BECA TOK WAN
===========================
Haikal menarik nafas lega sebaik tiba di rumah papan dua tingkat itu. Sudah bertahun dia tidak pulang ke situ. Bahagian bawah rumah pun sudah ditukar dengan bata.
Tibanya pada hari itu juga secara diam-diam. Tiada siapa yang tahu meskipun umi dan juga abinya. Sengaja dia tidak mahu memaklumkan kepada mereka. Dia mahu bertemu dengan tok wannya terlebih dahulu. Rindunya pada tok wan sudah tidak dapat dibendung lagi.
Dia masih tercegat di hadapan pintu yang tertutup itu. Kenangannya semenjak kecil di rumah itu mula terlayar di mindanya. Sungguh dia rindukan kenangan lalu. Air mata yang mula bergenang di kelopak mata, diseka perlahan. Masa lalu semakin meninggalkannya.
Haikal mendekati pintu rumah. Dia memberi salam. Senyap, tiada sahutan. Haikal menghayunkan langkah menuju ke belakang rumah. Tiada kelibat tok wannya di situ. Haikal memanggil lagi.
“Pi mana pulak tok wan aku ni?” Haikal sedikit merungut.
Kriukkkk...
Bunyi sesuatu telah mengejutkan Haikal. Meskipun hari masih siang, bunyi yang secara tiba-tiba itu membuatkan hatinya berdebar. Haikal menoleh ke belakang. Dia melihat beca yang sering tok wannya guna ketika dia masih kecil. Penarik beca. Itulah pekerjaan tok wan sejak muda lagi.
Haikal menapak perlahan-lahan dan bibirnya menguntum senyum sebaik melihat tok wannya sedang tidur di kerusi beca. Kusyennya masih elok. Tok wan cukup sayang pada becanya yang satu itu. Punca rezekinya selama ini.
“Tok wan!” Haikal menyergah sambil ketawa besar. Geli hati melihat wajah terkejut insan yang di sayanginya itu.
“Bertuah punya budak! Nasib baik jantung tok wan sihat lagi.” Tok wan menjegilkan mata ke arah cucunya. Dia sudah tegak berdiri.
Haikal segera menyalami tok wannya kemudian dia memeluk erat tubuh kurus itu. Tok wan menepuk-nepuk belakang badan cucu tunggalnya. Dia mengesat air mata yang bertakung, tidak mahu Haikal melihatnya.
“Awat nak mai tapi tak habaq dulu?” Tok wan bertanya lalu tersenyum manis.
Haikal terdiam kemudian dia mendapat satu akal.
“Nak habaq lagu mana, bukan tok wan ada WhatsApp pun!” Haikal ketawa lepas sebaik melihat wajah berkerut tok wannya.
Tok wan garu kepala. “WhatsApp tu menatang apa?”
“Tak payah tau la tok wan, haru nanti!” Haikal senyum menahan tawa.
“Yalah tuu.. Dah, jom masuk.” Tok wan dan Haikal jalan beriringan menuju ke dalam rumah.
“Tok wan tak sihat ka?” Haikal melihat tubuh tok wannya terlalu kurus. Hanya tulang dan kulit yang kelihatan. Mata tok wan juga agak terperosok ke dalam. Haikal mengagak ianya mungkin di sebabkan faktor usia.
“Awat, nampak macam tok wan tak sihat ka?” Soalan berbalas soalan.
Haikal menggeleng kepala. “Dak aih, saja la tanya habaq. Tok wan ni punnn..!”
Tok wan hanya mengangguk perlahan dan senyumannya senget sebelah.
***
“Tok wan nak keluaq sat. Hang dok rumah diam-diam,” pesan tok wan sebelum membuka pintu utama.
“Nak pi mana tok wan, pukoi sebelas lebih dah ni? Takkan dating kot!” seloroh Haikal kemudian melepaskan tawa.
“Tiap-tiap malam memang tok wan keluaq. Meronda dengan beca. Buat pelepas rindu..” Kedengaran sayu di hujung kata-kata tok wan.
“Ikut tok wan la..” Haikal senyum. Biarlah asalkan tok wannya bahagia.
***
Haikal terjaga setelah tidurnya diganggu bunyi sesuatu. Dia melihat jam di skrin telefon bimbitnya. Pukul 3:38 minit pagi! Argghh, patutlah mengantuk! Baru Haikal hendak bangun dari pembaringan, hidungnya disapa bau yang hanyir seperti darah!
Bunyi bising kembali kedengaran. Haikal turun dari katil dan mula mengendap melalui celahan pintu biliknya yang tidak ditutup rapat. Dia melihat susuk tubuh tok wan sedang mengheret sesuatu dalam guni beras. Bau hanyir semakin menyesakkan hidungnya. Dia sendiri hampir-hampir termuntah dengan bau yang menyengat itu.
Entah mengapa bulu romanya cering tiba-tiba. Haikal pandang tok wan dan tanpa di sangka, tok wan menoleh ke arahnya dengan mata merah! Bergegas Haikal kembali ke katil dan menyembunyikan dirinya dalam selimut. Dia berharap semua ini hanya mimpi! Terus dia pejamkan matanya rapat-rapat dan akhirnya tertidur semula.
***
Bau semerbak nasi lemak membuatkan hidung Haikal kembang-kempis. Terus dia meraba perutnya yang sememangnya kempis itu. “Lamanya tak makan nasi lemak…” Haikal menegur tok wan yang sedang membancuh air di dapur.
“Tok wan tau.” Senyuman tok wan meleret.
Haikal menarik kerusi meja makan dan melabuhkan duduk di situ. Dia memandang hidangan nasik lemak itu dengan asyik sehinggalah matanya melekat lama pada semangkuk sambal kosong. Warnanya yang merah itu membuatkan Haikal teringatkan bau darah pada pukul tiga pagi tadi. Dia meneguk air liur.
“Ni kuah apa tok wan?”
Tok wan pandang lama wajah cucunya. “Hang tak kenai dah ka sambai tomeh? Agak-agaklah nak lupa daratan pun!” Bidas tok wan selamba lalu menyuap nasik lemak ke mulutnya.
“Tauu.. Buat dengan apa?” Haikal garu kepala. Rasa gugup membuatkan dia bertanya yang bukan-bukan.
“Laa.. buat dengan cabai kering laa. Takkan dengan darah pulak!” Tok wan menjeling cucunya.
Haikal tersentak. “Darah?”
“Laa, hang ni mamun ka apa? Tanya bukan-bukan. Makan ja laaa…” Tok Wan tayang wajah curiga.
Haikal diam. Dengan jemari yang sedikit menggigil, dia mula mengisi pinggannya dengan nasi lemak. Dia berdebar-debar ketika menyenduk kuah sambal ke dalam pinggannya. Teragak-agak dia mahu menjamahnya.
Namun apabila melihat sorotan tajam mata tok wan, Haikal cuba bertenang. Penuh sopan dia menjamah nasi lemak yang dimasak oleh tok wannya itu. Tidak mahu tok wan berkecil hati dengannya.
***
“Malam ni tok wan keluaq dak?” Haikal melabuhkan duduk di sebelah tok wan. Bersantai di pangkin bawah pokok kekabu.
“Dak kot, awat?”
“Jom kita pi ronda?” Haikal sengih. Sudah lama dia tidak naik beca..
Tok wan kelihatan tersentak. Senyuman tok wan melebar. “Hang berani ka?”
“Mestilah berani!” Haikal angkat kening sebelah.
“Okey jom!” Tok wan terus melangkah keluar dan Haikal mengikuti langkah tok wan sehingga tiba di hadapan beca.
“Rindunyaa nak naik beca!” Haikal meluahkan rasa.
“Mengada lebih hang ni!” Tok wan menjuihkan bibir melihat lagak cucunya itu.
Baru Haikal hendak mengambil tempat di basikal, tok wan menghalangnya. “Hang duduk, tok wan kayuh!”
“Eh tak pa laaa, chek kayuh, tok wan duduk..” Haikal menolak. Dia tidak mahu menyusahkan tok wannya.
Tiba-tiba tok wan menjegilkan mata. “Hang ingat tok wan tak kuat dah ka?”
Haikal tersentak mendengar nada tok wan berubah. Dia kemudiannya mengalah. “Ha laa, chek duduk…”
Tok wan memulakan kayuhan dengan mata yang bersinar melihat cucunya duduk di tempat duduk penumpang. Sebenarnya dia rindu mahu membawa penumpang!
***
Angin sejuk membelai tubuh Haikal. Dia tidur dalam keadaan duduk. Duduknya mengerengkot kesejukkan.
Prap. Prap. Prap…
Bunyi sesuatu yang dipatahkan kedengaran kuat. Haikal cuba membuka mata.. Dia terpisat-pisat. Matanya terbuka separuh. Telinganya menangkap bunyi pelik. Terus dia mencelikkan matanya luas-luas. Dia membetulkan duduk.
Pandangannya mula mengitari kawasan setempat. Suasananya berbalam. Hanya diterangi lampu jalan yg tidak jauh. Haikal melihat tok wan tiada di sisi. Dia menggaru kepala.
‘Pi mana pulak tok wan ni. Tinggai aku sorang-sorang kat sini!’ Haikal sudah merasa cuak. Ditinggalkan seorang diri di tempat sebegini, bukanlah sesuatu yang menyeronokkan! Dia menahan rasa.
“Kata berani...”
Haikal tergamam. Suara bisikan itu sekali lalu sahaja. Laju dia menoleh ke serata arah namun tiada sesiapa!
Prap. Prap. Prap…
Bunyi itu kembali menjentik telinga Haikal. Dia mengamati dari mana datangnya bunyi itu. Haikal menapak perlahan-lahan ke sebelah kiri yang terlindung dek dinding kayu yang sama paras dengannya. Bau darah memenuhi sekitarnya. Hanyir bersatu. Haikal menekup mulut dengan tapak tangan. Dia hampir-hampir termuntah.
Langkah kaki Haikal kaku serta-merta. Dia disajikan dengan pandangan yang tidak di duga. Lututnya mula terasa menggigil. Tunggu masa untuk rebah ke tanah. Kedua-dua mata Haikal tak lepas dari memandang ke arah depannya. Dia melihat tok wan sedang melapah isi lengan lelaki yang bertubuh sederhana besar. Pakaian lelaki itu dibasahi dengan darah.
“Daging elok nii,” ujar Tok wan sebelum memasukkan isi daging mentah itu ke dalam mulut. Tok wan mengunyah sambil kepalanya terangguk-angguk.
Haikal sudah tidak tahan untuk berdiri di situ lagi. Dia mula berpaling untuk meninggalkan tempat itu. ‘Tok wan gila!’ Ngongoi Haikal dalam hati. Air matanya sudah laju mengalir.
“Aku tak gila.” Serentak dengan itu tok wan sudah berada di depan Haikal. Terbuntang mata Haikal melihat wajah yang berlumuran darah itu. Masih terdapat sisa di celah gigi tok wan yang sedang menyeringai itu. Sempat Haikal melihat tulang kecil yang terselit di tangan tok wan.
“Habis tu apa tok wan?!” Jerkah Haikal tanpa sengaja. Dia cuba melawan rasa takut.
“Tok wan lapaq,” balas tok wan sambil menggigit isi-isi yang masih melekat di tulang. “Dap emm jari dia ni!”
Tubuh Haikal menggigil. “Lapaq apa sampai kedarah daging manusia?! Tok wan gila!”
“Teman tok wan.. Satgi kita balik laa.. Tok wan nak makan kat sini. Tak mau bawak balik.. Berat.”
Haikal menginjak ke belakang sambil menggeleng laju.
“Haikal...” Tok wan cuba memujuk. Langkahnya semakin ke hadapan.
“Arghhh!!” Haikal terus berlari meninggalkan tempat itu. Dia berlari tanpa menoleh ke belakang meskipun suara ketawa tok wan seperti dekat dengan telinganya.
***
“Haikal!”
Serentak dengan panggilan, tubuhnya disimbah air! Terkebil-kebil Haikal memandang sekeliling. Haikal segera bangun setelah melihat dia sedang duduk di kusyen beca. Wajah tok wan yang tersengih menerpa pandangannya.
“Err, tok.. tok wan ka ni?” Tergagap-gagap Haikal bertanya.
Terus dahi tok wan berkerut. “Awat, tok wan sendiri pun dah tak kenai ka? Hah! Tidoq lagi senja-senja! Mimpi apa la hang tadi sampai mengigau!” Tok wan terusbuka ceramah. Haikal hanya tayang gigi..
“Tok wan pi tolong orang nak kenduri tadi. Hang sampai lama dah ka?” Tok wan dan Haikal beriringan masuk ke dalam rumah.
“Lama tak lama laa tapi sempat la lena!” Haikal ketawa kecil.
”Dah, jom masuk. Tok wan ada bawak balik sup tulang. Sedap. Macam yang hang mimpi tadi...”
Tubuh Haikal terkaku di muka pintu. Dia meneguk air liur yang tersekat di kerongkong.
Tubuh tok wan kemudian melayang perlahan-lahan ke arah dapur…
-TAMAT-
=====================
Karya : Affieyza Isahak
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment