Showing posts with label Naj. Show all posts
Showing posts with label Naj. Show all posts

Sunday, 1 April 2018

KACAU - Naj


Tajuk: Kacau

Karya: Naj
============

Cukup berani kah kau bertentang mata dengan makhluk yang tidak biasa dilihat manusia? Jin? Syaitan? Bunian? Atau kau rasa lebih baik tidak nampak, cukup lah mendengar saja bunyi-bunyian yang diperdengarkan di halwa telinga? Mungkin kah kau jenis manusia yang lebih terbuka menerima penampakan entiti dan makhluk-makhluk ini dari mendengar saja? Mendengar bermakna, kau tak tahu dia sebenarnya berada di mana. Di atas? Belakang? Atau di bawah katil sedang menanti kau menjenguk?

Cerita yang akan aku sampaikan kali ini, juga berdasarkan kisah benar yang dilalui adik aku, Dayah. Sebarang penambahan dan perubahan cerita serta tokok tambah hanya untuk menjadikan cerita ini lebih menarik. Agar kau tak tertanya dan ternanti, gerangan siapa akan ziarahi kau malam ini.

*******
Ralit aku memerhati anak-anak berlari ke hulu ke hilir di koridor rumah pangsa yang dihuni emak. Sesekali aku turut tergelak bila anak-anak aku berlari ke arah Dayah dan memeluk Mak Su mereka dek rindu bermain bersama. Maklumlah, kini aku tinggal sendiri bersama suami dan anak-anak. Tidak lagi duduk dengan emak dan bapak.

"Kak. Kau tau kan sekarang aku tidur sendiri?"

Dayah memulakan bicara. Aku tersenyum sinis. Dayah anak manja. Tidur beralaskan lengan emak. Biasalah. Anak bongsu. Tetapi bila aku baru berkahwin dan tinggal dengan emak, Dayah tidur sebilik dengan emak dan bapak kerana aku dan suami menginap di bilik satu lagi. Sekarang, bebas lah Dayah. Tidak perlu bertudung litup dan berbaju sukan muslimah untuk menutup aurat setiap masa. Tidur juga beralaskan tilam empuk katil bersaiz permaisuri. Bukan lagi tangan emak. Bilik itu, dia yang punya.

"Habis kenapa?" Aku soal kembali.

"Dulu masa kau ada, aku kan tengok cerita hantu kat Astro Warna tiap malam Jumaat. Mesti kau teman aku tengok kan?"

Aku mencebik biarpun Dayah tersengih-sengih mengenangkan betapa penakutnya dia sebenarnya. Gadis yang belum berpunya ini seorang hafizah. Menghafal Quran 30 juzu'. Aku sikit pun tidak pandang rendah akan sikap penakut Dayah.

Benda yang kita tak nampak, memang akan rasa seriau dan seram. Entah bagaimana rupa dan suara makhluk ni semua.

"Memang. Kau penakut. Kenapa kau cakap benda ni tiba-tiba?"

Dayah kelihatan termenung seketika walaupun masih lagi berada di hadapan anak-anak aku yang terjerit-jerit kesukaan berlari sana sini.

"Malam Jumaat minggu lepas, aku tengok cerita hantu. Waktu tidur, aku kena kacau!" Membesar mata Dayah menyatakan kesungguhan cerita.

Terkejut juga aku dengar. Dayah bukan jenis yang biasa diganggu makhluk halus. Selalunya, kak Ain, kakak kami. Atau emak, atau aku!

"Apa jadi??" Soal aku, berminat ingin tahu. Bolehlah dijadikan cerita bacaan peminat laman AAN. Detik hatiku.

Dayah memeluk anakku yang kecil lalu bersuara...

"Macam ni ceritanya...."

******

Aku Dayah. Bukan nama aku yang sebenar pun si Naj ni guna. Tapi itu bukan apa yang aku nak sampaikan.

Aku dah besar. 25 tahun. Dah bekerja. Dan aku seorang manusia yang masih cuba menghafal Quran. Mengulang itu penting. Terlebih lagi aku perlu menghafal dengan ustaz setiap Ahad. Jika tidak mengulang, ustaz pasti tahu! Hebat asatizah kita ini.

Kenapa aku cerita tentang hafalan Quran dan mengapa kak Naj menyentuh soal ini ada kena mengena dengan gangguan yang aku baru alami.

Khamis malam minggu lalu, ya, malam Jumaat, aku menonton cerita hantu di kaca tv. Astro Warna lebih tepat lagi. Aku suka tengok cerita begini. Laman AAN pun aku selalu layari dan baca cerita penulis-penulis hebat laman tersebut. Tapi, aku memang penakut.

Malam tu, aku tengok cerita hantu sendiri. Entah apa yang merasuk sehingga jadi berani. Waktu tidur, aku selubung. Bukan sebab takut ha.. Sebab penghawa dingin yang emak pasang tu sejuk. Aku malas nak ubah, jadi aku selubung saja.

Disebabkan baru habis tengok cerita yang menakutkan, aku tidak meneras dan mengulang hafalan seperti yang aku lakukan tiap malam. Aku terus tidur. Janji tidur secepatnya. Tidak lah terfikir cerita hantu yang menghantui benak aku ni.

Sedang aku dalam lena yang tidak berapa nyenyak, aku tersedar tanpa membuka mata. Kedengaran suara wanita ketawa! Ah sudah! Cuma aku, emak dan bapak dalam rumah ni. Emak tentu dah nyenyak di dalam kamar peraduannya.

Aku menahan nafas. Terdengar lagi hilaian tawa yang tidak nyaring. Seperti mengejek tetapi memanggil aku untuk menjenguk di balik selimut tebal yang aku buat selubung. Tetapi aku masih pejamkan mata. Di minda, aku dah bayangkan lari seperti lipas kudung ke bilik emak. Namun badan aku kaku. Aku cuba berkalih ke kiri pun tidak dapat aku bergerak.

Wanita yang entah siapa masih lagi ketawa mengejek. Perlahan saja tetapi jelas. Peluh dingin sudah mula merecik di dahi. Ya Allah! Ni mesti sebab aku tak mengulang hafalan tadi! Hati aku terdetik. Ayat-ayat Quran begitu suci sebab itu lah boleh jadi pelindung diri.

Aku masih cuba menggerakkan badan. Aku paksa mata aku untuk terbuka tetapi semuanya hampa. Sikit pun aku tidak dapat gerakkan apa-apa.

Sedang aku melawan entah apa-apa dengan Allah di dalam hati dan cuba memaksa diri aku untuk bergerak, ada tangan yang mengusap lengan aku tiba-tiba. Ada orang nak peluk aku dari belakang! Ni tak boleh jadi!

Akhirnya, aku dapat membuka mata seluasnya. Aku besarkan kelopak mata agar aku sedar yang aku bukanlah bermimpi dan aku sepenuhnya tahu apa yang sedang terjadi.

Sambil itu, terkumat-kamit mulut aku membaca ayatul Kursi. Mujurlah aku dapat selami. Kalau tak, sia-sia bacaan yang tidak bermakna.

Tawa itu kedengaran lagi. Aku terus duduk dan mencampak selimut ke tepi. Aku ingin lari tetapi, aku mesti berdepan dengan makhluk ini. Aku tak boleh lari dari masalah!

Dengan bebola mata yang kubuka seluasnya, aku memandang seluruh bilik. Besar mata aku, aku tunjuk pada kak Naj. Katanya, sama seram dengan pontianak dalam kaca tv.

Berbalik pada cerita, aku memutuskan untuk tidak lari ke bilik emak. Sebaliknya, aku mahu lawan. Aku mesti berani. Makhluk ni ciptaan Allah seperti aku juga.

Aku baca segala ayat pelindung diri dan tidak lepas membaca ayatul Kursi.

Waktu itu pintu bilik aku diketuk laju.

"Dayah! Dayah!"

Suara emak! Pantas aku menuju ke pintu untuk membukanya. Tetapi langkah aku terhenti. Ada yang mencurigakan dengan suara yang aku dengar ini.

"Dayah buka pintu! Kenapa kau memekak malam-malam buta ni? Kau ngigau ke??"

Suara emak kedengaran risau. Sama risau dengan aku yang meragukan manusia yang mengetuk pintu bilik aku. Aku telan air liur. Aku mengalihkan pandangan ke bahagian bawah pintu yang mempunyai ruang sedikit.

Cahaya dari ruang tamu menunjukkan tiada bayang kaki di ruang tersebut, bermakna tiada siapa sebenarnya di hadapan bilik aku!

Aku kuatkan lagi bacaan. Bergetar suara aku cuba menahan ketakutan. Menggigil tangan dan kaki aku waktu itu. Peluh pun sudah membasahi dahi dan muka. Ya Allah! Dugaan apa lah malam ni??

"Dayah! Buka lah pintu ni! Kau okay tak tu?? Ke kau dah tahu?" Kali ini, tawa mengejek itu terus bertukar menjadi hilaian tawa yang nyaring. Aku memanjat katil dan bersandar. Kedua lutut aku peluk sambil aku menyebut "Allah! Allah!"

Katil pula bergegar seperti digoyang tiba-tiba. Pintu dan tingkap bilik diketuk kuat bertalu-talu pada masa yang sama. Aku tinggal di tingkat 12! Siapa yang rajin memanjat dan mengetuk tingkap??

"Allah!! Allah!!!" Aku menjerit sambil menangis kuat. Aku mula membaca ayatul Kursi atau lebih tepat lagi menjerit sewaktu membaca. Sungguh ya Allah, aku takut!

Dalam keadaan aku cuba selami bacaan dan meminta bantuan Allah, aku terlihat cahaya putih memancar dari arah tingkap bilik. Tidak berani dan sangkakan aku akan mati ketakutan, aku mula membaca syahadah.

This is it. Aku akan mati. Menyesal aku tak mengulang tadi. Rintih hati aku.

Sudahlah diganggu, tidak sempat aku mengulang hafalan buat kali terakhir sebelum aku mati.

Cahaya putih yang memancar tadi semakin terang dan menyelungi satu kamar tidur aku. Silau dan menyebabkan aku rebah dengan denyutan jantung yang laju.

Sebelum aku hilang kesedaran, aku terdengar suara jeritan nyaring seorang wanita. Jeritan kesakitan yang teramat. Kemudian, aku pengsan.

Aku sedar dalam keadaan mamai. Seperti berada di atas awan yang empuk, aku berada di suatu tempat yang semuanya putih. Alah. Macam cerita Hollywood. Atau King's Cross Station yang bersih dan putih dalam minda Harry Potter sewaktu Voldemort menggunakan jampi pasti-matinya ke atas Harry.

Aku termangu-mangu. Sudah mati kah aku?

Dalam keadaan pelik dan tertanya-tanya, kelihatan satu kelibat berjubah putih dan berkopiah putih serta wajah yang bersih bercahaya datang mendekati. Aku tersentak. Rindu datang bertamu. Arwah yayi. Yayi bermakna atuk ya di dalam bahasa Melayu.

Arwah yayi merupakan seorang yang warak dan disegani anak-anak muridnya. Meninggal dunia pada waktu aku masih kecil lagi.

Namun kini arwah ada di hadapanku. Dia mengusap lembut kepala aku yang bertelekung. Mungkin ini kain kapan. Hatiku berbisik.

"Dayah.. Yayi bangga dengan kau. Rajinkan mengulang hafalan. Jangan lalai dengan cerita jin dan syaitan saja. Tak salah tapi utamakan Allah sentiasa ya."

Bergenang air mataku mendengar pesanan arwah yayi. Aku mengangguk pilu. Aku tatap wajah bersih yayi sepuas hati. Dan tiba-tiba, aku tersedar. Azan subuh terus berkumandang di masjid berdekatan.

Terasa air hangat membasahi pipi gebu aku yang kak Naj suka cubit ini. Aku di atas katil yang berselerak. Bantal dan selimut tercampak di mana-mana.

Aku beristighfar perlahan. Bila terkenangkan mimpi tadi, aku rasa sayu kembali. Terima kasih, arwah yayi. Terima kasih Allah kerana Kau temukan aku sekejap dengannya.

Benar atau tidak mimpi itu, aku tidak tahu. Pengajaran yang aku dapat, aku akan lebih rajin berusahan mengulang ayat-ayat suci Al-Quran. Allah lebih Besar. Lebih Berkuasa dari jin dan iblis yang Dia cipta.

*****

"Ha! Tu lah kau tak ngulang!" Aku mencebik mendengar cerita Dayah.

Dayah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih-sengih.

"Yayy ayah datang! Ayah datang!" Jeritan kesukaan anak sulungku kedengaran.

Kelihatan suamiku baru keluar dari perut lif sambil mendepakan tangan untuk memeluk anak-anak. Aku hanya tersenyum lalu kembali melihat Dayah.

"Kau untung. Tak semua hafal Quran macam kau. Tak semua ada peluang. Jadi malam ni, kau ngulang sebelum tidur. Jangan nak tengok cerita hantu je."

Aku menepuk bahu Dayah kuat. Jujur aku bangga dengan Dayah. Dia sangat taat kepada emak dan bapak. Moga syurga firdaus buat Dayah. Dan Al-Fatihah untuk arwah yayi yang kami semua rindui.

*Berdasarkan kisah benar. Mohon admin jangan tag saya di FB jika cerita ini diterima. Mohon maaf atas kekurangan dalam penulisan dan penceritaan. Terima kasih admin kerana sudi membaca.

Yang benar,

Naj

=============

Gambar dan suntingan: Dikmang

Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Thursday, 23 November 2017

KAU YANG BERNAMA SERI - Naj


KAU YANG BERNAMA SERI
Karya : NAJ
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

-------------------------------------------------------
"Seri... Bangun Seri." Kedengaran suara lunak mengejut Kak Seri dengan perlahan.
Kak Seri menggigil ketakutan.
“Ya Allah... Tolong...”
***
"Dah macam panda aku tengok kau, Kak. Kau tak tidur ke malam tadi?" Aku menegur Kakakku, Seri, yang sedang berjalan ke arah meja makan sambil menguap kecil.
Mak ayah awal pagi sudah gerak ke Terengganu. Ada jemputan daripada kawan rapat mereka katanya. Alang-alang ke Terengganu, mak kata nak honeymoon lagi di Pulau Perhentian. Amboi seronoknya......
"Ala… Kau macam tak tau je." Kak Seri menjawab sambil tangannya mencedok nasi goreng yang sempat mak masak subuh tadi.
Kak Seri memang mudah diganggu. Sejak kecil selalu saja mengigau dan bermimpi buruk. Tapi keadaannya tidaklah teruk sehinggakan dia dirasuk atau boleh nampak makhluk halus. Selalunya diganggu waktu tidur malam.
"Apa jadi Kak? Cuba kau cerita." Aku mula menyibuk. Permintaanku disambut dengan jelingan tajam oleh Kak Seri.
"Kau jangan nak mengada. Mak ayah tak ada ni, niaya kalau aku buKak mulut. Tak pasal-pasal lagi teruk nanti kena." Bebel Kak Seri sambil menyumbat sesudu nasi goreng ke dalam mulut.
Aku cuma tersengih. Aku tidur sebilik dengan Kak Seri dalam rumah teres yang ada 3 bilik ini. Setiap kali Kak Seri diganggu, pagi esoknya mesti dia tiada dalam bilik. Mesti dia menyelit di antara mak dan ayah aku. Umur Kak Seri?? Hmm sudah pertengahan 20-an.
Tapi memang Kak Seri anak kesayangan ayah. Ayah faham keadaan Kak Seri dan tak kisah pun. Mak pun begitu. Malas mahu layan. Janji tidurnya lena.
"Kau memang suka tinggal aku sendiri dalam bilik kan? Nasib baik benda alah tu tak kacau aku bila kau lari keluar. Kalau tak... Mati aku Kak. Aku lagi penakut dari kau."
Dengan mulut yang penuh, masih lagi aku mahu bersuara. Kak Seri cuma diam. Entah apa yang difikirkannya. Aku habiskan nasi di pinggan dan berlalu ke dapur.
***
Malam itu aku tertidur awal. Walaupun sedang berbual dengan Kak Seri, aku rasa terlalu mengantuk. Harapnya, tidaklah Kak Seri diganggu lagi malam ini.
***
Sekitar waktu tengah malam aku terjaga. Dalam keadaan mamai, aku membuka mata separuh dan melihat Kak Seri di sisi aku. Kami tidur bersama di atas katil bersaiz queen. Tempat Kak Seri tidur berdekatan dengan pintu bilik.
Tak semena-mena aku nampak seorang perempuan berambut panjang dan berbaju putih di hadapan pintu bilik. Perempuan itu kelihatannya tidak memandang aku. Aku terus menutup mata. Bulu roma habis mencanak naik. Harapnya 'benda' itu tak sedar yang aku dah terbangun.
Segala cerita seram tentang budak kecil yang mengira orang yang sudah tidur, atau cerita seram lainnya tentang orang yang terbangun dan ada pocong bergolek keluar dari bawah katilnya semua bermain di minda aku.
“Aduih.. Time macam ni otak aku nak fikir benda-benda ni...” Keluh aku dalam hati.
"Seri.... Bangun Seri..."
Aku terdengar suara wanita mengejut Kak Seri. Aku mula menggigil. Mahu terkencing dibuatnya jika perempuan itu mengejut aku pula.
Janganlah dia nampak selimut aku gerak-gerak sebab menggigil... Ya Allah.....
Entah kenapa perkara sebegitu yang berada dalam otak aku pada waktu kritikal begini.
"Seri.... Bangunlah... Tengok muka aku.. Cantik tak?"
Aku rasa nak pengsan. Aku tak rasa mahu terkencing lagi. Makhluk apa yang menanyakan soalan itu pada Kak Seri? Aku dengar suara dia saja pun sudah rasa ingin pengsan.
Ahhhhh! Kenapalah aku belum pengsan lagi ni? Aku dah tak sanggup hadapi ketakutan ni. Tolonglah pengsan!
Degupan jantung begitu laju dan kuat sampaikan aku boleh dengar bunyi dari dalam dadaku sendiri. Aku mula baca ayat kursi dalam hati. Air mata aku dah mula mengalir laju.
"Seri... Kalau muka aku cantik, bangunlah. Buka mata kau. Tengok aku..."
Kedengaran suara wanita itu lagi.
“Ya Allah.... Tak pergi lagi?!” Jerit hati aku.
"Seriiii........... buka mataaa........" Suara wanita itu berubah garau dan garang. Bagaikan dia marah kerana Kak Seri belum bangun lagi.
"SERIIII !!!"
"Aaaaaaaargghhh!!!"
Aku terus terduduk apabila terdengar jeritan Kak Seri. Kak Seri kelihatan terbungkam. Wanita yang aku nampak tadi hilang entah ke mana.
Dalam keadaan takut, aku memeluk Kak Seri dan cuba meredakan tangisannya. Aku tahu sekarang, kenapa Kak Seri selalu lari bila mengigau. Mungkin Kak Seri bukan mengigau pun selama ini.
"Istighfar Kak. Ingat Allah. Baca ayat kursi Kak..." Aku mengusap belakang tubuh Kak Seri yang mengongoi bagai budak kecil.
"Naj...." Kak Seri panggil dalam sedunya.
"Ya Kak…"
"Cantik tak muka aku Naj......"
Usapan aku terhenti. Kak Seri mendongak melihat aku sambil tersenyum. Refleks secara semulajadi, aku menolak Kak Seri dan turun dari katil. Menggigil-gigil badan aku waktu itu.
"Cantik tak muka aku Naj??" Tanya “Kak Seri” lagi sambil kepalanya diiring ke kiri dan ke kanan.
Aku cepat-cepat mahu membuka tombol pintu. Tetapi entah kenapa tak dapat dibuka. Kelam-kabut aku sambil menangis-nangis dengan tangan yang menggeletar cuba menarik tombol pintu.
"Naj…"
Segala kelakuan aku terhenti. Bisikan yang betul-betul berada di belakang aku amat menyeramkan.
"Tengoklah aku, Naj. Cantik taaaaaaakk........." Hilaian tawa Kak Seri di belakang aku membuatkan jantung aku terhenti rasanya. Akhirnya aku betul-betul pengsan.
***
"Woi Naj! Bangunlah! Kenapa tidur sini? Buat orang takut je."
Aku terpisat-pisat bangun. Kak Seri melihat aku dengan wajah berkerut. Aku terbangun dan terus berdiri.
Waktu itu aku tersedar yang aku tidur dalam keadaan duduk di hadapan meja solek. Tangan kanan aku menggenggam sikat berus yang kami selalu guna.
"Kak... Kau mengigau kan malam tadi?"
Aku mencucuk pipi Kak Seri dengan jari telunjuk aku. Ingin memastikan itu betul-betul Kak Seri. Dia menepis kasar.
"Apa kau merepek? Kan semalam lepas makan tengah hari aku cakap aku nak tidur rumah Jihan. Dia kan buat girls night sebab minggu depan nak kahwin dah." Kak Seri cuba mengingatkan aku lagi.
Berkerut-kerut dahi aku cuba untuk mengingat.
Ya. Semalam Kak Seri kata ingin keluar. Tapi waktu aku mahu tidur, Kak Seri pun masuk bilik ingin tidur dan ketika itu entah kenapa aku tidak ingat langsung pesanannya.
"Kau kena kacau ke dik?" Kak Seri memegang bahu aku. Aku yang sudah mula sedar apa yang terjadi sekadar mengangguk perlahan.
"Dia tanya kau ke?" Kak Seri menyoal pantas. Aku terkejut. Macam mana Kak Seri tahu?
"Aku rasa, baik kita dua blah dari sini sementara tunggu mak ayah balik." Sambung Kak Seri lagi.
Aku yang masih terpinga-pinga hanya mengikut saja.
Sepanjang minggu itu, kami tinggal di rumah Mak Busu, adik kepada mak yang tak jauh dari kawasan perumahan kami. Bila Mak Busu tanya, rupanya Kak Seri selalu tidak membaca doa sebelum tidur. Jarang mengambil wudhu' waktu bersiap-siap untuk tidur walhal dirinya senang diganggu.
Bila fikirkan semula, aku juga sedar yang malam itu aku tidak membaca doa tidur, ayat kursi dan 3 qul seperti selalu. Mungkin makhluk tersebut mengacau aku sebagai ganti ketiadaan Kak Seri. Atau mungkin juga kerana mulut aku celupar sangat pagi itu sewaktu sarapan.
Berpandukan peringatan Mak Busu, Kak Seri mula rajin membaca surah al-Mulk, 3 Qul, ambil wudhu' dan baca ayat kursi sebelum tidur. Kadang-kadang kami baca bersama-sama di atas katil semasa mempersiapkan diri untuk tidur.
Penat macam mana pun tetap kami lakukan juga. Dan dengan izin Allah, memang Kak Seri tidak diganggu makhluk itu lagi. Pernah. Tapi jarang sangat.
Aku pun sekarang sudah berpindah. Maklumlah, sudah berkeluarga dan beranak dua.
Sebagai pengajaran, ayuhlah bersama-sama tingkatkan amalan kita. Keraplah mengingati Tuhan. Solat jangan alpa. Mengaji juga jangan dilupa.
-TAMAT-
Nota: Kisah ini adalah adaptasi daripada pengalaman sebenar.
Karya : NAJ
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Monday, 6 November 2017

ANAK - Naj


ANAK
Karya: NAJ

=========================
Kedengaran suara anakku yang berumur 14 bulan merengek dan meraung-raung di luar tandas. Aku yang baru saja melangkah masuk hanya mampu tergelak kecil dan melihat kedua tangannya di sebalik pintu tandas itu.
Pintu tandas ini pula jenis plastik berwarna yang membolehkan aku nampak bayang di luar. Jadinya, aku dapat lihat anak kecil aku, Azmi, mengetuk-ngetuk pintu tandas tanda ingin aku segera keluar.
"Sabarlah Azmi... Ibu mandi sekejap je ni." Kataku separuh menjerit. Kemudian terdengarlah budak kecil itu menangis sambil mulutnya membebel entah apa-apa menjauhi pintu.
Nampaknya, sesi mandi badak lagi lah ni. Hatiku berbisik sambil aku sendiri tergelak kecil. Rasanya, ini perkara biasa yang dilalui oleh para emak di luar sana juga.
Usai mandi, aku keluar dan terlihat anakku sedang berbaring di atas katil sambil meminum susunya.
"Ha... Kan good boy macam ni. Ibu mandi sekejap je lah." Sambil aku mencuit-cuit pipi gebu Azmi. Tersengih-sengih satu-satunya anakku itu yang mana membuat hatiku terasa bahagia.
-------------
"Tadi dia ketuk-ketuk gegar pintu toilet tu. Nasib lah kecik lagi budak ni, bang. Kuat betul." Aku bercerita tentang apa yang terjadi petang tadi pada suami yang sedang santap.
Suamiku ketawa mendengar ceritaku. Dia mencium kepala Azmi yang berada di pangkuannya.
---------
Aku jenis manusia yang minum air sekurang-kurangnya 4 liter sehari. Amalkan gaya hidup sihat lah katakan. Jadi, memang normal untuk aku bangun setiap malam pada pukul 1 atau 2 pagi untuk ke tandas.
Aku cium pipi gebu Azmi di sisiku sebelum aku melangkah ke tandas. Nyenyak betul anak dan suamiku tidur. Kepenatan masing-masing barangkali.
Sedang aku membuang hajat, kedengaran rengekan dari luar tandas. Mula-mula jauh dan semakin lama semakin hampir. Suara Azmi merengek dan menangis kedengaran betul-betul di luar pintu tandas. Dan kelihatan lah kedua tangannya melekap di pintu dan mengetuk-ngetuk meminta aku segera keluar.
Tidur mati abang ni. Anak turun katil merengek pun tak sedar. Bisik hatiku.
Segera aku selesaikan apa yang patut. Azmi masih lagi menangis di luar tandas. Aku buka pintu dengan cepat. Sunyi.
Tiada rengekan. Tiada tangisan. Tiada Azmi di luar tandas. Aku terpaku bagaikan kakiku digam.
Azmi dan suamiku masih lagi nyenyak di atas katil. Tak terusik kelihatannya. Waktu itu lah aku terdengar suara anak kecil seperti suara Azmi menangis di belakang aku, di dalam tandas. Sayu betul. Mendayu-dayu sama seperti waktu Azmi ingin aku segera mendapatkannya.
Aku tidak tunggu lama. Aku terus lari naik ke atas katil dan bersembunyi di bawah selimut. Azmi aku peluk erat. Entah bila, aku tertidur.
Kejadian malam tadi aku tidak ceritakan pada suamiku. Mungkin cuma kejadian yang sekali lalu. Jadi tak perlu nak membuatnya risau tak bertempat.
Sesi mandi badak perlu aku lakukan sebelum Azmi sedar aku tiada di sisinya. Khusyuk anak kecil itu bermain dengan kereta api Thomasnya.
Mandi badak ni memerlukan beberapa minit saja. Jimat air.
Baru saja aku habis menggosok gigi, bunyi tangisan Azmi mula kedengaran. Mestilah. Tentu dia terdengar aku menggosok gigi tadi.
Cepat-cepat aku mandi dan mengenakan baju. Namun, apa yang aku lihat di pintu tandas buat aku terduduk di atas mangkuk jamban.
Bayang telapak tangan Azmi jelas aku lihat menepuk-nepuk pintu tandas. Tetapi.... Ada sepasang lagi tangan milik budak sekecil tangan Azmi juga sedang menepuk pintu tandas. Merinding bulu roma aku rasa. Siapa yang ketuk? Azmi atau bukan? Siapa seorang lagi yang menangis?
Memikirkan keselamatan Azmi, pantas aku buka pintu tandas. Azmi kelihatan teresak-esak bila melihat aku di depan mata. Aku terus mendukung Azmi dan meredakan tangisnya. Ya. Cuma Azmi yang berada di situ.
Kini sudah hampir 2 bulan kejadian kerap berulang, ada kala jika gangguan berlaku tengah malam aku jadi takut hendak buka pintu tandas. Bunyi tangisan dan tepukan di pintu tandas buat aku ketakutan dan berserabut. Menggigil-gigil aku menekup kedua-telinga sambil aku menangis namun cuba untuk tidak mengeluarkan suara.
Jika dulu aku hanya melihat sepasang tangan yang asing selain Azmi. Kini apa yang aku lihat di pintu adalah bayang - bayang 4 pasang tangan kecil sedang menepuk-nepuk pintu sambil kedengaran semuanya menangis dan merengek. Kesemuanya suara seperti Azmi. Dari tangisan itu aku dapat menangkap bukan bunyi dari seorang dua bayi, malah lebih!
Dalam kekalutan itu aku beranikan diri keluar dari tandas juga, dengan pantas aku mengunci pintu itu dari luar. Aku melihat Azmi dan suamiku masih nyenyak tidur di atas katil. Aku mengangkat kaki dan baring di sebelah Azmi, melentang dan menarik selimut. Mata aku masih melekat pada pintu tandas.
Siapa mereka?? Apa mereka mahu dari aku??
Tiba-tiba, pintu tandas terbuka walaupun sudah aku kunci sebentar tadi! Kelihatan beberapa pasang tangan kecil yang pucat kebiruan menguak pintu tandas perlahan-lahan.
Habis kaku satu badan, hendak mengejut suami, suaraku hilang. Aku cuba untuk mengiring, badanku seperti disimen keras. Aku hanya mampu memejam mata dan berzikir mengharapkan gangguan itu lenyap. Malam itu aku berzikir sehingga terlelap.
Perlu ke aku memberitahu suamiku mengenai hal ini?
=================
Suntingan & Gambar: #kamenrider

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Thursday, 12 October 2017

JALAN BAHAR - Naj


JALAN BAHAR
Karya: Naj

Kereta Honda Civic lama meluncur laju di lebuhraya PIE. Kami dalam perjalanan pulang dari kenduri di Jurong West.
Aku yang masih berusia 11 tahun bersama kakak aku, Ani dan adik aku, Dayah, saling menyanyi kesukaan. Lagu kumpulan Spin berkumandang di dalam kereta. Kaset album Hadirlah Mustika itu baru kami beli beberapa hari yang lepas. Kami bertiga memang peminat arwah Achik dan Siti Nordiana.
Waktu itu, jam menunjukkan pukul 11:30 malam. Emak memandu sambil berbual-bual dengan mak cikku di sebelah. Kami tiga beradik masih menyanyi-nyanyi. Sekejap-sekejap kami ketawa. Rasa lucu mendengar suara sendiri.
Kemudian Emak dan makcikku tiba-tiba senyap.
"Alamak! Esah termasuk Choa Chu Kang pulak." Emak mendengus geram. Maklum lah, waktu sudah malam. Kami pula sedari tadi leka menyanyi. Emak dan Cik Mas berbual rancak sampai tak sedar sudah tersilap jalan.
Seharusnya Emak jalan terus dan nanti akan menjumpai lebuhraya KJE dan seterusnya SLE untuk menghantar Cik Mas pulang. Tetapi termasuk pula ke Choa Chu Kang.
Emak ni jenis tahu semua jalan di Singapura. Sana sini emak tahu perlu menggunakan laluan yang mana. Tapi biasa lah, kadang-kala tersilap juga. Oleh itu, kami dengan penuh keyakinan merasakan sudah tentu emak tahu pusing balik ke lebuhraya PIE. Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam.
"Esah, kita dah lalu jalan ni tadi." Cik Mas bersuara perlahan.
"Dari tadi kita dok pusing-pusing kawasan perumahan Choa Chu Kang ni. Tengok. Dah 2 atau 3 kali kita lalu sini," ujar Cik Mas sambil menunjukkan papan tanda Choa Chu Kang.
Aku, Kak Ani dan Dayah sudah mendiamkan diri. Meremang bulu roma aku tiba-tiba. Ada yang tidak kena ni.
Emak senyap saja. Mungkin kami semua sudah rasa semacam. Jalan raya sunyi sepi. Hanya kereta kami saja yang sedang menyusuri jalan ini.
"Eh, macam mana boleh masuk ke sini??" Agak tinggi nada suara emak.
"Esah ni Jalan Bahar ni." Cik Mas kelihatan kaget.
"Aku tadi nak keluar jalan lain. Aku tak sedar boleh termasuk ke sini," Emak menjawab. Dapat aku lihat yang Emak agak terkejut dan kerisauan jelas terpancar di wajahnya. Aku, Kak Ani dan Dayah senyap saja. Ketakutan sebenarnya.
Jalan Bahar ini adalah laluan ke tanah perkuburan Islam. Memang terkenal dengan cerita-cerita seram seperti Lebuhraya Karak. Emak terus mematikan kaset. Di dalam kereta menjadi sunyi sepi. Aku sudah rasa ingin menangis. Siapa suruh kesukaan sangat tadi sampai tak ingat dunia?
"Naj, Ani, Dayah, baca ayat kursi." Emak menyuruh dengan tegas.
Kami terus membaca ayat kursi dengan perlahan. Berdoa di dalam hati agar kami tidak tersesat sehingga ke perkuburan Islam itu.
"Esah kau tau tak nak pusing keluar ni?" Cik Mas bertanya dengan nada suaranya yang agak bergetar. Aku tahu Cik Mas takut.
"Aku daripada tadi cari. Aku yakin ada tapi tak jumpa. Kalau aku terus, kau tau kita akan sampai mana kan?" Emak menjawab perlahan. Cik Mas terdiam.
Ya Allah... Memang padan lah muka kami tak ingatkan Kau, ya Allah. Aku berbisik dalam hati.
Syaitan memang suka mengusik waktu sebegini. Lewat malam pulangnya. Kami semua perempuan. Ayah aku tentu dah balik ke rumah dari kerja. Jangan lah nampak apa-apa. Menggigil-gigil aku berdoa. Ayat kursi masih lagi kami baca. Cik Mas dan emak pun baca perlahan-lahan.
Waktu itu ada bas yang datang dari arah bertentangan. Tanpa berfikir panjang, emak pusing untuk mengikuti bas itu. Bas yang tentunya akan keluar dari Jalan Bahar ini. Kami semua diam saja. Meletakkan kepercayaan pada emak, dan bertawakkal pada Allah.
Tidak lama kemudian, kedengaran Emak menarik nafas lega.
"Mas, kita dah masuk PIE. Dah nak sampai KJE." Emak bersuara lega.
Cik Mas hanya mengangguk. Semua tidak berani bersuara. Takut tersesat lagi dan dibutakan mata seperti tadi.
Sesampai saja di rumah, Emak terus suruh kami membasuh kaki dan tidur.
Malam itu, aku terkebil-kebil tak boleh tidur. Ketakutan. Kak Ani dan Dayah sudah lena.
Tiba-tiba aku terperasan ada wanita berambut panjang berserabai yang memerhatikan aku dari luar tingkap bilik tidur. Tersenyum menyeringai dengan mulut berdarah-darah. Kedua matanya tajam merenung aku. Sedangkan, rumah kami berada di tingkat dua!
Aku menyelubung diriku di dalam selimut sambil menggigil ketakutan. Entah pukul berapa aku tertidur, aku sendiri pun tak tahu. Mungkin tertidur, mungkin juga pengsan.
Mungkinkah makhluk itu yang mengikut kami dari Jalan Bahar tadi???
P/S: Ini merupakan kisah benar yang terjadi waktu aku berusia 11 tahun. Aku ada tambah dan olah sedikit agar penceritaan lebih lancar dan menarik. Tetapi, memang kami tersesat di Jalan Bahar itu. Hanya Allah yang tahu betapa takutnya kami pada waktu itu.
--------------------
Karya : Naj
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk pengkreditan

Sunday, 1 October 2017

SUAMIKU, MR.OVERTIME - NAJ


SUAMIKU, MR.OVERTIME
karya NAJ

……….
Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Namun suami aku masih belum lagi pulang kerjanya. Selalunya, jam 9 malam dia sudah muncul di muka pintu.
'Hmm... Overtime la ni.'
Hatiku berbisik sendiri sambil tanganku menepuk-nepuk lembut belakang tubuh si kecil, Akif, yang ku pelihara sejak setahun yang lalu. Sekarang baru menginjak 4 tahun usianya.
Akif bukanlah anakku. Jiran tingkat atas yang menitipkan dia padaku. Kadang-kala saja dia akan ambil Akif da dibawa pulang ke rumahnya. Namun kasih sayang aku pada Akif sama sahaja seperti kasihnya aku kepada tiga anak daraku itu. Mereka juga sayangkan Akif lagak adik mereka sendiri. Senanglah jaga.
Akif hanya terkebil-kebil menahan mata. Selalunya memang dia tidur ditemani papanya - suami aku lah.
"Akif, dah ngantuk tidur lah. Papa balik lambat ni." Ujar aku pada Akif.
Akif terus menutup mata. Cuba untuk tidur. Ngantuk, tapi sanggup tahan demi menanti papa kesayangannya pulang dari kerja.
Baru sahaja aku lemparkan kata-kata itu, kedengaran pula bunyi pintu rumah dibuka. Laju Akif menoleh.
"Wah wah. Laju je eh kalau Papa balik." Aku mencuit pipi gebu Akif. Akif hanya tersengih sambil turun dari katil dan menuju ke pintu.
Dalam masa yang sama, pintu bilik pun terbuka. Wajah Mr.Overtime yang letih terus kelihatan.
"Overtime kenapa tak bagitahu?" Aku sambut suami aku dan mengambil beg kerjanya. Dia hanya diam saja dan terus mendukung Akif.
Akif tersengih-sengih.
"Eh Papa. Merahnya mata." Akif bersuara. Baru aku sedar. Merah dan berair kedua mata suamiku yang agak kuyu itu. Bagai menahan rasa mengantuk atau baru saja habis menangis lagaknya. Kalau kerana mengantuk, aku panjatkan syukur ke hadrat Illahi, taka da apa-apa berlaku kepadanya sepanjang pemanduan. Kalau kerana menangis, entah apalah yang berlaku di pejabatnya? Ketika sarapan esok sahajalah aku korek cerita daripadanya.
"Ngantuk sangat lah tu Papa. Dah sini Akif. Biar Papa mandi dulu. Abang nak makan tak? Saya panaskan lauk."
Suamiku hanya menggeleng perlahan. Dia meletakkan Akif di atas katil dan terus masuk ke dalam bilik air. Langsung tidak bercakap.
"Baring, Akif. Nanti Papa tidur sama. Meh mama tepukkan."
Kali ini, Akif menurut saja. Matanya juga sudah kelihatan layu. Aku tepuk-tepuk lembut si Akif. Tak sampai 15 minit, tertidur sudah anak kecil itu.
Tak lama kemudian, suami aku juga keluar dari bilik air dengan siap berpakaian tidur.
"Abang betul taknak makan? Dah makan tadi?"
"Ngantuk. Penat." Jawab suamiku perlahan. Dia terus baring di sisiku dan memelukku erat. Kehangatan tubuhnya itu menimbulkan rasa selesa dan romantis. Aku tersenyum sendiri.
'Penat sangat lah ni.' Bisik hatiku lagi. Aku akhirnya tertidur sama. Maklumlah, dalam dakapan suami tercinta.
Malam itu terasa cukup nyenyak dan lena. Tapi aku terbangun dalam pukul 3 setengah pagi. Dahaga.
'Waktu-waktu nyenyak pulak lah nak haus macam ni.' Hatiku terdetik. Malas rasanya ingin ke dapur. Tapi kalau malam begini kehausan, memang tidak dapat tidur lagi lah jawabnya.
Tangan suamiku masih erat memeluk. Aku alihkan perlahan-lahan agar dia tak terjaga.
-------
Air sejuk aku teguk laju. Leganya rasa. Habis saja air, aku basuh cawan dan terus menapak kembali ke bilik.
Tik tik.
Bunyi pintu rumah. Ibaratnya seperti ada yang ingin membuka pintu yang terkunci itu. Hampir terhenti degupan jantung aku.
Aku terkaku. Telingaku menjadi lebih awas. Ingin memastikan betul atau tidak apa yang aku dengar. Mataku tertancap pada pintu.
Tik tik. Nyiiiiiiit.
Bunyi pintu yang dikunci, dibuka perlahan.
Ya Allah. Siapa tu???
Wajah suamiku yang keletihan terlihat di balik pintu rumah yang terbuka.
"Aa...ab..abang." Terketar-ketar seluruh tubuhku.
"Sayang kenapa tak tidur lagi ni?" Suamiku bertanya. Agak terkejut kerana aku berdiri statik di tengah ruang tamu.
Aku berundur perlahan-lahan. Kalau ini suamiku, siapa di dalam kamar??
Entah dari mana aku mendapat kekuatan, aku melangkah laju ke bilik tidur. Pintu aku buka dengan kasar.
Bayang Akif dan suamiku masih kelihatan nyenyak di atas katil. Kali ini kakiku sudah lemah. Aku terduduk di muka pintu bilik. Menggigil.
Apa ini, ya Allah?? Mana satu suami aku??
Aku menoleh lagi ke ruang tamu. Suamiku sedang berjalan pantas. Kaget barangkali melihat aku menggigil-gigil ketakutan sampai terduduk di lantai.
"Sayang kenapa ni?" Suami aku menyentuh bahuku lembut. Dia mengangkat aku lalu memeluk aku erat. Mukaku didakap ke badannya yang sasa. Sentuhannya yang hangat itu meyakinkan aku bahawa dialah suami aku yang sebenar.
"Habis, si..siapa yang balik tadi?" Terketar-ketar aku bersuara sambil otakku ligat mengingat semula lelaki yang memeluk aku erat ketika tidur tadi. Dakapan erat makhluk yang menyerupai suamiku itu masih terasa di batang tubuh aku.
“Apa maksud sayang ni?” soal suamiku sambil terus menggosok-gosok belakang badanku, meminta aku reda daripada terus menggigil.
“Itu…” Aku menunjuk ke arah dalam bilik tidur. Kata-kata aku terhenti.
Terkejut aku melihat lelaki yang aku sangkakan suamiku, yang memeluk aku erat ketika tidur tadi, kini berdiri di bucu katil sambil merenungku dengan kedua matanya yang merah. Dia menyeringai sambil menampakkan barisan gigi yang tajam.
"Sayang... Terima kasih sambut kami masuk." Bisik suamiku yang sedang memeluk tubuhku kini. Aku terpana. Laju aku melihat suamiku di sisi. Kedua matanya juga kini merah bagai biji saga. Menyeringai menunjukkan gigi yang tajam bagai geriji besi.
Dua lelaki. Dua-dua bermata merah. Dua-dua menyeringai.
Duniaku terus menjadi gelap.
-Tamat-
P/S: Ini kisah benar yang aku olah jalan cerita agar menjadi lebih menarik. Sejauh mana kebenarannya, biar lah menjadi rahsia aku. Kejadian ini berlaku pada makcik aku pada tahun 90an dahulu. - Naj
……….
Karya: Naj
Editor: Wan SC

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? 
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.