Friday 27 April 2018

WAD 16 - Fahmi Hassan


Wad 16

Karya: Fahmi Hassan

============================
Di hospital ini, Wad 16 merupakan wad ‘High Dependancy Unit’ (HDU). Pesakit-pesakit yang tenat dan perlu pemantauan yang lebih rapi biasanya ditempatkan di unit ini. Ada 4 bilik di wad ini. Setiap bilik mempunyai 4 katil pesakit.

Makcik Milah baru saja dipindahkan ke Wad 16 beberapa hari lepas. Baru minggu lepas Makcik Milah dan anak-cucu berkumpul meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke 93. Beria sungguh Makcik Milah makan pada hari tersebut. 3 kali nasi ditambah.

2 hari selepas itu, Makcik Milah jatuh sakit. Demamnya tinggi. Panas sangat. Cepat saja kering kain-kain basah yang dituam di dahinya. Akhirnya anak Makcik Milah membawanya ke hospital setelah dia meracau-racau tak sedarkan diri.

Pada asalnya Makcik Milah dimasukkan ke wad biasa. Doktor kata, selain dari disyaki menghidap jangkitan kuman, paras sel darah merah dalam darahnya juga rendah. Kurang separuh dari paras normal.

Doktor kata mereka keliru kerana tak jumpa punca darah Makcik Milah kurang saban hari. Berbeg-beg darah telah dimasukkan, namun paras darah beliau masih tidak normal. Puas sudah pemeriksaan dilakukan termasuk prosedur memasukkan tiub kamera ke dalam usus. Masih lagi mereka gagal mencari punca.

Setelah beberapa hari, doktor memutuskan Makcik Milah perlu pemantauan yang lebih rapi akibat keadaannya yang bertambah serius. Beliau dipindahkan ke Wad 16.

Bilik berkatil 4 itu hanya didiami oleh Makcik Milah seorang. Minggu itu Wad 16 sedikit kosong. Hanya ada dua pesakit lelaki dan 1 pesakit perempuan. Terpaksa Makcik Milah tinggal seorang di bilik tersebut.

Anak-anak Makcik Milah selalu menemani beliau. Sewaktu di wad biasa, seorang anak perempuan dibenarkan untuk menunggu beliau di wad. Tapi apa yang peliknya, sekitar jam 9, Makcik Milah akan menjerit-jerit meracau menghalau anaknya pulang. Dan setiap kali beliau meracau, doktor terpaksa menyuntik ubat penenang.

Di Wad 16, tiada ahli keluarga dibenarkan di luar waktu melawat. Jam 7, semua telah diminta keluar dari Wad. Makcik Milah baring seorang ditemani para jururawat di kaunter hadapan bilik. Mujur ada monitor di kaunter jururawat untuk memantau keadaan di dalam bilik.

Malam itu, tepat jam 9, Makcik Milah mula meracau. Mula-mula perlahan, kemudian suaranya semakin kuat. Jururawat berpandangan sesama sendiri dan terus berlari ke dalam bilik Makcik Milah.
“Keluar!!! Keluarrrrrrr!!!!”

Teriakan Makcik Milah semakin kuat bila nampak jururawat masuk ke dalam bilik.

“Makcik, sabar makcik!”

“Siti, tolong ambil kain. Ikat sikit tangan Makcik Milah. Habis ‘drip’ dia cabut nanti.”

Tak sempat siti pegang tangan Makcik Milah, jarum yang memasukkan darah dari beg ke dalam urat di tangan tercabut. Memancut darah keluar mengenai cadar dan lantai.

Tak cukup dengan itu, tiang tempat beg darah digantung turut jatuh. Pecah beg tersebut dan darah mengalir membasahi lantai.

Tiba-tiba Makcik Milah terus lemah. Longlai tangannya. Dia terbaring lesu.

“Siti, telefon doktor on call, beritahu Makcik meracau. Lepas itu telefon juga minta orang datang mop darah ini. Kak Lin kemas katil kejap.”

Siti ke kaunter untuk menghubungi Dr. Kamarul. Beliau Bertugas malam itu. Kemudian beliau menghubungi unit pembersihan untuk meminta pekerja membersihkan darah di lantai.

Kak Lin keluar dari bilik. Dan tergesa-gesa keluar dari wad. Mungkin untuk mencuci tangan atau menyalin pakaian.

5 minit selepas itu, pintu Wad dibuka. Seorang pekerja lelaki datang membawa mop dan baldi.

“Bilik tu,” arah Siti sambil memuncungkan mulutnya.

Pekerja itu masuk ke dalam bilik. Tak sampai 10 saat dia keluar semula.

“Tak ada kotor pun.”

Siti pelik. Dia menjenguk ke dalam bilik Makcik Milah. Kelihatan Makcik Milah tidur dengan tenang. Langsung tiada kesan darah di lantai.

Siti semakin pelik. Kak Lin pula entah ke mana.

“Tadi banyak darah. Kejap saya tengok.”

Siti menuju ke monitor di kaunter. Video diputar ke belakang.

Kelihatan kelibat Kak Lin sedang menjilat-jilat darah di atas lantai. Rakus. Tudung yang putih bertukar merah.

Tiba-tiba, tangan lembut menyentuh bahu Siti.

“Siti dah nampak eh?” Suara lembut Kak Lin membisik di telinganya.

-TAMAT-
============================
Karya : Fahmi Hassan

Sumber Gambar: Deino3330 @ Deviantart

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: