Showing posts with label Nasa Yusuf. Show all posts
Showing posts with label Nasa Yusuf. Show all posts

Sunday, 29 April 2018

RINDU - Nasa Yusuf


RINDU
Nukilan : Nasa Yusuf
==================================
Lambaian dedaun di luar jendela sedikit menenangkan. Dari tingkap kecil berbentuk empat segi itu terlihat kayu semakin usang sebagai penghias ukiran. Berwarna coklat lembut. Cermin tingkap sedikit kelam, berkabus. Apabila dikesat dengan tangan, masih lagi kembali pada yang asal. Kelam semula...

Telefon berbunyi.
“Mommy”.

Itulah nama yang terpapar di skrin. Malas betul dia nak menjawab. Namun deringan itu berkali-kali. Akhirnya Maya mengalah.

“Ye mommy...”
“Betul Maya tak mahu balik rumah mommy? Dah seminggu Maya langsung tak jenguk mommy. Mommy rindu....”
“Beri Maya masa...” Pintanya perlahan. Lantas talian dimatikan.

Maya menghela nafas. Duduk di meja bulat tepi jendela, menghirup air kopi pekat yang dijadikan peneman setia. Masuk hari ini sudah tiga hari dia tidak dapat lelap dengan erti kata sebenar-benarnya tidur. Perlahan-lahan, cecair itu mengalir di tekak. Wajahnya berkerut-kerut, tapi ianya nikmat dunia sarapan paginya.

Di sebelahnya kain langsir berwarna hijau muda siap untuk dipasang. Diletakkan di atas sofa sementara. Di sampingnya ada juga langsir berwarna coklat. Sebenarnya dia masih berkira-kira untuk memilih. Sekejap lagi dia akan menukar kain langsir yang nampak sudah pudar di rumahnya.

Cawan itu diletak perlahan. Dibetulkan pemegang agar seiring dengan tubuh. Entah apa tujuan. Sekadar bosan dan melayan perasaan mungkin! Sekali lagi Maya mengeluh.

Rindu....

Ya... itulah yang menyebabkan dia begitu dalam berperilaku. Masuk hari ini sudah lima hari pemergian suami tercinta. Maya betah duduk di rumah seorang diri. Keluarganya sudah mengajak agar tinggal bersama, tapi bagi Maya biarlah dia dengan kenangan yang masih baru bersama suami.

Sesekali Maya tersenyum, ketawa kecil apabila imbauan memori itu singgah. Ya! Rudi cukup kelakar. Orangnya simple, tidak banyak bercakap. Apabila berbicara lembut tingkahnya. Tidak pandai marah, tidak pandai bergurau, tapi dalam seriusnya itu, Maya cukup terhibur.

“Cantik betul Maya ni...”

Ujar Rudi di suatu pagi. Ketika mereka masih berbaring di katil empuk. Kenangan bagi suami isteri yang sangat bernilai. Sentuhan Rudi melurut di segenap tubuh. Maya memegang tapak tangan suaminya. melihat dan mencium sepenuh perasaan.

Ada tahi lalat di ibu jari kanannya. Rambut suaminya lurus hampir mencecah bahu. Malah anak matanya berwarna coklat perang hazelnut. Rudi menolak rambutnya kebelakang.

“Biasa je bang...”

“Maya sangat cantik....” Puji Rudi lagi. Tidak dinafikan memang isterinya itu sungguh cantik, menarik dan sedap mata memandang.

Maya suka dipuji. Minyak wangi jenama ‘legend’ itu masih lagi melekat baunya di badan Rudi. Maya mencium beberapa kali. Suka betul pada haruman itu.

“Kalau abang tak ada satu masa nanti, ketahuilah yang abang sentiasa ingat pada sayang. Abang akan sentiasa rindu sayang. Walaupun abang tak ada tapi abang sentiasa nampak sayang...”

Maya mengangguk.

“Abang nak air teh?.” Dia bangun dari katil, meluru untuk menyediakan sarapan.

“Abang tak minum teh. Abang suka kopi.”

“Tapi Maya tak suka kopi....” Maya tersenyum memujuk. Mahu juga dia memaksa Rudi agar mengikut kemahuannya.

“Abang tetap suka kopi sayang...” Rudi mencuit dagu isteri tercinta.

Bunyi air yang siap dimasak mematikan lamunan Maya. Tidak ada lagi Rudi, tidak ada lagi perbualan tadi. Kepalanya tertoleh-toleh. Terasa seperti dia di dalam mimpi. Kemudian Maya menghela nafas. Air kopi di atas meja di tenung.

Pahit!

Itu adalah persepsi awalnya apabila meneguk minuman kelat itu. Namun kerana rindu.... kerana rindulah dia suka apa yang Rudi suka, dia cuba apa yang Rudi cuba. Semua kerana dia sangat rindukan lelaki itu.

Matanya sedikit segar walaupun air itu tidak diminum sepenuh hati. Maya bangkit berjalan lemah ke arah dapur. Mematikan api dan dia menoleh ke arah langsir di rumahnya. Maya duduk bersandar di tepi dinding. Masih lagi setiap memori di rumah itu singgah.

“Langsir ni tak cantik lah sayang...” Tegur Rudi mencemik.

“Sayang suka! Sayang tetap nak warna coklat.”

“Ambil lah warna hijau muda tu... yang tu abang suka...” Rudi memeluk pinggang isterinya.

“Tak nak!! Saya tak suka warna hijau muda!!.”

“Hurmm... tak kisah mana-mana, coklat ok, hijau pun ok.” Ujar Rudi.

Maya ketawa melihat gelagat suaminya. Rudi memuncungkan bibir - manja!

Tiba-tiba Maya ketawa sebagai mengimbas kenangan tadi, kemudian dia tersenyum, dan kenangan itu hilang kembali.

Maya menarik nafas dan menghembus beberapa kali. Dia perlu redha dengan pemergian suaminya. Ya! setiap manusia akan diuji dan setiap ujian itu tidak sama.

Bagi Maya walaupun pemergian Rudi itu terlalu cepat, tapi dia tetap redha. Rindu bukan lah untuk meminta Rudi kembali, tapi rindu hanyalah sebahagian dari proses untuk meneruskan hidupnya.

Bunyi guruh di luar memeranjatkan Maya. Teringat kain di ampaian. Maya berlari laju ke pintu belakang. Hujan yang renyai, sekejap sahaja lebat. Sedang Maya mengangkat pakaian, dia terlihat seorang lelaki yang berpeluk tubuh tidak jauh dari rumahnya.

Lelaki itu tidak tahu mahu ke mana, dan tidak dinafikan memang rumah Maya adalah satu-satunya yang ada di situ. Lelaki itu berteduh di bawah pokok namun jelas masih lagi terkena tempias, habis baju kemeja dan sweater hoodie yang dipakai.

“Encik!!! Marilah!!!.”

Spontan Maya memanggil. Dia melambai tangan. Kasihan melihat lelaki itu kebasahan. Dan sebagai tindakan spontan, lelaki itu turut berlari ke arah rumah Maya.

“Encik duduk lah berteduh di sini.”

Maya menghulur tuala yang kebetulan ada di ampaian. Lelaki itu hanya mengangguk di bawah bumbung zink luar rumah. Kawasan halaman rumah itu agak besar dan luas. Hampir semuanya siap ditutup dengan atap.

Tidak disuruh, lelaki itu terus duduk di kerusi yang agak berjauhan dari wanita tadi. Membungkus diri dengan tuala kuning yang tebal.

Kasihan juga Maya melihatnya. Tapi entah kenapa berani pula dia memanggil. Tidak terlintas pula kalau lelaki itu adalah pencuri, perompak, perogol atau...

Ah! Maya malas berfikir yang negatif walaupun kemungkinan itu ada.

Lelaki itu pula sesekali menjeling. Dia terpana, sedikit tergamam pada mulanya. Tapi dibiasakan diri. Mungkin sahaja dia malu.

“Encik duduk lah dulu.”

Lelaki itu mengangguk, dia membuka baju sejuk di bahagian luar dan menarik hoodie yang menutup kepala. Terserlah rambutnya yang lurus separas bahu itu. Tuala kuning itu di lap di rambut sambil tersenyum sedikit ke arah Maya. Apabila sudah kering dan agak selesa, tuala itu diserahkan kembali kepada tuannya.

Maya tersenyum dan mengambil pakaian tadi untuk dibawa masuk. Semerbak bau minyak wangi jenama ‘legend’ itu dari luar. Maya menoleh.

“Rudi...”

Namun Maya sedar. Bau itu hanya pada tuala yang digunakan lelaki dari luar tadi. Dia mengeluh kasar.

Setelah meletakkan semua pakaian, Maya berjalan ke arah pintu semula.

“Encik nak air panas?.”

“Boleh juga.” Sambut lelaki itu masih lagi tidak mahu bertentang mata.

“Saya buatkan teh ya?.”

“Err... kopi! Saya tak minum teh.”

Lelaki itu menoleh ke arah jalan raya, melepaskan pandangan. Pada fikirannya bagaimana untuk pulang ke rumah dengan cepat.

Sekali lagi Maya terpana. Anak mata lelaki itu yang berwarna coklat perang hazelnut hampir sama dengan seseorang!

Sungguh penampilan lelaki itu sama seperti Rudi... badannya, rambutnya, bau minyak wanginya...

Ah! Dia hanya rindu....

Sebaik menyiapkan air, Maya membawa cawan ke hadapan, namun lelaki itu tiada. Dia meletakkan cawan. Berjalan sedikit keluar. Hanya kerusi tempat lelaki itu duduk tadi basah, tapi penghuninya tiada.

“Cantik rumah ni...”

Suara itu dari belakang. Maya benar-benar terperanjat, hampir sahaja terpelanting dulang yang dibawa.

Lelaki itu berdiri tegak dengan kedua tangan dimasukkan ke dalam poket. Penampilannya segak. Benar-benar seperti arwah suaminya.

“Errr... saya bawa air te... eh! Kopi!.”

“Terima kasih.” Lelaki itu duduk kembali, terus meneguk kopi panas itu.

Tingkah lakunya diperhatikan, cara lelaki itu minum, cara lelaki itu melihat, cara bercakap dan cara lelaki itu menyelak rambutnya juga sama seperti....

Ah! Dia cuma rindu...

Dari luar, lelaki itu menoleh ke arah ruang dalam, pintu itu terkuak, menampakkan sudut ruang tamu. Terlihat perabot dan secawan kopi di atas meja bulat berhampiran tingkap yang sedikit kelam.

“Dah minum tadi?.” Tanya lelaki itu.

“Ha???.”

“Takkk saya tanya dah minum tadi?.” Ulang lelaki itu semula sambil mengangkat sedikit cawannya ke arah Maya.

Maya menoleh ke dalam, kemudian tersenyum mengangguk.

“Cantik rumah...”

Ulang lelaki itu ayat yang sama, dia tidak tahu mahu berbual apa. tapi dia tidak banyak bercakap.

Maya berlari ke dalam rumah, dia mengambil langsir yang belum dipasang. Yang diletakkan di atas sofa tadi. Lalu dibawa kedua langsir itu keluar menunjuk ke arah lelaki itu.

Lelaki itu mengangkat kedua keningnya.
“Rasa nya yang mana sesuai?.”

Lama lelaki itu berfikir, sebenarnya tidak tahu apa tujuan dia perlu menjawab.
“Yang mana satu sesuai?.” Sekali lagi Maya bertanya.

“Saya tak suka coklat. Saya pilih hijau muda.” Jawab lelaki itu tersenyum, sekadar menghormati ruan rumah. Air kopinya dihirup kembali, tetap mengalihkan pandangan.

Dan kali ini. Air mata Maya bertakung, bergenang. Langsir itu masih erat dipegang. Sebenarnya dia tidak tahu kenapa dia bertindak begitu, apa yang dia tahu dia cuma rindu.

Lelaki itu sedikit terkejut melihat wanita itu berdiri tercegat dengan air mata yang sudah pun mengalir di pipi.

“Errr... saya... ada tersilap cakap ke?.” Cawan tadi diletak kembali.

Maya menggeleng.

“Errr sebenarnya yang mana-mana pun ok. Coklat ok, hijau pun ok.”

Dan kali ini air mata Maya mengalir deras. Serba salah lelaki itu dibuatnya. Maya pula tidak mahu berhenti, terasa dia benar-benar berjumpa dengan arwah suaminya. Dia rindu... terlalu rindu...

Apabila lelaki itu bangun untuk mendekat, Maya beralih. Bau haruman minyak wangi itu sangat dikenali, malah itulah bau yang selalu dicium dari Rudi.

Sebuah kenderaan berhenti tidak jauh dari depan rumah Maya. Dari dalam kereta seorang lelaki lain melambai-lambai.

Maya mendongak.
“Kamal.... kawan saya dah sampai...”

Lelaki itu mengambil baju sejuknya untuk meminta diri. Dia sedikit menunduk mengucapkan terima kasih.

Maya juga meminta maaf. Dan dia menyuruh lelaki itu mendoakan kesejahteraan suaminya serta dirinya sendiri.

“Ketahuilah yang suami awak sentiasa ingat pada awak. Dia akan sentiasa rindu awak. Walaupun dia tak ada, tapi dia sentiasa nampak awak.”

Lelaki itu mengakhiri kata-katanya, tanpa bertentang mata, sebelum meminta diri. Mereka berpisah tanpa sempat mengenali nama dan butir diri.

Maya tercengang! Kata-kata itu.... Benar! Dia yakin lelaki itu adalah suaminya. namun kemudian dia beristigfar. Mengurut .dada dan menganggap semua itu hanya kebetulan.

Ya... sebab dia rindu.....

Sebaik kereta itu berlalu. Maya segera masuk ke rumah mencapai telefon bimbitnya. Nombor didail dan dia menunggu panggilan dari sana berjawab.

“Mommy....” Panggil Maya.

Suara dari sebelah sana terdengar sedikit serak. Wanita itu menangis.

“Mommy... Maya... rindu mommy...”

Dan Maya juga tidak dapat menahan tangisannya sendiri. Ya dia terlalu mengikut perasaan sampai semua orang sekeliling diabaikan.

***********************************

Kereta tersebut bergerak laju membelah jalan raya dan pemandu tadi berceloteh sana sini. Tapi tidak dilayan.

“Hoi!! Kenapa kau termenung?.” Sapa Kamal.
Lelaki itu hanya tersenyum.

“Sejak balik dari rumah wanita tadi... kau termenung ni? Dah jatuh cinta keeee....” Kamal mengusik.
Lelaki itu masih lagi diam, tidak menjawab.

“Apahal ni???.” Tanya Kamal

“Perempuan tu...” Lelaki itu tidak menghabiskan ayat.

“Kenapa?.”

“Perempuan tu sama seperti arwah isteri aku.... Maya...” Jawab lelaki itu akhirnya. Dia menoleh ke arah Kamal di sebelah. Tawa Kamal kendur. Tidak ada kata-kata lagi antara mereka. Keduanya terdiam.

“Aku nak jumpa dia lagi...” Lelaki itu membuat keputusan.

“Kau biar betul Rudi?.” Soal Kamal yang nampak terkejut.

Rudi mengangguk dan kereta mereka menyusur jalan raya menuju ke destinasi yang dituju.

Yang sebenarnya, Rudi sudah mula rindu....

TAMAT

===================================
Suntingan: Dee Edot

Gambar: Dikmang
Karya ini adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Sunday, 1 April 2018

SIAPA PEMBUNUHNYA? - Nasa Yusuf


Tajuk: Siapa Pembunuhnya? 
Karya: Nasa Yusuf

==================

Salam! Hari ni aku nak ajak main satu game. Mind blowing sikit. Permainan ini memerlukan korang menyediakan kertas dan pen. Ah! Tipu je! Ok! Kira korang ikut sama menyiasat sekali lah dalam ni. Mungkin ada yang pernah baca dan aku pasti ramai juga yang belum baca. Jadi, jom kita mula.


***************

Harum. Itulah bau yang dapat dicium dari bunga sundal malam. Bauan yang sedikit lembut namun menerkam hidung. Gadis itu membongkok mengambil bunga yang terjatuh dari pegangan, banyak ditaburkan, bermula dari tempat dia menapak bumi sehinggalah ke jalan masuk hutan. Gadis itu mendongak, berdiri dan berpaling ke belakang, angin dingin menerpa tubuh. Dedaun pokok lembut melambai, cuaca mendung sejuk membelai. Tina akhirnya berlalu masuk ke dalam rumah dengan setangkai bunga masih di tangan.

Dari dedaun rumput yang memanjang, sepasang mata memerhati, meneliti setiap pergerakan gadis sunti. Lima orang kesemuanya sebagai mencukupkan syarat, baru tiga jadi sasaran. Dua lagi masih dalam pencarian. Mata itu memejam, mendengus kencang. Parang ditangan erat dipegang. Dia berdiri menampakkan sesusuk tubuh yang gagah. Gagal lagi mendapatkan gadis yang sama. Bukan satu kali dia mencuba. Lelaki bertopeng itu lari semula menghilangkan diri.

"Ini bukan kes pertama Shah!" Inspektor Yusuf meletakkan fail di hadapan.

"Masih lagi tak tahu punca kenapa lelaki ni membunuh." Shah mengangguk, gambar kematian tiga gadis di daerah itu menjadi tanda tanya. Semua dibunuh kejam. Dan kesemua mereka berusia belasan tahun. Baru sahaja tamat sekolah. Yang menjadi pelik. Mereka semua tidak ada perkaitan, tapi ada persamaan! Mangsa belum berkahwin, dan masing-masing bukan dari keluarga calang-calang. Mak dan ayah mereka kaya!

"Ni mesti kes ritual ni. Bunuh, kelar leher, lepastu minum darah! Kalau tak, kenapa ada lilin dekat sekeliling mangsa. Pemujaan!!" Inspektor Shah menutup fail. Terbeliak mata Yusuf mendengar, tidak sangka pula kalau ke situ perginya. Dia susah percaya benda-benda mistik ni. Namun tiga kes pembunuhan sebelum ini juga nampak sekata, mereka mati dalam keadaan yang sama, susunan lilin disekeliling mangsa. Jenuh pula nak mencari manusia yang mengamalkan ilmu hitam ni.

********************

Hakim bersandar memegang bunga. Ketawa sendiri. Amir memandu di sebelah, tergelak melihat rakannya berangan. Memang Amir belum ada kekasih, tidak seperti Hakim yang sentiasa diburu wanita. Dan wanita yang ingin dijumpai nanti adalah gadis kaya keturunan Cina. Hakim memang cari yang kaya sebabnya dia suka jika dibelanja.

Fara. Kulit mulus putih dan tentu sekali cantik. Siapa tidak kenal Fara, gadis sunti dari kawasan pekan mereka. Sebaik sampai, Hakim terus turun dari kereta dan menyuruh Amir memarkir jauh-jauh. Bukan, jika nak dibandingkan antara dua, tentu sekali Amir jauh lebih segak, cumanya pemalu, dan dia tidak pernah bercerita pasal wanita sebab tu sampai sekarang tidak berpunya.

Kecil juga hati Amir dihalau begitu, nasib baiklah dia kenal Hakim tu dah lama. Jika tidak tentu sahaja ditinggal dan biarkan Hakim balik berjalan kaki. Demi menghabiskan masa yang terluang, Amir sekadar bermain game di telefon sambil menunggu Hakim menyudahkan pertemuannya. Saat berganti minit, sedar tidak sedar, hampir dua jam juga Amir menepek, sanggup meneman Hakim berdating.

*********************

Tina berjalan perlahan melewati kawasan taman tersebut. Sepatutnya dia mengambil Fara malam ni. Dia dah berjanji. Sesekali menoleh ke belakang, berhenti dan memandang ke arah semak. Haruman itu, ya dia mengenali haruman itu. Sama seperti yang dihidu di rumahnya dulu. Dari tempat dia berpijak, kelihatan bunga putih, harum sundal malam bersepah, beralur hingga ke arah semak samun. Cepat-cepat Tina mendongak memandang atas, risau pula jika ada Maya Karin seperti mana lakonan wanita itu sebelum ini. Bunga itu diletakkan kembali dan Tina berjalan cepat.

Dari dalam semak, lelaki yang sama, bertopeng memegang parang berjalan laju mengekori. Hanya beberapa saat sahaja dia sudah berada di hadapan mata. Tina tergamam, tidak bergerak, ketar seluruh tubuh. Tanpa ada bicara, parang itu dilibas mengenai leher, dalam keadaan berdiri, kepala Tina terjuntai kebelakang, akibat kelaran itu yang hampir memutuskan sambungan kulit. Tidak lama kemudian Tina jatuh melutut dan terlentang. Manusia bertopeng itu menarik Tina ke dalam semak.

**********************

Fara tertoleh-toleh mencari Hakim. Katanya sekejap sahaja ke tandas, namun hampir setengah jam juga dia menghilang. Fara berjalan ke arah di mana kereta Hakim diparkir, berharap berjumpa lelaki tu di situ. Namun tiada juga sesiapa. Hakim tiada, Amir pun sama. Hatinya hairan, dia menoleh sekeliling, melihat jam di tangan. Sepatutnya Tina sudah datang untuk mengambilnya. Masih juga tidak mucul. Hakim dan Amir juga entah ke mana. Fara hanya menunggu.

"Fara?" Sapa Amir dari belakang. Terkejut wanita itu sampai terlompat. Entah dari mana sahaja Amir. Tiba-tiba wujud.

"Fara cari siapa?" Tanyanya lagi.

"Cari Hakim."

"Bukan dengan Fara ke?" Amir duduk di kerusi penumpang. Dia menyambung main game. Tangannya yang bertanah dikibas kibas.

"Tadi ada, tapi hilang."

"Ohhh.. ok. Dia pergi tandas kot. Fara tunggu la kat sini." Amir menyuruh Fara menyandar pada dinding kereta menunggu sehingga Hakim sampai. Mereka berbual ala kadar. Bercerita perihal sekolah dan lain-lain hal.

Tidak lama kemudian barulah Hakim muncul, dengan sedikit berpeluh, terkocoh-kocoh, membetulkan rambut dan baju. Wajahnya tegang. Fara dan Amir agak hairan, namun Hakim tidak bercakap apa-apa. Jelas wajahnya sangat tertekan.

"Jom balik." Arah Hakim sebelum masuk ke dalam kereta. Moodnya sangat down ketika ini. Namun Fara berkeras untuk menunggu Tina.

"Alaa, nanti dia tengok awak tak ada, dia balik lah." Ujar Hakim mencuka. Dia mahu segera pulang.

"Saya tunggu Tina…" Fara meninggi suara, tetap dengan pilihannya.

"Tina mungkin tak datang, saya hantar awak pulang." Hakim tersenyum, mengelap peluh. Dia berdebar tidak menentu. Amir memerhatikannya pelik. Berkali-kali juga Hakim memaksa.

"Kau kenapa Kim? Ada yang tak kena ke?" Tanya Amir hairan. Aneh sungguh perilaku rakannya.

"Aku tak apa-apa…"

"Macam muka lepas buat salah pula." Tawa Amir sambil bermain game kembali. Menyandar malas di kusyen penumpang menunggu Tina seperti mana dimahukan Fara. Hakim pula tidak senang duduk. Tidak lama kemudian terdengar jeritan dari arah semak. Ketiga mereka terkejut bukan kepalang. Fara dan Amir berlari ke arah suara itu. Namun Hakim tidak. Dia tidak bergerak.

"Cepatlah!!!" Pekik Amir. Pelik kenapa Hakim tidak mahu ikut sekali. Dia berpatah balik dan menarik tangan rakannya untuk turut serta. Sesampai sahaja, Fara tergamam, dia tidak bercakap dan pengsan. Amir terdiam, terduduk dan Hakim masih bediri melihat orang ramai yang penuh di sekeliling. Mayat Tina dijumpai di dalam semak. Dengan kepala yang hampir putus dan lilin penuh di sebelahnya. Amir dan Hakim saling berpandangan. Wajah masing2 tersimpan seribu persoalan….

JENG! JENG! GAME BERMULA. SIAPA PEMBUNUHNYA??

"Aku dah kata ni kes pemujaan!!!" Pekik Shah tiba-tiba.

PANGG! Satu penampar hingga di kepala.


"Kita berdua je yang hidup kat sini. Kenapa nak jerit kat bilik mayat?" Marah Yusuf sambil mengurut dada. Terperanjat dia.

Balik-balik itu juga yang dinyatakan. Memang keadaan Tina itu sama seperti tiga mayat yang sebelum ini, kepalanya hampir putus dengan lilin bersepah di sisi. Disebabkan tiada suspek atau petunjuk, maka sekali lagi kes ini dalam siasatan. Lagipun mereka tidak berjumpa dengn suspek yang kelihatan seperti pengamal ilmu hitam. Keluarga Tina merayu agar pembunuhan Tina dapat diselesaikan. Masuk Tina sahaja sudah empat gadis yang mati dalam keadaan mengerikan di kawasan mereka.

********************

Beberapa hari selepas kematian Tina, Amir memandang Hakim curiga. Sejak dari hari kejadian, Hakim banyak mendiamkan diri. Ditanya mengenai Tina pun tidak dijawab. Bukan ini kali pertama kes kematian sedemikian rupa. Malah heboh sebelum ini beberapa gadis ditemui dalam keadaan yang sama.

Amir berpaling ke kiri kemudian ke kanan, bergolek-golek. Sebaik melihat Hakim duduk di katil, Amir juga duduk sama. Apabila melihat Hakim baring, Amir pun turut serta.

"Kau kenapa?" Tanya Hakim pelik.

"Tak ada apa…" Jawab Amir.

Kemudian mereka berdua berbaring kembali. Sesekali Hakim menoleh ke arah Amir, namun Amir juga sama. Mata bertentang mata. Oleh kerana tidak sedap hati, Hakim duduk menghadap rakannya, dia mnghidupkan suis lampu dan menoleh ke arah Amir.

"Kau kenapa hawau?? Kau ada apa nak cakap ke?" Tanyanya garau. Rimas dengan cara Amir. Namun Amir menggeleng dan menutup selimut seluruh badan. Tidak lama kemudian barulah mereka berdua tidur kembali. Tiba-tiba pintu bilik mereka dibuka kuat. Keduanya duduk melunjur menegak badan. Terperanjat!

"Baru pukul 9 ni. Takkan dah tidur?" Tanya Dali. Dia meletakkan bungkusan burger di atas meja, setakat dibeli di gerai depan rumah.

"Aku ambik burger dekat budak Erman depan tu. Macam biasa, Dia belanjaaaa." Lalu mempelawa rakannya berdua dan berbual mesra tak ingat dunia.

Selalu kalau tak sempat masak memang itu saja makanan yang mereka hadap. Tapi dia hairan kenapa pula Hakim dan Amir terdiam. Keduanya makan menunduk, masing-masing berlainan perasaan, apa yang nak diluahkan diam terbungkam.

"Korang bergaduh ke?" Tanya Dali hairan, memang dia tahu rakannya itu rapat antara satu sama lain, tapi tiada jawapan.

"Errr, Fara macam mana sekarang Hakim? Dia tu kan kawan baik Tina. Yelah, dia ok tak sekarang ni?" Dali tidak jadi menelan makanan, masih lagi kedua rakannya terdiam. Dan keadaan terus sepi sehingga habis makan.

*********************

Esoknya pergi kerja, mereka tidak pergi berdua seperti biasa, Amir menyuruh Dali pulak untuk temankannya. Menurut laporan polis yang dia dengar dulu, gadis yang mati semua tidak berkaitan, tetapi anak orang kaya. Berhampiran tempat tinggal mereka hanya berapa kerat sahaja orang yang kaya. Bagi Amir, Hakim suspek utama kerana dia sendiri mengaku dia sukakan wanita yang kaya.

Lagipun malam kejadian Tina dibunuh, Hakim dalam keadaan terkocoh-kocoh. Tertekan dan berpeluh! Lama benar Hakim pergi buang air. Tentu ada sesuatu yang dilakukan.

"Tak baik tuduh macam tu. Bersangka buruk tu adalah penyakit hati paling dasyat!" Balas Dali sebaik mendengar penjelasan Amir. Namun Amir perlu mencari bukti yang Hakim terlibat dengan pembunuhan Tina dan gadis-gadis sebelum ini. Tindakannya itu menyebabkan Dali menjadi hairan.

"Kejap, kejap. Kenapa kau beriya nak tuduh Hakim ni? Kau pasti ke?"

"Aku pasti…" Amir berdehem beberapa kali. Wajahnya berkerut namun tidak memandang Dali, dia banyak menunduk.

Setelah bersetuju barulah Amir dan Dali menyelak buku-buku sekolah lama mereka, album, dan segala bagai yang boleh dikaitkan bagi mencari bukti yang menunjukan Hakim adalah pembunuh dalam kes ini. Dah macam detektif pula lagaknya. Beberapa keping gambar diselak.

"Kenapa nak cari gambar lama pula ni?" Soal Dali.

"Sebab aku tahu Hakim yang bunuh mereka." Beberapa helai album diselak.

"Tengok ni! Dia kata tak kenal semua mereka, tapi kenapa dia ada bergambar dengan semua perempuan yang mati ni?"

"Apa ni Mir? Gambar aku pun ada kat sini. Ha tengok ni. Gambar kau pun ada kan? Dah tu kau tak nak tuduh aku? Lepas tu aku pulak tuduh kau." Dali malas melayan. Entah kenapa Amir terlalu fobia.

Bagi Amir dia perlu mencari siapa pembunuh Tina agar kejadian dapat dihentikan. Kehilangan Hakim pada malam Tina dibunuh dan keterangan polis nampak selaras. Cuma pihak polis tak ada bukti dan semasa soal siasat dijalankan, memang semua yang berdekatan menafikan.

Pembunuhan ini bukan tentang ritual. Tentu ada rahsia disebaliknya…

*************************

Hakim pulang ke rumah awal hari ni. Tiada siapa. Sejak kebelakangan ini Amir menjauhkan diri. Sebenarnya dia terasa pelik. Rumah sewa itu memang mereka tinggal bertiga, tapi dia merasakan sepi Diam. Hakim keluar semula. Dia berjalan dan duduk di gerai burger depan rumah sewa mereka.

"Erman! Bungkus burger ayam dua ya."

Baik bos!!" Erman mengangguk. Tangannya ligat mengacau roti dan kepingan daging di atas pemanggang. Dia sudah lama kenal dengan Amir, Hakim dan Dali. Mereka adalah pelanggan tetap di gerainya.

"Kenapa sedih ni bang?" Sengaja Erman memulakan perbualan. Lagipun sejak akhir ini ketiga lelaki itu sudah jarang membeli di gerainya.

"Tak ada apa. Kau dengar tak pasal pembunuhan tu?"

"Pembunuhan? Yang pasal mati baru-baru ni tu ke?" Lincah tangan Erman membungkus 5 biji burger yang telah siap.

"Kenapa pula bang? Kes tu dah selesai ke?" Tanya Erman sambil menghulurkan plastik berisi 3 biji burger kepada pelanggan yang lain.

"Belum selesai. Polis masih mencari pembunuhnya." Jawab Hakim.

"Tak lama lagi dapatlah tu. Orang macam tu tak akan lepas. Kadang-kadang orang yang bunuh tu orang yang rapat dengan mangsa." Kata-kata Erman menyebabkan Hakim terfikir.

Adakah selama ini Amir menganiayanya? Lagipun pada malam kejadian Tina dibunuh, Amir dilihat keluar dari rimbunan semak.

Selepas mendapatkan burger yang dipesan, Hakim terus masuk ke rumah. Berdebar juga dadanya ingin menyiasat rakan sendiri. Burger dikunyah perlahan dan pada masa yang sama, dia asyik berfikir pasal Amir.

"Tak boleh jadi ni." Bisik Hakim. Burger yang belum sempat dihabiskan, dibungkus kembali dengan pembalut kertas. Siasatan mesti diteruskan.

Hakim bangun dari sofa di ruang tamu. Setelah mencuci tangan, dia naik ke atas. Menuju ke bilik Amir. Jantungnya berdegup kencang. Dia menolak daun pintu bilik Amir dengan perlahan. Hakim memulakan pencariannya di almari pakaian Amir. Puas dia menyelongkar namun tidak berjumpa apa-apa. Dipandangnya kiri dan kanan sebelum mengemas kembali almari Amir, lalu keluar dari situ. Hampa.

Ketika dia melewati bilik Dali, langkahnya terhenti apabila terpandang beberapa kotak lilin berselerakan melalui ruang pintu yang tak ditutup rapat. Banyak sekali! Matanya terbuntang. Dia menolak terus pintu lalu mengutip kotak tersebut. Kematian kesemua wanita itu ada kaitan dengan ritual. Itu yang diterangkan inspektor Shah.

Hakim berlari turun hendak menelefon Amir. Dia tahu Amir keluar dengan Dali sejak kebelakangan ini. Setelah mendapatkan telefon, segera dia mendail nombor Amir.


"Jawab Mir, jawab…." Hakim cemas. Ketika Hakim sedang menunggu Amir menjawab panggilannya, Dali tercegat di depan pintu rumah. Entah dari mana dia muncul. Dali melirik ke arah kotak lilin di tangan Hakim. Pintu rumah ditutup, Dali tersenyum menapak menghampiri. Hakim menelan liur.

*****************************

"Jom lah Fara. Saya minta maaf sangat kalau terpaksa menyusahkan awak." Amir menyusun sepuluh jari, berharap Fara menemaninya.

"Kenapa tak ajak Hakim?" Soal Fara.

"Sebab saya nak bercakap pasal dia. Saya perlu berterus terang. Kalau boleh saya tak nak dia tahu." Amir tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara. Fara pula baru habis kerja, namun dia bersetuju kerana ibu dan ayahnya tiada di rumah sepanjang dua hari ni. Dia mengikut Amir juga akhirnya.

Sepanjang perjalanan Amir senyap tidak berbual. Fara sedikit hairan. Wajah Amir mencuka masam. Sesekali menoleh ke arah Fara dengan pandangan sinis.

"Kata nak bercakap pasal Hakim tadi?"

"Ya. Saya nak bercakap pasal Hakim. Pasal pembunuhan Tina." Amir menjeling Fara.

****************************

Hakim dan Dali berguling di lantai. Segala majalah dan surat khabar berselerakan di lantai. Belum sempat Hakim menjerit, Dali menutup mulutnya. Disebabkan Hakim hilang kawalan, Dali menumbuk lelaki itu namun dia turut tercampak apabila ditendang. Hakim mengambil sesuatu, dia mengangkat tinggi.

"Kalau kau dekat, aku pukul kau dengan benda ni!!" Tengkingnya.

"Wehh jangan, jangan. Aku baru betulkan remort tv tu, nanti tak dapat tengok Astro!" Dali menggeleng. Dia duduk mengah. Tidak tahu kenapa Hakim tiba-tiba menyerang.

"Cuba kau duduk dulu, bincang dengan aku apa masalahnya ni?"

"Kau yang bunuh Tina dan yang lain-lain?" Tuduh Hakim.

"Kau berpura baik dengan kami supaya kami tak tahu kegiatan kau." Tambahnya lagi.

"Kau dah gila ke? Ada bukti?" Tanya Dali sambil mengelap peluh.

"Lilin ni sebagai bukti!" Hakim membaling kotak hitam berisi 4 batang lilin di hadapan Dali.

"Kau buat apa banyak-banyak lilin ni? Kau kenal Tina kan? Dan kau rapat jugak dengan dia!"

“Walawei…. semua rumah ada lilin la! Kau dah hilang akal ke apa? Lagipun tu bukan aku punya. Aku terjumpa dekat dalam tong sampah depan rumah kita ni. Ada banyak. Semua elok lagi. Aku pelik. Jadi, aku ambik la simpan. Aku pun nak tanya benda yang sama pada kau dan Amir. Aku tahu wanita yang mati tu dikaitkan dengan ritual." Dali duduk mengambil nafas.

"Jadi ni bukan kau punya?" Tanya Hakim.

"Buat apa aku nak beli lilin banyak-banyak wehhh." Marah Dali. Pening dia! Sekejap Amir menuduh Hakim, sekejap lagi Hakim menuduh Amir, sekarang ni dia pula terlibat.

"Kalau ni bukan kau punya, dan bukan juga aku punya, maknanya..."

Suasana hening sekejap. Mereka berdua berpandangan.

**********************

"Kita kat mana ni Amir?" Tanya Fara. Namun Amir masih lagi menjengah kiri dan kanan. Mencari-cari sesuatu, atau mencari orang.

"Amirrr. Saya tanya ni. Kita kat mana ni? Apa kita buat dekat sini?"

"Betul ke awak suka Hakim?" Tanya Amir tiba-tiba. Fara terkedu. Dia hanya mengangguk perlahan. Rasanya soalan itu tidak perlu ditanya. Soalan personal.Bukan hak Amir untuk tahu.

"Kenapa tanya?" Soal Fara.

"Hmmmmm." Amir berdehem, berdiri menjauh menapak beberapa langkah kehadapan. Dia berpusing semula, menunduk, memasukkan kedua tangan ke dalam poket seluar, berdiri tegak.

"Sebenarnya apa Amir? Kalau tak ada apa saya nak balik ni."

"Hakim tu kawan saya Fara…" Kali ini Amir memandang wanita itu. Fara menapak ke belakang. Dadanya menendang laju. Amir kelihatan garang pada pandangan matanya.

****************************

“Erman! Kalau nampak Amir, call polis!" Arah Hakim terkocoh-kocoh dan mereka bergegas menaiki kereta. Erman dan beberapa orang pelanggan tercengang dan terlopong hairan.

"Kenapa kau tuduh Amir pulak ni??? Siasatlah dulu kalau ya pun." Tanya Dali hairan. Dan barulah Hakim menceritakan, pada malam Tina dibunuh itu, dia melihat Amir keluar dari semak, tertunduk-tunduk, dan menyorok malah Amir berseorangan ketika itu. Tidak tahu apa dibuat. Tidak lama kemudian dia dapat tahu Tina dibunuh. Sudah pasti sahaja Amir adalah pelakunya. Jarak masa yang sangat dekat!

"Patutlah dia beriya tuduh kau Hakim. Bukan main beriya lagi cari bukti itu ini, rupanya dia nak selamatkan diri dia. Tak guna punya Amir. Dia tentu sahaja akan buat semua orang percaya yang kau adalah pembunuhnya!" Tegas Dali.

***************************

Fara mengangguk mendengar Amir bercerita. Sesekali dia menguap, melihat lelaki tu mengeluarkan air mata yang hanya bercerita pasal kekasih lama, sudah tentu sahaja menjengkelkan. Lelaki mana yang menangis hanya kerana wanita? Ada ke?

"Sebab tu saya tak nak awak diapa-apakan Fara. Saya tahu Hakim yang bunuh Tina malam tu." Sebak hati Amir saat membayangkan rakannya akan ke tali gantung, namun dia tidak ada keberanian untuk menceritakan kepada pihak polis.

"Amir. Saya rasa awak ni merepek lebih la. Awak nak cakap dia yang membunuh, bukan ke awak juga hilang pada malam yang sama? Sudah la!! Saya tak nak dengar benda mengarut ni. Saya tak percaya."

"Saya tak tipu. Saya nampak dia malam tu." Jawab Amir bersungguh, berharap yang Fara akan percayakannya. Namun Fara hanya mendiamkan diri. kemudian Fara meminta diri untuk pulang ke rumah, kebetulan rakannya ada tidak jauh dari situ. Jadi dia mengambil keputusan untuk balik bersama rakannya sahaja. Amir tidak bercakap banyak, dia mengeluh melihat Fara pergi. Wajahnya masam mencuka. Tidak berjaya meyakinkan Fara! Telefon berbunyi, panggilan Hakim dijawab dan dia bersetuju untuk berjumpa.

**********************

Hakim menghentikan kereta di tempat yang dinyatakan oleh Amir. Sebaik mereka berdua bertemu, Hakim terus menuduh. Malah dia tidak memberikan peluang untuk Amir bercakap langsung. Tiba-tiba sahaja dia memusingkan tangan Amir kebelakang dan menghentak tubuhnya ke arah dinding batu. Lagaknya seperti anggota polis. Tercengang Amir ketika itu.

"Apa benda ni???"

"Kau dah buat salah kau tak nak mengaku. Sudahlah Amir!! Aku tahu kau yang bunuh Tina dan semua perempuan tu. Aku nampak pada malam Tina dibunuh kau yang keluar semak. Ikut aku pergi balai polis!!"

"Aku tak bunuh dia lah!!"

"Habis tu apa kau buat menyorok-nyorok kat dalam semak malam tu?"

Amir terdiam. Dia tergagap. Sukar untuk berterus terang.

"Cakap!!!" Tengking Hakim, masih lagi dia memulas lengan rakannya itu. Mahu tidak mahu, Amir terpaksa berterus terang.

"Aku nampak apa kau buat malam tu Hakim!!!"Tengking Amir kembali. Hakim melepaskan lengan Amir dan berundur. Terperanjat.

"Kau nampak??"

"Aku nampak apa yang berlaku. Aku nampak semuanya! Kau yang bunuh Tina!!!" Jerkah Amir.

Hakim menoleh sekeliling. Tidak menyangka Amir nampak segala galanya apa yang terjadi pada malam itu. Wajahnya merah padam.

==========================
MALAM KEJADIAN…
==========================


Amir terasa nak ke tandas, tapi apabila sampai, rupanya tandas di kawasan taman itu tutup. Jadi dia berpusing-pusing mencari tandas lain. Apabila tidak berjumpa, dia bercadang untuk melepaskan hajat murninya di sekitar kawasan berdekatan.

"Tak boleh… nanti orang nampak."

Jadi Amir berjalan jauh sikit ke dalam semak, namun tiba-tiba dia terlihat Hakim sedang mencangkung tidak jauh dari kawasannya. Malah sedang leka dengan nyanyian kecil. Punggungnya tergelek-gelek menari, badannya melentok lentok bak tarian Hindi. Maklumlah tiada orang.

Terbeliak mata Amir. Satu rahsia besar yang dia tahu tentang Hakim kali ini.


"Aiseyhhh. Patutlah bila dia guna tandas bukan main lama. Ni kerja dia rupanya." Bebel Amir menepuk dahi.

Oleh kerana tidak mahu Hakim tahu dia ada di situ, Amir menyembunyikan dirinya, menunduk sehingga lah Hakim selesai. Amir tidak jadi buang air, hilang pula selera. Dia mengundur dan keluar ikut kawasan lain agar tidak dilihat oleh Hakim. Berharap dia tidak perlu mengulang cerita yang Hakim itu terkantoi buang air dengan penuh gaya.

Hakim selesai melepaskan hajat, zip seluar, berdiri menoleh sekeliling. Dah ternampak Amir keluar dari semak, tertunduk-tunduk, malah Amir berseorangan ketika keluar dari kawasan itu. Tidak tahu apa dibuat. Hakim hairan namun tidak pula dia ingin bertanya. Sebaik sahaja Hakim melangkah. Perutnya pula memulas.

"Aduhhh time aku nak dating time ni lah kau nak berak!" Bentaknya keras.

"Ni macam tak jadi dating je ni, baik aku balik, buatnya aku tercirit nanti mampos aku!!" Beberapa tapak melangkah dia terkentut, Hakim membongkok cuba mengambil bau, dan bau dia… Pergh!!! Hakim berhenti seketika, membiarkan bau itu hilang, dia mengibas-ngibas punggung agar bau itu tidak mengikutinya bersama.

"Aiseyhhh kalau Fara bauuu, konfirm talak tiga ni.." Dia membebel sambil berjalan namun perutnya yang memulas memaksa Hakim berhenti dahulu sebelum bertemu rakannya.


Hakim berpeluh-peluh menahan, malah wajahnya ketat cuba mengawal reaksi muka. Tidak lama kemudian dia muncul, sedikit berpeluh, terkocoh-kocoh, membetulkan rambut dan baju.

"Jom balik." Arah Hakim sebelum masuk ke dalam kereta. Moodnya sangat down ketika ini. Dia terpaksa menahan cirit yang sudah hampir di hujung-hujung. Hanya orang pernah merasainya tahu bagaimana azab melaluinya. Dan Fara masih lagi mahu menunggu rakannya? Oh man!! Fara tetap berkeras untuk menunggu Tina pada malam itu.

********************************

"Puihhhh!!" Amir meludah. Tidak pernah lagi dia jumpa orang sepengotor Hakim! Cium kentut sendiri!!

"Jangan beritahu sesiapa weh!! Malu aku." Hakim menggaru kepala.

"Kau bila last makan tapak kasut saiz 18?" Marah Amir sebelum menerangkan hujung pangkal cerita asalnya. Sudahlah tak pasal-pasal tangannya dipulas. Dan memang dia langsung tidak tahu menahu tentang kotak lilin yang banyak di dalam tong sampah depan rumah.

"Kau ingat kita duduk zaman batu ke nak pasang lilin? Lampu tak ada?"

Hakim terdiam. Mereka berdua duduk rehat setelah tahu kisah sebenar. Amir memang cukup meluat mendengar cerita tadi, susah payah dia menyiasat, patutlah Hakim berwajah cuak, rupanya dia hanya tahan berak???

"Mana Dali?" Tanya Amir lelah.

"Dia tak jadi ikut aku. Dia kata ada hal nak settle." Hakim membalas. Kemudian dia terfikir sesuatu. Begitu juga dengan Amir. Mereka berdua berpandangan. Terdiam

"Dali!!!" Serentak kedua mereka menjerit.

***************

Hari ini Fara keseorangan. Bosan juga apabila ibu bapanya tiada, pergi rumah saudara. Anak tunggal tidak ada adik beradik duduk di rumah besar, memang sunyi. Dia mengambil angin di kawasan sekitar. Fara berhenti melangkah. Melihat apa yang dipijak.

Haruman itu. Dia membongkok mengambil bunga yang diletak sepanjang perjalanan ke kawasan belakang rumah. Bunga sundal malam itu bersepah seakan menuju ke suatu kawasan jauh di pedalaman semak belakang. Dia berjalan perlahan ke arah kawasan itu.

***************

"Kau percaya sangat Dali tu!!" Marah Amir.

"Mana aku tahu dia yang bunuh! Dia tipu aku!! Dia yang punya angkara semua ni. Dia tahu kegiatan dia terbongkar sebab tulah dia tuduh kau Amir!"

“Alahh kau pun tuduh aku juga Hakim." Perlinya. Tidak lama kemudian, mereka sampai ke rumah. Mereka mendapati kereta Dali tiada di situ. Erman juga sudah tutup gerainya. Namun jiran sebelah sibuk mengintai.

"Mak cik bawang… eh! Mak cik Dayang. Ada nampak Dali tak?" Tanya Hakim.

"Oh tadi makcik terdengar masa dia cakap telefon, dia ada sebut nama Fara. Lepas tu dia cakap dia nak jumpa Fara kat rumahnya. Kenapa ni? Ada apa ya?"

Tidak menjawab soalan makcik Dayang, mereka berdua segera memandu pergi. Dan sesampainya ke rumah Fara, benar!! Kereta Dali ada di situ. Hakim dan Amir membawa kayu masuk ke dalam. Hari ini mereka terpaksa juga menggunakan kekuatan super saiya jika ada apa berlaku. Takut-takut tapi berani.


Suara jeritan Fara kedengaran. Apalagi, kedua mereka menendang pintu depan dan kelihatan seorang lelaki bertopeng sedang memegang Fara. Tangannya sebelah menggenggam parang, diangkat tinggi separas bahu siap untuk menamatkan riwayat mangsanya.

"Cukup Dali!! Kau tak payah jadi syaitan, kami tahu itu kau!!" Tengking Hakim.

Fara cuba bercakap namun cepat Hakim memotong, mengangkat tangan separas bahu. masa ni lah tunjuk hero.

"Fara. Tak apa, awak jangan risau." Hakim memandang tepat ke arah lelaki bertopeng itu.

"Dali! Baik kau serah diri!!"

Suasana menjadi senyap.


"Hakim…" Fara cuba menerangkan sesuatu.

"Fara, awak akan selamat. Saya akan pastikan yang Dali ditangkap dan dihukum. Orang macam dia tak layak untuk hidup. Sepatutnya kau dah lama mati!!! Dasar khinzir!!"

"Hoi!! Cakap tu baik sikit!!." Satu suara berbunyi dari belakang. Serentak Amir dan Hakim menoleh. Dali duduk terikat di kerusi tidak boleh bergerak. Terperanjat kedua mereka.

"Apa kau buat kat sini Dali?" Tanya Amir kehairanan.

"Aku tak jadi ikut kau sebab aku ada hal. Masa aku tengah call Fara kat luar rumah, aku nampak dia buang kotak lilin depan rumah kita." Marah Dali. Serentak mereka semua memandang depan. Lelaki bertopeng itu ketawa kuat seraya menanggalkan topeng.

"Erman!!!!!" Serentak mereka semua menjerit.

"Yaaa aku!!! Sengaja aku buat korang curiga satu sama lain. Senang kerja aku nak bunuh semua perempuan ni!! Tak ada orang syak!!"


"Puihh!!!!" Sekali lagi Amir meludah. Patutlah selalu bagi burger percuma. Memang lepas ni sesiapa pun yang bagi dia makan free Amir nekad tidak akan terima. Diam ubi berisi, ada maksud rupanya di sebaliknya.

"Aku bunuh mereka sebab mereka ni berlagak! Aku tahulah kaya, kau tak pandang orang macam aku ni ???" Erman geram. Kelima-lima gadis itu pernah cuba untuk didekati, namun alasan mereka sama, tidak memandang orang tidak berpangkat atau bernama. Bila mendapat tahu Fara dan Tina berkawan dengan mereka bertiga, Erman menyusun rancangan.

Sebaik Erman mengangkat parang, Amir dan Hakim segera menerpa. Berguling, bertindih, bergolek antara satu sama lain. Fara membuka ikatan Dali dan mengucapkan terima kasih kerana cuba membantu. Dali membantu rakannya dan Fara berlari keluar meminta pertolongan jiran. Nasib baik sahaja Dali sampai tepat pada masanya tadi.

Tidak lama kemudian Inspektor Shah dan Yusuf dan beberapa anggota polis tiba. Mereka berlari ke dalam rumah tersebut selepas mendapat panggilan dari Dali awal tadi. Inspektor Shah meleraikan mereka berempat lalu terus memberkas Erman dan menggari lelaki itu. Erman di bawa menaiki kereta ke balai polis selepas Inspektor Yusuf serta Shah mengucapkan terima kasih kepada kesemua mereka walaupun dia agak marah tindakan mereka secara sendiri. Kes selesai!!

***************

Pintu kereta ditutup. Shah bersandar.

"Tak sangka yang Erman sengaja letak lilin tu untuk mengaburi mata kita! Tak ada motif ritual pun dia membunuh!"

Paaap! Satu penampar hinggap di kepala.

"Berapa kali aku nak cakap. Jangan jerit kalau kita berdua je yang ada. "Marah Yusuf sambil menghidupkan enjin dan berlalu pergi.

"Buruk sangka adalah penyakit hati yang paling dasyat."

"Apa yang kita nampak selalunya tak seperti apa yang kita nampak."

So? Siapa yang anda syak pembunuh pada awalnya? Hehehe, jangan la beri jawapan di ruangan komen, terima kasih.

Tamat
===============
Gambar dan suntingan: Dikmang

Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.