100 Mangsa Zura
Sambungan dari kisah TOK
=======================
Air mulai mendidih.Ramuan tambahan dimasukkan ke dalam periuk tanah yang sudah sedikit sumbing di bahagian mulutnya. Kemudian satu per satu bahan utama yang telah dipotong kecil dimasukkan dengan penuh berhati-hati. Dikacaunya perlahan-lahan. Membuak-buak merah kuahnya setelah bahan utama dan ramuan menjadi sebati. Wajah tuanya menguntumkan senyuman. Siap! Kemudian tangannya mencapai sebuah mangkuk kecil. Dicedoknya masakan itu ke dalam mangkuk. Dia mencicip masakan itu di hujung lidah.
“Ternyata yang ini lagi sedap dari yang semalam,” bisiknya sendiri. Tok kemudiannya menikmati masakan usus manusia itu sepuas-puasnya. Itu adalah mangsa yang ke-50. Bermakna ada 50 orang lagi mangsa. Segala pesan tentang mangsa 50 yang seterusnya telah diberitahu kepada Zura.
“ Ingat pesan Tok. 50 mangsa pertama adalah secara rambang. Maksudnya kamu bebas nak bunuh sesiapapun. Bila dah masuk mangsa ke-51 kamu kena ikut betul-betul apa yang Tok cakap.”
“Baik Tok.Apa yang Zura kena buat lepas ni?”
“ Kamu kena bunuh 10 orang ibu bapa yang mengabaikan anak, lepas tu kamu bunuh 10 orang bangsawan yang menindas, 10 orang penunggang agama, 10 orang perempuan yang menjual maruah, 9 orang yang lantang menentang agamanya sendiri dan akhir sekali mangsa kamu adalah seorang yang kuat agama.”
"Kenapa yang terakhir orang kuat agama?” Soal Zura pelik
“ Sebab itu yang diminta pendamping.” Ujar Tok ringkas.
Tok kemudiannya menerangkan dengan lebih jelas tugasan yang perlu dilakukan Zura. Zura mendengar dengan teliti dan mengangguk-angguk tanda faham.
********************
Pesanan Tok terngiang-ngiang di telinga Zura. Dia memerhatikan rumah besar itu. Tampak mewah dengan harta tapi amat daif dengan kasih sayang dan agama. Anak-anak terabai dek ibu bapa yang terlampau sibuk mencari harta.
Mantera dibaca untuk membolehkan dia menyelinap masuk ke dalam rumah itu. Pagar yang canggih di rumah itu langsung tidak dapat menghalangnya daripada menembusi masuk ke dalam.
Zura memerhatikan mangsanya yang sedang tidur. Langsung tiada rasa takut atau kasihan terhadap mangsa. Huh, buat apa nak kasihan. Mereka pun tak kasihan kat anak-anak sendiri.
“ Zass, zass!!” Pantas tangannya melibas leher kedua-dua mangsanya menggunakan keris. Mangsa mati serta-merta. Seperti pesan Tok, dia terus berusaha mengambil jantung dan hati mangsa. Ditikamnya dada mangsa. Tangannya rakus merobek dada mangsa untuk mendapatkan jantung dan hati. Organ segar itu diletakkan ke dalam kain kuning. Selesai tugasnya, dia terus berlalu meninggalkan tempat itu tanpa rasa bersalah.
Ternyata tugas untuk membunuh mangsa-mangsa seterusnya tidaklah begitu susah. Dengan ilmu hitamnya yang makin tinggi ditambah lagi dengan mangsa sasarannya dalam keadaan lalai membuatkan tugasannya hampir selesai.
Ibu bapa yang mengabaikan anaknya, bangsawan yang menindas, perempuan yang menjual maruah,penunggang agama serta individu yang lantang menentang agama amat senang untuk ditumpaskannya. Kuncinya hanya satu iaitu mereka lalai. Tiada keutamaan Tuhan di hati mereka dan hati mereka kosong menyebabkan Zura mudah memukau mereka. Walaupun sudah 99 orang mati dibunuh, namun Zura tidak pernah tertangkap. Seluruh negara sedang berada dalam ketakutan kerana pembunuh bersiri yang gila masih bebas berkeliaran.
Zura hendak menemui Tok sebelum menyelesaikan tugasnya yang terakhir. Sasaran terakhir sudah dikenalpasti namun dia perlu memantapkan ilmunya jika hendak membunuh sasaran itu. Pemuda yang meletakkan Tuhan sebagai keutamaan bukanlah mudah untuk ditewaskan.
Malam itu Zura pergi menemui Tok di sebuah gua. Gua itulah tempat Zura belajar ilmu hitam dengan Tok. Sejak kecil lagi dia kenal tempat itu.
Zura ingat lagi sewaktu dia kecil dulu. Dia selalu menjadi mangsa dera ibu bapanya . Setiap hari ada sahaja habuan menantinya. Lokasi rumahnya yang agak jauh dari jiran menyebabkan ibu bapanya berbuat sesuka hati. Makan minumnya juga tidak terjaga. Sehinggalah suatu hari dia dikurung di dalam stor belakang rumahnya akibat tertumpahkan air atas telefon bimbit bapanya. Sampai hati mereka mengurung Zura yang ketika itu hanya berusia 10 tahun.
Ketika Zura menangis mengenangkan nasib dirinya dalam stor itu, tiba-tiba dia didatangi oleh seorang tua. Berbaju ala-ala pendekar, serba hitam. Orang tua itu menghulurkan tangannya kepada Zura. Zura menyambut tangan orang tua itu walaupun tidak mengenalinya. Entahlah, kata hatinya yang mendorong dia berbuat demikian. Dengan sekelip mata Zura mendapati dirinya berada di sebuah gua.
“Anak nama apa?” tanya orang tua itu.
“Zura,” jawab Zura pendek. Entah kenapa dia rasa selesa dengan orang tua itu.
“ Tok tahu apa yang Zura alami. Jangan risau, kalau mak ayah tak sayang Zura, Tok boleh jaga Zura.”
Wajah anak kecil itu tersenyum. Tok kemudiannya membawa Zura ke sudut gua. Dia mencapai buluh yang seakan-akan bekas minuman dan menyuruh Zura meminum air dari buluh itu. Setelah minum air itu Zura merasakan dia mendapat semangat yang luar biasa. Tok ada mengajar Zura beberapa ilmu untuk menundukkan kedua ibu bapanya. Mula-mulanya Zura tidak berniat hendak menggunakan ilmu itu terhadap ibu bapanya. Namun setelah dia dipukul teruk hanya kerana bercerita tentang Tok, Zura nekad. Malam itu juga dia 'menundukkan' ibu bapanya sendiri.Sejak itu jugalah Tok tinggal di rumahnya tanpa disedari oleh orang lain.
“ Nampaknya malam ni bulan terang. Bolehlah kita teruskan,” kata-kata Tok mematikan lamunan Zura. Zura mengangguk dan terus ke sungai untuk meneruskan upacara bagi meningkatkan ilmu hitamnya.
Zura menggigil menahan kesejukan kerana terpaksa berendam dalam air sungai itu di tengah-tengah malam sebegini. Tok datang dengan sebuah timba kayu. Di dalamnya mengandungi darah 7 jenis ular. Disiramnya darah itu ke badan Zura. Lalu diteruskan dengan upacara menyeru jin.
Tok sememangnya telah lama tersasar dari jalan yang benar. Semuanya gara-gara si bangsawan bangsat yang menindasnya dulu. Tanahnya dirampas tanpa kerelaan. Dia dihalau sehelai sepinggang dari rumahnya sendiri. Saat dia memerlukan sokongan dan semangat, isterinya lari meninggalkan dirinya. Setelah diselidik rupa-rupanya isteri Tok pergi mengikut bangsawan tadi. Pedih hati Tok. Dia kemudiannya membawa diri dan berjalan tanpa arah tujuan. Sehinggalah dia tersedar bahawa dia telah sampai ke tengah hutan.
Di hutan itu dia terjumpa sebuah gua. Niatnya hanya hendak menumpang teduh. Namun tidak disangka di situ bermula detik dia terjebak dengan ilmu hitam. Di situlah dia terjumpa jin yang berjanji hendak menolongnya. Perjanjian antara Tok dan jin termeterai di gua itu. Jin akan menolong Tok untuk menjadi kuat dengan syarat dia berdamping dengan Tok. Tok bersetuju. Bertahun-tahun lamanya Tok mengabdikan dirinya dengan jin itu. Akhirnya Tok dapat membalas dendam terhadap bangsawan itu.
Masalah timbul apabila pendamping Tok mula meminta korban seramai seratus orang. Kalau tidak nyawanya menjadi galang ganti. Tok mati akal. Dia tidak mampu melakukannya sendirian. Kudratnya akan habis nanti memandangkan usianya makin lanjut.
Tok seolah-olah nampak jalan penyelesaian apabila terjumpa seorang budak kecil yang boleh dijadikan anak muridnya. Zura yang jiwanya kosong akibat penderaan orang tuanya amat mudah dimanfaatkan. Diajarnya ilmu hitam kepada Zura.
Selama sepuluh tahun dia menurunkan ilmunya kepada Zura dan dalam tempoh itu juga jin tadi menuntut haknya.Tok menjadi semakin lemah kerana tidak dapat memenuhi tuntutan jin itu. Sehinggalah suatu hari Tok menyuruh Zura membunuh ibu bapanya sendiri. Tanpa teragak-agak Zura terus melaksanakan tugas itu.
***************
Kelihatan pemuda berusia 20-an tekun mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Malam itu terasa berlainan daripada malam-malam biasa. Dia tidak sedap hati. Terasa macam diperhatikan. Namun cuba dipujuk kata hatinya. Mungkin perasaannya sahaja.
“Dummmmm!!!!!!”
Bacaannya terhenti apabila dia terdengar bunyi pintu rumahnya dihempas kuat. Dirurut dadanya sambil beristighfar. Berderau darahnya kerana terkejut. Al-Quran bersaiz poket ditutup . Dipegang kemas di tangan kanannya. Segera dia ke dapur untuk mengambil parang.Risau juga jika ada penceroboh yang masuk ke dalam rumahnya.
Sampai di hadapan pintu, dia melihat tiada apa-apa yang mencurigakan. “Mungkin ada kucing yang menerkam pintu agaknya,” fikirnya sendirian.
“Sssssssss”
Meremang pemuda itu tatkala mendengar suara gemersik dari arah belakang. Tatkala dia berpaling ke belakang, dia melihat seorang wanita berpakaian serba hitam ala-ala pendekar. Merenung tajam sambil terjelir lidah.
“ Siapa kau?” soal pemuda itu.
Zura senyum.
“ Akhirnya dapat juga aku masuk rumah kau ye. Dah banyak kali aku cuba masuk ke rumah kau, baru hari ni dapat. Kuat juga ilmu kau ye,” ujar Zura sambil terjelir -jelir dan memiringkan kepalanya ke kiri dan kanan. Lagaknya persis seperti ular.
Pemuda itu tidak membuang masa. Segera dia membaca ayat pelindung untuk melindungi dirinya daripada makhluk itu. Hanya Allah tempat dia meminta pertolongan.
Zura tahu pemuda ini bukan calang-calang orang. Dia memejam mata dan menyeru Tok supaya bersama-samanya untuk membunuh pemuda ini. Sekelip mata Tok berada di sampingnya.
Tok dan Zura cuba untuk menyerang pemuda itu. Lagaknya seperti pendekar yang menyerang musuh. Pemuda itu mengelak. Terasa terancam sedikit nyawanya kerana diserang dua orang sekaligus. Pemuda itu mengumpul kekuatan untuk melakukan serangan balas. Kedua-dua makhluk di hadapannya kini bertukar menjadi ular. Hitam berkilat dan mata merah.
Hati pemuda itu agak gusar tetapi dia cuba untuk membunuh makhluk tersebut. Ayat-ayat suci Al-Quran terus dibaca.
“ Allahu akhbar!!!!” Laung pemuda itu sambil menghayunkan parang ke arah pihak lawan. Sebelah tangannya memeluk Al-Quran yang dipegang dari tadi. Namun, Tok dan Zura tiba-tiba menghilangkan diri. Pemuda itu lega. Disangkakan dirinya sudah selamat. Dia memanjatkan kesyukuran.
“Nah!!!” keras Zura menikam pemuda itu dari arah belakang. Rupanya-rupanya Zura tidak pergi dari situ tadi. Dia hanya mengghaibkan dirinya. Pemuda itu terdorong ke hadapan dan rebah ke lantai. Dia pasrah apabila melihatnya darahnya membuak-buak keluar dan membasahi lantai. Matanya berpinar-pinar. Al-Quran masih dipeluk erat di dadanya.
“La ila ha illallah”….Lemah suara si pemuda melafazkan kalimah suci itu. Hayatnya setakat itu sahaja. Tok dan Zura gembira melihat mangsa terakhir mereka telah mati.
“Cepat dapatkan jantung dan hati dia,” gesa Tok. Zura faham tugasnya. Tangan pemuda yang sedang memeluk Al-Quran itu menutup bahagian dada. Zura cuba mengalihkannya.
“Tok!!! Tolong, panas Tok!!” jerit Zura. Dia terasa badannya luar biasa panas. Jantungnya terasa terbakar. Matanya seperti hendak terkeluar. Otak rasa seperti mendidih. Panas!!! Bahang dirasai dalam seluruh tubuh. Dia berguling-guling di lantai rumah itu.Terasa azab yang dahsyat.
Melihatkan Zura gagal mendapatkan jantung dan hati pemuda itu, Tok cuba menggunakan kudratnya sendiri. Dia tidak pedulikan Zura yang dalam kesakitan. Dia hanya ingin hajatnya diperolehi.
Dia berkira-kira hendak menggunakan kerisnya. Mungkin kalau tidak bersentuh secara langsung dengan Al-Quran itu dia tidak akan mengalami nasib seperti Zura. Namun Tok lupa, kerisnya sangatlah kotor. Keris yang bermandikan darah manusia. Saat kerisnya tersentuh Al-Quran, badan Tok terasa seperti lebur. Panas berbahang terasa sampai ke jantung. Akhirnya Tok mati dalam keadaan badan yang rentung. Sama seperti Zura.
Keesokan harinya rumah pemuda itu menjadi tumpuan media dan orang ramai kerana telah berlaku kes pembunuhan. Pihak berkuasa menemui mayat seorang pemuda, seorang wanita dan seorang tua. Agak membingungkan kerana mayat wanita serta si tua rentung sedangkan mayat pemuda dalam keadaan elok. Banyak spekulasi yang timbul tentang kes tersebut tetapi dengan adanya kesan cap jari Zura dan Tok pada keris yang menikam pemuda itu jelaslah bahawa mereka pembunuhnya. Kes -kes pembunuhan bersiri yang dilakukan Zura sebelum ini pun telah dapat dirungkaikan.
Kisah tentang 100 mangsa Zura terus meniti dari bibir ke bibir masyarakat setempat. Masing-masing rancak bercerita dan seperti biasa ada yang menambah “perencah” sendiri sehinggakan wujud pelbagai versi mengenai kisah itu.
-TAMAT-
==================
Gambar: #kamenrider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment