Thursday, 12 October 2017

BURUNG KUBUR (Bab 10) - Mohd Shahiri Abd Ghapar


BURUNG KUBUR
Cerita Rantaian - Bab 10
Perhatiannya tidak dapat diberikan kepada pengajaran dalam kuliah. Tubuh Bakri memang ada di dalam kelas tapi fikirannya jauh menerawang ke luar. Dia masih memikirkan kemalangan yang dilihat tadi sambil mencari kaitannya dengan mimpi semalam.
“Dahlah tu Baq, jangan fikirkan sangat. Aku rasa semua ni kebetulan,” ujar Anas sebaik sahaja pensyarah menamatkan kuliah.
Bakri diam sambil merenung jauh. Entah dia dengar entah tidak suara Anas yang cuba menenangkannya.
“Kau rasa apa patut aku buat, Nas?”
Bakri berpaling ke arah Anas dan menuturkan soalan itu dengan suara perlahan. Semacam sudah berputus asa dan terlalu kecewa. Bakri sebenarnya masih tertanya-tanya, kenapa dia terpilih untuk mengalami semua ini? Mungkinkah ini balasan untuk dia kerana tidak mempercayai kewujudan alam ghaib sebelum ini?
“Kau ajak Aina jumpa dan kau tanya dia,” cadang Anas.
“Tanya apa?”.
“Ish... Kau ni. Masa-masa ni pulalah yang kau tak faham. Maksud aku, tanyalah tentang mimpi tu. Ada tak Aina mimpikan benda yang sama?” terang Anas.
Bakri terangguk-angguk. Barulah dia faham. Dia tahu, hari ini kemampuan dia untuk menganalisis masalah dan membuat keputusan sedikit terganggu. Fikirannya lebih banyak tertumpu kepada kemalangan ngeri dan mimpi aneh itu. Mujurlah ada Anas.
Dia capai telefon pintarnya dari atas meja kuliah. Dia mencari nama Aina dan terus menghantar satu mesej; mengajak Aina bertemu. Kata Bakri, ada sesuatu yang mustahak untuk dibincangkan. Tengah hari nanti waktu yang dijanjikan.
“Okey, kau teman aku nanti, Nas. Aina setuju nak jumpa”.
Anas angguk. “Dah, jangan difikirkan lagi. Jomlah pergi makan dulu.”
“Tak apalah, kau pergilah. Aku tak ada selera,” tolak Bakri dengan baik.
“Habis tu, kau nak buat apa sampai tengah hari? Lama lagi ni.”
“Aku nak keluar sekejap. Ada hal. Nanti pukul 12 aku jumpa kau dekat kafe tingkat 3 ya? Aku dah janji dengan Aina nak jumpa dekat sana,” jawab Bakri.
Dia kemudiannya menggalas beg dan terus keluar dari dewan kuliah. Anas tidak sempat menahan dan tidak juga banyak menyoal. Walau apa pun rancangan Bakri, dia tetap akan membantu selagi dia mampu.
Bakri menunggang motosikalnya menuju masjid besar. Di dalam kelas tadi, tiba-tiba sahaja dia teringatkan Pak Wan. Dia tidak pasti sama ada destinasinya itu betul. Bakri mencari Pak Wan. Dia berharap Pak Wan belum keluar dari masjid dan berjalan ke mana-mana.
Setiba di masjid, keadaannya lengang. Hanya ada beberapa biji kereta yang berada di petak parkir. Pemandangan itu tidaklah pelik kerana pada waktu-waktu begitu, memang jarang orang datang ke masjid. Kalau ada pun, mungkin ahli jawatankuasa pengurusan masjid.
Bakri meletakkan motosikal di tempat yang dikhaskan. Dia menapak menuju pintu utama masjid. Kedatangannya itu semata-mata dengan andaian Pak Wan ada di situ. Jika Pak Wan tiada, mungkin rezeki mereka bertemu lagi belum tiba.
Bakri menjenguk ke dalam masjid. Tiada sesiapa pun dilihat di dalam masjid. Dia mengeluh. Dia duduk di tangga, menopang dagunya dengan tapak tangan. Dia termenung. Fikirannya mula teringatkan perbualannya semalam dengan lelaki penjual air di taman tasik.
“Kalau abang rasa dugaan ni berat, ada orang lain yang lagi berat dugaannya, dik. Insya-Allah, selagi terdaya, abang usaha dik,” terngiang-ngiang ucapan itu di telinga Bakri.
Bakri jadi sedih. Dia terus terbayangkan keadaan isteri lelaki itu yang lumpuh dan dua orang anak mereka yang masih terlalu mentah untuk meneruskan kehidupan tanpa ketua keluarga. Berat sungguh dugaan yang keluarga itu perlu hadapi. Bakri sendiri belum tentu dapat menerimanya dengan sabar.
“Assalamualaikum, nak”.
Bakri tersentak apabila ditegur dari belakang. Cepat-cepat dia bangun dan menjawab salam. Seorang lelaki tua berkopiah dan berjubah tersenyum berdiri di belakangnya.
“Anak ni buat apa duduk di tangga. Cari siapa?” soal lelaki itu lagi.
“Maafkan saya pak cik. Saya cari Pak Wan. Katanya, dia menumpang tidur di masjid ni,” jawab Bakri.
Lelaki itu senyum lagi. Wajahnya sejuk dipandang. Berseri-seri.
“Oh, Pak Wan. Dia ada di belakang tu. Tengah mengemas stor masjid. Pergilah ke belakang tu,” katanya.
Bakri senyum. Dia lega. Dia gembira. Tercapai juga hasratnya hari itu.
“Terima kasih pak cik. Saya minta diri dulu, pergi jumpa Pak Wan dulu, ya?” ujar Bakri lalu menghulurkan salam.
Lelaki itu menyambutnya dan mengangguk. Bakri terus sahaja berjalan ke belakang menuju stor masjid. Memang ada seseorang di situ. Dari jauh lagi Bakri nampak ada seseorang yang sedang bekerja mengangkat barang keluar dan masuk stor itu.
“Assalamualaikum Pak Wan,” ucap Bakri.
Pak Wan yang sedang leka melakukan tugasnya terkejut kerana ada seseorang memberi salam. Dia keluar dari stor dan melihat gerangan yang datang. Apabila melihat Bakri, dia tersenyum suka. Dia tidak mengharapkan kedatangan Bakri tapi sangat mengalu-alukannya. Dia terharu.
“Waalaikumussalam. Bakri rupanya. Tak ada angin ribut, tiba-tiba ke sini, kenapa?” seloroh Pak Wan.
“Eh, Pak Wan ni. Macam tak suka je saya datang,” usik Bakri pula.
Terkekeh-kekeh Pak Wan ketawa. “Bukanlah macam tu. Pak Wan tak nak susahkan Bakri, sampai datang ke sini pula.”
“Tak adalah Pak Wan. Mana ada susahnya. Memang saya niat nak jumpa Pak Wan, nak sembang-sembang lagi dengan Pak Wan,” jawab Bakri mesra.
“Ya... Ya... Pak Wan saja mengusik kamu. Sekejap ya, Pak Wan habiskan kemas stor ni, nanti kita boleh duduk dan sembang-sembang,” ujar Pakwan.
“Saya tolong Pak Wan, ya?”
Belum sempat Pak Wan memberi persetujuan, Bakri terlebih dahulu mengambil alih periuk besar dari tangan Pak Wan. Lelaki tua itu hanya tersengih. Kedua-dua mereka terus melakukan kerja mengemas perkakasan dalam stor itu sehingga selesai. Apabila dilakukan berdua ternyata lebih cepat tugas itu dapat dilaksanakan.
***
“Pak Wan, Pak Wan sayang anak Pak Wan?”
Pak Wan yang sedang menuang air ke dalam gelas terpanar. Dia sedikit pelik apabila Bakri bertanya begitu kepadanya. Dia langsung duduk menghadap Bakri lalu tersenyum nipis.
“Kalau dah namanya anak Bakri, dah tentu Pak Wan sayang.”
“Walaupun anak Pak Wan buat Pak Wan macam ni?” tanya Bakri lagi.
Sejujurnya dia kagum dengan peribadi lelaki tuanya itu.
“Sejahat mana pun, dia tetap darah daging Pak Wan, Bakri. Pak Wan yang azankan di telinga dia waktu lahir dulu. Ayah dan anak, sejauh mana terpisah pun, pasti nanti akan bersatu semula,” luah Pak Wan dengan suara yang tenang.
Bakri terdiam. Kata-kata Pak Wan itu ada benarnya.
“Pak Wan yakin anak Pak Wan akan datang balik pada Pak Wan?”
Pak Wan diam. Dia mengambil masa untuk memberi jawapan. Wajahnya kelihatan berubah sedikit.
“Naluri Pak Wan ni kuat mengatakan Iman ada lagi dekat-dekat sini. Sebab itu juga Pak Wan tertunggu-tunggu nak balik ke kampung. Pak Wan risau, kalau-kalau Pak Wan balik semula, Iman datang cari Pak Wan, dia tak jumpa. Pak Wan tak nak susahkan Iman.”
Hati Bakri jadi tersentuh.
“Kenapa Iman sanggup buat begitu kepada ayahnya?” Bakri bercakap dalam hati.
“Bakri, fikirkan apa tu?” tegur Pak Wan apabila Bakri kelihatan khusyuk berfikir.
“Ermm... Tak ada apa-apa, Pak Wan,” lambat-lambat Bakri menjawab.
“Petang nanti, Insya-Allah, saya bawa Pak Wan ronda-ronda bandar ni, manalah tahu kita dapat jumpa anak Pak Wan nanti,” cadang Bakri kemudiannya.
“Buat susah kamu pula Bakri. Tak payahlah,” Pak Wan menolak.
“Tak boleh Pak Wan. Saya ikhlas nak tolong, Pak Wan tak boleh tolak. Petang nanti Pak Wan tunggu saya dekat sini, saya datang ambil Pak Wan. Jangan pergi mana-mana pula, ya?” bersungguh-sungguh Bakri berpesan.
Pak Wan angguk. Dia tahu dia tidak dapat menolak lagi.
“Minta maaf ya Pak Wan. Saya kena minta diri dulu, sebab pukul 12 ni saya ada hal sikit. Petang nanti saya datang lagi, ya?”
Cepat-cepat Bakri bangun dan menghulurkan salam kepada Pak Wan. Tangan tua itu dikucupnya lembut sebelum dia berlalu dari situ.
“Dah jumpa Pak Wan, nak?”
Bakri berpaling memandang ke kirinya. Suara itu dikenalinya. Suara lelaki tua yang sama memberitahunya di mana Pak Wan berada tadi.
Bakri senyum. “Dah pak cik. Terima kasih ya sebab tolong saya tadi.”
Lelaki tua itu angguk dan senyum. “Kamu bantulah Pak Wan, ya. Kamu seorang saja yang dapat bantu Pak Wan.”
“Maksud pak cik?” soal Bakri, terkerut-kerut tidak memahami kata-kata lelaki tua itu.
“Bakri! Bakri!” kedengaran suara Pak Wan dari jauh.
Bakri memandang ke arah Pak Wan yang sedang melambai-lambai tangannya. Tangannya yang sebelah lagi menjinjing beg galas kepunyaan Bakri. Dek terlalu fokus dengan temu janjinya dengan Aina jam 12 tidak lama lagi, Bakri tertinggal beg galasnya di kerusi tempat dia duduk tadi. Mujur Pak Wan yang menyedari.
“Ni beg kamu ni, mujur tak tertinggal,” ujar Pak Wan lalu menyerahkannya kepada Bakri.
“Minta maaf Pak Wan. Saya tak perasan tadi. Terima kasih banyak-banyak Pak Wan,” ucap Bakri.
“Pak Wan tengok kamu bercakap-cakap tadi. Dengan siapa?”
“Oh, dengan pak cik...” Bakri terdiam apabila dia baru menyedari bahawa lelaki tua berserban dan berjubah putih tadi sudah pun tiada di tempatnya berdiri tadi.
“Siapa?” soal Pak Wan sekali lagi, tertunggu-tunggu jawapan Bakri.
“Eh... tak adalah Pak Wan. Mungkin saya membebel seorang diri tadi, kot. Biasalah, banyak fikirkan masalah,” dalih Bakri teragak-agak.
“Sudahlah tu, jangan difikirkan sangat. Nanti tambah serabut fikiran kamu tu,” nasihat Pak Wan.
“Baik Pak Wan. Baiklah. Saya minta diri dulu, ya? Petang nanti kita jumpa.”
“Insya-Allah. Bawa motor tu elok-elok Bakri,” pesan Pak Wan lagi.
Bakri angguk. Senyuman di bibir terpaksa dipalsukan. Ada sesuatu yang sedang difikirkan.
Bakri memerhati sekeliling kawasan masjid, mencari-cari kelibat lelaki yang menegurnya tadi. Siapa lelaki tua itu? Ke mana perginya dalam sekelip mata? Tidak mungkinlah dia dan Pak Wan tidak sedar lelaki itu berlalu.
Namun, kelibatnya langsung tidak kelihatan selepas itu. Dia hilang begitu sahaja. Bakri mula panik. Sekali lagi dia berada dalam situasi itu. Dia tidak pasti sama ada dia sedang berkhayal atau pun berada dalam dunia realiti.
Selepas burung hitam dan mimpi-mimpi aneh, kehadiran lelaki misteri dengan pesanannya tadi membuatkan Bakri semakin keliru. Tanpa dia sedar, air matanya menitis. Dia semacam tidak berdaya lagi dengan semua itu. Bakri takut. Dia rasa dia tidak kuat untuk menanggungnya lagi. Ujian apakah ini?
Pesanan itu bermain-main semula dalam fikirannya.
“Kamu bantulah Pak Wan, ya. Kamu seorang saja yang dapat bantu Pak Wan”.

Bakri menjerit sekuat hati.
Dia ingin melepaskan semua kekusutan itu. Biarpun hanya untuk seketika.

Motosikal kemudian dipecut laju.
Bersambung dalam Bab 11.
Terima kasih buat pembaca setia siri ini. 
Jika anda terlepas bab-bab terdahulu, klik sahaja pada pautan berikut:
Pautan untuk bab-bab terdahulu:

Bab 1:

Bab 2:

Bab 3:

Bab 4:

Bab 5:

Bab 6:

Bab 7:

Bab 8:

Bab 9:

Suntingan: Arkib Angker Negara
Like, comment, share and follow!
*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.

No comments: