Monday 18 September 2017

BERCAKAP DENGAN SESUATU - Gongpal Topek


Aku meneruskan pengajian di universiti luar negara selepas mendapat tajaan kerajaan dengan berbekalkan keputusan SPM yang melepasi syarat tajaan tersebut. Alhamdulillah, selepas tamat pengajian bahasa di sana, aku juga berjaya menamatkan pengajian diplomaku di salah sebuah kolej teknikal (sekarang sudah upgrade menjadi universiti) di perantauan.
Kisah aku alami bermula ketika aku mula berkenalan dengan seorang wanita yang turut serta dalam satu percutian ke negara tempat pengajianku itu. Ditakdirkan aku memenuhi permintaan rakan untuk menemannya sebagai penunjuk jalan (tourist guide) sepanjang percutian kumpulan pelancong ini (termasuk bekas teman wanitaku itu).
Selepas kumpulan tersebut pulang ke Malaysia, aku mula berbalas mesej dengan wanita tersebut. Aku namakan dia Aliyah(bukan nama sebenar). Aliyah rapat dan selesa denganku, dan kami berbalas mesej hampir tiga bulan sehinggalah aku mengambil keputusan untuk menyatakan hasrat menjadikannya teman wanitaku. Dia berat hati untuk menjawab, dan meminta aku masa untuk berfikir.
Kami berhenti bermesej supaya dia diberi ruang untuk memberi jawapan. Sehinggalah malam ketiga, aku terima mesej dari Aliyah mengatakan dia juga ada perasaan yang sama, cumanya dia bermasalah. Dia luahkan kepadaku rahsia sendiri berkenaan dirinya yang ada ‘benda’ dalam 3 atau 4 entiti mengganggunya, kesan daripada dengki rakan baik sendiri semasa belajar diploma di Melaka dahulu. Dia sangkakan hanya gangguan biasa, rupa-rupanya dia sudah kena buatan orang.
Disebabkan ‘sesuatu’ itu sudah lama ‘bertapak’ di dalam badan, amat sukar untuk dibuang. Banyak usaha dilakukan, dan masih belum pulih sepenuhnya. Di sinilah bermula pengalaman aku dengan ‘sesuatu’ itu. Memandangkan aku jauh di perantauan, Skype menjadi medium kami berhubung setiap hari. Kadangkala ketika aku sedang siapkan tugasan subjek, Aliyah akan teman melalui video call. Sampai lewat malam dan sering juga dia teman ketika aku dalam musim peperiksaan.
Sehinggalah satu hari, aku sangat lewat tidur dan dia meminta untuk tidur terlebih dahulu. Aku meminta dia sekadar tidur dahulu, tetapi biarkan Skype dibuka. Bila aku hendak tidur nanti, akan aku offkan skype. Tidak semana-mana, aku lihat dia menundukkan muka dan mendengus kuat. Aku dapat rasakan sesuatu yang tidak kena.
” Celaka kau bajingan. Aku tak suka kau dengan dia. Aku sayang dia……. Kau pergi jauh dari dia!!!!” Aliyah memaki hamun sambil mata tertutup, dan menundukkan kepala dalam keadaan meniarap.
Sah di skrin komputer aku ini bukan Aliyah yang aku kenal. Walaupun aku tahu bukan dia, aku tetap rasa terkilan kerana dia bukan jenis bercakap begitu. Rasa sakit hati itu tetap terasa walaupun aku sedang berdepan dengan si ‘sesuatu’ itu. Aku tarik nafas panjang, dan cuba untuk tenangkan fikiran. 

Lalu aku berkata, ” Siapa kamu? Kenapa kamu mengganggu Aliyah? Siapa aku dan kenapa kau bencikan aku?”

” Kau sayang dia, aku sayang dia! Jauhkan diri daripada dia jika kamu tidak mahu apa-apa terjadi kepada dia dan keluarga dia! Aku sayang dia, biar aku jaga dia!”
Daripada suara yang kasar tetapi nyaring itu, dapat aku simpulkan bahawa ‘sesuatu’ di hadapan aku ini berjantina perempuan. A pernah cerita kepadaku, ada seekor yang paling kuat dalam badan dia adalah bersuara perempuan dan selalu bisikkan kejahatan kepada Aliyah. Manakala 2 3 ekor yang lain hanyalah ‘sesuatu’ yang masih kecil, keanak-anakan. Hanya mengganggu sekali sekala dengan perwatakan kebudak-budakan apabila mereka mengambil alih badan Aliyah.
Aku buka ayat ruqyah dan baca 4 qul sambil skype juga terbuka. ‘Sesuatu’ itu berang. Dia merengus dan mengerang seperti sakit. Aku tidak arif berkenaan perubatan secara halus ini, menyebabkan aku mungkin salah langkah menanganinya. Aku mengugut untuk terus baca dan mainkan playlist lebih lama jika dia tidak keluar daripada badan Aliyah. Dan aku memaksa dia untuk membuka mata melihat aku.
Dia enggan. Dia hanya menjerit-jerit berkata aku sayang dia, dan jahanamlah kau kepada aku. Disebabkan aku seorang yang agak panas baran, aku telah menyatakan sesuatu yang membuatkan benda tersebut juga ‘triggered’. Aku bacakan semula 4 qul termasuk ayat kursi, lalu aku meneruskan bicara dengan nada yang tinggi.
” Aku kira sampai 10. Jika kau tidak keluar, akan aku pastikan aku bunuh kau!” Selepas kata-kata itu keluar, aku mula mengira naik sehingga lima, sambil menyuruh dia keluar dan membuka mata merenung aku. Seolah-olah mencabar dia. Sehingga kiraan mencapai 6, dia membuka mata, menyeringai dan pandangannya begitu yakin membuatkan kiraan aku sedikit gugup bermula pada 7.
” Ya, kita akan berjumpa lagi. Dia milik aku, aku akan pastikan kamu semua merana.”
Itulah kata-kata terakhirnya sebelum tersenyum. Walaupun Aliyah seorang yang comel(bagi aku) dan nampak seperti kanak-kanak, senyuman ‘sesuatu’ melalui penampilan Aliyah sangat menyeramkan buat aku. Ayat terakhirnya seolah-olah menerima cabaran untuk ‘berperang’ dengan aku. Aku mula rasa tidak sedap hati.
Beberapa saat selepas itu, suara Aliyah kembali kedengaran. Suara kepenatan, dan dia meminta maaf kerana dia seolah-olah terperangkap di dalam botol, mendengar deklarasi ‘perang’ kami tanpa mampu berbuat apa-apa. Aliyah juga marahkan aku kerana bertindak bodoh mencabar benda itu.
Jam menunjukkan pukul 2 setengah pagi. Pengalaman yang menyeramkan. Musim sejuk, tetapi aku berpeluh. Aku perlu tidur untuk menenangkan diri. Tidak sesekali aku jangka, serangan pertama boleh sampai pada malam itu juga. Aku jangkakan hidupan halus ini juga seperti kita, ada yang hidup di tanah dan ada yang hebat di lautan.
Aliyah juga pernah sebut kepadaku yang gangguan hilang jika dia melintasi lautan (sebagai contoh, jika dia ke Sarawak dan Pulau Pinang, atau luar negara, gangguan seperti hilang sebentar). Tetapi malam itu aku diserang dalam bentuk mimpi.
Aku berdiri kaku di hadapan rumah sendiri di Malaysia. Seperti ada majlis yang suram. Aku berjalan masuk ke ruang parkir. Di bawah khemah kelihatan ramai hadirin yang tidak bercakap, walau sepatah. Mereka semua memandang aku penuh benci dan dendam, seolah-olah majlis yang berlangsung itu merupakan majlis tentang sesuatu yang tidak baik dan akulah puncanya.
Disebabkan keadaan yang sangat tegang, aku dalam mimpi tidak masuk ke dalam rumah. Semua membisu dan merenung tajam, lalu aku hanya berlalu pergi meninggalkan rumah kedua-dua orang tuaku itu. Kemudian, lokasi berubah secara tiba-tiba. Aku berada di hadapan gua yang gelap gempita. Entah di mana datangnya keberanian, aku melangkah masuk ke dalam gua.
Berbekalkan lampu seperti obor acara sukan olimpik yang terpasang secara tunggal di tepi dinding, aku dapat lihat di hujung gua tersebut terdapat kanak-kanak duduk memeluk lutut sendiri, sambil tersedu sedan (kedalaman gua tidak jauh, sekadar berjalan tidak sampai 50 meter daripada pintu gua).
Terdapat palang kayu bulat yang menghadang jalanku untuk ke arah kanak-kanak perempuan tersebut, seperti dia sedang dipenjarakan. Dalam kesamaran itu, kulihat dia seperti Aliyah, dalam versi kanak-kanak. Mata lebam, baju lusuh dan keseluruhan imejnya sangat kusam. Seperti sudah lama ‘terpenjara’ di situ.
Aku cuba menyentuh palang-palang kayu untuk membebaskan kanak-kanak itu. Tidak semana-mana, asap tebal kehitaman muncul dari hujung penjara tersebut. Seperti merebak keluar dari hujung dinding. Mula membentuk rupa seperti ‘grim reaper’ ( makhluk berjubah hitam labuh memegang sabit panjang untuk membunuh mangsa), tiada senjata dan tiada rupa kelihatan. Asap tebal itu membentuk jasad yang bagi aku agak menyeramkan, menghalang aku menyentuh palang-palang kayu.
Aku di dalam mimpi berundur dua tapak, seperti tergugat dengan kehadiran makhluk berasap itu. Asap itu mula menyelubungi kanak-kanak itu, dan tangisan kuat kedengaran dari dalam penjara tersebut. Aku kaget dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Aku dalam mimpi, adakah sama tindakan seperti dalam dunia sebenar. Aku ketika itu sangat sedar yang aku sekarang terperangkap dalam mimpi, entah kenapa minda aku sangat memahami situasi itu bukanlah realiti.
Lalu aku mengangkat tangan seperti takbiratul ihram, dengan niat untuk memegang telinga memulakan azan. Nyata aku tidak cukup pantas. Azanku tersekat di kerongkong. Kulihat asap itu betul-betul sudah di depan mataku. Leherku diselebungi asap berbentuk seperti tangan makhluk tersebut. Hanya nama ‘Allah’ pada rangkap ayat pertama azan sahaja kedengaran dari halkum, tetapi bunyinya janggal dan pelat disebabkan aku ‘dicekik’ asap hitam itu.
Perkara terakhir yang aku lihat adalah penglihatan aku semakin samar dan mimpi semakin menghilang. Aku terbangun dari tidur dengan baki potongan ayat pertama azan kulaungkan dalam keadaan tidak cukup nafas. Aku terus menjerit dan mencari nafas selepas tamat ayat pertama azan tersebut.
Sudah pagi. Jam 8 suku. Astaga, Subuh terlepas. Perasaan takut tak terlintas dalam fikiran aku, sebaliknya rasa marah sangat meluap-luap pula. Aku juga celaru. Mengapa tidak aku berasa takut, sebaliknya marah pada gangguan itu. Tanpa kusedari, aku berbisik sendiri, ” Kita jumpa lagi nanti. Ini amaran perang kau”.
Aku ceritakan kepada Aliyah tentang apa yang aku alami. Dia mula bimbang aku sudah terlibat dengan masalah gangguan terhadap dirinya. Dia mula bercerita tentang satu sesi berubat di Malaysia selepas dia pulang dari melancong. ‘Sesuatu’ itu sangat marah kepada ibu Aliyah dan aku. Dia tahu Aliyah mula ada perasaan pada aku, dan dia benci situasi itu kerana tuannya sememangnya mahu Aliyah kekal tidak berjodoh atas dasar benci dan dendam dengan kepandaian Aliyah.
Ibu Aliyah tidak berlengah lagi, lalu menghantar beberapa buku bacaan termasuk buku panduan rawatan Islam daripada Ustaz Harun Din, sebagai persiapan kepadaku untuk menghadapi apa-apa masalah akibat masuk campur urusan sakit Aliyah. Ibu Aliyah fahami situasi aku, dan meminta bersabar jika diganggu.
Alhamdulillah, tiada gangguan fizikal dan mimpi berlaku selepas itu. Mungkin kerana ‘sesuatu’ itu tidak boleh melintasi lautan dan wujud secara fizikal. Cumanya aku kadang-kadang perlu bertahan dan membantu Aliyah untuk menghalau mereka, bila dia tiba-tiba diambil alih badannya.
Selepas 2, 3 kali siri bercakap dengan sesuatu itu, aku juga pernah bercakap dengan makhluk kanak-kanak di dalam Aliyah juga. Bila ditanya nama, dijawabnya Adam. Kemudian ketawa mengekek seperti kanak-kanak kecil, sambil mata hitam membuntang besar, hampir-hampir tidak kelihatan mata putih Aliyah semasa mereka ‘mengusik’ aku melalui Aliyah.
Aku berpisah dengan Aliyah akhirnya, atas dasar tidak sehaluan untuk mendapatkan persetujuan keluarga. Aku ingin memperisterikan dia, tetapi keluargaku bimbang ‘sakit’ dia melarat dan akan membebankan aku. Banyak kes mereka dengar, kandungan juga akan diganggu nanti (masalah kesuburan akan timbul). Jadi kami redha, dan berpisah secara baik.
Aliyah masih tidak ada siapa-siapa, selepas dia memutuskan pertunangan dengan lelaki lain selepas perpisahan kami. Sehingga kini, dia masih di perantauan, menyambung phd. Sepanjang ketiadaan dia di Malaysia, banyak benda berlaku. Ayah dan abang dia pulang ke rahmatullah, secara mengejut. Perawat darul syifa’ yang menjadi rujukan terakhir sebelum dia berangkat ke luar negara juga meninggal dunia 2 tahun selepas itu (sakit tua khabarnya).
Aku baik sangka, aku harap dia dapat mencari jodoh yang sesuai, dan menyelesaikan masalah ‘sesuatu’ itu apabila pulang nanti. Sememangnya, dia di luar negara tiada masalah buat masa sekarang, tetapi dikhuatiri apabila dia back for good nanti, ‘sesuatu’ itu akan kembali memburu A semula.
Sampai di sini sahaja tinta nukilan ku ini. Kisah ini berlaku hampir 5 tahun yang lalu. Jika ada kekurangan, aku menyusun sepuluh jari memohon maaf. Terima kasih admin jika coretan ini disiarkan

Wassalamualaikum.

******

Karya: @Ahmad Tawfiq Abd Aziz

Nota: Gambar ini diambil dari carian google.

No comments: