KEMBUNG GORENG
======================
Link untuk cerita sebelumnya:
=====================
Nota:- Cerita ini separuh daripadanya adalah fiksyen dan separuh lagi adalah kisah benar. Mana yang benar, mana yang fiksyen, pandailah anda menilai.
Sakit benar hati Mastura membaca berita di surat khabar. Kenyataan tak masuk akal oleh juri pertandingan Ratu Kebaya, peragawati terkenal, Sakinah. Katanya, untuk format baru ini, peserta haruslah mempunyai berat badan bawah 55 kilogram.Tambah beliau lagi, amat menyakitkan matanya melihat peserta yang dianggap ‘gemuk’ memakai kebaya sendat dan ketat itu.
Hal ini sebenarnya bukan isu nasional,tetapi bagi Mastura kenyataan peragawati terkenal itu seakan terkena pada batang hidungnya ! Bentuk badan Mastura tidak lah kurus dan tidaklah terlalu gemuk, namun sesuailah kalau berkebaya, kata orang, sedap sedap badan memakai. Ikutkan hati, mahu saja dia menyantau si Sakinah. Biar padan mukanya bermuntahkan darah!
Lamunannya terhenti apabila ada yang menyapanya dari belakang.
“Kakak, teh ais satu sama lempeng kelapa sepinggang.” Suara dari belakang pelipis telinganya memecah kesunyian gerai makannya pagi itu. Cepat cepat Mastura mengiyakan permintaan itu. Timbul perasaan segan di dalam dirinya. Mesti pelanggannya itu perasan yang dia sedang mengelamun.
Usai melayan kehendak pelanggan gerainya,Mastura kembali duduk membaca akhbar.Sudah hampir 4 bulan selepas kejadian yang menimpa pasangan suami isteri, Ismail dan Zarina.Puas selepas dendamnya terbalas.
Hidupnya selepas itu boleh dikatakan sempurna. Gerai usangnya kini bertukar wajah. Dahulu Mastura hanya menghidangkan juadah sarapan pagi dan menjelang tengahari dia akan menutup gerainya.
Kini,setelah gerainya diubah suai, dia kini berniaga dari pagi hingga ke malam. Malah, dia mampu menggajikan dua orang budak lepasan sekolah yang turut membantunya di gerai. Kedudukan strategik gerainya yang di tepi jalan besar kampunnya itu membuatkan ramai yang singgah.
Sebenarnya dari dulu lagi, orang kampung memohon supaya dia melanjutkan waktu perniagaan,tapi alasan Mastura,dia tak menang tangan.
Gerai Mastura sewaktu makan tengahari tersangat sesak. Dahulu,dia hanya meletakkan 10 set meja, kini ditambah menjadi 20 set meja berserta kerusi tambahan,demi memenuhi kehendak pelanggan. Pinggan,mangkuk dan gelas semua ditambah.
Menu istimewa di gerainya tak lain tak bukan, Set Nasi Bersama Kembung Goreng. Dihidang bersama nasi panas,kembung goreng garing dihias dengan hirisan bawang Holland dan cabai kampung, disertakan dengan sambal belacan ataupun sambal tempoyak dan juga diberi juga ulam ulaman seperti ulam raja, pucuk gajus dan petai belalang. Harganya Cuma RM5.00 sahaja satu set.
Hal ini membuatkan ramai yang datang menjamu selera di gerainya.Lagipun ramai juga pemandu lori kelapa yang lalu lalang mengutip hasil penduduk Kampung Banjar yang menjadi pelanggan tetap di gerainya.
Suatu hari, dia mendapat khabar berita dari Tok Ketua bahawa kerajaan telah membina beberapa buah lot kedai di salah satu kawasan di kampungnya itu dan dia layak memohon,tetapi Mastura berkeras untuk tidak berpindah. Kemudian, dia mendapat khabar, ada beberapa gerai makanan yang sudah dibuka di kawasan baru itu.
Mastura mulai perasan, jumlah orang yang datang ke gerainya itu berkurangan, jadi suatu hari dia sengaja pergi untuk menjamu selera di kedai baru itu. Ada sebuah kedai makan sahaja di situ, dan yang lainnya kedai runcit.
Segera dia menjengah kedai makan tersebut dan alangkah sakitnya hati bila dia dapat tahu, kedai ini menjual menu yang sama macam kedainya! Ikan kembung goreng! Malah pelayan mereka terdiri dari wanita muda dan lengkap berkebaya.Untuk taknak disyaki, Mastura hanya memesan air minuman dan dibawa balik.
Hatinya berbuku. Menyumpah seranah sepanjang perjalanan. Seminggu perniagaan gerai kurang laku. Bukannya tak laku, ada orang yang menjamu selera, tetapi tak ramai seperti selalu. Mastura mula mengatur langkah.
Malam itu,dia ke Ipoh untuk berjumpa dengan wanita yang pernah menolongnya menyantau Ismail dan Zarina. Gerainya terpaksa ditutup 2 hari dek kerana dia mahu mencari ‘ubat’ untuk perniagaannya. Genap 2 hari,dia pulang .
Malam itu, seperti hari lain, dia akan menyediakan bahan mentah untuk dijual nanti di gerai. Cuma kali ini,dia menambah beberapa ramuan istimewa. Kata wanita di Ipoh itu, Mastura harus mengaulkan ikan kembung mentah itu dengan titisan dari dari ibu jari kakinya.
Tanpa berfikir panjang, dia terus menghiris ibu jarinya dan darahnya mengalir masuk ke dalam besen yang penuh dengan ikan kembung yang sudah di bersihkan.Kemudian dia menabur beberapa cubit kemenyan hitam yang sudah dijampi serapah dan segenggam abu bangkai kucing hitam yang dibakar hingga menjadi abu ! Ketiga tiga ramuan istimewa itu dibiarkan di perap semalaman.
Esok paginya, sebelum dia mengoreng ikan berkenaan, beberapa butir kata jampi serapah dibacakan. Hampir seminggu kedainya penuh! Tapi kali ini sesak daripada biasa! Mujarab sungguh ramuan istimewanya itu.
Kalau dulu sehari dia menjual 20 ekor set hidangan ikan kembung goreng nya, kini hampir 100 ekor! Hingga ke malam, memang penuh dengan orang yang datang untuk menjamu selera. Ada yang sampai dua tiga kali berulang makan di situ dalam satu hari.
Mastura tidak berhenti di situ, dia mula memasang badan. Badannya dipakai kebaya dan dicalit beberapa minyak Penarik Seri Muka yang dibuat khas oleh wanita dari Ipoh itu. Gerainya itu telah ditanam dengan beberapa pendinding, takut takut ada yang berniat jahat dengannya.Bekas simpan duit di gerainya itu dilapik dengan kain kapan yang sudah ditulis dengan jampi oleh wanita dari Ipoh itu, katanyaa takut takut ada yang menyerahkan duit jampi pada Mastura.
Memang syaitan telah menguasai diri Mastura.Walaupun sudah hampir beberapa bulan gerainya mencapai jualan yang luar biasa,dia tetap dengki dengan kedai makan baru itu.
Satu malam, waktu orang lain sudah lena diulit mimpi, dia menaburkan tanah kubur yang sudah bercampur dengan batu nisan yang sudah ditumbuk halus di hadapan kedai baru itu. Kemudian dia menyelitkan bungkusan kain hitam di bawah tempat hidangan lauk kedai tersebut dan akhir sekali, dia menyelitkan paku keranda yang bengkok sewaktu ditukang di atas penjuru pintu kedai berkenaan.
Selang beberapa hari,dia mendapat khabar berita, orang yang makan di situ mengadu, makanannya yang dijual sudah basi, berbau najis dan berbau nanah. Lama-kelamaan, kedai itu akhirnya gulung tikar dan diganti dengan tuan baru.
Namun tetap perkara yang sama terjadi. Ikutkan rekod, sudah hampir 20 penyewa sudah menyewa di kedai itu dan selalunya tidak sampai 3 bulan, mereka gulung tikar! Ada juga sesetengah penyewa kedai itu yang ternampak kelibat lelaki tidak berkepala duduk di dalam dapur tempat mereka memasak.
Mastura kini mengorak langkah. Gerainya dahulu kecil, dibesarkan lagi. Semakin hari semakin maju gerainya. Set Ikan Kembung Gorengnya memang viral! Sehinggakan menjadi pergaduhan dek kerana bekalan ikan sudah habis.
Ada yang berebut pinggan dengan pelanggan lain. Bagi mereka,kalau sehari tak rasa masakan kembung itu,hidup mereka tidak lengkap!
Hendak dijadikan cerita, dalam ramai-ramai pemandu lori kelapa yang selalu singgah di situ, Azman lah yang gemar mengusik Mastura. Dipendekkan cerita, mereka pun berkahwin.
Tetapi setelah beberapa hari berkahwin, Mastura merasakan perkahwinan ini menyusahkan.Kerana dia tidak boleh secara terang-terangan meramu adunan kembung istimewanya di hadapan suaminya! Setelah 4 bulan mendirikan rumah tangga, akhirnya Azman telah diberi nasi kangkang oleh Mastura! Dengan cara itu, Azman bukan lagi penghalang kepada menu rahsianya.
Setelah beberapa penyewa yang gagal meneruskan perniagaan di lot kedai berkenaan, munculah seorang guru pencen dari Kedah yang baru sahaja berpindah di kawasan Kampung Banjar. Dia mengikut isterinya berpindah ke kampungnya, mencuba untuk berniaga laksa di situ.
Pada awalnya guru pencen itu dapat merasakan sesuatu yang tak kena dengan persekitaran kedainya itu, hinggalah suatu hari dia terserempak dengan lembaga lelaki tidak berkepala sedang enak memakan ikan mentah di peti ais.
Lembaga itu menyumbat ikan mentah itu ke perutnya yang terburai itu. Kebetulan malam itu guru pencen itu hendak mengantar beberapa bahan mentah di kedainya. Hal itu menyebabkan guru pencen itu meminta tolong sahabat baiknya dari Kedah untuk menolongnya. Dengan izin Allah, kesemua barang dan tangkal di kedai itu dialihkan.
Mastura ketika itu tak duduk diam.Mana taknya, badannya terasa bahang, dan kejap-kejap dia asyik ternampak lelaki tidak kepala itu merangkak ke arahnya! Perniagaannya yang dulu gah kini tidak terurus. Suaminya Azman, sudahlah di kangkangnya, kini menjadi serupa mayat hidup.
Lama kelamaan, giliran gerai Mastura pula yang gulung tikar. Kali ini betul-betul gulung! Azman terlupa hendak menutup api gas dan akibatnya gerai kesayangan Mastura habis dijilat api.
KininMastura menjadi separuh gila. Semua duit untungnya memang disimpan di gerai tersebut. Barang kemas, intan ,berlian semuanya hangus terbakar. Lesap tanpa kesan. Hidupnya asyik dikejar oleh lelaki tidak berkepala.
Akhirnya setelah Mastura diceraikan Azman, dia menjadi gila. Sehinggakan orang kampung bersepakat menghantar Mastura ke Hospital Tanjung Rambutan.
Keadaanya semakin tidak terurus.Tiada waris yang hendak bertanggungjawab dengan keadaan Mastura. Heboh satu kampung disaat Mastura sendiri membuka pekung di dada.
Dia menjerit histeria di pasar tani, menceritakan segala hal perilakunya terhadap gerainya,terhadap suaminya dan juga apa yang berlaku terhadap Ismail dan Zarina. Sejak dari itu, sudah hampir setahun dia mendiami hospital sakit jiwa.
***
“Saya ingin berjumpa dengan pesakit bernama Mastura,” ujar seorang wanita berkebaya ketat.
Jururawat itu menunjukkan arah di mana Mastura berada. Ketika itu Mastura sedang duduk di atas kerusi roda mengadap peti televisyen. Ketawa sendirian tak henti-henti.
“Cik, 10 minit sahaja masa diperuntukkan. Pesakit ini ada rawatan susulan sebentar sahaja nanti,” ujar Jururawat itu dan wanita berkebaya ketat itu mengangguk faham.
“Kau bodoh.Aku tak ajar kau tamak sampai begitu,” bisik wanita berkebaya itu di tepi telinga Mastura.
Serta-merta Mastura yang dari tadi ketawa, terdiam berhenti. Menoleh ke arah wanita tersebut.Mukanya tiba-tiba murung, menangis!
Dia memegang erat tangan wanita berkebaya tersebut.
“Tolong aku, aku takut. Aku tak sanggup jumpa dia hari hari,” ujar Mastura teresak esak menangis. Wanita itu hanya tersenyum, sambil tangannya diletakkan di kepala wanita separa gila itu.
“Sabarlah sayang, hari kau akan tiba semula. Aku akan cuba keluarkan kau dari sini. Aku amat memerlukan kau,” balas wanita berkebaya itu.
Perlahan-lahan wanita itu mengeluarkan sesuatu daripada tas tangannya, sebungkus kain merah kecil yang sudah diikat dengan rambut.
“Simpan benda ini elok-elok. Dia akan tolong kau. Aku pun senang nak datang.” Bisik perlahan wanita itu di cuping telinga Mastura.Cepat cepat dia menyimpan bungkusan itu di dalam pakaian dalamnya.
Ha! Ha! Ha! Serta merta Mastura ketawa tanpa henti.Tangisnya hilang.
Wanita berkebaya itu bingkas bangun dan berjalan perlahan meninggalkan Mastura yang tak berhenti ketawa!
“Aku perlukan kau Mastura, aku perlukan pembantu,” getus wanita berkebaya ketat itu di dalam hati.
-TAMAT-
=====================
Karya: Faizal
No comments:
Post a Comment