Karya merupakan hak cipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel
aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: