.
ARIANA
Dia bangun mendadak, mencungap mencari nafas. Matanya terbeliak memandang ke depan dengan tangan kanannya mendepang bagai menghalang sesuatu..tangan kirinya pula disimpang ke dada, tepat ke bahagian bilah mata pedang berkemilau perak itu menusuk jantungnya. Kering. Tiada ruakan darah mencemari baju tidurnya. Baju tidur? Dia merenung pakaian itu, lama. Desahan yang tadinya menderu kencang perlahan-lahan mengendur. Biasan lembut langsir putih yang ditiup angin malam itu direnungnya lega. Dia bermimpi. Selajur, tangan kirinya mengusap dadanya. Dia mengeluh perlahan. Matanya dipejamkan seketika sebelum imbasan anak mata coklat cair itu menerkam pandangan matanya semula!
*********
Sekolah Tinggi Middlesbrough-England.
Isaac merenung dedaun Maple yang melintuk lembut ditiup bayu pagi. Telinganya sayup-sayup menangkap patah perkataan yang dituturkan Sir Nicholas, guru sejarahnya yang sudah lebih separuh abad itu...
"....dipadam dari sejarah.."
" tidak disebut dalam buku teks sejarah..."
"...anak bongsu Raja Gregory IV.."
Isaac menguap malas sebelum secara tiba-tiba namanya diseru kuat oleh gurunya itu. Dia menoleh ke depan, cuba untuk tidak menghiraukan muka rakan sekelasnya yang tersenyum mengejek ke arahnya kerana dipanggil.
"Kenapa agaknya Kerajaan Heathcliff memadam terus nama anak bongsu Raja Gregory IV dari catatan sejarah?"
Sir Nicholas merenungnya tajam di balik kaca mata bulatnya. Isaac menelan liur.
"Errr.....dia.."
Kringggggggggg!!!!!
Loceng masa pertama berbunyi menandakan pertukaran guru untuk kelas berikutnya. Dan buat pertama kali dalam hidupnya, dia merasakan bunyi loceng yang membingit itu terlalu merdu menusuk ke telinganya. Isaac mengeluh lega. Sir Nicholas membimbit buku-buku tebalnya lalu berjalan terdengkot-dengkot keluar dari kelas yang mulai bising itu. Isaac duduk menyandar sebelum bahunya ditepuk Fred dari belakang. Dia menoleh sekilas sebelum berpaling ke depan semula.
"Apa?"
Isaac menyoal malas.Tangannya disilang ke belakang kepala, dengan kaki diangkat tinggi ke atas meja.
"Kita satu kumpulan esok!"
Fred membalas sambil melayangkan sehelai kertas bertulisan tangan pembahagian kumpulan secara rawak untuk lawatan ke muzium esok. Isaac menelek namanya sekilas sebelum meletakkan kedua kakinya ke bawah semula. Dia berpaling ke belakang, menghadap Fred.
"Muzium?? Esok?"
"Yalah..kan Sir Nicholas ada cakap tadi!"
Isaac merengus geram. Manalah dia dengar apa yang dibebelkan si tua itu. Dia sibuk dalam dunianya. Tenggelam dalam mimpi-mimpinya. Mimpi? Dia memegang dadanya yang terasa nyilu.
"Kau okay tak?" Fred menyoal hairan melihat tingkahnya.
"Okay.." Jawabnya sepatah sebelum berpaling ke depan semula, mematikan terus persoalan lanjutan Fred, padanya.
********
Great North Museum - Hancock, North England.
Rombongan pelajar dari sekolah tinggi Middlesbrough itu berpecah mengikut kumpulan yang telah diputuskan sebelum bergerak secara bebas dalam kelompok kecil mereka di setiap sudut dan ceruk muzium bagi mencari maklumat yang diperlukan untuk projek akhir tahun sejarah. Kumpulan Isaac berjalan menelusuri lorong sempit sebelum mereka perlu mendaki anak tangga ke puncak menara kedua muzium yang dibina semula menyerupai istana pada zaman pemerintahan kerajaan Nathaniel the Great III.
"Kita perlu cari maklumat tentang anak bongsu Raja Gregory yang dipadamkan kisahnya dari sejarah.."
Amber, selaku ketua kumpulan bersuara lantang sambil melihat ke arah ahli kumpulannya. Isaac merengus kecil. Entah kenapalah mereka perlu sibuk-sibuk ambil tahu tentang anak bongsu yang satu itu, fikirnya meluat. Dia membawa langkah kakinya menjauh sedikit daripada kumpulan itu ketika mereka sedang khusyuk menelek sebuah lukisan dengan penyataan sejarah di tangan dan apabila mereka benar-benar tidak sedar, tenggelam dalam nota sejarah yang membosankan itu, dia mula mengorak langkah keluar dari bilik itu. Dia berjalan menelusuri lorong sunyi itu semula ke sebuah pintu kolong yang agak lama. Besi pintu itu hampir tercabut dari engselnya. Pintu itu ditolak perlahan-lahan sebelum dia mengorak langkah kakinya masuk ke dalam bilik yang suram itu. Sebuah tingkap kecil di sudut kanan bilik itu membiaskan cahaya matahari di luar, meninggalkan jalur cahayanya di dalam bilik kecil itu. Sehelai kain putih lusuh yang tergantung aneh di dinding menarik perhatian Isaac. Dia menelek kain itu seketika sebelum menarik hujung kain itu perlahan-lahan. Sebuah bingkai gambar kayu keemasan menyapa pandangan matanya sebaik sahaja kain itu melorot jatuh ke bawah. Matanya difokuskan pada lukisan dihadapannya. Mata coklat cair itu menyentak dadanya. Dia mendekat, menelek lebih rapat sebelum semua yang berada di sekitarnya menjadi kabur.....
*********
North England - 1847
Dia membuka mata perlahan-lahan. Kepalanya yang terasa berpusing pening sebentar tadi sudah semakin pulih. Dia mengoyang-goyangkan kepalanya beberapa kali, cuba melancarkan aliran darah. Tapak tangannya ditenyeh ke mata, silau terang matahari menyakitkan retinanya. Bunyi kuda dari kejauhan membuatkan dia spontan berhenti. Kuda? Di dalam istana ini? Isaac membuka matanya, lalu satu persatu imej baru dihadapannya direnung cemas. Ini bukan bilik yang dimasukinya tadi! Dia berada di luar, berhampiran sebuah pintu laluan masuk ke sebuah...istana! Isaac melopong terkejut! Matanya dipejam celikkan berkali-kali namun masih juga imej istana tersergam indah itulah yang menyapa pandangan matanya! Isaac bungkam. Beberapa orang pengawal yang berkawal di pintu istana itu dirapatinya.
"Err..tuan..maaf..saya di mana sekarang?"
Isaac bertanya perlahan. Pengawal itu masih kekal mendiamkan diri sambil memandang tegak ke hadapan, jelas tidak menghiraukannya sama sekali. Isaac melayangkan tangannya di hadapan lelaki itu, dan responnya masih sama. Dia mengeluh berat sebelum menoleh melihat kuda-kuda yang membawa pedati membelok masuk ke perkarangan kawasan istana sebelum berhenti di laluan utamanya. Pengawal yang ditegurnya tadi bergegas membuka pintu lalu menghulur tangan, membantu seorang gadis muda dengan gaun kembangnya turun dari pedati keemasan itu. Gadis itu mengorak langkah masuk ke dalam istana diiringi pembantunya. Isaac yang termangu, tidak dipedulikan, tanpa pamitan, dia mula mengikut gerombolan itu masuk ke dalam istana. Gaun kembang yang dipakai gadis itu direnungnya curiga. Jauh ketinggalan zaman dengan gaun separas lutut membalut tubuh yang dikenakan Kate Middleton selaku permaisuri England dan siapa, yang masih menggunakan kereta kuda untuk bergerak?? Fikirnya hairan..
"Baginda menunggu puteri di bilik umum.."
Seorang pengawal istana mengumumkan. Gadis yang memakai gaun kembang itu sekadar mengangguk sekilas sebelum bergegas ke sebuah laluan yang mengunjur ke sebuah bilik agam yang mengkagumkan luasnya dengan hiasan keemasan dan baldu biru melatari hampir keseluruhan ruang. Gerombolan itu duduk melutut, kecuali si gadis yang dipanggil puteri tadi yang masih kekal tegak berdiri menghadap seorang lelaki yang sedang duduk selesa di atas sebuah singgahsana keemasan.
"Tunduk hormat pada Raja Gregory IV..."
Isaac termangu. Raja Gregory IV??
"Tunggu dulu....apa maksud semua ni?? Aku...aku kat mana sekarang?"
Isaac meninggikan suara, namun kata-katanya jelas tidak dapat didengari mereka yang berada di bilik umum itu. Pandangan mereka masih kekal setia terarah ke hadapan.
"Putera Vedrick dah memutuskan yang..."
"Yang Puteri Ariana lebih sesuai?? Begitu? Ayahanda sendiri sudah berjanji pada saya bukan?? Mana janji ayahanda!?"
Puteri itu membentak. Wajahnya jelas membuar amarah.
"Alana...kerajaan kita makin goyah sejak rampasan kuasa di timur berlanjutan..rakyat semakin merusuh..dan kita perlukan pertolongan Kerajaan Baldwin untuk mengukuhkan pertahanan kita.."
"Ya...dah tentu. Ariana permata hati ayahanda..anak kesayangan..puteri yang disanjung. Saya patut sedar, saya bukan orang yang sesuai untuk misi ini..saya bukan.."
"Alana...tolonglah.."
Raja Gregory bangun menghampiri, namun sepantas itu jugalah Puteri Alana berpaling keluar dari bilik umum itu, meninggalkan Raja itu termangu kesedihan menatap pemergiannya. Isaac merenung muka Raja Gregory IV itu sekilas sebelum keadaan di sekitarnya mula berputar semula....
************
Istana Everwood, North England -1829-
Bunyi decitan teruja membuatkan Isaac membuka matanya semula. Dia berada di sebuah kamar beradu dilatari baldu merah gemilang dengan mohor istana terpamer megah di atasnya. Suara-suara teruja kedengaran tenggelam timbul di kalangan pembantu istana yang mengelilingi sebuah katil bertiang empat di hujung sudut bilik itu. Isaac mengorak langkah perlahan-lahan ke sana. Seorang perempuan sedang mengendong bayi di dalam gumpalan kain sutera merah yang kelihatan seperti baru beberapa hari dilahirkan. Bayi itu mencelikkan matanya melihat sekitar sebelum menguap, membuatkan pembantu-pembantu istana ketawa geli hati melihat tingkahnya.
"Matanya iras tuanku..."
Seorang pembantu berkata girang..pembantu-pembantu yang lain mengganguk setuju.
"Ya..dan mukanya seiras permaisuri..secantik ibunya.."
Permaisuri yang sedang mengendong bayi itu tertawa senang hati lalu mengucup kasih dahi bayinya itu. Dia berpaling ke sisi sebelum mengunjuk bayi itu pada seseorang..
"Alana sayang...kamu tak mahu cium adik kamu?"
Seorang gadis kecil berumur lingkungan lima tahun mencebik sebelum berlari meninggalkan ruang kamar itu. Permaisuri terpempam dengan tingkah anak sulungnya.
"Alana..!"
Dan keadaan sekeliling berputar sekali lagi...
*********
Suasana di sekitarnya berubah seiring situasi dan Isaac, semakin biasa dengan keadaan itu. Dia kini berada di sebuah dapur yang agak sibuk dengan tukang masak ke hulu hilir menyediakan santapan. Beberapa orang perempuan yang mengenakan apron putih sedang duduk mengupas ubi bit dan kentang dengan mulut yang kecoh memperkatakan sesuatu. Isaac mendekati kumpulan kecil wanita itu, mencuri dengar perbualan mereka.
"...tapi Puteri Alana tetap boleh ditabalkan! Permasuri dah pun menjadi ibu susuannya..kau dah lupa ke Bertha, mengikut undang-undang pertabalan diraja, anak susuan masih boleh ditabalkan menjadi pewaris diraja! Maknanya puteri Alana ada peluang untuk mengambil alih tahta!"
Perempuan berbadan gempal itu bersuara agak kuat menyaingi bunyi bising di dapur itu.
"Ya..aku tahu..tapi Puteri Ariana lebih layak! Kalau aku jadi permaisuri, aku akan pilih darah daging aku sendiri untuk menjadi pewaris! Lagipun.."
"Dan sebab itulah kamu tak jadi permaisuri, Bertha..siapkan kentang itu atau aku adukan pada Tuan Henry tentang kelakuan kamu di sini!"
Seorang perempuan berpakaian tukang masak dengan apron yang tersemat lencana diraja menyampuk lantang dengan wajah bengis. Senduk di tangannya di ayun berkali-kali sebelum dia berlalu dengan mulut masih membebel geram. Kumpulan kecil wanita itu yang tadinya rancak berborak mulai terdiam dan melakukan kerja mereka dengan pantas.
*********
Perkarangan Istana Everwood -1842-
Puteri Ariana melepaskan busur panahnya lalu anak panah itu meluru laju sebelum terpacak tepat pada bulatan sasaran di hujung padang. Beberapa pengawal yang melihat bersorak teruja meraikan kehebatan puteri raja itu. Ariana tertawa lepas. Seronok melihat gelagat pengawal-pengawal itu menahan nafas sebelum dia melepaskan panah dan bersorak gembira ketika dia berjaya mensasarkan target.
"Terima kasih semua!"
Ariana melaung kuat ke arah pengawal-pengawal itu seraya mengangkat tangannya ke arah mereka.
"Hey Alana!"
Dia menegur kakaknya yang kebetulan muncul di antara pengawal-pengawal itu, yang dengan kelam kabut memberi tunduk hormat padanya.
"Sejahtera ke atas Puteri Alana..."
Mereka bersuara serentak, sambil melutut memberi laluan padanya.
"Kau nak cuba?"
Ariana mengunjuk busur panahnya pada Alana, namun segera ditepis kasar oleh kakaknya itu.
"Cuba?? Untuk apa? Aku tak perlu kotorkan tangan aku untuk main permainan tak berfaedah seperti ini! Kau puteri Ariana! Act like one!"
********
Keadaan sekeliling berputar lagi...membawa Isaac ke sebuah bilik umum yang suram dengan cahaya lampu pelita yang meliuk lentuk lemah. Raja Gregory IV kelihatan terpunduk lemah di sebuah kerusi dengan seorang pengawal cuba untuk mententeramkannya.
"...itu satu-satunya cara tuanku...bergabung dengan kerajaan Baldwin untuk menumpaskan mereka. Pertahanan negara kita kian lemah.."
Seorang lelaki bertopi bulu merak bersuara perlahan. Suaranya meredam ditenggelami bunyi percikan api pendiangan. Raja Gregory mengeluh berat, sebelum perlahan-lahan mengangguk.
"Alana akan bencikan saya...."
"Kita tak ada pilihan tuanku..Putera Devrick menetapkan syarat memilih Puteri Ariana.."
Lelaki bertopi bulu merak itu bersuara lagi, kali ini suaranya lebih jelas.
"Buat apa sahaja yang perlu, untuk selamatkan negara ini..." titahnya perlahan sebelum bangun dengan susah payah dari duduknya, diiringi pengawalnya.
********
Isaac melabuhkan duduk di tepi birai tingkap itu, menghadap Puteri Ariana yang sedang duduk memeluk lututnya, teresak menangis sambil ditenteramkan ibunya. Mata hijau zamrud yang bergenang air mata itu ditentangnya kagum. Dia sedang melihat Puteri bongsu yang dipadam dari catatan sejarah negaranya. Sukar untuk dia percaya semua yang sedang berlaku.
"Ariana akan merayu pada ayahanda..Ariana rela kehilangan tahta bonda.."
Permaisuri memeluk erat anakanda kesayangannya. Rambut ikal mayang itu dielus lembut penuh kasih.
"Kerajaan Baldwin dah sebulat suara memilih Ariana sayang...ayahanda tak ada pilihan..."
"Tapi Alana akan terus melarikan diri dari kita jika anakanda ditahtakan bonda! Biarlah anakanda beralah..biar anakanda pujuk Putera Devrick untuk memilih Alana..Alana satu-satunya kakak yang Ariana ada..."
Permaisuri mengeluh berat melihat esakan tangis berterusan puteri kesayangannya. Galau hatinya makin bertambah apabila Alana melarikan diri dari istana sejak mengetahui Ariana yang terpilih untuk ditahtakan.
"Kita tak ada pilihan sayang....."
Tuturnya sebak. Dia merangkul tubuh Ariana ke dalam dakapannya.
**********
Kamar beradu Puteri Ariana.
Ariana terjaga dari tidurnya apabila menyedari seseorang memasuki kamar tidurnya. Dia bangun perlahan-lahan, lalu turun dari katil empat tiangnya. Biasan bayang seseorang kelihatan samar-samar di lantai kamarnya.
"Siapa..?"
Ariana berbisik. Suara decitan ketawa seseorang menyapa telinganya.
"Kau dah bangun..."
Alana tampil di balik tirai katil sambil tersenyum lebar ke arahnya. Ariana melopong teruja. Tubuh kakaknya yang memakai mantel labuh pengembara didakap erat..
"Alana! Kau dah balik!"
Wajah Alana direnungnya penuh kasih. Alana menolak tubuhnya menjauh sebelum membawa langkahnya ke birai tingkap.
"Sudah tentu aku pulang..istana ini rumah aku sebelum kau lahir. Aku menjadi kesayangan bonda dan ayahanda sebelum kau lahir....semuanya berubah sejak kau lahir. Aku tak dipedulikan..ya, aku sedar..aku hanya anak angkat bonda.."
"Apa...? Apa yang kau cakap ni Alana? Anak angkat ..?"
Ariana memotong. Dia mengerutkan dahi kehairanan.
"Ohh...jadi kau belum tahu ya? Ya aku anak angkat! Setelah bertahun-tahun menunggu cahaya mata, mereka berpakat mengambil aku sebagai anak angkat! Aku bahagia...tersangat bahagia...aku dijanjikan tahta pewaris! Sehinggalah semuanya berubah apabila kau muncul!"
Bentaknya geram. Mata coklat cair itu merenung tajam wajah ketakutan Ariana. Isaac tersentak. Mata itu! Dia berlari ke depan, tepat ketika Alana mengeluarkan pedang di balik mantel labuh yang dipakainya. Isaac berdiri di hadapan Ariana, cuba menghalang tusukan pedang itu namun segalanya sia-sia apabila pedang itu sekadar menembusi badannya lalu terus tertusuk ke jantung Ariana. Gadis itu mencungap mengah sebelum terjelepuk jatuh ke lantai dengan pedang di dadanya. Darah menyeruak membasahi gaun tidurnya. Isaac cuba menerkam tubuh longlai Ariana untuk membantu namun segala di sekelilingnya mula berubah semula..
********
Dia tersentak bangun dari atas lantai yang berdebu itu. Belakang seluar sekolahnya disapu sekilas sebelum kakinya menongkah badan yang terasa goyah. Isaac merenung gambar gadis bermata coklat cair di dalam bingkai gambar yang tergantung dihadapannya sebelum matanya jatuh pada senyuman lembut Ariana disisi. Potret keluarga diraja yang dilakar seorang pelukis itu kelihatan aneh janggalnya dengan situasi yang baru sahaja dilihatnya.
"Isaac!!!"
Suara Fred, yang melaungnya dari luar bilik misteri itu menghentikan lamunannya. Dia bergegas keluar mendapatkan kawannya itu.
"Hoi..apa yang kau buat dalam bilik tu?? Semua orang tengah cari kau!"
Tempik Fred terkejut apabila melihatnya. Isaac sekadar tersengih sebelum memaut bahu Fred.
"Jum..aku dah dapat maklumat tentang puteri bongsu tu.."
********
Sekolah Tinggi Middlebrough.
"..Kerajaan Baldwin menarik balik pertolongan yang ditawarkan, menjadikan kubu pertahanan Kerajaan di bawah takluk Raja Gregory IV semakin lemah. Kematian tragis Puteri Ariana menjadi titik tolak rusuhan penduduk timur. Puteri Alana dijatuhkan hukuman penggal kepala, dan keesokan harinya, Raja Gregory IV membunuh dirinya sendiri di kamarnya. Permaisuri ditawan tentera musuh dan sejak itu tiada khabar angin mengenai baginda permaisuri. Sejarah tidak pernah memadam Puteri Ariana dari catatannya..sebaliknya sejarah memutuskan untuk tidak lagi mengenang kematian tragis satu-satunya puteri tunggal diraja yang menjadi titik mula keruntuhan Kerajaan Heatchcliff di bawah pemerintahan Raja Gregory IV..."
Isaac mematikan penyampaiannya. Muka-muka melopong rakan sekelasnya ditentang puas.
"Wahh...bagus Isaac! Awak memang betul-betul hebat. Tak ramai yang tahu tentang apa yang terjadi pada Puteri Ariana..saya beri markah penuh untuk kumpulan awak!"
Sir Nicholas bangun dari duduknya lalu memberikan tepukan. Isaac tunduk sedikit pada gurunya itu sebelum berjalan ke tempatnya semula.
"Macam mana kau tahu semua tu??? Kami dah cari maklumat di seluruh kawasan istana tu..Amber sendiri pun dah buntu.."
Fred menepuk bahunya kagum Isaac sekadar tertawa kecil. Muka cemberut Amber dipandangnya sekilas.
"Aku dapat maklumat rahsia.."
"Dari siapa??" Fred mendesak.
Imbasan senyuman manis Ariana terlayar di matanya. Isaac sekadar tersenyum lebar pada Fred sebelum loceng membingit menerjah gegendang telinga mereka.
"Jum makan. Aku belanja."
Katanya pada Fred sebelum berjalan penuh bergaya keluar dari kelas itu.
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment