Thursday 3 May 2018

KISAH SERAM DARI KEM PLKN - Faizal


KISAH SERAM DARI KEM PLKN
Karya: Faizal

=====================

Nota kaki- Ini adalah beberapa pengalaman 2 bulan aku ketika mengikuti latihan Khidmat Negara di salah sebuah kem latihan di kawasan Lumut.Untuk pengetahuan,aku adalah batch pelatih pertama pada tahun 2004.

Kisah 1
Kem aku terletak berhampiran dengan laut. Waktu tengahari punyalah panas! Waktu malam pula sejuk dan selang seli dengan tiupan angin laut.

Kami tidur di dalam khemah jenis A Tent yang besar gedabak tu dan kawasan kem pula dibahagikan pada dua bahagian, wira( pelatih lelaki) dan wirawati.

Bilik air kami jenis besar dan lapang dan dalam satu bilik besar itu ada 10 jamban dan satu kolah mandi yang cukup besar. Macam kolah dekat masjid. Tapi keadaan bilik air tu agak suram sebab lantai dan binaannya simen. Takda jubin pun. Jadinya bila waktu malam,dengan mentol lampu yang malap tu,kolah itu nampak gelap dan menyeramkan.

Adalah satu hari tu,kawan aku,Rashid nak pergi mandi larut malam disebabkan panas.Memang pun,sudah lebih 3 malam begitu bila malam dia macam bahang.Takda angin langsung.

Waktu Rashid tu baru nak mandi,dia terperasan ada perempuan berambut panjang,sedang mencelupkan rambutnya dalam kolah!Erti kata lain,basuh rambut!Terpempan dengan pandangan tu,dia nak buka langkah seribu! Belum sempat, perempuan tu mencabut kepalanya dan merendam dan mencelup kepalanya itu berkali kali ! Kemudian di julang kepalanya itu dan di palingkan ke arah Rashid!

Kata Rashid sebelum dia tersembam pengsan, "Muka dia macam kena toreh dengan pisau"

***
Cerita 2
Ada satu malam ,ketika itu ribut di kawasan kem.Sampaikan ada beberapa khemah yang tercabut ditiup angin! Termasuklah khemah aku.Habis semua kain baju kami basah di timpa hujan.Saat itu,aku dan kawan sekhemah aku mendongak ke langit, ada puluhan yang aku rasa pontianak, terbang berlegar legar kira kira 50 meter.Kawan aku mengucap panjang! Aku dan yang lain terus azan.

***
Cerita 3
Kawan sebelah khemah aku ni ada trademark.Dia ni pakai selipar jamban yang bila kena air, dia akan berbunyi 'sreet!sreeet!' dan bunyi itu amatlah kuat.Kami selalu mengusik Fauzi tiap kali dia balik dari jamban.

Suatu malam kira kira jam 3 Pagi selepas aku dan Rashid balik dari sentri malam ( bergilir jadi Jaga di kawasan kem) ,baru mata nak lelap, aku terdengar bunyi selipar Fauzi.

"Hoi ! Malam malam pun berak ke!" perli aku dari dalam khemah.

Cepat-cepat aku lihat Rashid pergi ke arah aku.

"Zal, kau lupa ke? Fauzi mana ada.Dia kan dapat pelepasan,kakak dia kahwin.Siang tadi kita dah salam salam dengan dia.Selipar dia tu pun dia pakai wei " Terketar ketar Rashid beritahu aku.

Padahnya,malam itu aku dan Rashid tidur sekatil !
***
Cerita 4.
Cikgu kami memang ada pesan.Jangan sesekali bawak balik telur rebus tu ke khemah.Kalau nak makan,makan kejap itu. Untuk info, memang setiap pagi ada telur rebus dan tiada telur goreng dihidang pun.Nak di jadikan cerita, selepas solat Isyak,kem kami gempar! Ada wirawati kena histeria.Jenuh aku tengok cikgu cikgu ni nak memulihkan pelatih tu.Masa dia jelirkan lidah,hitam ! Antara dialog yang aku ingat yang keluar dari mulut pelatih wanita itu,

"Aku nak makan.Dia bagi aku makan!"

Setelah diselidik,aku sendiri terkejut, kami jumpa dalam khemah dia ada kulit telur yang sudah kosong isinya! Tidak dikopek pun.Kata cikgu aku, yang ganggu tu disebut bajang.
Wallahualam.


***
Cerita 5
Malam itu aku pergi ke jamban untuk berak.Tengah sedap, telinga aku menangkap bunyi suara orang.Aku syak mungkin pelatih lain.Tapi bila aku amati, suara budak kecil ! Aku dapat agak yang ada yang sedang berlari lari di depan jamban aku.Aku dah mula tak senang duduk.Cepat-cepar aku siapkan apa yang patut.

"Satu...Dua...Tiga...Empat..Lima.." kedengaran suara budak kecil itu menghitung bilangan bilik.Memang aku perasan sewaktu masuk,depan pintu, bilik aku nombor 6.Ah sudah!

"Alaaa...nombor enam ada orang la..."suara budak kecil itu kedengaran sekali lagi!

Aku meremang! Spontan,aku terus meredah pintu dan berlari deras menuju khemah! Aku tak pandang kiri kanan langsung!

***
Cerita 6
Rupanya,bukan aku seorang sahaja yang pernah diganggu dengan suara budak kecil tu.Ada pelatih dah terkena.Cumanya, dia takda menyebut ungkapan 'ada oranglah'

Cuma kali ini, pelatih itu bagitahu kami,ada benda mengangkang dari atas kubikel biliknya itu ,dengan lidah yang memanjang dan bercakap

"Ada oranglah sini" dengan suara garau.
***
Cerita 7
Ada satu kawasan dalam blok wirawati ini yang sering dijadikan kawasan untuk mereka curi curi menghisap rokok ( zaman aku PLKN semua dipilih random,asalkan lahir tahun 86 ,dan ada yang tak bersekolah pun)

Sebelum itu cikgu ada pesan,jangan sesekali menghisap rokok di kawasan pokok besar tu.

Malam itu kem aku sekali lagi gempar.Katanya ada wirawati yang pengsan di pukul.Malam itu,5 orang pelatih wanita lunyai dipukul.Siap ada yang patah gigi.

Kata mereka,mereka tak nampak dan tak tahu apa yang menghenyak tubuh mereka.Tahu tahu saja masing masing tercampak dan tersembam ke tanah!

"Saya dah cakap! Jangan.Degil! Ada dengar suara halus tak suruh nyala colok,kemudian baru rasa muka ditampar? marah sungguh Cikgu Amran malam itu.

Dan menghairankan,mereka berlima mengangguk.Entahlah,aku pun tak tahu apa yang duduk di sekitar pokok besar itu.

***
Cerita 8
Hisham,budak dari bandar.Memang anak orang kaya pun dan satu je kami ni tak gemar perangai dia.Suka cakap besar satu hal,berlagak pun ya juga.

Sejak bermacam kejadian aneh berlaku di sekitar kem, Hisham selalu bercakap besar.Katanya dia mahu menyelak kain langsuir, hendak mencabut tali pocong dan juga dia mahu mengunting rambut perempuan di bilik air itu.Kami hanya diam.Nasihat pun,kami ditempelak.

Waktu itu,dia bertugas dengan Ali,budak khemah aku( satu khemah 4 orang) untuk membuat sentri.Slot sentri mereka berdua tepat jam 12 malam.

Waktu mereka berdua sedap meronda,di kawasan ampaian.Tiba tiba tubuh Hisham diterpa oleh lembaga hitam!Ali ketika itu terkejut bukan main.

Kata Ali, dia nampak lembaga itu memasukkan lidah ke dalam mulut Hisham sambil ketawa! Ali terus meluru ke khemah cikgu.Malam itu jenuh kami pelatih lelaki mencari Hisham.Hilang! Tahu tahu saja ada yang terjumpa di tepi stor menyimpan kayak.

Sejak hari itu,Hisham selalu meracau tak tentu pasal.Penyudahnya,dia diambil oleh keluarganya dan tidak meneruskan program PLKN atas sebab kesihatan!

***
Cerita 9
Khemah wirawati di rasuk histeria. Ada budak non muslim kena juga. Punca? Buang pad dekat jamban tak basuh dan bersepah. Malam tu ada cikgu perempuan berpangkat jugak dalam askar bagitahu, dia buat inspection dekat tandas wirawati,masa dia jenguk, bersepah benda benda tu merangkak dan mencari sisa darah haid yang pelatih tinggalkan.

Disebabkan itu aku dan pelatih yang lain disarankan azan setiap penjuru kem.Dah lah pagi nanti jam 8 ada senaman pagi yang kami kena pergi!

Tapi aku tak boleh lupa, masa cikgu ni merawat, dorang menjerit punyalah kuat dan siap ada yang menari ! Sejak kejadian itu,takda siapa pun berani nak buang pad merata rata.

***
Cerita 10
Aku ada habit.Suka basuh baju tengah malam.Satu sebab orang tak ramai dalam tandas dan kedua,sejuk.Mujur ada yang meneman dan kongsi minat yang sama.

Sewaktu aku dan kawan aku sedang asyik menyidai baju di ampaian,kami ada la terpandang dari hujung ,ada pelatih yang menyidai baju.Pada mula aku tak ambil pusing.Tapi bila kawan aku tegur,dan menudingkan jari pada pelatih di hujung itu,aku mula seram!

Satu persatu anggota badan dicabut dan disidai di ampaian. Mula dengan tangan,kaki kepala ,dan badan. Jujur aku cakap,kami dapat dengan jelas kejadian malam itu. Kawan aku punyalah takut sampai terberak-berak waktu berlari !

***
Sekian sahaja kisah seram pendek aku sewaktu aku berkhidmat negara pada tahun 2004.
Korang ada kisah seram sewaktu PLKN? Ayuh kongsikan di komen.

===============================
Karya : Faizal
Suntingan Gambar (sumber dari internet) : Dikmang

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Wednesday 2 May 2018

TANDAS - Xander Xavier


TANDAS
Nukilan : Xander Xavier

Selamat malam semua. Nama aku Ira. Aku merupakan mahasiswi UiTM. Tapi aku tak nak bagitahulah UiTM mana. Terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu. Kisah ini merupakan pengalaman aku yang tak mungkin aku lupakan. Nak kata seram atau tidak itu terpulanglah kepada kalian untuk menilai.

Kisah ini berlaku sewaktu aku ambil diploma dalam kursus biologi dulu. Pada suatu malam, sekitar tiga tahun yang lalu, aku berjaga agak lewat kerana ada peperiksaan yang harus aku hadapi esok hari. Jadi, mahu atau tidak mahu untuk mengekalkan GPA aku yang cemerlang sebelum ini aku terpaksa jugalah berjaga.

Aku hanya berdua di bilik. Aku dan seorang lagi rakan daripada kursus undang-undang. Tikah namanya. Dia memang tidur awal. Nak jaga kulit katanya. Maklumlah nak jadi peguam mesti kena jumpa ramai orang. Penampilan itu penting. Baru orang yakin. Lampu bilik tertutup, Tikah tidak boleh tidur dengan cahaya. Tak baik untuk kesihatan katanya. Jadi, aku belajar menggunakan lampu meja.

Sekitar pukul 3 pagi, aku bangkit dari kerusi untuk menegakkan tulang setelah beberapa jam duduk di kerusi tidak bergerak. Mataku juga pedih-pedih sedikit. Kering mungkin. EyeMo dicapai dan dititiskan pada mata. Tidak lama kemudian…

“Alamak, nak terkencing pula… Dah pukul 3.36 pagi kot,” aku buka sedikit pintu bilik untuk melihat keadaan di luar koridor.

Samar-samar. Hanya limpahan cahaya daripada lampu kalimantang sahaja yang sedikit menerangi suasana. Di hujung sana, tandas. Gelap. Lampu tandas biasanya dimatikan bila tiba waktu malam. Sususan bilik dengan pintu tertutup menambahkan keseraman suasana. Aku mula khuatir. Nak keluar… Tak nak… Nak keluar… Tak nak…

“Nak kejut Tikah. Dia tengah beuty sleep… Ah! Jalan je lah… Daripada terbanjir dekat sini,” maka dengan acah beraninya aku keluar daripada bilik dan menyarung selipar.

Aku berdiri di tengah-tengah koridor. Suasana dingin. Bercampur malap-malap cahaya lampu membuatkan bulu roma di tengkukku berdiri tegak. Aku atur langkah perlahan ke hadapan. Ya… Aku memang penakut. Dibesarkan di rumah agam yang sentiasa dipenuhi dengan cahaya lampu membuatkan aku takut apabila tinggal di Kolej Kediaman UiTM ini.

Daripada kejauhan aku dapat mendengar bunyi air yang mencurah-curah jatuh ke lantai. Mungkin bunyi air itu datang daripada tempat mengambil wudhuk di dalam tandas. Tandas di Kolej Kediaman ini mempunyai banyak kubikel dalam satu bilik. Di depan kubikel itu pula terdapat tempat untuk mengambil wudhuk. Tapi… Lampu tandas itu masih tertutup. Siapa pula yang terlebih berani masuk tandas tak buka lampu? Tapi dalam hati aku sedikit lega. Ada orang lain juga di tandas.

Semakin dekat aku dengan tandas, semakin jelas bunyi air itu. Aku masuk dan buka lampu tandas. Bunyi air TERHENTI! Aku hairan. Padahal aku dengar dengan jelas bunyi air tadi. Perlahan lagi aku berjalan ke tempat wudhuk. TAK BASAH!

Tanpa melengahkan masa dan keadaan aku yang memang dah ‘hujung-hujung’ ini, aku pun masuk ke dalam kubikel yang paling hampir dengan pintu keluar. Tandas nombor 1. Semasa aku sedang melepaskan hajat kecil, terdengar seseorang masuk ke dalam tandas. Melintasi tandas aku dan masuk ke tandas nombor 3. Macam mana aku tahu tandas nombor 3?

Inilah perkara yang paling aku sesalkan. Aku terdengar suara wanita menyanyi mendayu-dayu. Aku tak sedap hati tapi sebagai seorang pelajar biologi yang sentiasa ingin tahu, perasaan ini mendesak untuk aku menunduk dan mengintai di bawah kubikel.

Aku lihat… RAMBUT! Ya… Rambut yang sangat panjang dan bukannya kaki. Aku sangat yakin itu rambut dan bukannya skirt. Rasa remang itu kembali lagi. Aku buka pintu kubikel perlahan-lahan dan berjalan keluar pintu utama tandas. Baru selangkah aku keluar…

PAPP!

Lampu tandas terpadam. Aku terkaku. Lampu di belakang aku terpadam dengan sendirinya dan yang paling menyeramkan adalah…

“Cepatnya kau kencing… Tak nak aku temankan ke? Hihihi!” Suara mendayu-dayu itu datang dari arah tandas.

Maka bermulanya acara larian pecut 30 meter daripada tandas ke bilik tidur. Aku baring dan terus berselubung. Segala jenis doa aku baca hingga tertidur. Buku pelajaran pun aku terlupa. Takut punya pasal.

Keesokkan harinya, tanpa segan-silu aku menceritakan segala yang terjadi malam tadi pada Tikah. Dia marah.

“Kau ni… Kenapa tak kejut aku? Selama ni aku selalu je kejut kau kalau aku nak pergi tandas. Kalau kau tak ada aku pergi tandas tingkat bawah, kau bukan tak tahu, tandas tu memang tak boleh buka lampu waktu malam. Kalau buka mesti terpadam sendiri. Nasib baik tak apa-apa. Kalau dikokaknya dek hantu tu macam mana?” Dia membebel.

“Aku tak tahu wei… Aku ingatkan kau orang yang padam selama ni,” aku cuak.

Itulah pengalaman aku. Ambillah hikmah dan pengajaran daripadanya. Masuk tandas baca doa dulu, jangan main terjah saja macam aku. Lagi satu kalau exam, elakkan belajar dalam satu malam. Kena kacau, terus tak jadi baca. Baik buat persediaan awal-awal.


P/S: Kisah ini adalah pengalaman seorang rakan yang telah diubahsuai dan ditambahkan perasa serta rempah secukupnya. Hikmahnya, bawalah teman. Nasib baik hantu, kalau lelaki berhud hitam? Lagi bahaya…

============================

Suntingan : SenyumanPerantau SP
Gambar : Dikmang
Karya ini adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

HITAM - Senyuman Perantau




HITAM
============================
Mulut Heliza terkumat-kamit, seolah membaca mantera. Itulah amalannya apabila sedang rancak memikirkan idea, lalu diterjemahkan dalam bentuk penulisan seram.

Ya. Dia seorang penulis cerpen seram yang mula meningkat naik.

Bermula dari bawah, merangkak sejengkal, maju sehasta, mengorak langkah sedepa lalu meningkat maju sehinggalah terbit beberapa antologi cerpen miliknya.

Bibir mulut Heliza masih terkumat-kamit sambil mata hitamnya hilang, meninggalkan mata putih pucat.

Tangan kanan Heliza terus menghayun abjad demi abjad, diselangi tanda baca dan kadang-kadang diakhiri dengan lukisan pelik.

Mungkin membayangkan setiap watak seram yang diciptakan khas demi novel seram sulungnya.
Atau mungkin dia mempunyai ilmu?

----
Heliza terlena di atas meja kayu.
"Slurpp," saki baki air liur basi yang tersisa di bibir, disedut agar tidak tertumpah ke atas kertas lakaran.

"Ija, kau ni rajin sangat ni, cuba bawa bertenang. Kami tahu kau nak menulis. Kita naik sama-sama, bawa bertenang beb!" tegur Maryam.

"Ya la Ija. Kau ni makin lama, makin stress aku tengok. Dengan makannya tak, minum tak menentu," nasihat Atikah.

"Aku tahu, Maryam, Tika. Aku baru je nak bergiat dalam bidang ni. Aku kena bersungguh-sungguh. Aku nak jadi macam korang. Korang idola aku," bercahaya mata Heliza saat membalas jawapan sahabat seperjuangan -ikhlas.

"Kami tahu. Tapi kami sayangkan kau. Kami tak nak kau sakit Ija. Kau makin pelik," balas Atikah.

"Ya la Ija. Aku pun rasa benda yang sama. Kau belajar ilmu hitam ye??" tebak Maryam.

Lidah Heliza kelu. Lantas, buku lakaran peta mindanya ditutup dan dicampakkan ke tepi.

"Dah la Maryam, Tika. Aku nak tidur."

"Kan aku dah kata?" Maryam mencuit bahu Atikah.

Atikah sempat menganggukkan kepala dua tiga kali.
----

Enam bulan kemudian...
Alhamdulillah. Siap juga hasil penulisan novel solo ku. -bisik hati kecil Heliza.

Hari ini merupakan detik bersejarah, pelancaran novel sulung Heliza bertajuk, 'HITAM' sempena PBAKL 2020.

"Cik Cinta Darah, bagaimana tercetus idea untuk menghasilkan karya yang sebegini ikhlas dan tulus?" soal salah seorang pencinta novel seram.

"Saya asalnya penganggur dari kampung. Saya bermula dari kosong, mengasah bakat dan terus belajar sehingga terhasil karya sebegini. Terima kasih tak terhingga kepada dua rakan penulis saya yang selama ini yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan memberikan saya idea," jawab Heliza.

"Cik Cinta Darah, kenapa memilih nama pena sebegini ye?"

"Entah. Saya pilih nama ni untuk menyerlahkan lagi jiwa saya dalam bidang seram. Takkan nama Qaseh Adelia? Tak sesuai kan?" balas Heliza sambil ketawa kecil.

Sesi pelancaran novel HITAM berakhir dengan jayanya. Heliza memalingkan muka setelah semuanya berakhir.

Bibir mulutnya terus berkumat-kamit, sambil menghembuskan sesuatu. Kedua telapak tangam disatukan terus disapukan tiga kali di atas wajahnya yang berseri.

"Bangsat! Aku dah agak!"

Sepasang mata gigih mencuri perlakuan Heliza.

Hitam hati kau, Heliza!

******
'Novelis Cik Cinta Darah pengamal ilmu hitam?

Karya HITAM terselit ilmu hitam!

Demi karya penuh penghayatan, novelis muda sanggup mensyirikkan Allah!

Ilmu guna-guna, khayalkan peminat setia Cik Cinta Darah.

Saksikan video novelis seram membaca mantera ketika sidang pelancaran novel.. Sila klik link di bawah..'

Jantung Heliza seolah berhenti berdegup akibat beberapa berita di beberapa laman media sosial.

Segala kejayaan dia selama dua tahun sebagai seorang penulis seram bagai direnggut jatuh.

"Apa kena dengan mereka ini?"

"Apa dosa aku terhadap mereka?"

"Salahkah aku berkarya demi sesuap nasi?"

"Allah, kenapa ujian ini yang kau uji aku?"

"Allah, teguhkan lah hati aku untuk menghadapi semua ini."

Satu demi satu pautan berita ditekan, dibacanya. Siapa yang tergamak buat dia begini. Air mata Heliza gugur lagi.

Kecewa.

Siapa?
Siapa?
Siapa?

Tergamak kau... 
Sampai hati kau...


****
Seminggu selepas itu...

"Best tak bercuti, Tika?"

"Best la gila. Tenang sikit tak jumpa perempuan puaka ilmu hitam tu, hahaha."

"Tenangkan bayu laut. Tenang rasanya," Maryam menikmati setiap hembusan angin sambil tangan terus membaca laman berita di tablet.

Tiba-tiba muka Maryam berubah, pucat. Badan bersandar dialihkan ke hadapan, postur badan diubahkan tepat ke arah Atikah.

"Tika. Tika. Cuba baca ni."

"Apa kau ni? Baca cerita hantu ke? Pucat semacam je!"

'NOVELIS SERAM TERKENAL DIJUMPAI MATI'

"Alah, relaks la. Setan dia la bunuh dia tu," pujuk Atikah.

"Kau rasa salah kita?" tanya Maryam.

"Kenapa pula salah kita?" Atikah.

"Entah-entah dia bunuh diri sebab tertekan!" Maryam.

"Dahlah. Kalau betul pun bukan masalah kita. Kita enjoy. Padan muka dia. Nak berjaya sangat kan?"

Atikah ketawa besar. Maryam turut tertawa, seumpama mendapat berita baik.

****
Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan/irihati (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (An-Nisa' ayat 32)

******
Dengki merupakan di antara penyakit hati yang bahaya.
Tak perlu mendengki apa yang tidak pasti.
Fokuskan doa dan berharap rezeki kita dipermudahkan.

Cerpen di atas aku nukil khas buat pedoman bersama.
Benarkah Heliza mengamalkan ilmu hitam?
Atau sekadar dengki sahabatnya, Maryam dan Atikah?
Wallahu a'lam.
Dengki boleh menjurus kepada titik-titik HITAM yang lebih bahaya...
==============================
Gambar: Dikmang
Karya ini adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Tuesday 1 May 2018

TAJUK: HILANG - Nil Kuhaku


TAJUK: HILANG 
PENULIS: NIL

=============

Noraida terkocoh-kocoh mengambil bekas susu di atas meja. Suaminya, Halim sedang membasuh cawan di sinki. Haziq yang masih mamai didukung Noraida, sudah bertukar baju. Menanti di hantar ke pengasuh sahaja. Sempat Noraida mengambil ‘inhaler’ Haziq. Anaknya ada asma.


Tiba-tiba, telefon rumah berdering. Halim memandang Noraida sedikit hairan. Jarang-jarang telefon rumah berdering. Mereka masih pakai telefon rumah itu pun disebabkan sambungan internet.

“Tak apa, saya angkatkan.” ujar Noraida. Dengan Haziq di lengan sebelah kiri, tangan kanan Noraida mencapai gagang telefon.

“Hello?”
Diam.

“Hello?” Noraida mengulang, sedikit keras. Pagi-pagi tengah sibuk ini, dia tak berapa sabar.

“Hello. Ini… Noraida ke?” satu suara perempuan bertanya di hujung talian.

“Ya, ini Noraida.” balasnya. Halim mengelap tangan yang basah, lalu mengambil Haziq yang masih dibuai kantuk di dukungan Noraida.

Diam sebentar di hujung talian. Noraida dengar desah nafas perlahan. Seperti perempuan itu teragak-agak mahu mengatakan sesuatu.

“Ini siapa ya?” Noraida berkata tidak sabar. Dia mengerling jam di dinding, hampir 10 minit lagi pukul 7 pagi. Dia sudah lewat. Mana mahu hantar Haziq di rumah pengasuh lagi.

“Ini… Ini Mira.”

“Mira mana ya?” suara Noraida sudah tertekan. Sungguh dia tak ada masa.

“Mira. Nor Amira. Anak mama.” suara itu berkata teragak-agak.

Jantung Noraida seperti direnggut, diselubung ais beku. Matanya terbeliak. Dia memandang Halim terkejut. Halim, yang tidak mendengar apa yang dikatakan perempuan di talian itu cuma memandang Noraida aneh.

“Amira?” bisik Noraida. Waktu itu, Halim juga terkejut. Perlahan, darah seperti menghilang dari wajah Halim. Dia merenung Noraida terkejut.

“Ya, ini Amira. Ini… Mama kan?”

“Jangan tipu saya. Amira dah hilang sepuluh tahun yang lalu!” tegas Noraida. Halim masih berdiri di sisinya, senyap tidak berkata apa.

Talian itu diam sebentar, sebelum telefon diambil seseorang.

“Hello, Puan Noraida?” suara lelaki. Tegas. Dalam.

“Ya. Ya saya.”

“Saya Asif, menelefon dari Balai Polis Daerah M. Boleh puan datang ke sini sekarang? Kami jumpa seorang remaja perempuan, yang mengaku dia adalah anak puan.” ujar lelaki itu.

Noraida menggeletar. 
“Ya, ya. Saya ke sana sekarang.” katanya, sambil merenung Halim. Telefon diletakkan kembali.


“Mereka jumpa Amira.” bisik Noraida dengan mata bergenang. Halim tergamam.

-10 tahun dahulu-
Aida cuma mampu menangis. Halim sudah tiada daya. Cuma mendiamkan diri di kerusi. Dia menekup muka, bersedih.

Amira hilang sewaktu keluar membeli gula-gula di kedai yang hanya beberapa meter dari kedai makan tempat Noraida bekerja. Hilang. Lenyap tanpa kesan. Zaman itu, apalah sangat kalau kanak-kanak keluar. Tak ada orang pandang. Zaman itu, semua ingatkan selamat.

Tapi bukan untuk si kecil Amira. Dia hilang tanpa kesan.

Aida dan Halim berkahwin pada usia muda, waktu masing-masing berusia 19 tahun. Mereka berkahwin kerana terlanjur. Ya, Amira dikandungkan sebelum mereka berkahwin. Atas dasar tanggungjawab, Halim menikahi Aida. Mereka dikahwinkan terburu-buru, dengan Aida hanya menyarungkan baju kurung lama miliknya. Selepas mereka dikahwinkan, mereka dibuang keluarga.

Mereka berdua waktu itu baru sahaja mendapat keputusan SPM. Tiada kelulusan apa-apa. Walaupun keputusan SPM Aida boleh tahan, dia tak mampu menyambung pelajaran ke mana-mana dengan perut memboyot. Mereka berpindah jauh ke bandar, dengan Halim bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dengan duit gaji sebanyak RM700 sebulan, mereka hanya mampu menyewa bilik. Bilik air, dapur semua, mereka berkongsi dengan penghuni lain. Mereka bergerak ke mana-mana pun dengan pengangkutan awam.

Apabila Amira lahir, dia kerap sakit. Lahirnya pun kecil dari bayi lain, mungkin disebabkan Aida dan Halim asyik ikat perut. Disebalik itu tetap ada rezeki anak kecil itu bawa, Halim diterima bekerja di 7-Eleven. Dengan gaji sebagai juruwang di sana, mampulah Halim membeli sebuah motor kapcai. Namun apabila ditolak susu tepung Amira, lampin dan sebagainya, mereka tetap kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Waktu inilah Aida nekad mahu bekerja. Dia diterima kerja di sebuah kedai makan. Okaylah, kerana kedai itu bermurah hati membenarkan Aida bawa Amira ke kedai. Amira pula tak banyak kerenah. Dia selesa duduk diam di meja, mewarna, melukis apa-apa yang minda kanak-kanak bayangkan.

Entah bagaimana, hari itu si kecil Amira yang baru berumur lima tahun meminta dua puluh sen dari ibunya. Katanya mahu beli gula-gula.

“Hati-hati lintas jalan. Lepas beli, datang sini balik.” tegas Aida. Amira mengangguk, teruja. Badan kecilnya terkedek-kedek melalui celahan meja dan kerusi kedai, sebelum hilang dari pandangan.

Itulah kali terakhir Aida melihat Amira.

Kisah kehilangan Amira menggemparkan seluruh negara. Amira hilang begitu sahaja. Tiada kesan. Tiada siapa nampak kemana Amira pergi. Orang terakhir yang melihat Amira adalah apek kedai runcit tersebut. Amira membeli sekeping coklat duit. Sekeping lagi, apek itu belanja. Selepas itu Amira keluar. Beberapa kali kedai apek itu digeledah.

Tiada kesan Amira. 

Waktu ini, keluarga yang sekian lama membuang Aida dan Halim menghubungi mereka kembali. Meminta maaf. Mahu menyambung ikatan yang terputus. Aida dan Halim yang ibarat layang-layang terputus tali, menyambut dengan hati terbuka. Keluarga mereka menyesal. Menyesal tidak dapat mengenal cucu, menyesal tidak sempat bermanja dengan anak saudara.


Selepas beberapa bulan, kisah Amira mulai senyap. Bulan berganti tahun, tiada bayang Amira. Amira mulai dilupakan semua orang, hanya terpahat kukuh dalam hati Aida dan Halim.

Selepas beberapa tahun berduka, kehidupan perlu diteruskan. Aida ambil keputusan untuk sambung belajar. Selepas mendapat diploma, dia diterima bekerja sebagai seorang kerani kerajaan. Halim pula mengambil sijil kemahiran. Tiga tahun lepas, mereka dikurniakan Haziq. Hidup mereka kembali bahagia selepas sekian lama. Kisah sedih itu masih terpahat di hati Aida, namun ia makin pudar dimamah masa.

Namun, selepas 10 tahun, nama Amira muncul kembali. Yang lagi sadis, hari ini harijadi kelima belas Amira.

Noraida menggigil. Halim menggenggam erat stereng kereta. Air mata mengalir laju dari tubir matanya.

“Ini bukan jalan ke rumah Mak Ani.” Haziq berkata pelat. Dia terkebil-kebil dari tempat duduk belakang, patung dinosaur ungu miliknya dikepit dicelah ketiak.

“Kita nak pergi mana mama? Mama tak work ke hari ni?”Haziq berkata lagi, selepas ibu dan ayahnya tidak hiraukannya. 

“Kita… kita nak pergi balai polis, Haziq.” ujar Halim.

“Balai polis? Kenapa?”

“Abah dan mama nak jumpa seseorang kejap.” Halim berkata dalam getar suara. Aida teresak-esak. Haziq memandang kehairanan. Dia mengambil keputusan untuk diam sahaja, dia pun masih mengantuk. Dia menguap, sebelum menyandar diam di belakang kereta.

Sampai sahaja mereka ke balai polis, mereka berdua meluru keluar.

“Isteri saya ada terima panggilan dari Tuan Asif tadi. Dia ada?” tanya Halim kepada polis bertugas di dalam.

Polis itu terpinga-pinga.

“Asif? Kami tiada staf bernama Asif disini, encik.” ujarnya hairan.

“Tapi, tadi kami ada terima panggilan dari sini.” Aida dan Halim berpandangan.

Polis itu menggeleng.

“Maaf encik. Dah lima tahun saya kerja disini. Staf bernama Asif memang tak ada. Mungkin ‘prank call’, tak?” ujar polis itu dengan wajah berkerut.

Halim melepaskan keluhan panjang. Aida menangis hiba.

Entah siapa yang tidak berhati perut sebegini.

Mereka melangkah keluar dari balai polis itu selepas membuat laporan. Mana tahu, selepas ini, mereka boleh meminta pihak telekomunikasi mengesan nombor tersebut. Halim mengusap-usap belakang Aida yang sedang menangis sayu.

“Kalau Mira ada lagi, dia dah tingkatan tiga, kan Aida?” Halim berkata sebal.

“Ya. Kalau dia ada, Haziq tak lah sunyi sangat. Boleh temankan dia.” ujar Aida sedih.

Mereka terdiam, sebelum wajah Halim pucat.

Haziq tertinggal dalam kereta!

Pantas, mereka meluru ke kereta. Matahari memancar terik. Haziq terbaring kelemasan di dalam kereta. Matanya kuyu, separuh terbuka. Dia tercungap-cungap. Haziq sedang lelah! Lagi memburukkan keadaan, Aida ternampak kunci kereta terbuai-buai di dalam.

“Haziq!” Aida menjerit seperti hilang akal.

“HAZIQ!!!” jeritnya lagi, menampar-nampar cermin kereta. Haziq terbaring lesu. Wajahnya pucat. Bibirnya membiru.

“Abang pergi minta tolong!” ujar Halim, berlari ke balai polis.

“Haziq! Bangun sayang! Buka pintu!” raung Noraida. Dalam samar tingkap kereta, Noraida ternampak bayang kanak-kanak perempuan disisi Haziq.

Wanita itu tergamam.

Kanak-kanak perempuan itu tersengih memandang Noraida. Tangannya diangkat, menutup hidung Haziq yang sedang bertarung nyawa.

“Amira…?” bisik Aida terkesima.

Waktu itu, wajah anak itu memburuk. Wajahnya kembung di mamah ulat. Daging pipi kanak-kanak itu berjejeran jatuh di ‘seat’ kereta. Matanya cengkung seperti mayat.

“Mama minta maaf… Salah mama…” bisik Aida dalam linangan air mata. Puaka itu cuma merenungnya marah.

Bukan apek kedai runcit orang terakhir yang nampak Amira.

Aida. Aida yang terakhir. Amira selalu akan masuk ke restoran tempat Aida bekerja melalui pintu belakang. Lorong-lorong sunyi belakang kedai. Waktu itu, Aida sedang membuang sampah.

Dia sendiri lihat, ada seorang lelaki yang berbual dengan Amira.

Dia sendiri lihat, lelaki itu mendukung Amira.

Lelaki itu nampak Aida merenung mereka. Awalnya lelaki itu takut-takut. Diletaknya Amira kembali. Amira lihat mamanya, jadi dia meluru kearah mamanya teruja.

“Mama, pakcik tu nak bawa Amira jalan-jalan.”

Aida menelan air liur. Dia memandang Amira yang berwajah mulus.

Sungguh, dia penat. Penat. Dia tak minta Amira dilahirkan. Dia penat bekerja hampir setiap masa, semata-mata mahu membeli makan pakai Amira.

“Pergilah.” ujar Aida menggeletar.

“Wah. Terima kasih mama!” ucap Amira riang. Ditarik tangan mamanya, dikucup lembut sebelum meluru ke arah lelaki durjana itu.

“Aku nak buat apa sekarang?” tanya lelaki itu dua hari kemudian. Mereka berjumpa di restoran tempat Aida bekerja.

“Buatlah apa kau suka.” ujar Aida tidak acuh. Seingatnya, nama lelaki itu…

Asif.

Waktu polis sampai, tubuh Haziq telah pun kaku di dalam kereta.

Aida meracau-racau disisi kereta. Tergelak-gelak ngeri. Kepalanya dihantukkan bertubi-tubi di kereta.

“Maafkan mama! Maafkan mama!”

TAMAT
================
Gambar: Nil

Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.