MAK YAH
Oleh Tajul Zulkarnain
==========================
Aku, Tajul Zulkarnain. Masih ingat dengan Kak Chik yang aku perihalkan tempoh hari? Itu anak abang kepada abah aku. Kali ni, aku nak bercerita pula tentang arwah mak cik aku dari sebelah emak pula. Arwah Mak Yah aku ni ialah adik kepada emak aku. Cerita yang hendak aku sampaikan ni diceritakan semula oleh Mak Ibah, iaitu adik kepada arwah Mak Yah aku.
Mak Yah aku ni orangnya cantik jelita. Rupanya tak ubah seperti pelakon lagenda Nor Azizah di zaman P. Ramlee dulu. Dengan pinggang kerengganya. Fuh! Perempuan zaman dulu. Sanggup dia orang pakai bengkung nak dapatkan pinggang saiz 24 inci.
Biasalah, bila orang cantik ni memang ramai peminat tapi Mak Yah aku ni bukan spesis sosial. Dia lebih suka memerap dengan mak bapak dia. Kategori anak manja yang terlebih-lebih ni, kalah adik bongsu dia. Aku rasa, Mak Yah aku ni kalau bolehlah dia duduk betul-betul kat celah ketiak mak bapak dia tu, memang dia dah duduk kat situ.
Di sebabkan dia ni pemalu sangat, ramai yang terus masuk meminang je sebab tak tahu macam mana nak mengurat dia. Dah pergi balik kerja pun atuk aku yang ambik, bila masa mamat-mamat tu nak testing pick-up line dia orang kat Mak Yah aku?
Dalam ramai-ramai tu, atuk aku terima pinangan seorang lelaki ni sebab atuk dan arwah nenek aku tu kenal dengan emak bapak budak lelaki tu. Jadi, dia orang pun bertunanglah. Nikahnya dalam masa enam bulan lagi sebab konon alasannya dua-dua dah stabil. Yalah, Mak Yah aku dah jadi cikgu masa tu. Lelaki tu pulak ada bisnes sendiri.
Sebenarnya lelaki tu yang mintak cantas enam bulan masa pertunangan lepas tengok rupa Mak Yah aku masa bertunang. Nampak sangat, bro nafsu serakah kau macam mana tapi mujur kau hensem dan Mak Yah aku pun sukakan kau, jadi kami maafkan kau.
Dalam masa dua minggu lepas bertunang, Mak Yah aku ni mula nampak macam-macam benda pelik. Dia ni masih tinggal dengan atuk dan nenek aku. Duduk kampunglah. Dia lebih rela atuk aku hantar dan ambil dia dari tempat kerja daripada duduk menyewa dengan kawan-kawan.
Mujur Muar tu bersempadan je dengan kampung atuk aku. Atuk dan nenek aku pun suka. Dia orang kata tak baik Mak Yah aku duduk sorang-sorang, darah tengah manis. Padahal bukannya kami tak tahu, dia orang memang tak boleh berenggang dengan Mak Yah aku.
Korang bayangkan, Mak Yah aku sanggup tolak tawaran belajar kat maktab yang di luar Melaka. Lepas tu masa dia sambung belajar di U, atuk dan nenek aku sanggup menyewa rumah duduk dengan dia kat Pulau Pinang. Sampai tahap macam tu sekali dia orang sanggup buat demi Mak Yah aku.
Kejadian pertama yang menimpa Mak Yah aku berlaku pada waktu senja. Rumah atuk aku ni rumah kampung separuh batu separuh kayu. Ada empat bilik tidur dan ruang bersanding kat tingkat atas. Ruang bersanding tu memang luas. Kami boleh main bola lagi kat atas tu, bawak lari bola keliling tiang seri sakat adik-adik sepupu. Bilik tidurnya pun luas-luas belaka. Satu bilik tidur tu boleh bentang sepuluh biji tilam bujang. Anak cucu atuk aku tu ramai.
Senja-senja memang tugas Mak Yah aku ni tutup semua tingkap. Masa dia tutup tingkap kat dalam bilik tidur dia di tingkat atas, tiba-tiba, zup! Sesuatu berwarna putih melintas kat depan dia. Mak Yah aku ni terkejut, terus pengsan. Nenek aku yang jumpa dia terbaring di atas lantai.
Bila nenek kejutkan Mak Yah aku, Mak Yah aku ceritalah apa jadi. Nangis-nangis dia cerita. Nenek aku kata, yang Mak Yah aku nampak tu layang-layang kut. Mak Yah aku ni mulai tenang lepas dengar cakap mak dia sebab kat tanah lapang sebelah rumah atuk tu, memang budak-budak suka main layang-layang kat situ.
So, Mak Yah aku ni relakslah, sembang dan buat kerja sekolah dia macam biasa. Dekat pukul 10 malam macam tu, dia naik ke tingkat atas nak tidur. Setiap malam sebelum tidur, Mak Yah aku ni suka sisir rambut dia 99 kali.
Masa dia tengah sisir kat depan cermin, dia nampak kat balikan cermin tu ada tangan yang dah reput tengah pegang tangan dia yang tengah sisir rambut tu. Apa lagi, menjerit sakanlah Mak Yah aku ni sambil berlari turun ke tingkat bawah sebab mak ngan bapak dia masih lagi tengok televisyen kat tingkat bawah.
“Ada hantu. Ada hantu,” kata Mak Yah aku.
Lepas tu dia tak sedarkan diri. Dah lama bila dia sedar balik, Mak Yah aku terus menjerit. Dia kata menatang tu ada kat belakang nenek aku pulak. Nenek aku pun apa lagi, dia dahlah jenis penakut, terus dia suruh atuk aku suruh anak jiran sebelah panggil Pak Jamang yang memang terkenal pandai mengubat orang kat kampung tu datang ke rumah. Atuk aku terpaksa mintak tolong anak jiran panggilkan Pak Jamang sebab nenek aku tak nak tinggal sorang-sorang dengan Mak Yah aku.
Kecohlah jugak malam tu. Satu kampung datang ke rumah atuk aku sebab bila ada orang panggil Pak Jamang ni, memang dia orang semua macam excited semacam. Tambah pulak yang sakit tu Mak Yah aku kan, lagi ramailah pemuda kampung yang datang malam tu. Kut-kutlah boleh pegang Mak Yah masa dia kena rasuk. Kut ajelah… tapi dia orang semua frust sebab Mak Yah aku tak kena rasuk pun. Dia tuding-tuding kat tiang seri pastu pengsan.
Pak Jamang kata, ada orang hantar menatang tu kat Mak Yah aku. Sebabnya takde pulak Pak Jamang tu cakap apa. Pak Jamang kata dia dah tangkap benda tu. Siap tayang benda tu yang dia kurung kat dalam botol kat sekalian yang hadir kat rumah atuk aku malam tu. Dia guna botol kaca jernih tu. Memang nampaklah bendanya.
Tapi Mak Yah aku jerit kata menatang tu ada lagi. Siap tunjuk kat tiang seri rumah atuk aku tu. Nampak tak macam mana maruah Pak Jamang kena pijak oleh menatang tu malam tu? Sampai ada yang berani kata menatang yang Pak Jamang tangkap tu, menatang belaan dia sendiri.
Semuanya kerana masa Mak Yah aku tuding-tuding kat tiang seri tu, Pak Jamang macam terpinga-pinga dan bagi tahu kat atuk aku, dia tak nampak apa-apa pun. Rumah atuk aku tu dah bersih kata dia tapi Mak Yah aku tetap tuding kat tiang seri rumah atuk tu. Lepas tu Mak Yah aku jadi macam orang sawan. Mata putih dia je yang tinggal.
Aku takde info macam mana dia orang buat kasi Mak Yah aku baik semula malam tu tapi sejak malam tu, reputasi Pak Jamang dah calar.
Esoknya, Mak Yah aku mengajar macam biasa. Mula-mula tu Mak Yah aku okey je tapi masa tengah mengajar, menatang tu kacau dia balik. Mak Yah aku jatuh pengsan. Cikgu-cikgu kat sekolah tu ingatkan dia terkena sawan sebab bila dia jatuh tu, dia menggelupur macam orang terkena sawan. Dia orang bawak ke klinik kesihatan kat sebelah sekolah. Klinik hantar Mak Yah aku ke hospital sebab dia dah buat kejang-kejang tangan. Tapi hospital kata Mak Yah aku tak sakit.
Atuk aku terpaksa ambik Mak Yah aku kat hospital bawak balik. Malam tu dia okey. Takde kena ganggu. Esoknya semasa Mak Yah aku tengah mengajar, dia jadi balik. Lusa pun sama. Sampai dua minggu dia asyik pengsan je. Pengetua sekolah suruh dia ambik cuti sakit sebulan. Berubat. Yalah, dah tak boleh mengajar langsung, buat apa datang sekolah?
Masa dalam cuti ni lagi teruk benda jadi kat dia. Sampai cedera teruk. Hari pertama cuti. Mak Yah aku tengah turun tangga. Masa kaki kanan dia nak melangkah turun, Mak Yah aku nampak ada tangan reput paut buku lali dia. Kan masa kita turun tangga kita tengok ke bawah. Memang dia nampaklah tangan tu. Apa lagi, Mak Yah aku terus jatuh tersungkur kat atas tangga tu. Lepas tu, dia jatuh tergolek-golek ke lantai. Memang teruklah Mak Yah aku cedera, tapi mujur tak ada yang patah.
Atuk aku panggil sorang lagi perawat ni. Perawat tu pun macam Pak Jamang jugak. Dia kata rumah atuk aku tu bersih. Malah dia nampak pagar yang Pak Jamang tu buat. Jadi, reputasi Pak Jamang naik balik. Soalnya, menatang tu masuk ikut mana? Perawat tu tak boleh jawab. Dia kata, dia langsung tak nampak pun menatang tu masa dia merawat Mak Yah aku.
Bila Mak Yah aku ni dah sihat sikit, dia tolong nenek aku kat dapur. Dia nak goreng ikan. Dah letak kuali diatas dapur gas, minyak pun di tuang. Bila minyak dah panas, Mak Yah aku nak masukkan ikan. Masa ni lah, tiba-tiba tangan dia direntap. Pantas. Rentapan itu seolah-olah hendak di bawa tangan Mak Yah aku masuk ke dalam minyak panas.
Mak Yah aku jerit.
"Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar."
Nenek aku dengar. Dia pun jerit takbir. Tapi, nenek aku pantas berfikir. Cepat-cepat dia matikan api lantas dia kalihkan kuali. Kalau tak, aku rasa memang tangan Mak Yah aku tu dah rentung kena goreng.
Tapi, tangan Mak Yah aku tetap melecur teruk. Sebabnya, ikan yang dia nak goreng tu terjatuh ke dalam kuali. Minyak panas merecik-recik kena tangan dia. Lepas tu Mak Yah aku trauma. Dia taubat tak nak masak lagi sebab takut perkara tu jadi lagi.
Hujung minggu tu tunang Mak Yah dan mak bapak dia datang nak tengok Mak Yah. Bila dengar je cerita Mak Yah, tunang dia terus kata nak cepatkan lagi majlis nikah. Buat majlis simple-simple pun takpe sebab dia nak jaga Mak Yah. Kita orang ni respek sangat kat dia masa tu.
Mak Yah pun ada masa dia orang tengah bincang. Dia senyum-senyum je masa tunang dia cakap nak cepatkan majlis. Takda angin takda ribut, tiba-tiba Mak Yah berdiri. Dia rentap tudung dia. Kemudian, dia tanggal pula baju dia. Dia berkelakuan macam tu depan tunang,atuk dan bakal mertua dia. Siap buat gaya striptease lagi.Haru!
Nenek aku apa lagi. Terngaga-nganga dia dengan peel tak semenggah Mak Yah. Nenek dan bakal mak mertua Mak Yah, kelam-kabut heret Mak Yah masuk ke dalam bilik belakang. Jenuh diorang nak sarungkan pakaian di badan Mak Yah. Dah sarung kain, ditanggalkan. Sarung pula baju, Mak yah tetap tanggalkan. Sudahnya, togel lah Mak Yah aku tanpa pakaian!
Selepas gagal nak sarungkan pakaian di tubuh Mak Yah, akhirnya diorang berhenti. Bukan sebab penat tapi sebab diorang dah mula takut! Mak Yah aku tiba-tiba mengilai. Maki hamun diorang tanpa henti. Suara Mak Yah pun dah berubah kasar. Diorang apa lagi? Cabut lari lah tinggalkan Mak Yah dalam bilik.
Lepas tu, Mak Yah aku ni pulak lari naik ke tingkat atas. Berlari-lari dengan baju dan seluar dalam je masa tu korang. Siut betul. Menatang tu tugasnya memang nak menjatuhkan maruah orang kut. Hari tu Pak Jamang kena. Lama jugak orang tak panggil Pak Jamang merawat lepas kes dia dimalukan di rumah atuk aku.
Sudahnya, Atuk aku suruh nenek aku panggil Pak Jamang. Takda pilihan! Sementelah, Atuk aku cepat-cepat ikut Mak Yah aku naik ke tingkat atas. Korang nak tahu kat mana atuk aku jumpa Mak Yah? Betul-betul kat tingkap dalam bilik Mak Yah. Tingkap yang kali pertama Mak Yah aku nampak benda melintas tu.
Mak Yah bertenggek betul-betul atas alang tingkap, menghadap ke luar rumah. Atuk aku terpaksa tutup pintu bilik Mak Yah dan kunci dari dalam. Segan sebab keadaan Mak Yah aku yang tak bertutup tubuhnya. Di luar bilik. Tunang Mak Yah dengan bakal mertua dia hanya menunggu dengan sabar. Nak masuk, Atuk aku tak bagi.
Dalam bilik. Atuk aku cuba pujuk Mak Yah. Mak Yah aku tak endah pun. Dia terus-terusan mengilai. Lepas tu, Papp!! Mak Yah terus terjun dari tingkap ke tanah. Nak pengsan atuk aku tengok. Rumah dia tinggi kot. Adalah dalam 15 kaki dari tingkap tu.
Atuk aku turun ke bawah. Kali ni dia suruh tunang Mak Yah ikut dia kejar Mak Yah. Dia orang cari Mak Yah kat belakang rumah sebab atuk aku nampak Mak Yah lari ke sana. Berlari dengan empat kaki. Maksudnya, tangan Mak Yah aku dah jadi kaki. Macam binatang.
Tanah tapak rumah atuk aku ni memang luas. Belakang rumah tu boleh buat sepuluh buah rumah lagi. Atuk aku tanam macam-macam pokok kat situ.Dia orang cari punya merata tapi tetap tak jumpa Mak Yah. Atuk aku siap suruh tunang Mak Yah cari kat atas pokok manggis, pokok rambutan, pokok cermai, asam kundang pun takde.
Selepas beberapa ketika, Pak Jamang pun sampai. Dia datang dengan beberapa orang pemuda kampung. Bukan dia ngajak pun. Dia orang sukarela ikut. Atuk aku tak sedap hatilah tengok ramai sangat budak-budak muda yang sukarela nak tolong. Jadi Atuk aku suruh tunang Mak Yah pergi ambik kain untuk balut tubuh Mak Yah bila dia orang jumpa dia nanti.
Pak Jamang suruh dia orang semua azan tak henti-henti. Azan punya azan, Mak Yah jatuh dari atas pokok kelapa. Tangan dia mengerekot macam orang kena sawan tapi mulut dia maki Pak Jamang. Menatang tu kata Pak Jamang suka menyibuk hal orang.
Suka masuk campur hal yang takde kena-mengena dengan dia. Menatang tu kata lagi, tuan dia memang benci pada Pak Jamang dan akan terus busukkan nama Pak Jamang. Dengan niat supaya Pak Jamang tak boleh mengubati orang lagi. So, reputasi Pak Jamang pulih 100% petang tu.
Atuk balut tubuh Mak Yah dengan kain. Lepas tu dia dengan tunang Mak Yah angkut Mak Yah balik ke rumah. Pak Jamang mulai menawar Mak Yah. Dia bagi Mak Yah minum air yang dia dah ruqyahkan. Jenuh weh nak paksa Mak Yah minum.
Dia kancing gigi dia dan geleng-gelengkan kepala. Itu je yang Mak Yah boleh buat sebab badan dia masih berbalut macam baby kena bedung. Tercampak jugaklah gelas berisi air yang Pak Jamang pegang bila terkena gelengan Mak Yah. Ganas betul.
Akhirnya, tak ada pilihan. Atuk aku duduk menghadap kepala Mak Yah dari atas. Dia pegang kepala anak dia kuat. Mak Yah aku tenung bapak dia. Lepas tu, dia cakap macam-macam sampai ke tahap Atuk aku hilang sabar. Atuk lempang muka Mak Yah. Kesian, padahal bukan Mak Yah yang bercakap pun. Menatang tu yang punya onar. Dia sembang sampai pecahkan rahsia Atuk aku. Atuk aku sentap.
Mak Yah mengilai ketawakan atuk aku sebab dah berjaya buat atuk aku marah. Nenek aku pun marah jugaklah sebab dapat tahu atuk aku nak nikah lagi satu. Celaka betoi. Kau nampak tak permainan menatang tu? Memang setan dan iblis ni suka menghuru-harakan anak Adam.
Masa menatang tu tengah mengilai, Pak Jamang letak sudu kat dalam mulut Mak Yah. Memang tak boleh katup lagi dah mulut dia lepas tu. Pak Jamang tuang air ruqyah tu ke dalam mulut Mak Yah. Mak Yah sembur tapi ada jugak yang lepas masuk. Pak Jamang tuang lagi sampai Mak Yah dah tak melawan.
Selepas tu Pak Jamang tulis dengan jari dia kalimah Allah dan Muhammad pada dahi, leher, ulu hati dan pada setiap pelipat sendi Mak Yah. Menjerit-jerit menatang tu memaki Pak Jamang. Paling tak tahan tubuh badan Mak Yah mengerekot. Tapi menatang tu masih tak nak keluar dari tubuh badan Mak Yah.
Pak Jamang kasi trick. Dia kata dia akan bela menatang tu dan jaga menatang tu dengan baik kalau menatang tu dengar cakap dia. Macam-macam, beb menatang tu mintak. Pulut kuning, ayam seekor, darah sembelihan dan jantung lembu. Tiap-tiap malam Jumaat dia nak Pak Jamang bagi dia makan semua benda yang dia mintak tu.
Pak Jamang iyakan saja sebab nak bagi menatang tu keluar dari badan Mak Yah. Tapi menatang tu suruh Pak Jamang kabulkan permintaan dia dulu baru dia keluar. Masa ni Pak Jamang naik angin. Mengada-ngada sangat menatang ni. Pak Jamang terus tarik keluar keris ghaib dia. Dia tikam tepat di bahagian ulu hati Mak Yah. Mak Yah meraung macam petir. Fuhhh… dahsyat.
Banyak kali jugak Pak Jamang tikam, baru Mak Yah senyap. Muka Mak Yah pun dah berubah, tak hitam macam tadi. Termengah-mengah dia mintak air nak minum. Atuk aku ingat dah selesailah. Tapi masa Mak Yah minum air, Atuk aku tengok mata Mak Yah pandang ke tunang dia lain macam je.
Pandangan tu pelik. Macam perempuan gatal berahi je dia punya jelingan. Bila Pak Jamang pulak nampak, Mak Yah terus mengilai. Menatang tu cakap, Pak Jamang takkan boleh ubati Mak Yah aku. Kalau Pak Jamang bunuh seekor, seekor lagi datang. Sebabnya menatang ni dah buat sarang kat tubuh badan Mak Yah.
Pak Jamang mintak sebotol air masak. Dia ruqyah air tu lepas tu dia basahkan muka dan kepala Mak Yah aku dengan air ruqyah tu. Mak Yah aku mengilai je. Dia kata dia tak rasa apa pun dengan air ruqyah tu. Siap sindir Pak Jamang lagi. Pak Jamang basahkan pulak telinga Mak Yah. Depan belakang subang emas Mak Yah dia basahkan. Takda apa-apa jadi.
Kemudian dia basahkan rantai leher Mak Yah, turun ke tangan Mak Yah. Korang tahu apa jadi masa tu? Batu cincin tunang yang Mak Yah aku pakai berasap! Pak Jamang tarik cincin tu tapi tak boleh tanggal. Jadi dia concentrate kat batu cincin tu je sebab kat situlah menatang tu buat sarang.
Pak Jamang kata, air yang dia bagi Mak Yah minum tu memang dah diruqyah. Dia hairan bila tengok Mak Yah tak muntah apa-apa lepas minum jadi dia agak sarang menatang tu bukan kat dalam badan Mak Yah. Sebab tu dia tuju ke barang-barang kemas Mak Yah pula.
Semasa Pak Jamang meruqyah batu cincin tu, Mak Yah punya jerit mengalahkan jeritan T-Rex dalam Jurassic Park. Seram giler. Mak Yah mulai meronta-ronta sampai koyak kain yang membaluti badan dia.
Masa ni Atuk terpaksa izinkan orang lain pegang Mak Yah. Sebabnya, takut Mak Yah terlepas lari lagi. Pak Jamang tuang air ruqyah ke dalam bekas, lepas tu dia rendam tangan Mak Yah yang ada cincin tu ke dalam air ruqyah tu. Pecah, beb batu cincin tu padahal batu berlian bukan senang pecah.
Lepas tu Mak Yah senyap. Pengsan. Lepas menawar Mak Yah, Pak Jamang tanggalkan cincin tu dari jari Mak Yah yang dah melecur teruk. Pak Jamang mintak izin kat tunang Mak Yah nak simpan cincin emas tu sebab katanya, ada banyak lagi yang dia kena buat. Tunang Mak Yah mengangguk je.
Malam tu tunang Mak Yah dan mak bapak dia tidur kat rumah atuk aku. Lepas semua orang kampung dah balik, Pak Jamang tanya tunang Mak Yah kat mana dia dapat cincin tu. Dia kata dia tempah khas kat kedai emas kawan dia. Pak Jamang tanya, ada tak perempuan kat situ yang suka kat dia. Tunang Mak Yah kata, dia baik dengan semua jadi dia tak boleh nak teka siapa yang suka dia.
Pak Jamang kata, sebelum cincin tu pecah, dia berdialog secara batin dengan menatang yang ada dalam tubuh badan Mak Yah. Jin tu cakap, dia dihantar oleh perempuan yang bekerja di kedai emas tempat tunang Mak Yah tempah cincin pertunangan tu. Perempuan tu suka kat tunang Mak Yah sebab tunang Mak Yah pernah belanja dia makan.
Perempuan tu frust bila tunang Mak Yah tempah cincin pertunangan. Sebab cincin tu ditempah, ambik masa nak siap, jadi perempuan tu bawak batu berlian tu jumpa bomoh kat utara tanah air. Tujuannya nak bagi Mak Yah aku gila dan tak jadi nikah dengan tunang dia.
Tunang Mak Yah menggeleng. Dia kata dia tahu dah siapa punya angkara. Dia tak sangkalah perempuan tu sanggup buat macam tu sebab imej perempuan tu nampak macam perempuan yang beriman. Dia kata, kedai emas tu letaknya kat sebelah travel agency dia. Memang dia baik dengan tuan punya kedai emas tu dan staff kat situ. Kalau dia belanja staff dia sendiri makan, dia ajak bos dan staff kedai emas tu makan sekali. Bos kedai emas tu pun selalu buat macam tu. Jadi dia tak rasalah apa yang dia buat tu salah.
Dia ajak perempuan tu keluar makan pun sebab perempuan tu yang ajak. Sebabnya, masa tunang Mak Yah belanja staff kedai emas tu makan tempoh hari, perempuan tu takda. Cuti. Jadi, dia minta tunang Mak Yah aku ni belanja dia makan sebab terlepas slot makan free.
Tunang Mak Yah aku ni On je. Bagi dia, benda kecil je. Kawan-kawan, apa salahnya kan. Dia ajak perempuan tu sarapan dengan dia. Sekali tu aje. Dia tak sangka pulak perempuan tu ada hati kat dia dan marah sampai sanggup ambik jalan sesat nak putuskan pertunangan dia.
Aku tak tahulah apa jadi kat perempuan tu lepas tu. Tapi Mak Yah dengan tunang dia bernikah tiga bulan lepas kejadian tu. Alhamdulillah Mak Yah takda kena kacau lagi lepas tu.
Tapi Allah lebih menyayangi Mak Yah. Dia meninggal dunia dalam kemalangan semasa nak pergi mengajar. Innalillahhiwainnailaihirojiun. Al Fatihah untuk Mak Yah.
Walaupun ada perkara berbangkit tentang kemalangan tu, tapi biarlah Allah yang balas. Jika betul cerita yang aku dengar. Mak Yah aku pun dah tak ada. Kalau dia ada lagi, mungkin kami akan fight sehabis daya!
Tamat.
*****
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
Gambar: @Nil kuhaku
No comments:
Post a Comment