Wednesday, 4 October 2017

STAY BACK - Fadhilah


STAY BACK
karya Fadhilah

Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Hujan masih belum menunjukkan tanda untuk berhenti. Jari jemari Syazrin pantas menaip papan kekunci komputer. Sesekali dikerling rakannya Johari di meja hadapan. Masih tekun membuat kerja dari tadi.
Johari kemudian menyusun beberapa helaian kertas dan dimasukkan ke dalam beg galasnya. “Jom syazrin, balik. Dah lewat ni,” gesa Johari sambil menanggalkan tali leher berwarna kelabu. Syazrin mengangkat kepalanya sedikit memandang Johari. “Kau balik la dulu, banyak lagi kerja yang aku nak siapkan. Campur kerja Aswad lagi. Dia kan cuti. Lagipun hujan, aku bawa motor hari ni.”
Rakan-rakan pejabat yang lain sudah lama pulang ke rumah dan hanya Syazrin dan Johari sahaja yang tinggal. Johari hanya mengangguk dan berjalan ke pintu keluar meninggalkan Syazrin. Tiba-tiba guruh berdentum memecah sunyi bangunan setinggi 5 tingkat tersebut.
Syarikat tempat mereka bekerja ini baru sahaja 2 bulan menumpang sewa sebuah bangunan lama berikutan bangunan pejabat asalnya masih dalam proses pembaikan. Mereka ditempatkan di tingkat 3 dan tingkat-tingkat lain telah di sewa oleh syarikat lain. Sebelum ini tidak pernah kedengaran cerita yang pelik-pelik tentang bangunan tersebut dari staf lain. Cuma mereka hanya diingatkan supaya tidak berada di pejabat sehingga lewat malam.
Syazrin bangun daripada kerusinya dan mencabut plug radio di tepi dinding bersebelahan pintu pantry. Risau jika ada apa-apa terjadi dalam cuaca sebegitu. Kilat kembali sabung-menyabung. Apabila dia ingin kembali ke tempat duduknya, matanya seperti tertangkap kelibat hitam melintasi bahagian dalam pantry.
Langkah Syazrin terhenti. Dia kemudian menoleh ke belakang. Kosong.
“Hmm bayangan gurauan aku je ni,” bisik Syazrin menyedapkan hati.
Oleh kerana ruang pejabat hanya berbentuk segi empat tepat tanpa sebarang halangan, dia dapat melihat dengan jelas keseluruhan pejabatnya itu. Dia berjalan malas menuju ke tempat duduknya yang terletak berdekatan dengan pintu keluar. Di penjuru pejabatnya cuma sebuah bilik yang menempatkan toilet dan pantry.
Tiba-tiba bahunya seakan dicuit dari arah belakang. Bulu romanya kian menegak. Dia lantas berpaling memandang ke arah pantry. Kosong. Lampu pantry masih terbuka. Syazrin berjalan laju kembali ke mejanya dan menyambung kerja.
Gedebuk!
Bunyi seakan kotak jatuh dari arah pantry. Lampu pantry tiba-tiba berkelip-kelip seperti rosak.
“Hmmm ok, sekarang dah macam dalam cerita hantu kat TV pulak. Kelibat lah, orang cuitlah, lampu kelip-keliplah, so lepas ni apa?” Bentak Syazrin sendirian dalam hati. Suaranya tidak dilontarkan bimbang ada yang lain menjawab.
Syazrin masih meneruskan kerja. Matanya tertumpu ke skrin komputer. Dia perlu menyiapkan kerja sepantas mungkin. Hujan sudah mulai renyai cuma guruh dan kilat kadang masih kedengaran memecah sepi suasana malam.
Dalam kekusyukan Syazrin menaip, dia melihat dalam skrin komputer seakan pantulan bayangan seseorang berdiri dibelakangnya. Syazrin menarik nafas dalam-dalam dan beristigfar. Dia mula cemas. Tiba tiba dia terdengar seakan bunyi tapak kaki dari arah luar.
Johari tiba-tiba muncul di pintu. Dia masuk dengan melulu dan terus ke arah mejanya. Syazrin terpinga-pinga dengan tindakan Johari.
“Ish kau ni Jo, terkejut aku. Kenapa patah balik?” soal Syazrin kehairanan.
“Cari tie aku,” balas Johari pendek. Kemudian dia tergesa-gesa berjalan keluar.
“Dah kenapa si Johari ni..bikin seram lah. Eh kan hujan kat luar, kenapa sikit pun tak basah dia tu? Pelik ni,” Syazrin bermonolog.
Syazrin kembali menyambung kerja. Dia seakan turut terlupa dengan kelibat di belakangnya.
“Lah, tu tie atas meja dia tu dah kenapa tinggal pulak?” Syazrin menggeleng kepala memandang gulungan tie berwarna kelabu milik Johari di atas meja. Selang beberapa saat dia terdengar lagi bunyi tapak kaki dari arah luar.
“Hah nak ambik tie lah tu. Tadi masuk ambik angin ke? Nyanyuk betul,” kata Syazrin sambil menunggu gerangan pemilik bunyi tapak kaki tersebut. Tiba-tiba yang terpacul adalah Aswad.
Syazrin sedikit terperanjat dengan kemunculan Aswad. Bajunya kelihatan basah mungkin dek tempias hujan. “Kata cuti seminggu. Lusa baru masuk la kan? Awal balik? Terus ke pejabat pulak tu?” soal Syazrin bertalu-talu apabila Aswad mula masuk dan duduk di sebelah nya.
“Ala urusan kat kampung dah settle, balik la awal. Lagipun tak sedap la tinggal kerja kat kau banyak-banyak,” balas Aswad sambil menggigit hujung pen yang baru dicapainya dari atas meja Syazrin.
“Eh kau ada terserempak dengan Johari tak? Tak sampai seminit dia turun. Mesti selisih dengan kau,” Syazrin bertanya dengan nada sedikit lega dengan kehadiran Aswad.
“Merepek lah kau ni. Takde jumpa sesapelah masa aku naik tangga tadi. Lif dah elok ke? Kot dia turun guna lif?” soal Aswad.
“Tak elok lagi lah,” balas Syazrin sedikit gusar dengan jawapan rakannya. Dia segera mencapai telefon bimbitnya untuk menghubungi Johari bagi mendapatkan kepastian.
Aswad bangun dari kerusinya dan mengibas-ngibas rambut dan baju yang basah. “Sejuk lah hujan-hujan ni. Toilet jap,” kata Aswad sambil menepuk bahu Syazrin. “Pergi lah, aku nak call Johari sekejap. Nak aku teman pergi toilet ke apa kau ni?” Soal Syazrin kepada Aswad.
Aswad hanya membalas dengan senyuman sinis dan menuju ke arah toilet. Johari tidak dapat dihubungi. Tiba-tiba skrin handphone Syazrin tertera nama Aswad. “Dah kenapa kau ni nak membuang pun nak bagitau aku?” Syazrin mengangkat panggilan tersebut seraya memandang ke arah pantry.
“Kau kenapa? Takde air ke kat toilet?” Tanya Syazrin dalam nada sedikit marah. Kedengaran sayup suara seorang lelaki di corong talian.
“Hey along, jangan main telefon papa lah.” Telefon kemudian berganti tuan. “Eh Syazrin, ya Allah sorilah anak aku terdial nombor kau ni. Dia nak main game kat telefon aku ni.” Kedengaran anak Aswad merengek-rengek di sebelah mahu mendapatkan telefon dari ayahnya.
“Haaa kebetulan ni aku nak bagitau, aku tak dapat masuk kerja lagi lusa. Aku ada kat kampung lagi ni. Banyak benda lagi tak settle ni. Aku dah bagitau kat bos petang tadi. Lupa nak bagitau kau. Mungkin tambah cuti lagi dua hari.” Syazrin lantas mematikan talian. Jantungnya berdegup kencang. Nafas Syazrin bertukar laju.
Keadaan pejabat sunyi sepi. Tiada kedengaran sebarang bunyi. Siapa dalam toilet tu? Syazrin semakin cemas. Dia segera menutup komputer dan mengemas barang-barang. Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Mesej dari Johari.
“Sori bro, aku balik awal sikit tadi dalam 5.30 petang. Tak jadi nak stay back dengan kau. Cari kau tadi nak bagitau tapi tak jumpa. Lepas maghrib ada game futsal pulak. Ni baru berpeluang tengok phone. Ada apa kau call malam-malam ni?”
Syazrin menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket seluar. Dia segera mencapai beg dan memadamkan lampu serta terus berlari keluar. Saat dia ingin menutup pintu, lampu pantry tiba-tiba berkelip-kelip menyala. Dari jauh kelihatan susuk tubuh seseorang membelakanginya.
Dengan tak semena-mena makhluk itu memusingkan kepalanya 180 darjah. Dengan hanya kepala menghadap ke arah Syazrin, makhluk itu tersenyum menampakkan giginya yang tajam dan halus. Mukanya buruk. Hanya hidung yang rompong dan soket mata kelihatan. Dia seperti menjerut lehernya dengan tie.
Syazrin kaget di hadapan pintu. Makhluk itu menyeringai dan seperti mematikan ikatan jerutan di lehernya dengan kuat.
Zapp!!
Kepalanya terputus dan bergolek laju ke arah Syazrin. Syazrin menghempas pintu dan terus berlari lintang-pukang menuruni anak tangga.
*****
Keesokannya Syazrin hadir ke pejabat seperti biasa. Dia langsung tidak menceritakan apa yang berlaku semalam kepada rakan-rakan dipejabat. Dia berhenti di meja Johari dan menegur Johari yang daripada tadi kelihatan kelam-kabut.
“Cari apa kau ni gelabah semacam?” Tanya Syazrin memerhatikan gelagat rakannya Johari.
“Cari tie aku......Eh harini nak stay back tak?”
____________________________
Karya : Fadhilah
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: