PERHENTIAN BAS
===============================
Rafiq sedang memandu motor skuter ego miliknya untuk pulang ke rumah setelah penat bekerja di siang hari. Dia adalah seorang pegawai bank. Ramai orang yang mengatakan bahawa Rafiq adalah seorang yang kedekut kerana tidak mahu menggantikan motor tersebut dengan yang baru.
"Bukan tak nak ganti, elok lagi tu." Dan itulah alasan yang digunapakai setiap kali ibu dan bapanya menyuruh untuk membeli kereta. Dia amat sayangkan skuter itu. Ada ‘sentimental value’. Dia masih fokus dengan pemanduannya sehingga tiba di sebuah perhentian bas.
“Alahai, kenapa ni sayang? Selalunya ok je. Janganlah buat hal. Dah malam ni,” Rafiq memujuk sambil memcuba untuk menghidupkan kembali skuternya.
Setelah cubaannya gagal total, Rafiq menyerah. Dia menolak skuternya ke tepi jalan dan duduk di perhentian bas yang hanya beberapa tapak daripada kedudukannya. Dia mencari nama seseorang di dalam telefon pintar. Hanya orang itu yang akan datang apabila dia berada dalam kesusahan.
Ridwan, sahabat baik Rafiq.
“Assamualaikum, Wan. Kau kena tolong aku, Wan. Motor aku rosak. Tolong ambik aku boleh tak?” Rafiq merayu.
“Haish lah kau ni.... Aku suruh beli motor baru, kau tak nak. Dah ni, menyusahkan aku pulak. Kau kat mana?” Walaupun kata-katanya agak kejam namun Ridwan baik sebenarnya. Sudah 15 tahun mereka berkawan.
“Alah… Elokla gitu… Aku dekat Jalan Cempaka yang ada ‘bus stop’ tu,” Rafiq menjawab pertanyaan Ridwan tadi.
“Aku datang sekarang, Fiq. Kau jangan pergi mana-mana. Kalau nampak apa-apa yang mencurigakan kau diam je, Fiq. Aku datang sekarang,” nada suara Ridwan tiba-tiba berubah. Ada gusar kedengaran. Lantas panggilan dimatikan.
"Budak ni dah kenapa tiba-tiba jadi lembut dengan aku?"
Rafiq menoleh ke kiri dan ke kanan. Cuba mencari pemandangan yang menarik namun tiada apa untuk dilihat. Kiri hutan, kanan hutan, belakang hutan, depan hutan. Gelap. Hanya lampu daripada hentian bas itu sahaja yang terang. Telefon pintarnya berdering ringkas. Pesanan suara daripada aplikasi Whatsapp.
“Wei, tayar aku pancit. Kau tunggu situ. Aku gi ambik kereta jap. Lagi setengah jam aku sampai. Ingat pesan aku, duduk situ. Nampak apa-apa pejam mata je....,” pesanan itu dihantar oleh Ridwan.
"Nampak apa?"
Rafiq dapat menangkap suara halus sedang menyanyi lagu lama disebelahnya. Dia menoleh. Kelihatan seorang ibu sedang mengendong anaknya yang masih bayi. Mereka duduk di bangku bersebelahan dengan Rafiq. Dari mana mereka datang? Si ibu tiba-tiba menoleh ke arah Rafiq.
Dia memakai kebaya merah dan bayinya juga dibalut dengan kain merah. Rafiq terkelu. Kenapa dia menoleh?
“A… Anak akak ke?” Itu sahaja soalan yang tergambar di minda Rafiq ketika ditenung oleh si ibu.
“Ya… Kamu baru pulang kerja? Kerja di mana?” Si ibu berbalas pertanyaan dengan bahasa klasik.
“Saya pegawai bank. Kerja dekat bank sini je kak. Comel anak akak,” Rafiq dapat melihat muka bayi tersebut yang putih gebu dengan pipi yang tembam.
Perbualan mereka berlanjutan dengan rancak. Si ibu masih menggunakan bahasa Melayu klasik. Jawapan terakhir daripada pertanyaan Rafiq kepada si ibu membuatkan dia tersedar sesuatu.
“Saya tengah tunggu kawan saya ni, kak. Mungkin kejap lagi dia sampai kot. Akak tunggu siapa malam-malam ni?” Soal Rafiq sambil berdiri. Kakinya lenguh asyik duduk dari tadi.
“Baik sungguh adik ini. Kakak tunggu suami kakak. Dia sudah berkahwin lain. Dia tinggalkan kami disini. Dah 30 tahun kakak tunggu, dik,” si ibu menundukkan wajahnya.
Kedengaran bunyi hon daripada kereta sahabat Ridwan. Dia memakirkan kereta agak jauh ke hadapan. Tengah jalan dia berhenti. Rafiq menoleh kembali ke arah si ibu dan anaknya. Tiada. Hilang bagaikan asap. Tiba-tiba Ridwan menjerit nyaring. Rafiq berlari ke arahnya. Dia membawa Ridwan yang histeria pergi dari tempat itu. Rafiq memandu agak jauh daripada kawasan tadi dan memberhentikan kenderaan Ridwan di hadapan deretan kedai mamak yang sentiasa buka 24 jam.
Dia mengheret Ridwan keluar dan mereka duduk di meja makan. Muka Ridwan masih pucat namun dia nampak lebih tenang. Dia masih mendiamkan diri. Tidak seperti biasanya. Setelah pesanan di ambil, Rafiq mula bersuara.
“Wei, kau okey tak?” Muka Ridwan yang masih pucat sedikit membimbangkan Rafiq.
Namun pertanyaan itu hanya dijawab dengan gelengan daripada Ridwan.
“Tadikan dekat ‘bus stop’ ada akak tu cakap dia dah tunggu suami dia tahun dekat situ. Pelikkan? Kelakar pun ada. Tapi kalau dia tunggu dah 30 tahun, mestilah tua, tap ini cantik je,” Rafiq membuka cerita untuk menenangkan keadaan.
“Kau tak tahu ke sejarah tempat tu?” Ridwan bersuara perlahan.
“Tak. Kenapa?” Rafiq memang tidak pernah ambil tahu pasal sejarah. Dia memang kurang mengemari subjek yang perlu mengingat banyak fakta itu. Ridwan mengeluh berat.
“30 tahun dulu, ada sorang suami ni ada dua bini. Bini baru dia tak suka dekat bini lama dia. Jadi dia suruh suami dia ceraikan bini lama. Tapi suami dia ni tak sampai hati sebab bini pertama dia tengah mengandung. Jadi si suami ni hantar dia balik kampung dan janji nak jumpa dengan dia setiap 15 haribulan dekat hentian bas tu.
Lepas tu, suami dia ni tak pernah datang sebab dah kantoi dengan bini baru yang suami dia ni tak ceraikan bini lama tapi isteri dia tetap tunggu tiap-tiap bulan dekat ‘bus stop’ tu. Sampai dah lahir pun budak tu suami dia masih tak datang.
Ada satu hari ni dia tunggu suami dia seperti biasa dengan ‘baby’ tu, dia kena heret dalam hutan dan diperkosa oleh sekumpulan lelaki. Dia ditanam hdup-hidup dengan ‘baby’ tu sekali. 3 bulan lepas tu baru jumpa mayat diorang,” Ridwan bercerita. Rafiq terkedu.
“Habis tu aku berbual dengan siapa dekat setengah jam tadi tu?” ada getar dalam suara Rafiq
“Sebab tu bila kau cakap cantik tadi, aku terkejut sebab tak sama dengan apa yang aku nampak,” riak wajah Ridwan berubah.
“Apa yang kau nampak?” Rafiq bertanya..
“Masa aku hon kau, serius aku tak nampak apa-apa. Kau cakap sorang-sorang masa tu. Aku risau. Aku park jauh sikit. Masa aku keluar aku nampak perempuan rambut panjang mengerbang tengah dukung batu nisan duduk dekat kerusi sebelah kau berdiri,” Ridwan berkata penuh yakin.
Rafiq seakan tidak percaya. Namun, akak tu datang dan pergi dalam sekelip mata. Dari mana dan kemana? 30 tahun tu …? Takkan Rafiq berbual dengan Pontianak selama hampir 30 minit…
“Sumpah, aku tak bohong kau. Aku tak pernah bohong kau,” Ridwan nampaknya jujur.
Sejak hari itu, Rafiq mengambil keputusan untuk mendengar nasihat ibu dan bapanya. Dia membeli kereta baru. Dia juga telah mengubah laluan untuk pulang ke rumah. Jauh pun jauhlah, asalkan selamat.
TAMAT.
=========
Suntingan: nadey
Karya adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment