APRIL FOOL
Karya: Iman Fadia
============================
Cerita ini separa benar dari pengalaman saya sendiri. Seperti biasa, ia ditambah rempah ratus lain (rekaan) seperti dialog. Sebab, kisah ni berlaku lebih 10 tahun yang lalu. Cerita ini salah satu daripada koleksi cerita-cerita mistik saya (dari pengalaman sendiri dan juga orang lain).
============================
Tak tahu kenapa, hari minggu itu aku rajin mengemas. Bilik yang aku huni bersama seorang pelajar lain hanya dipisahkan dengan almari yang diletakkan di tengah-tengah bilik. Kiranya ruang katil aku dan ruang katil rakan sebilik aku akan jadi berasingan seolah menjadi dua bilik dengan satu pintu masuk.
Jadi, memang privasi ruang kami. Kalau nak buat apa-apa yang privasi memang orang sebelah tak akan nampak kecuali kalau pasang radio.
Maka, hari itu aku mengemas dari pagi sampai ke petang. Dah berminggu tak mengemas, selambak sampah dan habuk aku buang. Ini semua dek kerana musim peperiksaan yang menuntut pelajar pulun menelaah. Termasuklah aku walaupun aku merasa cepat bosan bila kawan mengajak aku belajar di perpustakaan. Aku lebih suka belajar dalam bilik sebenarnya.
Jam 6.30 petang. Usai makan malam di dewan makan, aku berehat di ruang menonton tv di tingkat satu di atas dewan makan. Aku lihat sekilas jarum jam di tangan. Hampir jam 7 petang. Sepuluh minit lagi masuk waktu maghrib. Aku capai remote control tv dan menutup tv. Aku bangun dan beredar dari situ. Sempat aku jenguk Dewan Makan yang masih ramai pelajar sedang menikmati juadah makan malam.
Sampai sahaja di koridor tingkat tiga blok 3 itu, aku tergamam. Keadaan di sepanjang koridor gelap gelita. Apa yang lebih pelik, keadaan sunyi sepi. Selalunya riuh dengan penghuni yang keluar masuk dan ada yang borak-borak di tepi pintu dengan pintu terbuka luas. Bukan itu sahaja, penghuni yang ulang alik ke tandas dan tempat membasuh pakaian pun selalunya meriah dengan bunyi air dan melalak mendendangkan lagu yang bingit di telinga.
“Apa dah jadi?”
Aku melangkah berhati-hati dalam gelap sambil meraba dinding menuju ke bilik aku yang terletak di tengah koridor. Bilik aku adalah bilik yang ke 5 dari arah tangga di sebelah kiri koridor. Setelah aku yakin selepas mengira pintu bilik, dalam keadaan teraba-raba itu, aku sampai juga di depan pintu bilik aku. Aku pulas tombol pintu dan tak semena terasa tangan aku menyentuh sesuatu di tombol pintu. Aku bawa jemariku ke hidung. Hanyir!
“Eii! Bau apa ni?”
Aku tak jadi masuk ke dalam bilik sebaliknya aku menonong terus ke hujung koridor menuju ke tandas. Aku petik suis di tepi dinding di pintu masuk tandas. Cerah!
“Aik! Ada pulak eletrik ni?” Aku bingung.
Terus aku pandang tangan kanan aku yang masih terasa benda melekit. Warna merah cecair melekit itu membuat aku merasa cuak.
“Darah ke apa ni?” Sekali lagi aku hidu cecair melekit tadi. Memang bau hanyir darah.
Cepat-cepat aku cuci di singki sampai bersih dan aku terus saja keluar dari situ dengan muka bengang. Dalam keadaan koridor yang sudah mula agak terang dengan bantuan cahaya lampu dari tandas, aku melangkah laju menuju ke bilik aku semula. Sambil itu, aku memandang setiap bilik yang tertutup rapat pintunya.
Aku semakin geram. Aku tahu tentu penghuni lain sedang merancang sesuatu. Baru aku teringat, bulan ini dah masuk bulan April tapi selalunya kalau nak buat April Fool, pada satu haribulan. Ini tidak! April dah nak sampai ke penghujung bulan dah ni. April Fool jadah apanya lagi?
Teringat cerita dari rakan sebilik aku masa aku mula-mula menetap di bilik itu. Setiap kali tiba bulan April, akan ada ‘April Fool’. Aku merengus sendiri bila memikirkan cecair melekit di tombol pintu. Memang sahlah aku dah jadi mangsa April Fool mereka.
Sampai di muka pintu dengan cahaya yang agak samar, aku cuba perhati betul-betul cecair yang melekat di tombol pintu.
“Macam mana nak buka pintu ni? Karang kena lagi darah ni. Siapalah yang nak pedajal aku ni?” Aku merungut sambil diam berdiri di depan pintu bilik.
“Ah! Buka je la.”
Aku pulas tombol pintu tanpa hiraukan cecari melekit itu. Aku tekan suis lampu di tepi dinding sebaik sahaja aku melangkah masuk. Lega bila lampu menyala. Tanpa berlengah, aku segera capai kotak tisu di atas meja belajar dan sapu tangan aku yang terpalit cecair merah tadi. Beberapa helai tisu aku guna untuk bersihkan cecair merah di tombol pintu pula. Terus aku kunci sebelum aku duduk di birai katil. Aku jenguk katil sebelah yang hanya nampak hujung kepala katil saja dari sebalik almari pakaian yang berada di tengah-tengah.
“Mana roomate aku ni? Tak balik lagi ke?” Aku sedikit merungut.
Aku tahu, kalau rakan sebilik aku tak balik waktu macam ini, tentu tengah malam nanti baru nampak batang hidung. Kadang-kadang aku cemburu dengan rakan sebilik aku yang mengambil jurusan sastera. Boleh ke sana ke mari. Jarang aku tengok dia melekat di bilik apa lagi mengadap buku. Aku yang bergelar pelajar sains ini juga yang pulun nak mampus!
“Emm..nak buat apa ek? Exam baru je habis.”Aku bingkas bangun dan duduk pula di kerusi di depan meja belajar yang mengadap tingkap bercermin nako. Aku buka tingkap membiarkan angin sejuk di luar menerpa masuk.
Bosan tak tahu nak buat apa, aku capai novel ‘Doctors’ karya Erich Segal, pemberian teman sekuliah dulu dari atas rak kecil di tepi meja. Aku sambung baca di mukasurat bertanda. Angin sejuk masih menerpa. Terasa dingin menyentuh muka.
Slurp..slurp..slurp...
Aku berhenti membaca. Bunyi seperti sesuatu menjilat menujah telinga aku. Aku cuba amati bunyi tadi. Kali ini sudah senyap. Aku menyambung semula membaca.
Slurp..slurp..slurp...
Sekali lagi aku berhenti membaca. Hidung aku terbau sesuatu. Hanyir. Sangat hanyir! Kembang kempis hidung aku menghidu bau hanyir yang semakin kuat. Aku bingkas bangun dan mata aku mula merayap segenap ruang bilik mencari punca bau hanyir.Mungkin titisan darah. Mana tahu, cecair merah melekit di pintu yang aku sentuh tadi mungkin menitis di atas lantai tanpa aku sedari.
“Tak ada apa pun..” Aku bingung.
Slurp..slurp..slurp...
Perlahan aku jenguk ruang katil sebelah. Bagai dirantai di lantai simen, kaki aku keras, badan aku kejung. Terkunci mulut. Aku hanya mampu menelan air liur kelat berkali-kali. Terhidang di depan mata satu susuk tubuh dengan rambut panjang meleret lantai, wajah cengkung pucat dengan mata merah dan yang paling ketara, lidah panjangnya menjilat sesuatu di atas lantai. Slurp! Slurp! Slurp!
Mata terus memandang makhluk pelik itu yang sedang rakus menjilat cecair merah yang bertompok di atas lantai. Membuntang aku melihat saat makhluk itu perlahan mendongak ke arah aku. Lidahnya masih melekat di lantai simen. Menitis cecair merah dari mulutnya. Matanya bersinar memandang aku.
Entah dari mana kekuatan yang aku dapat, aku berundur dua tapak dan terus saja memulas tombol pintu.
Dum!
Pintu aku hempas dengan kuat. Aku kini berada di luar bilik. Pantas aku melihat sekitar koridor. Terang benderang! Tiada lagi keadaan gelap seperti tadi dan kali ini aku lihat penghuni lain ada yang keluar masuk bilik. Ada yang sembang di tepi pintu bilik. Bergelak ketawa seolah tiada apa yang berlaku. Aku seorang kah yang mengalami semua ni?? April Fool apakah ini?
Dengan wajah pucat lesi, aku mendekati dua pelajar yang sedang berborak di tepi pintu bilik selang dua buah bilik dari bilik aku. Tepatnya, bilik mereka adalah bilik kedua dari hujung koridor.
“Nora, tadi floor ni blackout kan? Gelap?” aku gagahkan diri bertanya dan cuba bersikap selamba, sembunyikan rasa cuak dan takut tadi.
“Blackout? Bila?” Tanya Nora semula dengan muka pelik.
Ah! Sudah! Aku cengkam rambut dan betulkan ikatan rambut yang longgar. Aku menarik nafas dalam-dalam.
“Kau kenapa ni Dhia?” soal Shima pula yang berdiri di sebelah Nora.
“Sure tadi tak blackout?” ulang aku. Memang aku tak puas hati.
“Tak ada. Kenapa?”soal Nora pula.
“Err..oh..aaa..” aku pula yang tergagap-gagap menjawab.
Kalau aku menceritakan apa yang berlaku tadi, mahukah mereka percaya? Dan darah di tombol pintu aku tu? April Fool ke apa?
“Siapa yang calit darah kat tombol pintu bilik aku?” terus saja aku bertanya. Mengharapkan jawapan untuk itu.
Keduanya ketawa berdekah-dekah.
“Woi, aku serius okey! Siapa yang nak pedajal aku?” aku mula marah. Ini bukan hal main-main bagi aku. Makhluk dengan lidah panjang itu tadi yang jadi buktinya.
“Gotcha!!” Shima membalas dengan ketawa yang masih kuat.
“Jadi, korang la yang sapu semua tu?” aku geram.
“Kau tak pernah kena kan? Penghuni floor ni semua dah kena. Tak adil kalau kau yang tak kena. Jadi, kami semua sepakat nak kenakan kau. Ala, relaks la Dhia. Bukan darah betul pun. Itu pewarna la.” Balas Nora.
“Kepala bana korang la! April Fool jadahnya! ” aku menyinga.
Aku lihat Nora dan Shima saling berpandangan dengan bibir mengekal senyum. Namun aku dapat rasa riak wajah Shima berlainan kali ini. Dia tunduk. Belum sempat aku bertanya lanjut, dia dan Nora masuk ke dalam bilik. Dengar pintu dikunci dari dalam.
Malam itu, aku tak jadi tidur di dalam bilik aku. Nak cari nahas? Dah la rakan sebilik aku tak nampak batang hidung dari siang tadi. Dengan sehelai sepinggang, aku menapak ke dalam bilik seorang rakan senior di blok 1. Esok pagi baru aku balik semula ke dalam bilik sendiri.
***
PAGI lagi aku dah bangun. Aku lihat Kak Noi sudah siap solat Subuh. Aku duduk termenung di birai katil sambil memerhati Kak Noi melipat kain telekung.
“Kau tak solat ke?” tanya Kak Noi.
Aku menggeleng dan ketika ini, aku teringat bau hanyir dalam bilik aku malam tadi. Apakah bau hanyir itu sebenarnya datangnya dari darah haid aku sendiri? Ah! Kacau!
‘Kak, temankan saya balik ke bilik. Lepas saya mandi dan tukar baju, kita breakfast sama-sama ya.” Ajak aku bersungguh.Masih ada rasa cuak.
“Kenapa sampai nak berteman ni?”
“Tak ada apa. Kan senang nanti kita sama-sama ke dewan makan.” Aku beralasan.
Usai Kak Noi mengemas biliknya, aku dan dia beredar dari situ. Sampai saja di muka pintu bilik aku, aku menarik nafas dalam-dalam. Tombol pintu bilik aku pulas perlahan. Terbuka saja pintu, aku memerhati sekitar bilik terutama ruang di tempat rakan sebilik aku. Tiada apa-apa. Tiada darah di atas lantai seperti yang aku lihat malam tadi.
Aku segera capai tuala dan berpesan kepada Kak Noi supaya menunggu sekejap sementara aku bersiap. Beriringan aku dan Kak Noi menuju ke dewan makan. Di dewan makan, aku ceritakan kejadian yang aku alami kepada Kak Noi dan sejak hari itu, aku menumpang tidur di bilik Kak Noi sehinggalah aku berpindah keluar dari asrama itu. Aku tak pernah ceritakan kejadian itu kepada rakan sebilik aku.
***
AKU meninjau meja makan yang kosong. Kafeteria penuh sesak kali ini. Kafeteria yang terletak di Fakulti Sastera itu menjadi tempat makan kegemaran aku kerana di situ dihidangkan menu ikan bakar cicah air asam. Memang terbaik bagi aku yang sanggup menapak dari Fakulti Sains semata-mata nak makan ikan bakar.
Aku mendekati satu meja. Nampaknya mereka sudah hampir habis makan. Aku berdiri di tepi meja itu menunggu untuk duduk. Tangan kanan aku pegang pinggan nasi dan tangan kiri aku pegang pinggan ikan bakar yang siap aku mandikan dengan air asam. Habis saja mereka makan, aku terus letak kedua pinggan dan terus saja melabuhkan punggung di kerusi. Belum sempat aku menjamah makanan, telinga aku menangkap perbualan dari pelajar meja sebelah. Aku memasang telinga.
“Aku dengar, student kat blok 3 kolej lapan tu kena rasuk? Betul ke?”
“Mana kau dengar? Siapa cakap?”
“Ala, dah kecoh satu kampus. Ada student sastera kena kacau. Sampai benda tu ikut dia ke kelas. Dah kecoh pasal budak tu dirasuk masa dia dalam tandas. Orang jumpa dia terjerit-jerit dalam toilet tu.”
Kolej lapan? Blok 3? Tu blok asrama aku dulu tu! Aku menelan air liur kelat. Kali ini aku memasang telinga dengan lebih berhati-hati mendengar setiap butir bicara mereka. Cerita mereka masih tidak jelas pada aku.
“Budak tu, student baru kan? Budak tahun satu?”
“Ya, dia tak tahu ke pantang larang kat situ? Dah heboh kut pasal pantang larang tu! Apasal naif sangat budak tu?”
Aku tersentak. Pantang larang? Kenapa tak ada seorang pun yang bercerita pasal benda ni kat aku dulu? Sudahlah aku pun jadi penghuni blok 3. Dah tu terkena pula April Fool bangang tu!
“Maaf, kenapa dengan asrama tu? Pantang larang apa?” aku pantas bertanya seraya menoleh pada meja sebelah.
“Err..awak budak baru jugak ke?”soal salah seorang pelajar perempuan yang nampak agak tomboi. Dari gayanya, mungkin pelajar itu aktif dalam sukan.
Aku sekadar mengangguk, mengharapkan dia menjawab pertanyaan aku sebentar tadi.
“Wei! Cepatlah makan! Kejap lagi ada futsal!”celah kawannya yang sudah siap bangun.
Dia cepat-cepat habiskan sisa nasi dalam pinggan dan mereka berdua beredar. Aku mengeluh. Nampaknya aku tak sempat mendengar penjelasan tentang hal tadi. Ternyata perbualan mereka terhenti macam itu saja. Terasa bahu aku disentuh. Aku mendongak.
“Kau?”
Rupanya rakan sebilik aku dulu. Dia membalas dengan senyuman dan duduk di sebelah aku. Aku pandang saja wajah senyum rakan sebilik aku tu. Lain macam senyumannya. Sebelum ini, dia buat hal sendiri saja dan berborak pun jarang disebabkan dia suka melepak dengan kawan-kawannya dari asrama lain.
“Kau dah bayar?”
Aku berkerut kening. “Kenapa? Kau nak belanja aku ke?”
“Ala..apa salahnya aku belanja. Kau kan bekas rakan sebilik aku. Selama kita duduk sebilik, aku jarang lepak dengan kau. Borak dengan kau. Lepas kau blah, aku rasa macam kehilangan pula. Jadi, aku rasa, aku nak duduk menyewa jugak.” Balasnya.
“Sejak bila kau pindah?” soal aku.
“Seminggu lepas kau keluar. Aku menyewa dengan member aku yang tinggal kat Hiil Park.” Jawabnya dengan senyuman manis.
Aku pelik melihat riak wajah yang manis tadi bertukar rona. Ada kegelisahan.
“Dhia, maafkan aku.”
Aku terkejut. Tiba-tiba bekas rakan sebilik aku meminta maaf. Rambut hitamnya yang terjuntai di dahi diselit ke belakang telinga kanan. Dia menarik nafas dalam-dalam. Ketika inilah segalanya terbongkar bila dia mula menceritakan apa yang dialaminya ketika tinggal berseorangan. Dia kena kacau dengan makhluk yang sama yang aku lihat pada malam itu dan apa yang membuatkan aku lagi terkejut, cecair merah yang dikatakan pewarna oleh Shima dulu ternyata satu pembohongan semata-mata.
“Jadi, tu darah betul?” aku dah luas mata saat dia mengangguk.
“Darah siapa?” soal aku lagi dengan rasa tak sabar.
“Darah haid. Aku ambik dari tong sampah di toilet. Aku ingat nak buat April Fool kat kau. Yalah, orang kata blok 3 tu berhantu. Aku tak percaya. So, aku berpakat nak kenakan kau. Sebelum aku balik kampung pagi tu, aku pesan kat Shima sapu darah haid kat tombol pintu. Tak sangka benda tu betul-betul ada.” Kali ini suara dia perlahan dengan wajah masih menunduk.
Kerja gila ke apa ni? Aku bengang. Betul-betul bengang. Jijik pun ada.
“Sekarang kau pun dah alami sendiri kan?”
Membuntang dia melihat aku kali ini. “Jadi kau pun nampak benda tu?”
“Kau rasa? Aku blah dari asrama tu sebab tulah! Lebih worst, kau yang pedajal aku dengan darah period korang!”
Dia tunduk. Nampak berpeluh dahinya.
“Kau tahu kenapa kau kena kacau malam tu?” Aku pandang dia yang sudah mula mendongak.
Dia menggeleng.
“Sebab kau biarkan pad kau tak basuh. Aku pernah tengok darah period kau tu menitik atas lantai tapi kau biar sampai kering.” Balas aku geram. Aku masih ingat pada malam itu, pad masih berdarah segar bersepah di dalam bakul kecil di tepi almari ruang sebelah rakan sebilik aku.
Kali ini aku tak lalu nak habiskan ikan bakar dan nasi dalam pinggan. Aku cuci tangan dan terus saja beredar dari situ tanpa sebarang jawapan. Sekarang baru aku tahu punca sebenar makhluk itu muncul. Mungkin itu pantang larang yang dimaksudkan oleh pelajar tadi. Pantang larang yang sudah dilanggar!
-TAMAT-
============================
Karya : Iman Fadia
Suntingan Gambar (sumber dari internet) : DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment