KELKATU - Suzalawati Aziz
‘Manusia ibarat kelkatu yang mudah tertarik dengan keindahan cahaya’
Dia lapar. Sudah beberapa hari dia memburu. Malam ini dia mengintai-ngintai di sebalik sebatang pokok. Sekumpulan lelaki yang sedang berlonggok membuang masa menarik perhatiannya. Lidahnya menjilat bibir. Hidungnya tercium bau harum dari tubuh manusia-manusia itu. Nafsunya membuak-buak. Dia ingin segera melunaskan keinginannya. Tapi bagaimana?
Rosman melihat jam di tangan. Sudah menghampiri tengah malam. Dia teringat pesan ibunya supaya tidak berlama-lama di luar. Namun pertemuan dengan rakan sekampung yang sudah lama tidak berjumpa melalaikannya dari pesan si ibu. Rosman bangkit memohon diri walaupun Sudin, Ahmad,Jito dan Usop cuba menghalang. Rosman diejek sebagai anak emak tetapi dia hanya tersenyum. Jarak rumah dengan tempatnya melepak tidaklah jauh mana jadi Rosman hanya berjalan kaki sahaja pulang ke rumah. Sewaktu melintasi sebatang pokok ada sesuatu menarik perhatiannya.
Dia mengumpan lelaki itu. Dia akan membawa lelaki itu ke tempat persembunyiannya. Di sana dia akan menjamu perutnya yang kelaparan. Kemudaan lelaki itu benar-benar menggembirakan hatinya. Harum tubuh si lelaki membuatkan air liurnya semakin banyak bertakung. Wajah lelaki itu dipandangnya.
Rosman menghampiri gadis muda yang sedang menangis teresak-esak. Dia menegur gadis itu. Apabila si gadis mengangkat wajahnya, Rosman terpesona melihat keindahan yang terpampang di hadapan mata. Si gadis menyatakan dia ditinggal kekasih. Dia ingin pulang ke rumah tetapi hari sudah jauh malam. Rosman bersimpati dengan nasib si gadis lalu menawarkan diri untuk menghantarnya pulang. Si gadis berhenti menangis. Sekuntum senyuman manis dihadiahkan buat Rosman dan membuatkan pemuda itu panasaran.
Pintu tempat persembunyiannya dibuka. Dia hanya tersenyum melihat si pemuda bagai dipukau mengekorinya. Tulang belulang yang berselerak di lantai langsung tidak menarik perhatian lelaki itu. Dia mempersilakan lelaki itu duduk. Dia berlalu kebelakang. Sebiji tempurung dicapai. Seekor tikus dikeluarkan dari kurungan. Kepala tikus dipulas hingga putus dan darahnya di tadah ke dalam tempurung.
Rosman menyambut gelas yang dihulurkan si gadis. Air sirap sejuk yang dihidangkan diminum sekali teguk. Sedap sungguh air sirap buatan si jelita. Si gadis duduk di sebelah Rosman. Tangan Rosman ditarik dan diletakkan di dadanya. Rosman dipacu nafsu. Tangannya perlahan menarik tubuh si gadis kedalam pelukannya. Hidungnya mencium harum rambut si gadis. Rosman sudah kehilangan akal warasnya bila tubuh si gadis direbahkan.
Dia membiarkan si pemuda menggomol tubuhnya. Lidahnya yang panjang menggerutu terjelir menjilat-jilat peluh di badan si pemuda. Di saat kelaparannya sudah tidak terbendung lagi, kedua belah tangannya mencengkam dada lelaki itu.
Rosman tersentak apabila merasa satu kesakitan yang tak terperi di dadanya. Bagai tersedar dari mimpi Rosman melihat si gadis yang dicumbuinya sudah bertukar. Rosman ingin menjerit namun suaranya bagai tersangkut di halkum. Mulutnya ternganga sewaktu dadanya dirobek kejam. Rosman tergeletak di lantai.
Dia menindih tubuh lelaki itu. Tangannya yang berkuku tajam menyeluk dada yang telah dirobek. Mencari sesuatu yang sangat lazat. Dikala tanganya berjaya mencapai jantung si pemuda, dia menariknya keluar dan dengan rakus dimasukkan ke dalam mulutnya. Giginya yang berceracak tajam mengunyah jantung segar itu sebelum ditelannya. Kemudian, mata si pemuda yang terbeliak melihatnya dicungkil dan disumbat ke dalam mulut. Kepala si pemuda dipulas sehingga putus. Seketul batu tajam dicapai. Tempurung kepala si pemuda diketuk hingga berlubang. Lidahnya yang panjang menceduk segala isi yang ada di dalam kepala itu. Setelah hampir kenyang kepala itu dibalingnya ke dinding. Tubuh si pemuda dibiarkan sahaja mereput di situ. Dia lantas mengepakkan sayapnya. Terbang dan hinggap di sebatang pokok berhampiran kumpulan pemuda tadi. Cukuplah dua orang untuk malam ni.
Karya : Suzalawati Aziz
Follow penulis di: https://www.facebook.com/suzalawati.aziz
Gambar suntingan oleh: Shizu
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment