TELUR
*****
Patutlah anak aku menangis meronta-ronta malam tu, seolah-olah ada yang tidak kena. Teringat pesan orang-orang lama, elakkan bergambar di waktu malam, lebih-lebih lagi di tempat yang tinggi. Puasku kaitkan hubungan keduanya, tak tercapai dek akal.
Orang cakap kalau tak kena batang hidung sendiri memang susah nak percaya. Macam tu jugalah aku, memang sukar nak percaya benda benda ni. Aku ni anak kelahiran bandar, pemegang ic angka empat belas. Bagi aku ini semua adalah mainan perasaan ataupun kesan dari mental yang tak kuat. Ini kan zaman moden; pulas keluar air petik keluar api. Itulah tanggapanku sebelum ini...hinggalah suatu hari.
Suatu petang aku mengajak isteriku makan malam di sebuah kompleks yang terkenal di pusat bandar. Bangunannya tinggi mencakar langit, pakirnya berlapis mendalami bumi. Sebuah tempat yang agak hebat; sana sini cerah dilimpahi cahaya berwarna-warni, harum wangian semerbak memenuhi setiap ruang dan inci.
Tarikan utama kompleks ini ialah kita boleh naik hingga ke tingkat atas, ianya memang dibenarkan dan memang sengaja direka sedemikian. Tidak melepaskan peluang; selesai sahaja menikmati makan malam di tingkat bawah, kami tiga beranak menaiki lif terus ke tingkat atas sekali.
Seronok berada di atas, luas dan lapang selapangnya. Tak banyak cahaya yang dipancar, mungkin untuk tidak mengganggu keindahan pemandangan malam. Tiada bumbung, hanya langit dan bintang. Angin sejuk menyapa pipi, anakku berlari-lari sambil dikejar isteriku. Kebetulan tidak ramai pengunjung malam tu, bersuka ria kami berkejaran sepuasnya. Seolah kami yang punya tingkat atas tu, hingga terlupa kami ini bukanlah penghuninya.
Ianya bermula ketika aku meminta isteriku merakamkan foto kenangan bersama anakku. Ku dukung anakku agar biar senang isteriku fokus cameranya ke wajah kami. Waktu tu tiada apa yang aneh, cuma rasa sejuk sahaja kesan tiupan angin yang ku anggap normal di altitud tinggi.
Anakku tiba-tiba sahaja meraung tatkala ku mula dukungnya, suaranya bingit memecah kedamaian malam tu. Pelik... setahuku dia suka didukung. Bertambah pelik dia tiba-tiba diam apabila ku letakkan semula ke bawah. Pelik kian bertambah; dia mula merenung tajam mataku, seolah-olah dalam keadaan yang sangat marah.
Tanpa peduli, ku dukung semula dia dan terus dia menjerit sambil menolak-nolak tanganku. Mulutnya tak berhenti-henti jerit sepatah haram apa pun aku tak faham. Kulihat muka isteriku sudah berubah, mungkin pemikirannya sama seperti aku. Seperti yang diberitahu, aku memang langsung tak terfikir benda yang bukan-bukan ni.
Hampir tiga empat kali juga la dukung letak dukung letak ni; sewaktu dukung memang dasyat amukannya, letak bawah terus diam... bibirnya diketap, matanya merenung. Tak pernah dia amuk seperti ini.
Kupaksa juga dukung dan segera isteriku rakamkan foto kami.
“Budak kecil ni boleh rasa, nak cakap tak pandai.” Itu yang isteriku bisikkan padaku sewaktu menuruni lif. Kulihat anakku lena dalam dakapannya.
Dalam kereta ku minta dia hantar foto tadi ke telefon bimbitku, untukku muatnaik ke media sosial. Mengucap panjang ku lihat foto kami dua beranak malam tu, tak ku sangka sampai ke tahap tu.
Beristighfar ku berulang kali sambil mengusap kepala anakku yang lena. Terngiang-ngiang lagi bisikan isteriku di lif; “budak kecil ni boleh rasa, nak cakap tak pandai.”
Maafkan bapak wahai anak; disebabkan bapak yang memaksa, kamu yang harus menerima.
Kasihan anakku, berulang kali kutatap foto kami malam tu. Salah teknik rupanya aku dukung dia malam tu... telur dia tersepit.
😂😂😂😅😅
*****
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment