Monday, 16 April 2018

INI KISAH AKU : KAK LONG & PAKLANG - Kucing Kelabu


INI KISAH AKU : KAK LONG & PAKLANG
Karya : Kucing Kelabu

===============

Nama aku Rul. Aku adalah anak ketiga dari lapan adik beradik dan aku lelaki. Aku merupakan satu satunya anak lelaki dalam keluargaku, jadi tanggungjawab aku agak berat . Ayah aku merupakan seorang tok siak di kampungku yang terletak disebuah negeri di Pantai Timur dan ibuku adalah seorang suri rumah biasa.

*****

Setiap manusia dikurniakan dengan kelebihan masing-masing sama ada mereka sedar ataupun tidak dan aku adalah salah seorang yang dipinjamkan kelebihan yang mungkin tak ada pada orang lain. Atas kesilapan aku sendiri kelebihan aku ditarik semula. Sekarang aku telah pun bekerja seperti org lain, menjalani kehidupan seperti biasa. Dialog yang ada dalam kisah ni adalah berdasarkan apa yang aku lalui dan yang masih dalam ingatan aku. Jika ada terkurang aku mohon maaf sebab ianya sudah lama berlalu.

Kisahnya bermula semasa aku umur 10 tahun pada tahun 1997, hari Khamis malam Jumaat. Paklang aku datang ke rumah aku untuk menziarah pada awalnya, namun tidak aku sangka rupa-rupanya ada agenda yang disembunyikan oleh Ayah aku dan Paklang serta mak aku. Ianya berkaitan Kak Long aku. Umur Kak Long aku pada masa itu dalam lingkungan remaja dan dah ada yang menaruh minat pada dia tapi dia menolak. Akibatnya lelaki yang menaruh minat pada dia tu hantar sesuatu pada dia. Lelaki tu aku tak tahu berapa umur dia tapi seperti apa yang Paklang bagitahu, dalam lingkungan 30 an. Oh ya, Paklang aku ni pakar dalam ilmu batin dan perubatan islam. Banyak juga orang kampung datang jumpa dia minta pertolongan. Selalunya bila ada yang minta tolong dia tak pernah menolak. Amanah Allah berikan pada dia katanya. Tak boleh kedekut dan tak boleh minta balasan.

Berbalik pada kisah Kak Long aku. Aku langsung tak sedar perubahan dia. Maklumlah masa tu aku masih kecil lagi. Cuma kadang-kadang tu ada jugaklah aku ternampak kelibat hitam selalu mundar mandir dalam bilik dia. Kadang-kadang aku ada jugak nampak bungkusan putih bawah katil dia. Tapi yang peliknya, Kak Long aku tak pernah pun meracau macam kebanyakan orang. Cuma dia jadi jarang keluar rumah dan keluar dari bilik dia tu. Mungkin sebab itu ayah aku panggil Paklang datang tengokkan Kak Long. Masa Paklang datang, masih tak ada apa-apa yang berlaku lagi. Cuma bila dia mula melangkah masuk ke dalam rumah tiba-tiba.

“Dammmmm!!!” bunyi pintu bilik Kak Long dihempas kuat.

Paklang dan Ayah terus melangkah ke depan pintu bilik Kak Long. Pintunya berkunci dari dalam.

Ayah : Assalamualaikum.. Long.. buka pintu ni Long.. Pak Lang datang ni nak jumpa Long.

Kak Long : Tak nak! Aku tak nak jumpa sesiapaa!!

Ayah cuba memujuk lagi.

Ayah : Long.. bukak pintu ni Long.. Pak Lang datang ni..

Kak Long : Suruh orang tua tu balik.. aku tak suka dia.. dia balik baru aku bukak pintu!!

Ayah mula hilang sabar dengan perangai anak sulungnya itu, lantas gerakannya seakan mahu memecahkan pintu bilik Kak Long tapi disekat oleh Pak Lang.

Paklang : Dah la tu Man, bukan dia yang menjawab tu.. mari aku tolong apa yang patut.

Aku: Paklang, bukan Kak Long je ada dalam bilik tu.. Ada lagi 5 “orang” dalam tu sambil aku tunjukkan lima jari aku pada Pak Lang.

Paklang : Angah nampak ke apa yang ada dalam bilik Kak Long ni? Paklang panggil aku angah.

Aku : Ye, nampak. Kak Long ada kat depan cermin tengah berdiri tegak. Kat belakang Kak Long ada sorang perempuan baju putih tengah main rambut Kak Long. Atas almari ada lagi sorang tengah duduk mencangkung pandang ke kita kat luar ni tapi muka dia seram la Paklang. Lagi sorang kat bawah katil Kak Long tengah baring tapi dia Angah tengok macam orang mati. Sorang lagi kat hujung katil Kak Long, rambut dia panjang. Yang ni pun seram jugak. Gigi dia tajam dan sorang lagi ada kat bucu bilik ni. Muka dia macam muka Kak Long tapi tinggi sebab kepala dia sampai siling dan tangan dia panjang sampai ke pintu.

Paklang tengok aku dan senyum kemudian dia pandang ayah aku.

Ye, aku nampak semua tu walaupun pintu bilik Kak Long masih lagi belum di bukak. Paklang pegang tombol pintu bilik Kak Long dan mula membaca sesuatu ayat Al Quran sebab aku dapat dengar dengan jelas apa yang Paklang baca. Lepas habis bacaan, Paklang hembuskan ke pintu bilik Kak Long dan pulas tombol. Elok je pintu bilik terbuka. Paklang bagitau yang pintu tadi sebenarnya tak berkunci pun. Cuma jin tu yang cuba menghalang kita masuk, sebab tu la kita tak dapat bukak pintu.

Masa Paklang melangkah masuk, Kak Long pusing badan dia tengok Paklang dan muka dia berubah jadi garang dan melompat ke atas katil lalu duduk mencangkung sambil muka dia tunduk dan ditutupi oleh rambut dia. Masa ni aku pn ikut sama masuk dalam bilik. Mula-mula Ayah halang aku daripada ikut Paklang masuk, tapi Paklang cakap

Paklang : Tak apa Man, biar je Angah masuk. Insyaa Allah tak ada apa-apa.
Paklang : Assalamualaikum..
Aku : Waalaikumussalam..
Dengan muka tak bersalah, aku jawab salam.
Pak lang senyum sambil cakap.
Paklang : Bukan kamu.. tp dia tu ha..

Aku sengeh je. Mana la aku tau, dah Ayah selalu pesan kalau orang bagi salam kita kena jawab. Sekali lagi Paklang bagi salam kat Kak Long tapi Kak Long diam tak jawab apa pun. Lalu Paklang paling ke arah aku sambil tangan dia angkat macam tengah menghalang Kak Long gitu.

Paklang : Ngah, benda tu semua ada kat tempat Angah bagitau tadi lagi ke?

Paklang nak uji aku betul ke tak aku ni boleh nampak. Dia mmg dah tau pun kedudukan makhluk tu. Masa ni kami tak pedulikan lagi pasal Kak Long sebab dia duduk je atas katil tu. Cuma kadang-kadang dia mendengus macam orang marah.

Aku : Ye Paklang, semua kat situ lagi. Tapi yang tengah main rambut Kak Long tadi tu sekarang ni dia tengah bertenggek atas bahu Kak Long.

Paklang senyum pada aku sambil usap kepala aku seterusnya memulakan sesi rawatan dengan membaca Al Fatihah terlebih dahulu. Kemudian diteruskan dengan ayat ayat lain. Kak Long mula menjerit menyebabkan Mak yang masa tu ada kat dapur tiba-tiba berlari datang menuju ke arah Kak Long tapi sempat ditahan oleh Paklang. Kak Long menjerit.

Kak Long : Panas!!! Panas!!! panas la bodoh!!
Pak Lang : Panas? Nak lagi ke? Siapa kau dan apa tujuan kau datang kesini menggangu anak cucu Nabi Adam? Aku bagi salam kau tak jawab. Kau bukan islam. Apa yang kau inginkan dari badan dia?

Dengan suara garau dan kadang2 sayu Kak Long menjawab.

Kak Long : Aku….aku…. aku suka dia…tapi dia tak suka aku.. aku nak dia jadi gila.
Pak Lang : Siapa yang menghantar kau kemari?
Kak Long : Tuan aku… dia suruh aku buat budak ni jadi gila.. gilakan dia..
Pak Lang : Siapa tuan kau wahai jin laknatullah?
Kak Long : Manusia..HAHAHAHAHA.. Kau tak perlu tahu siapa..
Pak Lang : Aku nak kau keluar dari jasad hamba Allah ni.. kalau kau berdegil kau semua akan aku sembelih.

Terkejut aku bila dengar Paklang sebut perkataan sembelih.

Aku : Kenapa nak kena sembelih Paklang. Kesian la dia. Nanti mati.

Paklang : Ngah.. yang Angah nampak tu bukan manusia bukan haiwan dan bukan juga benda yang nampak dek mata kasar. Tu semua adalah jin. Jin yang cuba mengganggu Kak Long.

Aku hanya mengangguk sebagai tanda faham. Maklumlah, aku masih lagi anak kecil ketika itu.


Paklang : Pilihan kat tangan kau wahai Jin dan Iblis. Kau mahu keluar dan balik semula kat tuan kau atau kau semua akan mati hari ni?

Kak Long : Aku tak nak keluar!! Aku tak nak balik!! Tuan aku marah!! Nanti dia seksa aku!!

Lantas Paklang mulakan bacaan dia sambil tu dia suruh aku berzikir. Paklang ajar aku macam mana berzikir. Paklang menyuruh aku berzikir tanpa henti. Kak Long kembali menjerit kesakitan. Ayah aku yang ada kat luar bilik masuk ke dalam. Paklang kemudiannya mengarahkan Ayah aku untuk pegang Kak Long dan Paklang bergerak menghampiri Kak Long dan Ayah, sambil bacaan ayat suci Al Quran masih lagi tidah henti dari mulutnya.

Kak Long : Sakit!!!! Sakit Ayah… Tolong Kak Long…
Ayah : Lang, dah la tu.. kesian budak ni ha.
Pak Lang : Kau jangan tertipu dengan mainan syaitan dan jin ni Man.. Itu bukan dia..
Kak Long : Hehehehehe…
Paklang sambung bacaan dia dan Kak Long makin kuat menjerit kesakitan.
Kak Long : Aku keluar!! Aku keluar!! Jangan bunuh aku!!
Pak Lang : Boleh, tapi kau mesti janji tak akan masuk lagi dalam tubuh hamba Allah ni..
Kak Long : Aku janji!! Aku janji!!
Pak Lang : Kau mesti bawa semua sekali teman teman kau dalam rumah ni bersama kau!!
Kak Long : Iya..Aku bawa..
Pak Lang : Ok.. sekarang kau keluar dari badan ini.

Paklang membuat gerakan seolah menolak sesuatu dari kaki Kak Long sampai ke kepala tapi tangan Paklang tidak bersentuhan dengan tubuh Kak Long. Serentak dengan itu Kak Long menjerit dan suara dia semakin perlahan lalu pengsan setelah Paklang selesai menolak keluar makhluk yang ada dalam badan Kak Long.

Paklang : Bawakan segelas air masak.

Paklang meminta segelas air masak dari Mak. Mak bergegas ke dapur dan datang semula dengan segelas air masak lalu memberikan pada Paklang. Paklang membacakan ayat al-Quran dan dihebuskan ke dalam gelas berisi air. Air itu kemudian dituangkan ke tangan Ayah. Paklang menyuruh Ayah supaya sapukan air tadi ke muka Kak Long. Setelah disapu dengan air tadi, Kak Long kembali sedar. Paklang berikan air bacaan dalam gelas tadi untuk Kak Long minum.

Aku nampak Kak Long masih lemah. Ayah membawa Kak Long keluar dari bilik itu. Paklang kemudian bangun dan mula mencuci bilik Kak Long bagi menghalau sisa sisa makhluk yang ada dalam bilik Kak Long. Yang paling sukar nak buang ialah yang kat bawah katil tu, bungkusan putih. Janji makhluk Jin Kafir ini tidak boleh dipecayai. Janji untuk bawa yang lain bersama tapi tidak. Kita yang kena buat semua.

Setelah selesai, Paklang “scan” semula sekali lagi dalam bilik Kak Long dan jugak keseluruhan rumah dan dia jumpa sesuatu kat luar rumah bawah longkang sebelah bilik Kak Long. Jadi, nak keluarkan benda tu kena pecahkan longkang dan gali tanah. Paklang yang buat semua tu, dia pecahkan longkang dan gali lalu dia ambil segenggam beras bercampur lada hitam dan dia tiupkan bacaan ayat Al Quran lalu dia lemparkan ke dalam lubang yang telah digali selepas dia nampak benda yang di tanam.

Aku tak tengok pun bahagian ni. Ayah yang ceritakan semuanya. Ayah bagitau, Paklang kemudian perahkan limau nipis ke tempat itu. Asap berkepul keluar melalui lubang tu. Ayah cakap Paklang tawarkan dulu bisa benda tu baru dia keluarkan. Ayah bagitau juda, benda yang Paklang keluarkan tu seperti sebotol minyak. Minyak apa itu aku tak pasti. Paklang ambil dan bungkuskan dengan kain kuning dan kemudian dia cakap nak buang.

Setelah selesai semua Paklang masuk dalam rumah semula dan duduk berehat di ruang tamu bersama dengan Ayah. Mak datang dan membawakan minuman dan biskut buat kami. Sambil sambil sembang tu, Paklang cerita serba sedikit macam mana Kak Long boleh jadi camtu. Nasib baiklah masih awal lagi. Belum lagi smpai tahap jin tu beranak pinak dalam bilik Kak Long. Kak Long masa ni tengah tidur je tanpa rasa bersalah.

Paklang : Man, anak kau dah meningkat usia dah tu. Ada la yang berkenan tu. Dia tolak orang tu tapi aku tak tau la macam mana penolakkan dia tu. Cara kasar ke cara baik. Cuma orang tu rasa tak puas hati dengan Kak Long. Tu dia hantar barang. Kau nasihatkanlah dia jaga tingkah laku dan perangai dia. Jangan sampai menyinggung hati orang. Manusia ni rambut je sama hitam Man. Hati lain lain. Kita tak tau apa yang ada di sebalik hati dia tu.

Paklang : Lagi satu Man, kau tak payah risau lagi. Semua dah selesai. Aku dah pun berhubung dengan orang yang hantarkan benda tu dan aku dah bagi amaran kat dia. Rumah kau pn aku dah pagarkan dah. Insyaa Allah dia tak mampu ganggu Kak Long lagi.

Ayah : Siapa yang berani kacau anak aku ni Lang.. Kurang ajar betul.

Ayah macam marah dengan apa yang berlaku.

Paklang : Tak apalah Man, cukup aku sorang je yang tau. Tak usahlah kita simpan dendam sesama manusia. Tak ada kebaikan pun. Banyak keburukan je berdendam ni. Maafkan jelah dia, dia pun dah janji tak akan ganggu lagi. Memaafkan itu lebih indah.

Paklang panggil aku duduk sebelah dia. Aku apa lagi. Menonong je pergi duduk sebelah paklang.


Paklang : Man, anak kau yang ni ada anugerah dari Allah. Aku nak minta izin kau nak latih dia apa yang patut. Mana tau dapat bantu aku dan dapat bantu umat islam yang dalam kesusahan.

Ayah : Iyelah Lang.. Ambillah, aku izinkan. Kau jaga la dia macam anak kau sendiri.

Paklang : Insyaa Allah Man, lagipun bukan tiap-tiap hari aku latih dia. Ada hari-hari tertentu je.

Aku yang mendengar perbualan Ayah dan Paklang cuma menganggukkan kepala je.

Selesai minum, Paklang minta izin untuk beransur pulang dan berpesan pada aku supaya jaga hubungan dengan Allah. Solat jangan tinggal. Solat awal waktu dan kalau boleh berjemaah. Al Quran jadikan bahan bacaan yang wajib setiap hari dan wajib faham isinya. Paklang bagi salam dan beransur pulang.

Ini adalah kisah permulaan perjalanan aku yang panjang untuk aku kongsikan dengan pembaca semua. Semoga mendapat manfaat. Maaf jika kisah tidak seram seperti apa yang pembaca semua inginkan. InsyaAllah aku akan ceritakan lagi kisah aku ikut Paklang merawat orang dan macam mana kebolehan aku ni hilang.
-TAMAT-

- Tunjuk Ajar Paklang tidak disiarkan di mana-mana medium. Insyaa Allah akan disiarkan di Arkib Angker Negara di minggu hadapan jika tiada halangan.
- Jangan tanya kenapa aku dipanggil Angah. Hehehe.
===============
Gambar
Sumber : Google
Editing : Kucing Kelabu

Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: