Sunday, 9 July 2017

MISTERI LEBUHRAYA SENAI DESARU (E22) - Kamarul Ariffin Nor Sadan


Bagi yang tak tahu, lebuhraya sepanjang 77 km yang merentasi selatan Johor ini menghubungkan Senai di barat dan Desaru di timur. Mula dibuka pada tahun 2009 namun sehingga kini, jumlah kenderaan yang menggunakan lebuhraya ini belum mencapai kapasiti anggaran.
Pendek kata, masih lengang.
Ada banyak faktor yang menjadi polemik berkenaan sambutan dingin para pengguna jalanraya, antaranya ketirisan dana, kualiti turapan dan harga bayaran tol yang tinggi, namun di kalangan orang tempatan, perkara yang sering dibisikkan adalah tentang kejadian paranormal.
Aku tak mahu cerita apa yang disampaikan dari mulut ke mulut kerana ia entah betul entah tidak. Aku cuma berhasrat kongsikan pengalaman aku sebagai salah seorang pengguna tetap lebuhraya misteri ini.
11 malam, Khamis, 5 Mac 2015.
Aku ingat benar tarikh itu kerana malam itu bulan mengambang penuh. Namun hari tersebut bukan purnama biasa. Malam itu Lunar Apogee. Pernah dengar fenomena Lunar Perigee(Supermoon) dimana bulan mengambang lebih besar daripada biasa?
Lunar Apogee adalah fenomena berlawanan dengan dengan fenomena Lunar Perigee, iaitu bulan penuh ketika jaraknya paling jauh daripada bumi.
Pada malam istimewa itu, aku memandu di LSD arah timur, menuju ke arah Pasir Gudang. Walaupun bulan purnama malam itu boleh dikatakan gelap. Remang cahaya bulan tak begitu cerah seperti purnama lain. Tambahan pula tiada kenderaan lain di atas lebuhraya, arah timur mahupun barat.
Sunyi.
Ketika melewati kilometer 33(KM33) tiba-tiba aku ditenggelami perasaan seram. Jantung aku berdebar-debar. Mulai KM33-KM37, LSD merentasi sebuah kawasan tadahan air yang membekalkan air bersih pada penduduk Johor Bahru. Ia yang terbentuk apabila air Sungai Layang dibendung oleh Empangan Sultan Iskandar.
Selain Jambatan yang merentasi Sungai Johor, kawasan yang dikatakan paling keras di LSD adalah di sepanjang 4 km ini. Jika kau lewati kawasan in tanpa pernah dengar tentang kisah-kisah angker mengenainya, kau tetap akan rasa suasana yang kurang tenteram.
Klaustrofobik.
Mungkin kerana sepnjanag 4 km ini dibenteng oleh tembok konkrit yang merupakan sebahagian konstruksi Pollutants Removal System(PRS). Seandainya berlaku kemalangan di kawasan ini yang melibatkan limpahan bahan beracun seperti minyak atau bahan kimia, sistem ini akan mengelakkan bahan tersebut daripada mencemar tadahan air bersih.
Sepanjang memandu di bentangan lebuhraya yang dilabel berpuaka ini, aku hanya fokuskan penglihatan ke atas tarmak. Bimbang jika curi pandang sana-sini, ternampak pula sesuatu yang tak diingini. Lagipun aku perlu berhati-hati kerana lebuhraya ini beralun dan berlubang-lubang macam permukaan bulan.
Sebaik sahaja aku melepasi KM35, aku terlihat segitiga merah di lorong kecemasan, seraya aku menekan brek. Entah kerana aku beri reaksi begitu pun aku tak tahu. Segitiga amaran itu bukannya di laluan aku, ia di laluan kecemasan. Aku hanya turutkan naluri.
Beberapa meter di hadapan segitiga merah yang memantul cahaya itu, pegun sebuah Perodua Kenari berwarna merah. Ketika itu kereta aku sudah pun perlahan dan apabila melewati di sebelah kenderaan itu, aku ternampak ada kelibat manusia berdiri di atas bumbungnya.
Mata ku gosok, lantas pandangan diacukan ke cermin sisi sebelah kiri. Melalui cermin kecil itu, samar-samar cahaya bulan mengesahkan ada seseorang berada di atas kenderaan buatan tempatan itu.
Berderau jantung aku. Remang bulu roma. Aku mula terbayang mahkluk yang sering diperihalkan dalam kisah-kisah penampakan di Lebuhraya Karak, namun imiganasi aku tertampa setelah mendapati kelibat itu berbaju tee cerah dan berseluar pendek, serta susuk tubuh dan gayanya kelihatan sungguh maskulin.
Itu seorang lelaki dan ditangan kanannya ada sumber cahaya yang aku kira telefon bimbitnya.
Pedal brek dipijak. Aku segera menghentikan kereta lalu tombol gear di anjak ke ‘R’. Berpandukan lampu undur kereta aku mengundur menghampiri Perodua Kenari itu.
Menerusi cermin pandang belakang, aku lihat kenderaan itu dan pemiliknya dilimpahi cahaya kuning lampu undur dan merah warna lampu brek kereta aku. Aku segera brek apabila terlihat lelaki itu memberi isyarat untuk berhenti. Ketika itu jarak aku daripada keretanya, dalam 20 meter.
Gear ditolak ke 'P', tuil brek aku tarik, lantas aku buka pintu dan keluar dari perut kereta.
“Ada apa-apa saya boleh bantu?” soalku sambil melangkah lebih dekat ke arah Perodua Kenari itu.
“Stop! Stop! Jangan datang dekat!” balasnya.
“Jangan risau. Saya cuma nak tolong.” ujarku. Mungkin dia risau jika aku ingin ambil kesempatan atas musibah yang dia alami. Bimbang aku ni perompak atau penjenayah. Sejujurnya aku ada perasaan wasangka begitu. Aku juga harus berwaspada.
“Saya faham, tapi jangan datang dekat.” pekiknya. Jarak kami lebih kurang 20 kaki, dan dia berada di atas kereta, jadi perlu tinggikan suara sedikit untuk berkomunikasi.
“OK! Apa-apa saya boleh bantu?”
“Boleh tolong telefon pihak konsesi LSD? Telefon saya tak ada line.”
Aku keluarkan telefon bimbit daripada poket seluar dan terus periksa paparan liputan signal rangkaian telefon di penjuru juru atas skrin. Dahi aku berkerut apabila lihat ikon bulatan dengan palang diagonal yang terpampang di skrin.
“Telefon saya pun tak ada line!” beritahu aku pada lelaki di atas Kenari.
“Cuba tengok dalam kereta saya, ada apa-apa tak?” soalnya.
“Hah?” responku. Keliru dengan soalannya. Aku tak pasti apa yang dia maksudkan dengan “apa-apa”.
“Maksud saya, ada binatang ke, orang ke, atau… “ penjelasan lnya terhenti.
“Atau apa?” soalku.
“...you know. Anything” balasnya dengan jawapan yang equivokal. Mengharapkan aku tahu apa yang cuba disampaikan tanpa dia perlu nyatakan secara definitif.
“Tak ada! Kereta encik apa masalahnya?” kataku.
Dia beritahu, semasa dia melewati KM34, dia terlihat ada sesuatu memanjat dari tembok konkrit, lalu melintas dihadapan keretanyanya. Kelibat itu merayap seperti seekor biawak. Namun kepalanya kelihatan sedikit ganjil. Lonjong, dan bukan leper. Memandangkan benda itu telah terlalu dekat, pemandu berkenaan terpaksa buat brek kecemasan. Berciut tayar kereta itu ketika bergeser dengan bitumen. Dia gambarkan bunyi itu seperti wanita meroyan berteriak. Bulu romaku meremang membayangkannya kata-katanya itu.
Haiwan yang melintas itu terkejut mendengar bunyi tersebut, lalu sepantas kilat ia cuba berpatah balik ke sisi jalan.
BOOM!
Tiba-tiba pemandu Kenari itu hilang kawalan ke atas kenderaannya namun berjaya mengemudi kenderaannya ke lorong kecemasan dan akhirnya berhenti di situ. Apabila turun dari kereta, dia terus memeriksa kenderaannya. Dia khuatir terlanggar haiwan itu, namun tiada tanda-tanda pelanggaran berlaku. Keretanya hilang kawalan kerana tayar hadapan sebelah pemandu meletup.
“OK OK. Lepas tu apa jadi? Tak payah cerita terperinci sangat. Apa kata encik turun dari bumbung kereta! Peliklah berbual begini.” kataku memotong ceritanya.
“Saya tak nak turun. Abang dengar dulu!”
“OK!” balas aku polos.
Dia cerita lagi. Dalam perjalanan kembali ke kereta setelah dia letakkan segitiga amaran kecemasan, dia terdengar bunyi sesuatu bergerak gerak di sebalik tembok konkrit di sisi jalan raya. Dijengah-jengah, namun tiada apa yang dapat di lihat. Sinar bulan tak cukup terang. Lampu belakang keretannya pula terlalu merah. Maka dia abaikan dan terus mengorak langkah ke keretanya.
Skreek! Skreek! Skreek!
Terdengar lagi bunyi geseran itu di belakangnya. Kini lebih jelas. Apabila dia menoleh kebelakang, hanya segitiga merah yang dipasangnya itu kelihatan di atas tarmak. Utuh di situ. Tidak terusik. Maka, dia anggap bunyi itu khayalan mindanya sahaja.
Setelah mundar mandir berhampiran keretanya buat seketika, baru dia terfikir untuk menelefon pihak konsesi lebih raya. Pada mulanya dia terfikir mahu telefon pihak insuran keretanya, namun dia tak simpan no telefon pihak insurans di dalam kereta. Kad yang diberi oleh juru tol di ambil daripada konsol di papan pemuka kereta. Di beleknya kad itu.
E22 Hotline : 07-8612222
“Jadi, awak call nombor tu?” potong ku lagi. Semakin meleret cerita dia.
“A’ah! Tapi tak dapat. Sebab tak ada line. Itu yang saya panjat atas bumbung ni!”
“Lah! Sebab tu je? Bikin suspen je lah.” ujarku separa mengeluh.
“Itu sebab saya panjat, tapi sebab saya tak nak turun, itu sebab lain!”
“Cepatlah cakap sebab apa? Saya tak ada masa nak dengar cerita panjang-panjang. Dah tengah malam ni. Saya ada urusan lain.”
“OK OK! Masa saya berdiri atas bumbung ni saya nampak ada benda panjat dinding konkrit dekat dengan tempat saya letak safety triangle tu. Lepas tu benda tu merangkak menghampiri kereta saya. Mukanya..”
Ketika ini jantung aku berdegup laju. Darah aku mulai berkumpul di dada. Bibir aku kebas. Namun bukan kerana cerita yang sedang disampaikan oleh pemandu Kenari tersebut, tetapi kerana di bawah keretanya aku ternampak ada sepasang mata yang berkilau memantulkan cahaya skarlet dari lampu belakang kereta aku.
Ia perlahan lahan bergerak keluar daripada bawah kereta dan apabila kepalanya terlah terjulur keluar dari bawah bampar kenari tu, jantung aku luruh ke abdomen.
Mukanya seperti wajah manusia tetapi lebih leper, umpama digilis sesuatu. Di mana seharusnya hidung, hanyalah rongga berbentuk segitiga yang dipisahkan ditengahnya dengan selapis membran. Dari rongga itu terjelir-jelir lidahnya, kadang kala terjelir juga dari mulutnya yang lebar dan dilengkapi barisan gigi yang simpang siur barisannya.
Ia merangkak keluar seperti seekor biawak yang kakinya terlampau panjang. Aku panik. Lutut aku terasa lemah. Terasa kaki ini bertukar menjadi tanah liat. Terliuk ditarik graviti. AKu terpaksa memegang sisi kenderaan aku untuk berundur menjauhi makhluk itu.
Melihat aku begitu, lelaki yang berdiri dia atas Kenari tadi berteriak, melaungkan nama Tuhan dan memohon perlindungan dari syaitan yang dilaknat.
Kalimah yang dilaunkan itu mengembalikan semula kudrat dalam tubuh aku. Aku menggagahkan kaki dan bergegas menuju semula ke kereta. Makhluk tadi mengekori aku. Pergerakannya kini seperti mawas yang sedang berlari dengan tangan dan kaki. Lebih laju dan lebih lincah.
Aku capai pemegang pintu, membukanya lalu melompat masuk kedalam kabin. Kepala aku terhantuk di bingkai pintu kereta semasa aksi itu. Menjadikan telinga aku berdesing. Aku kekalkan fokus untuk selamatkan diri. Tak ada masa untuk mengaduh. Pintu, aku lekas-lekas kunci.
Gear aku tukar ke D, tuil handbrake dan pendikit minyak aku tekan hingga ke lantai. Roda kereta aku yang mempunyai pacuan belakang berputar beberapa pusingan sebelum meluncur ke hadapan dengan pecutan maksima.
Namun setelah beberapa detik, aku lepaskan pendikit minyak dan menghenyak pedal brek. Terlalu pentingkan diri jika aku melarikan diri dan meninggalkan lelaki tadi seorang diri tanpa bantuan.
Aku masukkan gear ke R, lalu mengundur sepantas mungkin. Di cermin pandang belakang, aku lihat makhluk yang tadi mengejar aku kini sedang cuba memanjat Kenari. Aku halakan bontot kereta aku dan memecut ke belakang sederasnya.
BANG!
Makhluk itu tercampak ke menjauhi belakang kereta aku setelah aku merempanya dengan halaju tinggi. Tergolek-golek ia lalu tersungkur menyembah bumi. Setelah memerhatikan ia tidak bergerak, aku membuka tingkap lalu berteriak.
“Apa lagi! Cepat naik kereta aku!”

.
.
.
Tiada respon. Aku jengah kepala aku keluar tingkap untuk meninjau lelaki yang berada dia atas Kenari yang kini berada betul-betul disebelah kereta aku.

Tiada.
Lelaki itu tiada. Mana dia pergi? Dalam gelabah aku jeling semula cermin pandang belakang. Tangan aku menggeletar apabila aku lihat, apa yang aku langgar tadi sebenarnya bukan makhluk itu tetapi lelaki yang berbaju tee cerah dan berseluar pendek berkenaan. Jasadnya terkulai pegun 10 kaki dari kereta aku.
Tubuh aku longlai. Otak aku celaru. Akal aku membeku. Apa harus aku lakukan? Turun dan tolong lelaki yang aku langgar itu? Tak boleh! Makhluk Lanaktullah itu ada di luar! JIka aku tinggalkan lelaki itu, aku dikira langgar lari. Hidup lagi tak lelaki itu?
Aku jengah sekali lagi. Apa yang aku lihat berlaku buatkan aku nekad untuk tinggalkan tempat kejadian. Makhluk itu sedang menarik tubuh lelaki yang berlumuran darah itu ke sisi jalan lalu memukul bertubi-tubi. Lelaki itu langsung tidak memberi gerak balas.
Aku tekan pendikit minyak sekuat hati. Di paparan papan pemuka keluar ikon segitiga berwarna merah dan perkataan DTC menyala menandakan sistem kawalan cengkaman roda mengesan berlakunya wheelspin pada tayar belakang. Situasi ini selalunya berlaku apabila pemandu memecut serta merta daripada keadaan pegun.
“Macam mana ni? Aku dah bunuh orang! Aku dah bunuh orang!”
Sepanjang perjalanan ke susur keluar Pasir Gudang, aku cuba memikirkan apa yang harus aku lakukan sebaik sahaja sampai di plaza tol. Jika aku diamkan sahaja peristiwa ini, tiada sesiapa akan tahu. Semasa itu semua berlaku, tak ada satu saksi pun.
“Kalau lelaki tu tak mati, macam mana?”
Setahun berlalu. Aku tak laporkan peristiwa ini pada sesiapa. Setiap hari aku tunggu pegawai polis bertandang ke rumah aku. Aku tunggu mereka angkut aku ke lokap. Namun selepas satu bulan, tiada pun polis yang muncul, aku yakin lelaki itu telah mati dan tiada sesiapa tahu mengenainya.
Kerap juga aku belek surat khabar untuk periksa laporan berita yang melibatkan kematian pemandu Kenari di LSD. Tiada. Paling hampir pun, ia melibatkan sebuah kemalangan di KM15 lebuh raya itu. Kenari terbabas, kerana tergelincir akibat jalan raya basah. Pemandu itu terselamat.
Hari ini, aku buka rahsia ini kerana aku rasa berdosa. Keduanya, aku kini tak pasti apa yang aku alami itu benar-benar berlaku atau hanya khayalan minda aku. Aku harap ia adalah situasi kedua.
Apapun, jika kalian gunakan LSD agar berhati-hati di kilometer 33-37. Aku tak tahu apa yang aku jumpa itu. Namun, ada orang kata itu adalah khadam air yang ditempatkan oleh seorang pawang ketika empangan Sulatan Iskandar kering tak lama dahulu.
Ketika empangan itu kering, banyak orang merana kerana bekalan air asyik dicatu. Oleh itu ada penduduk tempatan memanggil pawang untuk kononnya memanggil air dan hujan. Pawang iberkenaan telah gunakan khadam makhluk halus untuk memenuhi hasrat itu, dengan syarat korban darah perlu diberi.
Mula-mula orang yang memanggil pawang itu akur. Korban sentiasa diberi seperti yang telah ditetapkan. Namun empangan itu tetap kering. Akhirnya kemelut air itu diselesaikan oleh Syarikat Air Johor (SAJ) dengan mengepam air dari sungai lain ke kawasan tadahan air itu. Setelah masalah itu selesai, upacara korban tidak diteruskan.
Justeru, kini khadam itu berkeliaran menagih darah yang dijanjikan pada bulan purnama setiap bulan. Jadi, berwaspadalah.



Nukilan: Kamarul Ariffin Nor Sadan (admin) 

Suntingan: Arkib Angker Negara
Like, comment, share and follow!

*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: