(Bab 1)
Perjalanan ke kelas dilencongkan menuju ke kafe. Sebaik dia tiba di tempat letak kereta di bawah bangunan fakulti, dia menerima satu mesej daripada Anas, rakan sekelasnya. Kelas pagi itu tiba-tiba sahaja dibatalkan. Ada kecemasan berlaku di kolej kediaman pelajar perempuan.
Bakri menapak perlahan. Dia kecewa kerana berita kelas dibatalkan hanya diketahui selepas dia telah dekat benar dengan dewan kuliah. Kalaulah berita itu tiba lebih awal, sementara dia masih di rumah, sudah tentu waktu ini dia sedang bermalas-malasan di atas katil.
"Baq, jom breakfast dulu".
Bakri memandang ke arah suara Anas yang memanggilnya. Anas melambai-lambai mengajak dia ke sana. Dia angguk dari jauh.
"Apasal kau baru bagi tahu?" soalnya pendek.
"Aku pun baru tahu tadi. Dengar-dengarnya ada kes histeria dekat Kolej Dang Anum," terang Anas mempertahankan diri dan langsung membuka cerita.
"Histeria? Tak logik langsunglah!" Bakri menolak kebenaran cerita itu mentah-mentah.
"Kenapa pula?".
"Universiti kita ni bukan ke dalam bandar besar? Kolej Dang Anum tu pun bukannya dalam hutan. Histeria dibuat-buat tu," Bakri menjelaskan hujahnya dengan nada sinis.
"Eh, kau ni Baq. Histeria, kalau nak jadi bukannya kira tempat. Dekat kafe yang penuh orang macam ni pun boleh, kalau 'benda' tu nak datang kacau," bangkang Anas pula.
"Benda? Benda apa? Kau ni percaya sangat benda-benda macam tu. Nas, kita ni tak lama lagi nak masuk tahun 2020. Nak capai status negara maju. Tapi kalau semua rakyat Malaysia ni masih berfikiran ke belakang macam ni, aku rasa sampai bila-bila pun Malaysia ni tak akan maju".
Anas mencebik. Dia geram kerana Bakri terlalu angkuh dengan pendiriannya yang menolak bulat-bulat kemungkinan yang kejadian histeria di Kolej Dang Anum itu betul-betul berlaku. Anas pun bukannya percaya sangat tapi sesekali dia ada terfikir juga. Dia tahu, bukan manusia sahaja yang ada atas muka bumi. Ada banyak lagi makhluk ciptaan Tuhan, sama ada boleh dilihat dengan mata kasar ataupun tidak sahaja.
"Tapi, kalau betul pun ada budak-budak kena histeria di kolej tu, kenapa kelas kita pula yang dibatalkan?" soal Bakri, masih belum berpuas hati dengan kenyataan yang dia sekarang berada di kafe berhampiran fakulti dan bukannya di atas tilam empuk di rumah.
"Entah. Tapi aku dengar budak-budak tu cakap tadi, lecturer kita yang tinggal sekali dengan warden asrama tu pun terkena sekali".
Bakri terdiam. Dia meragui kejadian histeria itu tadi kerana dia menyangkakan kejadian itu hanya melibatkan pelajar-pelajar perempuan. Tetapi, kalau pensyarahnya juga terkena, dia jadi terfikir-fikir semula. Tidaak mungkinlah pensyarahnya pun berpura-pura.
"Ah, daripada aku fikir pasal benda yang entah apa-apa tu, baik aku isi perut aku yang lapar ni," ngomelnya lalu bingkas bangun menuju meja tempat makanan terhidang secara buffet.
Anas hanya menggeleng-gelengkan kepala mengenangkan sikap Bakri yang langsung tidak berubah. Jangan cakap histeria, apa-apa sahaja yang berkait dengan hantu atau unsur-unsur mistik memang langsung tidak pernah menjadi sesuatu yang dipercayai oleh Bakri. Dia menolak kewujudan makhluk-makhluk itu semua.
Setiap kali ada kawan-kawan yang membuka cerita seram atau misteri berkaitan makhluk ghaib, Bakri akan mengejek dan membidas sinis kata-kata mereka. Beberapa bulan lepas, apabila Razif, salah seorang teman sekelasnya bercerita yang dia diganggu di simpang tiga berdekatan taman perumahan mereka semasa pulang ke rumah selepas habis bermain badminton, Bakri hanya mentertawakan. Jangankan untuk percaya, malahan kata-kata Razif dibuat jenaka sahaja.
Bakri menyepit mi goreng dari dalam talam masuk ke dalam piring kecil di tangan kirinya. Seleranya terbuka pula apabila melihat warna merah-merah gelap pada mi itu. Selepas itu, Bakri ikut beratur menunggu giliran di kaunter bayaran untuk membayar.
Tiba-tiba Bakri rasa bahunya dicuit dari belakang. Dia berpaling sekilas untuk melihat tapi tiada sesiapa di belakang. Dia pandang semula ke depan. Barisan yang panjang tadi semakin pendek dan dia semakin maju ke depan mendekati kaunter bayaran.
Kemudian, Bakri rasa bahunya diusik lagi. Malahan, kali ini lebih kuat lagi. Dia terus memandang ke belakang memastikan gerangan yang melakukan perkara itu. Kosong. Dialah orang yang terakhir dalam barisan itu. Namun, Bakri tidak terfikirkan apa-apa. Dia masih beranggapan itu semata-mata bayangannya sahaja.
"Bukan main mahal. Mi goreng seciput pun harga sampai tiga ringgit," bebelnya seorang diri sambil berjalan menuju Anas yang masih di meja yang sama sebaik sahaja bayaran dibuat.
"Baq, apasal kau tadi?" Anas melahirkan rasa tertanya-tanyanya yang memerhatikan gelagat Bakri sewaktu berbaris tadi.
"Apa?" Bakri tidak faham sepenuhnya.
"Kenapa kau pandang-pandang belakang?" soal Anas.
"Aku rasa macam ada orang pegang, cuit bahu aku. Tapi bila aku toleh, tak ada pula. Itu je, tak ada apa pun," jawabnya selamba.
Anas terkedu. Meskipun dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, tapi terlintas juga sebenarnya perkara itu dalam mindanya. Cuma, dia takut untuk menyatakannya di depan Bakri disebabkan sikap Bakri yang satu itu.
Bakri menyuap mee goreng dari piring. Suapan pertama terasa nikmat apatah lagi ketika perutnya memang meminta-minta untuk diisi.
Pada masa yang sama juga, seorang pelajar perempuan yang sedang duduk di meja belakangnya dengan tidak semena-mena jatuh pengsan. Tubuhnya meleret rebah terkena pada belakang Bakri. Bakri terkejut. Dia bingkas bangun dan melutut mendapatkan gadis itu.
Bakri memang tidak kenal gadis itu tapi dirinya rasa terpanggil untuk memangku kepalanya daripada terbiar terus terkena lantai kafe yang kotor. Sebaik sahaja kepala gadis itu diletakkan di pangkuannya, mata gadis itu terbuka. Terbeliak besar, tajam memandang ke atas. Bakri hampir sahaja menolak kepala gadis itu semula ke lantai kerana terperanjat.
Tanpa diduga, pelajar perempuan di pangkuan Bakri menjerit sekuat hati. Dia meraung dan melolong. Mulutnya menyebut sesuatu tapi tiada satu pun ungkapannya berbutir untuk difahami. Air liur dan air mata keluar sama banyak membasahi wajahnya. Dahi dan belakang badannya pula basah dengan keringatnya. Badan gadis itu keras seperti seseorang yang sedang sawan. Kejang tapi dalam masa yang sama tangannya meronta-ronta.
Keadaan di kafe menjadi panik. Pelajar yang sedang menikmati juadah sarapan pagi bertempiaran lagi. Tidak kurang juga yang tinggal berkerumun menjadi saksi kepada Bakri yang juga turut sama cemas tidak tahu apa yang patut dia lakukan.
"Anas, macam mana ni?" soalnya meminta bantuan.
"Aku tak tahu. Tak tahu Baq. Dia ni histeria ni," Anas terketar-ketar membalas.
"Histeria?" Bakri terpana dan terus pandangannya tertunduk ke bawah melihat gadis di pangkuan yang semakin kuat meronta sambil meraung-raung.
Sememangnya, Bakri tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia tertanya-tanya, kenapa mesti dia?
Bersambung...
Suntingan: Arkib Angker Negara
Like, comment, share and follow!
*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.
No comments:
Post a Comment