Showing posts with label Kana Mamat. Show all posts
Showing posts with label Kana Mamat. Show all posts

Tuesday, 13 February 2018

DUNIA SUNYI : ANITA - Kana Mamat




DUNIA SUNYI - ANITA
Karya : Kana Mamat

================

Kereta Nissan GTR berwarna merah itu kemudian dipandu masuk ke dalam sebuah Kawasan rumah banglo mewah milik Datuk Sri Kamil. Setelah kereta itu diparkir, Kael dan Anita keluar dari kereta. Anita menjatuhkan kerusi ke hadapan dan mencapai helaian pakaian yang diambilnya dari butik di IOI City Mall tadi.

“Wow… cantik rumah awak. Kaya rupanya awak ni kan.” Anita terpana dengan keindaaha rumah banglo mewah yang didiami Kael.

“Nama aku Kael. Panggil Kael cukup. Yang kaya bapak aku, bukan aku.” Jawab Kael kasar.

“Yela bapak awak yang kaya. Tapi sekarang kekayaan ni semua kan dah jadi milik awak.” Anita menjawab lembut.

“Jom masuk awak. Tak sabar saya nak tengok dalaman rumah ni. Mesti cantik.” Anita menarik tangan Kael masuk ke dalam rumah. Pintu rumah yang memang tidak berkunci itu memudahkan lagi perjalanan mereka berdua.

Kael terkejut. Dia rasakan seolah-olah ada satu aliran elektrik mengalir melalui tangan yang dipegang oleh Anita. Sentuhan dari tangan Anita membuatkan dia terbuai. Sentuhan yang berisikan kasih sayang yang sudah lama tidak dirasakannya. Kael berjalan seperti lembu yang dicucuk hidung. Dia tersedar semula setelah Anita melepaskan genggaman tangannya.

“Ka…kau duduk lah dulu. Kalau kau nak minum apa-apa, ambil sendiri ya. Dapur kat sebelah sana. Aku nak naik atas mandi sekejap. Kat bawah ni ada satu bilik tetamu. Sesuai untuk kau. Kalau kau nak berehat ke silakan. Buat macam rumah kau sendiri.” Kael menjelaskan pada Anita.

“Terima kasih Kael.” Anita menjawab ringkas lalu dia berjalan ke bilik tetamu.

Pintu bilik tetamu dibuka. Tersergam indah katil kayu jati. Dialaskan pula dengan tilam vono seperti iklan Maya Karin. Anita terpesona. Belum pernah dia merasai tinggal di bilik yang seperti itu.

“Untung awak Kael. Rumah besar. Semuanya mewah. Mesti apa yang awak nak semua dapat. Tak macam saya. Nak dapat kena usaha sendiri. Nak ambil lesen kereta pun kena curi -curi. Tapi macam mana awak boleh terperangkap kat sini juga.” Anita berbisik sendirian dalam hatinya.

Sedang Anita leka mengelamun sambil berbaring di atas katil empuk itu, pintu bilik diketuk.

“Tokk…Tokk…Tokk…”

Lamunan Anita terhenti.

“Siapa tu?” Tanya Anita sambil membungkuskan dirinya dengan selimut.

“Siapa lagi yang ada dalam rumah ni. Aku la.” Kael menjawab.

Anita membuka pintu perlahan sambil menyorok di belakang pintu. Kepalanya dijengah keluar.

“Awak… nak apa?” Anita bertanya ringkas.

“Tak ada apa. Aku nak tanya kau lapar ke tak… aku nak keluar cari makanan… kalau kau lapar aku carikan untuk kau sekali…tu je.” Kael menjawab pertanyaan Anita. Nada suaranya sudah tidak sekasar tadi.

“Tak payah la keluar. Awak tunggu la sekejap. Saya masak. Barang dapur ada kan?” Anita mempelawa diri untuk memasak. Sememangnya Anita pandai memasak semua jenis makanan masakan kampung.

“Ada rasanya. Kat dapur. Cuba kau tengok. Kalau tak ada aku keluar ambil kat pasaraya sekejap.” Kael kelihatan malu-malu untuk bercakap dengan Anita. Rupa paras Anita yang cantik sedikit sebanyak membuatkan hati Kael tertarik.

“Awak duduk la sana dulu. Saya nak bersiap kejap.” Anita kemudian menutup semula pintu bilik. Sebenarnya Anita juga malu untuk bercakap dengan Kael kerana Kael juga berperwatakan menarik. Namun dia kena memberanikan diri kerana hanya Kael yang jadi kawan untuk dia berbual.

Tidak lama selepas itu, Anita keluar dari biliknya dan terus ke dapur. Luas dapur rumah milik Datuk Sri Kamil itu sama seperti luasnya ruang tamu. Dihiasi dengan kabinet dapur dan meja makan marble cukup untuk membuatkan seorang perempuan yang suka di dapur berasa seronok. Anita membuka peti ais dan mendapatkan bahan-bahan untuk memasak. Kael yang tadinya duduk menonton rancangan ulangan yang disiarkan oleh salah sebuah stesyen tv, berjalan kedapur dan menarik kerusi dibawah kaunter bar di dapur.

“Kau nak masak apa?” Soalan diajukan pada Anita.

“Masak biasa-biasa je awak. Campak-campak je.” Anita membalas.

Suasana menjadi sunyi seketika.

“Awak… saya tak rasa la kita berdua je yang ada kat sini.” Anita memulakan perbualan kembali.

“Kenapa pulak kau rasa macam tu? Kau ada jumpa sesiapa ke sebelum jumpa aku. Tadi kau cakap aku manusia pertama yang kau jumpa kan.” Kael bersoal musykil.

“Sebenarnya… kalau dikira dengan hari ni. Dah masuk sepuluh hari saya kat dunia sunyi ni. Nasib baik saya jumpa awak. Tapi… apa yang buat saya tertanya-tanya… dua hari lepas… semasa saya nak masuk ke pasaraya 99 untuk dapatkan makanan. Saya ternampak ada kesan tayar yang masih baru kat atas jalan raya dan bila saya masuk ke dalam pasaraya, banyak makanan yang telah tiada. Seolah-olah seperti baru diambil. Peti ais dibiarkan terbuka.” Jelas Anita pada Kael sambil sibuk memasak.

Kael yang dari tadi memerhatikan gerak geri Anita sambil mengunyah kekacang yang ada di atas kaunter bar itu diam tanpa menjawab apa-apa.

“Awak dengar tak ni?” Anita menjerit kecil sambil menepuk kaunter bar berhadapan dengan Kael.

“De…dengar…dengar… mungkin keadaan pasaraya tu dah memang macam tu kot.” Tergagap-gagap Kael menjawab. Semenangnya dia sedang berkhayal Anita menjadi isterinya.

“Kejap… awak ada kat dunia ni bila?” Soal Anita penuh perasaan ingin tahu sambil senduk dihalakan kepada Kael dan sebelah tangannya diletakkan dipinggang.

“Baru hari ni.” Ringkas jawapan Kael.
“Tak mungkin la awak kan.” Anita berpusing dan kembali memasak.
“Comel jugak dia ni.” Rendah suara Kael memuji Anita.
“Apa awak cakap tadi?” Anita berpaling ke arah Kael.
“Tak ada apa. Cepat la masak tu. Aku dah kebulur dah ni.” Kael cuba berselindung.

“Kejap la.” Anita menjawab ringkas. Dia tersenyum sendiri. Sebenarnya dia dengar apa yang dikatakan oleh Kael sebentar tadi.

Makanan siap terhidang. Hidangan lauk masakan kampung cukup untuk membuatkan Kael menahan lelehan air liur. Sudah lama dia tidak menjamah masakan seumpama ini. Kali terakhir tahun lepas ketika dia menziarahi neneknya di kampung. Itu pun setelah puas memaksa papa dan mamanya.

Selesai makan, mereka berdua menuju ke ruang tamu. Televisyen berjenama Samsung bersaiz 75 inci itu sentiasa terpasang. Kael berjalan semula ke dapur dan mendapatkan sedikit kudap-kudapan untuk dijadikan teman tontonan. Remote televisyen ditekan Anita mencari siaran berita sekiranya ada. Begitulah setiap hari keadaan Anita sebelum dia bertemu dengan Kael. Namun harapannya untuk bertemu seseorang hampa. Tapi, semuanya berubah setelah dia menjumpai Kael. Kael tidak berkata apa-apa. Dia hanya memerhatikan sahaja apa yang dilakukan Anita. Sekali sekala hatinya berkata.

“Tak ada kerja ke minah ni.”

Siaran demi siaran bertukar-tukar. Tiba-tiba ada satu siaran milik salah satu stesen telivisyen swasta tergendala.

“Buzz…buzz…” bunyi siaran yang tergendala.
“Hello..hello..”
Tiba-tiba kedengaran suara seorang lelaki.
“Hello…hellooo…ada sesiapa ke kat luar sana. Aku Wadi… Jika ada sesiapa di luar sana, tolong cari aku di…..”
“bzzzz…bzzzz…” Siaran terputus.

Anita dan Kael berpandangan. Benar sekali sangkaan Anita bahawa ada orang lain selain mereka berdua.

“Awak jom…” Anita bangun menarik tangan Kael.
“Kau tarik aku ni nak pergi mana?” Kael kehairanan.
“Kita cari dia tu…lelaki yang tadi tu.” Luah Anita.
“Dah malam dah ni. Kau gila ke.” Kael meninggikan suara.
“Habis tu takkan awak nak biarkan dia kat situ je.” Anita kelihatan sedikit kecewa.
“Yes… Biar je dia kat situ. Apa pulak kaitan dengan kita?” Kael menidakkan permintaan Anita.

“Awak ni kejamkan. Tak ada rasa kesian ke kat orang.” Suara Anita berubah. Dia kelihatan sedikit sedih.

“Ok…ok…fine… Esok kita cari dia. Sekarang ni dah malam. Saya dah mengantuk. Ok?” Jawab Kael seakan memujuk Anita.

“Ok.” Anita sedikit sugul namun lega dengan jawapan daripada Kael. Kael kemudian mencapai remote televisyen dan menekan punat “OFF”.

“Dah… Aku nak naik tidur. Goodnight.” Tanpa memandang Anita, Kael melangkah naik ke tingkat atas dan menuju ke bilik tidurnya.

Kadang-kadang Anita rasa menyampah juga dengan sikap Kael. Tapi apakan daya, dia hanya menumpang teduh di rumah Kael. Hendak saja dia lari. Tapi dia risau dia akan jadi gila jika terus berseorangan. Anita membawa diri menuju ke bilik tidurnya iaitu bilik tetamu.

Malam itu hujan turun selebat-lebatnya. Ditambah pula dengan dentuman guruh dan nyalaan kilat cukup untuk melenakan tidur Kael. Namun tidak pada Anita kerana bunyian guruh itu cukup untuk membuatkan dia teringat kisah silam sebelum dia terjaga dari tidur dan dia berada di dunia yang berbeza.

Suasana ketika itu sama seperti malam yang dilaluinya sekarang. Ketika itu ibu dan bapa tiri Anita memukul dan menderanya sepuas hati mereka. Bukan itu sahaja, bahkan Anita turut dirogol oleh bapa tirinya dihadapan ibu kandungnya sendiri. Masih lagi dia ingat raut wajah ibunya yang memandangnya saat dia dirogol oleh bapa tirinya, wajah yang penuh kebencian padanya. Anita dituduh menjadi punca suaminya yang dulu meninggal. Entah syaitan apa yang merasuk ibunya hinggakan dia sedikit pun tidak mempunyai rasa belas kasihan pada Anita yang merupakan anak kandungnya sendiri. Setelah nafsu binatang bapa tirinya puas, Anita ditarik dan dihumban ke dalam bilik. Bukan setakat itu sahaja, pasangan suami isteri itu turut meludah pada Anita.

“Puihh!... Perempuan sial… perempuan jalang. Aku tak ada anak macam kau.” Ibu Anita kemudian menghempas pintu dengan kuat dan menguncinya dari luar menggunakan mangga.

Anita yang kesakitan merangkak ke meja disebelah katilnya. Dia mencapai duit syiling yang diberi oleh seorang pakcik tua kepadanya pagi tadi semasa dia ke pasar membeli lauk dan sayur.

“Mintalah apa yang kamu mahu nak dan lambungkan duit syiling ini. Nescaya permintaan kamu akan ditunaikan sekiranya bahagian kepala syiling ini di atas saat ianya jatuh. Ingat, kamu hanya ada dua permintaan.” Masih lagi Anita ingat apa yang dicakapkan oleh pakcik tua itu.

“Aku nak lari dari semua ni. Aku tak nak lagi hidup dalam keluarga ni. Aku nak hidup aku bebas. Aku nak semua ni hilang dari hidup aku!!!!!” Anita menjerit dalam tangis. Lantas duit syiling itu dilambung.

“Ting…ting…ting…” Syiling itu jatuh dan bahagian kepala diatas. 

Anita mengambil syiling itu. Serta merta matanya menjadi berat dan dia tertidur. Sedar saja paginya dirasakan suasana cukup berlainan. Sunyi tanpa apa-apa bunyian. Tidak seperti hari sebelumnya, belum pun cukup tidurnya pintu biliknya sudah diketuk kuat dan ditendang-tendang oleh bapa tirinya. Tapi hari ini sunyi. Anita bangun dan membuka pintu. Benar sekali, ibu dan bapa tirinya tiada. Dia berlari keluar. Tiada siapa pun yang dijumpai. Sunyi.


Anita berlari ke pasar yang tidak jauh dari rumahnya. Seperti yang dijangkakan. Pasar itu sunyi sepi. Tiada kedengaran manusia berurusan jual beli. Yang ada hanya barangan jualan yang tidak terusik.

“Prankkkk!!!” dentuman petir mengejutkan Anita yang terbayang kisah lalunya.

Anita bangun dari katil dan keluar menuju ke bilik Kael. Tombol pintu dipulas. Tak berkunci. Anita menolak pintu bilik Kael perlahan. Langkah demi langkah diatur akhirnya Anita tiba ditepi katil Kael. Kelihatan Kael sedang nyenyak tidur. Mata Anita terpandang pada sepucuk pistol yang terletak di atas meja tepi katil Kael. Pistol itu diambilnya dan diacukan pada kepala Kael. Picu ditarik namun tiada letupan yang kedengaran. Ternyata pistol itu telah dikunci pinnya.

“Prankkkk!!!” dentuman petir sekali lagi mengejutkan Anita dan pistol yang dipegangnya terlepas lalu jatuh ke lantai. Kael tersedar dan terkejut melihat Anita berdiri di depannya.

“Kau buat apa kat bilik aku ni Anita?” Kael terkejut dan kemudian terpandang pistol yang berada dilantai.

“Kau nak bunuh aku ke?” Tanya Kael lagi.

“Ta…ta… takk… bukan itu yang saya nak buat. Saya ta…takut…”. Anita menjawab dengan ketakutan.

Trauma yang dialaminya membuatkan dia bertindak melangkaui akal sihatnya.

“Maafkan saya… saya tak sepatutnya masuk bilik awak. Saya keluar sekarang.” Anita berpusing dan berjalan. Belum sempat dia melangkah tangannya ditarik.

“Nanti dulu. Sebenarnya apa masalah kau ni. Cuba kau ceritakan pada aku.” Kael cuba meredakan keadaan. Ditarik Anita mendekatinya

Anita menghampiri Kael dan duduk disebelahnya. Entah, Anita sendiri tidak tahu darimana hendak dia mulakan. Namun dia gagahkan jua menceritakan semuanya kepada Kael dari awal hinggalah dia berada didunia sunyi ini. Kael kagum dengan semangat yang dimiliki Anita. Lalu dia menceritakan pula kisahnya pada Anita. Anita sudah terbaring dengan kakinya melunjur ke bahagian tepi katil. 

Lama kelamaan Anita tertidur. Kael yang sedang rancak bercerita hanya sedar Anita tertidur saat dia menoleh memandang Anita. Wajah polos dan cantik itu sedikit sebanyak menggugat nafsu Kael. Namun Kael masih waras. Dia mengangkat kaki Anita dan membaringkannya supaya Anita lebih selesa. Kemudian Kael mencapai bantal tidurnya lalu dia berbaring di lantai. Hanya karpet gebu yang ditariknya dari bahagian hadapan katil menjadi alas tidurnya.

******
Keseokan harinya, Nissan GTR merah meluncur laju di jalan raya. Kadang-kadang kereta itu mencilok melalui antara kereta-kereta lain di jalan raya. Minyak petrol tidak menjadi satu masalah bagi mereka. Masuk sahaja ke mana-mana stesen minyak. Isi sebanyak mana yang diinginkan. Ianya percuma tanpa perlu sebarang bayaran. Pendek kata, wang ringgit sudah tidah berguna kerana semuanya percuma. Hala tuju kereta yang dipandu Kael bersama Anita adalah pusat berita salah satu stesyen televisyen swasta yang terkenal. Tujuan mereka adalah untuk mencari Wadi. Meraka yakin yang Wadi masih ada di sekitar Kawasan tersebut.

Kereta diparkir betul-betul dihadapan pintu masuk. Perlahan-lahan Kael dan Anita berjalan masuk dan mata mereka melilau mencari dimanakah Wadi berada.

“Wadi…… Wadi……” Anita memanggil.
Kael melilau ke kiri dan kanan mencari jika ada kelibat yang mencurigakan.
“Wadi…… Wadi…… awak kat mana….” Anita memanggil lagi.
“Dah… dia mungkin tak ada kat sini. Jom kita cari kat tempat lain.” Ajak Kael. Anita mengikut sahaja.
Ketika Kael dan Anita berjalan untuk keluar dari bangunan itu, tiba-tiba lampu terpadam. Suasana menjadi gelap gelita ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang mendung menambahkan lagi kegelapan.
“Kael…Awak kat mana?” Anita cemas.
“Aku kat si….”
‘Dush!!’ bunyi sesuatu dihentak dengan kuat dan diiringi dengan bunyi sesuatu jatuh ke lantai yang berkarpet.
“Kael!!!"
"Kael!!! Awak jangan main-main boleh t...”
‘Dush!!’

Anita dan Kael sudah terbaring tidak sedarkan diri. Seorang lelaki berdiri diantara mereka berdua. Hanya kelihatan mata dan bibirnya mengukir senyuman yang menampakkan gigi yang putih. Tubuh Kael ditarik ke suatu tempat dan kemudian diletakkan diatas kerusi dan diikat. Kemudian lelaki itu mendapatkan Anita dan membawanya ketempat yang sama.

“Hahahaha… Sudah tiga… mungkin ada lagi yang akan menyusul. Terima kasih budak memudahkan kerja aku.” Lelaki itu ketawa keseronokan.

“Dunia ini hanya milik aku. Akulah rajanya. Tiada siapa boleh rampasnya dari aku. Hahaha”

‘Gedebush’

Satu baldi air disimbah kepada Anita. Anita sedar dan terkejut setelah dia melihat seorang lelaki yang bertopeng dihadapannya.

“Siapa kau hah??” Anita takut bercampur marah. Dia cuba menggerakkan dirinya, namun gagal kerana dia telah terikat kemas di kerusi. Lalu dia pandang sekelilingnya. Kelihatan Kael turut sama diikat disebelah sana dan terdapat seorang lagi yang juga terikat dikerusi. Anita mengamati wajah lelaki itu. Dia kenal. Itu adalah Wadi. Wadi juga menjadi mangsa. Lalu, siapakah lelaki yang mengikat mereka.

Lelaki bertopeng itu hanya ketawa terbahak-bahak.

“Akulah Raja Dunia Sunyi…Hahahahaha”



-TAMAT SIRI ANITA-
===============

Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya asal merupakan hak milik penulis, manakala karya siap sunting adalah milik bersama pihak Arkib Angker Negara. Unsur plagiat dilarang sama sekali.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Monday, 12 February 2018

DUNIA SUNYI - KAEL - Kana Mamat


DUNIA SUNYI - KAEL
Karya : Kana Mamat

===============

“Tuan Kael!!! Turun makan!!!” Jeritan Mak Jah pembantu rumah mengejutkan Kael yang sedang terlentang di atas katil empuknya. Fikirannya menerawang jauh memikirkan sesuatu.

Kael melangkah lemah menuruni anak tangga. Hatinya sudah jemu untuk menjamu selera bersama papa dan mamanya. Manakan tidak, saat makan bersama keluarga adalah masa yang sesuai untuk berbicara tentang hal keluarga. Namun sebaliknya yang berlaku bila papa dan mamanya sibuk dengan urusan perniagaan dan persatuan. Telefon bimbit bagaikan melekat ditangan masing-masing.

Baru sahaja Kael duduk bersama dengan mama dan papanya, telefon papanya berbunyi. Kedengaran seperti papanya menjawab panggilan entah daripada Tan Sri yang mana. Papanya seorang ahli perniagaan yang terkenal dan sudah pun bergelar Datuk Sri Kamil.

“Ya Tan Sri… Ya… Boleh Tan Sri… Petang nanti kita jumpa dekat padang golf… Baik…” perbualan antara Datuk Sri Kamil dengan seorang Tan Sri membuatkan Kael rasa menyampah. Belum pun sempat menjamah sarapan pagi yang terhidang, Kael sudah menolak kerusi dan bangun berjalan meninggalkan papa dan mamanya berdua di meja.

“Nak ke mana tu Kael? Belum makan lagi kan.” Datin Sri Syafiah bertanya.
“Nak naik. Tak ada selera nak makan.” Balas Kael ringkas.
“Nanti kalau lapar turun makan ye.” Pujukan yang acuh tak acuh daripada Datin Sri Syafiah itu membuatkan Kael membalas dengan senyum sini.

Pintu biliknya dibuka. Lantas dia menuju ke meja komputer miliknya. Paparan skrin menunjukkan gambar ketika dia masih kecil. Dipeluk dan dicium oleh kedua ayahanda dan bondanya. Itu dulu. Sekarang semuanya sudah hilang. Datuk dan Datin sibuk dengan urusan sehingga mengabaikan nilai kasih sayang pada satu-satunya anak yang mereka ada. Bukan itu sahaja, malah setiap gerak geri Kael dikawal. Kehidupan Kael tidak ubah seperti burung di dalam sangkar. Itupun selepas beberapa kali Kael ditangkap polis setelah ditahan ketika berlumba haram.

Kael bingkas bangun dari kerusi dan terus melambungkan badannya ke atas katil empuknya. Sekali sekala dia berfikir, alangkah baiknya jika hanya dia sahaja yang ada didunia ini. Tak ada siapa yang boleh kawal apa yang dia inginkan.

Tidak lama kemudian kedengaran kereta bergerak meninggalkan rumahnya. Kedua-dua orang tuanya sudah keluar menjalankan kerja masing-masing.

“Akhirnya…keluar pun dua orang ni.” Bisik hatinya.

Kael bingkas bangun dari katilnya dan tuala mandi dicapai lalu dia menuju ke bilik air. Setelah selesai mandi dia bersiap kemas. Kunci kereta yang tergantung diambil dan kemudian dia bergerak keluar dari biliknya. Ketika menuruni tangga, Kael disapa oleh Mak Jah.

“Tuan Kael nak ke mana ni? Nanti Datuk dan Datin marah kalau dia tahu Tuan Kael keluar.” Mak Jah risau bila melihat Kael yang sudah siap untuk keluar.

“Mak Jah jangan sibuklah. Mak Jah buat kerja Mak Jah je.” Balas Kael kasar. Tanpa mempedulikan Mak Jah, Kael terus melangkah keluar dari rumah dan menghidupkan enjin kereta miliknya yang dihadiahkan oleh Datuk Sri Kamil.

Kael memandu seorang diri tanpa arah tujuan. Sesekali tingkap keretanya diturunkan bagi memberi laluan untuk asap rokok keluar. Masuk kali ini sudah 3 batang rokok disedutnya. Perjalanan yang dia sendiri tidak tahu kemana tujuan itu dirasakan cukup membosankan. Ditemani pula oleh radio yang DJnya syok sendiri membuatkan Kael meraba kotak rokoknya.

“Hishh… masa ni la kau nak habis. Nasib baik depan sana ada 7E.” Digumpalnya kotak rokok yang kosong itu dan dicampak keluar melalui tingkap keretanya.

Kereta Volkswagon Golf GTI milik Kael diparkir betul-betul menghadap kedai serbaneka 7 Eleven. Belum pun sempat Kael melangkah keluar, tingkap keretanya diketuk oleh seseorang.

“Tokk…Tokk…Tokk…”

“Haish… bala apa pulak yang datang ni.” Cermin tingkap keretanya diturunkan.

“Hahh… nak apa? Nak duit? Kejap.”

Pertanyaan kasar dari Kael itu membuatkan lelaki tua yang mengetuk cerminnya itu berundur sedikit kebelakang.

“Maafkan pakcik Tuan. Pakcik bukan nak minta sedekah. Pakcik cuma nak jual syiling ni. Syiling ajaib.” Luah pakcik tua itu ketakutan.

“Syiling ajaib?” Kael seolah berminat.

“Apa yang syiling ajaib ni boleh buat?” Tanya Kael kepada pakcik tua itu.

Setelah dilihat Kael menunjukkan minat. Pakcik tua itu menjadi lebih yakin dan hilang rasa takutnya.

“Macam ni tuan. Syiling ajaib ni boleh menunaikan dua permintaan. Tuan hanya perlu lambungkan syiling ni dan nyatakan hajat Tuan. Jika syiling ini jatuh bahagian kepala di atas. Maka hajat tuan akan tertunai. Tapi jika bahagian ekor di atas, tuan tidak akan dapat apa-apa.” Jelas pakcik tua itu.

“Baiklah. Aku beli. Berapa kau nak jual ni?” Kael menanyakan harga syiling tu.

“Dua ratus saja tuan.” Pakcik tua membalas.

“Ok. Ni ada empat ratus. Aku bayar double. Tapi kalau kau tipu aku, nahas kau aku kerjakan.” Kael menghulurkan 8 keping not RM50 kepada pakcik tua itu.

“Terima kasih tuan. Tapi ingat… setelah permintaan itu ditunaikan, tuan sudah tidak dapat kembalikan semuanya seperti asal.” Balas pakcik tua itu dan terus dia berlalu pergi dengan satu senyuman sinis.

“Hemmm… boleh tunaikan hajat ye.” Getus hati Kael kegirangan tanpa mempedulikan amaran pakcik tua itu tadi. Kael melangkah masuk ke dalam kedai serbaneka demi mendapatkan sekotak rokok.

Setelah selesai urusannya, dia terus memandu pulang ke rumah. Syiling yang dibeli tadi dilambung-lambung. Sesampainya dia dirumah, tanpa mempedulikan sesiapa, Kael terus ke biliknya. Pintu bilik dikunci. Dia terus melepaskan badannya di katil sambil tangannya melambung-lambungkan duit syiling itu.

“Boleh percaya ke cakap orang tua tu tadi. Aku kena cuba dulu. Baru la aku tau betul ke tak kan.” Kael bercakap sendiri.

Syiling yang dipegang itu ditiliknya dengan teliti. Belum pernah dia nampak syiling itu di mana-mana. Sudah beberapa buah negara dia lawati. Tiada satu syiling pun yang menyerupai syiling yang dipegangnya itu. Lalu dia berhajatkan sesuatu.

“Aku nak bebas…tiada siapapun yang boleh halang aku…Aku nak jadi yang paling berkuasa dan aku nak jadi pemerintah bumi ini. Aku nak semua masalah aku hilang. Aku nak semua orang dibumi ini hilang. Hahahahaha.”

Syiling yang digenggamnya tadi dilambung tinggi dan dibiarkan jatuh.

“Ting…ting…”

Syiling yang dilambung itu jatuh ke Jubin lantai bilik Kael. Pantas Kael bangun mendapatkan syiling tersebut.

“Kepala!!!... Yes!!! Yes!!!... Hajat aku akan tertunai…Hahaha” Kael keseronokan.

Diambilnya syiling tersebut. Serentak dengan itu matanya terasa berat dan seolah dipukau, Kael merangkak ke katilnya. Lalu dia tertidur.

***
“Tuan Kael!!! Turun makan!!!”
“Tuan Kael!!! Turun makan!!!”
“Tuan Kael!!! Turun makan!!!”


Kael tersentak. Jam ditangan ditenung. Tarikh yang tertera di jam tangannya sudah bertambah dua hari. Sudah dua hari dia tidur. Genggaman tangannya dibuka. Syiling yang dibeli itu masih melekat ditangannya. Kael kemudiannya meletakkan syiling itu diatas meja tepi katilnya dan dia bingkas bangun keluar dari biliknya menuju ke ruang makan.

Aneh. Satu perasaan yang aneh menyerang diri Kael. Tiada seorang pun didalam rumahnya. 

“Mak Jah!!!” 
“Mak Jah!!!”


Panggilannya tidak bersahut. Pandangannya diarahkan ke meja makan. Makanan terhidang seperti hari-hari sebelum ni. Kael menjadi pelik. Dia berjalan menuju ke dapur.

“Mak Jah!!!!!!” 
“Papa!!!”
“Mama!!!”


Tiada siapapun yang menyahut panggilannya itu.

“Mana pergi semua orang ni? Siapa yang panggi aku tadi?” Kael mencekak pinggang. Kepalanya berpusing kiri dan kanan mencari orang dalam rumahnya itu.


“Ahhh… persetankan semua ni. Aku lapar.” Kael mengomel sendiri. Lantas dia menuju ke meja makan. Semua yang terhidang dilahapnya rakus seolah-olah sudah berbulan dia tidak makan. Setelah kekenyangan dia bersandar dikerusi. Sekali sekala dia rasa seronok hidup sendirian dirumahnya.

Sedang Kael leka bersandar, baru dia teringatkan tentang duit syiling tadi. Dengan tergesa-gesa Kael berlari menaiki tangga ke bilik tidurnya. Dia terus ke meja tepi katilnya dan mendapatkan duit syiling itu.

“Memang betul la apa yang orang tua tu katakan. Hahaha” Kael gembira sambil dia melambung-lambungkan syiling tersebut. Diletakkan duit syiling itu didalam seluar jeansnya. Lalu membuka semua pakaiannya dan terus kebilik air. Kael bersiap-siap untuk keluar.

Saat dia melangkah keluar, dia teringatkan papa dan mamanya. Lalu dia melangkah ke bilik tidur papa dan mamanya itu. Pintu dikuak perlahan. Seperti yang dijangkakan, tiada sesiapa pun di dalam bilik tersebut. Kael melangkah masuk menuju ke peti simpanan milik papanya. Kunci peti yang terletak diatas meja dicapai dan pintu peti besi itu dibuka. Terlihat sejumlah wang yang banyak didalam peti itu dan terdapat juga sepucuk pistol dan sekotak peluru. Di ambil semua isi peti besi itu lalu dia terus keluar dari bilik.

Enjin kereta dihidupkan dan kemudiannya meluru laju keluar dari laman rumah. Sepanjang perjalanan dirasakan cukup selesa tanpa ada sebarang gangguan. Sunyi. Hanya itu yang mampu diungkapkan. Kadang-kadang kelihata kereta diatas jalan raya tanpa pemandu. Hanya kereta dan motosikal sahaja.

“Hahahaha…dunia ini aku yang punya.” Kael menjerit keseronokan.

Pemanduannya terhenti di satu lampu isyarat. Pandangannya tertumpu pada sebuah superbike Kawasaki H2R yang di seberang jalan. Kael keluar dari kereta dan melangkah ke arah motosikal itu.

“Wow… inilah superbike yang aku idamkan selama ni. Inilah yang aku mintak dari papa. Tapi lain yang dibagi. Jadi sekarang superbike ni jadi milik aku lah kan. Hanya aku yang ada di dunia ni. Semua ni milik aku!!!! Hahahaha.”

Kael mencapai helmet fullface yang berada di atas jalan raya, lalu dipakainya. Enjin Kawasaki H2R dihidupkan. Superbike itu ditunggang laju ke Putrajaya. Ada satu hajat yang ingin ditunaikannya. Bangunan Perdana Putra.

Superbike yang ditunggang meluncur laju memasuki kasawan bangunan tersebut. Superbike itu diletakkan dihadapan pintu masuk. Kael berlari memasuki Bangunan Perdana Putra. Peta tingkat ditelitinya. Pejabat Perdana Menteri dicari.

“Jumpa pun. Hahahaha. Hari ini akulah Perdana Menteri Malaysia. Hahahahaha.”

Dihadapan Kael sekarang adalah pintu bilik pejabat Perdana Menteri. Pintu bilik itu ditendang. Tiada siapa pun didalamnya. Ruang pejabat yang tersusun kemas disepahkan oleh Kael. Kemudian dia berlalu keluar. Itu saja keinginan yang dipendam oleh Kael selama ini. Kael kembali ke superbikenya. Tujuan dia yang seterusnya adalah IOI City Mall Putrajaya. Kawasaki H2R ditunggang laju. Kadang-kadang dia menciluk kereta yang pegun di atas jalan raya. Suasana cukup sunyi. Hanya kedengaran deruman enjin superbike yang ditunggangnya.

Simpang ke IOI City Mall di ambil dan dia terus menuju ke bahagian pintu masuk utama. Lantas akal gila Kael datang.

“Apa kata kalau aku bawak motor ni masuk dalam mall? Hahaha… Siapa yang nak marah aku kan?” Kael berfikiran sendiri.

“Ahh… tak apalah. Aku jalan kaki je cukup.”

Superbike yang ditunggangnya tadi diparkir di hadapan pintu masuk. Kael berjalan ke dalam mall. Semua lot kedai dimasukinya. Kedai pakaian. Semua jenis pakaian dicuba satu persatu tanpa rasa bersalah. Apatah lagi kedai makan. King crab diratahnya seorang diri salah sebuah lot kedai. Sudah 3 cerita yang ditontonnya di panggung wayang GSC seorang diri. Berbaring di tempat ice skating dan bermacam lagi yang dilakukannya sesuka hati. Setelah rasa bosan mula datang, Kael melangkah untuk keluar. Namun langkanya terhenti saat dia terdengar sesuatu.

“Vroommm…Vroom…”

“Eh… itukan bunyi kereta? Bukan ke aku seorang je ke yang ada kat sini? Aku kena siasat.” Kael berjalan menunduk perlahan ke arah bunyi yang dia dengar.

Begitu hampir jarak antara dia dengan punca bunyi itu, Kael menyorok dan memerhatikan dari jauh. Ya… Sebuah kereta mewah berjenama Nissan parkir berdekatan dengan superbike milik Kael. Keluar seorang perempuan cantik dari kereta itu. Lalu perempuan itu menuju ke arah superbike Kael dan cuba menyentuh bahagian enjin superbike itu. Lalu perempuan itu berpaling ke kiri dan kanan seolah-olah mencari sesuatu dan kemudian melangkah masuk ke dalam mall.

“Siapa perempuan tu eh?” Bisik hati Kael.

“Macam mana dia boleh ada di dunia milik aku ni?” Hati Kael bertanya lagi.

Kael memerhatikan gerak geri perempuan itu dari jauh. Kelihatan perempuan itu memasuki beberapa butik pakaian dan keluar dengan beberapa helai pakaian mahal ditangannya. Perempuan itu kemudian menuju kembali ke keretanya. Enjin kereta dihidupkan dan perempuan itu kemudian memandu keluar dari kawasan mall.

“Aku kena ikut dia… aku kena ikut.”

Kael bergegas mendapatkan motosikalnya dan cuba mengejar perempuan tadi. Laju pemanduan perempuan itu. Namun kerana kesunyian jalan raya, Kael dapat meneka dengan tepat arah perjalanan kereta itu melalui bunyi deruman enjin yang kuat. Kael mengejar. Akhirnya dia dapat memotong kereta yang dipandu perempuan itu di lebuhraya menghala ke arah Kajang.

“Berhenti!!!! Berhenti!!!! Berhenti!!!!” Kael menjerit supaya perempuan itu tadi memberhentikan keretanya.

Kael menarik brek dan menghentikan motosikalnya. Kedengaran bunyi brek mengejut dari kereta yang dipandu perempuan itu. Kael turun daripada motosikalnya dan mengeluarkan pistol yang diselitkan dibelakangnya lalu diacukan kearah kereta tersebut.

“Keluar!!! Keluar!!!” Tak ubah seperti seorang pegawai polis. Kael mengarahkan perempuan itu keluar.

Pintu kereta dibuka. Sepasang kaki terhulur keluar lalu diikuti dengan badan dan tangan yang diangkat ke atas sebagai tanda menyerah diri.

“Duduk!!! Duduk!!!” sambil mengacukan pistol, Kael mengarahkan perempuan itu duduk.

“Kau siapa? Macam mana kau boleh ada dalam dunia aku ni?” soal Kael.

“Aaa…aaaku… Nama aku Anita. Jangan bunuh aku.” Jawab perempuan itu ringkas.

“Haihhhh…sial la…” Kael mengeluh. Lantas pistolnya disimpan kembali.

“Kau belum jawab lagi soalan aku. Macam mana kau boleh ada dalam dunia aku?” Soal Kael lagi.

“Aku tak tau. Aku sedar semalam dah macam ni. Dah tak ada orang. Semua tempat aku pergi aku seorang diri je. Kau orang pertama yang aku jumpa.” Anita cuba menjelaskan pada Kael.

“Dah… Masuk dalam kereta. Biar aku yang drive.” Kael mengarahkan agar Anita masuk ke dalam kereta bahagian penumpang.

Kereta Nissan GTR itu kemudiannya dipandu laju.

“Kita nak ke mana ni? Dan maaf saya nak tanya. Macam mana awak boleh ada dalam dunia saya?” Anita bertanya

“Nak ke rumah aku. Tak payah minta maaf. Aku pun sama macam kau. Sedar-sedar saja aku dah seorang diri macam ni. Kau orang pertama aku jumpa.” Jawab Kael.

Raut wajah Anita yang cantik sedikit sebanyak menyejukkan hati Kael yang sedikit lega bila mana ada orang yang boleh jadi temannya untuk bercakap. Keadaan menjadi sunyi seketika. Masing-masing senyap tanpa sepatah kata.

“Sebenarnya… aku beli syiling ajaib dari seorang pakcik tua. Dia cakap syiling ni boleh menunaikan hajat. Hajat aku untuk hidup kat dunia macam ni. Sunyi tak ada orang. Tapi kau boleh pulak muncul kat sini.” Kael memulakan perbualan memecah kesunyian.

“Syiling ajaib? Kejap.” Balas Anita.

“Syiling yang macam ni ke?” Anita bertanya sambil menunjukkan syiling pada Kael.

“Mana kau dapat syiling ni?” Kael kaget apabila melihat syiling yang sama seperti yang dimilikinya.

“Heemmm” Anita tersenyum dan kemudian berkata.

“Kita senasib”


-TAMAT SIRI KAEL-
===============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya asal merupakan hak milik penulis, manakala karya siap sunting adalah milik bersama pihak Arkib Angker Negara. Unsur plagiat dilarang sama sekali.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.