Saturday 15 July 2017

SETIA - Tajul Ariffin Norsadan




“KAU LEPASKAN ISTERI AKU!”
Seorang wanita berambut pendek sedang memegang isteriku dari belakang. Sebilah pisau diletakkan di leher isteri seperti mahu mengelarnya.
“Bang, tolong Nur bang.” Nur masih dalam pelukan wanita itu.
“Kau diam! Aku bunuh kau!” gertak wanita itu.
“Tolong jangan apa-apakan dia. Apa yang kau nak sebenarnya?”
“Dah merata Mira cari Abang. Mira nak Abang je…” wanita yang menggelarkan dirinya Mira sedikit merayu.
“Tak mungkin Mira. Benda yang dah lepas, lepaskanlah. Lepaskan isteri aku dan jangan kacau kami lagi.”
“TAK MUNGKIN! Mesti sebab perempuan ni kan? Baik aku BUNUH je dia!”
“Mira, lepaskan isteri Abang... Dia tidak ada kene-mengena dalam kes ni.”
“Sebab dia, kita tak bersama Bang. Kenapa Abang tinggalkan Mira? Mira nak Abang je..” Mira merayu lagi.
“Mustahil, Mira. Mustahil!”
“Apa yang MUSTAHIL! Aku nak kau je! Apa yang susah sangat. Isteri Abang ni, saya bunuh je.” Mira mula menarik pisau semakin dekat ke leher Nur.
“Tolong lah lepaskan dia. Kalau kau nak sangat aku, AMIK LAH! Tapi kau lepaskan dia!”
“Betul ni bang?” Mira
“Ya.” aku mendekati dia.
“Kau lepaskan dia.”
“Abang jangan tipu. Kalau tak, aku bunuh korang semua!”
Aku mendekati dia lagi. Perlahan-lahan dia melepaskan Nur. Nur terus berlari ke arahku dan memelukku yang dalam keadaan menangis dan trauma.
“Bang jom.” Rayu Mira.
“Nak pergi mane Mira?”
“Ikut Mira balik rumah kita la.”
“Sedarlah Mira. Abang tak mungkin ikut Mira.”
“KAU NAK AKU BUNUH KAU DENGAN ISTERI KAU DEKAT SINI KE?”
“Macam mane Abang nak ikut Mira. Abang tak tahu nak cakap macam mana.”
“Kenapa bang? Kenapa?”
“Sebab Mira dengan Abang dari dunia yang berbeza.”
“Apa maksud Abang?”
“Mira tak ingat ke apa yang jadi pada Mira!”
“Ingat apa?”
“Mira, Mira dah tinggalkan Abang masa Mira lahirkan anak kita. Mira dengan anak kita dua-dua dah tak ada.”
Mira menangis dan terjelupuk jatuh.
“Tapi Mira rindukan Abang...”
“Mira pulanglah ke tempat asal Mira. Mira dah ada dekat kehidupan yang lain.”
Aku mendekati Mira. Dia pernah menjadi kekasih hati aku. Tetapi dia sudah tiada di dunia ini.
“Mira balik lah. Jangan kacau keluarga baru Abang. Abang kene teruskan…...Ugh.”
“Abang!!” kedengaran jeritan suara Nur.
Pisau ditangan Mira sudah menikam ditubuhku. Badanku lemah. Terasa cairan hangat mencurah-curah keluar dari luka tikaman itu.
“Lari Nur! LAR..Ugh!”
Leherku dikelar. Tiada suara yang keluar. Pandanganku kabur. Aku sudah tidak bermaya untuk berdiri dan akhirnya aku rebah. Terbaring bermandikan darahku sendiri.
“Mira tahu Abang guna ilmu keji masa nak dapatkan Mira sampai Mira sanggup derhaka dekat Mak dengan Ayah.”
“Sekarang Mira boleh bersama Abang selamanya.”
******
Suntingan: Arkib Angker Negara
Hayati lagu ini yang menjadi ilham kepada kisah ini:
https://youtu.be/x-1hPyWnCW0
Jika anda ada kisah yang ingin dikongsikan. Hantarkan ke inbox kami. Kisah itu akan kami kreditkan kepada anda.
*Gambar hasil carian di Google.

Friday 14 July 2017

BURUNG KUBUR (Bab 2) - Mohd Shahiri Abd Ghapar


Mujur ada beberapa orang pelajar perempuan lain datang membantu. Walaupun dalam takut-takut dan cemas mereka, gadis yang terjerit-jerit kejang itu berjaya juga dibawa masuk ke dalam surau staf yang berada di aras yang sama. Tapi, pengalaman memindahkan seorang gadis yang meronta-ronta kuat di luar kawalan dirinya sendiri betul-betul memakan tenaga mereka. Kudrat diperah sehabis daya seperti mereka sedang mengusung kayu balak sebesar pemeluk dewasa rasanya.
Peluh berjejeran membasahi tubuh dan seluruh muka. Bakri sempat mengesat keringat di dahi dengan hujung lengan bajunya. Dia masih panik. Bakri tidak keruan, tertunggu-tunggu Anas yang pergi mencari bantuan. Bayang Anas masih belum kelihatan walaupun sudah hampir 15 minit dia pergi.
Bakri mencuri lihat ke dalam surau dari muka pintu. Tubuh gadis itu telah diselimutkan dengan kain telekung. Tindakan rakan-rakan sejantinanya itu harus dipuji. Telinga Bakri menangkap suara bacaan ayat Kursi yang dipasang menggunakan telefon pintar. Suara bacaan ayat Quran itu sama kuatnya dengan pekikan gadis itu. Sesekali kedengaran dia merengus kasar seperti sedang memarahi sesuatu.
Tiga orang pelajar perempuan yang menemani di dalam surau tiba-tiba menjerit. Mereka bangun menjauhkan diri daripada gadis di tengah-tengah surau. Mereka terkejut kerana tiba-tiba sahaja pelajar histeria itu bangun dari baringnya dan menyergah dalam butiran kata-kata yang tidak difahami. Suaranya serak garau. Matanya besar terbuntang seperti ingin tersembul keluar. Wajah seorang demi seorang direnung tajam.
Bakri gelabah dan bimbang pelajar perempuan itu akan bertindak di luar batasan tanpa disedarinya. Tanpa disangka-sangka, gadis itu memandang pula kepada Bakri. Kali ini, pandangan marah itu disertai dengan tudingan jari telunjuk yang tepat menghala ke arah Bakri. Bakri terperanjat dan terus berpaling memandang belakang. Matanya ditutup rapat, cuba menghilangkan imej renungan tajam pelajar perempuan itu daripada ingatan. Dadanya berombak kencang.
“Kenapa Baq?” tiba-tiba bahunya kirinya disentuh dan membuatkan dia hampir meloncat terkejut.
“Astaghfirullah Anas. Terkejut aku dibuatnya,” nadanya tinggi memarahi Anas.
Jantung Bakri semakin laju berdegup. Kalau dia lihat mukanya sendiri dalam cermin, dia pasti akan rasa malu dan tidak akan mengaku. Wajahnya pucat lesi. Pandangan mata pelajar perempuan itu dan sapaan tiba-tiba Anas itu betul-betul membuatkan dia takut.
Pada masa yang sama, dia melihat Anas muncul dengan seorang wanita bertudung labuh dan berkaca mata. Itu Kak Mariah, pembantu tadbir di pejabat pentabiran fakulti mereka. Kak Mariah memang seorang yang agak alim dan kuat agama. Setiap warga fakulti tahu tentang perawakan Kak Mariah yang lemah lembut dan berhikmah itu. Mungkin cadangan Anas memanggil Kak Mariah untuk membantu satu idea yang bernas. Setidak-tidaknya, dapat menenangkan keadaan cemas yang berlaku.
“Kak, tolong dia kak. Kami tak tahu nak buat apa,” ujar Bakri.
“Insya-Allah. Insya-Allah. Akak tolong apa yang termampu. Yang selebihnya kita tawakal pada Allah,” lembut suara Kak Mariah menjawab sambil melintas di depan Bakri dan meluru ke arah gadis histeria itu.
Bakri dan Anas hanya menyaksikan dari luar. Tiga orang pelajar perempuan itu menjadi berani semula selepas Kak Mariah tiba. Mereka bantu membaringkan gadis histeria itu dan menahan tubuhnya daripada bangun semula. Kak Mariah pula menadah tangan dan mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Selepas itu, dia menghembus ke muka pelajar itu sambil tangan kanannya mengusap-usap ke seluruh muka gadis itu.
Serentak dengan itu, gadis itu menjadi agresif semula. Dia menjerit-jerit memarahi Kak Mariah. Mukanya merah membahang. Kak Mariah tidak menghiraukan langsung suara gadis itu yang kasar memarahinya. Kali ini, kata-katanya dapat difahami. Dia bertempik menyuruh Kak Mariah pergi dari situ dan tidak mengganggunya.
Mulut Kak Mariah tidak berhenti membaca ayat Kursi. Kemudian, Kak Mariah pantas mencari ibu jari kaki gadis itu. Dia memicit hujung jarinya sekuat-kuat hati. Serentak dengan itu, gadis itu terlolong kuat mengaduh. Dia menjerit beberapa kali merayu minta Kak Mariah melepaskan ibu jarinya.
“Kalau kau tak nak sakit lagi, baik kau pergi tinggalkan tubuh hamba Allah yang tak berdosa ni,” tegas suara Kak Mariah memberi arahan tepat ke muka gadis itu.
“Aku cuma nak berkawan dengan dia. Aku tak usik, aku tak sakitkan dia,” gadis itu menjawab dengan suara yang garau.
“Kalau kau nak berkawan dengan dia, kenapa kau masuk dalam badan dia yang lemah ni? Kau nak ambil kesempatan atas dia? Kau tak kesian pada dia?” marah Kak Mariah lagi.
“Aku sayangkan dia. Aku tak nak pergi,” jerit ‘gadis’ itu lagi membalas.
Apabila mendengar jawapan balas makhluk yang meminjam suara dan tubuh gadis itu, Kak Mariah memicit semula ibu jari kakinya. Serta-merta gadis itu terpekik sakit dan merayu minta dilepaskan.
“Kalau kau tak nak sakit lagi, baik kau pergi. Jangan datang-datang lagi. Kau balik ke tempat asal kau. Tempat kita berbeza,” Kak Mariah memberi amaran.
“Aku tak nak sakit. Aku pergi. Aku pergi. Tapi aku akan datang lagi,” jawab makhluk itu pula.

Kak Mariah melepaskan ibu jari gadis itu dan terus dia menggengam tangan kanannya menggempal penumbuk. Dia membaca surah As-Saff dan menghembuskannya perlahan-lahan ke dalam penumbuk itu.

“Tiarapkan dia,” minta Kak Mariah kepada tiga orang pelajar yang ada bersama-sama sejak tadi. Mereka akur dan terus bertindak.

Kak Mariah mencari tulang kipas gadis itu. Penumpuk tadi dibuka lalu dia menampar perlahan-lahan beberapa kali di kawasan tulang kipas gadis itu dengan mulutnya masih laju membaca sesuatu. Gadis itu langsung terlena sebaik sahaja Kak Mariah selesai dengan bacaan doanya.
Bakri dan Anas teruja dengan apa yang disaksikan di depan mata. Ini pengalaman kali pertama Bakri. Sukar untuk dia percaya tapi pada masa yang sama, dia tidak boleh untuk terus tidak percaya kerana semuanya berlaku di depannya sendiri.
Tidak lama selepas itu, gadis yang histeria itu mula sedarkan diri. Dia terpinga-pinga tidak tahu apa yang telah terjadi. Dia kehairanan melihat dua orang rakan sekelas, seorang pelajar perempuan lain yang tidak dikenali dan seorang perempuan bertudung labuh mengelilinginya. Apabila dia memandang ke luar surau, lebih ramai orang sedang berkumpul melihat ke dalam surau. Cepat-cepat dia memperbetulkan litupan telekung pada tubuhnya.
“Syukurlah dah selesai. Harap-harap benda tu tak datang lagi menggangu,” ucap Kak Mariah.
“Kenapa dengan saya kak? Kenapa orang ramai-ramai ni?” tanyanya yang masih penasaran tidak tahu apa yang berlaku.
“Tak ada apa-apa. Adik rehatlah dulu. Nanti bila dah kuat, kawan-kawan adik ni boleh ceritakan. Cuma kakak nak pesan, jangan selalu duduk seorang diri. Kalau ada masalah, rasa tertekan, carilah kawan-kawan untuk luahkan perasaan. Solat jangan tinggal ya dik?” pesan Mariah membuatkan gadis itu semakin tertanya-tanya.
“Kakak nak minta diri dulu. Jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa nak minta tolong, cari kakak dekat pejabat tingkat 10,” sambung Mariah lagi.
Kak Mariah bingkas bangun untuk meninggalkan surau dan semua yang ada di situ. Tanggungjawabnya telah selesai disempurnakan. Dia lega kerana usahanya berjaya dengan bantuan Allah. Dalam hatinya, dia berharap agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Dia berdoa supaya semuanya terutama gadis itu tadi berada dalam lindungan Allah.
“Kak. Kak, tunggu sekejap,” laung Bakri memanggil.
Rupa-rupanya Bakri menurut Kak Mariah dari belakang sebaik sahaja dia meninggalkan surau itu tadi. Dia berpaling melihat ke arah Bakri yang sedang berlari-lari anak menuju ke arahnya.
“Terima kasih kak. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Bakri dalam cungapannya.
“Alhamdulillah. Akak buat apa yang akak terdaya. Kamu ni siapa? Kenal ke siapa adik tu tadi?”
“Eh, tak kak. Saya pun tak kenal dia siapa, cuma tadi waktu dia mula-mula tak sedarkan diri, saya ada dekat dengan dia. Nama saya Bakri, pelajar tahun 2 fakulti ni,” terang Bakri.
“Oh, kamu ni kawan si Anas—lah ya?”
Bakri terangguk-angguk mengaku.
“Kenapa kamu panggil akak ni?”
“Saya sebenarnya, sebenarnya nak tanya sesuatu pada Kak Mariah,” teragak-agak Bakri menyatakan niatnya menahan Kak Mariah daripada terus berlalu.
“Boleh, apa salahnya. Kalau akak tahu jawapannya, akak akan jawab. Kalau tak, kita sama-sama balik, cari jawapannya,” balas Kak Mariah lalu menghadiahkan senyuman kepada Bakri.
Bakri tersengih mendengar ucapan Kak Mariah. Tangannya pun tidak disedari terus naik menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Sebenarnya... Sebenarnya...”.
“Sebenarnya apa?” Kak Mariah memintas ayat Bakri yang masih lagi tergagap-gagap kurang yakin mengutarakan persoalan dalam fikiran.
“Sebenarnya saya nak tanya, Kak Mariah bercakap dengan siapa dalam surau tadi tu? Tu bukan budak perempuan tu, kan?” akhirnya terluah juga pertanyaan.
Kak Mariah senyum dan tidak terus menjawab. Bakri menunggu dengan sabar jawapan daripada Kak Mariah.
“Kenapa Bakri tanya macam tu? Bakri tak percaya ke itu suara pelajar perempuan tu tadi?” duga Kak Mariah.
Bakri menggelengkan kepala. Dia masih menunggu jawapan untuk soalannya.
“Panjang dan susah untuk diceritakan semuanya dekat sini. Macam nilah, esok, Bakri datang ke pejabat, akak bagi alamat akak, bila-bila masa kalau Bakri free, Bakri datang rumah akak. Suami akak pun ada nak jawabkan semua persoalan Bakri,” Kak Mariah begitu terbuka dan bersedia ingin membantu.
“Akak dah lambat ni, nanti AR tercari-cari pula,” ujarnya lagi lalu meminta diri meninggalkan Bakri seorang diri.
Bakri pula masih terkesima. Jawapan yang diharapkan masih belum diperolehi menyebabkan fikirannya masih dipenuhi pelbagai soalan tentang kejadian yang berlaku. Apa yang berlaku di kafe dan apa yang berlaku di surau. Semuanya ingin diminta penjelasan.
“Awak Bakri, kan?” tiba-tiba dia disapa dari belakang. Dia menoleh.
Gadis yang histeria itu muncul dengan dua orang rakannya yang bersama-sama di surau tadi. Dia nampak sangat keletihan. Lesu. Jalan pun perlu dipimpin erat.
“Ya saya. Awak dah okey?” Bakri takut-takut untuk bertanya.
“Okey, cuma masih terasa penat, macam lari marathon 10km,” sedaya upaya dia mengungkapkan ayat itu.
“Apa-apa pun, saya nak ucap terima kasih atas bantuan awak tadi. Kawan-kawan saya dah cerita apa yang terjadi dan dia orang beritahu, awak orang pertama yang tolong saya tadi,” ucap gadis itu sambil cuba untuk senyum.
“Eh, taklah cuma kebetulan saya ada dekat-dekat situ. Takkanlah saya nak tengok je, kan?”
“Tapi saya tetap rasa terhutang budi dengan awak. Hanya Allah yang dapat balas. Terima kasih, ya Bakri? Nama saya, Aina. Ermm... Saya minta diri dululah. Jumpa lagi, next time”.
Bakri angguk. Dia melihat gadis itu dan rakan-rakannya menapak beberapa langkah meninggalkannya. Pandangannya masih tertumpu kepada Aina. Dalam dia, Bakri suka melihat Aina. Tiba-tiba, seperti menyedari Bakri masih memerhatikannya dari jauh, Aina berpaling. Dia memberikan pandangan tajam yang serupa kepada Bakri seperti di surau tadi. Bakri tersentak dan cepat-cepat melarikan pandangan. Jantungnya berdebar-debar semula dan tangan mula bergetar.
Bakri tunduk. Dia menggosok-gosok kedua-dua belah matanya. Kemudian, dia memberanikan diri memandang ke arah Aina dan rakan-rakannya tadi. Kali ini dia melihat Aina dan kedua-dua rakannya sedang berjalan beriringan. Tidak lama selepas itu, kelibat mereka hilang di sebalik bangunan di hujung blok sana.
Bakri mengucap istighfar beberapa kali. Dahi yang berpeluh dilap dengan tapak tangan, dapat dirasakan basahnya. Jelas dia betul-betul dalam keadaan takut tadi. Mujurlah bayangan akhir itu hanyalah khayalannya semata-mata. Mungkin kerana dia terlalu memikirkan apa yang terjadi di surau tadi. Jawapannya ada pada Kak Mariah dan Bakri nekad untuk mendapatkan penjelasan itu.
Bersambung...



Suntingan: Arkib Angker Negara

Like, comment, share and follow!
*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Thursday 13 July 2017

RAMBUT - Mohd Dziehan Mustapa


"Abang...abang...

Baik cakap ini rambut siapa yang panjang kat bahu baju abang ni..."

Ali terpinga-pinga bila ditanyakan soalan seperti itu oleh isterinya
"Rambut....rambut apa?
Rambut panjang seperti rambut perempuan...patutlah abang selalu balik lambat sekarang ni ðŸ˜­"
Ali menjadi bingung melihat rambut panjang yang dijumpai isterinya pada bahu kemeja kerjanya....
Hmmmm rambut siapa pula ini? Bisik hati Ali sambil memikirkan jawapan balas yang masuk akal untuk diberikan kepada isterinya...
Ayu tahukan, 

Sejak kebelakangan ni kurang staff di OPD (Out Patient Department) Farmasi...sebab itu abang seminggu ini balik lewat untuk buat extended hour...

Yer, Ayu faham...tapi ayu curiga....ini rambut siapa...abang berambut pendek, ini panjang macam perempuan... ðŸ¤”
Mungkin rambut ini berpindah daripada white coat yang abang gantung di office...semua orang gantung white coat di situ termasuk budak-budak PRP (Pre-Registered Pharmacist) yang baru attach di OPD Farmasi tu...ujar Ali
"Huh....nasib baik Ayu boleh terima jawapan aku ini" bisik Ali selepas melihat isteri mula tersenyum dan boleh menerima jawapan yang diberikan.

*********

Ke-esokkan harinya seperti biasa Ali ke hospital untuk bekerja sebagai Pegawai Farmasi di OPD.
Hari itu Ali perhatikan satu persatu Pegawai Farmasi di OPD dan budak-budak PRP yang attach di situ...siapa yang free hair dan berambut panjang.
Hmmm....cuma Chan sahaja yang free hair. Yang lain semua bertudung. Tapi rambut Chan paras bahu sahaja....rambut semalam tu memang panjang gila...

***********

Sebulan telah berlalu...
Ayu bertanya lagi

Abang....siapa Pegawai di OPD tu yang free hair. Setahu Ayu memang semua bertudung...

Ali jawab dengan selamba...ada sorang tu budak PRP baru... Chan namanya. Dia jer yang free hair...
Ooo...Chan ni memang alami masalah rambut gugur ker? Boleh dikatakan setiap kali abang balik malam...mesti ada sehelai rambut panjang pada baju abang...
Ali semakin bingung.

Siapa punya rambut ini yer...
Kenapa bila balik Malam sahaja baru ada rambut tu?
**********

Masalah parkir memang berlaku di setiap hospital, terutama hospital besar di bandar-bandar...
Namun staff Farmasi di hospital Ali bekerja bernasib baik kerana dibenarkan parkir kenderaan di perkarangan stor farmasi...dengan syarat mesti staff Farmasi di hospital itu.
Selalunya stor farmasi ini di mana-mana hospital pun memang lokasinya pasti dihujung hospital...
Ali selalunya akan parkir kereta di kawasan belakang stor farmasi di bawah pokok yang besar yang banyak terdapat di situ...maklum sahajalah, hospital lama...pokok-pokok semua besar-besar dan sudah tua...
Bagi Ali...sekurang-kurangnya dapat parkir berteduh bawah pokok di situ...

*************

Suatu hari semasa Ali bertugas di kaunter OPD farmasi....Ali ditegur oleh kak edah...kak edah ni Penolong Pegawai Farmasi (ppf) yang telah lama berkhidmat di hospital tu...
"Ali....berani sungguh ko parkir kereta ko bawah pokok Kat stor tu..."
Eh...kenapa kak edah? Jawab Ali
Kat belakang tu kalau ko parkir dan balik siang-siang tidak mengapa....tapi balik malam ni...hmmm
Kenapa kak? Ali tertanya-tanya ingin tahu.
Ko tak dengar apa-apa masa malam-malam kat area parkir tu? Dan ko tak perasan ke kereta ko sahaja yang parkir Kat situ bila sudah Malam? Tanya kak edah.
Tak habis perbualan tadi...

Pesakit dah mula ramai dan semua fokus pada kerja mendispen ubat...perbualan Ali dengan kak edah terhenti di situ sahaja... 
*************

Masih teringat-ingat soalan kak edah tadi bisik hati Ali dalam perjalanannya ke kereta yang di pakir di bawah pokok di belakang stor farmasi itu...
Hmmm dengar bunyi apa yer?

Ali cuba ingat setiap malam di kawasan pakir itu apa bunyi yang sering didengari...

Yang ada bunyi burung

Kekek.. kekek.. kekek.. 
Itu yang Ali selalu dengar...tapi Ali tak pernah mendongak ke atas pokok untuk melihat burung apa yang bunyi seperti itu...
************

Setibanya di kawasan pakir tu Ali cuba mendongak ke atas untuk melihat apa yang ada atas pokok itu...
Tidak kelihatan apa-apa...sebab dari jauh kelihatan gelap sahaja kawasan itu..
Setelah betul-betul Ali menghampiri keretanya....

kedengaran bunyi
Kekek...kekek...kekek
Dalam masa yang sama terjatuh sehelai rambut yang panjang ke bahu Ali.

Masa itu bulu roma Ali meremang...

Ali mendongak dan cuba mencari burung apakah bunyi seperti itu...

Tiba-tiba kelihatan kelibatan susuk wanita dengan jubah putih yang usang berjurai-jurai dengan rambut yang panjang menutupi wajahnya...
Kekek...kekek...kekek

Ngilai kecil makhluk itu membuatkan jantung Ali terus berdegup kencang...
Ali hampir terkencing ketakutan...

Dengan pantas Ali memasuki kenderaannya dan memecut laju keluar daripada parkir hospital itu...

**********

Seminggu Ali demam akibat kejadian itu...

Selepas seminggu barulah Ali nenceritakan kisah sebenarnya kepada isterinya Ayu...

Ayu yang mendengar Kisah suaminya itu juga demam selepas itu...tidak disangka rupanya rambut panjang yang disangkanya bukti suaminya itu curang rupa-rupanya milik kelibat berjubah putih di atas pokok ðŸ˜¬
Harap Anda tidak demam selepas membaca kisah seram malam jumaat ini.
Pengajaran:

1. Elakkan letak kereta bawah pokok kerana ditakuti terhempap ranting atau dahan ketika hujan lebat atau kereta akan dipenuhi najis burung.
2. Elakkan bersangka buruk terhadap suami. Mungkin suami anda diganggu makhluk yang bersidai di atas pokok.




Nukilan: Mohd Dziehan Mustapa 
Arkib Angker Negara

Wednesday 12 July 2017

Burung Kubur (Bab 1) - Mohd Shahiri Abd Ghapar


(Bab 1)
Perjalanan ke kelas dilencongkan menuju ke kafe. Sebaik dia tiba di tempat letak kereta di bawah bangunan fakulti, dia menerima satu mesej daripada Anas, rakan sekelasnya. Kelas pagi itu tiba-tiba sahaja dibatalkan. Ada kecemasan berlaku di kolej kediaman pelajar perempuan.
Bakri menapak perlahan. Dia kecewa kerana berita kelas dibatalkan hanya diketahui selepas dia telah dekat benar dengan dewan kuliah. Kalaulah berita itu tiba lebih awal, sementara dia masih di rumah, sudah tentu waktu ini dia sedang bermalas-malasan di atas katil.
"Baq, jom breakfast dulu".
Bakri memandang ke arah suara Anas yang memanggilnya. Anas melambai-lambai mengajak dia ke sana. Dia angguk dari jauh.
"Apasal kau baru bagi tahu?" soalnya pendek.
"Aku pun baru tahu tadi. Dengar-dengarnya ada kes histeria dekat Kolej Dang Anum," terang Anas mempertahankan diri dan langsung membuka cerita.
"Histeria? Tak logik langsunglah!" Bakri menolak kebenaran cerita itu mentah-mentah.
"Kenapa pula?".
"Universiti kita ni bukan ke dalam bandar besar? Kolej Dang Anum tu pun bukannya dalam hutan. Histeria dibuat-buat tu," Bakri menjelaskan hujahnya dengan nada sinis.
"Eh, kau ni Baq. Histeria, kalau nak jadi bukannya kira tempat. Dekat kafe yang penuh orang macam ni pun boleh, kalau 'benda' tu nak datang kacau," bangkang Anas pula.
"Benda? Benda apa? Kau ni percaya sangat benda-benda macam tu. Nas, kita ni tak lama lagi nak masuk tahun 2020. Nak capai status negara maju. Tapi kalau semua rakyat Malaysia ni masih berfikiran ke belakang macam ni, aku rasa sampai bila-bila pun Malaysia ni tak akan maju".
Anas mencebik. Dia geram kerana Bakri terlalu angkuh dengan pendiriannya yang menolak bulat-bulat kemungkinan yang kejadian histeria di Kolej Dang Anum itu betul-betul berlaku. Anas pun bukannya percaya sangat tapi sesekali dia ada terfikir juga. Dia tahu, bukan manusia sahaja yang ada atas muka bumi. Ada banyak lagi makhluk ciptaan Tuhan, sama ada boleh dilihat dengan mata kasar ataupun tidak sahaja.
"Tapi, kalau betul pun ada budak-budak kena histeria di kolej tu, kenapa kelas kita pula yang dibatalkan?" soal Bakri, masih belum berpuas hati dengan kenyataan yang dia sekarang berada di kafe berhampiran fakulti dan bukannya di atas tilam empuk di rumah.
"Entah. Tapi aku dengar budak-budak tu cakap tadi, lecturer kita yang tinggal sekali dengan warden asrama tu pun terkena sekali".
Bakri terdiam. Dia meragui kejadian histeria itu tadi kerana dia menyangkakan kejadian itu hanya melibatkan pelajar-pelajar perempuan. Tetapi, kalau pensyarahnya juga terkena, dia jadi terfikir-fikir semula. Tidaak mungkinlah pensyarahnya pun berpura-pura.
"Ah, daripada aku fikir pasal benda yang entah apa-apa tu, baik aku isi perut aku yang lapar ni," ngomelnya lalu bingkas bangun menuju meja tempat makanan terhidang secara buffet.

Anas hanya menggeleng-gelengkan kepala mengenangkan sikap Bakri yang langsung tidak berubah. Jangan cakap histeria, apa-apa sahaja yang berkait dengan hantu atau unsur-unsur mistik memang langsung tidak pernah menjadi sesuatu yang dipercayai oleh Bakri. Dia menolak kewujudan makhluk-makhluk itu semua.

Setiap kali ada kawan-kawan yang membuka cerita seram atau misteri berkaitan makhluk ghaib, Bakri akan mengejek dan membidas sinis kata-kata mereka. Beberapa bulan lepas, apabila Razif, salah seorang teman sekelasnya bercerita yang dia diganggu di simpang tiga berdekatan taman perumahan mereka semasa pulang ke rumah selepas habis bermain badminton, Bakri hanya mentertawakan. Jangankan untuk percaya, malahan kata-kata Razif dibuat jenaka sahaja.
Bakri menyepit mi goreng dari dalam talam masuk ke dalam piring kecil di tangan kirinya. Seleranya terbuka pula apabila melihat warna merah-merah gelap pada mi itu. Selepas itu, Bakri ikut beratur menunggu giliran di kaunter bayaran untuk membayar.
Tiba-tiba Bakri rasa bahunya dicuit dari belakang. Dia berpaling sekilas untuk melihat tapi tiada sesiapa di belakang. Dia pandang semula ke depan. Barisan yang panjang tadi semakin pendek dan dia semakin maju ke depan mendekati kaunter bayaran.
Kemudian, Bakri rasa bahunya diusik lagi. Malahan, kali ini lebih kuat lagi. Dia terus memandang ke belakang memastikan gerangan yang melakukan perkara itu. Kosong. Dialah orang yang terakhir dalam barisan itu. Namun, Bakri tidak terfikirkan apa-apa. Dia masih beranggapan itu semata-mata bayangannya sahaja.
"Bukan main mahal. Mi goreng seciput pun harga sampai tiga ringgit," bebelnya seorang diri sambil berjalan menuju Anas yang masih di meja yang sama sebaik sahaja bayaran dibuat.
"Baq, apasal kau tadi?" Anas melahirkan rasa tertanya-tanyanya yang memerhatikan gelagat Bakri sewaktu berbaris tadi.
"Apa?" Bakri tidak faham sepenuhnya.
"Kenapa kau pandang-pandang belakang?" soal Anas.
"Aku rasa macam ada orang pegang, cuit bahu aku. Tapi bila aku toleh, tak ada pula. Itu je, tak ada apa pun," jawabnya selamba.

Anas terkedu. Meskipun dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, tapi terlintas juga sebenarnya perkara itu dalam mindanya. Cuma, dia takut untuk menyatakannya di depan Bakri disebabkan sikap Bakri yang satu itu.

Bakri menyuap mee goreng dari piring. Suapan pertama terasa nikmat apatah lagi ketika perutnya memang meminta-minta untuk diisi.
Pada masa yang sama juga, seorang pelajar perempuan yang sedang duduk di meja belakangnya dengan tidak semena-mena jatuh pengsan. Tubuhnya meleret rebah terkena pada belakang Bakri. Bakri terkejut. Dia bingkas bangun dan melutut mendapatkan gadis itu.
Bakri memang tidak kenal gadis itu tapi dirinya rasa terpanggil untuk memangku kepalanya daripada terbiar terus terkena lantai kafe yang kotor. Sebaik sahaja kepala gadis itu diletakkan di pangkuannya, mata gadis itu terbuka. Terbeliak besar, tajam memandang ke atas. Bakri hampir sahaja menolak kepala gadis itu semula ke lantai kerana terperanjat.
Tanpa diduga, pelajar perempuan di pangkuan Bakri menjerit sekuat hati. Dia meraung dan melolong. Mulutnya menyebut sesuatu tapi tiada satu pun ungkapannya berbutir untuk difahami. Air liur dan air mata keluar sama banyak membasahi wajahnya. Dahi dan belakang badannya pula basah dengan keringatnya. Badan gadis itu keras seperti seseorang yang sedang sawan. Kejang tapi dalam masa yang sama tangannya meronta-ronta.
Keadaan di kafe menjadi panik. Pelajar yang sedang menikmati juadah sarapan pagi bertempiaran lagi. Tidak kurang juga yang tinggal berkerumun menjadi saksi kepada Bakri yang juga turut sama cemas tidak tahu apa yang patut dia lakukan.
"Anas, macam mana ni?" soalnya meminta bantuan.
"Aku tak tahu. Tak tahu Baq. Dia ni histeria ni," Anas terketar-ketar membalas.
"Histeria?" Bakri terpana dan terus pandangannya tertunduk ke bawah melihat gadis di pangkuan yang semakin kuat meronta sambil meraung-raung.
Sememangnya, Bakri tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia tertanya-tanya, kenapa mesti dia?

Bersambung...





Suntingan: Arkib Angker Negara
Like, comment, share and follow!

*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

Sunday 9 July 2017

MISTERI LEBUHRAYA SENAI DESARU (E22) - Kamarul Ariffin Nor Sadan


Bagi yang tak tahu, lebuhraya sepanjang 77 km yang merentasi selatan Johor ini menghubungkan Senai di barat dan Desaru di timur. Mula dibuka pada tahun 2009 namun sehingga kini, jumlah kenderaan yang menggunakan lebuhraya ini belum mencapai kapasiti anggaran.
Pendek kata, masih lengang.
Ada banyak faktor yang menjadi polemik berkenaan sambutan dingin para pengguna jalanraya, antaranya ketirisan dana, kualiti turapan dan harga bayaran tol yang tinggi, namun di kalangan orang tempatan, perkara yang sering dibisikkan adalah tentang kejadian paranormal.
Aku tak mahu cerita apa yang disampaikan dari mulut ke mulut kerana ia entah betul entah tidak. Aku cuma berhasrat kongsikan pengalaman aku sebagai salah seorang pengguna tetap lebuhraya misteri ini.
11 malam, Khamis, 5 Mac 2015.
Aku ingat benar tarikh itu kerana malam itu bulan mengambang penuh. Namun hari tersebut bukan purnama biasa. Malam itu Lunar Apogee. Pernah dengar fenomena Lunar Perigee(Supermoon) dimana bulan mengambang lebih besar daripada biasa?
Lunar Apogee adalah fenomena berlawanan dengan dengan fenomena Lunar Perigee, iaitu bulan penuh ketika jaraknya paling jauh daripada bumi.
Pada malam istimewa itu, aku memandu di LSD arah timur, menuju ke arah Pasir Gudang. Walaupun bulan purnama malam itu boleh dikatakan gelap. Remang cahaya bulan tak begitu cerah seperti purnama lain. Tambahan pula tiada kenderaan lain di atas lebuhraya, arah timur mahupun barat.
Sunyi.
Ketika melewati kilometer 33(KM33) tiba-tiba aku ditenggelami perasaan seram. Jantung aku berdebar-debar. Mulai KM33-KM37, LSD merentasi sebuah kawasan tadahan air yang membekalkan air bersih pada penduduk Johor Bahru. Ia yang terbentuk apabila air Sungai Layang dibendung oleh Empangan Sultan Iskandar.
Selain Jambatan yang merentasi Sungai Johor, kawasan yang dikatakan paling keras di LSD adalah di sepanjang 4 km ini. Jika kau lewati kawasan in tanpa pernah dengar tentang kisah-kisah angker mengenainya, kau tetap akan rasa suasana yang kurang tenteram.
Klaustrofobik.
Mungkin kerana sepnjanag 4 km ini dibenteng oleh tembok konkrit yang merupakan sebahagian konstruksi Pollutants Removal System(PRS). Seandainya berlaku kemalangan di kawasan ini yang melibatkan limpahan bahan beracun seperti minyak atau bahan kimia, sistem ini akan mengelakkan bahan tersebut daripada mencemar tadahan air bersih.
Sepanjang memandu di bentangan lebuhraya yang dilabel berpuaka ini, aku hanya fokuskan penglihatan ke atas tarmak. Bimbang jika curi pandang sana-sini, ternampak pula sesuatu yang tak diingini. Lagipun aku perlu berhati-hati kerana lebuhraya ini beralun dan berlubang-lubang macam permukaan bulan.
Sebaik sahaja aku melepasi KM35, aku terlihat segitiga merah di lorong kecemasan, seraya aku menekan brek. Entah kerana aku beri reaksi begitu pun aku tak tahu. Segitiga amaran itu bukannya di laluan aku, ia di laluan kecemasan. Aku hanya turutkan naluri.
Beberapa meter di hadapan segitiga merah yang memantul cahaya itu, pegun sebuah Perodua Kenari berwarna merah. Ketika itu kereta aku sudah pun perlahan dan apabila melewati di sebelah kenderaan itu, aku ternampak ada kelibat manusia berdiri di atas bumbungnya.
Mata ku gosok, lantas pandangan diacukan ke cermin sisi sebelah kiri. Melalui cermin kecil itu, samar-samar cahaya bulan mengesahkan ada seseorang berada di atas kenderaan buatan tempatan itu.
Berderau jantung aku. Remang bulu roma. Aku mula terbayang mahkluk yang sering diperihalkan dalam kisah-kisah penampakan di Lebuhraya Karak, namun imiganasi aku tertampa setelah mendapati kelibat itu berbaju tee cerah dan berseluar pendek, serta susuk tubuh dan gayanya kelihatan sungguh maskulin.
Itu seorang lelaki dan ditangan kanannya ada sumber cahaya yang aku kira telefon bimbitnya.
Pedal brek dipijak. Aku segera menghentikan kereta lalu tombol gear di anjak ke ‘R’. Berpandukan lampu undur kereta aku mengundur menghampiri Perodua Kenari itu.
Menerusi cermin pandang belakang, aku lihat kenderaan itu dan pemiliknya dilimpahi cahaya kuning lampu undur dan merah warna lampu brek kereta aku. Aku segera brek apabila terlihat lelaki itu memberi isyarat untuk berhenti. Ketika itu jarak aku daripada keretanya, dalam 20 meter.
Gear ditolak ke 'P', tuil brek aku tarik, lantas aku buka pintu dan keluar dari perut kereta.
“Ada apa-apa saya boleh bantu?” soalku sambil melangkah lebih dekat ke arah Perodua Kenari itu.
“Stop! Stop! Jangan datang dekat!” balasnya.
“Jangan risau. Saya cuma nak tolong.” ujarku. Mungkin dia risau jika aku ingin ambil kesempatan atas musibah yang dia alami. Bimbang aku ni perompak atau penjenayah. Sejujurnya aku ada perasaan wasangka begitu. Aku juga harus berwaspada.
“Saya faham, tapi jangan datang dekat.” pekiknya. Jarak kami lebih kurang 20 kaki, dan dia berada di atas kereta, jadi perlu tinggikan suara sedikit untuk berkomunikasi.
“OK! Apa-apa saya boleh bantu?”
“Boleh tolong telefon pihak konsesi LSD? Telefon saya tak ada line.”
Aku keluarkan telefon bimbit daripada poket seluar dan terus periksa paparan liputan signal rangkaian telefon di penjuru juru atas skrin. Dahi aku berkerut apabila lihat ikon bulatan dengan palang diagonal yang terpampang di skrin.
“Telefon saya pun tak ada line!” beritahu aku pada lelaki di atas Kenari.
“Cuba tengok dalam kereta saya, ada apa-apa tak?” soalnya.
“Hah?” responku. Keliru dengan soalannya. Aku tak pasti apa yang dia maksudkan dengan “apa-apa”.
“Maksud saya, ada binatang ke, orang ke, atau… “ penjelasan lnya terhenti.
“Atau apa?” soalku.
“...you know. Anything” balasnya dengan jawapan yang equivokal. Mengharapkan aku tahu apa yang cuba disampaikan tanpa dia perlu nyatakan secara definitif.
“Tak ada! Kereta encik apa masalahnya?” kataku.
Dia beritahu, semasa dia melewati KM34, dia terlihat ada sesuatu memanjat dari tembok konkrit, lalu melintas dihadapan keretanyanya. Kelibat itu merayap seperti seekor biawak. Namun kepalanya kelihatan sedikit ganjil. Lonjong, dan bukan leper. Memandangkan benda itu telah terlalu dekat, pemandu berkenaan terpaksa buat brek kecemasan. Berciut tayar kereta itu ketika bergeser dengan bitumen. Dia gambarkan bunyi itu seperti wanita meroyan berteriak. Bulu romaku meremang membayangkannya kata-katanya itu.
Haiwan yang melintas itu terkejut mendengar bunyi tersebut, lalu sepantas kilat ia cuba berpatah balik ke sisi jalan.
BOOM!
Tiba-tiba pemandu Kenari itu hilang kawalan ke atas kenderaannya namun berjaya mengemudi kenderaannya ke lorong kecemasan dan akhirnya berhenti di situ. Apabila turun dari kereta, dia terus memeriksa kenderaannya. Dia khuatir terlanggar haiwan itu, namun tiada tanda-tanda pelanggaran berlaku. Keretanya hilang kawalan kerana tayar hadapan sebelah pemandu meletup.
“OK OK. Lepas tu apa jadi? Tak payah cerita terperinci sangat. Apa kata encik turun dari bumbung kereta! Peliklah berbual begini.” kataku memotong ceritanya.
“Saya tak nak turun. Abang dengar dulu!”
“OK!” balas aku polos.
Dia cerita lagi. Dalam perjalanan kembali ke kereta setelah dia letakkan segitiga amaran kecemasan, dia terdengar bunyi sesuatu bergerak gerak di sebalik tembok konkrit di sisi jalan raya. Dijengah-jengah, namun tiada apa yang dapat di lihat. Sinar bulan tak cukup terang. Lampu belakang keretannya pula terlalu merah. Maka dia abaikan dan terus mengorak langkah ke keretanya.
Skreek! Skreek! Skreek!
Terdengar lagi bunyi geseran itu di belakangnya. Kini lebih jelas. Apabila dia menoleh kebelakang, hanya segitiga merah yang dipasangnya itu kelihatan di atas tarmak. Utuh di situ. Tidak terusik. Maka, dia anggap bunyi itu khayalan mindanya sahaja.
Setelah mundar mandir berhampiran keretanya buat seketika, baru dia terfikir untuk menelefon pihak konsesi lebih raya. Pada mulanya dia terfikir mahu telefon pihak insuran keretanya, namun dia tak simpan no telefon pihak insurans di dalam kereta. Kad yang diberi oleh juru tol di ambil daripada konsol di papan pemuka kereta. Di beleknya kad itu.
E22 Hotline : 07-8612222
“Jadi, awak call nombor tu?” potong ku lagi. Semakin meleret cerita dia.
“A’ah! Tapi tak dapat. Sebab tak ada line. Itu yang saya panjat atas bumbung ni!”
“Lah! Sebab tu je? Bikin suspen je lah.” ujarku separa mengeluh.
“Itu sebab saya panjat, tapi sebab saya tak nak turun, itu sebab lain!”
“Cepatlah cakap sebab apa? Saya tak ada masa nak dengar cerita panjang-panjang. Dah tengah malam ni. Saya ada urusan lain.”
“OK OK! Masa saya berdiri atas bumbung ni saya nampak ada benda panjat dinding konkrit dekat dengan tempat saya letak safety triangle tu. Lepas tu benda tu merangkak menghampiri kereta saya. Mukanya..”
Ketika ini jantung aku berdegup laju. Darah aku mulai berkumpul di dada. Bibir aku kebas. Namun bukan kerana cerita yang sedang disampaikan oleh pemandu Kenari tersebut, tetapi kerana di bawah keretanya aku ternampak ada sepasang mata yang berkilau memantulkan cahaya skarlet dari lampu belakang kereta aku.
Ia perlahan lahan bergerak keluar daripada bawah kereta dan apabila kepalanya terlah terjulur keluar dari bawah bampar kenari tu, jantung aku luruh ke abdomen.
Mukanya seperti wajah manusia tetapi lebih leper, umpama digilis sesuatu. Di mana seharusnya hidung, hanyalah rongga berbentuk segitiga yang dipisahkan ditengahnya dengan selapis membran. Dari rongga itu terjelir-jelir lidahnya, kadang kala terjelir juga dari mulutnya yang lebar dan dilengkapi barisan gigi yang simpang siur barisannya.
Ia merangkak keluar seperti seekor biawak yang kakinya terlampau panjang. Aku panik. Lutut aku terasa lemah. Terasa kaki ini bertukar menjadi tanah liat. Terliuk ditarik graviti. AKu terpaksa memegang sisi kenderaan aku untuk berundur menjauhi makhluk itu.
Melihat aku begitu, lelaki yang berdiri dia atas Kenari tadi berteriak, melaungkan nama Tuhan dan memohon perlindungan dari syaitan yang dilaknat.
Kalimah yang dilaunkan itu mengembalikan semula kudrat dalam tubuh aku. Aku menggagahkan kaki dan bergegas menuju semula ke kereta. Makhluk tadi mengekori aku. Pergerakannya kini seperti mawas yang sedang berlari dengan tangan dan kaki. Lebih laju dan lebih lincah.
Aku capai pemegang pintu, membukanya lalu melompat masuk kedalam kabin. Kepala aku terhantuk di bingkai pintu kereta semasa aksi itu. Menjadikan telinga aku berdesing. Aku kekalkan fokus untuk selamatkan diri. Tak ada masa untuk mengaduh. Pintu, aku lekas-lekas kunci.
Gear aku tukar ke D, tuil handbrake dan pendikit minyak aku tekan hingga ke lantai. Roda kereta aku yang mempunyai pacuan belakang berputar beberapa pusingan sebelum meluncur ke hadapan dengan pecutan maksima.
Namun setelah beberapa detik, aku lepaskan pendikit minyak dan menghenyak pedal brek. Terlalu pentingkan diri jika aku melarikan diri dan meninggalkan lelaki tadi seorang diri tanpa bantuan.
Aku masukkan gear ke R, lalu mengundur sepantas mungkin. Di cermin pandang belakang, aku lihat makhluk yang tadi mengejar aku kini sedang cuba memanjat Kenari. Aku halakan bontot kereta aku dan memecut ke belakang sederasnya.
BANG!
Makhluk itu tercampak ke menjauhi belakang kereta aku setelah aku merempanya dengan halaju tinggi. Tergolek-golek ia lalu tersungkur menyembah bumi. Setelah memerhatikan ia tidak bergerak, aku membuka tingkap lalu berteriak.
“Apa lagi! Cepat naik kereta aku!”

.
.
.
Tiada respon. Aku jengah kepala aku keluar tingkap untuk meninjau lelaki yang berada dia atas Kenari yang kini berada betul-betul disebelah kereta aku.

Tiada.
Lelaki itu tiada. Mana dia pergi? Dalam gelabah aku jeling semula cermin pandang belakang. Tangan aku menggeletar apabila aku lihat, apa yang aku langgar tadi sebenarnya bukan makhluk itu tetapi lelaki yang berbaju tee cerah dan berseluar pendek berkenaan. Jasadnya terkulai pegun 10 kaki dari kereta aku.
Tubuh aku longlai. Otak aku celaru. Akal aku membeku. Apa harus aku lakukan? Turun dan tolong lelaki yang aku langgar itu? Tak boleh! Makhluk Lanaktullah itu ada di luar! JIka aku tinggalkan lelaki itu, aku dikira langgar lari. Hidup lagi tak lelaki itu?
Aku jengah sekali lagi. Apa yang aku lihat berlaku buatkan aku nekad untuk tinggalkan tempat kejadian. Makhluk itu sedang menarik tubuh lelaki yang berlumuran darah itu ke sisi jalan lalu memukul bertubi-tubi. Lelaki itu langsung tidak memberi gerak balas.
Aku tekan pendikit minyak sekuat hati. Di paparan papan pemuka keluar ikon segitiga berwarna merah dan perkataan DTC menyala menandakan sistem kawalan cengkaman roda mengesan berlakunya wheelspin pada tayar belakang. Situasi ini selalunya berlaku apabila pemandu memecut serta merta daripada keadaan pegun.
“Macam mana ni? Aku dah bunuh orang! Aku dah bunuh orang!”
Sepanjang perjalanan ke susur keluar Pasir Gudang, aku cuba memikirkan apa yang harus aku lakukan sebaik sahaja sampai di plaza tol. Jika aku diamkan sahaja peristiwa ini, tiada sesiapa akan tahu. Semasa itu semua berlaku, tak ada satu saksi pun.
“Kalau lelaki tu tak mati, macam mana?”
Setahun berlalu. Aku tak laporkan peristiwa ini pada sesiapa. Setiap hari aku tunggu pegawai polis bertandang ke rumah aku. Aku tunggu mereka angkut aku ke lokap. Namun selepas satu bulan, tiada pun polis yang muncul, aku yakin lelaki itu telah mati dan tiada sesiapa tahu mengenainya.
Kerap juga aku belek surat khabar untuk periksa laporan berita yang melibatkan kematian pemandu Kenari di LSD. Tiada. Paling hampir pun, ia melibatkan sebuah kemalangan di KM15 lebuh raya itu. Kenari terbabas, kerana tergelincir akibat jalan raya basah. Pemandu itu terselamat.
Hari ini, aku buka rahsia ini kerana aku rasa berdosa. Keduanya, aku kini tak pasti apa yang aku alami itu benar-benar berlaku atau hanya khayalan minda aku. Aku harap ia adalah situasi kedua.
Apapun, jika kalian gunakan LSD agar berhati-hati di kilometer 33-37. Aku tak tahu apa yang aku jumpa itu. Namun, ada orang kata itu adalah khadam air yang ditempatkan oleh seorang pawang ketika empangan Sulatan Iskandar kering tak lama dahulu.
Ketika empangan itu kering, banyak orang merana kerana bekalan air asyik dicatu. Oleh itu ada penduduk tempatan memanggil pawang untuk kononnya memanggil air dan hujan. Pawang iberkenaan telah gunakan khadam makhluk halus untuk memenuhi hasrat itu, dengan syarat korban darah perlu diberi.
Mula-mula orang yang memanggil pawang itu akur. Korban sentiasa diberi seperti yang telah ditetapkan. Namun empangan itu tetap kering. Akhirnya kemelut air itu diselesaikan oleh Syarikat Air Johor (SAJ) dengan mengepam air dari sungai lain ke kawasan tadahan air itu. Setelah masalah itu selesai, upacara korban tidak diteruskan.
Justeru, kini khadam itu berkeliaran menagih darah yang dijanjikan pada bulan purnama setiap bulan. Jadi, berwaspadalah.



Nukilan: Kamarul Ariffin Nor Sadan (admin) 

Suntingan: Arkib Angker Negara
Like, comment, share and follow!

*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.