Saturday, 7 October 2017

BURUNG KUBUR Bab 9 - Mohd Shahiri Abd Ghapar


BURUNG KUBUR
Cerita rantaian - Bab 9
Bakri terasa bayu dingin menyentuh tubuhnya yang tidak berselimut. Bakri lantas terjaga daripada lenanya tapi matanya masih dipejamkan. Dia menggigil lalu memeluk tubuhnya sendiri, cuba untuk memberi sedikit kehangatan. Selepas beberapa lama, angin semakin kuat bertiup. Bakri mengubah posisi baringnya beberapa kali, mencari keselesaan yang sama untuk dia lelap semula.
Dia berpusing ke kanan, tapi tidak seselesa tadi. Dia berkalih pula menghadap ke kiri.
Gedebuk.
Bakri jatuh dari tempat baringnya. Dia mengaduh kesakitan akibat terhentak di lantai. Kantuknya serta-merta hilang. Matanya segar terbuka. Ketika itu jugalah, baru dia tersedar bahawa dia tidak berada di dalam bilik tidurnya.
Bakri cepat-cepat bangun. Dia mula panik. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh sampai ke situ; di sebuah tanah perkuburan. Dia melihat beratus-ratus kubur yang lengkap bernisan, ada yang dipasangkan mozek, ada yang sekadar dipetakkan dengan simen, dan ada juga yang siap ditanamkan pepohon melur.
Dengan hanya berkaki ayam, Bakri berlari mencari jalan keluar dari situ. Perasaannya pada waktu itu sukar sekali untuk digambarkan. Panik, keliru, takut, gelisah dan bermacam-macam lagi. Seingat Bakri, tadi dia sememangnya berada di rumah sewa; bersama-sama Anas di dalam bilik.
Puuukkk...
Burung itu muncul semula. Satu lagi dugaan datang menguji Bakri. Sudahlah dia tersesat entah di mana-mana, kini bunyi burung itu muncul lagi tambah mengganggu.
Puuukkk...
Burung hitam itu terbang melepasi Bakri yang masih lagi berlari. Kawasan permakaman itu terlalu luar biasa luasnya. Sudah beberapa lama dia berlari tapi dia masih berada dalam lingkungan yang sama. Burung itu hinggap di atas sebuah batu nisan, di salah sebuah pusara. Larian Bakri terhenti. Dia mengambil kesempatan itu untuk menyedut udara, melepaskan lelahnya.
Puuukkk...
Burung itu berbunyi lagi, kali ini seperti memanggil-manggil Bakri untuk datang dekat kepadanya. Bakri terkesima. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Burung hitam itu memang kelihatan menakutkan, apatah lagi dengan mata merahnya. Namun, burung itu berbunyi berkali-kali, semacam sedang berkata-kata dengan Bakri.
Bakri memberanikan diri untuk lebih mendekati. Dia bergerak beberapa langkah, mengurangkan jarak antara burung itu dengan dirinya. Burung itu masih berbunyi. Apabila Bakri semakin dekat, ia terbang dan hinggap pula di sebuah pondok kecil tidak jauh dari situ.
Puuukkk...
Di pondok itu pun, ia masih berbunyi sambil mata merahnya melihat ke arah Bakri. Mungkin ia mahu Bakri ke sana pula. Bakri ikut melangkah ke pondok kecil itu. Dia mengatur langkahnya penuh berhati-hati. Walaupun lagaknya seperti dia berani benar tapi dalam hatinya, Bakri masih ragu-ragu. Katakan ada sesuatu yang menakutkan di pondok itu nanti, tidak terbayangkan bagaimana reaksinya nanti.
Apabila Bakri tiba di pondok itu, burung hitam itu terbang pula ke dahan pokok yang berdekatan. Bakri merengus, terasa seperti dipermainkan oleh burung itu. Tadi burung itu yang berbunyi-bunyi, mengajak Bakri datang ke arahnya tapi selepas Bakri pergi, dia terbang pula melarikan diri.
Namun, rasa marah itu tidak lama. Ada sesuatu yang lebih menarik perhatian Bakri. Matanya menangkap sekujur tubuh yang terbaring kaku di dalam pondok itu. Jenazah seseorang barangkali. Adakah burung itu berbunyi memanggil Bakri ke pondok itu kerana ia mahu memberitahu Bakri bahawa ada mayat seseorang di situ?
Bakri jadi penasaran. Ada seseorang yang tidak bernyawa di bawah selubungan itu. Dia merapatkan diri ke arah mayat itu. 
Dadanya berdebar-debar. Tangannya terketar-ketar. Bakri gugup. Namun ada sesuatu daya penarik yang seakan-akan menghasut Bakri untuk tinggal di situ dan membuka kain penutup mayat itu. Seolah-olah mayat itu sendiri yang berbisik kepada Bakri, “bukalah kain ini, lihatlah dengan matamu sendiri, siapa aku”.

Tangannya memegang salah satu bucu kain itu lalu dilurutkannya perlahan-lahan. Perasaan takutnya pada waktu itu sudah melepasi paras paling tinggi. Tidak pernah Bakri setakut itu.
Sebaik sahaja wajah mayat itu dilihatnya...
“Arhhhh...!!!” Kuat dia menjerit. Bakri terperanjat.
Apa yang dilihatnya tidak mampu untuk diterima akalnya. Tangannya pantas menutup semula wajah mayat itu dan dia terus berlari dari situ. Bakri berlari semahu-mahunya.
Puuukkk...
Burung itu bersuara semula. Ia terbang ke arah Bakri sambil berbunyi tanpa henti. Bakri terus berlari. Burung hitam itu mengejar dan ternyata ia lebih laju. Dia ingin hinggap di atas bahu Bakri tetapi ditepis kuat. Larian Bakri jadi terhenti. Dia terpusing-pusing menghalau burung itu yang terbang mengelilingi kepalanya. Burung itu masih cuba untuk hinggap pada Bakri sambil terus berbunyi.
Puuukkk... Puuukkk... Puuukkk...
“Pergilah! Pergi! Jangan kacau aku!” jerit Bakri dengan tangannya laju mengibas-ngibas ke arah burung hitam itu yang sentiasa datang mendekat.
Bakri bergerak dengan agresif, ke kiri dan ke kanan, terpusing-pusing, hinggalah dia tersilang kakinya sendiri. Bakri jatuh ke tanah. Pada waktu itu jugalah...
“Hei Baq! Kau mengigau ni, bangunlah!” suara Anas kedengaran di telinganya.
Cepat-cepat Bakri bangun. Dia tercungap-cungap. Tubuhnya basah dengan peluh. Dia memerhati sekelilingnya. Ada Anas. Ada katilnya. Ada almari bajunya. Ada meja belajarnya. Itu memang bilik tidur di rumah sewa mereka.
“Astaghfirullahalazim,” ucapnya sambil mengusap mukanya sendiri.
Dirinya semakin tenang. Angin kipas perlahan-lahan menyejukkan tubuhnya yang berkeringat. Anas hanya memandang dengan seribu pertanyaan.
“Apa yang kau mimpikan tu? Sampai terjerit-jerit,” soal Anas yang telah pun bangun menuju katilnya di sebelah sana.
“Aku jerit?” tanya Bakri.
“Yalah. Kau jerit minta tolong, kau cakap jangan kacau, pergi. Kau cakap pada siapa tu?”.
Bakri diam. Pelbagai perasaan menyelubungi dirinya waktu itu. Keliru, seram malahan segan. Rasa bersalah terhadap Anas pun ada kerana dia telah mengejutkan sahabatnya itu daripada tidurnya.
“Burung tu muncul balik dalam mimpi aku Nas,” ujar Bakri perlahan.
“Burung tu kacau kau lagi?”.
“Entahlah Nas. Aku pun tak faham sangat apa maksud mimpi tu. Hurmm... tak apalah, aku tak nak terlalu fikirkan pasal mimpi tu. Ermm.. Sorry Nas sebab buat kau terjaga,” luah Bakri.
Anas tersengih. “Aku tak kisah Baq, yang aku risaukan kalau-kalau benda yang dulu tu datang balik ganggu kau. Aku kesian dekat kau Baq,” ujar Anas pula.
“Aku harap mimpi tadi tu sekadar mimpi. Dahlah, kau pergilah sambung tidur. Aku rasa nak solat sunat sekejap, macam yang Abang Sufian ajar tu."
“Elok juga tu. Ermm.. Kalau kau ada apa-apa masalah, kau jangan sembunyikan Baq. Aku ni kawan kau."
Bakri tersenyum dan hanya mengangguk. Dia terus ke tingkat bawah untuk ke bilik air mengambil wudhuk. Dia solat di satu sudut di ruang tamu rumahnya. Dia menghormati hak Anas. Kalau dia solat di bilik nanti, sudah tentu dia perlu menyalakan lampu. Terganggu pula tidur Anas jika lampu bilik dipasang.
Lagipun, berseorangan di ruang tamu pada waktu dinihari sebegitu, terasa sungguh mendamaikan. Solatnya pun dirasakan lebih khusyuk. Bakri berdoa dalam sujudnya. Di akhir solat pun dia memanjatkan doa yang sama; iaitu meminta dijauhkan daripada gangguan syaitan dan anasir-anasir jahatnya. Dia memohon perlindungan Allah.
Puuukkk...
Sebaik selesai solat dan sedang bersiap-siap masuk ke bilik, dia mendengar bunyi itu. Suaranya mendayu-dayu. Bakri sengaja berpura-pura seperti tidak mendengarnya. Dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang bunyi itu. Sebab utamanya adalah kerana dia kecewa.
Kecewa kerana perasaan tenang selama tiga hari ini semacam akan berakhir. Dia baring semula di atas katil dan matanya dipejamkan. Dia cuba untuk tidur. Bakri mahu lena semula dan dia berharap apabila dia bangun daripada tidurnya, suara itu akan hilang. Namun, mampukah dia terlena sedangkan suara itu bermain-main di telinganya?
***
“Kau okey ke tak ni?” soal Anas pagi itu semasa dia dan Bakri sama-sama keluar mendapatkan motosikal masing-masing untuk ke kelas.
Hanya anggukan diberikan oleh Bakri sebagai jawapan. Sebenarnya sejak awal pagi tadi Bakri hanya berdiam. Hanya beberapa patah perkataan sahaja yang keluar daripada mulutnya. Selain itu hanya gestur tubuhnya sahaja yang digunakan bagi menjawab pertanyaan Anas.
“Bunyi burung tu ada lagi, tak?” tanya Anas.
Bakri menggelengkan kepala. Anas yang melihat balasan seperti itu terus memahami dan hanya mengangguk. Dia menyarungkan topi keledar dan telah sedia untuk memecut ke kelas.
“Jomlah, nanti lambat,” akhirnya perbualan antara mereka dihentikan di situ sahaja.
Bakri angguk. Kaki kirinya menekan gear membolehkan motosikal bergerak. Tangan kanannya memulas pemicu menambah deras motosikalnya. Hari ini mereka ada tiga kuliah; dua pada waktu pagi dan selebihnya pada petang nanti. Bakri berharap dia mampu bertahan sampai ke petang dan rasa mengantuk akibat tidur yang terganggu tidak membuatkan dia lesu.
Sepanjang perjalanan, Bakri teringat akan mimpinya malam tadi. Dia masih terbayang-bayang semua kejadian yang dilihatnya. Dirinya yang tersesat secara tiba-tiba di tanah perkuburan dan kemudian terjumpa sekujur mayat. Burung hitam yang kerap berbunyi itu memanggil dia sehingga sampai ke pondok kecil, tempat mayat itu terbaring. Namun, pagi ini, suara itu tidak lagi didengari.
Lalu lintas agak sesak pagi ini; tidak seperti selalu. Kereta-kereta masih bersusun di atas jalan raya dan bergerak perlahan. Mujurlah Anas dan Bakri menunggang motosikal. Mereka boleh mencelah di antara kereta-kereta yang berhenti akibat kesesakan trafik itu.
“Kenapa jammed pula ni? Kalau bukan kereta rosak, mesti ada accident depan tu,” getus hati Bakri.
Sambil meneka-neka, dia dan Anas terus ke depan melepasi kenderaan yang lain. Sehinggalah mereka melihat ramai orang berkumpul di bahu jalan. Ada dua orang pegawai polis yang sedang mengawasi keadaan. Mayat yang bertutup dengan kertas surat khabar berada di atas jalan. Seorang kanak-kanak sedang menangis teresak-esak di hujung kepala mayat itu. Dia ditenangkan beberapa orang yang berdekatan. Bakri terus dapat meneka bahawa budak itu tentunya keluarga kepada mangsa yang terkorban.
Ada kemalangan yang berlaku sehingga menyebabkan kesesakan. Dua buah kereta pula kelihatan remuk di tengah-tengah persimpangan lampu isyarat. Seorang polis trafik mengawal lalu lintas. Dua buah lori penunda sedang sibuk mengalihkan kedua-duanya dari situ bagi melancarkan semula trafik yang terkandas. Kaca cermin dan serpihan bumper kereta yang pecah kelihatan di atas jalan raya. Ada tompok-tompok di atas jalan yang masih pekat merah dibasahi darah. Sudah tentu ini kemalangan maut.
Bakri tahu dia perlu ke kelas pagi itu tapi dia tetap mengajak Anas untuk turut sama berhenti.
“Kita ada kelas sekejap lagi,” pada mulanya Anas menolak.
“Sekejap aje. Nak tengok budak tu, kesian pula aku rasa”.
Anas terpaksa juga mengalah. Bakri dan Anas mendekati orang ramai yang masih berkumpul di sekeliling mayat dan kanak-kanak itu. Bakri mula tersentuh dengan apa yang dilihat. Tangisan anak kecil itu sambil memanggil-manggil ayahnya agak mengharukan. Dia berbaju t-shirt rumah sukan dengan track bottom. Mungkin dia dan ayahnya dalam perjalanan ke sekolah sebelum mereka terlibat dalam kemalangan negeri itu.

“Shafik, sudahlah tu. Ayah dah tak ada, jangan menangis macam tu,” seorang lelaki mendekati kanak-kanak itu sambil memujuk dengan suara yang lembut.
Kanak-kanak bernama Shafik itu semakin kuat menangis. Dia meronta-ronta apabila diajak berdiri oleh lelaki yang sama. Selepas mencuba beberapa kali dan tidak juga berjaya, lelaki itu berhenti memujuk. Dia mengeluh dan kembali berdiri semula bersama-sama orang lain.
“Kau kenal ke budak ni Mal?” tanya seorang lelaki lain.
“Jiran aku ni Usop. Duduk selang tiga pintu aje dari rumah aku,” jawab lelaki yang digelar Mal.

“Patutlah, jiran dekat-dekat rumah. Aku pun macam pernah nampak arwah ni tapi ingat-ingat lupa dekat mana. Dia kerja mana Mal?” soal lelaki bernama Usop itu pula.
“Ala... takkanlah kau tak kenal. Rahman yang meniaga air dekat taman tasik tu. Kereta Saga lama merah tu kan dia punya,” jawab Mal.
Bakri yang mencuri dengar perbualan itu mula tertarik. Isi perbualan kedua-dua sahabat itu memeranjatkannya. Kalau apa yang didengarinya itu tidak salah, mayat di bawah kertas akhbar itu ialah penjual air yang ditemuinya petang semalam di taman. Jantungnya mula berdegup laju. Bakri terus memasang telinga.
“Oh... iyalah, patutlah macam biasa nampak. Orang rumahnya mana, Mal?” soal Usop lagi.
“Ada di rumah. Isterinya ni lumpuh."
Bakri tertelan liurnya sendiri. Sedikit demi sedikit cerita Mal semakin konsisten dengan apa yang disangkakannya.
“Kau dah telefon ke beritahu?” tanya Usop kepada Mal.
“Dah. Awal-awal tadi lagi aku dah bagi tahu. Kesian aku mendengar suara isterinya tadi Usop. Haishh... lepas ni tak tahulah macam mana mereka ni sekeluarga. Tempat bergantung dah tak ada, anak-anak kecil lagi, isteri pula tak sihat mana,” sambung Mal lagi dengan suara bersimpati.
Anggota paramedik telah siap melakukan tugas-tugas biasa mereka di kawasan kemalangan. Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian. Mayat akan dibawa ke hospital besar.
“Jomlah Baq, orang pun dah mula beransur-ansur pergi dari sini. Kelas dah mula pun nampaknya ni,” ajak Anas, memegang lengan kanan Bakri.
Bakri berdiri pegun masih memandang ke arah mayat yang akan diusung ke dalam jip polis. Ada satu perkara yang sedang mengganggu fikiran Bakri.
“Baq. Baq. Hei... Baq! Kau dengar tak ni?” suara Anas lebih keras dan tangannya kuat menggoncang tubuh Bakri.
Bakri terkejut dengan sergahan itu. Dia terpinga-pinga.

“Kita dah lambat sangat ni,” ges
“Mayat tu...” ujar Bakri membuatkan langkah Anas terhenti.
Dia berpusing memandang Bakri. “Kenapa dengan mayat tu? Kau okey ke tak ni, Baq?”.

“Sebenarnya... Aku bukan mimpi burung hitam tu aje. Aku nampak...”
“Apa?” Anas tidak sabar untuk mengetahui perkara sebenar yang berada dalam fikiran Bakri.
“Burung tu bawa aku ke satu tempat, ada pondok kecil di tengah-tengah kawasan kubur. Di pondok tu ada mayat. Bila aku tengok, bila aku buka kain yang tutup mayat tu, aku nampak...”.
“Nampak apa? Cepatlah cakap,” gesa Anas lagi.

“Mayat abang yang jual air dekat taman tasik. Yang aku jumpa semalam. Yang meninggal...”
“Yang meninggal dalam kemalangan tu?” suara Anas meninggi.
Bakri angguk. Dia memandang wajah Anas yang mula berubah. Anas yang pada mulanya serius dan ingin segera pergi dari situ, kini kelihatan gelisah.

Jika Anas berasa sebegitu, Bakri sudah semestinya merasakan yang sama; malah mungkin berganda-ganda. Pertama kali dalam hidup dia mengalami kejadian seperti ini. Dia takut. Dia keliru. Dia serabut. Ada kemungkinankah ini semua kebetulan? Jika ia sekadar kebetulan, tentu sekali inilah kebetulan yang dirasakan seperti sebuah kenyataan. Terasa sungguh nyata.
Bersambung dalam Bab 10...
Terima kasih buat pembaca setia siri ini. 
Jika anda terlepas bab-bab terdahulu, klik sahaja pada pautan berikut:

Pautan untuk bab-bab terdahulu:
Bab 2:

Bab 3:

Bab 4:

Bab 5:

Bab 6:

Bab 7:

Bab 8:

Suntingan: Arkib Angker Negara
Like, comment, share and follow!

*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: