BULU
Selepas mendapat keputusan SPM tahun 2001 yang agak cukup cukup makan, aku telah diterima masuk ke sebuah kolej kelolaan MARA di bandar Kuantan. Beruntungnya aku kerana ditempatkan di asrama luar kolej atau lebih tepat lagi rumah teres yg terletak di belakang kolej. Hati berkobar-kobar nak sambung belajar. Manakan tidak, terpengaruh dengan dakyah TV yang selalu tunjuk universiti ini merupakan tempat yang gah dan hebat.
Rumah teres yang menjadi asrama aku dihuni oleh 7 orang termasuklah aku. Adli, Yan, Hafiz, Kamal, Rashid dan Mat Li. Masing-masing berbeza course cuma aku dan Rashid sahaja yang belajar dalam satu course.
Semasa semester 1, tiada apa-apa kejadian yang pelik berlaku. Seperti kebiasaan student kolej atau universiti, kami meneruskan rutin lazim seharian. Siang belajar, malam bebas. Ada yang lepak di rumah, ada yang pergi berdating di library atau kedai makan di jalan besar. Pendek kata semester satu bagaikan honeymoon bagi kami.
Masuk semester kedua, semua mulai sibuk. Maklumlah dah mula sedar kepayahan belajar. Manakan tidak, subjek semua susah-susah. Company law, finance, costing acc, calculus, management, marketing dan sebagainya. Semasa semester dua ni la macam-macam cerita angker yang mulai kami dengar. Ada yang jumpa pelbagai bentuk entiti. Kebiasaannya di asrama di dalam kolej tetapi agak jarang di kawasan kediaman kami.
Pada suatu malam, tidak seperti malam-malam sebelumnya, aku berasa agak payah untuk aku tidur. Terasa panas dan sejuk berselang-seli. Aku lihat Rashid sudah lama dibuai mimpi beserta pakej dengkuran berirama tradisional. Aku abaikan dia bersama dengkuran dia. Fikiran lebih tertumpu ke arah nak melelapkan mata yang agak sukar dilakukan. Tiba2...
DUMMMMM!!!!!
Bunyi berdentum dari bilik sebelah tempat si Mat Li dan Yan bersemayam.
“Ah sudah!! Ape pulak yang jatuh kat sebelah ni,” getus hatiku.
Aku malas nak ambil port dan terus melayan mata sehingga terlelap.
Keesokannya, seperti biasa semua bangun untuk ke kelas. Selepas semua bersiap, masing-masing dah nak keluar rumah. Aku sempat bertanya pada Mat Li berkenaan dentuman malam tadi.
"Nanti aku cerita, kite keluar dulu," kata Mat Li ringkas.
Rumah dan kolej hanya 100 meter je. Kami hanya berjalan kaki sahaja kerana jarak yang dekat. Sampai di kolej, Mat Li pun memulakan cerita.
"Aku kena kacaula malam tadi," katanya.
"Ape yang kacau ko?"tanyaku galak.
"Camni,aku dah nak tido dah malam tadi. Si Yan takde kat bilik. Pegi mane tah malam tadi. Tengah nak tido, tetiba aku rasa macam kena tindih. Aku rasa normal la kot sebab siang tu aku banyak buat aktiviti lepas tu aku buat revision lagi. Tapi kan masa kena tindih, aku bukak mata. Serius bro, aku nampak benda atas badan aku. Berbulu lebat. Mata je nampak. Aku lawan la balik. Tu yang berdentum ko dengar tu. Aku terhentak ke lantai. Sampai ke subuh benda tu ade dekat pintu bilik. Masa korang bangun baru die hilang," panjang lebar Mat Li bercerita.
Aku antara percaya dan tidak dengan cerita Mat Li ni. Bukan aku tak kenal die. Cerita banyak tokok tambah. Aku bantai gelak je lepas dengar dia bercerita.
"Ko kena nanti baru ko tau," warning Mat Li di saat aku berdekah-dekah gelak sambil menahan perut.
"Kalau aku kena, ko lah orang pertama yang akan aku cerita..hahahaha!"
Hari-hari seterusnya berlalu dengan normal sehinggakan aku sendiri dah terlupa akan cerita Mat Li.
Pada suatu malam, aku perlu ke perpustakaan untuk group study bersama rakan sekuliah yang tinggal di asrama di dalam kolej. Lebih kurang pukul 10 malam, ulangkaji selesai tetapi aku masih belum balik. Maklumlah jumpa girlfirend aku. Normal dikalangan pelajar untuk ada pasangan semasa belajar. Termasuklah aku sekali yang terjebak ke alam percintaan. Dating punya dating, dah hampir pukul 12 tengah malam.
Alamak! Pintu pagar belakang dah tutup. Hati mulai rasa tak sedap. Sebab aku perlu keluar melalui pintu utama kolej dan berjalan kaki mengikut jalan di tepi kolej sehingga ke belakang. Fikiran mula teringat cerita 2-3 orang pelajar terserempak makhluk berbungkus putih di tengah jalan sebulan yang lepas.
Ah, persetankan semua tu! Aku nak balik. Begitula kata hatiku. Aku membulatkan tekad untuk berjalan kaki seorang diri walaupun aku tau aku bukanlah seorang yang agak berani.
Sambil berjalan, aku perhatikan kawasan kiri dan kanan. Di kiri, asrama pelajar lelaki manakala di kanan belukar. Aku berjalan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Sampailah di satu selekoh di mana terdapat tanki air kolej di sebelah kiri dan semak di sebelah kanan. Aku mula berjalan memasuki selekoh dengan penuh keyakinan ala mike doohan sambil bernyanyi perlahan.
Semakin lama semakin aku rasakan selekoh itu terlalu panjang. Ku rasakan terlalu lama aku melalui selekoh tu.
“Ah sudah! Terkena dah aku ni,” getus hatiku.
Secara spontam, bunyian unggas di sekeliling berhenti. Hanya kedengaran bunyi tapak kaki aku melangkah di atas jalan. Hati semakin goyah. Peluh mula memercik di dahi.
Dalam keadaan yang mencemaskan ni sempat juga aku berkata, "Aku nak baliklah, janganla kacau." Seterusnya membaca apa saja ayat suci yang terlintas di fikiran.
Lama kelamaan, suara unggas kembali kedengaran. Serentak dangan itu aku mendapat kekuatan untuk berlari. Ilmu pecutan lipas secara pantas aku praktikkan .Laju aku berlari balik tanpa menoleh ke belakang.
Sampai di rumah, aku lihat semua rakan serumah sedang melepak di ruang tamu.
"Ko dah kenapa tercungap-cungap ni?" Soal Yan sambil mengunyah keropok Twisties.
"Takde apela. Biasela ade yang nak menyakat," kataku tersekat-sekat kerana masih kepenatan.
"Haaa, kan dah kena," kata Mat Li sambil terkekeh-kekeh ketawa.
Aku hanya tersenyum hambar. Nasib aku tak baik. Aku terkena malam ni.
"Pukul berapa dah ni? Berapa jam ko jalan kaki dari kolej?" tanya Yan sambil menunjuk jam di dinding.
Aku menjeling ke arah jam. 2.15 pagi… aku terdiam.
Maknanya dua jam aku termasuk ke alam sana rupanya. Nasib baik la aku dapat keluar. Kalau tak, rasanya sampai sekarang aku di alam sana lagi. Kasar betul gurauan makhluk tuhan ni.
Nak dijadikan cerita, sewaktu tidur aku terkena lagi. Kali ni situasi sama seperti Mat Li. Badan ditindih dan tak dapat bergerak. Cuma mulut dan mata sahaja yang mampu bergerak. Dan kali ni aku nampak secara jelas makhluk yang Mat Li pernah ceritakan pada aku.
Berbulu lebat, bermata merah. Hitam sehitam hitamnya. Memang jelas kerana bilik aku ada cahaya terang daripada tingkap, maka aku boleh nampak. Dan kesudahannya sampai subuh aku berjuang untuk tidak tewas pada makhluk berbulu itu.
Keesokannya seperti biasa semua bersiap ke kelas termasuk aku yang dalam keadaan tak cukup tidur dan lemah. Maka terpaksalah aku ambil MC selama 4 hari dan balik ke rumah pakcik aku di Cherating.
Gurauan kasar tersebut berulang-ulang sehinggalah aku tamat belajar di sana sekitar tahun 2004. Akibat selalu diganggu, kami dah jadi lali sehingga tahap sudah tidak menghiraukan gangguan tersebut.
Sampai sekarang aku masih tertanya-tanya jika makhluk berbulu tu masih ada di sana atau tidak.....
=============
Karya: Amir Faizal
Suntingan karya & gambar: DeeFen DF
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment