SUAMIKU, MR.OVERTIME
karya NAJ
……….
Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Namun suami aku masih belum lagi pulang kerjanya. Selalunya, jam 9 malam dia sudah muncul di muka pintu.
'Hmm... Overtime la ni.'
Hatiku berbisik sendiri sambil tanganku menepuk-nepuk lembut belakang tubuh si kecil, Akif, yang ku pelihara sejak setahun yang lalu. Sekarang baru menginjak 4 tahun usianya.
Akif bukanlah anakku. Jiran tingkat atas yang menitipkan dia padaku. Kadang-kala saja dia akan ambil Akif da dibawa pulang ke rumahnya. Namun kasih sayang aku pada Akif sama sahaja seperti kasihnya aku kepada tiga anak daraku itu. Mereka juga sayangkan Akif lagak adik mereka sendiri. Senanglah jaga.
Akif hanya terkebil-kebil menahan mata. Selalunya memang dia tidur ditemani papanya - suami aku lah.
"Akif, dah ngantuk tidur lah. Papa balik lambat ni." Ujar aku pada Akif.
Akif terus menutup mata. Cuba untuk tidur. Ngantuk, tapi sanggup tahan demi menanti papa kesayangannya pulang dari kerja.
Baru sahaja aku lemparkan kata-kata itu, kedengaran pula bunyi pintu rumah dibuka. Laju Akif menoleh.
"Wah wah. Laju je eh kalau Papa balik." Aku mencuit pipi gebu Akif. Akif hanya tersengih sambil turun dari katil dan menuju ke pintu.
Dalam masa yang sama, pintu bilik pun terbuka. Wajah Mr.Overtime yang letih terus kelihatan.
"Overtime kenapa tak bagitahu?" Aku sambut suami aku dan mengambil beg kerjanya. Dia hanya diam saja dan terus mendukung Akif.
Akif tersengih-sengih.
"Eh Papa. Merahnya mata." Akif bersuara. Baru aku sedar. Merah dan berair kedua mata suamiku yang agak kuyu itu. Bagai menahan rasa mengantuk atau baru saja habis menangis lagaknya. Kalau kerana mengantuk, aku panjatkan syukur ke hadrat Illahi, taka da apa-apa berlaku kepadanya sepanjang pemanduan. Kalau kerana menangis, entah apalah yang berlaku di pejabatnya? Ketika sarapan esok sahajalah aku korek cerita daripadanya.
"Ngantuk sangat lah tu Papa. Dah sini Akif. Biar Papa mandi dulu. Abang nak makan tak? Saya panaskan lauk."
Suamiku hanya menggeleng perlahan. Dia meletakkan Akif di atas katil dan terus masuk ke dalam bilik air. Langsung tidak bercakap.
"Baring, Akif. Nanti Papa tidur sama. Meh mama tepukkan."
Kali ini, Akif menurut saja. Matanya juga sudah kelihatan layu. Aku tepuk-tepuk lembut si Akif. Tak sampai 15 minit, tertidur sudah anak kecil itu.
Tak lama kemudian, suami aku juga keluar dari bilik air dengan siap berpakaian tidur.
"Abang betul taknak makan? Dah makan tadi?"
"Ngantuk. Penat." Jawab suamiku perlahan. Dia terus baring di sisiku dan memelukku erat. Kehangatan tubuhnya itu menimbulkan rasa selesa dan romantis. Aku tersenyum sendiri.
'Penat sangat lah ni.' Bisik hatiku lagi. Aku akhirnya tertidur sama. Maklumlah, dalam dakapan suami tercinta.
Malam itu terasa cukup nyenyak dan lena. Tapi aku terbangun dalam pukul 3 setengah pagi. Dahaga.
'Waktu-waktu nyenyak pulak lah nak haus macam ni.' Hatiku terdetik. Malas rasanya ingin ke dapur. Tapi kalau malam begini kehausan, memang tidak dapat tidur lagi lah jawabnya.
Tangan suamiku masih erat memeluk. Aku alihkan perlahan-lahan agar dia tak terjaga.
-------
Air sejuk aku teguk laju. Leganya rasa. Habis saja air, aku basuh cawan dan terus menapak kembali ke bilik.
Tik tik.
Bunyi pintu rumah. Ibaratnya seperti ada yang ingin membuka pintu yang terkunci itu. Hampir terhenti degupan jantung aku.
Aku terkaku. Telingaku menjadi lebih awas. Ingin memastikan betul atau tidak apa yang aku dengar. Mataku tertancap pada pintu.
Tik tik. Nyiiiiiiit.
Bunyi pintu yang dikunci, dibuka perlahan.
Ya Allah. Siapa tu???
Wajah suamiku yang keletihan terlihat di balik pintu rumah yang terbuka.
"Aa...ab..abang." Terketar-ketar seluruh tubuhku.
"Sayang kenapa tak tidur lagi ni?" Suamiku bertanya. Agak terkejut kerana aku berdiri statik di tengah ruang tamu.
Aku berundur perlahan-lahan. Kalau ini suamiku, siapa di dalam kamar??
Entah dari mana aku mendapat kekuatan, aku melangkah laju ke bilik tidur. Pintu aku buka dengan kasar.
Bayang Akif dan suamiku masih kelihatan nyenyak di atas katil. Kali ini kakiku sudah lemah. Aku terduduk di muka pintu bilik. Menggigil.
Apa ini, ya Allah?? Mana satu suami aku??
Aku menoleh lagi ke ruang tamu. Suamiku sedang berjalan pantas. Kaget barangkali melihat aku menggigil-gigil ketakutan sampai terduduk di lantai.
"Sayang kenapa ni?" Suami aku menyentuh bahuku lembut. Dia mengangkat aku lalu memeluk aku erat. Mukaku didakap ke badannya yang sasa. Sentuhannya yang hangat itu meyakinkan aku bahawa dialah suami aku yang sebenar.
"Habis, si..siapa yang balik tadi?" Terketar-ketar aku bersuara sambil otakku ligat mengingat semula lelaki yang memeluk aku erat ketika tidur tadi. Dakapan erat makhluk yang menyerupai suamiku itu masih terasa di batang tubuh aku.
“Apa maksud sayang ni?” soal suamiku sambil terus menggosok-gosok belakang badanku, meminta aku reda daripada terus menggigil.
“Itu…” Aku menunjuk ke arah dalam bilik tidur. Kata-kata aku terhenti.
Terkejut aku melihat lelaki yang aku sangkakan suamiku, yang memeluk aku erat ketika tidur tadi, kini berdiri di bucu katil sambil merenungku dengan kedua matanya yang merah. Dia menyeringai sambil menampakkan barisan gigi yang tajam.
"Sayang... Terima kasih sambut kami masuk." Bisik suamiku yang sedang memeluk tubuhku kini. Aku terpana. Laju aku melihat suamiku di sisi. Kedua matanya juga kini merah bagai biji saga. Menyeringai menunjukkan gigi yang tajam bagai geriji besi.
Dua lelaki. Dua-dua bermata merah. Dua-dua menyeringai.
Duniaku terus menjadi gelap.
-Tamat-
P/S: Ini kisah benar yang aku olah jalan cerita agar menjadi lebih menarik. Sejauh mana kebenarannya, biar lah menjadi rahsia aku. Kejadian ini berlaku pada makcik aku pada tahun 90an dahulu. - Naj
……….
Karya: Naj
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment