Monday, 9 October 2017

AMNESIA - Gongpal Topek


AMNESIA
karya Gongpal

Dalam dunia ini, ada dua perkara yang tidak akan aku lupa. Pertama, aroma Nescafe Latte 3 in 1 yang aku bancuh tiap pagi untuk memulakan hariku. Kedua, tarikh cinta aku diterima oleh Ain Fathanah, buah hati yang aku kejar sejak zaman universitiku. Gadis yang tidak meninggalkanku, walau kekurangan yang ada pada aku.
Aku seorang yang aktif bersukan semasa di kampus dahulu. Mewakili universiti dalam bola sepak, sebagai seorang penjaga gol. Malang tidak berbau, 'karier' aku hanya separuh jalan selepas insiden terhantuk tiang gol ketika cuba menyelamatkan bola. Kesan terhadap diri aku, menyebabkan aku terpaksa berhenti bersukan. Aku menghidap penyakit amnesia semenjak peristiwa itu. Banyak perkara yang cuba aku ingat, tetapi sering sahaja aku lupa. Paling teruk, aku pernah lupa aku berasal dari mana. Macam mana mahu pulang ke rumah, bila aku lupa di mana kampung halamanku?
Dia, tidak pernah putus asa, dan terus bersama aku walaupun aku mempunyai masalah dengan memori. Janji temu yang aku lupai saban hari, tidak pernah dimarahi olehnya. Aku bersyukur kerana dikurniakan peluang untuk mengenali Ain Fathanah, gadis berlesung pipit sebelah itu. Amnesia ini juga kadang-kadang mewujudkan saat romantis padaku, saat tiap kali berjumpa dengannya. Aku pasti akan meneka jenama wangiannya setiap hari, kerana aku akan lupa setiap kali berjumpa. Bila tekaan aku betul, senyumannya menjengah. Bila tekaanku salah, dia akan menjawab sambil tersenyum. Malang sekali, aku akan lupa senyuman itu setiap kali aku bangun tidur. Sebab itulah, tiap hari aku akan rasakan senyuman itu sesuatu yang baru dalam hidupku.
Aku mula menggunakan pendekatan menulis segala perkara untuk 'mencari' memori aku semula. Seperti hari ini, sebaik sahaja aku bangun pagi, aku akan membaca, mencapai 'diari' aku di meja tulis untuk mengingati segala janji temu, juga perkara-perkara baru yang bagi aku penting untuk diingati. Kemudian, aku akan menyiapkan sarapan aku, lalu duduk di kerusi bermalas-malasan sambil membaca surat khabar. Rutin pagi yang tidak terlalu sibuk seperti orang lain. Aku seorang penulis. Jadualku adalah urusan fleksibel. Cumanya, 'kecacatan' memori kadang-kadang menjejaskan prestasi aku. Idea bila datang, aku perlu segera zahirkan. Lambat sahaja, aku sekadar boleh menggaru kepala sahaja.
Hari ini, berlainan dengan hari yang lain. Ulangtahun percintaan kami yang kelima. Aku sudah bersiap sedia untuk melamarnya usai dinner nanti. Cincin sudah ditempah, cuma perlu diambil. Sejambak bunga yang akan perlu diambil sebelum aku menjemputnya sebentar nanti. Semua aku tulis, agar tidak lupa apa yang perlu aku lakukan hari ini.
11 pagi. Aku urut-urut leher yang kelenguhan tanpa sebab. Mungkin berada di hadapan laptop terlalu lama, membuatkan badanku sengal-sengal. Aku buka cermin mata, aku gosok mataku. Aku rasa aku sudah cukup tidur semalam. Apa yang aku buat semalam? Cuba berfikir akan aktiviti malam tadi. Malang. Aku lupa. Tidak berjaya recall apa telah aku buat. Apa yang pasti, aku perlu teruskan penulisanku sekarang. Idea membuak-buak. Jangan dilepaskan peluang ini. Diari, ingatkan aku pada pukul 3 petang ini. Ambil bunga dan cincin.
********
3:30 petang. Aku terima panggilan daripada seseorang. Nombor yang tidak dikenali.

"Hello. Siapa di sana?"
"Hello. Encik Ismet ya? Kami sedang menunggu kedatangan encik untuk ambil jambangan bunga yang telah encik pesan tiga hari lepas. Bila agaknya encik akan sampai?"
Oh, tidak! Aku lupa dengan aktiviti aku. Buku juga tidak membantu hari ini. Aku perlu segera.
"Oh, maaf. Saya bertolak sekarang ke sana. Apa nama kedai cik ya? Maaf, saya sudah terlupa."
" Flora Gift, Encik Ismet."
"Baik, saya ke sana sekarang."
********
Oh, buku. Aku rasa macam ada yang aku lupa lagi. Janji temu dinner, bunga, jemput di rumah 5 petang. Apa lagi ya? Sedang menunggu lampu lintasan jalan ke seberang untuk menuju ke keretaku, aku giat memikirkan apa lagi yang perlu disediakan hari ini. Buku ada pada kereta. Aku perlu segera ke sana.

Lampu hijau. Langkah telah aku mulakan. Aku sudah separuh jalan di tengah-tengah lintasan pejalan kaki. Kali ini, aku teringat semula. Ya, lamaran! Cincin untuk melamar! Macam mana aku boleh lupa? Sedangkan kedai cincin itu jaraknya hanya selang 3 buah kedai daripada kedai bunga tadi. Aku perlu kembali ke sana. Aku berpatah balik menuju ke deretan kedai tadi.
Oh, Tuhan. Jangan buat aku lupa tentang lamaran ini nanti. Masakan aku perlu bawa buku untuk ingatkan semua ini. Nampak sangat pula nanti pada mata Ain. Rancangan perlu rahsia. Aku perlu lebih berhati-hati.
********
Aku mengenali Ismet Al-Umair sejak tahun kedua pengajian di universiti. Aku mengenalinya pun, secara tidak sengaja. Dia pemain bola, aku pemain bola jaring. Tempat latihan sukan kami bersebelahan. Nak dijadikan cerita, bola yang dia tendang untuk clearance kena tepat pada kepala aku yang sedang bermain bola jaring ketika itu. Padu, sungguh sakit. Bingung sekejap kepala aku hasil impak rembatannya, walaupun jauh. Dia, dengan senyuman kambing, menghulurkan pad penyejuk untuk meredakan kesakitanku.

7 Julai 2006. Tarikh aku menerima permintaan untuk bercinta dengannya. Lima bulan kami berkenalan. Aku rasakan sudah sampai masanya untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Aku juga sukakannya. Senyuman kambing itulah yang menawan hatiku. Ketika aku menjawab ya, senyuman kegembirannya, tidak dapat aku lupakan. Mungkin sebab itu, dia tidak pernah melupakan tarikh ini. Tarikh keramat baginya.
Amnesia kata doktor. Dia perlukan bantuan. Kejadian terhantuk tiang gol dengan kuat ketika perlawanan persahabatan di kampus kami, mengubah segalanya. Dia perlu berhenti bersukan. Dia sedikit lupa siapa aku , pada awalnya. Aku juga perlu mengubah cara menghadapi kekasih aku itu. Bila dia kata dia sukakan bau wangian yang aku pakai, tidak pernah aku ubah lagi jenama wangian aku. Walaupun sebelum ini, aku jenis suka mencuba. Demi tekaan setiap harinya, aku sanggup.
Tetapi, semua itu dahulu. Kini, aku sudah tidak sanggup. Tanggal 7 Julai 2011, aku menerima khabar buruk yang tidak kusangka-sangka. Dia, Ismet, mengalami kemalangan maut di lintasan pejalan kaki. Kata saksi, dia berpatah balik dari melintas, lalu dilanggar sebuah motosikal yang melalui jalan itu. Akibat berpatah balik, lampu sudah bertukar kepada merah. Pemandu motosikal itu diakui tidak bersalah oleh saksi kejadian. Aku tidak sanggup mendengar penjelasan tentang keadaan mayat Ismet. Lehernya patah dek kerana badannya terpelanting ke tiang berdekatan. Impak perlanggaran itu menyebabkan dia mati di tempat kejadian, dengan bunga ros bertaburan di jalan. Ros bersalut darah kekasihku.
Aku tidak sanggup. Hampir setiap hari, pada pukul 5 petang, loceng rumahku ditekan oleh seseorang. Apabila keluar, akan ada jambangan bunga ros di luar pintu pagar. Setiap kali aku mengangkat bunga tersebut, aku akan dengar seperti cincin yang terjatuh di atas jalan, lalu berputar-putar pada paksinya. Bunyi, bunga, dan loceng rumah, berulang-ulang setiap hari pada waktu yang sama.
Aku pasti aku mampu membantu, bila Ismet lupa. Aku sentiasa berbuat begitu. Namun, bagaimana aku nak mengingatkan 'Ismet', bahawa dia 'terlupa' yang dia sudah mati? Aku sanggup jika kekasih aku pelupa, tetapi aku tidak sanggup 'melayan' hantu yang pelupa. He made me cannot move on with my life. PLEASE AMNESIA, GO AWAY AND TAKE HIM WITH YOU.
Idea: Nil Kuhaku
Olahan: Gongpal Topek
Suntingan gambar: Gongpal Topek

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: