Friday, 13 October 2017

HIJAB


Hijab (Kisah Benar)
Pengirim: Rahsia
Pengolah: Gongpal Topek

Bermulanya kisah ini dua minggu sebelum Ramadhan 2017. Saya baru lepas habis pantang anak ke-5, badan saya dipenuhi gatal-gatal. Penyakit gatal yang tidak tahu puncanya dari mana, tak ada bintik-bintik atau nanah kudis atau sebagainya. Hanya gatal yang amat sangat,
Puas saya mengadu pada suami, jawapannya mungkin baju yang saya basuh tidak bersih atau mungkin aku alahan pada makanan,
Kalau saya basuh baju tidak bersih, sudah tentu anak-anak dan suami juga gatal-gatal. Tidak mungkin saya alahan pada makanan, sedangkan bukan jenis yang memilih pun, yang hanya boleh makan benda-benda tertentu sahaja. Bukan jenis saya. Saya boleh bedal Semua sekali jenis makanan.

Hairannya, baby dan anak-anak yang kecil tidak terkena penyakit ini. Puas pergi ke klinik, pergi ke farmasi untuk membeli bermacam-macam ubat. Pelbagai jenis ubat sudah saya beli dan gunakan tetapi tidak juga sembuh,
Masuk bulan Ramadhan. Saya pasrah. Bila masuk waktu maghrib, gatal-gatal mula menjadi teruk. Dari waktu maghrib hingga ke tengah malam, kerja saya hanyalah menggaru sahaja. Terlalu gatal. Sehinggakan saya menggaru sampai tempat yang digaru itu luka. Sejak itu juga, saya mula nampak kelibat-kelibat melintas, tetapi dibiarkan sahaja. Mungkin hanya ilusi. Ya, saya dulu suka sangat berangan. Mungkin sebab itu saya berilusi sesuatu. Tidak diadu kepada suami tentang kelibat-kelibat itu, kerana saya pasti suami akan cakap itu hanya ilusi saya.
Kadang-kadang saya akan marah anak-anak kerana main pintu, sedangkan bukan mereka yang melakukannya. Kadang-kadang, sampai naik gila memikirkannya, Siapa yang melakukan itu ini?Sedangkan anak-anak duduk diam menonton cerita kartun mereka. Saya tidak ambil peduli tentang perkara itu sangat. Lebih baik melayan gatal-gatal yang tidak pernah hilang dari tubuh.
Berlalu bulan Ramadhan. Namun, gatal-gatal itu tidak juga hilang. Saya beraya dengan keadaan yang agak rimas,
Bila mula berpeluh, tengkuk jadi panas. Keadaan gatal di bahagian kaki dan tangan.

Baby juga agak pelik sedikit tingkah lakunya. Dia hanya nak duduk di rumah atau di dalam kereta. Dia tidak mahu pergi ke mana-mana. Tidak sampai beberapa minit sahaja dia di luar rumah dia akan menangis. Saya fikir itu normal. Makin lama saya berasa agak pelik. Berayalah saya dan dia di dalam kereta.
Dua minggu selepas raya ibu mertua saya demam. Sebagai seorang menantu, saya mengurut ibu mertua saya, disebabkan keadaan badannya yang lenguh-lenguh. Hari pertama selepas saya mengurut ibu mertua saya, malam itu saya didatangi mimpi yang pelik. Dalam mimpi itu, badan saya jadi sakit. Sakit yang amat sangat. Dalam mimpi itu, suami saya bacakan ayat Kursi lalu ditepuk belakang saya. Tiba-tiba, ada pusaran angin yang keluar daripada tubuh saya, manakala di satu sudut ada seseorang yang berselubung hitam sedang memandang ke arah saya. Lalu, saya terjaga dari tidur,
Saya ada ceritakan kepada suami, jawapannya mungkin saya tidak buat adab tidur. Tidak basuh kaki atau tidak mengambil wuduk. Mungkin mainan tidur,
Malam kedua saya mimpi lagi. Kepala saya terlalu sakit, dan di hujung satu sudut dia yang berselubung hitam masih memerhatikan saya. Saya takut kalau-kalau dia sergah saya. Mungkin wajah dia hodoh. Saya pejamkan mata, saya pegang kepala saya yang sedang sakit sambil baca ayat kursi. Seperti semalam, ada pusaran angin yang keluar daripada kepala saya, dan saya terjaga,
Saya diamkan perkara ini daripada suami. Suami amat titik beratkan mengambil wuduk sebelum tidur dan buat adab tidur,
Jadi kalau saya adukan perkara ini, mungkin saya kena marah, Sebab malam tu saya terlupa nak buat adab tidur.

Malam ketiga. Saya bermimpi si dia yang berselubung hitam datang menghampiri. Dia yang berselubung hitam itu ingin menyentuh bayi saya. Saya tarik anak saya ke sisi saya. Saya cakap kepada makhluk itu, tolong jangan sentuh anak saya. Tidak semena-mena, dia hilang dari pandangan saya. saya terjaga, lalu pergi ke bilik air untuk mengambil wuduk. Kedinginan air mengalir di seluruh anggota tubuh.
Malangnya, baru saya sedar saya masih di alam mimpi. Makhluk itu, dia masih ada di hujung bilik. Saya terkejut ketika memasuki bilik. Berterabur ayat kursi yang saya baca. Mujur saya terjaga daripada tidur selepas itu. Saya lihat buaian anak saya tiada radio al-quran yang saya gantung selalunya sebelum tidur.
Ya, saya masih bermimpi, getus hati saya. Saya toleh ke sebelah kiri. Si dia yang berselubung hitam masih berdiri di penjuru bilik, saya pejam mata saya, berdoa dan mengharap apabila saya buka mata, saya betul-betul tersedar dari mimpi. Syukur, saya terjaga daripada mimpi itu. Saya melihat sekeliling bilik, tiada si dia yang berselubung hitam.
Keesokan harinya selepas solat Subuh, saya buat sarapan,
Selepas habis semua kerja saya di dapur, saya mandikan baby saya dan susukan dia. Sambil saya susukan dia, saya terlelap. Si dia yang berselubung hitam menyergah saya, terus saya buka mata. Terkejut.

Pagi itu, kami dikunjungi oleh sepupu suami. Dia pandai selok belok dalam perubatan Islam. Si dia yang berselubung hitam dipercayai mengekori mak mertua saya. Lalu, proses mengubat dilakukan terhadap mak mertua. Siap sahaja proses mengubat mak mertua, giliran saya pula untuk bercerita mengenai gangguan saya. Katanya, badan saya terkena bisa air liur pontianak.
Saya tanyakan pada dia, adakah benar bayangan-bayangan yang saya nampak sejak bulan Ramadhan dan gangguan-gangguan yang saya alami itu berkaitan dengan hal yang sama.
Dia menjawab bahawa hijab saya hampir terbuka, Dia tanyakan lagi adakah saya mahu bukakan hijab secara menyeluruh. Terus terang saya cakap, saya adalah seorang penakut. Walaupun saya selalu terkena gangguan seperti dihempap, dicekik dan macam-macam lagi, tapi saya memang tiada keberanian untuk melihat makhluk halus.

Dia minta izin pada suami saya dan bertanya pendapat pada suami saya. Hanya orang terpilih sahaja yang Allah bukakan hijab. Kelebihannya, insyaAllah suatu hari nanti saya boleh bantu orang lain dengan bukaan hijab ini. lebih-lebih lagi kepada keluarga saya. Jadi, suami izinkan dia untuk membuka hijab saya, Dia mula membuka hijab saya sedikit demi sedikit,
Berpandukan arah suara dia, saya mencari apa yang disuruh cari. Selepas hijab saya terbuka, saya mencari si dia yang berselubung hitam,
Saya diminta untuk bertanyakan pada si dia yang berselubung hitam, apakah yang dia mahu. Jawabnya, dia mahu menjadi salah seorang daripada ahli keluarga kami. Dia adalah seorang wanita yang tua, tapi badannya masih tegap berdiri tidak bongkok,

Kuku yang halus runcing
Berwajah gelap
Rambut paras pinggang mengerbang
Rupa dia memang agak menyeramkan, menyeringai.

Memang tidaklah untuk saya ambil dia sebagai ahli keluarga. Si dia yang berselubung hitam itu tidak mahu pergi, masih menunggu di sini. Katanya, dia suka pada baby kami, tetapi disebabkan amalan kuat suami, dia takut untuk menghampiri,
Puas saya dan sepupu suami memujuknya untuk pergi. Cara berlembut dia tidak mahu dengar. Akhirnya, kami terpaksa guna cara kasar.

Selepas berentap, si tua itu akhirnya akur. Dia sudi mengucap kalimah Syahadah. Dengan tidak semana-mena, wajahnya menjadi putih berseri. Namun, sebelum dia pergi, dia berkata,
"Aku akan datang kembali hanya untuk melihat, bukan untuk mengganggu."
Semenjak itu, kami diuji dengan bermacam-macam perkara. Paling teruk diuji adalah suami, Tidak pernah lagi saya melihat dia dalam seminggu sihat sepenuhnya, Ramai yang berebut anugerah saya untuk diambil cara halus. Tidak dapat pegang saya, mereka pegang suami saya. Supaya saya mengalah apabila melihat orang yang saya sayang sakit. Orang-orang jahat mahu saya tutup hijab supaya saya tidak nampak kerja mereka. Ya, kerana kebanyakannya pelaku tinggal di rumah-rumah mereka, berdekatan dengan saya,
Cerita Saya memang kurang menarik. tapi inilah pengalaman saya. Terpulang untuk kalian percaya atau tidak. Saya tidak memaksa. Kadang-kadang, saya berfikir alangkah bagusnya Kalau mata hijab saya ditutup kembali.

Kenapa?
Sanggupkah kalian tengok orang yang tersayang dirantai seperti haiwan dek kerana buatan orang?
Sanggupkah kalian melihat orang yang tersayang didatangi makhluk setiap malam? Siap membelai-belai wajah suami lagi..
Sanggupkah kalian tengok orang yang tersayang badannya dipenuhi cacing dan ular yang melingkar??

Sedih. Kadang-kadang, saya tidak sanggup melihat dia menerima bermacam-macam ujian, tetapi dia kuat.
Katanya, bila lagi Allah nak hapuskan dosa kalau bukan sekarang? Sakit itu penghapus dosa, jadi bersabarlah. Moga-moga diberi keberkatan.

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: