TAJUK: HASNA
KARYA: Nil
================
Waktu itu, Hasna berumur lima tahun. Dia sedang menanam sesuatu di belakang rumah.
“Hasna, jangan main tanah! Kotor sayang!” aku melaung dari balik tingkap dapur. Hasna mendongak. Lantas, dia berdiri. Merenung aku terkejut. Tidak tahu aku memerhati dari tingkap dapur, barangkali.
Hasna tersenyum,nakal. Aku mencemik muka, berpura-pura marah. Dia berlari ke pintu belakang rumah, tertawa girang.
Aku cuma menggeleng kepala. Tersenyum melihat keletah nakal Hasna. Benar, bukan aku kandungkan Hasna. Hasna adalah anak angkat aku. Tapi dia tetap anak aku.
Aku lupa apa yang ditanam Hasna, hinggalah beberapa hari kemudian.
Waktu itu, aku sedang menjemur kain di ampaian belakang rumah. Aku ternampak bekas tanah yang ditanam Hasna. Seraya, aku tergerak hati mahu mengorek tanah tersebut. Mana tahu, dia menanam mainan miliknya.
Aku cungkil tanah dengan hujung kaki. Tanah masih peroi dek kambusan Hasna yang tidak kemas. Tiba-tiba, bau busuk menerpa hidungku.
Aku tergamam. Sesuatu terjulur dari tanah; menyerupai kaki binatang.
Bangkai anjing!
Aku korek lagi. Seekor bangkai anjing terbaring kaku - dengan perut membuncit diisi berengga.
Aku menahan mual, dan aku korek lubang itu lebih dalam. Aku tanam bangkai anjing itu kembali.
Waktu itu, Hasna di sekolah. Baliknya dia dari sekolah, dia merenung aku dalam.
“Kenapa, Hasna?” tanyaku.
Hasna menggeleng. Dia tersenyum, memandang ke arah kubur anjing yang aku korek, dan tanam kembali.
“Terima kasih, ibu.” ujarnya, dengan mata yang kelihatan berpuluh tahun tua dari usianya yang sebenar.
Waktu itu, aku tahu, Hasna bukan seperti kanak-kanak lain.
Lima tahun lepas, ada orang tinggalkan Hasna di depan rumahku. Pagi-pagi sewaktu arwah suamiku mahu keluar bekerja, dia jumpa si kecil Hasna, berbungkus kain batik di dalam kotak, sedang tidur nyenyak.
Agak aneh, bagaimana mereka jumpa rumah aku. Rumah aku jauh dari jiran-jiran lain. Dalam banyak-banyak rumah, kenapa rumah kami? Aku dan arwah suami hairan. Kami bawa si kecil Hasna ke balai polis. Sepanjang perjalanan, dia diam. Sesekali dia membuka mata, memandang aku yang merangkulnya dengan pandangan aneh; tidak seperti bayi lain.
Walaupun Hasna waktu itu masih basah tali pusatnya, dia merenung aku, dalam. Dia memandang mata, kening, hidung, dagu. Memandang keronsang di daguku penuh berminat. Ini ke perangai budak baru lahir? Aku bukanlah biasa sangat dengan bayi. Aku merasa kagum.
Aku mengagahnya.
Dia tersenyum kecil.
Waktu itu, aku merasa takjub. Lima belas tahun perkahwinan kami, kami tidak dikurniakan anak. Namun aku tahu, bayi sekecil ini tidak mampu memberi respon sebegini rupa.
“Abang, baby ni bila saya agah, dia senyum!”
Suami aku tertawa.
“Baby memang macam tu sayang.” dia berkata tidak acuh. Aku cuma diam, memandang kembali kearah Hasna. Tak, suami aku tak faham. Bayi baru lahir tak boleh memberi respon sebegini bila diagah.
Selepas itu, tanpa aku sangka, arwah suamiku jatuh sayang dengan si Hasna. Dia membuat permohonan untuk mengambil Hasna sebagai anak angkat kami. Tanpa kami sangka, dengan mudah, permohonan itu diluluskan.
Tak sampai tiga tahun Hasna menceriakan hidup arwah suamiku, dia menghembuskan nafas yang terakhir akibat kanser limfoma. Sudah aku tau itu pengakhirannya. Aku redha. Sebelum berkahwin lagi, aku sudah tau dia menghidap kanser. Adalah satu keajaiban, dia mampu hidup hingga ke usia 40 tahun sebegini.
Tinggallah aku berdua dengan Hasna. Ya, aku bersedih. Banyak malam aku menangis, tak mampu tidur. Tiap kali aku tidur, aku bermimpi buruk. Aku mimpikan arwah suami aku yang dimamah ulat, menggelumpur dalam keranda minta kuburnya digali balik. Aku hampir gila. Hampir menurut mimpi tidak siuman tersebut.
Hinggalah, Hasna yang baru petah bercakap, bertanyakan aku sesuatu.
“Ibu, kenapa ibu tak tidur malam? Ibu tak penat ke?”
Aku tersenyum. Aku elus rambut Hasna yang hitam lebat. Matanya coklat cair, berbingkai hitam gelap. Cantik matanya.
“Ibu mimpi buruk, sayang.” aku berkata dalam sebak.
“Kalau mimpi buruk tu hilang, Ibu tidur tak?”
Aku angguk. Memejam mata erat, memikirkan berapa lama aku tidak mendapat tidur lena.
“Ya sayang, ibu akan tidur.” aku merangkul Hasna. Tangan kecilnya turut merangkul tengkuk ku, erat.
“Malam ni ibu tidur ya.” Hasna berbisik di telingaku.
Aku cuma mengangguk, melayan Hasna seperti biasa.
Ya, malam itu aku tertidur. Seperti biasa, wajah arwah suamiku muncul. Dimamah ulat. Kembung mukanya dengan nanah dan berengga.
“Korek balik kubur abang sayang… Abang nak balik…” rintihnya.
Waktu itu, Hasna tiba-tiba muncul dalam mimpiku. Dia berdiri garang dengan mata merah menyala. Jari kecilnya ditunjuk penuh amarah ke arah lembaga suamiku.
“Pergi! Jangan ganggu ibu!” dia menjerit marah.
Itulah kali terakhir, aku bermimpi ngeri mengenai arwah. Aku terjaga Subuh itu dengan badan bertenaga,selepas sekian lama.
“Ibu tidur macam mana semalam? Okay tak?” pagi itu, dia bertanya.
Aku mengangguk. Bingung bagaimana Hasna muncul dalam mimpiku. Hasna cuma tersenyum, merangkul tangan ku erat.
“Hasna nak roti canai gula hari ni!”dia berkata girang. Membuatkan ku lupa akan mimpi semalam.
Aku tak tahu bagaimana bangkai anjing itu wujud. Tak tahu bagaimana Hasna boleh menanamnya.
Tak tahu bagaimana anjing itu mati.
Tak tahu bagaimana anjing itu mati.
Yang aku tahu, Hasna itu satu-satunya anak aku.
Pertama kali ke tadika, Hasna tidak bergaul dengan kanak-kanak lain. Dia banyak menghabiskan masa dengan buku. Dengan alam sekitar. Dia tidak menyertai hiruk-pikuk kanak-kanak lain yang bermain girang, dia cuma duduk diam. Memerhati.
“Saya bimbang dengan Hasna, Puan Hanis. Dia tak banyak bergaul dengan budak-budak lain. Dari segi pelajaran dia sangat bagus. Dengan kami cikgu-cikgu pun dia sangat sopan, sangat mendengar kata. Cuma… Itulah. Dia suka menyendiri.” luah cikgu tadika Hasna suatu hari. Aku mengangguk, memahami kebimbangan beliau. Kami sama-sama memerhati Hasna, yang selesa duduk di tangga tadika, memerhati rakan-rakannya yang lain berlari, kejar mengejar, bermain bola, papan gelongsor.
Hasna berpaling ke arah kami. Dia tersenyum, melambai ke arah kami berdua, girang.
Aku dan cikgu tadika Hasna membalas lambaian itu. Ya, aku perasan. Perangai Hasna tidak seperti kanak-kanak lain. Cara dia memandang aku, cara dia menegakkan belakangnya sewaktu berjalan ke arah aku waktu aku ambil dia dari tadika, bukan gaya kanak-kanak lima tahun.
Gaya Hasna, adalah seperti seorang wanita. Bukan, bukan dengan cara menggiurkan atau sensual. Tapi dia kelihatan sangat matang. Tidak kekok.
Sejak dari hari itu, banyak kali aku terjumpa bangkai haiwan-haiwan ditanam di sekeliling rumah. Anjing, kebanyakannya.
Hasna adalah anakku. Anak kesayangan aku. Jadi aku buat, apa yang seorang ibu harus buat.
“Hasna suka makan daging?” aku bertanyakan dia suatu hari. Waktu itu, dia menginjak darjah satu.
“Suka.” Hasna mengangguk.
“Kalau ibu masakkan daging itu sedikit mentah, Hasna suka?” aku menebak.
Hasna merenung aku terkejut, sebelum tersenyum lebar.
“Suka, ibu.” dia mengangguk laju.
Jadi aku bakar daging untuk Hasna. Ah, bakar bukan perkataan yang tepat. Aku cuma lalukan daging itu sementara di api. Aku hidangkan daging yang masih berdarah itu pada Hasna.
Dia makan dengan lahap.
“Terima kasih, ibu.” ucapnya, tersenyum. Darah merah menitis dari balik bibirnya, yang dia lap lembut dengan tisu.
Aku elus rambutnya lembut. Ya, sejak hari itu, tiada lagi bangkai anjing di sekeliling rumah kami.
Hasna membesar menjadi seorang gadis yang sangat cantik. Anak matanya masih coklat cair, dengan bingkai hitam di sekelilingnya. Dia masih pendiam, tidak bergaul dengan ramai kawan-kawan seusianya.
Di umur 16 tahun, Hasna sudah memiliki ramai peminat. Tapi semua ditolak Hasna, katanya dia tiada minat mahu bercinta buat masa sekarang. Aku bimbang akan anak gadis suntiku ini, manalah tahu dalam ramai-ramai yang ditolak cinta oleh Hasna - ada yang menyimpan dendam.
“Insya Allah tiada ibu. Hasna tahu jaga diri.” dia mengenggam tanganku erat sewaktu aku suarakan kebimbanganku padanya. Waktu ini, aku sudah berumur 58 tahun.
“Hasna cakap elok-elok dengan mereka ya sayang. Jangan tolak kasar-kasar.” aku berkata lagi. Hasna merebahkan kepalanya diribaku, manja.
“Hasna tahu. Hasna tak mahu bercinta lagi. Hasna tak puas lagi bermanja dengan ibu.” dia berkata lembut, “Ibu adalah mak terbaik Hasna ada.” sambungnya lagi. Aku tergelak.
“Hasna ada mak lain ke? Ibu seorang je kan.” aku berkata lucu dengan ayat Hasna.
Aku mengusap rambutnya yang ikal mayang. Sungguh, aku bimbang. Ada sesuatu yang menggigit hatiku.
Kebimbanganku terjawab, apabila Hasna pulang suatu hari dengan tudung sekolah yang basah dengan darah. Aku meluru ke arahnya.
“Allah, kenapa ni Hasna?” ujarku separuh menjerit. “Hasna cedera ke? Hasna jatuh ke?” aku berkata lagi, umpama sasau. Hasna cuma berdiri tenang.
“Hasna tak apa-apa. Ini bukan darah Hasna.” ujarnya, perlahan.
Aku tergamam.
“Habis tu… Ni… Darah siapa, nak?” aku bertanya terkejut.
Perlahan, kedua tangannya merangkul pipiku.
“Ibu tahu kan, Hasna ini lain? Tapi ibu tetap sayangkan Hasna.” Hasna tersenyum sedih. “Hasna janji tak akan susahkan ibu. Hasna minta maaf. Lepas ini, Hasna tak buat lagi.” ujarnya dengan mata berkaca.
Pantas, aku merangkul Hasna. Erat. Hasna menangis di bahuku, tersedu-sedu.
Malam itu, kecoh di kawasan itu - mayat tiga orang lelaki dijumpai. Ketiga-tiga mayat tersebut seperti dibaham binatang buas.
Hasna memeluk lutut dalam diam waktu pembaca berita menyebut nama ketiga-tiga mayat tersebut. Aku tergamam. Tiga orang ini - adalah yang selalu mengacau Hasna! Kutu rayau, keluar masuk lokap akibat mencuri itu biasa! Tidak sedap hati, aku meluru ke bakul baju kotor. Baju sekolah Hasna aku keluarkan.
Ada kesan koyakan di baju sekolah Hasna.
Seluar dalam Hasna, ada kesan darah. Ini bukan darah haid.
Coli Hasna putus.
Aku menggeletar. Marah.
Baju sekolah, tudung sekolah dan pakaian dalam Hasna aku kutip semua yang ada kesan darah, dan aku berlari ke luar. Aku curah minyak tanah, dan aku bakar.
Waktu aku berpaling ke belakang, Hasna sedang merenungku, menangis.
Aku tidak buang masa lagi; aku terus memeluknya. Hasna mengongoi dalam pelukan ku, dan aku juga menangis. Allah, anakku. Anakku Hasna.
Esoknya, aku nekad, aku akan hantar dan ambil Hasna sendiri. Basikal Hasna aku simpan di dalam stor.
“Ibu, anjing tu!” jerit Hasna. Aku mengelak, dan aku terlanggar pokok di tepi jalan. Pokok itu tumbang, separuh darinya tembus ke cermin kereta - menusuk badanku dahsyat. Aku tercungap-cungap dalam sakaratulmaut. Sempat aku berpaling ke arah Hasna yang langsung tidak cedera.
Mata coklatnya memerah. Lantas, dia keluar dari kereta, pokok itu ditariknya dari badan tuaku. Wajah Hasna berubah, dengan anak mata merah menyala, dan gigi taring yang memanjang runcing.
“Hasna tak akan biarkan ibu mati,” ujarnya sebak. “Hasna tak puas bermanja dengan ibu lagi.” dia berkata dalam tangisan.
=================
“Eh, Hanis. Hasna tak naik basikal hari ini?” tegur jiranku. Aku menggeleng. Dia baru sahaja menghantar anaknya ke sekolah. Budak lelaki itu baru melangkah masuk ke pagar sekolah.
“Lepas kes budak bertiga mati tu, bimbang pulak nak bagi anak dara naik basikal pagi-pagi buta.” aku berkata dengan muka berkerut. Jiran aku, Kak Leha mengangguk, mengiyakan.
“Betul la tu Hanis. Bahaya. Eh, tapi mana kereta kau? Apasal naik teksi?”
“Eksiden tadi. Mengelak anjing!” aku tersengih. Si Leha menggeleng kepala terkejut.
“Mujur tak ada apa-apa! Kau ni Hanis, aku dah pesan, pakai spek, kau tu dah tua. Eh, kau pakai apa? Nampak makin muda.”Leha menilik wajahku hairan. Aku menggeleng, tersenyum.
Hasna menghampiri kami. “Makcik Leha.” ujarnya sopan. Leha tersenyum, menyambut tangan Hasna yang dihulurkan kepadanya. Hasna mengucup tangannya hormat. Dia melakukan hal yang sama denganku.
“Hasna pergi sekolah dulu.” ujarnya.
Aku mengangguk.
“Makin besar makin lawa si Hasna tu ya. Macam kau juga, Hanis.” ujar Leha kagum. Ya, Hasna memang cantik.
Hasna, anak kesayangan ibu.
Aku tersenyum.
TAMAT
================
Gambar: Nil
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment