PATUNG
============================
Salam semua, nama aku Dania. Aku adalah seorang mahasiswi yang sedang cuti semester dan bekerja sebagai pengasuh kepada dua orang kanak-kanak. Ini adalah kisah Aiman dan Rafael, dua orang adik-beradik yang lahir dalam keluarga kaya-raya namun kekurangan kasih sayang ibu bapa. Kisah yang aku ingin ketengahkan ini adalah peristiwa yang mengubah kehidupan mereka buat selama-lamanya.
Pada awal kedatangan aku ke rumah mereka, dua anak ini sangat mesra dengan aku. Bayangkanlah, dua beradik ini siap menunggu kehadiran aku sebagai pengasuh mereka. Aiman, si abang yang berusia 10 tahun sangat matang pemikirannya, manakala Rafael, si adik yang berumur 9 tahun pula sangat manja.
Tugas aku hanya mengurus mereka sahaja. Segala makanan akan disediakan oleh ibu mereka pada malam hari. Ibu dan bapa anak-anak ini sangat sibuk sehinggakan kadang-kadang mereka tidak sempat untuk menjenguk Aiman dan Rafael yang sedang tidur.
Rutin harian Aiman dan Rafael adalah ke taman pada pukul 5 petang pada setiap hari. Ini adalah perkara yang telah ditetapkan oleh ibu bapa mereka. Mungkin mereka tak nak anak-anak mereka ini hanya menatap gajet-gajet setiap masa. Aiman dan Rafael akan kelihatan sangat gembira apabila bermain dengan orang lain. Kekosongan mereka sedikit terisi dengan kasih sayang rakan-rakan.
Jadi pada satu hari, aku menemani mereka ke taman yang terletak di dalam kawasan kejiranan. Tak jauh pun, belok dua tiga kali dah sampai. Mereka sedang bermain dengan riangnya. Kebetulan tiada orang di situ, jadi merekalah raja. Aku mencuri-curi berbalas mesej menggunakan telefon pintar. Sedang asyik bermain telefon, kelihatan Aiman berlari mendapatkan aku.
“Kak ! Kak ! Rafa hilang. Aiman dah cari tapi tak jumpa,” aku pun apa lagi menggelabah satu badan. Mampus hilang anak orang.
“Ha! Kenapa tak bagitahu akak awal-awal? Jom kita cari lagi,” aku menarik tangan Aiman.
Kami mengelilingi kawasan taman beberapa kali. Di dalam gelongsor, di pondok kecil bahagian atas taman yang agak tertutup pun kami cari. Tangan Aiman sentiasa berada dalam gengaman aku.Jujur, aku tak nak Aiman pun hilang masa kami sedang mencari Rafael. Tiba-tiba aku ternampak pokok pepagar renek yang mengelilingi taman itu seakan-akan bergerak. Aku pun berlari dan Aiman turut terheret sama.
Sesampainya kami di celah pokok itu, aku dapat menarik nafas lega.Memang benar Rafael berada di situ. Aku macam nak menangis pada ketika itu juga. Kami bertiga berpelukan. Aiman turut mengalirkan air mata. Walaupun baru sebulan aku menjaga mereka, namun hubungan kami sangat rapat seperti adik-beradik. Rafael masih menunjukkan muka ‘blur’.
“Rafa pergi mana? Takut tau akak. Jangan buat lagi okey? Kalau nak pergi mana-mana cakap dengan akak atau abang Aiman dulu, faham?” Aku menyerang Rafael dengan soalan bertubi-tubi.
“Akak, boleh tak Rafael nak simpan patung ni?” Soalan aku dijawab dengan soalan oleh kanak-kanak berumur 9 tahun itu.
Aku melihat Rafael memeluk anak patung. Yang… hodoh… Anak patung itu berbentuk seperti kanak-kanak perempuan yang sedang tersenyum. Rambutnya kusut-masai. Baju anak patung itu pula dipenuhi dengan tanah. Mukanya sangat comot. Nak aku suruh buang, takut Rafael menangis nanti. Akhirnya, aku membenarkan Rafael membawa anak patung itu pulang dan kami bersetuju untuk membersihkannya terlebih apabila sampai ke rumah nanti.
Setelah pulang, dua orang kanak-kanak terbabit terlebih teruja untuk membersihkan anak patung itu.Jadi, petang itu juga kami membersihkannya. Jam menunjukkan pukul 6.30 petang dan kami masih di luar. Aku tidak mahu membasuh anak patung yang bertanah itu di dalam bilik mandi nanti habis kotor dan aku jugalah yang akan dimarahi.
Aiman dan Rafael sangat gembira ketika membasuh anak patung itu tapi tidak bagi aku.Aku merasakan ada benda yang tak kena dengan anak patung itu. Ketika kami sedang membasuhnya, aku tertekan butang di belakang anak patung itu dan ia berbunyi…
“Come play with me. I’m watching you”
Serentak itu bulu romaku meremang sedangkan Aiman dan Rafael hanya tergelak-gelak.Aku terus sahaja mematikan perasaan yang aneh-aneh itu. Aku cuba bersangka baik. Buang segala prasangka yang buruk-buruk walaupun hati seakan-akan tidak sedap dan meminta aku untuk menjauhkan diri daripada anak patung itu.
Semenjak adanya anak patung yang diberi nama Sally itu, Aiman dan Rafael semakin ‘jauh’ daripada aku. Kadang-kala aku terdengar suara mereka berbual-bual dan semakin lama, aku seakan-akan mendengar suara kanak-kanak lain turut berbual dengan Aiman dan Rafael! Mereka sudah tidak mahu ke taman walau sekeras manapun aku mengajak mereka.
Keadaan Aiman dan Rafael semakin teruk.Tidak mahu makan, tidak mahu mandi dan sebagainya. Aku pernah mengadukan hal ini pada tuan dan puan namun mereka tidak mengambil endah. Aku hairan, ada juga ibu bapa begini…
Kemuncak segalanya adalah pada hari itu. Hari di mana aku sepatutnya bercuti kerana ibu bapa anak-anak ini telah berjanji kepada mereka untuk pergi ke taman tema pada hari tersebut. Namun disebabkan rasa tidak sedap hati, aku pergi ke rumah keluarga itu.
Kelihatan pintu pagar rumah banglo tiga tingkat itu tidak berkunci. Hairan… Biasanya pintu pagar sentiasa tertutup walaupun ketika aku berada di dalam rumah. Aku masuk dan menghampiri pintu utama.
Ketika kakiku melangkah masuk ke dalam rumah, jantung terasa laju seakan-akan mahu terkeluar daripada badan. Aku berdiri tegak setelah menutup pintu. Aku memandang sekeliling. Suasana di dalam banglo itu sangat berlainan daripada sebelum ini. Kelam dan terasa bahang hangat. Tiba-tiba, aku terlihat susuk tubuh kanak-kanak perempuan dengan rambut bertocang dua berlari melintas di hadapan aku sambil ketawa kecil.
Tanpa berlengah, aku mengikutinya. Sampai di bahagian dapur, budak itu menghilangkan dirinya. Aku tercari-cari di setiap sudut dapur itu. Semua celah aku periksa. Takkan aku salah? Aku memerhati sekeliling.
“Hello, ada sesiapa ke dalam rumah ni?” Aku meninggikan suara supaya di sudut manapun budak itu, dia akan mendengarnya.
“Carilah,” aku terlompat ke depan. Ada seseorang berbisik di telinga kanan aku. Siapa yang bercakap?
Aku menoleh kebelakang. Tiada… Sekali lagi aku terlihat kanak-kanak berlari menuju ke arah tangga sambil ketawa riang. Tapi kali ini bukan budak perempuan yang aku nampak tadi. Dari segi ketinggiannya pula, ia bukan Aiman atau Rafael.
Apa yang telah terjadi? Rasa ingin tahu semakin membuak-buak. Aku turutkan langkah kanak-kanak tadi. Kelihatan seorang lagi budak lelaki berkepala botak berlari mendaki tangga menuju ke tingkat tiga.
“Hei tunggu!” Aku menjerit.
Sesampainya di tingkat tiga, budak botak itu menghilangkan dirinya. Terpusing-pusing aku dibuatnya.
Tum!
Pintu bilik permainan Aiman dan Rafael terhempas keras. Perlahan-lahan aku mendekatinya. Mungkin ada penceroboh di dalam rumah ini… Tapi… Takkan budak kecil yang menceroboh? Telinga aku lekatkan di pintu. Ada suara orang bercakap. Aku mengeluarkan telefon pintar untuk merakamkan percakapan itu.
“Mak dengan bapak kau tak sayang kau,” suara pertama itu kedengaran seperti suara kanak-kanak perempuan.
“Ha’ah, sebab tu diorang tak pernah tepati janji. Tengok kau sakit pun diorang tak datang,” kanak-kanak lain pula bersuara.
“Kau akan mati macam kitaorang dan akan ikut masuk dalam patung tu,” suara kanak-kanak lain pula menyokong.
Aku tersentak. Serentak dengan itu kedengaran suara Aiman dan Rafael menangis teresak-esak. Telinga aku masih melekat di daun pintu. Kenapa dua beradik itu sendirian? Siapa mereka bertiga?
“Mati! Mati! Mati!” Ketiga-tiga suara kanak-kanak lain itu menjerit beriringan.
Tanpa berlengah, aku terus membuka pintu bilik terbabit. Terlihat tiga orang kanak-kanak terkejut dan berlari ke arah patung Sally lalu…
Hilang!
Aiman dan Rafael berpelukan di sudut dinding. Aku berlari perlahan mendapatkan mereka yang sedang menangis teresak-esak. Tapi Rafael kelihatan sangat lemah. Dia tidak menangis sekuat Aiman tapi kelihatan air mata ditubir matanya.
“Akak, mama dengan papa tak sayang kami ke?” Aiman yang sedang memelukku mengeluarkan pertanyaan yang tidak mungkin aku dapat jawab.
“Kenapa diorang pergi kerja jugak? Diorang kan dah janji dengan kita nak bawa pergi ‘theme park’,” dia bertanya lagi.
Jujur tiada perkataan yang mampu aku luahkan. Selain terkejut dengan kelibat tiga kanak-kanak itu, pertanyaan mereka berdua ini juga amat menyentap kalbu. Badan Aiman dan Rafael sangat panas dan dibasahi peluh.Aku mendekati Rafael. Dia tidak bergerak! Malah tidak bersuara!
“Rafa! Rafa! Bangun! Rafa! Rafa bangun!” Aku panik.
“Aiman, Aiman pergi telefon Doktor Wong! Sekarang Aiman!” Segera Aiman berlari mendapatkan telefon pintarnya. Doktor Wong adalah pakar perubatan yang digaji oleh keluarga ini.
Setengah jam kemudian, Doktor Wong tiba. Aku masih menggigil ketakutan dengan apa yang berlaku. Aiman sentiasa berada di dalam pelukkan. Ibu bapa mereka pula masih tidak menjawab panggilan walaupun sudah berpuluh kali aku telefon. Doktor Wong keluar daripada bilik Rafael dan mengkhabarkan berita yang paling sedih.
“Maafkan saya.Saya harap cik boleh bertenang. Aiman pun kena bertenang. Rafael sudah meninggal dunia. Saya pun tak tahu macam mana benda ni boleh berlaku. Saya klasifikasikan pemergian Rafael sebagai mati mengejut. Saya akan telefon ibu bapa mereka secepat mungkin,” aku terduduk. Semua ini terlalu cepat. Rafael pergi meninggalkan kami. Aiman sudah menangis teresak-esak. Dia cuba ditenangkan oleh jururawat yang dibawa sekali bersama Doktor Wong. Doktor Wong pula pergi menelefon ibu bapa Aiman dan arwah Rafael.
Malam itu menjadi malam yang paling berpengajaran buat ibu bapa Aiman dan Rafael. Mereka culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Dalam mereka sibuk mengejar harta dunia yang tidak seberapa, mereka kehilangan harta yang paling berharga.
Ibu mereka tidak henti-henti menangis sehinggalah ke pagi hari pengebumian Rafael. Si bapa pula tidak henti-henti menidakkan perkara ini. Dia masih tidak percaya Rafael sudah pergi meninggalkan mereka.
Selepas upacara pengebumian, aku duduk bersama ibu bapa yang tidak bertanggungjawab itu. Jujur, aku sangat geram dengan sikap mereka sebelum ini. Mereka meminta aku menceritakan segala yang berlaku pada hari kejadian. Pada mulanya mereka tidak percaya.
Namun setelah aku tunjukkan rakaman yang aku buat, mereka mula mendengar dengan teliti. Kata-kata Aiman juga menguatkan lagi fakta yang aku ceritakan. Aiman memberitahu ibu bapanya bahawa dia dan Rafael selalu bermain dengan kanak-kanak yang keluar daripada patung Sally itu. Mereka tidak boleh menafikan lagi kerana Aiman tidak mungkin menipu.
Mereka mengambil keputusan untuk membuang anak patung itu ke dalam sungai. Setelah itu tiada perkara aneh lagi yang berlaku di dalam kehidupan mereka. Apa yang berubah dalam hidup mereka?
Ibu bapa Aiman menjadi lebih berhati-hati. Cukup satu pengajaran yang menyentap jiwa untuk membuat mereka berubah. Ibu mereka memilih untuk bekerja dari rumah demi memastikan keselamatan Aiman. Dia tidak mahu kehilangan Aiman seperti dia kehilangan Rafael.
Si bapa pula kini lebih bijak mengurus waktu. Dia akan pulang ke rumah sebaik sahaja tugasan pejabatnya selesai. Rafael… pasti dia tidak apa-apa sekarang. Dia akan tenang di sana. Pendek kata, mereka bahagia sekarang.
Tapi… Tidak aku. Sally muncul di depan pintu bilikku dan…
“Come play with me. I’m watching you”
P/S : Anak adalah anugerah Allah yang amat berharga. Percaya atau tidak, Allah bagi kita anak sebab kita memang dah sedia untuk memikul tanggungjawab itu. Jangan khianati kepercayaaan yang Dia beri pada kita. Coraklah anak-anak supaya menjadi insan yang berjasa buat negara, agama dan bangsa. Sekian… -XX
==============================
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment