Sunday, 15 October 2017

KAK CHIK - Tajul Zulkarnain


KAK CHIK
perkongsian daripada: Tajul Zulkarnain
*****
Kerana Pulut Santan Binasa,
Kerana Mulut Badan Binasa.
Kata-kata yang sangat kena dengan kakak sepupu aku. Kita panggil dia Kak Chik jelah senang. Cerita ini aku sampaikan dengan keizinan Kak Chik sebab dia nak orang lain belajar daripada kesalahan dia.
Biar aku ceritakan serba sedikit tentang Kak Chik terlebih dahulu. Dia ni dulu, jenis ‘apa orang lain boleh buat, dia pun boleh buat.’ Sampah, puaka, celaka, longkang, jamban - semua dapat ke mulut dia. Kaki kondem orang nombor satu. Dengan orang yang tak kenal pun dia boleh kondem, inikan pula kami yang sedarah dan sedaging dengan dia. (isi perenggan ni pun ditulis dengan keizinan dia jugak)
Kakak sepupu aku ni bekerja sebagai civil engineer. Mungkin sebab tu dia rasa dia boleh menghina orang lain. Kena pada kami-kami ni, takpelah jugak sebab kami ni cakap je nak mandremkan dia tapi kami tak buat pun. Dia baik ikut lain. Mulut je puaka sikit. Tu pasal kami tak sampai hati nak asapkan dia tapi satu hari tu, dia tersilap langkah.
Sebelum puasa dua tahun lepas, ada sorang perempuan buat praktikal kat ofis Kak Chik. Kita panggil dia Ti ajelah. Bukan nama sebenar. Bos tempat kerja Kak Chik suruh Kak Chik jadi penyelia si Ti ni. Kak Chik pun on ajelah sebab memang dah termasuk dalam skop tugas dia menyelia budak-budak praktikal.
Mula-mula Ti ni okey je, tunjuk baik semua tapi satu hari tu Kak Chik marah dia sebab laporan yang si Ti ni tulis, entah apa-apa. Takde merit langsung. Macam si Ti ni tak pernah belajar langsung tentang skop bidang yang dia ambil tu. Kak Chik aku ni, bila dah marah, habis semua puki ayam, bohsia, minah gian keluar dari mulut dia masa dia kondem laporan si Ti ni (untuk lelaki, dia carut hanat, cibai, bangang dan sebagainya). Dia suruh Ti jadi perempuan simpanan profesor yang luluskan dia tiap semester sebab Kak Chik kata, Ti ni satu benda pun dia tak tahu. Macam mana boleh sampai ke tahun akhir?
Kak Chik aku ingat si Ti ni okey je lah sebab masa Kak Chik suruh dia jadi perempuan simpanan professor tu, Ti ni gelak-gelak je. Siap bagi tahu kat Kak Chik, professor tu memang tergila-gilakan dia. Rupanya dalam gelak-gelak tu, si Ti ni berdendam dengan Kak Chik. Tapi Ti tak terus pedajalkan Kak Chik. Dia tunggu sampai habis tempoh praktikal, baru lah dia lancarkan serangan.
Kak Chik pulang dari kerja. Masa tu dah dekat pukul 11 malam. Kak Chik kalau bawak kereta, sama puaka macam mulut dia jugak. Macam pelesit lajunya. Semasa memandu, dah pastilah dia pandang ke depan, tengok jalan, tengok cermin pandang belakang lepas tu tengok semula ke depan.
Tengah syok memandu sambil dengar lagu, tiba-tiba POP! Satu muka putih melekat kat cermin kereta dia pastu hilang. Kak Chik terkejut. Dia terus tekan brek. Berpusing-pusing kereta dia lepas tu terbalik. Mujur dia memandu ikut jalan dalam jadi tak ada kereta lain masa tu. Dan mujur Kak Chik selamat.
Kak Chik merangkak keluar dari kereta, duduk kat tepi kereta tu, kemudian cepat-cepat telefon ayah dia. Dua hari dia MC sebab demam terkejut. Kak Chik kata, muka yang tiba-tiba je muncul kat cermin kereta dia tu macam tengkorak, berwarna putih tapi ada rambut dan bola mata. Bola matanya macam terbeliak gitu. Mulutnya macam menyeringai. Itu je yang Kak Chik sempat nampak. Kak Chik kata, mungkin si Ti tu nak Kak Chik mati eksiden malam tu tapi syukur alhamdulillah umur Kak Chik panjang. Takde patah takde apa, luka sikit je.
Tak lama lepas kejadian tu, Kak Chik diganggu lagi. Kali ini dekat rumah dia pulak. Waktu malam. Dia tengah membaca buku ilmiah dia. Masa tengah membaca tu, Kak Chik berdeham sebab tekak dia kering. Tiba-tiba ada suara ikut dia berdeham. Kak Chik terkejutlah sebab bunyi deham tu dekat sangat dengan dia, padahal dia tinggal seorang diri sahaja dekat rumah itu. Tak lama selepas itu, dia rasa macam ada orang hembus angin kat telinga dia. Mula-mula dia buat tak peduli, lama-lama makin menjadi.
Jadi, Kak Chik aku bagi tahu kat pak cik aku, pak cik aku panggil ustaz kenalan dia. Ustaz tu kata, rumah Kak Chik bersih tapi dia tetap menawar dan memagar rumah Kak Chik aku. Aku rasa benda tu lari kut masa ustaz tu datang.
Seminggu je okey, lepas tu jadi balik. Kali ni takde suara berdeham atau orang tiup angin kat telinga Kak Chik. Kali ni, Kak Chik kata dia betul-betul rasa macam ada ‘benda’ di dalam rumah dia. Contoh kalau dia duduk diam membaca buku, dia dapat rasa macam ada ‘benda’ mengengsot perlahan-lahan kat dinding, datang kat dia. Dia dapat rasa. Bila dia tengok, memang takde apa-apa. Lepas tu ada bunyi ‘tik’ di siling. Perlahan je. Paling jelas bila dia nak tidur, memang dia rasa sangat ada ‘benda’ kat dinding bilik tidur dia tu. Apa Kak Chik aku buat, dia pasang Ruqyah Manzil masa tidur.
Sejak dia merasai kewujudan makhluk tu kat dalam rumah dia, Kak Chik aku kata dia asyik mengantuk je. Badan rasa berat semacam. Kat tempat kerja dia tidur memanjang. Bila balik ke rumah, mesti dia cari katil.
Pernah sekali tu, dia punya ngantuk sampai dua hari dua malam dia tidur. Hari kerja pulak tu. Sampai kena tegur dengan bos dia. Kak Chik rasa, si Ti tu buat nak bagi Kak Chik kena buang kerja kut tapi mujur bos Kak Chik dah lama kenal Kak Chik. Bos Kak Chik suruh Kak Chik berubat sebab dia tengok muka Kak Chik pun dah lain macam. Tak tahulah macam mana lainnya sebab Kak Chik tengok muka dia kat cermin sama je.
Bos Kak Chik paksa Kak Chik pergi jumpa mana-mana perawat Islam tapi Kak Chik kata dia penat je. Bukannya ada apa-apa sampailah masa dia pergi ke site untuk periksa tanah. Tiba kat site tu, Kak Chik dan kawan sekerja dia berjumpa dengan tuan tanah yang panggil kompeni dia orang datang ke situ. Tuan tanah tu datang berdua dengan seorang pak cik. Pak cik tu pandang je Kak Chik sampai Kak Chik naik segan. Yalah, Kak Chik aku tu andartu (diizinkan menggunakan istilah ini untuk rujuk pada dia) tapi orangnya cantiklah jugak. Mulut je kurang ajar. Pak cik tu pulak masih hensem dan gagah perkasa (ini ayat Kak Chik sendiri). Jadi, dia ingat pak cik tu tengah mengorat dia.
Rupa-rupanya pak cik tu nampak ada sesuatu bertenggek kat atas bahu Kak Chik. Besar dan berbulu tebal. Macam beruk. Makhluk tu bukan saja duduk kat atas bahu Kak Chik tapi dia yang usap-usap kelopak mata Kak Chik, bagi Kak Chik mengantuk. Bila dengar cakap pak cik tu, Kak Chik pergi berubat. Dia okey balik tapi sekejap je.
Tak sampai sebulan lepas tu, tiba-tiba satu pagi tu bila Kak Chik bangun tidur, dia tak boleh bergerak langsung. Tubuh badan dia macam terkunci. Mujur emak dia datang cepat. Rumah mak cik aku tu berkembar dengan rumah Kak Chik, jadi bila dia tengok kereta anaknya masih ada kat porch dan Kak Chik tak jawab bila dia telefon, mak cik aku pergi tengok apa jadi kat anak dia.
Mak cik aku tengok Kak Chik terlantar macam orang lumpuh. Bercakap pun tak boleh. Mata dia je yang boleh bergerak. Siang tu jugak pak cik aku bawak Kak Chik ke hospital tapi hospital kata Kak Chik okey. Sihat walafiat. Oleh sebab pihak hospital tak jumpa langsung tanda-tanda yang kakak sepupu aku tu sakit, pak cik aku terpaksa bawa anak dia yang macam mayat hidup tu balik ke rumah. Pak cik aku panggil ustaz tapi benda yang Ti hantar tu lagi power. Ustaz tu cakap, seluruh tubuh badan Kak Chik dah kena ikat. Dia tak boleh bergerak, tak boleh makan, minum, bercakap, apa semua tak boleh. Orang yang hantar tu nak bagi Kak Chik hilang pekerjaan dan akhirnya mati. Ustaz tu buat macam-macam tapi makhluk tu tak berganjak pun.
Kak Chik aku masa tu dah tinggal tulang. Bayangkan, dah tak makan. Tapi memang bukan ajal dia lagi, dia tak mati. Doktor pasangkan drip kat tangan dia untuk masukkan air. Lepas tu doktor masukkan tiub kat dalam mulut dia untuk masukkan susu. Itu ajelah makanan dia.
Pak cik dan mak cik aku berusaha dekat setahun nak bagi anak dia sihat balik. Akhirnya, dia orang dapat tahu ada seorang kiai dari tanah seberang yang pernah mengubati penyakit yang macam tu. Dia orang angkut kiai tu bawak ke Melaka. Masa kiai tu tengah mengubat, makhluk tu masuk ke dalam tubuh badan Kak Chik. Dia bagi tahu siapa yang perintahkan dia kunci tubuh badan Kak Chik dan dia bagi tahu sebabnya sekali. Masa tu lah baru kami tahu Ti punya angkara. Makhluk tu kata lagi, kalau kiai tu nak bunuh dia, Kak Chik pun akan mati sebab dia ada kat dalam tubuh badan Kak Chik.
Kak Chik kata, masa makhluk tu bercakap guna mulut dia, dia dengar. Dia dapat lihat makhluk tu tapi dia tak boleh buat apa-apa.
Aku takde kat situ malam tu tapi pak cik aku cerita, kiai tu tikam badan Kak Chik dengan jari telunjuk dan jari hantu dia. Kak Chik menjerit setiap kali kena tikam. Sebetulnya, makhluk tu yang menjerit. Ketika kiai tu tengah menikam pelipat lutut Kak Chik pula, tiba-tiba je Kak Chik tendang kiai. Terpelanting kiai tua tu. Lepas tu Kak Chik bangun. Dia berdiri macam skeleton yang kita tengok kat TV tu. Jalan terhegeh-hegeh macam nak rebah tapi ada hati nak serang kiai tu.
Lama jugak kiai tu bertarung dengan makhluk tu. Sehari semalam kot. Tengah hari esoknya baru kiai tu dapat keluarkan makhluk tu dari badan Kak Chik. Tapi sebelum keluar tu, makhluk tu sempat patah-patahkan tulang tangan, tulang jari dan kaki Kak Chik. Kiai tu kata makhluk tu nak patahkan tengkuk dan tulang belakang Kak Chik. Mujur kiai tu sempat keluarkan dia.
Kiai tu bagi tahu, sebelum makhluk yang kunci Kak Chik tu datang, seekor lagi makhluk datang ke rumah Kak Chik. Makhluk tu datang sekejap je. Tugas dia untuk kutip kuku, rambut dan pad kotor Kak Chik. Kiai tu bagi nasihat pada Kak Chik supaya bersihkan pad dia betul-betul dulu sebelum buang. Tapi dia tak kata apa pun pasal macam mana kita nak buang kuku yang dipotong dan rambut yang gugur. Jadi, aku tak tahu nak letak nasihat apa.
Alhamdulillah Kak Chik sekarang dah semakin sihat walaupun dia sangat trauma dengan apa yang berlaku pada dia. Kak Chik pun dah berubah. Dia jaga mulut dia tapi hidup dia dah tak sama. Jadi, Kak Chik nak korang yang baca cerita dia ni supaya menjaga mulut korang. Dia sangka dulu dia cool, hipster bagai masa dia mencarut tu tapi rupanya kata-kata dia menyakitkan hati orang sampai orang sanggup bersusah payah nak bunuh dia. Membunuh melalui jin. Lesson learned!
--Tamat--
*****
-Dari Tanah Ke Tanah
-Pendosa
-Bertarung Dengan Syaitan
3 Judul novel di atas adalah hasil nukilan Tajul Zulkarnain. Berminat untuk dapatkannya? Boleh ikuti akaun Facebook beliau: Tajul Zulkarnain
________________________________________
Suntingan dan Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: