HABISKAN IA
==============================
Sudah seminggu Shidah asyik berdiam diri dan berkurung di dalam bilik. Kadang-kadang ibunya terdengar dia ketawa sendirian. Kadang-kadang Shidah seperti bergaduh dengan seseorang. Kadang-kadang dia menjerit kesakitan. Bila di tanya kenapa, Shidah akan menjeling tajam ibunya dan menengking.
"Berambuslah! Sibuk saja orang tua ni."
Pilu hati seorang ibu tapi dia sudah mengesyaki, itu bukan Shidah yang sebenarnya. Dalam solat, ibunya tidak pernah lupa mendoakan agar Allah memelihara anaknya. Itulah saja anak gadis yang dia ada.
"Abang. Buat lah sesuatu untuk anak kita. Takkan kita nak biarkan dia begitu saja tanpa berusaha." Si suami hanya mendiamkan diri. Mungkin tengah berfikir atau dia pun turut tenggelam punca mencari penyelesaian.
Seperti biasa, aku keluar ke pasar mencari bahan dapur. Tiba-tiba aku disapa seorang teman.
"Budiman, aku nak sembang dengan hang boleh dak?" Wajahnya kelihatan seperti mempunyai masalah. Terus aku mengajaknya keluar dari pasar. Bab bahan dapurku, aku tangguhkan dulu. Melihat kepada riak muka, ini lebih penting lagi.
"Ada apa Taib? Aku tengok hang macam ada masalah?" Airmatanya mula bergenang di kelopak.
"Hang boleh nampak benda halus kan?" Tanyanya. Aku mengiakan.
"Boleh tak hang tolong tengok anak aku? Dah seminggu dia murung. Asyik marah dan tengking. Dia juga menjerit sakit di perut. Mak dia dok risau." Cerita Taib dan aku mendengar dengan teliti. Aku telah berjanji selepas solat Asar aku akan ke rumahnya.
Seperti yang telah aku janjikan, selepas solat Asar aku ke rumah temanku. Aku dibawa masuk ke bilik anaknya. Anaknya sedang menjerit kesakitan sambil menekan perutnya.
"Hoiii! Keluar la!" Terus dibalingnya kami dengan buku yang berada di atas meja.
"Taib. Anak hang ni sebenaqnya dah kena sihir. Aku tengok ada makhluk hodoh sebelah dia." Beritahu aku cuma aku tidak perincikan wajahnya yang terlalu hodoh. Mukanya seperti ditoreh-toreh dengan benda tajam. Darah memenuhi pipinya. Matanya yang merah seperti marah dan menjeling tajam ke arah kami.
"Apa kita nak buat Budiman? Aku dah buntu ni." Tanya Taib.
"Takpa Taib. Aku cuba menghubungi sorang ustaz. Kalau ada rezeki dia datang." Aku terus menghubungi ustaz tapi agak malang sebab dia tidak dapat datang pada hari tersebut sebab sedang merawat satu kes. Katanya esok pagi dia boleh. Akhirnya Taib terpaksa akur ustaz akan datang merawat pada esok pagi.
"Pakjang. Sebelum pulang, pakjang buatlah dulu apa yang perlu." Kata ustaz kepadaku di hujung talian. Aku meminta sebotol air mineral lalu aku bacakan ayat suci Al Quran iaitu dari Al Mathurat. Aku meminta Taib menyembur di segenap rumahnya. Ia sebagai langkah untuk mendinding rumah dari terus di ceroboh makhluk lain.
Selepas Subuh, aku menelefon Taib bertanyakan anaknya. Kata Taib anaknya semalaman tidak tidur. Asyik bercakap seorang diri dan menangis sakit perut. Pukul 11 pagi, aku dan ustaz sudah berada di rumah Taib. Anak gadis Taib sudah mula gelisah dengan kedatangan ustaz. Dia mula memaki hamun ustaz.
"Ohh. Ni la binatang tu. Hang sial. Perosak rumahtangga aku." Kata Shidah lalu menyerang ustaz. Ustaz mengeluarkan kayu lalu memukul lantai. Shida terkulai layu jatuh.
"Biarkan dia tidur." Kata ustaz lalu membaca beberapa potong ayat-ayat suci Al Quran. Aku dapat menangkap. Ianya dari surah Al Baqarah dan surah Al Jinn. Ustaz menggelengkan kepalanya.
"Ni kes kena main dengan kawan." Kata ustaz dan Taib agak terkejut.
"Ada kawan memasukan sesuatu dalam minuman anak ni tanpa anak sedaq." Sambung ustaz lagi.
"Mesti dia tinggai ayaq tu dan pi mana-mana dulu." Kataku.
"Betoi Pakjang. Ni yang bahaya kita tak habiskan minuman kita sebelum ke tandas atau mana-mana saja. Zaman sekarang ni walaupun kawan baik, kita perlu ambik langkah berjaga-jaga. Kita habiskan air atau jangan sentuh air tu bila kita terlupa dan pergi ke mana-mana." Tambah ustaz
"Siapa kawan yang sihir anak saya tu?" Tanya Taib. Tersenyum ustaz memandang aku.
"Bab tu biaq pi lah. Takut fitnah pulak kalau kita bagitau nama dia. Yang penting kita pulihkan anak. Tu mustahak." Taib diam mendengar penjelasan dari ustaz.
"Ni kes dengki dekat kawan. Nak lawan secara baik tak boleh lalu buat secara jahat untuk menjatuhkan kawan. Inilah sifat orang kita. Secara depan anak abang ni adalah sahabat baik dia tapi belakang dia, anak abang merupakan musuh yang perlu dia jatuhkan. Kita terleka sikit, inilah padahnya." Kata ustaz.
"Sekarang ni saya nak keluarkan barang dari badan anak abang." Kata ustaz lalu ustaz membaca ayat suci al quran dan menarik keluar sesuatu.
"Pakjang, ni apa?" Tanya ustaz sambil menunjukan sesuatu di atas tapak tangannya.
"Buluh runcing ustaz." Balasku kepada ustaz. Kecil saja buluh tu. Ia dimasukan secara ghaib.
"Ni lah punca anak abang sakit perut. Ada lagi ni." Kata ustaz. Lalu ustaz menarik lagi. Sekali lagi ditunjuknya kepadaku apa yang di atas tapak tangan. Jin adalah entiti halus yang tak berjisim jadi dia boleh berubah bentuk dan saiz.
"Makhluk ni la yang saya nampak sebelah dia ustaz." Kataku kepada ustaz lalu ustaz memasukan jin itu di dalam botol. Ustaz terus scan badan anak Taib.
"Ada lagi ni. Tempat tersorok." Kata ustaz dan terus ustaz menggeletar tangan sambil menarik keluar. Sekali lagi ditunjuknya kepadaku.
"Pakjang, apa dia ni?" Risau juga aku bila ustaz asyik tanya apa yang aku nampak.
"Kaca dan gumpalan rambut." Jawabku.
"Depa letak dekat kemaluan dia." Kata ustaz sambil menggelengkan kepalanya. Sekali lagi tubuh Shidah di scan.
"Alhamdulillah. Dah clear semua." Kata ustaz dan anak Taib tersedar dari pengsan. Hairan dia.
"Pasai apa ni ayah? Apa yang tak kena ni?" Tanya Shidah.
"Tadi kamu pengsan. Ayah kamu panggil panggil saya." Jelas ustaz tanpa memberitahunya yang dia telah disihir.
"Kamu ingat tak apa yang terjadi sebelum kamu balik rumah sehari yang lepas?" Tanya ustaz kepada Shidah. Diam Shidah sambil memikirkan sesuatu.
"Yang saya ingat, saya dan rakan-rakan keluar makan. Sambil menanti minuman sampai, saya ke tandas dulu." Cerita Shidah.
"Hahhh. Di situlah bermulanya sihir tu. Time dia tak ada, sihir di lepaskan." Kata ustaz.
"Sapa yang buat benda tu ustaz?" Tanya Shidah.
"Tak payah la kita tahu sapa dia. Lain kali berhati-hatilah ketika keluar makan dengan kawan-kawan. Pastikan makanan atau minuman di habiskan dulu sebelum ke mana-mana. Baca doa. Baik macam mana sekalipun kawan kita, kita kena berjaga-jaga. Itu untuk diri kita." Ustaz menasihati. Shidah hanya mengangguk.
Sebelum pulang ustaz membuat air penawar kepada Shidah untuk memulihkan kembali tenaganya. Kepada pembaca semua. Tolong kongsikan kisah ini kepada anak-anak dan keluarga. Dunia sekarang susah untuk kita mempercayai satu sama lain.
Sebelum jamah apa makanan dan minuman jangan di lupa kalimah agung Bismillah sebab tanpa kalimah ini pasti ada yang mendahului makanan kita. Habiskan makanan dan minuman sebelum ke mana-mana. Andai terlupa jangan disentuh lagi. Lebih baik kita berwaspada. Bak kata pepatah rambut sama hitam tapi hati lain-lain.
===============================
Suntingan & Gambar: Dikmang
Karya ini adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment