Showing posts with label Kukil Kufiq. Show all posts
Showing posts with label Kukil Kufiq. Show all posts

Tuesday, 27 February 2018

SERI DURJANA - Kukil Kufiq


Tajuk: Seri Durjana
Karya: Qil Fiq





======================================================

Jikalau Engkau duduk di pintu,
Seri Dipang namamu. 
Jikalau Engkau turun ke tikar,
Seri Tumpang Namamu. 
Jikalau engkau duduk di pintu,
Seri Tinjau namamu.

Jangan engkau berdengki khianat pada anak Adam, wahai manusia.
KUSUMPAH, DERHAKALAH KAU KEPADA ALLAH...!

**********************


Afiq berlari meredah belantara, baginya hidup atau mati dia perlu segera keluar dari hutan ini. Entah apakah sialnya terperangkap di dalam situasi gila seperti ini.

Dalam kekalutannya melarikan diri dari makhluk yang mengejarnya, kakinya tersandung dengan akar pokok yang berselirat di lantai hutan. Afiq tersembam jatuh.

"Arghh...!" Afiq menjerit kesakitan, memaut lututnya yang sakit berbisa.

"Heh… Hehehe... Sakit…?" Dalam kepayahannya menahan kesakitan, makhluk itu pula mengejeknya.

Afiq memandang ke sekelilingnya,mencari dari mana datangnya suara yang mengajuknya.

"Kau tak mahu lari...?" Suara itu bertanya lagi.
Dengan susah payah, Afiq cuba untuk bangun.
"Begitulah… terus berlari dan aku akan mengejarmu!"

Afiq memandang ke atas pokok-pokok meninggi. Gelap. Bulan dan bintang langsung tiada. Tiada apa yang dapat dilihatnya.

"Kau sedang mencari aku?"
"BERAMBUS! JANGAN GANGGU AKU....!!" tempik Afiq.

Dan tika itulah, hidungnya dijengah dengan bau busuk yang datang dari arah belakangnya. Bau itu seperti bau bangkai, disertai bunyi derapan kaki ke arahnya.

Perlahan-lahan Afiq menoleh ke arah belakang.

Tiada apa-apa.

Bau busuk beransur hilang. Sesekali Afiq melihat-lihat ke arah rimbunan belukar dan pokok-pokok di hadapannya, mencari-cari kelibat makhluk itu.

Tiada. Dia segera menoleh ke hadapan semula. Terasa lemah di setiap sendinya untuk melihat sesuatu yang telah lama dia lupakan.

"Bukankah aku dah kata, jika engkau tidak lari, aku akan datang padamu..."
"Rangga..?" Kata Afiq seakan berbisik.
Senyuman sinis dilemparkan kepada Afiq.
"Bukan Rangga, Afiq.."
"Tapi… Seri..."

Jikalau Engkau duduk di pintu,
Seri Dipang namamu,
Jikalau Engkau turun ke tikar,
Seri Tumpang Namamu,
Jikalau engkau duduk di pintu,
Seri tinjau namamu,


Jangan engkau mendengki khianat pada anak Adam , manusia.
KU SUMPAH, DERHAKALAH KAU KEPADA ALLAH...!

**********************


Afiq berlari meredah belantara, baginya hidup atau mati dia perlu segera keluar dari hutan ini, entah apakah sialnya, terperangkap di dalam situasi gila seperti ini.

Dalam kekalutannya melarikan diri dari makhluk yang mengejarnya. Kakinya tersadung dengan akar pokok yang berselirat di lantai hutan lalu membuatkan Afiq hilang keseimbangannya.

"Arghh....!!" Afiq meraung. Lututnya terasa bisa.
"Heh..hehh... sakit..?" 

Dalam kepayahannya menahan kesakitan, makhluk itu pula mengejeknya.


Afiq memandang ke sekelilingnya,mencari dari mana datangnya suara yang mengajuknya.

"Kau tak mahu lari...?" Kata suara itu bertanya lagi.
Dengan susah payah Afiq cuba untuk bangun.

"Begitulah...terus berlari dan aku akan mengejarmu...!!"
Afiq, memandang ke atas pokok,tiada apa yang dapat dilihatnya, tambahan lagi dalam gelapnya malam ternyata sangat membataskan pandangannya.

"Kau sedang mencari aku..?"
"BERAMBUS....!!!...JANGAN GANGGU AKU....!!" tempik Afiq.

Dan tika itulah hidungnya dijengah dengan bau busuk yang datang dari arah belakangnya, sebusuk bau bangkai, disertai bunyi derapan kaki ke arahnya,perlahan-lahan Afiq cuba menoleh ke arah belakang.

Dan ternyata tidak ada apa-apa..!

Bau busuk beransur hilang.Sesekali Afiq melihat-lihat ke arah rimbunan belukar dan pokok pokok di hadapannya, mencari-cari kelibat makhluk itu.

Setelah berpuas hati dia segera menoleh ke hadapan semula. Terasa lemah di setiap sendinya untuk melihat sesuatu yang telah lama dia lupakan.

"Bukankah aku dah kata, jika engkau tidak lari aku akan datang padamu..."
"Rangga..?" Kata Afiq seakan berbisik.
Senyuman sinis dilemparkan kepada Afiq.
"Bukan Rangga, Afiq…”
"Tapi...Seri.........."

Jawab wanita itu sambil mempamerkan siung di bibirnya .

*******************

“Can it be that there's some sort of error?
Hard to stop the surmounting terror.
Is it really the end, not some crazy dream?


Somebody please tell me that I'm dreaming,
It's not easy to stop from screaming,
But words escape me when I try to speak.”


Dendangan lagu dari kumpulan iron maiden 'Hallowed Be Thy Name" yang disetkan sebagai ringtone telefon bimbitnya mengejutkan Afiq dari tidurnya. Matanya terpisat-pisat. Dalam tempoh menunggu’ confirmation’ dari bosnya, dia telah terlelap di hadapan komputer. Segera dia mengangkat panggilan itu.

"Well done Fiq, we have agreed to use that design for our next project, proceed..!"

Dato' Adry berkata riang, pemilik syarikat tempat Afiq bekerja. Lelaki muda itu mengguman terima kasih sebelum talian diputuskan. Sepatutnya dia gembira, namun igauannya sebentar tadi betul-betul mengganggunya. Sudah empat hari berterusan dia diganggu dengan mimpi yang sama. Afiq mengemas barangannya, mahu pulang.

"Herrr, herrr… hehhh...!"

Kedengaran suara dengusan dari dalam bangunan pejabat ketika sudah selesai mengunci pintu pejabatnya. Afiq yang mula curiga cuba mengamati bunyi itu.

"PRANGGGGG...!!!"
"BANGGG...!!!"
"HEHHHEHHEHHHEHHEHHEHHEHHEHHHEHHH… "

Dentuman kuat disertai bunyi hilaian panjang dari dalam pejabatnya mengejutkan Afiq. Tanpa berfikir panjang, dia terus berlari meninggalkan pejabatnya. Anehnya, Afiq yang berlari hingga ke lobi parkir menyedari lampu-lampu di siling lobi seolah-olah mengikutinya, setiap lampu terpadam apabila Afiq melepasi lampu itu.

Afiq segera menghidupkan enjin keretanya. Kereta itu mengaum bising, sebelum pedal minyak ditekannya garang. Kalau boleh, dia mahu cepat-cepat tinggalkan pejabat ini.

***********

"Apa semua ni...?" Kata Afiq kepada dirinya sendiri. Sudah hampir tiga tahun berlalu sejak peristiwa hitam yang terjadi pada dirinya di rumah pusaka peninggalan arwah atuknya.

Untuk tiga tahun itu hidupnya tenang, dia boleh menjalani hidupnya dengan baik. Tak pernah lagi terjadi keadaan seperti ini. Baginya sumpahan Rangga telah tamat dengan bantuan Imam Omar.

Namun, mimpi yang dialaminya secara berulang dengan wajah wanita persis seperti Rangga yang hadir dalam mimpinya, ditambah lagi dengan gangguan sebentar tadi betul-betul menyerabutkan pemikiran.

"BEEP...BEEP..."

Lamunan Afiq dihentikan dengan notifikasi whatsapp dari Faizal.
Afiq segera membuka pesanan whatsapp dari Faizal.

"Salam Fiq, tadi Ngah Dollah ada telefon aku, dia bagitahu Imam Omar da meninggal dunia empat hari lepas. "

Tersentak Afiq ketika membaca pesanan Whatsapp dari Faizal itu,Afiq segera mengalihkan keretanya ke bahu jalan untuknya membalas pesanan semula kepada Faizal.

Afiq : kenapa dah 4 hari meninggal baru bagitahu...?

Typing...
Pejal : Ngah Dollah taknak kau tahu awal, sebab Imam Omar ada pesan dengan dia, apa jadi pun dia taknak kau balik ke sana.

Afiq : kenapa....???
Perbualan di Whatsapp tiba-tiba terhenti. Hanya ‘blue tick’ dari Faizal.

Afiq yang masih tidak berpuas hati cuba menghubungi Faizal. Berkali-kali dihubungi namun telefon Faizal seolah-olah telah dimatikan.

Tanpa Afiq sedari, di sebelah sisi kanannya ada wanita sedang menghampiri. Kakinya di sebelah atas manakala kepalanya ke bawah, tergantung seperti kelawar. Rambutnya yang panjang mengurai dibiarkan jatuh mengheret tanah, seluruh wajah dan tubuhnya pucat tak berdarah seolah-olah mayat, matanya dijegilkan garang. Ia datang perlahan, terapung.

Ia mendekati Afiq yang leka menghubungi Faizal.

"Sorry bro, tadi bateri aku habis, baru charge ni..." jawab Faizal yang baru mengangkat phonenya.
"Ok, tak kisahlah, kau kat mana sekarang? " Soal Afiq.
"Kat rumah… Kau pulak kat mana..?" Soal Faizal pula membalas soalan Afiq.
"Aku baru sampai....U..."
Kelu lidahnya. Matanya kini bertentang dengan sang puaka yang bergentayangan dalam keadaan terbalik, menyeringai memandangnya.
"Wei, kau kat mana ni...?"
"Wei, jawablah....!"

Soal Faizal bertalu-talu. Keretanya mati tiba-tiba! Kunci kereta dipulas berkali-kali, Afiq cuba menghidupkan enjin dan ternyata dia gagal. Sesekali dia memerhatikan wanita puaka yang semakin hampir padanya. Segala surah cuba dibacanya , namun wanita itu masih tidak berganjak pergi.

Hanya tinggal dua langkah sahaja untuk wanita itu sampai kepadanya. Afiq dapat melihat wanita puaka itu membuka mulut seluasnya, lidahnya yang panjang dan bercabang umpama lidah ular mula dikeluarkan. Terasa jijik Afiq melihat perlakuan puaka itu. Tidak semena-mena waktu itu, enjin kereta dapat dihidupkan. Baru Afiq hendak menolak gear keretanya…

PANGGGG!

Tingkap keretanya dihempas kuat dengan menggunakan kedua tangan oleh wanita itu, manakala wajahnya dilekapkan ke tingkap kereta. Dari lohong mulutnya yang ternganga, keluarlah segala jenis serangga yang melata.

“KEMBALILAH...!"
Pekik puaka itu.
"Arghhhhh…!"

*************

Faizal POV

"ARGHHHHH...!!!" Jerit pekik Afiq kedengaran dari talian yang tidak dimatikan melalui perbualannya dengan Faizal.

Faizal segera menamatkan panggilannya dan bergegas mencapai kunci keretanya di penyangkut kunci. Dari perbualan akhirnya bersama Afiq dia mengatakan yang lokasinya ada di jalan U Thant yang maksudnya tidak berapa jauh dari rumah.

"Tidakkah sepatutnya kau merisaukan dirimu dahulu, sebelum membantu orang lain?"

Namun suara wanita yang entah datang dari mana, mengejutkan Faizal yang baru hendak keluar dari rumah.

"Dia selamat dalam jagaanku. Namun kau, adakah kau selamat di sini?" soal suara itu lagi.

Faizal tidak mengendahkan kata-kata yang entah datang dari mana itu, dia segera menuju ke arah pintu, tombol pintu itu dipulas namun ternyata terkunci, seperti ditahan dari luar.

"Kemana kau ingin pergi...?" Soal suara itu lagi.

"BUKANKAH DAH JELAS, AKU NAK PERGI TOLONG KAWAN AKU...!!" Entah datang dari mana keberanian hadir di dalam hati Faizal membuatkan dia segera memaki makhluk puaka yang mengganggunya.

"Kau tak patut mencampuri URUSAN ORANG LAIN!" Tempik suara itu dan dengan tidak semena-mena kerusi di meja makan dilemparkan kepada Faizal.

Walaupun dapat dielak oleh Faizal, seluruh rumah menjadi huru hara dengan segala perkakas dan perabot rumah dihempas dan dilempar di ruang tamu rumah. Faizal segera berlindung di sebalik almari dapur.

Walaupun dia tidak dapat mengawal ketakutannya kali ini, namun Ayatul Qursi cuba dibaca dengan walaupun bacaannya sudah mula tunggang langgang.

"Ya Allah,hanya padaMu aku mohon pertolongan." mohon Faizal dalam doanya.

"Hehh...Hehh..Hehh…"

Kedengaran suara ketawa dari atas almari yang menjadi tempat lindungan Faizal dari sang puaka. Tika Faizal cuba menoleh ke atas, setitis air jatuh ke pipi kirinya.

Bau busuk mula menyelubungi.

"Allah, tuhan yang maha besar,sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung,aku mohon padaMu lindungilah hambaMu ini." doanya di dalam hati.

Dia segera mendongak melihat ke atas almari, dan puaka yang ada di atas almari itu telah tiada.

"Aku di sini..."
Bisik satu suara. Faizal menoleh.
Dan masih tiada...

"KELUAR...TUNJUKKAN WAJAH KAU...!! " Tempik Faizal.
"Kau ingin melihat aku..?"
Soal suara itu.

"Tidakkah engkau takut?" Soal suara itu lagi.
"AKU HANYA TAKUT DENGAN ALLAH...!" kata Faizal dengan yakin.
PRANNNGGG!

Serentak dengan kata-katanya, papan pintu tertanggal dan tercampak keluar. Bau kuat haruman setanggi dan bunga kemboja turut singgah ke hidung Faizal. Mata Faizal hampir tidak berkelip menantikan apa yang bakal muncul di hadapannya. Debaran dadanya juga semakin terasa.

"Di mana yang kau lihat… aku di sini… " Bisik wanita itu dan kini perhatian Faizal mula teralih pada arah pintu rumah.

Dan kini jelaslah di hadapan matanya,seorang wanita berpakaian kebaya iras seperti dayang-dayang di zaman dahulukala. Rambutnya dibiarkan disikat tepi ke belah kiri panjang melepasi bahu. Alis matanya sangat cantik, dengan bibir yang menguntum senyuman manis. Di sarung sebuah songket yang menutup separuh lagi wajahnya di sebelah kanan.

"Siapa kau..?" Tanya Faizal dengan terketar-ketar.

"Sungguh mudah kau melupakan aku, sudahkah kau lupa kita pernah berjumpa dahulu? " Soal wanita itu.

"Waktu itu kau di beranda rumah pusaka ayah dan ibuku, dan aku memperlihatkan kelibatku dalam rupa wujud asalku dihadapanmu, tiga tahun lepas, masihkah kau ingat?" Soal wanita itu lagi.

*********
FLASHBACK CHAPTER 1


Faizal mula hendak bangun hinggalah sayup-sayup di telinganya dia terdengar bisikan halus seperti mentera.

“ Menjelang malam, dirimu mulai sirna... 
Jangan terbangun dari tidurmu... 
Awas, jangan terlihat ... 
Aku sedang gelisah, 
Jin setan ku perintahkan, 
Jadilah apapun juga, 
Namun jangan membawa maut…”


Sayup-sayup disertai bauan setanggi dan haruman bunga kemboja.

Matanya tertancap pada rimbunan belukar di depan rumah , tempat dimana kereta arwah Rusdi diletakkan, dari jauh dia melihat seolah-olah helaian kain putih buruk melayang-layang.

Lantas Faizal terus berlari masuk dan mengunci pintu rumah terus berlari masuk ke dalam bilik dan menekup wajahnya dengan bantal.

************

"KAU… KAIN YANG MELAYANG TU?"
Ujar Faizal terkejut. Wanita itu hanya tersenyum sinis.

"Rangga?" Kata Faizal.
"Bukan Rangga...Tapi Seri!" Jawab wanita itu.
"KAU PUAKA!" Tempik Faizal.
"Jika engkau turun Ka-Tanah,

Seri Limbai Namamu..." jawab wanita itu sambil wajahnya menoleh ke arah frame gambar Afiq dan Faizal yang ditangkap sewaktu mereka bercuti di Langkawi dahulu.


"AKU TAK FAHAM KATA-KATA KAU DAN APA YANG KAU MAHU!" Tengking Faizal kepada Seri.

Seri mengerlingkan matanya ke arah Faizal, pandangan mata yang mempesonakan sebentar tadi segera berubah menjadi sinis dan mengerikan.

"AKU TAK TAKUT DENGAN MAKHLUK TERLAKNAT SEPERTI KAU!" tengking Faizal lagi.

"Hatinya mengatakan yang dia cukup iman, sedangkan perbuatannya tidak. Dia selalu ingkar pada suruhan Allah, amal yang dilakukannya tidak ikhlas untuk Allah. Jauh di lubuk sanubarinya dia mengharapkan orang lain yang memberikan pandangan mulia padanya...." kata Seri memulakan bicara.

Faizal terdiam dengan kata-kata Seri, dirasakannya kata-kata dari wanita ini seolah-olah memperli nya, seakan paku buah keras dipulangkan kepadanya.

"Kau cukup sempurna untuk aku...." sambung Seri ,namun kini suaranya lebih perlahan seakan berbisik.

"A....apa...mak..maksud..kau..?" Soal Faizal tergagap.

Sambil berjalan menuju ke arah Faizal, Seri secara perlahan-lahan menurunkan kain songket yang menutupi separuh wajahnya.

Kain songket dilurut jatuh ke lantai dan tika itulah dia kini berada betul-betul di hadapan Faizal. Namun dia menundukkan wajahnya dari pandangan mata Faizal.

Faizal mula merasakan takut yang luar biasa, lebih menakutkan dari saatnya berjumpa dengan sang Rangga dan 99 anaknya di rumah pusaka milik arwah atuk Afiq dulu. Sudah habis beratus ayat suci dibacanya namun satu pun tidak berkesan.

"Huh,kau tahu tak mengapa Allah tidak membantumu..?" Soal Seri.

"Kerana kau sekadar memohon pertolongannya di saat kau perlukannya, dan kau tidak meyakini DIA." Soalan Seri dijawab olehnya sendiri.

"Huhh...huhh..huhh..." kali ini Faizal mula hilang ikhtiar, seolah-olah puaka itu boleh membaca apa yang terlintas di fikirannya.

"Kenapa ..dah takut..?" Soal Seri.
Perlahan-lahan dia mendongakkan wajahnya menghadap ke arah Faizal, hampir sahaja Faizal pengsan. Lututnya mula menggeletar tanpa henti.

Manakan tidak, Seri yang cantik di sebelah kiri wajahnya rupanya memiliki wajah yang sangat mengerikan di sebelah kanannya, seolah-olah mayat reput sehingga tercarik-carik daging wajahnya dan kelihatan bentuk tengkoraknya. Tiada mata di bahagian wajah buruknya, yang ada di soket matanya adalah seekor ular tedung berwarna keemasan yang menjalar keluar dari soket matanya yang lohong, sesekali lidahnya keluar dari celahan gigi yang rompong, menjilat ulat-ulat berengga yang jatuh dari cebisan daging busuk di wajahnya.

"Ayahku tidak menginginkan aku, ibuku dan adik beradikku dipasak ke dalam rumah pusaka, jadi yang aku mahukan adalah keturunannya yang terakhir...!"

Kata Seri.

"Setelah aku selesai dengannya..aku akan datang kepadamu..."

********************

"Encik bangun, kenapa tidur kat sini..."

Afiq mengerutkan muka. Berpinar-pinar matanya dengan silauan neon berwarna biru dari siren kereta peronda yang diparkir dihadapannya.

"Encik, cik ok ke? Kami terima laporan dari orang awam tentang cik yang ditemui pengsan di dalam kereta.” soal anggota polis itu.

"Saya tertidur. Letih sangat sampai tertidur kat sini." jawab Afiq cuba berbohong.

"Terima kasih datang jenguk saya. Jangan risau saya tak de apa-apa." kata Afiq lagi.

Anggota polis yang muda sekadar mengiakan kata-kata Afiq dan terus memasuki semula kereta perondanya, manakala anggota polis yang lebih berumur dan berpengalaman pula menyedari tindak tanduk Afiq yang agak mencurigakan.

"Dik, kalau ada masalah, beritahu, buat laporan ya." kata polis itu kepada Afiq.

"Buat laporan …? korang takkan percaya apa yang aku laporkan. Silap haribulan dikatanya aku gila...!!" bentak hati Afiq. Terpaksa, dia tersenyum kepada anggota polis itu.

*************
AFIQ POV


"Dato', saya perlu ambil emergency leave selama seminggu. Samada Dato' benarkan ataupun tidak, saya tetap akan cuti, maaf, ada perkara penting yang tak mampu saya elakkan."

Sent
Whatsapp telah dihantar.


Afiq segera meletakkan telefon bimbitnya ke dalam dashboard keretanya .Bermacam hal yang jadi semalam, Kematian Imam Omar yang dirahsiakan kepada dirinya, rumahnya yang tunggang langgang ibarat kapal karam ketika dia pulang semalam dan paling mengejutkannya, Faizal terjun dari balkoni rumah yang disewa mereka. Faizal terjun dari tingkat empat, mujurlah dia jatuh terhempas ke atas bumbung kereta milik penghuni lain di situ, namun impak kuat dari itu menyebabkan patah tulang belulangnya. Di saat Afiq nekad untuk pulang semula ke Kampung Berembang pun Faizal masih kritikal di unit ICU.

Afiq melihat ke Waze. Tinggal 24km sahaja sebelum dia sampai Kampung Berembang, dan untuk menghilangkan kegelisahannya dia membakar sebatang rokok .Tingkap keretanya dibuka diturunkan.

Langsung tidak terfikir olehnya apa yang telah dilakukannya. Kenapa Imam Omar sebelum meninggal dunia pun, memberi amaran keras kepada Ngah Dollah agar Afiq jangan pulang.

Hari semakin merangkak senja. Langit pun mula bertukar kepada kekuningan, luar biasa pekatnya senja ini.

Namun bagi Afiq, langit yang kuning jingga itu tidak penting. Pantang yang telah dilanggar - pulang ke Kampung Berembang bererti mencari masalah dalam keadaan sekarang.

Sebatang rokok telah habis dihisapnya. Afiq segera menaikkan tingkapnya kembali, hatinya masih resah gelisah. Afiq segera membuka radio keretanya.

"Kreekkkk...Kreekkkk…"

Sial, dalam keadaan ini pun radio keretanya masih terganggu. Segera, Afiq menutup radionya dengan kasar.

Kini pandangannya terarah ke pemanduannya semula. Dia tergamam. Aneh, kerana rasanya jalan yang dilalui olehnya tidaklah berkabus seperti ini.

Dia memandang ke kiri dan kanan jalan, deretan pokok kelapa sawit di sebelah kiri dan hutan rimba di sebelah kanan jalan menambahkan suasana seram sehingga merinding bulu tengkuknya.


Pandangannya terarah ke depan ,namun dikejutkan oleh seorang wanita berambut panjang dan buruk sebelah wajahnya meluru ke arahnya, membuatkan Afiq secara kelam kabut membelok ke arah kanan dan...

BAMMM! 
Keretanya menyodok pohon meranti besar di situ.


Kepalanya cedera, darah yang mengalir membasahi bajunya. Dalam kepayahan Afiq merangkak keluar dari kereta.

"HA...HA...HA...."
Terdengar hilai tawa dari sang puaka kepada Afiq. Afiq yang ketakutan terus melarikan diri , lari masuk meredah belantara.

Masuk ke Rimba Kalong.
Tempat segalanya bermula.
Dan akhirnya juga di sini.
************

Afiq berlari meredah hutan belantara ,habis semua belukar dan dahan-dan kecil dilanggarnya. Keadaannya kali ini kelihatan sama seperti di dalam mimpinya sebelum ini. Dia terus berlari dan berlari , kecederaan akibat kemalangannya sebelum ini langsung tidak dihiraukan.

Tekadnya hanya satu, dia harus lari dari puaka yang mengejarnya.

Manakala bunyi hilaian bergema di seluruh rimba.

"Afiq...!"

Suara wanita memanggilnya membuatkan dia segera melihat ke arah sebelah kanan. Dan alangkah terkejutnya dia, wanita sama yang meluru ke arah keretanya hingga mengakibatkannya kemalangan kini ada di sebelahnya. Puaka betina itu sedang terapung, sebelah wajahnya yang buruk menyeringai memandang Afiq.

"ARGHHHH...!"

Afiq menjerit apabila kakinya tersadung dahan pokok yang melingkar di lantai rimba.

Afiq jatuh tergolek menyembah bumi, sudahlah sakit kemalangan masih belum hilang, kini, jatuh sekali lagi.

Dalam kepayahan dia mengangkat wajahnya, pandangannya terhenti di hadapan sebuah nisan tak bernama betul-betul di hadapan mukanya kini.

"Arghhh..." Afiq cuba untuk bangun, namun gagal kerana kakinya telah dibelit oleh ular yang besar. Ular itu berdesis garang.

"Aku seorang ibu saudara yang baik bukan? Sebelum ajal menjemput kau, aku bawa kau berjumpa dengan atuk kau. Ayah aku..!" kata wanita itu yang tiba-tiba muncul di hadapannya dan sedang memeluk batu nisan tidak bernama itu.

"Tidak, ini bukan kuburan atukku ..!" Jerit Afiq.

"Kau tak tahu apa-apa… lagipun, kau pun akan mati." kata wanita itu, tersenyum sinis.

"Siapa kau..?!" Soal Afiq, hampir berkerut wajahnya menahan kesakitan dibelit sang ular puaka.

"Anak bongsu Shafiudin dan Sang Rangga, separuh manusia dan separuh jin. Seri Limbai namaku, dan kini selepas kehadiran kau, satu-satunya keturunannya yang terakhir, KAU DAN OMAR MEMASUNG KELUARGAKU HINGGA HARI KIAMAT...! AKU DATANG MEMBALAS DENDAM..!"

Afiq cuba menjerit untuk mengatakan sesuatu namun lidahnya kelu apabila Seri mengangakan mulutnya seluasnya, cukup besar sehingga kepala Afiq memasuki mulutnya.

"KAU MILIK AKU...!"
"Nanti..."

Kata-kata rayuan terakhir sebelum kepalanya dibaham hidup-hidup oleh Seri.
Dengan itu berakhirnya sebuah janji.

*********

Sementara itu, di Kampung Berembang, Ngah Dollah memerhati sisa-sisa abu rumah pusaka yang dibakarnya bersama orang-orang kampung .Ngah Dollah menarik nafas lega , amanat akhir Imam Omar telah dilaksanakannya.


Ngah Dollah terfikir untuk menelefon Afiq nanti. Berita kejayaan memusnahkan puaka Rangga dan 99 anaknya haruslah diberitahu kepada Afiq.

Ngah Dollah yakin semua puaka telah dihapuskan, dengan cukupnya tiga tahun, dan kini kekuatan Rangga telah dilemahkan, maka ia sudah boleh dibunuh dengan cara dibakar sewaktu ia dirumah pusaka.

Namun kini hanya kita yang membaca kisah ini sahaja yang tahu yang masih ada satu lagi yang tertinggal.

Dan hanya kita sahaja yang tahu nasib Afiq, dan tentang kewujudan Seri Limbai.

************

4 hari kemudian.
Hospital Pantai Medical Cheras .


Beep...Beep… Beep
Faizal tersedar setelah empat hari koma.
Perlahan-lahan dia membuka matanya, dalam kelam gelap di Wad Empat itu dia melihat di hujung kaki katilnya .

Seorang wanita cantik sebelah kiri wajahnya, berpakaian cantik persis dayang-dayang dahulukala dan menutup kain songket di wajah kanannya, manakala tangan kirinya menghulurkan sebentuk pisau belati berukirkan ular dan dihiasi batu kecubung kepada Faizal.

"Bukankah telah aku katakan, aku akan datang semula kepadamu." kata Seri, kepada Faizal.

"Kau tak boleh lari lagi dariku, terimalah aku sebagai pengantin perempuanmu, dan terimalah cintaku, sesungguhnya aku ikhlas mencintaimu." kata Seri lagi.

"Kelipkan matamu tanda setuju, atau di sini juga kau dan seluruh keluargamu yang tertinggal akan aku binasakan dan kumamah daging mereka sehingga ke temulang mereka"

"BERJANJILAH DENGANKU..! "
"DAN PISAU PUSAKA ITU SEBAGAI AKAD…!”

-TAMAT-

Tuesday, 23 January 2018

PUSAKA IBLIS (PART 2) - Kukil Kufiq


TAJUK : PUSAKA IBLIS (PART 2)

================

Baru beberapa langkah Afiq menapak ke ruang tamu.
Kakinya kaku apabila bebola matanya terlihat sesuatu di sebalik pintu.
"Selamat pulang wahai cucuku..."

*************************

"Tak mungkin! Itu semua hanya mimpi, kau tak wujud..!" kata Afiq seakan berbisik.
Lalu wanita itu keluar dari balik pintu.
"Tidakkah kehadiran aku disini bukti kewujudanku...?" soal wanita itu, tersenyum sinis.
"TIDAK ...PERGI...!!!!!" tempik Afiq.

"Hehhhh...Hehhhh....Hehhhhh....." Wanita itu ketawa mengilai. Lehernya berpusing, memanjang aneh, dan seluruh badannya berpintal-pintal dan bergulung selayaknya seperti seekor ular, wajahnya berubah menjadi bersisik dan dua siung tajam terkeluar di celah-celah bibirnya. Afiq dapat melihat dengan jelas gigi wanita itu berubah menjadi tajam seperti bilah-bilah mata di gergaji, disertai rembesan air liur yang busuk dari bangkai.

Afiq terus jatuh terduduk. Tanpa dia sedari, cairan panas air kencingnya mengalir membasahi seluarnya, bukan mimpi, bukan mimpi, ini nyata , ternyata bukan mimpi.

Lantas, dia memejamkan matanya, cuba berharap wanita jadi-jadian itu pergi darinya saat matanya terbuka. Seluarnya lencun dibasahi air kencing sendiri, peluhnya menitik-nitik membasahi dahi.

Tiba-tiba, Afiq merasakan dagunya dipegang dan didongakkan kasar. Bauan busuk seperti bangkai menujah kuat dihidungnya. "Aku datang untukmu cucuku. Untukmu, wahai cucuku, kemarilah wahai cucuku,dipejam atau dibuka matamu, aku tetap datang jua kepadamu, HANYA AKU SAJA WARISMU, KELUARGAMU YANG TINGGAL...!" Suara wanita itu berkata garang.

Afiq membuka mata perlahan, takut-takut. Di saat ini hati Afiq hanya mengharapkan dia segera pengsan, namun itu takkan berlaku. Hendak dibaca seluruh ayat-ayat suci yang pernah dihafal tetapi lidahnya menjadi kelu, Ayat Qursi yang dihafalnya seperti lupa begitu sahaja, itulah yang berlaku jika kurangnya iman di hati. Sekadar mengetahui namun tidak mengamal.

Dengan matanya yang kini terbuntang luas - di matanya wanita hodoh wajah bersisik seperti ular menyeringai dengan giginya yang mengerikan. Afiq pasti dengan ketajaman gigi dan siung yang dimiliki wanita itu cukup untuk menghancurkan kepalanya dengan sekali kunyahan.

"AFIQQQQQQ.....!!!!"

Jeritan wanita itu bergema di seluruh rumah. Seandainya hijab orang lain terbuka, pasti jeritan itu didengari hampir seluruh kampung.

***********************************

SHAIFUDIN POV
1976
Al-A'raf Ayat 27: 
"Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka."


Udin duduk tersandar di perdu pokok Jejawi di dalam rimbunan tebal rimba Kalong, tekaknya berasa dahaga. Lantas, air yang tersisa di dalam bekas yang dibawa cuba diteguknya.

Hampa. Yang tinggal hanya titisan-titisan air sahaja, langsung tidak mampu menghilangkan dahaganya.

Sudah hampir dua minggu dia tersesat di dalam rimba ini. Bukannya dia tidak mahir selok-belok rimba ini. Dia tahu di mana lokasi sungai, di mana pohon berbuah untuk dia memetik buah menghilangkan lapar, jenis pokok apa yang boleh dimakan atau tidak, itu semua dia mahir. Namun situasinya kali ini sangat aneh.

Telah lebih dari berpuluh kali dia berpusing-pusing di tempat yang sama , dia tahu kerana ini bukan kali pertama dia melalui pohon Jejawi yang dijadikan tempatnya melepaskan lelah ini. Perutnya terlalu lapar, dan kini dahaga sedang menghimpitnya. Dia terlalu lelah untuk berjalan, dua minggu tersesat atau mungkin disesatkan menyebabkan badannya jatuh susut.

Di ingatannya kini teringat tentang sang ayam hutan yang menjadi punca segala apa yang terjadi sekarang. Entah apa sial, entah apa pantang-larang yang dilanggar olehnya hingga diperlakukan begini. Ingatannya kini menerawang jauh mengingatkan Khadijah isterinya yang sedang sarat mengandungkan anak ketiga mereka. Hampir sahaja dia menangis mengenangkan apa bakal berlaku kepada isterinya melahirkan zuriat mereka tanpa dia disisi, pasti kempunan si anak tidak dapat menyantap daging ayam hutan.

Hampir saja dia pasrah dan memejamkan matanya, biarlah dia mati. Tiada daya lagi dia untuk bertahan. Wajah anak lelaki sulungnya dan anak keduanya bermain di wajahnya, juga isterinya ,sesungguhnya dia rindukan mereka.

"Udiiiiiiinnnnnnnnnnn..............."
"Udiiiiiiinnnnnnnnnnn..............."

Sayup-sayup kedengaran di celah pekatnya malam suaranya dipanggil, bulat bola matanya terpanggil dengan suara itu.

"Manusiakah? atau hantu syaitan?" Ada keraguan bermain di hatinya, untuk menyahut panggilan misteri itu atau tidak.

"Udiiiiiiinnnnnnnnnnn..............."

Sekali lagi namanya dipanggil, dia tahu ini saja peluangnya yang tinggal, sama ada dia membalas sahutan misteri ini - atau mati beragan di perdu pokok jejawi. Dengan sisa-sisa tenaganya yang terakhir Udin mengagahkan diri untuk bangun dan anehnya suara itu seperti menyerunya untuk terus mengikutinya.

"Udiiiiiiinnnnnnnnnnn..............di sini .........Udiiinnnnnnn......"

Dia melangkah. Menurut mengikut suara tidak bertubuh tersebut.

Sekian jauh perjalanannya, kini di hadapannya terbentang luas anak sungai yang bersih airnya. Dia kehairanan. Sudah berkali-kali dia melalui kawasan ini, jangankan kata anak sungai, lopak air bekas tapak kaki binatang pun tak dijumpainya. Namun inilah keajaiban yang harus diterimanya, inilah rezeki untuknya. Berkali-kali dipanjatkan syukur kepada Allah atas kurniaan ini.

Namun...

Saat dia menunduk mahu mencapai air jernih, dingin tersebut - tiba-tiba keluar Sang Sawa sebesar batang pokok Damar Hitam, berlingkar garang di hadapannya. Sudah pastilah dengan keadaannnya sekarang dia bukan lawan Sang Sawa, dengan mudah bakal dibaham reptilia itu.

"Aku merayu padamu, wahai Sang Sawa, izinkan aku menitip sedikit air di sungaimu itu." rayu Udin pada Ular itu.

Sang Sawa berkedip. Lidah hitam bercabangnya terjelir-jelir. Anak mata hitam runcingnya merenung Udin garang. Seolah mencabarnya agar merapati. Makhluk itu mendesis, seolah-olah siap sedia menjaga kawasan jajah takluknya.


Udin menelan air liur. Air sungai beralun perlahan, dingin, berkilau. Rasa kesat di tekaknya makin menyeksa. Nekad, dia cuba mara juga ke arah anak sungai berjeram itu, hinggalah terdengar suara halus bergema.

“Aku Bunuh Tiada Bertanya ,
Aku Panchong Tiada Pereksa,
Aku-lah Hulubalang Dalam Dunia,
Sakalian Yang Menjadi Saksi Aku Dapat Binasakan,
Mu Asal Mani, Aku Asal Manikam,
Ah..Patah..!
Ah..Bilah..!
Aku Chakap Binasa Samalah Sakalian..
Hai Si Japang Japai, Hai Si Dada Bidang,
Si Renek Gigi , Si Changgal Panjang,
Si Gerebang Rambut , Si Liok Limbai,
Jika Engkau Duduk Di Jeram,
SANG RANGGA Namaku,
Jangan Engkau Mendengki Khianat Kepada Anak Adam,Manusia,
KU-SUMPAH, DURHAKALAH KAU KEPADA ALLAH...!!!”

Suara itu bergurindam merdu. Udin terpinga-pinga, dan dari celahan pokok Ketapang di hadapannya, muncul seorang wanita cantik berbaju kebaya merah melangkah perlahan penuh lemah gemalai, tersenyum manja. Senyuman yang mampu melenturkan iman siapa sahaja bergelar lelaki.

"Kau tersesat...?" Soal wanita itu.

Udin mengangguk lemah.

Wanita itu tersenyum sambil memalingkan wajahnya memandang ke arah sungai. Kemudian matanya kembali memandang Udin, mengerlingnya tajam sambil tersenyum penuh makna.

"Aku rasa kau perlukan air , atau kau akan mati bila-bila masa saja." kata wanita itu.

Kali ini tiada tindak balas dari Udin melainkan dia terjelepuk jatuh , dia betul-betul tidak berdaya lagi, nafasnya mula turun naik.

"Tolonngggg..." perlahan sekali suara Udin memohon pertolongan dari wanita itu.

"Kau ingin hidup?" soal wanita itu.

Udin memandang wanita itu, untuk mengangguk pun dia tak mampu lagi.

"Isterimu telah selamat melahirkan anak lelaki, anak bongsumu." tambah wanita itu lagi.

Terbuntang mata Udin mendengarkan penjelasan wanita itu.

"Kau pasti ingin pulang, bukan?" soal wanita itu sambil memberikan senyuman penuh mengerikan namun langsung tak mampu menakutkan Udin yang hampir mati.

"Kau ingin berjumpa dengan anakmu, bukan..?" soal wanita itu dibalas dengan pandangan memohon belas kasihan dari Udin.

"Kahwini aku, dan aku akan bantumu untuk hidup. Kelipkan matamu dan termeterainya janji antara kita." kata wanita itu.

Untuk terus hidup, Udin tanpa berfikir panjang - terus mengelipkan matanya.

Surah Al-'Araf ayat 12:
"Engkau ciptakan aku (kata Iblis) dari api sedangkan ciptakan dia (Adam) dari tanah."



***********************************

Udin membuka matanya. Pandangannya disapa oleh wajah gembira Khadijah dan anak-anaknya.


Dari cerita orang-orang kampung, mereka menjumpainya terdampar di pinggir hutan dalam keadaan lesu dan tidak bermaya.

Dua minggu untuk tempoh dia sembuh sepenuhnya.

Hari ini dia sihat untuk pergi melakukan kerja-kerja kampung semula.

Dari pagi hingga ke petang dia mengerjakan kebunnya , membakar pelepah pisang yang sudah rosak dan membersihkan daun-daun kering juga menebas lalang yang merimbun di perkebunannya, hingga akhirnya hari merangkak senja.

Dan ketika itulah kakinya tersepak sesuatu.

Ternyata ia adalah sebuah pisau belati yang cantik buatannya, diukir ukiran ular di pemegangnya malah dihiasi juga dengan manik-manik batu kecubung. Hati Udin bagai ditarik-tarik untuk mengambil pisau itu.

Dibelek dan diteliti semula pisau itu , cantik dan kemas ukirannya, Udin mula mencabut pisau dari sarungnya , kali ini dia lebih takjub lagi , terukir ukiran kerawang yang cukup berseni disertai tulisan jawi bertulis " Sang Rangga " di mata pisau itu.

Tika itulah...

"Aku kembali kepadamu suamiku."

Hadirnya bisikan halus di telinganya.


Udin tersentak, dantanpa sengaja - tangannya terhiris pada mata pisau itu.

"JANJI....!!!" dengan secara tiba-tiba bisikan halus menjadi tempikan gegak gempita di sekeliling perkebunan Udin.

Dan ketika itulah , berulang tayang semula ingatan Udin tentang janji-janjinya pada ‘Sang Rangga’, penghuni rimba yang entah dari mana datang, yang kini adalah isteri mudanya.

Matahari kian turun ke barat, tanda malam makin berlabuh, dan kini peralihan waktu bermula. Cahaya mega merah menerangi pelusuk bumi, di hadapan Udin ‘Sang Rangga’ tegak berdiri. Rambutnya beralun perlahan, disapa angin.

"Aku datang menuntut janjimu, sayang."

"Ya, aku tahu. Aku masih ingat lagi. Aku akan menunaikan nafkahku sebagai suami." jawab Udin.
Sang Rangga tersenyum manja.

"Kau akan biarkan aku menghuni badanmu sayang, dan akan membenarkan aku membesarkan zuriat kita di dalamnya?" Soal Rangga.

"Ya! Asalkan kau tidak mengganggu kerabatku yang lain. Isteri dan anak-anakku."

"Baiklah aku berjanji , suamiku..!" jawab Rangga.

Dengan itu terhasilah persetubuhan manusia dan jin , terjadilah keturunannya, hingga akhirnya bercambah keturunannya hingga menjadi 99 ekor.

Dan Udin adalah perumah kepada 100 ekor Jin.

Memberikannya kekayaan.
Tanahnya berbidang , berekar, malah lebih dari itu, duit bukan masalah baginya.
Semuanya kerana Sang Rangga.
Udin Beristerikan Langsuir Berjelmaan Ular.
Dan Belati Pusaka adalah Akadnya.

*************

1997

Seluruh pelusuk kampung dikerah mencari Rusdi yang hilang sejak seminggu yang lalu.
Kata ibu dan ayahnya, semalam dia ada telefon untuk datang. Namun hingga hari ini, dia hilang tanpa berita. Seluruh pelusuk hutan diredah oleh pasukan penyelamat, polis, bomba dan penduduk kampung.

Namun tidak bagi Udin, bapa kepada Rusdi... dia tidak mencari Rusdi, disisipkan belati pusaka di pinggangnya dan terus meredah hutan,mencari Sang Rangga isterinya.

Langkahnya tiba di anak sungai tempatnya Rangga tinggal dan ternyata Rangga ada di situ,duduk bersimpuh di atas dahan tumbang menunggu kehadirannya. Puaka itu masih awet muda. Masih cantik. Rambutnya yang hitam pekat dihamparkan ke sekelilingnya, sesekali terbuai ditiup angin.

Puaka itu menyeringai, sinis. Api kemarahan Udin membuak.

"RANGGAAAA! PULANGKAN ANAKKUUU....!!!" tempik Udin.

"Abang mungkir janji!” tempik Rangga. Matanya berubah, bertukar menjadi mata ular dengan anak mata hitamnya - tajam meruncing.

"TERGAMAK ABANG MEMUTUSKAN PERTALIAN KITA...!!!" Tempik Rangga.

"Kau dan aku tidak boleh bersatu, asal kejadian kita tidak sama, kau hanya puaka yang mempermainkan aku. Kau keturunan IBLIS yang dilaknat...!" Tempik Udin.

"Mungkin kau sudah lupa, yang aku ini isterimu… Aku lah yang memberi kesenangan padamu, asalkan kau taat padaku...!" Balas Rangga.

"Dan memberikan keturunanku padamu untuk santapan kau dan anak-anakmu…? TIDAK SAMA SEKALI RANGGA...!!!" Tegas Udin.

"ANAK KITA....BUKAN ANAKKU..!" balas Rangga.

"DAN KAU SUDAH BERJANJI!"

"SYAITAN-SYAITAN ITU BUKAN ANAKKU...!...AKAN KUTENTANG MU HABIS-HABISAN RANGGA...!!"

"Arghhhhhh.....Aku sudah memberimu pilihan ,dan kau pilih mereka, kini KAU DAN MEREKA AKAN KUBINASAKAN...!!!"

Lalu Rangga berubah menjadi asal wujudnya, bergulung badannya, berwajah mempunyai sisik, kedua siungnya tersembul keluar, dan mulutnya dipenuhi taring seakan gergaji. Matanya yang cantik kini cukup mengerikan, merah membara, tersembul memandangnya marah. Sewaktu badannya bergulung berubah menjadi puaka, ia berbunyi aneh, seakan tulang temulangnya sudah lama dibengkokkan, baru dilentur lega.

"Ketaaakkkkkk...."

"Kraaakkkkkk...."

Bunyi tulang temulangnya yang patah cukup menggerunkan Udin. Udin yang bernikah dengan puaka selama 21 tahun sendiri pun tak pernah melihat wajah asal Si Rangga.

Hari ini dipertontonkan kepadanya...

Serta merta Udin rasa ingin muntah berpinar-pinar seluruh badan dan matanya, Udin terduduk memegang dadanya yang amat sakit. Dia muntah, terjeluak bising. Dalam keadaan lesu dan longlai, dia dapat melihat kini dia dikelilingi oleh bermacam-macam makhluk yang mengerikan, ada yang separuh badannya tenggelam ke dalam tanah, yang bersayap, yang bermata satu, bertanduk dan yang pastinya semuanya adalah keturunannya.

Sang ‘Rangga’ mendekatkan wajahnya.
"Aku akan ambil Rusdi......Hehhhh....Hehhhhhh"

***********

2002

Tidak cukup dengan penemuan mayat arwah Rusdi yang hilang separuh wajahnya dua tahun lepas, kini Udin meratap kematian anak sulungnya Lokman, menantunya Anisa, dua orang cucunya, dan isteri kesayangannya dalam satu kemalangan. Sewaktu semua orang membaca Yasin , Udin hanya mampu meratap.

Di tanah perkuburan, sekali lagi setelah lima tahun berlalu, Udin bertentang mata dengan Sang Rangga. Mempamirkan senyuman mengejeknya yang mengerikan. Ketika semua orang yang hadir baru hendak membacatahlil, kilat sabung menyabung dan hujan turun dengan lebatnya, disertai ribut yang sangat luar biasa. Sayup-sayup kedengaran hilaian tawa Sang Rangga serta anak-anaknya. Penduduk kampung bertempiaran melarikan diri ketakutan. Yang tinggal hanyalah Imam dan beberapa penduduk lain yang mencekalkan diri.

"Hii.....hii.....hii"
"Haaa....haaa....haaaa..."
"Hehhh....hehhh..."

Bergema di seluruh kuburan.

Dan kerana inilah Udin si hartawan menjadi miskin, dipulaukan penduduk kampung kerana dituduh membela puaka.Udin datukku.

Aku dijaga olehnya, dan harinya Sang Rangga menuntut aku, aku dibawa lari oleh Ngah Dollah ke Kuala Lumpur, meninggalkan datukku keseorangan, menghabiskan sisa-sisa nafasnya di sini.

Dan ingatan itu menjelma semula kepadaku, namun semuanya telah terlambat. Kini sang puaka sedang membelitku utuh.


****************


FAIZAL POV

Entah kenapa payah sangat untuk Faizal melelapkan matanya, masih terbayang di matanya helaian kain buruk yang melayang di sebalik rimbunan lalang di tempat kereta buruk milik arwah paksu Afiq.

"Bukan kain buruk, lebih kepada macam sesuatu yang berbeza," fikirnya.

“Ahhh... baik diabaikan, untuk apa diingat benda-benda yang tak pasti. Si Afiq rasanya dah lama keluar tadi, kenapa tak masuk lagi?” getus hatinya.

Faizal segera bangun, niatnya hanya ingin meneguk segelas air sambil lalu boleh pergi menjenguk Afiq, lagipun suasana di bilik ini luar biasa bahangnya.

Tombol pintu dipulas dan dengan langkah malas pintu ditolak oleh Faizal.

Langkahnya kaku. Dia tergamam. Di hadapannya kini terhidang pemandangan yang tak pernah terfikir oleh akalnya.

Sahabatnya Afiq terlentang di atas lantai ruang tamu rumah ,dan melalui mulutnya yang ternganga, kelihatannya sesuatu seperti ular sedang bergeliang-geliut berusaha memasuki mulutnya. Terbuntang mata Afiq berhempas pulas menahan seksa ketika makhluk itu memaksa masuk ke dalam tubuhnya.

Dan bukan itu saja...

Di atas sofa, di atas para, alang rumah dan setiap penjuru di dalam rumah dipenuhi dengan puluhan makhluk-makhluk maha mengerikan.

Kesemua mata makhluk itu kini mengarahkan kepada Faizal.

Sengihan makhluk-makhluk yang kelaparan itu menggerunkan Faizal, namun Faizal masih cuba bertenang, mulutnya masih terkumat kamit membaca ayatul Qursi.

"
" dalam ketakutannya masih jelas bacaan Faizal.


"Ya'lamu Maa Baina Aidiihim Wa Maa Khalfahum." kedengarannya sesuatu sedang mengikut bacaan ayat Qursi dari Faizal.

Faizal segera menoleh ke arah belah kirinya, hampir gugur jantungnya bila melihat seekor mahkluk bertanduk seperti kambing, bermata satu dengan siungnya panjang ke perut sedang tersengih sambil wajahnya disuakan ke wajah Faizal.

"WA LAA YUHITHUUNA BI SYAI-IN MIN 'ILMIHII ILLAA BI MAASYAA-A."Faizal masih meneruskan bacaannya.

"WA LAA YUHITHUUNA BI SYAI-IN MIN 'ILMIHII ILLAA BI MAASYAA-A." Dengan penuh sengihan mengejek, mahkluk itu masih mengikut bacaan Faizal dan habis saja bacaannya, dia terus mencapai bahu Faizal lalu terus mencengkamnya.

Kali ini Faizal tak mampu bertahan lagi, tak tahu dari mana keberaniannya datang dia terus bertakbir.

“Allahhuakbar....!”

Membuatkan makhluk itu serta merta melepaskan cengkaman di bahunya.

Faizal terus berlari dan merempuh pintu utama, mujurlah pintu itu tidak berapa kukuh , rempuhan Faizal berjaya membuatkan kunci pintu itu terkopak dari engselnya.Namun bukan semuanya bernasib baik bagi Faizal kerana rempuhan itu mengakibatkan dia hilang keseimbangan hingga mengakibatkan dia terlajak ke tangga, lalu jatuh tergolek hingga ke kaki tangga.

Belum sempat dia meredakan kesakitannya dan menarik nafas lega, Faizal bangkit dari tempatnya jatuh. Dicapainya anak kaki tangga dari kayu itu. Namun apabila dia mengangkat mukanya, kali ini dia bertentang mata dengan wanita yang buruk seluruh mukanya , sebelah matanya lohong, dan kelihatan ulat-ulat berengga merayap di wajah wanita itu.

Wanita itu tersengih mempamirkan taringnya.

Faizal tanpa berfikir dua kali terus bangun dan berlari menuju ke arah jalan besar, dia perlu meminta bantuan.

Sempat juga dia menoleh ke arah rumah pusaka Afiq, dapat dilihatnya di muka pintu berdiri makhluk sebesar mawas badannya dipenuhi bulu menjaga pintu utama yang dirempuhnya sebentar tadi.

Faizal terus berlari. Kakinya yang berkaki ayam luka-luka meredah denai dan jalan, hingga dia melihat cahaya motosikal berbalam-balam cahayanya dari jauh. Segera, dia meluru ke arah cahaya itu. Tangannya dilambai-lambaikan. Malang sekali lagi bagi Faizal, pemandu motosikal itu tidak sedar kehadirannya, Faizal dirempuh oleh pemandu motosikal itu. Si penunggang jatuh terguling, manakala Faizal tergolek-golek menahan kesakitannya dirempuh.

Si pemandu yang sedang bengang dan kesakitan segera bangun dan meluru ke arah Faizal, dicekak baju Faizal dan hampir saja penumbuknya sampai ke wajah Faizal.

"Tolong bang, saya kena kejar puaka bang, kawan saya dalam masalah bang, bantu saya bang!" rayu Faizal.

"Puaka.....!!?" Tersentak lelaki itu dengan kata-kata Faizal. Setahunya sudah lebih sepuluh tahun tiada kes gangguan puaka di Kampung Berembang ini, kali terakhir berlaku pun selepas kematian Tuk Udin.

"KAU DARI MANA NI...!!!??" tengking lelaki itu.
"Saya dari KL bang." jawab Faizal.
"Aku bukan tanya asal usul kau! DARI MANA KAU DIKEJAR HANTU NI...!!" soal lelaki itu.
"D… dari rumah buruk, bercat biru cair kat pinggir kampung!" jawab Faizal tergagap.
"Rumah Tuk Udin ke?macam mana kau boleh masuk rumah tu?"soal lelaki itu.
"Saya dibawa masuk oleh sahabat saya buat menjenguk rumah pusaka tinggalan arwah atuknya.”
"Siapa atuknya?nama sahabat kau siapa?!” soal lelaki itu bertalu-talu.
"Af...Afiq bang...!" jawab Faizal.
"Ya Allah, Afiq..! bapak dia nama Lokman kan?" Soal lelaki itu.
Faizal hanya mengangguk.
Lelaki itu terus mengambil motornya yang terjatuh dan menghidupkan motornya.
"Dah...! kau naik ke atas motor aku sekarang!" arah lelaki itu.
"Tapi bang, kawan saya..." balas Faizal.
"Nanti kita pergi tolong kawan kau, sekarang ni yang kita kena cari bantuan dulu!" kata lelaki itu.

********************

"Macam mana budak tu boleh balik ke sini Ngah Dollah? Allahuakbar, Allahuakbar..." soal Imam Omar padanya. Termengah-mengah imam tua itu mengikut langkah Ngah Dollah yang pantas.

"Entahlah Imam, sedar-sedar je budak ni dah rempuh aku waktu balik dari ngeteh tadi." kata Ngah Dollah sambil mulutnya dijuihkan kearah Faizal.

"15 tahun lepas, aku yang hantar si Fiq tu pergi ke Kuala Lumpur, entah macam manalah dia boleh balik ke sini, susah payah aku dengan arwah Tuk Udin nak hantar dia ke sana dulu." kata Ngah Dollah sedikit kesal.

"Sudahlah Ngah, kita pun dah sampai." kata Imam Omar.

"Yang lain tunggu di luar. Biar saya dan Ngah Dollah yang masuk." arah Imam Omar pada penduduk kampung yang mengikuti mereka.

"Awak ikut kami sekali." arah Imam Omar pada Faizal.

"Saya takut tok." kata Faizal.

"Yakinlah pada Allah!" Tegas Imam Omar, Ngah Dollah hanya mengangguk tanda mengiakan kata-kata Imam Omar.

"Mari...!" Imam Omar memujuk Faizal. Dengan langkah longlai Faizal mengikut Imam Omar. Langkah demi langkah akhirnya mereka sampai di pintu utama.

"Aneh...?" Bisik hati Faizal. Berkerut dahinya memikirkan keajaiban yang berlaku di hadapan matanya.

"Kau berasa pelik kerana seharusnya daun pintu ini telah dirempuh oleh kau, dan seharusnya terkopak, namun kini ia utuh tertutup dan terkunci, bukan begitu Faizal..?" Soal Imam Omar, sambil memandang wajah Faizal.

Faizal terus memandang Imam Omar, terkebil-kebil matanya mengiyakan kata-kata Imam Omar. Imam Omar hanya tersenyum melihat Faizal.

Ngah Dollah pula hanya ketawa kecil.

Imam Omar memalingkan mukanya menghadap ke arah pintu, segera disentuh pintu.

PRANGGGG!

Hempasan kuat pintu dari dalam seolah-olah tidak membenarkan mereka masuk.

Imam Omar menyentuh daun pintu sekali lagi,dibacanya Al-Fatihah dan 3 Qul .

"Kullul Nafsin Zaa’ikatul Maut!"

Dengan mudah Imam Omar menolak pintu .
Di hadapan Ngah Dollah, Imam Omar dan Faiza,l kini Afiq sedang duduk bersila panggung, layaknya seorang pendekar. Pisau belati berhulukan ular di genggam kemas dan dirapatkan di dadanya.

Manakala kepalanya tertunduk memandang lantai sambil mulutnya meratib tak tentu hala.

Faizal cuba meluru ke arahnya namun dihalang Imam Omar.

"Jasadnya manusia, namun hati nuraninya dikuasai oleh makhluk terlaknat,dia bukan sahabatmu sekarang, jadi berganjaklah ke belakangku" tegur Imam Omar.

"MAKHLUK YANG TERLAKNAT...!!!" Tengking Afiq.
"KAMI DICIPTAKAN LEBIH AWAL DARIMU HAI ANAK ADAM..!!!"
"YANG TERLAKNAT ITU KAMU...!"
"KAU BUKAN LAWANKU....!!" Tengking Afiq dan lantas dia mengangkat wajahnya.

"Astaghfirullahallazim..!" Mengucap panjang Imam Omar dan Ngah Dollah segera menggengam kemas parang yang disisip di pinggangnya.

Manakan tidak, Afiq di hadapan mata mereka bukan lagi seperti manusia, separuh wajahnya bersisik seperti ular,mata di bahagian yang seperti ular pula berwarna kuning dan bola matanya menjadi runcing seperti ular, manakala di sebelah lain wajahya kelihatan biasa tetapi keseluruhan matanya hitam pekat. Sesekali lidahnya yang seperti ular menjilat-jilat wajahnya yang kelihatan biasa.

"SIAPA KAMU....!!!!" tengking Imam Omar.

"Jika kau Tinggal Di Jeram,
Sang Rangga namamu.
Sang Rangga. RANGGA.....!!!!" Tempik Afiq dan terus jatuh meniarap, badannya terus bergerak mengengsot, menyusur dengan laju seperti ular menuju ke arah Imam Omar, Ngah Dollah dan Faizal.


"AKU LAPPAARRRR....!!" Jeritnya. Ngah Dollah segera menarik parangnya manakala Faizal pula jatuh terduduk habis lemah semua sendinya.

"ALLAHHUAKBAR...!!!" takbir dari Imam Omar.

"Wa ja 'alna mim baini aidihim saddaw wa min kholfihim saddan fa agsyaina hum fa hum laa yubsiruun!"
(Dan kami telah jadikan penghalang dihadapan mereka, juga kami tutup pemandangan mereka,sehingga tiada melihat suatu apapun - Surah Yasin :9)



Sepotong ayat dibaca oleh Imam Omar sehingga tercampak dan terlentang menggeletar Afiq ke lantai.

Sambil itu Imam Omar terkumat Kamit membaca ayat dari surah Al-fatihah dan Ayatul Qursi.dan diikut oleh Ngah Dollah dan Faizal.

"KELUAR KAU DAN ANAK-ANAKMU DARI BADANNYA...!!!" Arah Imam Omar.

"Leluhurnya mungkir janji padaku..!" DAN IA HARUS MEMBAYAR DENGAN NYAWANYA....!!!..." tempik Afiq.

"YANG MUNGKIR JANJI ITU ENGKAU, ENGKAU BERJANJI TIDAK AKAN MENGGANGGU KETURUNANNYA, MALAHAN KAU BINASAKAN SELURUH KETURUNANNYA, KINI SATU-SATUNYA WARISNYA YANG TERTINGGAL TETAP JUGA INGIN KAU JAHANAMKAN...!!!" Tempik Imam Omar.

"DIA MILIKKUUU.....!" Jerit Afiq dan terus meluru ke arah Imam Omar.

"MAA YANZURUUNA ILLAA SAYHATAW WAAHIDATAN TA'KHUDHUHUM WA HUM YAKHISSIMUUN!"

(Tiada yang mereka nanti melainkan satu suara yang amat dasyat yang akan memusnahkan mereka semua,sedangkan mereka masih dalam berbantah bantahan" Surah Yasin :49)


"Allahhuakbar!" laung Imam Omar. Bacaan surahnya kali ini membuatkan Afiq yang cuba menyerangnya terjelepuk jatuh dan Sang Rangga dan 99 anak-anaknya tercampak keluar dari badannya.

Kini di hadapan mata mereka, seluruh jin keturunan Udin dan Sang Rangga sedang berkumpul.

"MEREKA MUNGKIR JANJIIIIIII....!!" jerit Rangga.

Ketika semua makhluk itu meluru ke arah mereka, Imam Omar sudah siap dengan langkah seterusnya.

"INNAA JA'ALNAA FIIIY A'Ã…NAAQIHIM AGLAALAN FAHIYA ILAL ADHQAANI FAHUM MUQMAHUUN!"
(Sesungguhnya kami pasangkan belenggu dikuduk mereka dan tangannya terbelenggu hingga ke dagu, seraya kepalanya terngadah" Surah Yasin : 8)



"Arghhhhhhh..." 

Serentak jeritan Ibu mereka, semua mahkluk itu berdiri tegak di tempatnya.mereka telah dikunci pergerakannya.


"FAIZAL! NGAH! AMBIK BUDAK NI BAWAK KELUAR....!!!” arah Imam Omar.

Segera Ngah Dollah mengangkat Afiq yang sedang pengsan dan menarik tangan Faizal yang masih terpinga-pinga keluar dari rumah. Penduduk kampung yang dari tadi menanti di luar segera membantu Ngah Dollah dan Faizal.

"PULANGKAN DIA KEPADAKU.....!!" Jerit Sang Rangga ketika dia melihat Afiq dibawa keluar dari rumah.

"PULANGKAANNN...!!!"
"PULANGKAAANNNNN....!!!"


Dan anak-anak Sang Rangga menyahut panggilan ibu mereka.

Ribut yang entah dari mana datangnya membadai perkarangan rumah pusaka. Dengan situasi seperti ini tiap-tiap penduduk yang ada, hampir sahaja lari jika tidak kerana kepercayaan mereka pada kebolehan Imam Omar.

Imam Omar yang ada di pintu segera membaca surah Al-Jin dan Ayatul Qursi di muka pintu.

"Wamtaazuul yawma ayyuhal mujrimuun..."

(Dihari ini , berasinglah kamu sekalian, hai orang-orang yang durhaka. Surah Yasin : 59)

"DENGAN IZIN ALLAH AKAN KU KUNCI MU DAN SEKALIAN KETURUNANMU DI DALAM RUMAH INI SEHINGGA TIBANYA HARI PEMBALASAN....!!!"Tempik Imam Omar dan dengan segera menutup pintu itu.

"JANNGGGAAANNNN....!!"

"AFIQQQQQ....!!"

Raungan Akhir Rangga sebelum dia dan keturunannya dikurung di dalam rumah. Ribut telah berhenti dan suasana malam mula hening semula dengan bunyi-bunyian sang cengkerik.


Imam Omar memandang semua penduduk Kampung yang ada di bawah rumah.

"Semuanya sudah selesai,Syukur Alhamdulilah." kata Imam Omar.

******************

Afiq semakin sembuh, tiga hari dia dan Faizal berteduh di rumah Ngah Dollah menunggu dirinya sembuh sepenuhnya.Kini tiba harinya untuk dia dan Faizal pulang semula ke Kuala Lumpur.

Setelah bersalaman bersama Imam Omar , dan Ngah Dollah bersama keluarganya. Afiq bergerak pergi.

Dalam perjalanan keluar dari kampung, Afiq terpaksa melalui rumah pusaka peninggalan arwah datuknya.

Dari dalam kereta dia memandang perlahan ke arah rumah itu. Sayu hatinya meninggalkan tanah pusaka sebegitu saja, namun itu rumah itu bukan miliknya, ia dihuni PUAKA. Sekilas pandang Afiq mengalih perhatian, ke arah pemanduannya semula.

Tanpa dia sedari dari celah tingkap rumah dia sedang diperhatikan dengan senyuman sinis Oleh Sang Rangga.

Satu hari nanti Afiq akan kembali juga ke sini.

Kenapa....?

Kerana tanpa dia dan Faizal sedari, di celahan beg bajunya, terselit pisau belati berhulukan ular dan bertatahkan kecubung , dimasukkan dengan sengaja.

"Termeterainya Janji Kau Dan Aku"
"DAN PISAU PUSAKA ITU ADALAH AKAD...!"


-TAMAT-
==============
Suntingan: Penulis FateStay Nite
Gambar: Nil

Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.