PENULIS YANG HILANG
Karya: Penatari Hitam
* * * * *
Bukan Hilang Untuk Di Cari...
Tapi Hilang Untuk Mencari.
BUK! GEDEBUK! GEDEBUK!
Siapa pula yang memanjat pokok kelapa di belakang rumah aku ni? Masa hendak menulis macam ini lah semua datang mengganggu. Kadang-kadang rasa macam sengaja hendak menghilangkan mood aku. GEDEGANG! GANG!
Buah kelapa jatuh atas bumbung rumah.
“WOIIII!!!...bangang ka apa ni!!??” Aku tidak boleh hendak tahan lagi.
“Apa sampai bangang-bangang tu, Mirra? Pakcik Mat bukan sengaja…” dengar suara mak di dapur.
“Tak sengaja apa sampai buah timpa bumbung!! Pokok kelapa punya la jauh...” aku sudah bengang yang tidak tertahan lagi.
“Kau jangan nak merepek Mirra... masa bila buah kelapa jatuh atas bumbung???” Soal mak aku.
Aku terdiam. Macam mana boleh mak kata buah kelapa tidak jatuh timpa bumbung. Tadi aku dengar bunyi macam hendak pecah bumbung zink di bilik aku. Aku bangun dari kerusi di meja tulis aku, aku berlari ke dapur. Mak aku tidak ada di dapur. Di belakang rumah tidak ada pun pakcik Mat memanjat pokok kelapa. Aku menggaru-garu kepala aku yang tidak gatal. Tiba-tiba, kedengaran suara mak aku memanggil Mirra. Mak aku suruh Mirra ke dapur sekejap.
“Makkkkk... mak pergi mana?” Aku memekik panggil mak aku dari dapur.
“Mak pergi kedai la... kau juga cakap nak makan ikan keli masak lemak. Dari pagi tadi mak pergi kedai. Kejutkan kamu, puas tak bangun-bangun.” Mak aku terus masuk ke dapur. Dia terus berkemas barang yang dia beli tadi.
“Sapa Mirra mak??? Tadi mak asyik panggil nama Mirra je...” aku bertanya pada mak. Mak buat tidak tahu sahaja.
Aku terus berlalu ke bilik semula. Cerita yang terhenti dari tadi perlu disambung semula. Aku duduk semula di kerusi. Mata membaca semula baris akhir yang terhenti dek kerana bunyi buah kelapa luruh di belakang rumah. Aku membaca baris terakhir itu betul-betul. Tiba-tiba, aku rasa lain...
Yang aku taip sebelum terhenti tadi macam ini...
Sebuah kereta jenis Persona warna putih berhenti betul-betul depan Suhana. Tiga orang lelaki keluar dari kereta Persona tersebut...
Tapi yang aku sedang baca di skrin notebook aku sekarang macam ni...
Sebuah kereta Wira warna hitam terus memecut laju melanggar Shamirra. Tiga orang lelaki yang berada tidak jauh dari tempat kejadian cuma melihat kejadian itu.
Watak Suhana yang aku guna sebagai watak utama, ditukar kepada watak Shamirra. Aduhhhh...pening kepala aku. Siapa yang pandai-pandai pergi tukar jalan cerita novel akuuuu? Sudah hampir sebulan aku perah ilham untuk mencari cerita, hari ini tiba-tiba ada orang tukar. Tapi, siapa hendak tukar? Dalam rumah cuma aku dengan mak sahaja. Aku bangun dari kerusi di meja tulis aku, lemah aku berjalan ke dapur. Niat hati untuk rehat dulu kepala yang tiba-tiba pening. Aku nampak mak dengan pakcik Mat tengah menghimpun buah kelapa.
“Hah, Suuu! Dah bangun pun. Puas mak naik kejut tadi, tak bangun-bangun. Pergi kedai kejap. Beli ikan keli. Kelmarin cakap nak makan masak lemak ikan keli,” mak aku bersuara sambil menghimpun buah kelapa ke dalam bakul.
“Boleh tidur kau, Su? Pakcik jatuhkan buah kelapa terkena bumbung...kau boleh tak sedar,” kata pakcik Mat.
“Dia ni Mat... huhhh!!! Kau baling bom belum tentu dia sedar,” kata mak.
Aduhhhh!!!
Aku di mana sekarang ni? Kenapa boleh jadi macam ni??? Tadi Mirra, ini Su pula. Pening kepala aku. Mak aku yang pening, atau aku yang pening? Tadi rasanya mak aku baru balik dari kedai. Sekarang suruh aku pergi kedai pula. Haus, aku teguk air di botol dari peti ais.
* * * * *
Memang kekadang kita tidak terfikir pun benda yang sama berulang-ulang jadi dalam hidup kita, ada kita sedar? Berapa kerat sangat yang sedar. Masa aku ke kedai beli ikan keli siang tadi, hendak marah pun ada. Rasa macam hidup ini untuk diperli orang. Makcik Odah, hari-hari datang ke rumah bercerita itu ini dengan mak aku. Dia pun tahu aku cuma pegang sijil SPM sahaja. Boleh pula jumpa masa hendak ke kedai siang tadi, boleh ditanya berapa hari aku cuti? Cuti apa tanya aku, sebab makin banyak yang pelik berlaku. Rupa-rupanya, makcik Odah boleh dapat ilham yang bodoh. Perli aku konon aku belajar dekat UITM Arau. Panas telinga aku.
Malam sunyi sangat, mak pun rasanya sudah lama lena. Jari jemari aku mula berdiri di atas papan kekunci notebook. Biar rasa, biar hati, biar fikiran semua seiringan dengan mata, jari, telinga. Baru jemari dapat berpencak. Dari satu huruf ke huruf yang lain ditekan penuh berhati-hati.
Kisahnya disambung dengan penuh berhati-hati...
Tiba-tiba, tingkap bilik dibaling dengan sesuatu yang keras bertubi-tubi. Shamirra ketakutan di dalam bilik. Orang-orang kampung mengamuk di halaman rumahnya. Shamirra sendiri tidak tahu kenapa. Di halaman rumahnya, orang kampung sudah tidak terkawal kemarahan. Sedikit minyak dijirus pasti terbakar semuanya. Shamirra menggigil ketakutan, badannya lencun dengan peluh.
“BALIK!!! AKU KATA SEMUA BALIK!!! BERSURAI!!” Dengar suara pak Saha.
“Pak Saha jangan masuk campur! Ni urusan kami dengan budak syaitan tu!!” Tengking Murad pada pak Saha.
“Ohooo... aku tak boleh masuk campur. Kalau aku panggil kau iblis, boleh?” Tingkah pak Saha.
“Mulut tu elok-elok, Pak Saha. Karang mendapat aku bagi!” Marah Murad pada Pak Saha.
“Tau pulak kau nak angin. Kenapa kau nak masuk campur pulak? Ni urusan aku dengan mulut aku.” kata Pak Saha sambil ketawa.
“Mendapat jugak orang tua ni dengan aku karang!” Murad bertambah berang.
“Mari sini Murad, aku tunggu. Tuuu... yang bangang-bangang kat belakang kau tu, mari sini. Aku tak takut, Murad. Guruh di langit,petir sabung menyabung, aku tak lari la Murad. Kau mari sini tengok, siapa yang mendapat? Salah langkah, celaka badan kau, Murad,” cabar Pak Saha.
“Tak pe... malam ni malam kau Pak Saha. Tunggu malam aku... siap aku kerjakan kau!!!” Murad masih tidak puas hati.
“Cakap, Murad. Bila malam kau punya. aku tunggu! WOI, korang yang di belakang Murad tu!!! Dengar sini aku nak bagitau. Jangan ikut bodoh si Murad ni!!! Dah la bodoh, suka fitnah orang itu ini pulak. Ni, di atas rumah ni. Cikgu Shamirra, mengajar anak Murad. Dia nak pikat cikgu Shamirra, tapi cikgu Shamirra dah ada tuning. Sebab tu dia sakit hati sangat dengan Cikgu Shamirra. Kebetulan petang tadi adik dia sendiri yang langgar cikgu Shamirra. Dia buat cerita dekat korang kononnya cikgu Shamirra la penyebab adiknya masuk hospital. Tolong la, jangan jadi bangang macam si Murad ni!” kata Pak Saha kuat-kuat.
“Orang tua ni dah lebih ni!!! Mulut macam longkang!!!” Murad sudah macam harimau.
“Mulut aku macam longkang, mulut kau Murad? Macam loji kalau kau nak tau. Nasib cikgu Shamirra tak buat laporan polis, kalau tak... ke dalam la adik kau Murad. Fitnah orang je kerja kau!!!” Tengking pak Saha lagi.
* * * * *
Senafas aku menaip babak rumah cikgu Shamirra diserang oleh Murad dan beberapa orang kampung. Kemudian babak Pak Saha datang menahan Murad daripada menyerang rumah Cikgu Shamirra. Ilham yang datang tiba-tiba. Aku berhenti sekejap menaip. Aku ulang baca untuk aku sendiri memahami situasi babak yang aku cipta sebentar tadi. Tiba-tiba, bunyi riuh rendah di halaman rumah aku.
Aku bangun dari kerusi, perlahan aku berjalan ke arah tingkap bilik yang ditutup rapat. Perlahan aku intai di celah-celah tingkap yang berlubang sikit, Aku renung betul-betul apa yang berlaku di halaman rumah aku masa itu. Jam dinding di dalam bilik aku sudah hampir-hampir pukul 3 pagi. Kejadian di halaman rumah aku masa itu membuat fikiran aku bercelaru tiba-tiba. Kenapa apa yang aku cipta di skrin notebook aku sebentar tadi berlaku di depan mata aku sekarang? Kacau, karut, Murad dengan beberapa orang kampung sedang dimarahi Pak Saha, sekarang ada di halaman rumah aku. Aku intai sekali lagi. Dalam masa yang sama, mereka semua di halaman rumah aku menoleh tengok ke arah aku serentak. Kecut perut aku. Perlahan-lahan aku berjalan ke meja tulis aku, aku baca semula apa yang aku taip tadi. Dada aku berdegup kencang. Masa bila pula aku taip babak ini? Di skrin notebook aku...
Tertulis macam ini...
Pak Saha mengetuk pintu bertalu-talu sambil memanggil Cikgu Shamirra.
Memang betul. Pintu rumah aku diketuk bertalu-talu. Aku tidak tahu hendak buat apa lagi. Aku tidak mahu masuk sekali dalam cerita ciptaan aku ini. Kalau aku sudah masuk dalam cerita ciptaan aku ini, bermakna aku akan hilang. Semak!
Pintu masih diketuk bertalu-talu. Aku dengar suara pak Saha. Berkali-kali dia memanggil Cikgu Shamirra. Aku bukan Cikgu Shamirra. Bukan aku. Bukan!
“Cikgu Shamirraaaa... Cikgu Shamirraaaa...” suara Pak Saha, masih memanggil Cikgu Shamirra dari luar.
Aku di dalam bilik tidak dapat berfikir apa lagi. Semua jadi dengan pantas, aku tidak sangka semua ini akan berlaku. Cerita yang tertulis di skrin notebook aku, puas aku tekan backspace berkali-kali, tapi semua tidak bergerak. Hendak exit pun tidak boleh. File jadi keras kaku. Aku terduduk lesu di kerusi. Tidak dapat berfikir apa lagi. Kepala aku masa itu jadi maha kelam kabut. Aku dapat dengar pintu rumah dibuka. Tentu mak aku yang bukakan pintu itu. Dengar pula suara mak aku memanggil dari luar bilik. Mak aku pun satu. Sebelum buka pintu tengok dulu siapa yang datang. Main buka sahaja. Datang lelaki hendak meminang aku nanti, baru gelabah beruk pula aku.
“Mirraaaaaa... dah bersiap ke belum? Bersiap la cepat, nanti keluarga Faizul nak datang merisik.”
Terlentang aku dari kerusi, terduduk di lantai. Faizul mana pulak ni? Aku kenal pun tidak. Aku bukan Cikgu Shamirra. Tidak faham aku, makin berbelit-belit keadaan sekarang. Aku tampar-tampar pipi aku sendiri. Inilah akibatnya gatal mulut, minta lelaki datang meminang. Ambil kau! Hendak menyesal apa lagi. Aku tengok di skrin notebook. Ceritanya semakin jauh membawa aku terbang, melayang sendiri… tapi aku tidak mahu hilang. Aku intai dari lubang tingkap, hari sudah siang, tapi mengapa semua seperti hilang dari pengetahuan aku.
“Cepat, Mirraaaaa. Diorang dah nak sampai tuuuu...”
“Siapa Mirrraaaaa? Saya bukan Mirraaaaaaa!!!! Tolong la mak, siapa Mirra tuuuu??”
“Kau ni kenapa Su? Melalak sampai dengar ke dapur. Nanti orang kata aku ada anak dara gila pulak. Dah lah, pergi mandi. Lepas tu pergi kedai. Kelmarin cakap nak makan ikan keli masak lemak. Cepat! Mak nak tunggu pakcik Mat datang. Ni haaaa... kelapa kita dah banyak tua.”
* * * * *
Petang yang damai. Angin lembut bertiup mencium pipi Cikgu Shamirra. Kekasih hatinya, Faizul sedang melangkah menuju ke arahnya. Tersenyum Cikgu Shamirra melihat Faizul membawa sekuntum bunga ros merah. Tiba-tiba, datang dua orang lelaki memukul kepala Faizul dengan kayu. Faizul jatuh tersungkur di tanah. Terkejut, Cikgu Shamirra lantas melarikan diri. Dia lari untuk mencari perlindungan dan pertolongan. Cikgu Shamirra lari termengah-mengah kerana ketakutan.
Terdengar lagi suara mak aku memanggil dari dapur. Cerita aku terhenti lagi. Apa lagi yang mak aku hendak, tidak tahu. Asyik panggil nama aku Mirra, berkali-kali cakap nama aku bukan Mirra. Nama aku juga bukan Su. Aku berjalan ke dapur, rasa haus sangat-sangat. Tiba-tiba, dengar suara mak aku di dalam bilik aku. Tadi dengar di dapur. Masa bila mak aku ada di dalam bilik aku pula.
“Suuuu, bangun la... maghrib-maghrib nak tidur lagi.”
“Ye lahhhh... kejap lagi Su bangun la. Mengantuk la mak.”
“Itu la, tidur tak cukup la tu. Asyik mengadap notebook tu je mak tengok. Apa cerita yang ditulis tak tahulah.”
“Mak bukan tau pasal novel-novel dan cerpen-cerpen ni, cakap pun nanti mak nganga saja.”
“Dah la tuuu... bangun pergi mandi, nanti kita ke surau. Tunggu ayah balik kejap lagi.”
“Kejap mak, kejap. Su nak tunjuk cerita yang Su tulis. Tengok ni tajuknya.”
“Penulis Yang Hilang?”
* * * * *
Setelah balik dari surau, Su terus ke meja tulisnya di dalam bilik. Macam manapun, Su perlu tamatkan cerita 'Penulis Yang Hilang' malam ini juga. Su terus mula menaip di notebooknya, telekung tidak ditanggalnya. Laju jemari halusnya menaip. Cerita bersambung semula, bermula...
= = = = =
Sofia semakin hilang kawalan, fikirannya jadi buntu. Macam-macam kejadian pelik berulang-ulang dia alami. Petang tadi masa dia di dapur, dia terdengar maknya berbual dengan seseorang yang bernama Su di dalam bilik. Dia berlari masuk ke dalam bilik. Sofia tengok tidak ada siapa-siapa di dalam biliknya. Dia mula terfikir sesuatu yang tidak kena. Siapa Su? Siapa Mirra? Dan kenapa dia rasa macam ada sesuatu yang tidak masuk akal, berulang kali dia alami.
Sofia termenung sendiri di tingkap biliknya. Dia tertanya-tanya, di mana dia sekarang. Mengapa cerita misteri yang baru sahaja dia cipta, terlalu banyak halangan. Watak Su di dalam ceritanya itu, terlalu halus sifatnya untuk dijiwai. Kadang-kadang, Sofia terasa Su selalu ada di sampingnya. Tetapi mengapa terlalu keras cerita barunya ini untuk bergerak. Ke mana hilangnya semua rasa yang selama ini selalu tersenyum padanya.
Sofia tidak sedar, air matanya mula mengalir lesu di pipinya. Adakah semua rasa ini hilang kerana keangkuhan dia dan kesombongan dia sewaktu namanya di puncak indah gemilang. Siapa tidak kenal dengan penulis hebat novel-novel jiwang, SOFIA TEJA? Tapi, makin lama makin jauh namanya dibawa pergi jauh-jauh dari dunia novel jiwang. Patutlah tiap kali ada rasa baru yang dia hendak hamparkan di dalam helaian skrinnya, fikirannya jadi berkecamuk. Semua buat serba tidak kena.
Perlahan-lahan Sofia melangkah menuju ke meja tulisnya. Di kerusi kayu lama dia labuhkan punggungnya. Kerusi yang banyak berjasa padanya, setia tidak berbelah bagi kepadanya. Lama Sofia termenung, perlahan dia mengesat air matanya. Perlahan dia menoleh ke arah almari perhiasannya, penuh dengan sijil-sijil dan anugerah kegemilangan novel-novelnya dahulu. Sofia mengambil sebatang pen Kilometrico, kemudian diambilnya sehelai kertas A4. Dengan laju jemarinya menulis sesuatu.
“Mamaaaa... ayah dah balikkkk. Ayah ajak pergi KFC”
“Ye... ye... kejap. Mama bersiap dulu.”
“Nenek pun nak ikut...”
Suara si kecil membuatkan Sofia tersenyum sikit. Itulah sahaja pengubat hatinya yang duka. Tidak siapa yang tahu apa yang di tulis oleh Sofia di atas kertas A4 itu. Sofia sudah selesai bersiap. Dia berlalu keluar dari bilik dan terus turun ke bawah. Kertas A4 di atas mejanya tadi ditiup angin. Terbang keluar tingkap. Melayang-layang tidak tahu ke mana arah dan tidak tahu apa isinya.
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment