Erin/Elin - Siri III (Tamat)
Gema suara. Bergema bagai dalam gua.
Aku cuba mendengar dengan lebih jelas, gema itu terlalu jauh.
“… takut..”
Aku memasang telinga.
“Elin, Erin takut!”
“Erin!” Jeritku. Tubuhku terlontar ke hadapan, tangan kananku diarah ke depan. Bagai mahu mencapai sesuatu. Nafasku tercungap-cungap.
Mimpi rupanya. Aku menyebak rambut ke belakang. Sayup-sayup kedengaran bacaan al Quran dari masjid yang berada di kaki bukit tempat aku menetap. Aku capai telefon bimbit untuk melihat masa – ada lagi 15 minit sebelum azan Subuh.
Aku mengeluh. Meraup muka yang basah dengan peluh. Tubuh badanku melekit. Aku turun dari katil dalam malap pagi. Suis kucapai.
Waktu lampu terbuka, aku separuh mengharap katil Erin masih ada.
Kosong. Hanya ada katilku. Keluhan beratku lepaskan. Ah. Baik aku mandi, solat Subuh. Lagi bagus. Hari ini tutor aku datang. Aku mencapai tuala.
Hingga aku terdengar sesuatu.
Bunyi tapak kaki, tapak kaki menaiki tangga. Tangga rumah Tokma ini akan berkeriut bising kalau kau pijak. Adam kata aku yang rosakkan sebab aku selalu hentak kaki bila naik tangga. Aku buat tak tahu, membuka almari, memilih pakaian yang aku mahu pakai pada pagi ini.
Tap. Tap. Tap.
Tapak kaki itu berhenti betul-betul di hadapan bilikku. Mungkin Tokma, mahu kejutkan aku untuk solat Subuh?
Aku berpaling ke arah pintu dengan tuala di lengan. Sempat aku jeling ruang di bawah pintu. Ya. Ada bayang.
Seseorang sedang berdiri di hadapan pintuku.
Bunyi bisikan. Bisikan kasar itu tenggelam timbul. Bagai… bagai seseorang sedang membaca mantera.
Aku memiringkan kepala. Hairan. Adamkah? Dia jarang mengusik aku sebegini. Aku mendekati pintu, ingin tahu.
Bunyi bisikan. Tenggelam timbul. Bahasa yang digunapakai lansung tidak aku fahami. Tuala di bahu aku betulkan sambil aku mendekati pintu. Perlahan, aku melutut, mengintai dari balik ruang kecil di bawah pintu.
Sepasang kaki manusia. Aku mengerutkan dahi. Memicingkan mata.
Tiba-tiba, sepasang mata pucat, putih menjengah dari ruang pintu itu. Aku tergamam, lantas aku mengundur ke belakang.
“ELIIIIIIIINNNNNN…” Satu suara maha dasyat bergema. Suara itu bagai muncul dari dalam telingaku sendiri. Aku menekup telinga. Ini semua khayalan. Ini semua tak betul. Ini semua tidak wujud! Ini semua halusinasi aku!
“ELINNNNN!” Suara itu bergema kembali. Kali ini pintu bilikku digoncang ganas.
“Berambuslah!” Jerkahku. “Kau tak wujud!” sambung aku dengan badan menggeletar.
Suara azan Subuh berbunyi sayup-sayup, dan ia berhenti. Aku tercungap-cungap. Masih memandang pintu.
Tiba-tiba, pintu dikuak perlahan. Aku terkesima.
“Elin?” Tokma menjenguk. “Oh, dah bangun? Kenapa terjerit-jerit?” Ujar Tokma yang memakai kain sembahyang serba putih. Aku menarik nafas lega.
“Mengigau, Tokma.” Aku menjawab, pendek. Muka Tokma berkerut. “Mana taknya mengigau. Tengok. Semalam tak mandi. Baju tak bertukar. Dah. Pergi mandi, lepas tu solat!” Tegas Tokma. Aku mengeluh kasar, bingkas bangun dari lantai. Aku menuju ke bilik air, menghempas pintu bilik air kuat.
Aku turun ke ruang makan. Bau nasi lemak menyapa rongga hidungku. Nasi lemak dan sambal berasap nipis di dalam bekas masing-masing.
“Selamat pagi, Cik Elin.” Ujar Adam, tersenyum. “Pagi.” Aku membalas, malas. “Mari Cik Elin. Duduk. Puan Helen belum sampai lagi.” Sambung Adam, menarik kerusi bagiku.
Aku menggeleng. Perutku berasa mual dengan kejadian pagi tadi. Adam memandang aku. “Puan Helen would not like this, Cik Elin.” Ujarnya. Aku mengangkat bahu. Masih berdegil.
“Sekurang-kurangnya minum air. Boleh?” Ujar Adam. Aku merenung air milo yang berasap nipis. Keluhan beratku lepaskan. “Ya. Boleh.” Ujarku pendek. “And a toast as well? Boleh?” Adam mencapai bungkusan roti.
Aku mengangguk, merenung alas meja.
“Good girl.” Ujar Adam. Aku tidak melihat mukanya, tapi aku tahu dia sedang tersenyum dari nada suaranya. Aku mencebik muka. “Maria mana?” Tanyaku, melihat sekeliling. Biasa Maria yang selalu memasak.
“Duty Maria bukan pada masakan hari ini, cik Elin. Dia di luar rumah hari ini.” Ujar Adam bersahaja. Aku mengangguk. Merenung Adam yang sedang menuang susu segar ke dalam cawan miloku. Aku mencemik muka.
“Perlu ke minum susu?” Ujarku separuh jijik. Adam tertawa pendek. “Perlu, Cik Elin. You’re a growing girl, you need your calcium. Nah. Finish it.” Adam menyuakan milo. Aku ambil, tiup, dan minum. Rasa hangat milo bagai menular ke seluruh badanku yang dingin, memanaskan badanku dari dalam.
Hampir sahaja aku tersenyum. Ya. Benda-benda kecil sebeginilah nikmat yang tersorok. Cawan hangat aku pegang dengan kedua belah tangan.
“Good morning miss. Good morning Mr Adam.” Aku terdengar suara serak-serak basah milik Maria. Aku mendongak. Tersenyum ke arah Maria yang bermuka bulat keibuan. “Yes, morning Maria.” Ujar Adam. “Ma’am Helen belum turun lagi?” Tanya Maria.
Adam menggeleng. “Belum, Maria. Rasanya Puan Helen sedang baca mathurat. Ada apa-apakah?” Tanya Adam. Wajah Maria sedikit berubah. “Oh. Tiada apa. Cuma saya mau beritahu, tadi saya menerima panggilan dari tutor Miss Elin. Katanya hari ini dia cuti sakit.” Ujar Maria, mengerutkan muka.
Adam mengangkat keningnya. “This is surprising. Puan Selvi jarang cuti. Dia tak pernah cuti, kan Cik Elin?” Ujar Adam, memandangku. Aku mengangguk. Tutor aku yang berkulit hitam manis itu jarang ambil cuti. Bukan jarang, tak pernah. Adam aku lihat sedang membelek telefon bimbit miliknya. Diletakkan di telinga. Selepas beberapa ketika, Adam mengerutkan muka. “Dia tak angkat pula.” Ujar Adam. Lelaki muda itu menarik nafas. “Well. Nampaknya saya perlu tutor Cik Elin hari ini.” Adam tersenyum. Aku melirik mataku ke atas. Malas mahu bergaduh.
**************************************************************
Aku di ruang tamu, sedang menjawab buku latihan Sains. Adam sedang duduk di hadapan, menanda buku latihan Matematik milikku. “Whoa, Cik Elin. Maths is not your forte, isn’t it?” Dia tertawa pendek. Aku mencebik muka. Malas mahu melayan.
Adam mengerling jam agam yang terletak di ruang tamu kami. Jam ‘grandfather clock’ itu hampir setinggi aku. “Look at the time! Dah pukul 10 pagi.” Ujar Adam. Aku turut memandang jam. Tak perasan sudah dua jam aku menjawab latihan.
“Dahlah, Cik Elin. Kita sambung pukul sebelas nanti.” Ujar Adam. Aku mengangguk. Buku latihanku kemas, di masukkan ke dalam beg. Adam bingkas bangun. Berlalu meninggalkanku di ruang tamu. Selepas siap mengemas buku-buku latihan dan peralatan menulis, aku bangun. Meregangkan kaki. Tingkap aku jenguk.
Suasana bukit masih terasa dingin. Mungkin kerana sekarang musim hujan. Lantas, aku naik ke bilik. Beg aku simpan. Aku capai hoodie hitam milikku, mahu mengambil angin di luar. Sebaik sahaja aku lalu di hadapan bilik kerja Tokma, Tokma menegurku.
“Elin. Mahu ke mana?” Ujar Tokma.
“Mahu keluar rumah, Tokma. Ambil angin.” Aku menjawab, mendongak memandang Tokma yang tinggi.
Tokma merenungku serius. “Jangan pergi ke sungai lagi. Faham? Sungai tu berbahaya. Ingat tak kaki Elin pernah luka di sana?” Ujar Tokma, bercekak pinggang. “Ya, Tokma.” Ujarku pendek.
Tokma mengangguk. “Dah. Nanti sambung buat latihan.” Ujar Tokma, menapak masuk ke dalam bilik kerjanya. Bilik itu direka seperti pejabat kecil, memudahkan Tokma membuat kerja dari rumah. Aku mengangguk, menyarungkan hoodie hitam milikku.
Telinga aku sumbat dengan ‘earphone’. Lagu Breaking Benjamin, Diary of Jane bergema bising di dalam corong telingaku.
Halaman rumah kami luas, dengan pokok-pokok bunga yang berbunga lebat. Tokma sangat gemar bunga mawar. Bunga mawar putih dan merah berbunga lebat dikiri kananku, dengan bauan lembut, wangi – menusuk hidung.
Aku menarik nafas, panjang. Tenang.
Satu bangku kosong di rimbunan bunga ros aku duduki. Sesekali lebah madu terbang hanyut ke sana kemari, mencari bunga yang dipenuhi nektar untuk dia minum.
Tangan aku yang kedinginan disumbat ke poket hoodie. Aku rehatkan kepala di bangku, memejam mata sebentar. Suara kasar vokalis Breaking Benjamin masih menyanyi penuh perasaan di corong telinga. Selepas beberapa ketika, aku berasa aneh.
Bau mawar yang mewangi sudah hilang.
Aku buka mata.
Lantas, aku tergamam. Aku melihat sekeliling terpinga-pinga. ‘Earphone’ aku cabut.
Aku berada di sungai. Di sungai! Aku tercengang, memandang sekeliling. Buat seketika aku kaku. Aku mencubit lengan. Sakit. Bunyi sungai menderu, menampar gegendang telingaku.
Bagaimana aku sampai ke sini?
Aku bingkas bangun. Mahu pulang. Baru sahaja aku melangkah, aku terpandang sesuatu.
Susunan batu kecil di tepi sungai. Ada hampir berbelas, mungkin mencapai angka puluhan, batu-batu itu tersusun di sekeliling sungai.
Rasa hiba tiba-tiba menyelubungi diri aku.
“Erin.” Bisikku. Erin suka menyusun batu sungai yang leper.
Bukan batu sungai sahaja, dia suka menyusun barang-barang. Pernah sekali, aku ingat, dia susun pinggan, mangkuk dan alat kutleri di meja makan. Disusun satu persatu, dari pinggan paling besar, ke mangkuk paling kecil, diikuti dengan pisau, sudu, garfu. Aku dan Adam tergelak waktu itu. Tokma marah betul. Kami ada tetamu yang akan sampai sebentar lagi waktu itu. Terpaksa kami susun balik semua barang di atas meja.
Aku mengesat air mata yang bertakung. Kalau Erin adalah bayangan aku, kenapa semua memori ini sangat jelas? Aku mengetap bibir. Air mataku mengalir deras.
Atau mungkinkah, Tokma bersubahat dengan semua orang?
Senang. Dia kaya. Dia berpengaruh. Mungkin sahaja dia yang menyorok Erin!
Aku menggenggam tanganku erat. Segera, aku melangkah pergi. Mahu pulang ke rumah.
“To…long…”
Aku terdengar sayup suara manusia. Aku tersentak.
“Tolong. Elin…” Suara itu menyapa telingaku. Lantas, aku mencari punca suara. “Siapa tu?” Laungku. “E..lin…” suara itu sayup kedengaran. Aku memasang telinga, mataku melilau ke seluruh sungai.
Hinggalah mataku tertancap ke satu susuk tubuh. Terperosok di celah-celah batu sungai.
Aku tergamam.
“Puan Selvi!” Jeritku. Aku meluru ke tebing sungai. Kaki dan tangan Puan Selvi bagai dilipat-lipat. Aku menggerenyet memandang keadaan tubuh Puan Selvi yang teruk itu. Dia terbaring di celah batu-batu sungai,kepalanya mendongak memandangku. Maskaranya mencair membasahi muka.
“Tunggu Puan Selvi, saya datang!” Laungku, membuka kasut.
Tiba-tiba, satu ngauman maha kuat bergema. Angin berhenti seketika. Aku terkesima sebentar.
Air bagai disedut dari satu arah. Sedikit demi sedikit, air berkurang, menampakkan dasar sungai. Ikan kecil menggeletik, terlompat-lompat. Aku ternganga. Alam diam seketika.
Bagai empangan pecah,air yang berkurang itu – tiba-tiba menderu bersama ngauman alam, pantas, mencurah dengan amarah yang hebat. Daya air yang kuat itu bagai turut menolak Puan Selvi, dan dia terapung. Hanyut bersama air.
“Puan Selvi!” Aku menjerit. Melihat badannya yang tenggelam timbul. Aku ikut badannya dari tebing sungai, berlari mengikut arus. Wanita itu yang sudah lemah, hanya membiarkan arus membawa badannya ke sana kemari. Sekejap dia timbul. Sekejap dia tenggelam. Panik menguasai diri.
Hinggalah dia hanyut ke tebing seberang. Badannya tertiarap di tebing. Kaku, tapi dia masih hidup. Aku menarik nafas lega. “Puan Selvi!” Aku melaung. “Cu- cuba keluar dari air! I’ll get help!” laungku lagi. Puan Selvi merangkak, lemah, keluar dari cengkaman dingin air sungai. Aku mencapai telefon bimbitku. Segera aku menelefon Adam. Mataku masih tertancap pada tubuh Puan Selvi yang tercungap-cungap. Kedua belah kakinya dipulas, tangannya terkulai. Dia merangkak dengan sikunya.
“Hello? Cik Elin?” Suara Adam menyapa gegendang telingaku.
“Adam!” Hampir sahaja aku mahu menjerit. “Puan Selvi! Saya tak tahu kenapa, tapi dia jatuh, dalam sungai! Dia ada di tebing seberang, and I can’t get to her, air tu tiba-tiba jadi sedikit, lepas tu banyak…” Aku berkata panik. “Whoa, Cik Elin, satu-satu. Puan Selvi jatuh dalam sungai? Cik Elin di tepi sungai sekarang?” Ujarnya. Aku mundar-mandir tidak sabar. “Yes yes tapi tu bukan masalah sekarang! Adam, cepatlah, panggil bomba, I don’t know, paramedics as well, Puan Selvi nampak teruk sangat!” Aku melaung di corong telefon. “Okay, okay. Tenang. Di sungai, ya?” Ujar Adam.
Di ekor mataku, aku ternampak sesuatu di tebing seberang sungai.
Aku ternganga.
Seekor rusa albino, mungkin sahaja sebesar kerbau, mendekati Puan Selvi yang lemah. Mata kami bertembung.
Rusa itu menyeringai, lagaknya seperti manusia.
“Cik Elin?” suara Adam di corong telefon.
Rusa bertanduk itu mendekati Puan Selvi. Guru aku itu, mendongak, memandang rusa besar itu.
Rusa albino itu mengangkat kedua belah kakinya ke atas, dan sekuat hati, dihentak ke belakang Puan Selvi.
Badan wanita itu menggelepar, kesakitan.
“Jangan.” Gumamku.
“Jangan? Jangan apa, Cik Elin?” Adam berkata bimbang di corong telefon.
Sekali lagi rusa itu mengangkat kedua belah kakinya. Dihentak, ganas, ke belakang Puan Selvi. “JANGAN!” Aku menjerit. “JANGAN! HENTIKAN!”Aku menjerit kuat. Rusa itu mengangkat kakinya, tinggi, dan menghentak kuat ke belakang Puan Selvi.
Walaupun aku di tebing sungai berseberangan, aku dapat mendengar bunyi ‘krakkk!’ dasyat. Bagai ranting besar patah.
Jasad Puan Selvi kaku. Terkulai di tebing sungai.
“Cik Elin! Hello, Cik Elin!” Suara Adam berbunyi sayup dari telefon bimbitku. Aku terduduk. Memandang rusa itu kaku.
Sekali lagi, dia menyeringai. Matanya merah, bagai saga. Perlahan, dia berubah. Tanduknya menghilang, bagai disedut ke dalam, kakinya yang runcing menggemuk, jari jemari – menjalar keluar dari kuku kakinya.
Hinggalah satu manusia, menggantikan rusa yang duduk berhadapanku tadi. Manusia berbogel itu dalam kedudukan dengan kedua tangan dan kakinya di tanah – lagaknya seperti mahu merangkak. Perlahan, manusia itu bangun. Menyeringai ke arahku.
Tokma.
Aku menggeleng kepala, tidak percaya. Tokma menyeringai dasyat ke arahku, bagai mahu menerkamku dari jauh.
“Betul, Elin.” Ujarnya. “Erin wujud.” Suaranya seakan bergema dari jauh. “Erin bukan bayangan budak gila seperti kau.” Sambung Tokma.
Aku tergamam.
“Semua betul, Elin. Mereka dipukau. Aku padam memori Erin dari memori mereka.” Ujar Tokma. Melilit rambutnya dengan jari, menggoda. Tokma kelihatan berpuluh tahun lebih muda. Matanya menyala, merah. “Kenapa?” Bentakku dalam ketakutan. “Kenapa Tokma buat macam tu?” Jeritku.
Wanita itu tertawa, mengilai.
“Untuk apa?” Ujarnya lagi. “Aku tak perlukan cucu selemah itu untuk aku wariskan kuasa ini, Elin!” Jerkahnya. “Kamu,” dia menunding dari seberang sungai, “Adalah yang selayaknya untuk ini.” Ujarnya garang. Aku menggeleng. “Pulangkan Erin!” Jeritku. “Pulangkan Erin dahulu, Tokma!” ujarku lagi.
Tokma memiringkan kepala.
“Betul ni?” Dia bermain-main. Tersenyum sinis. “Pulangkan balik Erin, perempuan jalang!” Aku menjerkah dalam tangisan.
Tokma tertawa. “Nah!” ujarnya. “Erin kamu!” Sambungnya, memetik jari. Lantas, satu bunyi benda berat jatuh, berbunyi di belakangku.
Aku berpaling.
Erin sedang terbaring, matanya terbeliak memandangku kosong. Kepalanya tergeletak aneh dari tengkuknya, terkulai. Satu garisan merah pekat membasahi mulutnya. Kulitnya – berwarna kelabu, pucat. Perutnya terburai, usus besar terkeluar dari perut, berjuraian dasyat. Bajunya koyak rabak, menampakkan aurat Erin.
Aku menjerit nyaring. Menggeleng kepala.
“ERIN!!!!” Aku mengongoi. “ERINNNNN!!!!!” Aku menjerit bagai hilang akal. Aku mahu ke arah Erin, merangkulnya, tapi sebahagian daripada diriku tak mampu, jijik dengan keadaan Erin. Tokma tertawa. “AKU BUNUH KAU!” Aku menjerit gila. “AKU BUNUH KAU, SETAN!” Aku menjerit lagi.
Tokma memandang aku dengan kening terangkat.
“Nah.” Dia melemparkan pisau. “Bunuhlah aku.” Katanya, sinis. Aku mencapai pisau itu, mahu menyeberang sungai. Namun, tiba-tiba, sebaik sahaja aku melangkah, aku di hadapan ruang pejabat Tokma.
Tokma sedang menaip sesuatu di komputer, membelakangkan aku. Bagaikan sindiran, mempermainkan aku sinis. Senang sahaja mahu membunuhnya.
Pisau aku pegang erat. Aku menghampiri Tokma. Pisau aku angkat, tinggi.
Dan aku jatuhkan ke sisi badanku, lembut.
“Cubaan bagus, Maria.” Ujarku pendek. “Aku gila. Tapi aku tak bodoh.” Sambungku.
Bayangan Tokma hilang. Suasana rumah agam Tokma melenyap. Aku kembali di pinggir sungai. Maria berdiri memandangku tidak percaya, berpakaian penuh.
“How…?” Ujarnya dengan mata terbeliak merah. Aku tersenyum sinis. “Waktu kau ceritakan mengenai skinwalker, Maria. Mata kau bertembung dengan mahkluk itu, pada malam itu, kan?” ujarku.
Maria tersengih. “Yes. Yes Miss. You’re very clever.”
“Kemudian, kau sendiri pergi menuntut ilmu itu, betul?” Sambungku lagi. Merenung Maria. Maria yang kelihatan tidak siuman, mengangguk-angguk gembira.
“Perkara terbaik yang pernah aku lakukan,” Ujarnya. “Walaupun aku terpaksa membunuh saudaraku sendiri untuk mendapat ilmu itu.” Sambungnya lagi.
“Siapa kau bunuh?”
Maria tertawa.
“Kakakku sendiri. Dia lembam. Jadi polis tak banyak soal. Dia tersilap minum racun serangga yang aku bubuh di dalam botol airnya.” Maria menyeringai.
Aku menelan air liur.
“Ini cara kau, bukan? Kau pergi ke rumah orang-orang kaya. Kau sihir mereka, kemudian kau biar mereka berantakan. Dalam kekecohan itu, kau bawa lari harta mereka, betul?” Ujarku.
Maria menyeringai, mengangguk.
“Kau lelaki, kan? Skinwalker kebanyakannya adalah lelaki. Sebab itu bentuk rusa kau bertanduk. Rusa jantan sahaja bertanduk.” Aku berkata garang. Maria tertawa.
“Betul miss. Betul! Miss sangat bijak!” laungnya menggila. Aku mendengus.
“Lagipun, waktu aku peluk kau, aku rasa lain, okay?” Aku berkata jijik. Maria, atau apa sekali namanya,mengilai tertawa. “Tapi disebabkan tubuh badan kau yang besar, kau senang menyorok jantina kau. Kan?” Sambungku lagi. Maria mengangguk-angguk, masih tertawa, menepuk-nepuk lututnya seakan sangat geli hati. “Yes, yes. That is, correct. Well, jawatan pembantu rumah di sini jarang-jarang mahu menerima lelaki.” Ujarnya, mengah, mengelap air mata. “Tetapi sayang… You have to die now.” Katanya dengan wajah suram.
Aku memandangnya kosong. “Kau tak takut mati?” Ujarnya dari tebing sungai sana. Aku mendepangkan tangan. “Marilah. Bunuh aku.” Ujarku.
Maria menyeringai marah. “Kau tak mampu, kan?” aku berkata, sinis. Dia menjerit, nyaring, penuh dengan amarah. Pantas dia meluru ke arahku, mengubah dirinya kepada rusa jembalang. Aku menelan air liur.
Aku sudah lama dibelenggu depresi. Memang kematian yang aku mahu.
Aku tidak kisah. Aku menutup mata, rapat.
“ELIN!” satu jeritan nyaring bergema. Badanku ditolak kasar, dirangkul erat oleh seseorang. Kami berguling di lantai hutan. Aku membuka mata.
Tokma sedang memelukku.
“Tokma…?” Ujarku tidak percaya. Mukaku ditampar kasar. “Bodoh!” Marah Tokma. “Budak bodoh! Jangan buat macam tu!” Mukaku ditampar sekali lagi dengan linangan air mata. Aku memegang pipiku yang berbekas sakit, tidak percaya.
Rusa sebesar kerbau itu mendengus kasar. Kami berdua tergamam. Rusa albino itu lantas meluru ke arah kami. Tokma merangkulku erat, menjadikan dirinya sebagai penghadang.
“HOI!” Jerkah Adam. Dia mengutip batu-batu sungai, dilemparnya ke rusa jembalang yang sedang menggila itu. “Sini! Hoi!” Dia menjerkah.
Rusa itu mengalih perhatian terhadap Adam. Matanya yang merah menyala merenung Adam marah. Rusa jadian itu kemudiannya mengejar lelaki muda itu. pantas, Adam melarikan diri.
“Cepat, Puan Helen!” Ujarnya. “Bawa Cik Elin lari!” Jeritnya lagi. Tokma menarik aku bangun. “Kita tak boleh tinggalkan Adam, Tokma!” Aku membentak. “Dengar cakap Tokma! Cepat!” Ujarnya lagi, menarikku lari. Dari kejauhan, aku ternampak sebuah jip. Beberapa lelaki berlari kearah Adam,memegang senjata api.
Selepas beberapa ketika, bunyi satu tembakan memecah suasana. Aku dan Tokma berhenti berlari. Pegangan Tokma aku lepas, aku berlari menuju Adam.
Rusa jembalang itu terbaring aneh, dengan mulut ternganga. Lubang di kepalanya berdarah, membuak. Aku terpinga-pinga.
Lelaki bersenjata itu menggeleng kepala. “Sayang betul. Rusa albino jarang kita jumpa.” Ujarnya. “Aneh pula ada di atas bukit tempat menanam daun teh sebegini. Mungkin ada orang bela, lalu terlepas?” Ujar lelaki lain. Logo Perhilitan terpampang di jaket mereka. Tokma turut berdiri di sebelahku.
“Adam yang menghubungi mereka. Katanya kamu merayau ke sungai, dan terjumpa rusa gila. Lalu kamu menelefon Adam minta tolong.” Ujar Tokma. Adam sedang mencekak pinggang, termengah-mengah menghampiri kami. Mahu sahaja aku peluk erat Adam sekarang kalau dia muhrimku. Adam tersengih ke arah kami, melambai dari jauh.
“Mari, Elin.” Tokma memegang bahuku erat. “Kita pulang. Sudah sampai masa makan tengahhari. Mengamuk pula Erin kalau lambat nanti.” Ujar Tokma.
Langkahku terhenti.
“Erin?” Ujarku, tidak percaya.
“Ya, Erin.” Tokma memandangku hairan. “Erin yang mana, Tokma?” aku tanya dengan suara bergetar. Tokma mengerutkan muka.
“Erin, kakak kamu. Kamu ini dah kenapa?” Ujar Tokma hairan.
Lantas, aku berlari menuju ke rumah. Masuk ke pintu rumah. Masuk ke lorong rumah agam Tokma yang jauh.
Hingga aku sampai di ruang makan.
Satu susuk perempuan sebayaku, memakai blouse merah jambu dan skirt labuh, bercorak bunga tulip kuning dan merah jambu lembut. Rambutnya diikat dengan pengikat rambut biru. Dia sedang ralit menyusun pinggan mangkuk dari saiz besar, hingga saiz kecil.
Aku tergamam.
“Erin…?” Bisikku.
Erin berpaling, masih memegang pinggan. Mukanya berubah, dipenuhi rasa bersalah. “Nanti… Nanti Erin susun balik.” Gumamnya perlahan.
“Erin!” Jeritku gembira. Aku meluru ke arah Erin, memeluknya erat. “Elin busuk. Elin busuk.” Ujarnya, tertawa. Turut memelukku dalam kebingungan. Kami melompat-lompat gembira. “Apa kena kamu berdua ni?” Ujar Tokma yang baru masuk, kehairanan. Aku turut menerpa Tokma, memeluknya erat. Erin kemudiannya mengikutku, turut menerpa memeluk Tokma.
“Kenapa kamu ini? Ish. Sudah, sudah.” Ujar Tokma, menyembunyikan senyumannya.
Tokma memakai kebaya hitam berbunga putih, dan seluar slack hitam.
Semuanya selamat kini. Semuanya, adalah mainan sihir si yee naldlooshi. Erin wujud. Tokma sayangkan kami. Tak pernah tak sayang. Walaupun cara dia menyayangi itu berbeza, dia tetap sayangkan kami.
Aku menarik nafas lega.
*******************************************
Lelaki dari Perhilitan itu terpinga-pinga.
“Bagaimana bangkai rusa sebesar itu boleh lesap?” Bentaknya. “Takkan masih hidup lagi?” sambungnya.
Rakannya yang lain mengeluh kasar. “Kau nampak, kan, aku tembak tepat di kepalanya.” Ujar rakannya kepadanya. “Sudah. Kita cari dulu sekeliling. Mana tahu ada dia sekitar ini.” Ujar lelaki itu. kumpulan kecil itu berpecah.
Lelaki itu ternampak seorang perempuan berketurunan India, berpakaian kemas, sedang duduk di bawah pokok. Dia tergamam. “Cik?” Ujarnya. “Cik tak apa-apa?” Dia mendekati. Perempuan itu menggeleng, terpinga-pinga. “Oh, mujurlah. Saya Selvi. Saya rasa saya sesat. Saya mahu ke rumah anak murid saya, tapi separuh jalan ke sana, kereta saya rosak, dan saya tersesat…” Ujarnya. Lelaki itu kehairanan. Bukit ini tidaklah sebesar mana.
Walkie talkienya berbunyi.
“Kalian? Aku rasa kau orang semua kena datang sini sekejap. Berdekatan sungai.” Ujar rakannya.
Lelaki itu menurut. Dia membantu perempuan India yang memanggil dirinya Selvi itu bangun. Mereka menghampiri sungai.
Satu susuk badan lelaki, berbogel, sedang terbaring di tebing sungai dengan mata terbeliak dan mulut ternganga. Jelas kesan heretan badannya di tanah. Ada kesan tembakan di kepalanya. Selvi menjerit ketakutan.
Mereka tergamam.
Lelaki itu mencapai walkie talkienya, melaporkan sesuatu, pantas.
-TAMAT-
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment