Sunday, 22 April 2018

KISAH GURU NIA - Ariff Budiman Zainal Abidin


KISAH GURU NIA


Nia dan Wan adalah pasangan suami isteri yang cukup bahagia. Hasil percintaan dari menara gading membawa mereka hingga ke jinjang pelamin. Di awal perkahwinan, semuanya indah belaka. Mereka sering berbulan madu ke serata tempat bersama. Setahun sebagai suami isteri, mereka belum di kurniakan cahaya mata. Wan seorang suami yang cukup penyayang dan penuh dengan pengertian. Baginya rezeki anak biar Allah yang tentukan. Bersyukurnya Nia bila Wan dapat menerima ujian ini.

Masuk 2 tahun perkahwinan mereka, Nia telah menunjukkan perubahan. Dia sering memarahi Wan. Kadang-kadang Wan sendiri tidak mengerti sebab apa Nia memarahi hingga sanggup membaling periuk belanga. Wan tetap bersabar. Cinta Wan terhadap Nia terlalu kuat. Ketika Nia tidur, Wan melihat wajah isterinya. Sebak hatinya bukan di sebabkan perangai Nia tapi entah kenapa Wan merasa terlalu sebak. Dia tidak sanggup meninggalkan Nia tanpa membantu isterinya. Dia percaya Nia masih mencintainya. Tentu ada yang mengganggu fikiran Nia.

Ketika berada di kantin, Wan disapa rakan sekerjanya Fikri yang merupakan seorang guru silat.

"Wan. Nampak termenung saja ni. Ada masalah kerja ka?" Tanya Fikri.

"Bukan masalah kerja la Fik. Tapi isteri aku ni." Jawab Wan. Dahinya berkerut.

"Isteri? Apa kena pula dengan isteri hang Wan? Hangpa berdua kan pasangan bahagia." Usik Fikri. Tersenyum Wan mendengar kata-kata Fikri.

"Aku tengok 2-3 hari ni isteri aku lain macam. Dia cepat marah. Kadang-kadang marah dia tak ada sebab. Setakat ni aku masih dapat bertahan. Aku tak tau masa depan macam mana. Tu yang aku risau. Ada sesekali dia tempik aku dayus sebab tak mau ceraikan dia. Ada sesekali pula dia terlalu sayang aku." Luah Wan kepada Fikri. Fikri terdiam. Otaknya ligat berfikir.

"Boleh aku pi rumah hang malam ni? Aku nak tengok apa masalahnya." Kata Fikri yang juga terkenal pandai merawat orang.

"Boleh. Mai lah." Jawab Wan pendek.

---------------------

Selepas Maghrib terdengar suara memberi salam dari luar rumah. Fikri menepati janjinya. Wan menjemput Fikri masuk. Terus Nia membuka langkah silat. Di tendangnya Fikri. Terkejut Wan sebab dia sendiri tidak menyangka sejauh itu tindakan isterinya.

"Awat? Hang nak tunjuk hang punya handal ka? Hang silap orang. Ni Fikri la." Terus masing-masing membuka langkah. Nia menyerang sekali lagi tapi Fikri sempat mengelak dan pada masa yang sama dia melepaskan satu tumbukan padu ke muka Nia. Nia jatuh terperosok tapi masih mampu bangun walaupun keadaan lemah. Kudrat seorang lelaki memang tidak dapat di sangkal lagi. Fikri memberi satu tendangan ke perut Nia. Nia terperosok di bawah meja. Wan betul-betul tergamam. Terus dia mendapatkan Nia yang menangis kesakitan.

"Ada benda yang merasuk bini hang Wan. Tu yang kena buat macam tu." Wan hanya diam. Jauh di sudut hatinya, dia tidak berpuas hati dengan cara Fikri. Mengapa harus Fikri guna kaedah begitu untuk mengajar benda yang merasuk Nia. Sekarang bukan makhluk dalam badan isteri yang sakit tapi Nia yang sakit.

"Bang.. Nia sakit bang..." Sayu Wan mendengar rintihan Nia.

"Sabaq la Nia. Fikri nak bantu kita." Kata Wan. Entah kenapa dia masih memberi pengharapan terhadap rakannya Fikri.

"Hang bagi isteri hang rehat. Makhluk tu dah keluaq. Esok aku mai lagi." Mereka bersalaman di muka pintu sebelum Fikri berjalan menuju ke keretanya.

"Bang. Jangan la panggil Fikri lagi. Nia tak tahan sakit.." Rayu Nia.

"Sabaq la Nia. InsyaAllah esok selesai kut." Wan memujuk isterinya. Nia hanya mendiamkan diri. Dia menurut saja apa saja keputusan suaminya.

Fikri datang semula. Dia terlupa mengambil kunci keretanya. Bila melihat Fikri, Nia terus bertindak agresif. Di bukanya langkah silat dan mencabar Fikri melawannya. Terus Fikri membuka langkahnya.

"Fik.. Sabaq Fik. Jangan apa-apakan Nia.." Rayu Wan tapi tak mengendahkan. Nia tersenyum sambil membuka langkah silatnya. Tiba-tiba Fikri memberi tendangan ala kung Fu dan hinggap ke muka Nia. Terus Nia rebah dan pengsan. Wan terus menarik tangan Fikri.

“Ya Allah. Apa yang dah aku buat. Wan sorry Wan." Kata Fikri.

"Kan aku dah minta hang bersabaq. Ni bukan Nia. Nia bukan macam ni. Bertindak agresif." Barulah Wan meluahkan perasaannya.

"Bang, sakitnya perut Nia." Kata Nia. Wan terus membawa Nia ke klinik. Meninggalkan Fikri terkebil-kebil. Seminggu Nia demam. Badannya lebam-lebam akibat menerima tendangan dan tumbukan.

"Bang. Boleh tak jangan bawa Fikri datang ke rumah kita lagi.." Menangis Wan mendengar rayuan Nia.

"Abang janji tak akan bawa Fikri lagi. Abang akan cari perawat lain untuk bantu Nia." Wan menyapu air mata Nia yang mengalir di pipi. Wan terlalu cintakan Nia. Dia sendiri tidak menyangka perkara ini boleh berlaku. Fikri pula seperti tidak ada apa-apa yang berlaku kepadanya. Baginya, dia telah dapat menewaskan entiti yang berada di dalam tubuh Nia. Dia tersilap besar bila beranggapan begitu. Entiti tidak terkesan hasil tumbukan dan tendangan Fikri. Yang menanggung derita ialah Nia.

--------------------
Selepas peristiwa itu Nia tidak lagi seceria dulu. Dia asyik bermuram dan kadang-kadang mengadu kesakitan di badannya. Bisa akibat tumbukan dan tendangan Fikri masih dirasainya. Wan menjadi serba salah bila melihat keadaan Nia. Ini semua berpunca dari dirinya. Bisik hati kecil Wan.

"Nia…." Wan memegang erat tangan Nia.

"Abang minta maaf pada Nia." Diciumnya tangan Nia. Wan terlalu mencintai Nia.

"Sebab abang, Nia yang menderita. Abang pun tak sangka Fikri boleh bertindak sejauh itu." Sambungnya lagi. Air mata Wan mengalir perlahan. Nia turut menangis bila melihat suaminya begitu.

"Nia tak salahkan abang. Abang nak bantu Nia cuma Allah tak izin kita dapat perawat yang betul-betul dapat merawat." Jelas Nia. Dia cuma menenangkan suaminya.

"Abang jangan rasa bersalah. Nia tak pernah menyalahkan abang dan Nia ucapkan berbanyak terima kasih kerana abang tolong jaga Nia." Lega hati Wan bila Nia tidak menyalahkan dirinya.

Di tempat kerja, Wan kerap bertanya rakan-rakan andai mereka tahu siapa yang pandai berubat.

"Di kampung seberang ada seorang bomoh wanita. Aku dengar dia pandai jugak berubat. Hang cuba la." Kata Daim.

"Nah alamat rumah dia. Ada nombor telefon dia sekali." Daim menghulurkan sehelai kertas kecil. Wan kelihatan ceria mendengar perkhabaran ini. Dia sanggup lakukan apa saja demi Nia. Fikirnya kalau berubat dengan bomoh wanita lebih mudah. Ia tidaklah se-agresif. Pulang ke rumah Wan beritahu hasratnya kepada Nia.

"Nia ikut saja apa keputusan abang. Nia tau abang lakukan semua ni untuk Nia." Senyum Wan mendengar pengakuan Nia. Malam tu Nia mula meracau.

"Hang keluaq dari bilik aku ni!!" Tengking Nia pada Wan.

"Nia.. Kenapa ni?" Tanya Wan namun Nia tidak endahkan pertanyaan Wan. Dia asyik bercakap sendirian.

Selepas solat subuh Wan terus menelefon bomoh wanita itu. Bomoh minta Wan dan Nia datang ke rumahnya. Pukul 10 pagi Wan dan Nia bertolak ke rumah bomoh. Sepanjang perjalanan ke sana Nia tidak berbual langsung. Dia hanya asyik pandang ke hadapan saja. Mereka dipelawa masuk oleh bomoh. Bomoh lalu membakar kemenyan. Bau kemenyan memenuhi dalam rumah. Sesekali Wan menutup hidungnya sebab tidak tahan akan bau asap kemenyan tapi Nia kelihatan tiada masalah langsung. Dia duduk berhadapan dengan bomoh.

"Bini hang ni kena sampuk."Kata bomoh pendek.

"Habis, kita nak buat macam mana?" Tanya Wan.

"Takpa. Aku akan hembus asap kemenyan di badan bini hang. Benda tu akan lari keluaq." Kata bomoh. Kedua matanya dipejam. Mulutnya terkumat-kamit membaca jampi serapah lalu dihembusnya asap kemenyan ke tubuh Nia. Tiba-tiba Nia terus pengsan. Wan terkejut.

"Jangan takut. Satgi dia bangun." Kata bomoh lalu menyambung membaca jampi serapah. Di hembusnya lagi sekali ke tubuh Nia. Nia membuka matanya. Dia melihat sekeliling, kemudian menatap wajah bomoh itu dengan tajam.

"Bawa balik bini hang. Dia dah pulih." Kata bomoh lalu Wan menghulurkan sedikit saguhati untuk bomoh.

Dalam perjalanan pulang Nia tetap seperti sebelumnya. Tidak bercakap sepatah perkataan. Wan agak risau dengan perkembangan ini. Wan cuba memulakan perbualan, namun tiada reaksi dari isterinya. Akhirnya Wan membuka radio untuk menghilangkan rasa kurang senang di hati nya.

Setengah jam kemudian mereka sampai. Ketika memasuki rumah mereka, tiba-tiba Nia bersuara…

"Abang, Nia takut. Nia nampak wanita bongkok di ruang tamu." Seram Wan mendengarnya tapi Wan tidak nampak apa-apa.

"Perasaan Nia saja kut. Abang tengok tak ada apa pun." Kata Wan sambil duduk di sofa. Nia juga ikut duduk.

"Nia nak air tak? Abang buatkan." Tanya Wan dan Nia hanya anggukan kepalanya tanda nak. Tiba-tiba Wan terdengar sesuatu aneh di ruang tamu. Bunyi seperti suara orang sedang mendengus.

"Hushhh… Hemm.."

Wan melihat Nia sedang merangkak. Dia seperti ingin mencakar Wan.

"Ya Allah Nia. Apa yang jadi ni?" Terkejut Wan melihat keadaan Nia. Nia menukar posisi. Duduk bersila. Matanya asyik memandang Wan dengan wajah yang marah. Tiba-tiba sekilas pandang Wan melihat wanita bongkok melintas di dapur. Seram mula menyerang Wan. Dia harus membantu Nia. Itu yang lebih penting.

Petang tu aku mendapat panggilan dari Wan.

"Assalamualaikum pakcik Budi. Saya nak minta tolong mai rumah sat boleh ka? Isteri saya ada masalah." Kata Wan. Suaranya kedengaran cemas. Memandangkan aku berdekatan dengan tempatnya maka aku bersetuju.

Petang itu juga aku terus ke rumah Wan. Aku melihat Nia sedang merangkak seperti harimau. Marah dia bila melihat aku. Dia terus bangun ingin menyerang aku tapi sempat dihalang oleh Wan. Wan menceritakan segalanya apa yang berlaku terhadap isterinya Nia. Aku mula mengesyaki sesuatu tapi aku pendamkan dulu. Aku akan menanti penjelasan dari ustaz nanti.

"Wan. Ada wanita bongkok. Dia saka harimau Wan." Terkejut Wan mendengar kata-kataku. Aku terus menghubungi ustaz. Kami membiarkan Nia duduk sambil meratib seorang diri sementara menanti kedatangan ustaz. Wan masih menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku terhadap Nia.

"Kita tak jangka benda ni nak jadi Wan. Bagi pakcik la, Wan dah jalankan tanggung jawab sebagai seorang suami. Bab orang mengumpat di belakang Wan jangan difikirkan. Depa tak pernah berada di tempat Wan. Pakcik dapat rasa sebab pakcik pun pernah jadi seperti Wan." Wan terdiam mendengar kata-kataku.

Tidak lama kemudian ustaz tiba. Aku dan Wan berdua keluar dan bersalaman dengan ustaz di luar rumah. Ketika Wan hendak membuka mulut bercerita, tiba-tiba terdengar Nia bising di dalam rumah.

"Laa… Sapa mai pulak ni?" Nia menjeling tajam. Ustaz hanya tersenyum.

"Awat? Hang pasai apa? Tak suka ka saya datang?" Ustaz berlembut. Marah Nia mendengarnya.

"Suka hati aku la nak kata apa." Kata Nia kasar sambil bingkas nak bangun tapi dipegang Wan. Ustaz meminta Wan cerita segalanya sebelum sesi mengubat dilakukan. Wan menceritakan satu persatu. Ustaz mengerut dahi sambil memandang mukaku.

"Fikri tu dia bukannya pandai. Kebetulan dia mengubat dan sembuh. Jadi dia ingat dia dah boleh mengubat. Seorang perawat tak boleh panas baran. Barulah dia boleh control suasana. Ni bukan mengubat tapi tak membunuh. Jangan dok panggil orang jenis macam tu lagi. Mentang-mentang guru silat dah claim boleh mengubat lepas tu dok hentam orang." Kata ustaz dengan panjang lebar.

"Ni, lagi satu. Jangan la dok percaya bomoh yang guna kemenyan. Sebenaqnya kemenyan tu dok panggil jin datang. Kes bomoh tu sekarang yang jadi masalah ialah dia ambil kesempatan lepas sakanya dekat Nia. Tu yang nampak wanita tua terbongkok-bongkok. Nia la yang jadi mangsanya. Pakjang, wanita tua ada di mana?" Tanya ustaz kepadaku.

XAda di penjuru hall ustaz." Kataku. Ustaz terus scan Nia.

"Dalam badan dia ada banyak tapi ada satu otai. Dia dok control semua. Kita kena buat satu-satu dulu. Last baru kita buat untuk saka." Kata ustaz.

Ustaz terus membaca ayat ruqyah. Nia dah duduk tak senang. Tiba-tiba Nia bingkas bangun lalu membuka bunga silat.

"Mai la kalau nak lawan. Nak tunjuk hebat kan." Nia mencabar ustaz.

"Kalau saya bersilat ni, boleh penat saya pakjang." Aku tertawa dengan gurauan ustaz dan aku dan agak apa tindakannya seterusnya. Ustaz mengeluarkan rotan lalu memukul bantai. Nia jatuh dan menggelupur.

"Sakit la hang pukui aku." Rintih Nia.

"Aikk.. Tadi hebat sangat nak ajak lawan. Saya pukui bantai pun sakit ka?" Kata ustaz. Nia terdiam.

"Memang kita pukui dia pun tapi dengan cara simbolik. Yang terkesan benda yang ada dalam tubuh Nia. Nia takda apa." Kata ustaz kepada Wan. Wan hanya mengangguk.

"Kamu ni jin Islam atau bukan Islam?" Tanya ustaz namun Nia masih mendiamkan diri.

"Saya tanya lagi sekali. Kamu Islam atau bukan Islam?" Tanya ustaz sambil mengangkat rotan, seperti hendak memukul.

"Ok.. ok. Jangan pukui aku. Aku bukan Islam. Ada orang hantar aku agar musnahkan rumah tangga depa. Orang tu marah sebab tak dapat Nia. Dia juga tak bagi Nia mengandung." Jawab Nia sambil tersenyum.

"Berapa lama dah hang duduk dalam badan Nia?" Tanya ustaz lagi.

"Tak lama. Dah 3 tahun aku tinggai sini. Janin dalam rahim Nia aku yang makan. Hehehe.." Nia tersenyum lagi. Wan hanya memandang sayu wajah isterinya.

"Patut la Nia kerap bleeding." Sebak Wan.

"Saya minta kamu keluar dari tubuh Nia atau kamu akan mati." Ustaz sudah tidak berlembut lagi. Selalunya dia akan offer dulu. Mungkin dia pun marah mendengar jawapan dari jin yang ada di dalam tubuh Nia.

"Aku tak mau keluar. Aku diarahkan musnahkan Nia." Jawab Nia.

"Aku tanya sekali lagi. Kamu nak keluar atau nak mati?" Tegas ustaz

"Aku peduli apa. Ingat aku takut dengan gertak kau?" Kata Nia. Lalu ustaz mengeluarkan sesuatu dari begnya. Nia mengerling ke arah benda yang di pegang. Ia adalah kayu panjang yang di gunakan untuk menyembelih makhluk yang tidak mahu bertolak ansur.

"Saya tanya kali yang terakhir. Nak keluar atau mati?" Tanya ustaz sambil mengusap-usap kayunya.

"Aku tak nak keluar!" Bentak Nia.

Ustaz menghembuskan nafasnya dengan berat lalu bangun menuju ke Nia. Dengan lafaz Bismillah ustaz meletakkan kayu di leher Ni dan membaca sesuatu. Nia menggelupur dan akhirnya tidak sedarkan diri.

"Kita biarkan Nia tidur. Bab tu dah selesai. Ni bab saka pulak." Ustaz mengambil angin dulu. Dia keletihan.

"Ustaz. Tak boleh ka kita hapuskan orang yang buat kerja ni?" Aku bertanya. Serta merta ustaz menjeling tajam ke arahku.

"Hishh.. Pakjang ni tak sabaq. Kita bukan Tuhan nak ambik nyawa orang." Kata ustaz.

"Bagi saya ustaz, orang yang dok buat kerja ni tak harus hidup. Dia nak musnahkan kehidupan orang lain." Kataku meluahkan pendapat.

"Betoi kata pakjang dan pakjang pun dah lalui peristiwa hitam tu. Tapi kita kena faham yang kita bukan tuhan. Allah menerima taubat. Saya pun bukan suka sangat nak sembelih jin ni." Kata ustaz panjang lebar dan aku hanya diamkan diri. Mungkin sebab tu Allah tak izinkan aku menjadi perawat.

Ustaz bersila kukuh di hadapan Nia. Dibacanya ayat ruqyah dan Nia tersedar dari pengsan. Terus di bukanya bunga silat.

"Saya akan berdoa kepada Allah moga Allah ikat tangan kamu “. Ustaz membaca sesuatu dan tiba-tiba tangan Nia seperti di ikat. Dia meronta-ronta.

"Kamu siapa?" Tanya ustaz.

"Aku saka harimau." Jawab Nia. Matanya tajam memerhati ustaz tanpa berkedip.

"Kamu datang dari mana?" Tanya ustaz lagi.

"Dari wanita yang buang aku la. Masa nak guna aku dia jaga, masa aku dah tua dia tak perlukan aku lagi." Jawab Nia terbatuk. Sebenarnya saka yang terbatuk.

"Tengok pakjang. Jangan la kita percaya tok bomoh. Mungkin tak semua tapi lebih baik kita berhati-hati. Dari nak berubat lani kita yang ambik hak dia." Kata ustaz. Ustaz mengalihkan pandangan ke arah Wan.

"Kamu nak keluar atau tidak?" Tanya ustaz.

"Memang aku nak keluar tapi tak ada arah tuju. Aku dah tua. Tenaga berkurangan." Jawab saka.

"Kalau kamu peluk Islam, saya akan hantar kamu ke Madinah." Kata ustaz lembut.

"Aku nak buat apa di sana. Aku dah tak kuat." Kata saka.

"Kamu tak perlu bekerja. Di sana kamu hanya perlu berzikir kepada Allah saja." Jawab ustaz.

"Baiklah. Aku setuju untuk peluk Islam." Ustaz tersenyum mendengar jawapan itu.

Ustaz mengarahkan saka mengikut dia mengucap dua kalimah syahadah. Dengan terbatuk-batuk saka mengikut ustaz bersyahadah.

"Sekarang kamu dah Islam. Kamu nak pilih nama apa?" Tanya ustaz.

"Aminah." Ringkas jawapan saka.

"Baiklah Aminah, sebelum kamu saya hantar ke Madinah, kamu mohon maaf kepada mereka yang ada di sini. " Kata ustaz.

"Aku minta maaf dekat kamu semua sebab menyusahkan kamu.." Menangis saka ketika itu dan kami semua memaafkan Aminah.

Ustaz membaca sesuatu lalu mengangkat tangan kanannya membuat isyarat Aminah dihantar ke Madinah. Akhirnya Nia pulih seperti sediakala. Ustaz memandang aku.

"Pakjang. Pi lah upgrade ilmu tu. Sayang kalau pakjang macam ni. Lupakan dulu bab nak hapuskan orang yang hantar." Kata ustaz.

"Saya mana ada ilmu ustaz. Kalau saya ada ilmu, buat apa saya panggil ustaz." Jawab ku. Memang betul. Aku tiada ilmu.

"Susah la deal dengan pakjang ni. Suka hatilah tapi pakjang kena fikirkan kata-kata saya. Saya kenai pakjang ni." Aku tersenyum mendengar kata-kata ustaz. Kami berehat-rehat seketika sebelum meminta diri untuk pulang.

Masa berlalu. Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Kini Wan dan Nia telah memperolehi dua cahaya mata. Keduanya perempuan. Kehidupan mereka sekarang sangat bahagia. Tiada lagi gangguan yang menghantui mereka. Aku kerap bertemu Wan bila berjemaah di masjid. Wan sangat menghormati mereka yang lebih tua darinya.

Sama-samalah kita berdoa moga Allah pelihara Wan Dan Nia juga insan-insan yang telah di sihir. Moga mereka yang suka melakukan perbuatan syirik ini agar segera bertaubat. Kamu telah membuat ramai orang menderita. Jangan lupa, Allah selalu memerhati apa yang kita buat di dunia ini. Tiada satu pun terlepas dari pandanganNya.

TAMAT
==================

Gambar: Dikmang

Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: