Tuesday, 26 September 2017

PELAJAR BARU - Azman Zainordin


PELAJAR BARU
Karya : Azman Zainordin



Masuk hari ni, sudah 3 hari Aiman berada disini, disebuah kolej di Selangor. Satu dunia baru baginya. Dia yang berasal daripada Perlis, tak pernah jauh dari negeri utara. Paling jauh pun di Pulau Pinang. Itu pun sebab Pesta Penang. Manakala, Aiman punya masa setahun setengah untuk hidup di dunia barunya.

Kai, Afiq, Emmet, Marimuthu dan Yon merupakan housemate Aiman. Walaupun baru saja kenal, tapi mereka mudah mesra. Cukup menyenangkan Aiman. Mereka berlima mengambil diploma manakala Aiman pula sijil.

Suatu malam...

"Ah air minum aku habis pulak." Rungut Emmet dari dalam bilik. Gitar dipeluk kemas tangannya. Kai dan Yon yang sedang bermain DOTA, tidak mengendahkan Emmet. Afiq tiada dirumah, ‘dating’.

"Haa pergi turun bawah la. Isi kat mesin." Balas Muthu sambil jarinya ligat menyentuh skrin telefon bimbitnya. Sesekali tersenyum.

"Muthu, kau tolong turun. Isikan untuk aku. Aku malas la." Arah Emmet dari dalam bilik.

"Apahal aku pulak. Kau la pergi isi. Kau yang nak minum." Berkerut dahi Muthu.

5 minit kemudian, Emmet keluar dari bilik sambil membawa dua botol air besar yang kosong.

"Met, tolong isikan air aku sekali. Air aku dah nak habis la heh heh heh..." ujar Muthu sambil tersengih. Menampakkan giginya yang putih.

"Ah aku pulak. Pergi isi sendiri la." Balas Emmet. Muthu membebel dalam bahasa Tamil.

"Jom Man. Ikut aku."

Tanpa banyak bicara, terus Aiman meletakkan buku dan masuk ke bilik. Pakai baju.

"Ha dah turun tu jangan nak melepak sampai pagi pulak. Terjumpa abang kawasan baru nak reti." Gurau Kai sambil jarinya pantas menekan keyboard laptopnya.

"Mulut tu tak boleh celupar lagi ke!" Balas Emmet sambil Aiman mengikutnya melangkah keluar.

"Abang kawasan? Sapa abang kawasan?" Soal Aiman kebingungan semasa mereka menuruni tangga.

"Abang kawasan tu lejen tau kat kolej ni. Bila lewat malam je, dia meronda. Ramai jugak la yang pernah nampak dia. Berterabur lari."

"Dia tinggal kat mana?" Soal Aiman lagi.

"Dia tinggal kat pokok besar tepi court badminton. Ha lagi satu. Dia takde kepala." Balas Emmet.

"Hah? Maksud kau, dia bukan orang??" Aiman terkejut.

"Ya. Tapi dia tak kacau orang." Balas Emmet.

Sampai di mesin air, Aiman memerhati sekeliling sambil Emmet mengisi air.

"Eh Man, aku nak jumpa kawan aku kejap. Kau nak ikut tak? Tak lama pun."

"Boleh jugak." Jawab Aiman ringkas sambil menggaru belakang kepalanya.

Aiman mengekori Emmet dari belakang. Kelihatan 3 orang pelajar perempuan sedang duduk di kerusi dibawah pokok tak jauh dari mereka.

"Puih. Kawan la sangat. Cakap ja la awek." Monolog Aiman dalam hati.

"Met, aku tunggu kat sini ja la. Segan la aku nak pi duk sana."

"Laa. Apasal pulak nak segan? Bukan nak buat apa-apa pun." Emmet cuba mengajak Aiman untuk mengikutnya.

"Ishh takpa la. Aku dok sini ja la. Takmau kacau hang nanti." Aiman membalas.

"Haa suka hati kau la Man. Kau tunggu jap." balas Emmet sambil melangkah ke kawan perempuannya.

Aiman duduk tak jauh dari tempat Emmet. Hanya memerhati. Tiba-tiba dia disapa dari belakang.

"Hah! Buat apa kat sini?"

Aiman menoleh. Pak guard rupanya.

"Tengah tunggu kawan. Dia dok sembang dengan awek dia tu."

"Aku rasa tak pernah nampak pun kau. Student baru ke?"

"Ya bang. Baru masuk 3 hari lepas." Balas Aiman.

"Oh patut la. Nama apa? "

"Aiman. Dari Perlis."

"Fuhh jauh tu. Panggil aku abang Ijam. Student-student kat sini dah biasa dah dengan aku." Ujarnya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Aiman menyambut.

"Dah lama ke abang Ijam kerja kat sini?"

"Tak la lama sangat. Ada la dalam 6 bulan lebih macam tu la."

"Oh lama jugak. Pernah dengaq pasal abang kawasan dak?" Tanya Aiman.

"Pernah. Selalu sangat. Jumpa pun pernah. Hahaha. Apasal? Kau nak dengar cerita pasal dia ke?"

"Boleh jugak."

"Sebelum kolej ni dibina, dia dah ada dah kat sini. Tempat dia. Ada orang cakap dia kena pancung, lepas tu kena tanam dekat kawasan ni. Kepala dia orang tanam tak jauh dari kubur dia. Kira tanam asing lah. Entah betul entah tidak. Kubur dia pun orang tak pernah jumpa. Kepala dia lagi lah. Hahaha. Dia ni kau jangan risau. Dia tak ganggu orang pun. Dia selalu muncul kat court badminton. Berdiri tepi bangku. Dalam pukul 2-3 pagi macam tu la. Tapi bukan abang kawasan je yang ada kat sini. Ada lagi umat lain. Kat taman perumahan luar tu, ada langsuir. Kalau tak percaya, kau tanya la student yang tinggal kat situ."

Aiman mengusap lehernya. Dahinya sedikit berkerut. Riak wajah tidak selesa mula timbul.

"Kat kawasan kolej ni ada jugak pocong, nenek tua merayau. Kat makmal hujung sana tu, ada lecturer pernah nampak lembaga berambut panjang." Tambah Abang Ijam.

Aiman menelan air liur.

"Benda-benda ni kalau korang tak kacau, diorang pun tak kacau korang. Lagipun tempat ni tempat diorang. Kita je yang datang menumpang. Dah menumpang tu buat cara menumpang la kan? Hahaha. Contoh orang pergi rumah kau lepas tu buat benda tak elok kat rumah kau. Mesti la kau marah kan? Macam tu jugak la benda-benda yang menghuni kat sini. Kita datang tempat dia, kita kena la jaga adab. Jaga perangai. Jangan suka sangat. Kita datang sini, duduk baik-baik. Yang penting niat. Kena niat yang elok-elok. Dalam dunia ni bukan kita je yang duduk."

Aiman mengangguk-angguk kepala tanda setuju.

"Eh dah lewat ni. Baik kau ajak kawan kau balik bilik. Warden nampak nanti, susah."

Aiman mengeluarkan telefon bimbitnya. Jam menunjukkan pukul 1.35 pagi.

"Okay la bang. Nanti kita sembang lagi. Banyak benda lagi saya nak tanya pasal hantu ni. Haha."

"Orait takde hal." sambil abang Ijam mengangkat ibu jarinya.

Kebetulan, Emmet pun melangkah kearah Aiman.

"Jom balik. Dah lewat ni."

Dari jauh kelihatan warden keluar dari biliknya, memerhati sekeliling. Emmet melangkah laju sehingga ke tangga, Aiman mengikut dari belakang.

"Man, sori la aku buat kau tunggu lama tadi." Suara Emmet memecah suasana.

"Eh takpa. Lagipun ada abang Ijam tadi. Tak la bosan sangat." Balas Aiman sambil melangkah naik anak tangga.

"Abang Ijam?" Tanya Emmet yang sedikit terkejut.

"Ya la. Abang Ijam. Pak guard tu. Awat hang terkejut?"

Emmet terdiam. Dahinya kelihatan berkerut. Mereka melangkah naik sambil membisu.

Pintu rumah ditolak. Yon sudah tidur nyenyak. Yang lain masih lagi berjaga.

"Weh. Aiman cakap dia sembang dengan abang Ijam tadi."

Semua mata memandang kearah Aiman.

"Abang Ijam? Kau merepek apa ni Man?" Tanya Afiq. Seolah-olah tak percaya.

"Yalah. Awat weh?"

"Dia tak tau lagi tu. Cerita la kat dia." Balas Kai.

"Abang Ijam dah meninggal la. 4 bulan lepas. Orang jumpa mayat dia dalam pondok pengawal. Kena renjatan elektrik." Cerita Muthu bersungguh-sungguh.

"Ha? Takkan la?" Balas Aiman.

"Betul Man. Serius. Takkan la kami nak buat main benda macam ni." Afiq mencelah.

Suasana sepi seketika.

"Aduhhh. Botol air aku tertinggal kat bawah." Emmet menggaru kepala.

"Haa dah tu? Kau nak turun pulak? Nak pergi ambik?" Tanya Kai.

Tiba-tiba pintu rumah mereka ditolak dari luar diikuti dengan bau hangit menusuk kedalam lubang hidung masing-masing.

Botol berisi air kepunyaan Emmet bergolek perlahan-lahan masuk rumah. Penghuni di rumah 12-1-A2 saling berpandangan. Masing-masing menantikan apa yang akan terjadi seterusnya.

"Lain kali jangan tertinggal barang. Aiman, nanti kita sembang lagi yee. Aku bosan duduk kat bawah sorang-sorang."

Semua melihat kearah pintu sambil terkelu. Pintu yang tadinya terbuka, perlahan-lahan tertutup kembali. Ditutup tanpa disentuh sesiapa.

Mereka mengambil keputusan untuk berjaga sehingga subuh.

***********************Tamat********************************

Karya : Azman Zainordin
Gambar suntingan oleh: Shizu 
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

No comments: