DENDAM
Karya Khas AANRC Penulis FateStay Nite
=================
Nama aku Diana binti Saifudin. Aku adalah seorang gadis kampung yang terkenal dengan lemah lembut dan pemalu. Kulit aku yang putih dan berwajah kacukan membuatkan aku sering menjadi perhatian ramai. Umurku baru sahaja 19 tahun dan kini menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta.
Dunia kampus sungguh berbeza, kini aku bukan lagi gadis kampung yang kolot dan 'out-dated'. Dengan pengaruh rakan sebaya kini aku lebih bijak berhias dan meragakan pelbagai fesyen yang menarik. Lelaki mana saja yang tidak tergoda dengan kecantikan aku, ada juga yang buat-buat alim kucing semata-mata untuk memikat. Tapi tidak semudah itu.. aku bukan perempuan murahan.
"Hai.. how are U today dear?" Seorang lelaki menegur, begitulah setiap kali apabila aku menuju ke kelas pasti ada sahaja lelaki yang cuba mengoda aku. Namun itu semua hanyalah aku anggap kicauan beburung yang cuba memikat untuk sementara waktu, dan akan terbang bila mulai bosan.
"Heii.. Dian ...see this .. surprise!! " Amalina menunjukkan sebuah bungkusan hadiah yang dibungkus rapi dan terselit sekuntum bunga ros merah. Cantik bunga itu tetapi tidak diketahui dari siapa dan untuk apa.
"Ehh dear..dari siapa ni?" Aku cuba bertanya kepada Amalina, mungkin dia tahu kerana Amalina adalah rakan meja sebelah, malah dia yang menunjukkan hadiah tu kepada aku.
"Eh... mana la I tau. Cubalah tengok ada card ke..atau nota ke?" Kata Amalina sambil mencebik bibirnya, menandakan dia mencemburui tentang hadiah itu. Amalina juga antara gadis 'hot' di kolej. Sebut sahaja nama Amalina, Siapa tak kenal.. "Woww..Gadis persis hindustan itu..?” Ayat ini akan selalu dilontarkan dari mulut kebanyakkan lelaki dan wanita. Amalina berdarah kacukan, ayahnya berdarah Sikh dan ibunya pula adalah dari bangsa Cina dan hasilnya tentulah cantik.
Aku hanya meletakkan kotak itu di dalam beg galas. Malas aku membukanya, apatah lagi aku sendiri pun tidak tahu dari siapa. Hidup aku sebagai seorang pelajar, tidaklah sebosan yang disangka dan dibayangkan oleh masyarakat yang tidak mempunyai minat untuk sambung belajar. Di kolej aku sangat-sangat bebas. Tak perlu fikir untuk cari duit bayar itu ini.
Aku mencampakkan beg galas ke atas meja belajar dan terus merebahkan tubuhku pada suatu sudut, di atas katil empuk yang memang tersedia milik aku. Sambil terbaring aku silangkan kaki dan merenung ke syiling dorm yang sudah nampak usangnya. Cuba menghilangkan lelah sehingga aku tertidur petang itu.
"Dian... ohh Diann, heyy wakeuppp!" Suara Anis mengejutkan aku yang terlena sehingga maghrib sudah pun berlalu. Anis merupakan rakan dorm aku, dia seorang yang pemalu seperti aku satu ketika dahulu di kampung.
"Ehh...pukul berapa ni Anis?" Sambil aku melihat kiri dan kanannya. Banyak katil yang sudah kosong, hanya Anis yang terpacak di hadapan hujung katil aku.
"Bangunnnlah... dah pukul 9.40 malam dah ni.." Anis memaksa, sebenarnya ingin menyuruh aku pergi membersihkan diri dan solat. Walaupun dia tahu aku memang liat untuk solat. Perangai aku berubah 100% sejak masuk sem kedua awal tahun lalu.
"Mana dia orang semua?" Tanya aku sambil mengerutkan dahi, melihat katil-katil yang sudah tersusun rapi kemas.
"Heyyy.. Esok kan dah mula cuti seminggu, so dia orang balik kampung la.." balas Anis sambil berjalan menuju ke almarinya dan mengemas baju-baju ke dalam beg.
"Haaa..alamak! Dian terlupalah.." balas aku sambil menepuk dahi sendiri.
"Apalah Dian ni, okay lah..! Family Anis pun dah tunggu kat bawah tu. Anis balik dulu ya.. Assalamualaikum.." sambil Anis berlalu keluar dari dorm meninggalkan aku yang terpinga-pinga.
"Okay..waalaikumsalam.." jawab aku lemah, sambil bangun dan mencapai tuala kemudian ke tandas untuk membersihkan diri. Sedang aku mandi baru aku teringat.. "Eh, Anis..?!!" Dengan pantas aku selesaikan mandi dan kembali ke dorm.
Sambil menyarung pakaian, aku melihat ke bawah dorm melalui tingkap bilik. Kosong! Aku terus kembali merebahkan tubuhku di atas tilam. Terasa angin sejuk meniup ke dalam dorm aku melalui tingkap yang terbuka. Aku cuba melelapkan mata semula tetapi gagal. Otak aku kini sedang berlari-lari mencari jawapan bagi sebuah persoalan.
"Siapa tadi?!" Kerana setahu aku Anis sudah meninggal dunia pada akhir sem pertama dahulu. "Aku mamai kot!"
Sedang otak aku bermain jawapan, tiba-tiba hidung aku terhidu sesuatu yang sangat wangi. "Clinique Happy!" Bauan yang sangat digemari oleh Anis . Aku memang yakin ini bau wangian yang selalu digunakan Anis satu ketika dahulu.
"Errrr... tapi siapa pula yang pakai?" Bulu romaku mula menegak, bau nya semakin kuat.
"Gedebaaaaaaakkkkkkk" Bunyi sesuatu benda terlanggar tingkap dorm, kuat hentamanya membuatkan aku terkejut dan hampir sahaja terasa jantung aku terhenti. Aku memandang ke arah tingkap secara perlahan-lahan.
"Dupp...dup...dup....dup... jantung aku bagaikan ingin tercabut, sehingga aku sendiri dapat melihat ke arah dada ku berkocak kencang.
"Haishh...bau apa ni? Macam bau setanggi.. eh.. ke bau colok?!" Aku cuba mengamati bau itu betul-betul dan sahh!! Ini Bau Mayat! Dengan tidak semena-mena, tap...tapp....tappp... bunyi tingkap bagai diketuk menggunakan jari. Aku tahu sekarang aku berada di tingkat dua Asrama Puteri dan lagi teruk kini hanya aku seorang yang tinggal.
Tiada pilihan lain di dalam akal fikiran aku waktu ini, aku terus menarik selimut dan menutup hingga ke kepalaku. "Uweeeeekkkk......Uweekk.....Uweek......." bunyi tangisan bayi itu sayup bagaikan ia sedang menghampiri.
"Uweekkk....wekkkkk.uweekk.....," tangisan itu menyapa aku sekali lagi, telinga aku hanya mampu menadah bunyi rengekkan bayi itu. Mulut aku pula tidak lekang dari membaca ayatul kursi dan beberapa surah lain langgar habis tajwid nya kerana aku dalam ketakutan.
Tiba-tiba tilam aku terasa bagai merendut tengelam di tilam bahagian tepi kepala dan badanku. Badan aku mengigil kencang, aku sendiri tidak tahu apakah tubuh aku ketika itu normal atau tidak.
Dalam ketakutan yang amat sangat itu aku cuba memberanikan diri membuka sedikit celahan dari selimut untuk melihat.
Jelas aku melihat tubuh seorang gadis sedang duduk membelakangi di sebelahku, diletakkan pula anaknya di bahagian sisi kepalaku dan aku melihat ke arah anak itu.. Mayat..!!! Itu mayat bayi yang seakan sudah membusuk beberapa minggu.
Dahi aku kini basah, bacaan ayat kursi juga sudah tidak teratur, tekak terasa ingin termuntah. Berbagai perasaan bercampur baur. Tiba-tiba kelihatan darah pekat mengalir masuk di celahan selimut ku, aku mula panik dan kini tidak tertahan.
" Allahhhhhhhhhuakhbarrrrr....." aku menjerit sekuat hati. Dengan itu juga selimut ku bagai direntap ke bawah. Kini jelas melihat wanita itu duduk membelakangkan aku tetapi rupanya kepala wanita itu menghadap aku. Iya..! Kepalanya terbalik.. dengan wajah yang sudah aku tidak dapat kenali, mata sebelahnya kosong lopong, kulit-kulit muka nya ada yang berjuntai bagaikan sudah mereput, rambut panjang sehingga aku tidak pasti panjang mana, yang aku pasti kini bayi yang di sebelah aku itu kepalanya tergolek tertanggal dan terkena ke sebelah pipi aku, lekit, lendir terasa.
Dengan kuderat yang ada aku cuba melompat dari katil dan berlari ke arah pintu untuk keluar, kini aku berlari tanpa menoleh. Hanya satu di fikiran aku, meminta bantuan pada security yang memang ada 24jam di pintu besar masuk ke dorm.
Aku berlari sehingga ke tangga, rupanya bayi itu sudah menunggu di tangga sambil tergolek-golek. Aku terkejut dan cuba berhenti malangnya aku tergelincir dan jatuh, kepala aku terhentak, kaki tangan ku rasa bagai dilibas dengan kayu. Sakit! Tetapi waktu itu ketakutan mengatasi kesakitan yang sedang aku lalui.
Aku bangun sambil memegang kepala ku.
"Eh...Darah!! Bau hanyir darah itu menusuk ke rongga hidung. Aku melihat tangan aku yang sudah dipenuhi darah.
"Tolonggg...!!! Tolongggggggg!!!" Aku menjerit sekuat hati. cuba meminta pertolongan. Kakiku sudah tidak mampu berdiri, tiada sesiapa yang mendengar jeritan aku.
"Allah...! Adakah aku akan mati disini..?" Aku menoleh ke kiri dan ke kanan, tiada sesiapa. Jeritan aku juga bagai sia-sia.
Tiba-tiba lampu koridor di dorm tingkat 2 terpadam satu per satu dari hujung hingga ke arah tangga yang sedang aku tersadai. Dari tembok sebelum tangga keluar mayat bayi tadi sedang merangkak ke arah aku, mulutnya terbuka dan lendir hijau keluar meleleh, bau busuk ketika itu teramat sangat.. dan...
Bluueekkkkkk..! Bllllueeeekkkk!!
Aku termuntah, kepala aku rasa bagaikan melayang dan aku cuba melihat ke arah mayat bayi yang sedang merangkak menghampiri aku. Damm.... lampu tangga juga turut terpadam, kini semuanya menjadi gelap.
"Dian....tolonggg....." suara Sayu wanita meminta tolong kepada aku. Suara itu sangat aku kenali. Kakiku terasa bagai sesuatu yang melekit sedang menyentuh, dengan hanya berbekal tempias cahaya bulan. Aku mengamati kakiku dan..
"Arggghhhhhh... aku menjerit sambil kaki aku menerajang angin! Aku melihat beberapa bayi yang berlumuran darah sedang berpaut pada kaki aku, dengan mata mereka yang terbeliak bagai nak terkeluar.
"Allaah..! Allaah....Allahhhh.. hanya itu ungkapan yang aku lafazkan. Itupun dalam terputus-putus. Kaki aku menendang-nendang angin, berharap bayi-bayi yang berpaut pada kaki ini tercampak, aku turut memejamkan mata rapat-rapat tidak mampu untuk melihat lebih lama.
"Praappp..!" Satu tamparan kuat hinggap ke muka aku. Pantas aku membuka mata dan melihat Amalina serta beberapa rakan lain sedang mengelilingi aku yang sedang terbaring diatas katil.
"Kau kenapa Dian? Meracau teruk sangat, lain kali jangan tido waktu maghrib!" Amalina membebel. Aku melihat sekeliling, semua ada.. 'Huh..mimpi ngeri...' aku melihat jam baru sahaja pukul 8.00 malam tanpa berlengah aku terus bangun untuk bersiap mandi, walaupun masih ada ketakutan di dalam diri. 'Aucchhhh'... kaki aku sakit, sama tempat yang aku alami di dalam mimpi.
"Ehh.. kenapa Dian? Are u okay?" Tanya Azimah sambil datang menghampiri. Mungkin kerana dia mendengar aku 'mengaduh' kesakitan sebentar tadi.
"Im okay Azi.. cuma kaki ni terseliuh tadi" Aku cuba menyembunyikan apa yang aku alami, nak cerita tentang mimpi yang aku alami tadi? Ohh no..! Itu hanya mimpi dan aku tak mahu ditertawakan kerana mempercayai mimpi. Aku cuba yakinkan diri yang kaki aku mungkin sakit kerana tersepak sesuatu ketika mengigau tadi.
Dengan keadaan berdengkut-dengkut, aku ke bilik air untuk mandi, nasib aku baik kerana ada beberapa orang lagi sedang mandi, jika tidak pasti aku akan kembali ke dorm dan batalkan hasrat untuk mandi pada malam itu.
Selesai mandi, aku terus ke bilik asrama. Hilang segala mimpi ngeri tadi. Sedang aku duduk sambil mengeringkan rambut mengunakan tuala, aku teringat kembali hadiah yang diberikan seseorang. Aku capai beg galas dan mengambil bungkusan hadiah itu, bunga ros yang diselitkan sekali bersama bungkusan hadiah itu sudah rosak akibat berhimpit dengan buku-buku. Aku membelek-belek bungkusan itu.
"Hurmm tak ada apa-apa nota or ucapan pun, pelik.." perlahan-lahan aku membuka, "Ehh apa benda ni?!" Aku lihat sebuah boneka bayi kecil dari kayu yang diukir halus, boneka itu nampak comel. Terus fikiranku terbayang mimpi tadi. Adakah ini mimpi, atau petanda. Aku ambil boneka itu dan sekadar meletakkan di atas meja belajar yang terletak di sisi katil, cantik juga dijadikan hiasan pada meja dengan bentuk dan saiz yang kecil.
"Hei Dian.. apa kau buat tu?" Sergah Amalina ketika aku sedang kusyuk meneliti boneka bayi itu.
"Hahahaha.. buat terkejut je. I tengah tengok hadiah tadi yang you jumpa atas meja I tu" Kata aku tanpa melihat ke arah Amalina yang ada di belakang. Aku masih ralit memerhatikan boneka itu. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku terlalu tertarik dengan boneka kayu tu.
"Eiiiii...seram je aku tengok boneka tu.. Nonsense la you ni Dian." Kata Amalina sambil berundur setapak, apabila melihat boneka baby yang sedang aku teliti ukirannya.
Pada mata aku nampak biasa je boneka tu, tapi dari raut wajah Amalina bagaikan nampak sesuatu yang menakutkan atau mungkin Amalina cemburu dengan apa yang aku dapat. Aku kembali ke katil sambil terbaring. Melihat rakan-rakan dorm lain ada yang sedang bergayut, ada yang sedang rancak berborak, ada juga yang sedang termenung. Semuanya melayan perasaan masing-masing. Aku pula tiada apa yang hendak dibuat.. bosan! Boring! Lalu aku capai salah satu novel ku yang terletak di atas meja bersebelahan katil, tanpa bangun dari katil pun aku mampu mencapai.
"9Nyawa" Tajuk yang ringkas dan padat, ditulis oleh Ramlee Awang Murshid, antara idola aku. Novelnya tidak pernah mengecewakan aku, jalan cerita dan watak seakan hidup.
"Kenapalah.. Anis buat macam tu!"
"Pasti ada sebab.. takkan lah semudah itu kau menyerah."
"Kecewa? Putus harapan?....
"Atau sebenarnya kau dipaksa?.....
Aku bermonolog sendirian, belum pun lagi buku novel itu aku buka. Aku sudah teringat tentang Anis. Iya..! Gadis cantik dan sangat pemalu. Dia antara yang baik dengan aku suatu ketika dahulu. Tetapi kematiannya sangat tragis pada cuti sem tahun lalu. Walaupun pihak polis mengatakan kes itu sebagai mati mengejut. Tetapi tidak bagi aku. Anis tidak sebodoh itu, apatah lagi dia adalah seorang pelajar genius dan patuh pada agama, berbanding aku yang semakin jauh meninggalkan suruhan-NYA.
Kuala Lumpur - Seorang Pelajar wanita ditemui mati di dalam almari baju nya, di sebuah kolej swasta. Sumber dari seorang saksi menyatakan ketika mereka baru sampai ke asrama, terdapat satu bau yang amat busuk dan berikutan bau aneh. Beberapa pelajar telah mencari punca sehingga terlihat almari mangsa yang mempunyai lelehan air hitam seperti lendir keluar dari celahan almari. Beberapa pelajar telah memaklumkan kepada warden dan pihak polis telah bergegas ke lokasi untuk menyiasat, kes masih disiasat bawah akta 302 jika sabit kesalahan jika kematian berpunca dari khianat.
Keratan akhbar akhir tahun lalu masih segar diingatan aku. Berita yang telah menggemparkan kolej itu telah mencipta pelbagai spekulasi , ada yang negatif ada yang positif. Tapi bagi aku kematian Anis itu sungguh tidak disangka, dan aku yakin itu adalah perbuatan khianat dan pastinya ia telah dirancang rapi.
"Semoga kau tenang di sana, Al-Fatihah" Hanya itu yang mampu aku berikan kepada arwah Anis, setiap kali teringat peristiwa hitam itu. Dammm... lampu dorm sudah dimatikan, tandanya jam sudah pukul 11 malam. Hanya lampu meja yang kini kelihatan menyala di beberapa meja di dalam dorm aku. "Arghh...esok jelah sambung baca" Aku membatalkan niat untuk membaca novel yang sudah sedia di tangan. Kerana leka dengan kisah lama, aku telah membuang masa dengan sia-sia.
PRaaannnggggggg......
Bunyi tingkap dorm dilanggar sesuatu. Aku terus terduduk tegak pantas menoleh ke arah katil-katil rakan lain, mereka semua seakan tidak menghiraukan bunyi itu atau mungkin hanya aku yang mendengar. Aku melihat ke tingkap dan....
"Ya Allah..!!! Aaaarrrhhhh" aku terus mencampakkan segala bantal yang ada di sekeliling ku, bagai orang gila sedang mengamuk kerasukan. Aku menjerit dan bangun berlari ke arah yang aku sendiri tidak tahu. Susulan jeritan aku itu, beberapa pelajar lain cuba membantu aku namun tiba-tiba mereka juga bagai gila, ada yang menangis teresak-esak, ada yang menjerit, ada yang duduk di penjuru dalam keadaan mencangkung.
"Huuuuuu.. huuuuu.. huuuuuu.... aaaarrghhhhhh..” haruk pikuk malam itu di asrama Puteri. Kelihatan Warden berlari ke arah dorm kami, setelah mendapat pangilan dari pengawal yang mendengar kekecohan waktu itu.
"Histeria..!" Hanya itu ungkapan yang keluar dari mulut warden, dia memanggil Ustaz Zainol membantu. Tidak lama kemudian kelihatan Ustaz Zainol datang bersama beberapa pelajar lelaki untuk membantu.
"Siapa yang mula-mula kena?" Ustaz Zainol bertanya kepada pengawal. Tetapi tidak diketahui pengawal kerana ketika dia sampai mereka semua sudah menjerit-jerit.
"Dian...." satu suara dari celahan pelajar memberitahu. Ustaz Zainol mencari Dian kerana dia harus menghapuskan gangguan dari induk iaitu punca kejadian barulah akan dirawat satu persatu sehinggalah selesai. Aku kini dijaga beberapa pelajar dan cikgu sambil mereka menghulurkan aku air untuk diminum, aku terduduk di lantai dorm bagaikan orang kebingungan.
"Dian.. awak kenapa?" Tiba-tiba Ustaz Zainol bertanya. Dia cuba mencari punca kejadian yang menghuru-harakan keadaan asrama puteri malam itu.
"Saya nampak Aniss ustaz!" Aku cuba memberitahu tanpa berselindung.
"Astaghfirullah... Anis kan dah lama meninggal..." kata Ustaz Zainol sambil beristighfar, bagaikan tidak mempercayai kata-kata aku.
"Betul ustaz..! Mula-mula saya dengar benda langgar tingkap. Lepas tu saya tengok ke tingkap nampak Anis dengan berbaju putih, mula-mula wajahnya sama macam Anis saya kenal.. lepas tu tiba-tiba berubah menjadi buruk. Saya terkejut nak lari mintak tolong dekat pelajar lain, tapi saya tengok semuanya muka jadi buruk, berlendir paling teruk bila dikaki dia orang ada bayi bergayut!" Aku bercerita panjang lebar, punca kenapa aku berlari-lari macam orang gila.
Semua yang mendengar cerita aku mula ketakutan, apabila ustaz tanya pada yang lain. Ada di antara mereka nampak seperti apa yang aku lihat, ada pula yang melihat bayi merangkak mengejar mereka. Muka Ustaz Zainol berkerut, mungkin dia cuba memikirkan sesuatu.
"Ok.. malam ini.. kita buat bacaan yassin untuk arwah Anis," kata ustaz zainol memberi cadangan.
"Baik...ok.... boleh.." pelbagai jawapan diterima dari pelajar-pelajar tingkat dua asrama puteri, semua memberi jawapan yang positif. Aku pula semakin trauma dengan kejadian yang menimpa dan sebenarnya aku sendiri keliru.. "KENAPA AKU?"
Selesai bacaan yasin, keadaan kembali tenang aku pun sudah rasa tenang sedikit. Amalina dan beberapa pelajar lain masih selamat dari gangguan tadi, hanya dorm kami sahaja!
"Ehh Dian.. you kenapa tadi? Betul ke nampak Anis?" Amalina bertanya kepada aku sambil duduk di sebelah, dia juga bagai tidak percaya dengan apa yang aku ceritakan.
"Yelaa.. takkan la I nak tipu. Memang Anis..!" Jawab aku sambil termenung kosong, memikirkan kejadian tadi.
"Hurmm...kenapa dia ganggu kau? Kau ada buat apa-apa ke? " Amalina seperti ingin menuduh aku sesuatu.
"Tak ada apa pun.. I pun tak tau..." balas aku, sambil membaringkan tubuh. Cuba melupakan segalanya, tidak cukup dengan mimpi. Kini mimpi itu menjadi nyata.
Apabila melihat aku baring ingin tidur, Amalina terus berlalu kembali ke dormnya, mungkin dia faham yang aku tidak mahu ditanya tentang kejadian itu lagi dan aku ingin melupakan semua itu. "Mesti ada sebab!" Aku cuba mencari punca kenapa aku diganggu dan apa yang membuatkan aku makin keliru adalah kehadiran beberapa bayi turut menganggu aku.
Kes kematian Anis dulu sangat diambil berat oleh ustaz Zainol. Dialah yang banyak pergi ke balai untuk membantu siasatan. Tetapi selepas pihak polis mengatakan kes disifatkan mati mengejut kerana tiada bukti menunjukkan ada unsur jenayah, makanya kematian Anis diam begitu sahaja. Malah lebih buruk bila ada yang mengatakan Anis mati kerana membunuh diri.
Tetapi sehingga kini, masih tidak diketahui kenapa Anis duduk di dalam almari ketika itu, dan aku masih tidak boleh terima apabila orang mengatakan Anis mati membunuh diri.
Tanpa aku sedari, malam tadi aku berfikir sehingga tertidur. Nasib baik tidak mimpi ngeri lagi. Kalau tidak aku pasti ditimpa penyakit Anxiety Disorder! Pagi ini aku ingin berjumpa Ustaz Zainol kerana aku ingin tahu kes tentang kematian Anis pada tahun lepas. Kehadiran bayangan Anis dalam hidup aku bagaikan ada sesuatu yang ingin disampaikan atau mungkin aku yang selalu terpengaruh dengan cerita page Arkid Angker Negara yang sentiasa menjamu aku dengan cerita-cerita seram suram.
"Hei Dian.. U termenung je kenapa? Any problem..? " Sergah Amalina yang baru datang kelas, memang tak dinafikan aku sering termenung semenjak mimpi semalam hadir dalam hidup aku.
"Ehh! Im okay.. may be I penat kot." Aku cuba berselindung, tidak mahu menceritakan apa yang aku fikirkan. Buat masa sekarang mungkin lebih baik aku bersendirian kerana aku perlu tahu sesuatu.
"Kalau okay, tak apalah.. but kalau Dian ada masalah can share with me, kita kan kawan." Amalina cuba memujuk aku untuk berkongsi.
Apa yang Amalina katakan, langsung aku tidak ambil peduli mungkin itu semua tidak penting bagi aku, yang penting sekarang adalah Ustaz Zainol!
Habis kelas hari itu, aku terus cepat-cepat kemas dan berlalu untuk ke surau kolej. Aku ingin berjumpa dengan Ustaz Zainol.
"Hei, cepat-cepat nak ke mana?" Tegur amalina apabila melihat aku mengemas barang ke dalam beg galas dengan cepat, selalunya aku paling lambat berkemas. Yelah nak balik ke dorm awal-awal bukan ada apa pun.
"I nak pergi surau lah Lina," aku berkata jujur kali ini pada Amalina. Aku dapat lihat pada raut wajahnya berkerut pelik bila mendengar jawapan dari mulut aku.
"What..? Ohhh ni bukan joke kan?.... U dah insaf ke Dian?" Kata-kata Amalina itu bagai memerli, apatah lagi ditambah dengan nada seakan mengejek, tapi itu bukan alasan untuk aku membatalkan niat ke surau. Hidup aku yang celaru ketika ini. Bukan dia! So why aku perlu kalah dengan sindiran.
Aku terus meninggalkan Amalina, malas aku ingin melayaninya. Jika aku terus melayan dan bersembang pasti kerja aku juga akan tergendala. Sampai di surau aku terus meluru tanpa berfikir adap, itulah kelemahan aku yang semakin jelas dan ketara. Tidak menghormati tempat ibadat,
"Ustaz....! Maaf ganggu.. Boleh saya nak jumpa ustaz sebentar..!" Aku menjerit memanggil setelah melihat kelibat Ustaz Zainol. Beberapa pelajar lelaki yang ada di surau ketika itu memandang tepat ke arah aku.
"Ehh.. Dian... kenapa ni? " Ustaz Zainol memandang aku tetapi pantas menundukkan wajahnya ke bawah setelah melihat aku dengan berkeadaan agak kurang sopan.
"Maaf ustaz.. saya nak tanya..." aku cuba menerangkan sebab utama aku ke surau dan berjumpanya.
"Kamu pakai telekung dahulu, ada di bahagian ruangan wanita. Lepas tu kita bercakap di koridor." Ustaz Zainol berlalu ke arah keluar, tanpa memandang aku. Beberapa pelajar lelaki di situ memandang aku penuh tanda tanya, mungkin ingin tahu sebab aku berjumpa Ustaz Zainol.
"Hehe...." aku tertawa sendiri melihat diri aku menyarung telekung dengan seluar legging sungguh tidak sesuai. Aku keluar dari ruangan wanita dan mencari Ustaz Zainol yang sedang memandang ke arah alam semula jadi.
Apabila aku melihat Ustaz Zainol dari tepi sedang melihat ke arah alam di hadapannya. Dengan songkok dan pakaian seakan jubah menaikkan aura yang sungguh memikat.
"Ustaz.." aku cuba menegur ustaz dengan perlahan agar tidak memeranjatkan nya dengan kedatangan aku.
"Haaa.. Dian.. apa yang kamu nak cakap kan? Ada masalah gangguan lagi ke?" Ustaz cuba meneka. Namun salah tekaannya, aku hanya tersenyum melihat ustaz.
"Tentang Anis.." ringkas jawapan aku, tidak pandai untuk berdolak-dalih dan jiwa aku juga sedang berkocak ingin tahu tentang kejadian yang pernah menggemparkan kolej dan negara pada satu ketika dahulu.
"Maaf saya ada kerja, lain kali saya akan cerita ye..maaf" Ustaz Zainol berlalu pergi. Diwajahnya berubah sayu, sedih dan mungkin menyimpan 1001 cerita. Aku terpinga-pinga. "What the Hell..?!" aku bersusah payah pakai telekung ni, ustaz berlalu macam tu je? Aku merengus marah sambil menarik telekung keluar dari kepala. Kecewa aku dengan jawapan dan sikap ustaz yang tidak professional.
Dengan muka kelat aku berlalu pulang ke dorm, kecewa, sakit hati semua berbaur dalam jiwa aku. Beg galas aku campak ke atas katil. Kemudian aku duduk di meja belajar dan.....
"Ehhhh... boneka bayi ni muka dia macam berubah-ubah lah!" Aku menggenyeh mata aku beberapa kali dan aku melihat kembali boneka bayi tu sudah kembali kepada asal wajahnya. Aku ni mamai ke?
Argghhhhh... aku merebahkan tubuh di atas tilam sambil mengeliat. Asar sudah berlalu dan waktu ini memang tidak baik untuk aku melelapkan mata, bimbang jika kejadian semalam menghantuiku.
"Dian.... " tiba-tiba Azimah memanggil aku, sambil duduk di katil bersebelahan kaki aku. Pantas aku duduk dan menghadap azimah. Dia seperti ada sesuatu yang ingin diceritakan, dan tentunya harapan aku adalah tentang Anis.
"Azi nak tanya Dian lah.. betul ke apa yang dian nampak semalam?" Nada Azi berbisik, mungkin dia tidak mahu pelajar lain mendengar perbualan mereka.
"Yess.. memang Dian nampak." Aku penuh semangat menjawab dengan yakin, apa yang aku lihat itu adalah bukan mimpi.
"Sebenarnyakan Azi pun ada nampak, tapi Azi takut nak cakap. Ingatkan hanya perasaan je." Azimah berterus terang, kemudian menceritakan detik waktu dia melihat kelibat Anis. Waktu semalam ketika dia di bilik air, dia terdengar seseorang masuk ke bilik air. Tetapi tidak dihiraukan kerana bersangka itu mungkin pelajar lain. Selesai semua ketika sedang duduk di hadapan cermin bilik air, sambil membasuh tangan. Melalui cermin dia terlihat, Anis sedang keluar dari bilik air. Waktu itu dia terus berlari ke dorm. Azimah merahsiakan kejadian itu kerana tidak mahu dituduh sengaja menakutkan pelajar lain.
Rupanya kejadian aneh itu juga dilalui Azimah.. tetapi mengapa bayang Anis muncul menghantui, atau sebenarnya rohnya tidak tenteram? Tak mungkin..! Aku bermonolog sendirian.
Maghrib itu aku ikut Azimah ke surau, niat sebenar aku adalah berjumpa Ustaz Zainol. Manalah tahu tiba-tiba dia nampak aku dan ingin bercerita tentang kes Anis kerana hanya Ustaz Zainol sahaja harapan aku saat ini untuk tahu kesemua cerita sehingga kenapa pihak polis boleh mengatakan kes itu sebagai mati mengejut.
Di surau ramai jugalah yang pelik melihat aku berjemaah, mereka pelik bila aku solat kerana sebelum ni sudah lama aku tinggalkan solat semenjak menjadi orang bandar. Sedangkan tiada syarat yang tertulis untuk menjadi orang bandar harus meninggalkan solat. Kesalahan itu adalah dari diri aku sendiri. Hari ini aku berada di surau pun kepura-puraan atas sebab tertentu. Aku sendiri rasa malu kerana sujud aku sebenarnya menipu! Menipu dengan yang Maha Esa dan diri sendiri.
Selesai solat isyak, aku sengaja melambat-lambatkan masa untuk pulang ke dorm kerana aku ingin berjumpa dengan Ustaz Zainol.
"Dian.... jom la..balik..." kata azimah sambil menunggu aku di hadapan pintu keluar ruangan wanita.
"Sekejap lah.. I nak berdoa lagi ni..." aku cuba berbohong, memang makin berdosa aku ni asik membohong je.
"Yela-yela.. Azi tunggu luar ye.." Azimah berlalu keluar meninggalkan aku keseorangan. Peluang yang ada aku tidak sia-siakan. Aku terus menyelak kain penghadang pemisah antara lelaki dan wanita untuk melihat Ustaz Zainol.
Eh...kosong! Nampaknya aku terlambat. Aku sangkakan lambat dapat jumpa rupanya aku silap. Perlahan-lahan aku melangkah keluar surau, rasa macam aku dihukum oleh Tuhan kerana menipu. Aku keluar menuju kearah azimah, rasa kecewa yang amat.
"Haaa...dah abis doa ke..? Ke sambung esok?" Perli Azimah sambil tersenyum mentertawakan aku.
"Alaaaa.. I nak doa lama sikit pun tak boleh..." kata aku sambil menjeling ke arah azimah.
"i know la Dian..apa yang you cari.. cari Ustaz Zainol kan? Mesti you nak tanya pasal Anis.. betul tak?" Kata Azimah sambil mengangkat keningnya sebelah, belagak dan dengan yakin bahawa tekaan dia betul.
Aku tidak berkata "ya" atau pun "tidak". Sekadar diam dan berlalu pulang ke dorm, malas aku memperkatakan tentang Anis jika tiada jawapan yang aku dapat apatah lagi dengan Azimah yang mungkin juga tidak tahu apa-apa.
Sampai di dorm, aku terus mengambil buku novel 9Nyawa dan menyambung baca kerana semalam aku sudah terlepas dari membacanya. Sedang aku duduk kusyuk melayan perasaan menghayati watak novel tiba-tiba Azimah datang ke katil aku sambil berkata..
"Kau nak tahu tak..? Kenapa Ustaz Zainol tak mahu bercerita tentang Anis? Dan dia tidak akan jawab persoalan yang berkaitan kes Anis?”
Bagaikan terkesima seketika aku, apabila Azimah datang membuka topik yang bermain di fikiran aku. "Kenapa?" Tanyaku teruja, sambil terus duduk merenung wajah Azimah. Bagaikan anak burung menunggu ibunya menyuap makanan. Jiwa aku terkinja-kinja menunggu cerita dari Azimah.
DENDAM Bahagian Akhir
==========================
"Kalau kau nak tahu. Anis tu dah macam adik Ustaz Zainol.. ala senang kata adik angkat lah!" Kata Azimah sambil melihat kiri dan kanan, bagai itu rahsia besar.
"Hahhhhh!.. kau biar betul?" Tanya aku separuh menjerit kerana tidak percaya dengan apa yang baru dikatakan Azimah. Dalam masa yang sama beberapa pelajar lain melihat ke arah kami.
"Syhhhhh...slow la sikit..! Tulah.. Dian mana pergi surau sebelum ni,..sebab tu tak tahu!" Azimah sempat memerli aku, tapi apa yang dikatakan Azimah itu benar.
"Maknanya.. Ustaz Zainol itu abang angkat Anis?" Aku cuba mendapatkan kepastian.
"Ya..! " Azimah membalas sambil mencebik bibirnya ke arah aku. Belagak betul minah ni! Baru tahu rahsia tu je dah belagak, hati aku berbisik sendirian.
Nampaknya aku kene wujudkan Anis kembali! Selagi ustaz tidak menceritakan selagi itulah aku akan mewujudkan Anis di dalam hidup dia. Baru aku faham kenapa Ustaz Zainol bertungkus lumus dalam kes Anis.
"Heiii.. apa yang dimenungkan tu?" Azimah mengherdik ke arah aku, mungkin sengaja supaya aku tersedar dari lamunan, senyuman nakal sudah terlahir di bibirku dan dapat dilihat jelas oleh Azimah.
Sambil baring aku memikirkan rancangan aku untuk menimbulkan kembali Anis di dalam diri ustaz Zainol. Aku mesti buat dia sehingga dia menceritakan tentang Anis. Aku sangat memerlukan cerita itu dan aku sendiri tidak tahu mengapa.
"Dian...tolongggg...." Suara halus wanita meminta tolong membuatkan aku tersentak dari tidur. Suara itu perlahan tetapi jelas dan lebih pelik suara itu sangat aku kenali.
Dubbb,,,dubb,,dubbb,,.. bunyi pintu almari aku bergetar bagai dihentak-hentak dari dalam. Fikiran aku terus terbayang Anis. Allah ujian apakah lagi ini? Kenapa mesti aku yang lalui benda ini?
Aku menarik selimut aku hingga menutup seluruh tubuh, aku menggigil ketakutan. dukkkk...dukkk...dukkkk..dubb.... bunyi pintu almari semakin kuat. Semakin kuat juga tubuh aku meninggal dalam ketakutan itu lama kelamaan aku terlelap semula. Aku tidak pasti berapa lama aku lalui peristiwa menakutkan itu.
Pagi itu aku bangun seperti biasa. Terasa sejuk tubuh aku sampai ke tulang. "Eh kenapa ni?" Aku berbisik sendirian. Aku tak mampu melawan kesejukan air pagi itu dan terus aku ke singki untuk memberus gigi, namun ada sesuatu membuatkan aku semakin terkejut, muka aku pucat yang amat! Bibir aku seakan kebiruan. Aku sakit ke?
Aku terus berlari anak balik ke dorm. Aku anggap apa aku lihat tadi hanyalah ilusi. Aku bersiap untuk ke kelas seperti biasa. Sewaktu aku hendak make up sekali lagi aku terkejut dengan wajah aku memang nampak pucat dengan bibir aku kebiruan. Ya Allah! Jantungku berdegup kencang. Aku menggenyeh mata aku beberapa kali namun hasilnya tetap sama. Ini bukan mimpi dan ini bukan ilusi.
Aku cuba melawan ketakutan aku dengan menacap make up lebih tebal dari biasa. Warna gincu sebelum ini aku hanya menggunakan warna peach tetapi kali ini aku mengunakan warna merah terang. Aku cuba menutup wajah aku sendiri atau sebenarnya aku menutup ketakutan diri aku.
“Hahahah... suara gelak tawa pelajar lain apabila melihat aku, apa yang lawak nya aku pun tak tahu.
"Heyy.. what happen?" Tebalnya make up, are okay Dian?” Amalina menegur aku sambil keningnya berkerut pelik, melihat diri aku.
"Im finee.. saja I nak cuba mood lain harini.. why? Teruk sangat ke? " Aku cuba berdalih dan buat seperti tiada apa-apa.
"Not bad lah..! But lebih baik pakai cara lama.." Amalina memberi pandangan dan cuba menjaga hati aku.
Hari itu aku rasa, hari yang paling teruk dalam sejarah hidup aku, segala benda serba tak kena. Balik dari kelas petang itu aku terus duduk di meja sambil melihat boneka bayi. Semakin lama boneka itu semakin menarik minat aku, bagai ada sesuatu aura yang membuatkan aku jadi terlalu teruja untuk melihatnya.
"Dian.... you ni kenapa?" Amalina menyergah aku dari belakang, membuatkan aku terkejut.
"Why..? I'm okay lah.." balas aku, sambil memusingkan badan menghadap Amalina yang duduk di katil aku.
"I tengok U ni macam pelik je.. tu boneka siapa? Scary je I tengok." Amalina melihat ke arah boneka bayi, lama juga dia merenung kearah boneka tu. Aku tengok nampak okay je, kenapa Amalina kata scary?
"Tu boneka yang orang bagi hari tu lah.. ingat tak bungkusan dengan bunga ros?" Aku cuba mengingatkan Amalina kembali. Berkerut-kerut dahi Amalina cuba mengimbas kembali.
"Ohhhh.. I see... but so scary la.. buat apa simpan?!" Amalina seperti tidak menyukai boneka aku.
"Ehh.. mana boleh buang pemberian orang. Dian tengok okay je..tak ada apa-apa pun." Balas aku, cuba mengubah pemikiran Amalina yang nampak seperti tidak menyukai boneka itu.
"Yelah.. yelah.... whatever lah...! Tapi aku datang ni sebenarnya sebab nak bagi tahu minggu ni aku balik kampung nak ambil barang ada tertinggal, kau nak ikut tak?"
"Errm,... tak kot... lagi pun budak dorm ada minggu ni." Sebenarnya aku malas ikut Amalina pulang ke kampung, kerana aku pasti kekok di rumah orang, adakala rasa tidak bebas.
Selepas aku memberikan jawapan, Amalina dan aku berbual-bual sementara menunggu masuk waktu maghrib dan semestinya aku ingin pergi ke surau bersama Azimah. Aku perlu mendapatkan Ustaz Zainol.
Selesai solat isyak aku terus mencari Ustaz Zainol dan aku lihat ustaz sedang duduk di luar surau melihat keindahan alam, di tangannya tergantung tasbih yang di tarik satu persatu.
"Assalamualaikum ustaz." Aku memberanikan diri. Azimah pula hanya melihat tingkah laku aku.
"Waalaikumsalam.. ye Dian..." balas ustaz sambil menghadap aku, jari-jarinya juga turut terhenti dari menghitung biji-biji tasbih.
"Ustaz.. saya harap ustaz boleh bantu saya. Hanya ustaz yang tahu kes Anis dari awal hingga akhir. Saya selalu diganggu bayangan Anis dan mayat bayi..." luah aku kepada Ustaz Zainol dengan harapan ustaz akan menceritakan segalanya.
"Baby..!?" Ustaz Zainol membulatkan matanya. "Ye ustaz..!" Balasku ringkas.
"Macam mana keadaan bayi yang mengganggu dian?" Ustaz cuba meneliti lebih dalam paras rupa dan bentuk bayi yang selalu mengganggu kehidupan aku. Lalu aku pun menceritakan segalanya kepada Ustaz Zainol dengan harapan aku bakal dapat mengetahui cerita tentang Anis.
"Errrrm..... mari duduk," kata Ustaz Zainol sambil dia turut duduk di koridor surau, Azimah hanya diam dan turut ikut sama begitu juga aku.
Kematian Anis memang dari apa yang pihak polis katakan tiada unsur jenayah. Almari tempat temui mayatnya juga tidak berkunci dan dari pemeriksaan polis pada almari anis juga tiada menjumpai apa-apa cap jari selain dari anis sendiri tetapi... Anis juga dikatakan bukan membunuh diri dan bukan dibunuh oleh seseorang.
"Abis tu..kenapa dia mati ustaz?" Aku memotong cerita Ustaz Zainol kerana tidak berpuas hati.
Bedah siasat mengatakan Anis mati kerana ketakutan melampau yang menyebabkan jantung dia tidak stabil, ditambah dengan keadaan almari yang sempit udara agak terbatas. Kemungkinan dia menyorok agak lama dan menyebabkan dia tertidur atau pengsan sebelum mati.
Tapi... sebenarnya Anis juga ada mengadu selalu diganggu mayat bayi mengejarnya. Dia selalu jumpa saya untuk berubat, saya dah cuba sehabis baik dan tak sangka akhirnya dia pergi dalam keadaan begitu. Saya yakin mesti ada kaitan dengan apa yang kamu lalui sekarang.
Ustaz Zainol cuba membuat spekulasi sendiri tetapi mungkin ada betulnya juga apa yang dikatakan Ustaz Zainol. Kenapa mayat bayi tu menghantui aku dan paling teruk ditambah dengan bayangan Anis.
Dalam perjalanan pulang ke Dorm aku masih berfikir, adakah Anis sebenarnya dibunuh? Tetapi bagaimana si pelaku melakukan? Tiada cap jari, tiada kesan! Arghh licik!
Mungkin aku juga tidak akan mempunyai jawapan dan yang lebih teruk sekarang adalah aku juga melalui perkara yang sama dilalui Anis.
"Saya yakin mesti ada kaitan dengan apa yang kamu lalui sekarang" Ayat itu bermain-main di fikiran aku.
"Diannnnn....tolonggggg.." suara itu membuat aku tersentak dari tidur kembali, nampaknya kini tidur aku diganggu. Jika berterusan begini aku boleh gila! Aku sudah mula mengalami sedikit tekanan.
Semakin hari aku semakin teruk malah kini aku sudah seperti badut dengan mekup yang tebal untuk menutup wajah aku yang teruk, badanku mulai susut, makan aku tidak teratur, adakala aku menangis sendirian kerana mengenangkan keadaan yang menimpa diri aku. Lagi stress bila melihat tubuh aku yang semakin susut.
"Ustaz.... tolong saya ustaz... saya dah tak tahan ni!" Aku merayu mohon bantuan ustaz.
"Insyaallah saya cuba sebaik mungkin, esok kamu datang ambil air selepas isyak." Kata ustaz memberi sedikit harapan kepada aku.
Keesokan harinya seperti yang dijanjikan, aku datang ambil air yang telah di ruqyahkan namun keadaan aku masih sama malah semakin tidak terurus. Aku sudah mula jarang masuk ke kelas, sehinggalah pada suatu hari di waktu pagi.
"Dian.. ustaz nak jumpa di surau. Tadi masa solat subuh dia pesan," kata Azimah sebelum berlalu masuk ke kelasnya.
Aku bangun dengan lemah. Keadaan aku seperti orang yang sudah uzur, rambut yang dahulu cantik lembut, kini serabai tidak terurus aku sudah seperti orang gila. Mungkin akan gila! Aku menuju ke surau, sebenarnya tiada langsung harapan lagi di dalam diri aku ini. Malah cerita tentang Anis pun aku sudah tidak mahu tahu lagi. Diri aku sendiri sekarang sudah teruk tidak terurus.
“Assalamualaikum..” aku memberi salam sambil melangkah ke dalam surau, aku lihat ada seorang lelaki berjubah dan dua wanita hanya berpakaian biasa. Mereka memandang ke arahku serentak menjawab salam.
Aku hanya mengikut dengan langkah lemah, tiba-tiba salah seorang wanita itu menyuruh aku menjulurkan kaki ke arah kiblat, aku hanya mengikut bagaikan boneka atau mungkin sebenarnya aku menyerahkan sahaja hidup aku.
Ibu jari aku dipegang sejurus itu diiringi dengan beberapa bacaan ayat suci Al-Quran. Tiba-tiba aku rasa seperti ada sesuatu bergerak di bawah kulit aku. Dari kepala bergerak ke perut kemudian hilang dan akhirnya muncul semula di bahagian kaki. Benda itu seperti menjalar mencari sesuatu di bawah kulit aku.
"Argggggghhhhhhh....... Sakitt....sakitttt.!" Aku menjerit selepas benda yang menjalar itu sampai di hujung ibu jari kaki, bagai ada sesuatu yang disentap dari lubuk jantung aku.
"Dah teruk ni pelajar awak Ustaz Zainol." Kata wanita yang merawat aku itu sambil melepaskan tangan dari kaki aku dan memandang tepat ke arah anak mata hitamku, bagai ada sesuatu yang sedang dia cari. Aku pula hanya terkebil-kebil melihat perawat wanita itu.
"Ada cara ke untuk pulihkan dia?" Ustaz Zainol melemparkan soalan yang aku juga sangat ingin tahu.
"Kun Fayakun!.. Tapi kita kena lemahkan benda ni dulu. Sebab benda ni dah cengkam jantung dia.. jika kita sentap dia ibarat menyentap jantung pelajar ustaz ni." Balas wanita tadi sambil menarik beberapa air botol dan mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu.
"Insyallah...harap begitulah." Ustaz Zainol memandang ke arah aku, dari air muka dan matanya kelihatan dia sayu mungkin teringat tentang Anis.
Selepas air sudah habis dibaca, wanita itu memberikan kepada aku untuk diminum lagi 3 hari dia akan datang lagi katanya. Aku dibenarkan pulang ke dorm dalam perjalanan aku asik terfikir tentang nasib yang menimpa aku.. “apakah benda yang menyerang aku? mengapa mesti aku?”.
Sedang asyik melayan fikiran, aku teringat telefon bimbit tertinggal di surau, terus aku memusingkan haluan menuju ke arah surau semula. Kuasa Allah... ketika aku sampai semula di surau terdengar perbualan Ustaz Zainol dan perawat wanita itu serta beberapa orang lagi.
"Habis tu.. macam mana nak tolong dia? Saya takut akan jadi seperti pada arwah Anis" Suara Ustaz Zainol perlahan seakan berbisik atau mungkin kerana aku yang berada jauh di koridor surau.
"Kun Fayakun... hanya itu yang mampu saya katakan kerana benda ini menghantui hidupnya sehingga dia gila atau mungkin mati"
"Maaf mengganggu.. saya nak ambil phone tertinggal," aku mencelah secara tiba-tiba dari pintu masuk surau. Ustaz Zainol menoleh ke arahku dengan wajah terkejut, tetapi mereka semua hanya melihat sahaja sehingga aku keluar dari surau.
"Sehingga dia gila atau mungkin mati........" ayat itu terngiang-ngiang di telingaku. Aku bakal gila?? Mati?! Semudah itu pengakhiran hidup aku? Mengapa aku Ya Allah..?
Setiap langkah ku diiringi dengan juraian air mata. Aku tidak mampu menerima dugaan sehebat ini.. inikah dinamakan ujian??
Sampai di dorm, aku terus merebahkan tubuh yang semakin lemah. Apatah lagi apabila sudah terdengar perbualan ustaz dan perawat wanita itu. Aku hanya mampu termenung, mengantuk tetapi aku tidak sanggup di ganggu dengan mimpi ngeri.
"Hurmm.. boneka bayi!" Mungkin itu punca! Aku mula teringat atau mungkin baru tersedar tentang kehadiran boneka bayi yang unik itu.
Huh! Aku bangun dan terus mencapai boneka bayi lalu aku lemparkan ke luar tingkap, hanya itu yang aku mampu lakukan kerana saat ini otak aku bagaikan beku! Kosong! Aku tak mampu berfikir dengan baik.
Sambil duduk di meja aku melihat wajah sendiri di cermin, terukk! Wajah aku yang dulu mulus cantik kini kusam, kulit wajahku kering mengelupas. Gelung hitam semakin jelas di bawah mata. Ini bukan aku..!!! Arghhhhh..!!
Prangg....trangggg... habis barang semua aku lemparkan ke bawah. Aku menangis lagi dan lagi sehingga aku tertidur di atas meja dengan beralaskan lengan sendiri berteman air mata.
“Diaannnnn..... Diaann.... Mariilahh....” suara Anis muncul secara tiba-tiba membuatkan jantungku berdegup kencang. Kaki aku mula sejuk, tangan menggigil tanpa sebab. Aku bagai sudah tidak terkawal.
Diannn..!! Terdengar suara jeritan membuatkan aku terjaga dari tidur. Aku lihat Ustaz Zainol dan beberapa lagi pelajar ada sekeliling aku, mereka cakap dengar aku menangis tersedu-sedu tapi aku rasa tak ada pun aku mimpi menangis.
"Saya rasa baik awak ambil cuti, balik kampung," Ustaz Zainol memberi cadangan dan aku rasa macam ada betul juga cadangannya.
Aku hanya diam memandang lantai dorm tanpa ada memikirkan apa-apa, aku rasa malu saat ini. Rasa bagai semua pelajar mentertawakan aku.
"Awak jumpa saya lepas maghrib nanti ya, kata Ustaz Zainol" Sambil dia berlalu, sempat juga dia menyuruh semua pelajar lain bersurai. Aku pula hanya menganggukkan kepala tanda setuju atau paham.
Malam itu selesai solat maghrib aku terus berjumpa Ustaz Zainol sebelum masuk waktu isyak. Aku, Azimah dan Ustaz Zainol duduk di koridor surau, wajah ustaz nampak serius menghadap aku.
"Ustaz harap awak dapat jawab jujur dengan ustaz ye.."
Aku hanya mengangguk dan begitu juga Azimah walaupun dia tidak terlibat, Ustaz Zainol melihat kiri dan kanan sebelum menarik nafas panjang dan......
"Ada tak awak dan Anis rapat dengan seseorang dahulu atau bercinta? Ataupun mempunyai perselisihan faham dengan seseorang?" Tanya Ustaz Zainol seperti seorang anggota polis cuba menyiasat, aku termenung memikirkan sesuatu. Tapi rasanya tak ada, Amalina pun bukan rapat sangat, nak kata kami ada salah faham dengan sesiapa, rasanya tak ada. Ya aku yakin tiada!
"Tak adalah ustaz.." saya dengan Anis memang rapat, tapi kami tak ada musuh dengan sesiapa.
"Kenapa ye ustaz?" Aku cuba mendapatkan kepastian dengan persoalan Ustaz Zainol tadi.
"Tak ada apa.. cuma saya pelik. Sebab apa yang awak kena ni, sebenarnya sama dengan apa yang Anis lalui dulu. Cuma Anis dia hanya ceritakan kepada saya dan beberapa guru sahaja."
Aku masih terdiam, Azimah pula kepala bagaikan kucing melihat bola yang di agah-agah. Kejap kiri, kejap kanan melihat aku dan ustaz.
"Awak ada simpan apa-apa barang atau terima makanan ke?" Tanya Ustaz Zainol cuba mencari sesuatu. Terus otak aku teringat akan boneka bayi yang aku buang tengah hari tadi.
"Ada ustaz..boneka bayi..." kata ku ringkas sambil melihat ke arah ustaz.
"Macam mana bentuknya?" Wajah Ustaz Zainol berubah tiba-tiba, bagai ada sesuatu yang ditakutkan.
"Boneka tu diperbuat dari pada kayu, pakai ukiran tangan nampak halus ukirannya cuma agak buruk sikit," aku mengambarkan bentuk boneka itu.
"Mana boneka tu?" Tanya Ustaz Zainol sambil terus berdiri bagaikan dia ingin terus melihat boneka itu.
"Saya dah buang," kata ku ringkas.
"Selepas isyak kita cari kejap!" Kata Ustaz Zainol.
Aku hanya mengangguk, bagai burung belatuk. Tiada kata yang mampu aku luahkan waktu itu, aku cuma mahu kesembuhan mahukan diri aku yang dulu!
Selepas solat isyak, aku, Azimah dan Ustaz Zainol mencari boneka bayi di perkarangan bawah asrama puteri itu malangnya tiada apa-apa yang kami jumpa. Ustaz Zainol masih tidak berputus asa mencari. Aku pula sudah lemah dan tak bertenaga kerana makan dan minum pun aku sudah kurang, tidur pun susah. Tiada waktu rehat untuk tubuh ini. Mungkin benar kata perawat wanita itu, "aku akan mati!”
Aku terduduk melihat Azimah dan Ustaz Zainol meneruskan usaha mencari. Setelah hampir sejam lebih, tetapi tiada apa-apa yang dijumpai, Ustaz Zainol pun pulang semula ke surau dan aku balik ke dorm.
"Kau buang dekat mana tadi?" Azimah bertanya. Mungkin tidak berpuas hati kerana tidak menjumpai apa-apa.
"Dekat situ la aku baling, pastu dah.." aku cuba menerangkan kepada Azimah. Namun pandangannya seperti tidak mempercayai kata-kata aku.
Sekejap sahaja masa berlalu, kini jam sudah pukul 11 malam tetapi aku masih terkebil-kebil. beberapa pelajar sudah pun melelapkan mata mereka. Azimah sedang sibuk membaca buku novelnya. Tapi jiwa aku rasa lega kerana sekurang-kurangnya masih ada yang berjaga.
Tiik...tiik...tiik..tiik... jelas kedengaran bunyi detikan jam meja aku, suasana dorm kini terlalu sunyi. Aku yakin kini semua sudah nyenyak tidur, manakala aku masih berjaga dengan ditemani buku novel aku.
Sraccchhhhh...! bunyi kertas diselak juga bagaikan bergema. Aku paling benci suasana begini, seakan tanda-tanda kehadiran makhluk itu bakal muncul.
Tiba-tiba bulu roma aku meremang, semakin lama semakin kuat. Baru sahaja aku ingin menarik selimut.. Dammmmm.....dammmm.... bunyi almari aku dihentak dari dalam, bagai sebuah keranda yang sedang ingin dibuka.
Allah..Allah.... hanya itu kalimah yang aku mampu baca saat jantung sedang berlari laju, aku menutup tubuhku dengan selimut. Dengan cara itu sekurang-kurangnya mampu mengelakkan aku dari melihat makhluk hodoh itu. Sangkaan aku silap bila bau hanyir busuk mula menyerang ke dalam rongga hidungku. Semakin lama bau itu semakin menusuk ke tekak. Halus bau nya tetapi pekat, terlalu sukar untuk aku terangkan.
Sreccccchhhh...sreecchhhhh..bunyi sesuatu sedang menghampiri aku, tetapi bagai terheret. Kalau boleh biarlah waktu ini aku pengsan! Itu lebih baik.. tetapi tidak mampu. Aku masih menggigil di dalam selimut dan aku tahu makhluk itu sedang melihat aku. Debukkkk.! tiba-tiba dadaku bagai dihentak kuat. Nafas aku menjadi berat aku cuba menarik nafas sedalam-dalamnya namun seakan dihempap sesuatu, Arghhh! aku terpaksa membuka selimut dan waktu itu aku lihat mayat bayi sedang mengensot ke arahku, almari pula sedang bergoncang kuat. Aku tidak tahu apa yang bakal terjadi. Taapppp.. sesuatu terjatuh di atas kaki, dengan pastas aku menarik kaki aku dan melihat rupanya boneka bayi bagai dicampak ke arah aku..
Kini mulut aku kaku, jantung aku bagai sudah tidak berdegup. Arghhhhhhh..! Aku menjerit kesakitan sambil memegang kepala aku. Rupanya mayat bayi tadi sudah mencengkam kepala aku, ngeri..! Takut! Sakit... semua bercampur.
Draakkkkk..! Pintu almari terbuka, kelihatan Anis dengan berkeadaan yang sangat mengerikan. Di badannya ada beberapa mayat bayi sedang berpaut sambil mengunyah daging-daging tangan, muka, kaki dan badannya, Anis perlahan-lahan melangkah ke arah aku sambil berkata...
"Diannn.....Tolonggggg.." suara itu lemah! Kini aku tahu, suara yang meminta tolong selama ini adalah Anis. Sejurus itu juga dunia aku menjadi gelap.
Pagi keesokannya di asrama puteri, tingkat dua kecoh. Ramai pelajar datang berkumpul. Mereka melihat aku yang sudah terbujur di atas katil, mata aku terbeliak keatas hanya sedikit mata hitam kelihatan. Ustaz Zainol dan beberapa pelajar lelaki lain sedang membaca surah yassin. Semua itu aku dengar dengan jelas, ditangan aku erat menggenggam boneka bayi itu, aku tidak pasti waktu bila aku mengambilnya.
Ustaz Zainol membuka perlahan genggaman tanganku lalu mengambil boneka bayi itu, jelas di matanya dia terkejut. Bunyi siren ambulan memecah kesunyian pagi di asrama puteri, jasadku diangkat dan dibawa pergi. Semakin lama semakin jauh...jauhh...dan jauhhhhh..
Selepas aku dibawa pergi, Ustaz Zainol terus berlalu sambil membawa boneka kayu itu, ada sesuatu yang ingin dibongkarkannya atau mungkin dicari.
"Astagfirullah..." kalimah suci itu terlontar dari mulut perawat wanita dan sahabatnya setelah melihat boneka yang dibawa oleh Ustaz Zainol kepadanya.
"Kenapa..?" tanya Ustaz Zainol.
"Benda ni sebenarnya dihantar! Pemiliknya seorang wanita," kata perawat itu.
"Ada cara untuk hapuskan supaya tiada lagi mangsa akan datang?"
"Sebentar,.. saya cuba teliti nampaknya anggota mangsa ada pada boneka ni!" Kata perawat sambil tangannya membelek memusingkan boneka bayi itu beberapa kali.
"Haaa..? Maksudnya memang ditujukan untuk mereka berdua sahaja?" Ustaz Zainol cuba mendapatkan kepastian.
"Iya.." jawab perawat itu ringkas. Sambil tangannya mengorek di bawah boneka menggunakan kunci keretanya dan terbukti ada satu lubang yang dibuat yang telah ditutup kemas. Di dalam lubang itu mempunyai dua serpihan kuku. Satu itu sangat diketahui oleh Ustaz Zainol, itu kuku Dian. Dia yakin dan mengecam pewarna kuku yang digunakan oleh Dian manakala satu lagi itu mungkin milik Anis.
“Tetapi..........” kata-kata Ustaz Zainol terhenti. Dia bagai memikirkan sesuatu dan hanya ada satu cara untuk dia ketahui siapa yang melakukan perkara zalim itu.
Petang itu Ustaz zainol telah mengeluarkan memo untuk melakukan solat hajat dan bacaan yassin selama tiga hari berturut. Peristiwa ini sangat mencabar nama baik kolej dan Ustaz Zainol berazam tidak akan membiarkan pelakunya bebas sebegitu mudah.
Hari ketiga bacaan dibuat, kedengaran jeritan dari asrama puteri tingkat dua. Jeritan itu sayup-sayup kedengaran membuatkan Ustaz Zainol datang ke asrama wanita itu dan kelihatan Azimah sedang meronta-ronta kepanasan, sambil menjerit maaff...! Maaf..! Tolonggg panasssss.. tolonnnggggg...
Ustaz Zainol terduduk, kini dia terdiam kaku. Lemah tubuhnya apabila melihat Azimah berkeadaan begit. Itulah yang diminta oleh Ustaz Zainol kepada Allah untuk menunjukkan siapa pelakunya.
Azimah diberi air yassin dan kemudian ditenangkan, perlahan-lahan Ustaz Zainol bertanya.
"Azimah..awak ngigau apa?, cuba awk ceritakan segalanya kepada saya.. kenapa..?" tanya Ustaz Zainol tenang, "maafkan saya ustaz.. " hanya itu ungkapan Azimah sambil menundukkan kepalanya, malu kerana Ustaz Zainol mengetahui kegiatannya selama ini.
"Bukan saya yang boleh maafkan awak..tapi Anis dan Dian." Kata-kata Ustaz Zainol mengejutkan beberapa pelajar yang ada di situ. Adakah ini semua berkaitan dengan Azimah?
“Sebenarnya..........”
"Sebenarnya apa?" Ustaz Zainol memotong kata-kata Azimah, tenang dan lembut kata-kata ustaz.
"Saya buat begitu kerana Anis dan Dian pernah meletakkan sampah pada makanan saya, baju saya sudah basuh mereka kotorkan dan lebih teruk saya pernah dikurung di dalam bilik air." kata Azimah lemah
"Kerana itu sahaja? Kerana itu awak BERDENDAM..?!" Suara Ustaz Zainol sedikit tinggi.
Azimah masih mendiamkan diri, dia tahu kesilapannya. Tetapi dendam itu telah meragut nyawa dan lebih teruk semua itu tidak mampu diputar kembali.
"Sebenarnya bukan Anis dan Dian yang buat semua tu!" Tiba-tiba satu suara datang dari celah pelajar-pelajar yang datang berkumpul.
Azimah pantas mengangkat kepala ingin melihat siapa dan kelihatan Amalina keluar dari celahan orang ramai dan menangis.
"Kalau kau nak tahu, mereka berdua lah yang suruh budak yang kunci kau dalam bilik air tu bukak balik. Masa tu mereka ingat kau dah keluar dan pada waktu itu aku tunggu Dian bersiap untuk ke kelas, kemudian dia ada tanya mana kau (Azimah), aku cakap tak tahu... sebab masa tu kau dengan dia orang mandi sama... sampai di kelas Shafiza bagi tahu Dian yang kau kena kunci dengan Yati serta kawannya.. Dian dengan Anis terus pergi jumpa Yati suruh buka balik. Sebab Dian ada kelas waktu tu." Amalina menerangkan kejadian sebenar.
"Tapii... Yati kata Dian dengan Anis..!" Kata Azimah cuba mempertahankan tuduhannya.
"Kau sendiri tahu perangai dia orang kau masih percaya kata Yati..dari kawan kau?!" Kata Amalina.
Ustaz Zainol hanya melihat kebenaran yang terbongkar ketika itu, tetapi tiada apa yang mampu dilakukan lagi. Semuanya sudah terjadi dan tidak mungkin mampu kembali. Azimah seorang gadis yang baik perwatakannya, muslimah tetapi mampu melakukan perkara terkutuk itu sehingga meragut nyawa.. Dian dan Anis gadis yang biasa-biasa tetapi mereka mempunyai hati yang baik.
Kini sudah hampir 12 bulan peristiwa itu berlalu, Azimah sudah lama berhenti kolej kerana malu dan dipulaukan oleh pelajar lain atas kesalahannya, Amalina pula sudah tamat pembelajaran.
"Hurmm.. Diann... ni I Amalina. Sekarang I dah habis belajar.. next time I datang lagi. May be I akan sambung degree di kolej yang sama..," kata-kata Amalina hanya bagaikan sia-sia tiada balasan mahupun suara yang keluar dari mulut aku, lalu Amalina melangkah keluar dari kawasan itu. Sebelum berlalu jauh sempat Amalina menoleh ke arah sighbord besar di pintu utama dan jelas tertulis -PSYCHIATRIC HOSPITAL....
Aku dikatakan mengalami tekanan jiwa oleh doktor menyebabkan pada waktu ditemui, aku bagaikan terkena sawan. Itu hanya pandangan dari sudut teori sains... tetapi hanya yang melalui dan mengalami waktu itu sahaja tahu apakah sebenarnya yang terjadi kepada aku. Sehingga kini aku hanya membisu kemudian menangis tanpa satu patah perkataan pun yang keluar dari mulut aku. Mampukah aku kembali sembuh? Doktor mengatakan hanya keajaiban mampu mengubah. Ya keajaiban itu wujud dan pastinya jiwa aku masih hidup!
TAMAT
=====================================
Suntingan Karya & Gambar: KamenRider
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment