Saturday, 14 April 2018

KAMPUNG ALOR X HOMO-CANIS :Razak - Ahmad Rusydi


KAMPUNG ALOR X HOMO-CANIS – Razak

Karya: Ahmad Rusydi
================================


Kampung Alor, Banting. 1995.
"Tidurlah Razak. Bapak letih ni," Borhan menjeling ke arah jam dinding, "dah pukul tiga pagi ni!"

"Ajak lapar pak. Bau sedap ni!"

"Bau apa kau ni? Ish! Dah, tidur. Esok pagi bapak suruh mak kau buat bihun."

Razak mencebik keanak-anakan. Sejenak Borhan merenung mamai ke arah anaknya yang baru berumur lima tahun itu. Sebaik sahaja Razak kembali berselubung dalam selimut, Borhan melelapkan semula matanya yang terasa gatal mengantuk.

Sengaja Razak buat-buat tidur. Dia tak puas hati. Belum pernah dia terhidu bau seenak itu. Perutnya berkeroncong tegar, sedang nasi berlauk ulam yang dimakannya sebelum tidur tadi masih belum terhadam sepenuhnya. Dia benci makan ulam! Dia telan saja tanpa kunyah.

Jarum saat jam dinding rumah kayu itu ditatapnya. Mata Razak tetap tidak mahu lelap. Bersambung-sambung dengkuran bapanya, menandakan lelaki itu sudah kembali lena. Razak menjeling ke arah ibunya pula. Sedari awal malam tadi wanita itu sudah nyenyak dibuai mimpi.

Perlahan-lahan Razak bangkit, cuba untuk meminimakan keriutan lantai kayu rumah itu. Dalam keadaan hampir gelap-gelita itu Razak menjengket-jengket cuba mencapai seluarnya. Dia tahu bau enak itu datangnya dari luar. Dari kaki hutan Kuala Langat.

---
Langit tiga setengah pagi itu cukup gelap, merembeskan renyai hujan dingin. Lenguh lengan kecil Razak menyuluh lampu picit sepanjang denai dari rumah bapanya sehingga ke kaki hutan. Anak kecil itu mencangkung sejenak, cuba mengambil nafas. Lampu picit besar bapanya itu didirikan di atas tanah lembap kaki hutan.

Di hadapan anak kecil itu kini kelihatan jajaran pohon-pohon besar kehitaman. Dia tidak pernah tahu apa yang berada di sebalik bayang jajaran itu. Tangannya sejuk terketar-ketar, namun entah kenapa dadanya terasa berbahang. Keenakan bau itu mengatasi rasa gentarnya.

Perlahan-lahan anak kecil itu bangkit. Lampu picit besi yang tingginya hampir separas pinggang dicapai nekad. Lidahnya menggaru-garu gusi. Terasa gatal tiba-tiba. Kembang kempis hidungnya cuba mengamati semula arah bau tadi. Renyai hujan langsung tidak mengganggu deria baunya. Memang sejak kecil begitu. Dia punyai deria bau luar biasa (namun perkara itu tidak dianggap istimewa oleh ibu bapanya). Yang pasti, dia tidak pernah terhidu bau yang memanggil keinginannya begini sekali.

Berhati-hati anak kecil itu mengatur setiap langkahnya. Takut tergelincir. Dia menyuluh beberapa meter ke hadapan. Bayangan renyai hujan mengganggu suluhan lampu picitnya. Dia kini sedang melangkah masuk ke bawah lembayung dedaunan hitam pohon-pohon hutan sebesar pemeluk. Apa yang berada di kiri dan kanannya langsung tidak Razak ambil tahu. Matanya hanya tertumpu ke arah barat daya; arah dari mana datangnya bau itu. Gusinya terasa semakin gatal.

Langkahnya dirasakan semakin laju. Entah sejak bila keadaan sekelilingnya menjadi semakin cerah pun Razak tak perasan. Belum sampai sejam lagi rasanya dia keluar dari rumah tadi. Mungkin perasaannya sahaja. Lampu picitnya dipadamkan. Dia mula berlari luar biasa laju, seakan setiap selirat denai hutan itu boleh dibacanya dari jauh.

Langkah Razak terhenti mendadak. Ada sesuatu yang tidak disedari oleh anak kecil itu; nafasnya langsung tidak mencungap. Di hadapannya kini kelihatan bangkai seekor rusa dengan kesan torehan yang memburaikan isi perut haiwan itu. Entah apa puncanya, Razak langsung tidak kisah. Hatinya kini berbelah bahagi. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tidak salah lagi. Memang bangkai rusa itulah punca bau enak yang dihidunya sedari tadi. Dia memegang dadanya yang berombak kencang;

apa yang harus dilakukannya sekarang?

"Ajaaaak!" Kedengaran laungan bapanya dari kejauhan. Razak menoleh ke arah laungan itu, kemudian ke arah bangkai rusa tadi semula. Anak kecil itu menelan air liurnya.

"Ajaaaak! Mana kau, nak?!" Kelihatan suluhan cahaya menari-nari dari celahan pohon-pohon besar. "Ajaaaak!"

Razak memejamkan mata. Panggilan bapanya tidak diendahkan. Keinginannya seleranya menguasai segalanya. Kakinya kecilnya menujah tanah dengan kekuatan luar biasa. Tanpa sedar dia menerkam bangkai rusa tadi. Hilang gatal pada gusi Razak sebaik sahaja anak kecil itu membenamkan gigi susunya ke dalam daging. Kedengaran deras katupan giginya setiap kali Razak mengunyah makan lewat malamnya itu.

"AJAAAAK!" Suara nyaring bapanya kedengaran semakin hampir. Razak berhenti mengunyah. Dia menoleh deras ke arah suara Borhan. Dia menodangakkan kepala. Hidungnya menangkap bau sesuatu yang cukup dibencinya. Bau rokok!

"Ajak!" Dari celahan pohon-pohon besar suluhan lampu picitnya ayahnya menyuluh tepat ke dalam mata Razak. Matanya anak kecil itu terpejam silau.

Sebaik sahaja pandangannya tidak lagi terhalang oleh jajaran pohon-pohon besar, langkah Borhan terhenti. Lampu picitnya disuluh tepat ke arah wajah anaknya yang berlumuran dengan darah. Rahang anak kecil itu kelihatan lebih lebar berbanding biasa. Lebih gagah. "Razak?" Panggilnya perlahan. Terlepas putung rokok dari celah jarinya.

Mata Razak yang tadinya terpejam, pantas menjeling ke arah putung rokok yang masih berasap itu. Dia menderam garang. Namun yang membuatkan Borhan ternganga adalah; anak mata Razak berwarna kelabu sepenuhnya! Perlahan-lahan anak kecil itu melangkah ke belakang. Melihatkan perkara itu, Borhan memijak putung rokoknya tadi.

Razak menjeling ke arahnya bapanya. Tidak kelihatan riak kemanusiaan pada wajah anak kecilnya itu. Namun Borhan tegar. Susuk di hadapannya itu adalah anaknya. Apa pun yang telah merasuk anak kecil itu, dia harus hadapi sendiri.

Borhan melangkah mengiring penuh berjaga-jaga. Razak mengamati setiap gerak kaki bapanya. Sesekali dia mengiringkan kepalanya, bingung. Kelihatan berminat, anak kecil itu mencangkung dengan kedua telapak tangan di atas tanah, lagak seekor anjing yang cukup pelik parasnya.

"Apa nama kau, wahai makhluk Allah?!"

Terkebil-kebil mata kelabu Razak cuba menahan silau suluhan lampu picit bapanya.

"Keluar kau dari tubuh anakku!" Pekik Borhan lagi. Tegang urat leher lelaki itu. Lampu picitnya disuluhkan ke arah bangkai rusa tadi pula. Dia menelan air liur, menahan loya bau bangkai itu.

"Pak!"

Deras Borhan menyuluh semula ke arah Razak. Kini anak kecil itu berdiri dengan dua belah kakinya. Anak matanya kelihatan biasa. Tiada lagi bonggolan otot pada rahangnya. Namun dengan mulut dan hidung yang masih berlumuran darah cukup untuk membuatkan Borhan sangsi.

"Razak?"

"Pak? Bapak buat apa?"

"Bapak buat apa kau tanya?! Kau tu buat apa?! Kau dah gila ke, Razak?!" Jerkah Borhan. Dia menyuluh anaknya itu atas bawah. Baju tidur dan selipar berselaput lumpur anaknya itu basah kuyup. Razak terketar kesejukan. Air mata mula bergenang di dalam mata anak kecil itu. Melihatkan perkara itu, Borhan melepaskan lampu picitnya lalu memeluk anaknya itu seerat mungkin.

Kesan darah di seluruh mulut dan hidung anaknya itu dikesat sebersih mungkin dengan lengan bajunya.

---
Azizah, ibu Razak sudah sedia menanti di muka pintu ketika mereka melangkah keluar dari belukar denai. Sebaik terlihat kelibat suami dan anaknya, lekas dia berlari turun mendapatkan keduanya. Razak dipeluknya erat. Esakan tangis ibunya membuatkan anak kecil itu terpinga-pinga memandang bapanya. Azizah menyentuh dan memegang setiap inci tubuh kecil Razak, memeriksa sekiranya terdapat sebarang luka. Hanya terdapat kesan-kesan calar kecil pada kulit pipi dan lengan anak kecil itu.

"Berapa jauh di pergi, bang?"

Borhan diam sejenak. "Jauh. Untuk budak sebaya dia.... terlalu jauh." Borhan memandang Azizah penuh makna. Mendengarkan perkara itu, Azizah memegang kedua belah bahu Razak lalu menatap anak mata anaknya itu dalam-dalam. Seakan menantikan sesuatu. Sejenak kemudian, dia menoleh ke arah suaminya pula. Seakan ingin bertanyakan sesuatu yang jawapannya bakal meruntun hati. Borhan mengangguk. Dia faham apa yang bermain dalam fikiran Azizah. Azizah rebah melutut.

"Saya tak kira! Jalan betul ke, salah ke, kita mesti bawak Razak jumpa Pawang Jidan!"

Mata Borhan menggerenyet sedikit sebaik terdengar nama itu disebut. "Dia tu bela jin, Zah! Aku tak nak kita syirik nanti..." Betah Borhan. Dia memegang lembut bahu isterinya, membantu wanita itu bangun. Sebelah tangannya mengangkat tubuh kecil Razak. Sambil mendukung anaknya itu, Borhan melangkah masuk ke dalam rumah. Azizah menyusul di belakang.

"Sejak dari dulu lagi saya dah agak perkara ni akan berulang lagi," Azizah menangis tersedu-sedan. "Saya dah agak, memang saya tak salah nampak!"

"Salah nampak apa, Zah?! Razak, masuk dalam bilik mandi. Nanti sekejap bapak datang mandikan."
Razak mengangguk pendek. Dia menjilat-jilat bibirnya yang sudah bersih, namun masih berbau hanyir darah (hanya dia yang masih terhidu bau tersebut). Seakan tiada apa-apa yang berlaku, anak kecil itu berlalu pergi.

"Kan saya pernah cerita dekat abang, kadang-kadang bila saya terjaga malam, saya dengar bunyi Razak menderam. Bila saya tengok muka dia, matanya warna kelabu, bang! Kelabu!" Azizah bercerita bagai nak gila. "Tapi abang tak pernah nak percaya! Memang ada benda dalam badan anak kita tu bang!"

Borhan diam mengangguk-angguk. Dia tidak pasti samada perlu diceritakan kepada Azizah perihal bangkai rusa di dalam hutan tadi.

---
Keadaan di dalam rumah Pawang Jadan berbahang pelik, sungguhpun jam sudah hampir menunjukkan pukul sembilan malam. Azizah mengipas-ngipas tangannya tanpa sedar sementara Borhan menceritakan segalanya kepada Pawang Jadan, seorang lelaki tua berbadan gempal dengan rambut dan jambang panjang berinai jingga. Matanya kelihatan khayal separuh sedar. Dua batang gigi hadapannya yang kehitaman menarik perhatian Razak setiap kali lelaki tua itu berkata-kata. Suaranya kedengaran dalam. Pipinya terketar-ketar menahan sakit setiap kali dia membetulkan duduknya, menandakan lelaki itu terlalu tua untuk bersila terlalu lama.

"Jadi, masa kau jumpa dia, dia tengah buat apa?" Tanya Pawang Jadan dengan suara yang dalam terketar-ketar. Borhan menjeling ke arah isterinya yang tidak lagi memberi perhatian kepada mereka dek terlalu sibuk mengipas dirinya. "Kalau panas, tunggu di luar," ujar Pawang Jadan tanpa memandang Azizah. Lelaki tua itu seakan tahu ada perkara yang dirahsiakan oleh Borhan. Selepas puas meyakinkan isterinya, barulah wanita itu keluar duduk di atas anak tangga rumah itu. Terasa ketara perbezaan suhu sebaik sahaja Azizah melangkah keluar dari muka pintu.

Sebaik sahaja pintu hadapan rumah kayu itu ditutup, Pawang Jadan mengubah senyumnya, membuatkan kening Borhan terangkat. Seakan lebih sedar akan keadaan sekeliling berbanding sebelumnya. "Sekarang, aku boleh rasa kau mampu bercerita tanpa gusar," katanya perlahan.

Borhan diam sejenak, kemudian mengangguk mengiyakan.
---
"Apa yang Pawang Jadan bagi pada abang?" Tanya Azizah sebaik sampai di rumah. Razak yang sudah terlelap sejak dari atas motosikal lagi, dibaringkan Borhan di atas tilam.

Borhan menggagau koceknya, mencari sesuatu. Seketul kayu mampat sebesar hujung ibu jari dikeluarkan. Dia mengangkat ketulan itu separas mata Azizah. Berkerut kening wanita itu mengamati. "Takkan bayar dua ratus ringgit dapat ini saja, bang?"

Borhan mengeluh kecil, "ini ketulan daun tembakau mampat. Bukan tembakau sini. Tembakau dari Sumatera sana."

Azizah terkebil-kebil bingung. "Habis, nak buat apa?"

"Kata Pawang Jadan, Razak pakai baju apa pun, masukkan saja dalam koceknya. Kena sentiasa ada pada dia. Sebab..." Borhan mengetap bibirnya. Mata Azizah ditenungnya dalam-dalam. "Sebab cuma tembakau yang dapat pendamkan naluri dia."

"Naluri?" Azizah memegang dadanya. "Naluri apa, bang?"

Borhan terkebil-kebil memandang lantai. Rahangnya bergerak-gerak, cuba menyusun ayat. Azizah langsung tidak mengalihkan pandangannya dari wajah Borhan.

"Naluri Shvan..."
---
Kampung Alor, 2018.
"Shvan? Apa benda Shvan tu?" Soal Samad serius. Angin malam yang dingin meremangkan lagi bulu romanya yang sedia berdiri.

"Makhluk berupa manusia separa anjing yang ada dalam kisah-kisah mitologi bahasa Sanskrit," Razak merenung bara pada hujung putung rokoknya. Setiap kali dia bercerita tentang perkara itu, pasti tangannya akan menggeletar kecil. "Itu dari apa yang saya baca dulu, bang. Bapak saya sendiri pun tak mahu cerita sangat. Cuma banyak bagi arahan untuk saya hidup macam biasa. Tak boleh buat itu, tak boleh buat ini..."

Samad mengangguk-angguk. Dia tampak berminat.

"Saya rasa... anak abang yang dibawa lari tu sama keadaannya macam saya..." ujar Razak perlahan. Kedengaran nada serba-salah dalam suaranya. "Maaf saya tak dapat selamatkan anak abang."

"Aku tak anggap pun si Reza tu dibawa lari, Zak. Aku yakin dua orang lelaki tu boleh jaga dia dengan lebih baik. Macam Bilal Omar cakap, masa ada kes macam ni dekat kampung ni tahun 1995 dulu pun, lelaki tu yang datang ambil budak tu. Dah besar dah pun budak tu sekarang."

Razak diam tidak membalas. Sesekali dia menjeling ke arah hujung jalan, di mana terdapat belukar yang mengarah terus ke kaki hutan Kuala Langat.

"Berapa lama dah anak abang hilang? Lupa saya," tanya Razak lambat, seakan perhatiannya diganggu sesuatu.

"Dah sebulan dah Zak. Kak Timah kau tu masih lagi asyik terjaga malam, menangis-nangis panggil nama Reza."

Razak merenung mata Samad dalam-dalam. Walaupun kata-kata lelaki itu kedengaran redha, namun Razak tahu jauh di sudut hati Samad, lelaki itu pasti merindukan anaknya.

Reza, anak lelaki Samad yang berumur tujuh tahun hilang di dalam hutan Kuala Langat awal bulan lepas. Razak dan rakan-rakannya akhirnya berjaya mengesan kanak-kanak itu jauh di dalam hutan. Namun malangnya, salah seorang dari rakan Razak yang menyertai misi mencari itu dibunuh dengan kejam oleh kanak-kanak itu. Tubuh lelaki itu dibaham dan diratah tanpa belas kasihan. Razak sendiri hampir diserang sebelum dua orang lelaki bertubuh besar tampil membantu. Paras dan pergerakan dua orang lelaki itu kelihatan seakan kacukan di antara manusia dan serigala.

Reza dibawa pergi oleh dua orang lelaki misteri itu. Namun menurut Bilal Omar, salah seorang dari lelaki itu adalah bekas anggota polis yang mencari insan-insan dengan genetik istimewa seperti Reza dan Razak untuk dilatih dan dididik.

"Saya cukup pasti... dua orang lelaki tu masih ada dalam hutan Kuala Langat ni," ujar Razak serius. Matanya merenung tajam ke arah belukar yang mengarah ke kaki hutan tadi. Sekali lagi lalang-lalang tinggi di dalam belukar itu bergerak-gerak.

---
Malam itu Razak langsung tidak dapat melelapkan matanya. Bunyi dengungan putaran kipas dan unggas malam kedengaran luar biasa kuatnya. Sekejap-sekejap dia menggosok hidungnya yang dapat menangkap pelbagai bau. Dia sudah biasa akan perkara itu, namun malam ini nalurinya dirasakan lebih peka berbanding biasa.

Dalam kegelapan bilik tidurnya Razak bangkit duduk di sisi katil. Dia mengecilkan matanya, menjeling ke arah jam dinding. Pukul tiga pagi. Nafasnya dihirup dalam-dalam. Segala bauan dari luar rumah kayu peninggalan arwah ibu bapanya itu menusuk ke dalam benaknya. Dia dapat membezakan setiap bau yang dihidunya. Matanya yang tajam biarpun di dalam gelap menjeling ke arah seluarnya yang tergantung di belakang pintu. Ketulan tembakaunya berada di dalam kocek seluar itu. Buat sejenak dia berkira-kira, sehingga bila dia perlu meletakkan ketulan itu di bawah bantal setiap kali mahu melelapkan mata?

Perlahan-lahan Razak memejamkan matanya, cuba untuk mengamati setiap bau yang dihidunya sebelum dia mengambil ketulan tembakau itu. "Tanah... najis ayam... bangkai tikus... dedaunan lembap..." langkah Razak terhenti. Dia mendongak sedikit. Sekali lagi nafasnya dihirup dalam-dalam. Matanya pantas menjeling ke arah tingkap. Belum sempat dia berlari ke arah tingkap itu, daunnya dihentam kuat, terpelanting keluar dari engselnya, hampir mengenai kepala Razak jika tidak kerana ketangkasannya mengelak. Ketulan tembakau tadi dicampak ke atas katil. Di hadapannya kini berdiri seorang lelaki pertengahan usia yang berjambang tipis. Jaket kulit berwarna hitam yang disarungkan lelaki itu membuatkan tubuhnya tampak lebih sasa. Razak terpaku mendongak, nyata tergamam melihat ketinggian lelaki itu.

"Kau... kau yang culik anak Samad!"

Lelaki pertengahan usia tadi melalukan pandangannya selamba ke seluruh bilik yang gelap gelita itu. Melihatkan perkara itu, Razak cukup pasti bahawa lelaki yang berdiri di hadapannya kini bukan orang biasa. Sama seperti dirinya dan Reza.

"Aku tak culik. Aku lindung dia."

"Bukan macam tu caranya! Sekurang-kurangnya beritahu pada ibu bapanya dulu. Tak ada adab!" Razak menggenggam penumbuknya. Mendengarkan suaranya sendiri yang lebih garau berbanding biasa, Razak tahu dia sudah berubah rupa.

Lelaki tadi menjeling marah ke arah Razak. "Adab? Dalam masa-masa begini kau masih nak bercerita tentang adab?!"

Razak terdiam. Entah mengapa dia tidak merasakan aura ancaman dari penceroboh di hadapannya itu. "Masa-masa begini? Apa maksud kau?"

"Sebelum tu... nama aku Jalal," lelaki tadi memperkenalkan dirinya. Tangan besar yang dihulurkannya disambut penuh berhati-hati oleh Razak, seakan tangan itu boleh meletup bila-bila masa sahaja. "Razak, kan?" Tanya lelaki itu tenang.

Razak mengangguk pendek. Tegar.

"Aku tahu kau pun sama macam kami. Asalnya kami ke sini untuk cari kau. Tapi masa mula-mula masuk kampung ni, kami keliru antara kau dengan bapa budak Reza tu. Samad, kan?"

"Keliru?" Razak mengerutkan keningnya.

"Terlalu lama Reza dikurung bapanya dalam rumah sampai seluruh rumah tu berbau Homo-Canis. Termasuk orang-orang yang tinggal di dalamnya. Sama macam kau, tubuh Samad dengan isterinya juga berbau Homo-Canis. Lepas beberapa minggu kami ambil Reza, baru kami cukup pasti bahawa kaulah Homo-Canis sebenarnya."

Razak ternganga tidak menjawab. Seakan tersedar dari lamunan, Razak mengerutkan keningnya, "Homo-Canis? Apa benda tu?"

Jalal diam merenung wajah Razak. Kemudian dia menjeling ke arah katil bujang di dalam bilik itu. Ketulan tembakau Razak tergeletak di atas tilam lusuhnya. "Kau panggil Shven, kan?"

"Ah, ya... Shven. Kau pun Shven... kan?"

Jalal tersenyum mengangguk, "ya, ya. Aku pun seorang Shven. Sama macam kau. Sama macam Reza. Sama macam anak angkat aku. Sama macam beribu orang lain dalam Malaysia ni."

"Beribu? Habis, apa Homo-Canis tu?"

"Homo-Canis tu bahas Latin. Nama saintifik untuk spesies macam kita," jelas Jalal serius. "Tapi kalau dibawa berjumpa pawang atau bomoh, kita lebih dikenali dengan nama Sanskrit; Shven."

Razak tidak pasti apa yang patut diperkatakannya.

"Jom, ikut aku," ajak Jalal seakan mereka sudah cukup kenal antara satu sama lain.

"Ikut kau? Pergi mana?"

Jalal mengeluh tidak sabar. "Sekarang bukan masanya! Kita kena cepat. Aku akan cerita dalam perjalanan nanti."

"Dari tadi kau asyik sebut tentang masa. Apa masalahnya dengan masa sekarang ni?"

"Malik sedang kumpul pengikut-pengikutnya. Kali terakhir orang aku nampak dia di Pekan Banting malam semalam. Dia pasti dah tahu tentang kewujudan Kampung Alor," jelas Jalal pendek. Namun kenyataan itu nyata membuatkan Razak semakin keliru."

"Siapa Malik?"

Jalal merenung liar ke luar tingkap. Buat sejenak dia menghidu-hidu ke merata arah. Kemudian perhatiannya kembali kepada Razak. "Malik adalah seekor Homo-Dirus... Shven yang lebih istimewa berbanding kita. Cuma ada beberapa orang yang pernah aku jumpa dalam Malaysia ni. Dia adalah hasil kajian makmal yang memakan tuan. Sekarang Malik dah terlepas. Dia tengah cuba mencari seramai mungkin pengikut yang terdiri dari Homo-Canis. Aku cukup pasti, lepas tiga orang Homo-Canis lahir dalam kampung yang sama, Malik pasti akan tahu tentang kampung ni."

"Cari pengikut? Untuk apa?"

"Untuk serang Bukit Tunku."

"Bukit Tunku, Kuala Lumpur? Kenapa dia nak serang Bukit Tunku?"

Jalal menepuk dahinya, jelas sudah hilang sabar. "Dekat Bukit Tunku itulah makmal tentera yang simpan larutan Proxima-Dirus!"

Razak membuka mulutnya untuk bertanya lagi. Namun sebaik sahaja terlihat jelingan tajam Jalal, Razak membatalkan niatnya. Jalal kembali memandang tingkap, kemudian ke arah Razak semula.

"Homo-Dirus adalah larutan ciptaan yang mampu meningkatkan tahap kemampuan seorang Homo-Dirus atau Homo-Canis sehingga ke kapasiti tertinggi," jelas Jalal sepantas mungkin. "Kalau larutan tu jatuh ke tangan Malik, Kuala Lumpur... mungkin seluruh Malaysia berada dalam bahaya. Jadi, kalau kau tak nak jadi orang suruhan Malik, jom! Ikut kami!"

Razak mencapai ketulan tembakau dari atas katilnya. Matanya serta-merta berubah menjadi sediakala.

---
Razak melangkah tergesa-gesa di belakang Jalal, sedangkan lelaki separuh usia itu memecut laju menyelinap cekap melalui celahan pohon-pohon besar hutan Kuala Langat. "Buang ketulan tembakau kau! Kau tak akan apa-apa!" Kedengaran suara Jalal jauh dari hadapan.

Razak memandang ketulan tembakau di dalam tangannya. Dia berkira-kira buat sejenak sebelum melepaskan ketulan itu ke atas lantai hutan. Razak memejamkan matanya. Dia dapat merasakan otot-otot tubuhnya mengembang janggal. Rahangnya dirasakan semakin lebar dan gagah. Derianya berubah lebih peka berkali ganda. Kedua belah anak matanya kini berwarna kelabu. Bau Jalal menusuk ke dalam hidungnya. Cepat-cepat dia melangkah mengejar lelaki itu. Seperti biasa, setiap kali berubah, Razak mampu berlari dengan kelajuan luar biasa. Namun ternyata Jalal jauh lebih laju berbanding dirinya.

Selepas hampir setengah jam berlari tanpa henti, akhirnya langkah Jalal berhenti mendadak. Hampir sahaja Razak melanggar belakang tubuh sasa lelaki itu. Mereka kini berada di tengah-tengah kawasan yang kelihatan janggal kosongnya. Tiada pohon yang tumbuh di sekitar kawasan kecil itu.

"Kenapa?" Soal Razak hairan.

"Homo-Canis lain..." Kembang kempis hidung Jalal cuba mengamati bau di sekeliling mereka. "Orang Malik!" Jalal menarik kasar bahu Razak. Dia membuka langkah sepantas mungkin, membuatkan tubuh Razak berhayun bodoh di belakangnya. Namun belum sempat mereka melangkah keluar dari kawasan lapang itu, seorang lelaki tinggi lampai, bertubuh sasa, mendarat kemas di hadapan mereka. Jelas lelaki itu sudah berada di atas pokok sejak dari tadi lagi. Lelaki itu tersengih lebar ke arah mereka berdua, menampakkan gigi-gigi bertaringnya yang kelihatan putih bersinar. Anak matanya berwarna kelabu pekat. Jauh lebih pekat berbanding mata Jalal dan Razak. Rambut panjang yang sehitam jambangnya dibiarkan terurai.

"Siapa kau?" Tanya Jalal garang.

"Siapa aku?" Lelaki itu meludah ke tanah, hampir mengenai kasut but hitam Jalal. "Homo-Canis bawahan macam kau tak layak tanya siapa aku."

"Kau nak apa?"

Lelaki itu menjeling jahat ke arah Razak.

"Kawan aku ni cuma Homo-Canis biasa. Bukannya siapa-siapa. Tak layak untuk jadi orang kau! Beritahu pada Malik, dah tak ada lagi Homo-Canis di Kampung Alor. Tak payah susah-susah!"

Tanpa sebarang amaran lelaki tadi menerkam Jalal. Namun Jalal ternyata sudah bersedia menerima serangan itu. Kuku jari-jemarinya yang tajam dan tebal hanya sempat menyiat jaket kulit yang dipakai oleh lelaki separuh usia itu. Jalal menolak Razak ke tepi. Sempat Razak melihat riak wajah Jalal yang seakan menantikan kehadiran seseorang dari arah belakang.

Lelaki tinggi lampai tadi menderam garang, menayangkan baris-baris gigi bertaringnya. Jalal turut melakukan perkara yang sama. Otot rahang kedua-dua bergerak-gerak menahan tenaga. Dengan satu tujahan kaki, Jalal melonjak tinggi. Lututnya menghentam kuat dada lelaki tadi, merebahkan lelaki itu ke atas tanah. "Ashraff!" Panggil Jalal tiba-tiba.

Seorang lelaki muda berkulit cerah dengan binaan tubuh yang hampir sama dengan Jalal melangkah keluar dari belukar tidak jauh dari mereka. Seperti Jalal juga, wajah lelaki muda ini dilitupi jambang halus. Sempat lelaki muda bernama Ashraff itu tersenyum mesra menyapa Razak seakan tiada apa yang sedang berlaku. Dia menarik keluar lalu memakai sepasang sarung tangan dari dalam koceknya. Dengan berhati-hati Ashraff mengeluarkan sebentuk gelang besi berwarna kebiruan. Dengan bantuan Jalal, gelang besi tadi berjaya dipakaikan pada pergelangan tangan lelaki tinggi lampai tadi. Serta-merta lelaki itu berubah bentuk menjadi manusia biasa. Melihatkan wajah Razak yang keihatan kagum akan perkara itu, Ashraff melangkah menghampirinya.

"Itu gelang yang diperbuat daripada Vateris-Argentum. Elemen yang mampu memendamkan naluri Homo-Canis seseorang. Hai, nama aku Ashraff," lelaki muda itu menghulurkan tangannya yang tidak kurang besarnya berbanding tangan Jalal. Razak menyambut salam lelaki itu.

"Ini anak angkat aku," ujar Jalal selamba sambil memikul tubuh lelaki tadi di atas bahunya. "Dekat sinilah kami bersembunyi sejak beberapa minggu lepas. Sebab tempat ni lapang. Tapi aku tak sangka pulak akhirnya orang-orang Malik dapat jumpa tempat ni. Kita kena cari tempat persembunyian lain," kata Jalal sambil melangkah melintasi kawasan lapang tadi, ke arah sebuah pondok yang jika tidak kerana ketajaman penglihatannya, sudah tentu tidak disedari oleh Razak.

"Mari, jemput masuk," pelawa Ashraff. Razak mengangguk. Walaupun kecil, namun binaan pondok kayu itu kelihatan kukuh dan kemas. Seakan dibina oleh seorang pakar. "Ayah buat sendiri pondok ni. Saya tolong sikit-sikit aja," beritahu Ashraff tanpa perlu ditanya.

Keadaan di dalam pondok itu cukup luas untuk menempatkan lima orang lelaki dewasa dengan selesa. Hanya terdapat gumpalan tilam yang bergulung kemas di satu sudut dan longgokan beg-beg galas berwarna hitam di sudut satu lagi. Bersandar pada longgokan beg itu, Reza, kanak-kanak lelaki yang hilang sejak awal bulan lepas. Razak bergegas pergi mendapatkan Reza. Dia berasa cukup lega apabila melihat kanak-kanak itu selamat. Perasaan bersalah yang memakan semangatnya setiap hari kini lenyap serta-merta. Reza kelihatan sihat dan ceria. Kelihatan gelang kecil Vateris-Argentum pada pergelangan tangan kanak-kanak itu. Buat sejenak Razak sekadar memerhati gelagat kanak-kanak itu sementara Jalal dan Ashraff menguruskan tahanan mereka tadi. Tingkah laku kanak-kanak itu langsung tidak kelihatan seperti seorang manusia walaupun sudah dipakaikan gelang itu. Yalah, sejak dari kecil Reza dikurung oleh Samad di dalam kandang tanpa diberi perhatian dan didikan, fikir Razak sedih. Walaupun pengalaman membesar mereka tidak sama, namun Reza cukup mengingatkan Razak tentang pengalaman waktu kecilnya dahulu.

---
Cahaya dari pelita besar yang tergantung di tengah ruang pondok kecil itu menari-nari lembut ketika Ashraff dan Razak sedang berkongsi cerita tentang pengalaman mereka hidup sebagai manusia separa anjing. Jalal pula sedang memeriksa keadaan lelaki asing yang menyerang mereka awal malam tadi. Masih belum sedarkan diri. Reza pula terkebil-kebil melihat kelkatu yang terbang mengelilingi pelita kecil yang dipasakkan pada dinding pondok itu. Tanpa mereka sedari, beberapa pasang mata sedang memerhatikan mereka dari kejauhan.

Tamat.
==========================
Suntingan Karya: Ahmad Rusydi

Gambar: Wan SC

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: