Monday, 18 September 2017

HANTU SUSU - Mohd Dziehan Mustapa



"HANTU SUSU"

“Siapa pulak yang berjalan dukung baby malam-malam camni” bisik hati Maisarah

Maisarah merupakan seorang supervisor di restaurant fast food. Beliau selalunya akan balik lewat malam untuk pastikan semua urusan di restaurant selesai.

Maisarah memperlahankan keretanya dan membuka tingkap
“Akak nak pergi mana kak...boleh saya bantu?”
Wanita yang berjalan dukung baby tu diam jer sambil tunduk ke bawah memegang erat bayi dalam pelukannya.

“Dah malam ni kak, meh saya tumpangkan...rumah akak di mana?”ujar Maisarah
“Parit Sepuluh” jawab balas wanita itu
Maisarah memberhentikan keretanya dan meminta agar wanita itu tumpang keretanya memandangkan Parit Sepuluh itu tidak jauh dari kediaman Maisarah.

Semasa di dalam kereta Maisarah cuba berbual
“Nama akak siapa?” 
“Salina...” jawapan ringkas sahaja daripada wanita itu
“Akak dari mana jalan malam-malam dengan baby ni” Maisarah bertanya lagi
Tetapi Salina diam sahaja...lama juga baru dia jawab
“Akak ke pekan nak beli susu untuk anak akak ni” 

Sebenarnya banyak yang ingin Maisarah bertanya kepada Salina malam itu, namun Salina kelihatan seperti sedikit ketakutan dan malu untuk berborak dengan Maisarah. Maisarah pun faham situasi janggal itu dan teruskan pemanduannya untuk ke Lorong Parit Sepuluh.

Setibanya di persimpangan Lorong Parit Sepuluh
“Rumah akak di mana...saya hantarkan sampai rumah yer” ujar Maisarah.
“Tak perlu, turunkan sahaja saya di simpang ini. Rumah saya jauh ke dalam...saya boleh berjalan sahaja dari sini” ujar Salina dengan nada yang perlahan seperti berbisik.

“Pelik juga dia ini, kita nak bantu hantar sampai depan rumah tak nak pula” Bisik Maisarah di dalam hatinya.
“Betul ini tak mahu saya hantarkan sampai ke rumah?” tanya Maisarah lagi.
“Tak mengapa, jangan susah-susah....ini pun dah bantu saya tumpangkan sampai ke simpang” ujar Salina yang bernada lemah dan halus seperti berbisik.

Maka Maisarah pun tinggalkan Salina di persimpangan Lorong Sepuluh dan meneruskan perjalanan dia untuk balik ke rumahnya di kampung sebelah.

*******************************

Ke-esokkan harinya Maisarah ke tempat kerja seperti biasa dan pulang lewat malam juga setelah selesai semua kerja di restaurant. 

Kisah semalam itu Maisarah tidak sempat menceritakan kepada suaminya semalam kerana terlalu letih. Lepas mandi dan solat, Maisarah terus terlena tidur.

Malam ini semasa Maisarah memandu balik ke rumah, Maisarah teringatkan kisah semalam.
“Ada lagi tak akak semalam itu dengan baby dia malam ini berjalan tepi jalan ini?” bisik hati Maisarah
Maisarah pandang-pandang juga tepi jalan, namun tiada siapa pun berjalan di bahu jalan malam-malam camni.

Setibanya di rumah...Maisarah seperti biasa akan mandi dan solat sebelum tidur. 
Hari itu Maisarah tidak terus tidur tetapi ke ruang tamu untuk menemani suaminya yang sedang asyik menonton perlawanan bola sepak di kaca TV.

“Haaa sayang, camna kerja today?” ujar Fazli suami kepada Maisarah.
“Macam biasalah abang, ramai orang di restaurant hari ini...ada offer baru ais krim durian” ujar Maisarah
“oooo kenapa tak balik sikit?” ujar Fazli mengusik manja isterinya
“Abang ini, nanti Mai bawak balik cairlah..mana sedap makan ais krim cair-cair” Maisarah menjawab manja.

Tiba-tiba...
Tok, tok, tok....
Pintu rumah mereka diketuk.

“Siapa pulak tu abang?” ujar Maisarah sedikit risau
“Alah...awak pergi lah tengokkan saya tengah tengok bola ni” ujar Fazli yang malas untuk bangun dan membuka pintu

Risau juga Maisarah nak buka pintu malam-malam ni. Dah pukul 11.50malam. Maisarah meninjau di cermin tingkap di tepi pintu rumahnya untuk melihat siapa yang mengetuk pintu rumah mereka malam-malam begini. Tiba-tiba kelihatan seorang wanita yang Maisara kenal.

Maisarah pun buka pintu rumah nya...
“Eh Salina..kenapa ini?”ujar Maisarah
“Oooo rumah akak rupanya...tak mengapalah akak maaf kerana mengganggu” Ujar Salina yang cuba beredar daripada depan pintu rumah Maisarah.

Dalam masa yang sama kedengaran suara tangisan anak yang didukung oleh Salina itu. Tangisannya tidak lah kuat sangat tapi boleh kedengaran seperti bayi yang kehausan...

“Eh, nantilah dahulu Salina...Bagi tahu saya apa yang boleh saya bantu?” ujar Maisarah
Mungkin Salina rasa malu untuk mohon pertolongan, lagi-lagi daripada Maisarah yang telah membantunya semalam...

“Anak saya ini, kehausan nak susu...Susu dah habis” Ujar Salina sambil memegang botol susu yang kosong. Maisarah dan suaminya sebenarnya baru setahun berkahwin dan mereka masih belum ada cahaya mata. Bagaimana hendak membantu Salina,  sebab mereka tidak simpan susu tepung untuk bayi...yang ada pun Cuma susu fresh milk sahaja.

“Hmmmm kesihan baby tu, kami tidak ada susu tepung...yang ada Cuma fresh milk sahaja..meh bagi saya botol susu itu, saya pananskan Fresh Milk dan masukkan dalam botol...sekurang-kurangnya baby tu tidak kehausan” ujar Maisarah yang bersungguh-sungguh ingin membantu Salina.

“Mari masuk ke dalam dahulu..”ajak Maisarah
“Tak mengapalah, saya tunggu di luar ini sahaja” jawab Salina sambil mendukung bayinya

*******************************

Setelah selesai Maisara memanaskan fresh milk dan merendamkan botol susu dalam bekas air bagi susu panas itu menjadi suam, Maisara ke luar mambawa botol susu itu dan diberikan kepada Salina. 

Salina terus beredar sambil memberikan menyuapkan botol susu kepada bayi dalam dukungannya.
“Terima kasih kak” ujar Salina dan terus beredar.

Tak sempat maisarah ingin bertanya pelbagai perkara lagi kepada Salina
“Hmmm...pelik sungguh Salina ini...apalah masalah dia sebenarnya” Bisik hati Maisarah

Namun Maisarah rasa puas hati kerana dapat membantu Salina malam itu dan bayinya yang menangis itu diam setelah diberikan botol berisi susu itu tadi.

“Siapa tadi tu...?” ujar suami maisarah
“Salina...” Jawab Maisarah ringkas
“Siapa Salina...kawan baru atau jiran kita anak dara tu ker?” ujar Fazli

“Amboi..amboi, anak dara sebelah rumah nampak jer yer awak ni” jawab maisarah sambil mencubit suaminya
“Salina ni......” Maisarah pun bercerita panjang lebar kepada suaminya yang sedang melihat perlawanan bola sepak di TV berkaitan Salina.

.....

“Tapi...abang tak dengarpun tadi suara baby menangis” ujar Fazli
“Biar betul abang ni...tulah asyik sangat tengok bola sampai suara baby menagis di luar tu pun tak dengar” Jawab Maisarah

“Maisarah masuk tidur dulu yer abang...letih la, esok kerja lagi” ujar Maisarah
“Ok sayang...mmmuaah. Habis bola ni abang tidur yer" ujar Fazli kepada isteri tersayang.

*******************************

Seminggu Kemudian

Tok, tok, tok....
Pintu rumah mereka diketuk.
“siapa pulak tu abang yang ketuk pintu malam-malam buta ni...dah pukul 2pagi?” ujar Maisarah dalam ketakutan mengejutkan suaminya yang sedang lena tidur

“Haaaa...ada orang ketuk pintu?” 
“Jom..ikut saya kita tengok sapa ketuk pintu tu?” ujar Fazli yang masih mamai dikejutkan oleh Maisarah

Mereka suami isteri pun bangun dan pergi ke pintu hadapan rumah mereka. Mereka menjenguk pada pintu tingkap kecil di tepi pintu untuk melihat siapa yang mengetuk pintu rumah mereka.

Namun tidak kelihatan sesiapa pun?
“Tak ada orang pun”
“awak biar betul ada orang ketuk pintu...ke awak ngigau ni?". Ujar Fazli.
“Tak lah..saya dengar dengan jelas ada orang ketuk pintu rumah kita tadi” Jawab Maisara yang sedang dalam ketakutan. Dia pun melihat ke luar melalui tingkap dan memang betul tiada sesiapa di luar.
“Dah jom lah kita masuk tidur semula” ajak Fazli

Dalam mereka suami isteri sedang berjalan ke bilik mereka ... tiba-tiba terdengar sekali lagi bunyi ketukan di pintu rumah mereka.

“Haaaa...tu, betul tak kata saya ada orang ketuk pintu tu” ujar Maisarah yang semakin takut
Kali ini bukan sahaja ketukan malah kedengaran sayup-sayup suara bayi menangis.
“Betul lah, jom kita tengok sapa pulak yang datang malam-malam ni?" ujar Fazli yang juga dalam ketakutan...

Namun sekali lagi tiada sesiapa di luar apabila mereka melihat melalui tingkap kecil di tepi pintu itu.
Kali ini Fazli buka juga pintu depan rumahnya untuk melihat siapa yang main ketuk-ketuk itu tadi.

Setelah pintu terbuka alangkah terkejutnya mereka melihat bungkusan menggunakan kain batik lepas di dalam sebuah kotak diletakkan dihadapan rumah mereka.
Dari bungkusan kain batik itu kedengaran suara bayi menangis...

“Allahuakbar..siapa pula yang buang bayi ini kat rumah kita sayang” ujar Fazli
Maisara rasa macam kenal kain batik pembalut bayi ini milik siapa...

Yer macam milik Salina
Maisarah pun cuba mengangkat bayi dalam balutan itu daripada dalam kotak.
“Beratnya bayi ini” bisik hati Maisarah.

Maisarah membuka sedikit balutan kain itu untuk melihat bayi tersebut, sebab sebelum ini pun Maisarah tidak pernah melihat bayi yang didukung oleh Salina kerana Salina seperti menyorokkan bayi tersebut dari pandangannya

Tiba-tiba Maisarah pengsan..dan bayi dalam balutan itu terjatuh bersama-sama Maisarah
Fazli menjadi panik seketika sebab melihatkan isterinya rebah bersama-sama bayi dalam balutan kain batik lepas itu...

Tiba-tiba bulu roma Fazli satu badan terus meremang apabila melihat bayi dalam balutan itu bukan bayi...tetapi sebenarnya seketul batu nisan.

Fazli terus meninggalkan batu nisan tersebut dan membawa Isterinya masuk ke dalam rumah semula dalam keadaan terkejut dan ketakutan

*******************************

Ke esokkan harinya Fazli melihat semula kotak di hadapan rumahnya.
Batu nisan itu telah hilang....yang ada Cuma kain batik lepas dan selehai nota yang agak lusuh kertasnya dan ada titisan darah.
Dalam nota itu tertulis.....

"Ketika sesiapa membaca nota ini mungkin saya sudah tiada lagi. Saya berdosa, saya telah gugurkan dia di saat dia 7bulan dalam kandungan.
Saya buang dia.Dia tidak berdosa.Saya masukkan dia dalam beg & buang dia dalam semak di ladang kelapa sawit di hujung kampung.
Ubat yang saya makan berjaya menggugurkan anak ini. Tapi saya tidak boleh menghentikan pendarahan yang banyak ini.Saya makin lemah, dan jika ditakdirkan saya sudah tiada lagi, bantulah saya kebumikan anak yang saya gugurkan itu.
Saya tahu apa yang saya buat ini keji dan hina namun saya tidak berdaya menahan stress dan malu untuk berdepan masyarakat sekeliling saya.Saya diperkosa...saya tak mampu menahan stress ini lagi!!!
Maafkan saya kerana menyusahkan semua, bukan niat saya tetapi saya tak mampu menghentikan pendarahan ini, hendak ke hospital saya takut dengan apa yang telah terjadi dan telah saya lakukan.
Yang berdosa Salina"
*******************************

Maisara dan Fazli mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berkaitan pengalaman seram mereka yang membawa kepada penemuan nota itu.

Rupa-rupanya kisah pintu rumah diketuk malam hari dan seorang wanita mohon susu dialami oleh beberapa rumah lain di kampung itu.

Kisah yang dialami Maisarah dan Fazli ini kecoh satu kampung dan polis memang menjumpai mayat bayi berusia 7bulan kandungan di ladang kelapa sawit di hujung kampung.

Maisarah & Fazli serta orang kampung uruskan mayat bayi tersebut...Selepas itu tiada lagi kelibat Salina dilihat di kampung itu.

Pengajaran:
1. Hati-hati nak tumpangkan individu di Malam hari.
2. Elakkan membeli pil gugur kandungan. Risiko pendarahan boleh berlaku dan meragut nyawa.
3. Ada masalah stress jumpa anggota kesihatan untuk mendapatkan bantuan.

Watak-watak dalam cerita ini tiada kaitannya dengan sesiapa yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Gambar sumber daripada google dan tiada kena mengena dengan artikel ini.
Nukilan
Mohd Dziehan Mustapa
https://www.facebook.com/mohd.dziehan
Arkib Angker Negara (AAN)

Kepada netizen semua...jika ada cerita-cerita seram bolehlah kongsikan kepada kami. Message Kami dengan koleksi cerita seram anda.< Kami akan edit dan kredit cerita tersebut daripada anda.

No comments: