MISTERI KELUARGA (Bahagian 2)
karya FateStay Nite
Selepas diberitahu oleh adik kawan Puan Norizan (Ina nama nya) tentang apa yang terjadi kepada anak ketiga Puan Norizan dan suaminya, Puan Norizan mulai berasa takut. Bimbang jika perkara sama bakal terjadi lagi. Maka dia mengambil keputusan untuk mengubatkan anak serta suaminya dengan perawat Ina. Waktu dan hari telah ditetapkan untuk keluarga Puan Norizan pergi ke rumah Ina.
*****
Seminggu kemudian.
"Dah ada bawa semua barang yang Ina tu suruh?" soal Puan Norizan rambang kepada semua anak termasuk suaminya.
"Dah mama!" jawab Adlina anak keempat Puan Norizan.
Sepanjang waktu perjalanan ke rumah perawat Ina, Yana dan ahli keluarganya lebih banyak berdiam diri. Masing-masing melayan perasaan dan persoalan. Apakah yang bakal terjadi? Benda apakah yang menganggu mereka?
Kini kenderaan mereka sudah berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar rumah perawat ina.
"Assalamualaikum." Puan Norizan memberi salam. Akan tetapi tiada sahutan daripada dalam rumah. Setelah beberapa kali salam diberi namun tiada jawapan, Puan Norizan mengambil telefon bimbitnya lalu mendail nombor perawat Ina.
"Assalamualaikum Kak Izan." salam diberikan setelah pangilan dijawab.
"Waalaikummusalam. Ina ada mana ye? Akak ada kat depan rumah ni."
"Oh maaf Kak Izan! Saya ada di dalam. Tak dengar tadi."
"Okay tak mengapa." Lalu pangilan ditamatkan.
Tidak sampai seminit, pintu rumah perawat Ina itu terbuka dan mereka sekeluarga dijemput masuk ke dalam rumah. Air Kopi telah sedia terhidang di meja ruang tamu. Seakan sudah bersedia untuk menerima kedatangan tetamu.
"Hai Yana. Macam mana sekarang? Dah ok tak?" perawat Ina bertanya sambil tersenyum. Sengaja dia ingin tahu perkembangan pesakitnya itu. Walaupun dari mata kasar sudah kelihatan sihat.
"Dah sihat dah," balas Yana ringkas sambil tersenyum.
"Okay. Awak mari ikut saya masuk ke dalam bilik. Kak Izan pun sama boleh ikut sekali." Perawat ina mengarahkan sambil menunjuk ke arah Afrina iaitu anak ketiga Puan Norizan.
Tanpa disuruh, Yana juga turut mengekori ibunya. Dia juga ingin tahu apakah yang terjadi kepada kakaknya kerana selama ini dia melihat akaknya sentiasa sihat, tiada masalah apa-apa pun.
"Baring sini. Mengucap, baca al-fatihah dan selawat ke atas nabi ye," arah perawat Ina kepada Afrina.
Afrina hanya menurut sahaja apa yang disuruh. Selepas selesai membaca ayat-ayat yang disuruh, perawat Ina pun mula mengurut. Mungkin itu cara perawat Ina mengesan atau mengeluarkan sesuatu yang tidak baik daripada tubuh seseorang.
"Allaah....... Mamaaaaaa.....!" suara jeritan Afrina mula memecah hening malam itu. Yana hanya duduk diam memerhatikan kakak udanya dalam kesakitan yang amat sangat. Hanya dia saja yang sudah merasai detik itu. Kesakitan yang tidak mampu digambarkan.
“Lama betul dia urut kak uda,” Yana berbisik sendirian. Nampak gaya macam kakak udanya lebih teruk daripadanya.
"Hhhhhuuuuuuu...huuuuuu....huuuuuu…." Afrina menangis tetapi nadanya sangat pelik. Ibunya dan Yana saling berpandangan, ketakutan mula menyelinap ditubuh Yana.
"Arrghhhhhhhh....sakittttt !!!! Sakittttt !!!! Aarrrggghhhhhhhhhhhh !!! Afrina tiba-tiba menjerit sambil menangis. Tetapi perawat Ina masih meneruskan urutannya.
Tiba-tiba...
"Abaanggg... tolong buka pintu belakang!" Jerit perawat Ina kepada suaminya.
Suaminya pantas berlari ke arah dapur dan membuka pintu bilik belakang, tetapi Afrina masih sama keadaannya. Menangis diselang-seli menjerit seakan ketawa. Semakin lama semakin perlahan jeritan dan tangisan Afrina, kemudian Afrina disuruh berehat dahulu sementara Ina membaca ayat ruqyah pada air.
Di sudut ruang tamu pula ayah Yana sedang diurut oleh suami perawat Ina. Manakala suami Afrina hanya duduk melihat. Kelihatan wajah ayah Yana mengerut menahan kesakitan. Mulutnya tertahan daripada melepaskan jeritan. Bagaikan ada sesuatu yang mencengkam kepalanya saat sedang diurut.
"Allaahhhh....Alllaaahhhhh!!" Akhirnya terpacul juga jeritan menyebut nama yang Esa daripada mulut ayah Yana.
Sama seperti Isterinya, suami perawat Ina meneruskan sahaja urutannya. Sesekali kelihatan ayah Yana menghentakkan kaki dan tangannya ke lantai. Adakala suara mengerang kesakitan memecah kesunyian di ruang tamu itu.
Hampir 1 jam lebih bergelut dengan kesakitan, akhirnya selesai proses mengurut. Ayah Yana dibenarkan untuk berehat sebentar, sementara suami perawat Ina membuat air penawar.
Puan Norizan, Yana dan Afrina keluar dari bilik rawatan dan duduk di ruang tamu sambil menunggu perawat Ina mengemas bilik rawatannya tadi.
"Ini air untuk Afrina buat mandi. Mandi setiap hari sebelum pukul 7 malam dan limau ini diperah ke dalam air mandian," kata perawat Ina sambil menghulurkan beberapa botol air dan seplastik buah limau nipis.
Begitu juga ayah Yana, sama juga waktu mandiannya. Panjang lebar perawat Ina menerangkan cara mandian dan waktu serta bacaan ketika mandian. Bimbang jika mereka tersalah.
"Hurmm… Mintak maaf ye Kak Izan, Ina nak tanya sikitlah. Ada ke atok nenek moyang Kak Izan pernah jadi perawat?" Tiba-tiba saja perawat Ina menanyakan soalan pelik itu kepada ibu Yana.
"Tak pastilah Ina, akak bukan tahu sangat orang dulu-dulu ni. Kenapa ye?" Tanya ibu Yana. Di wajahnya nampak jelas kerisauan.
"Okay macam ini Kak Izan. Saya akan bagitahu satu persatu ye."
Sambil memandang Afrina, perawat Ina menceritakan sebenarnya ada nenek tua duduk didalam perut Afrina. Kerana itu Afrina sukar untuk mendapatkan zuriat walaupun sudah membuat rawatan doktor. Malah yang lebih teruknya bila seekor pontianak sentiasa bertengek di tengkuk Afrina.
Makhluk itu sentiasa menganggu emosi dan fikiran Afrina sehingga membuatkan dia mudah rasa berserabut dan kusut. Sewaktu menangis tadi sebenarnya adalah makhluk pontianak itu. Kerana itu perawat Ina menyuruh membuka pintu belakang agar makhluk itu boleh keluar.
Manakala suami Puan Norizan pula mengalami masalah sihir dan lebih mengejutkan sihir itu sudah lama bertapak. Makhluk itu duduk di kepalanya. Apa yang diberitahu oleh perawat Ina, makhluk itu memakai kawat pada badannya dan kepala makhluk itu juga dipenuhi ulat. Jadi agak sukar untuk melihat wajah makhluk itu. Sihir itu dihantar dengan tujuan agar ayah Yana menjadi tertekan dan akhirnya gila.
Apabila sudah tahu semua apa yang terjadi. Maka keluarga Yana pun pulang semula ke rumah mereka. Afrina masih terasa bisa-bisa di tubuhnya. Nampaknya jawapan bagi persoalan yang bermain diminda mereka selama ini telah terjawab.
*****
Selepas beberapa hari.
"Afrina...nanti jangan lupa hantarkan Cik Ani balik rumah dia ye." ibu Yana menginggatkan Afrina supaya menghantar pembantu rumah mereka pulang pada jam 9 malam.
"Ye mamaaa...," balas Afrina sambil melihat ke arah jam.
Berapa minit sahaja lagi Afrina perlu hantar pembantu rumah mereka pulang. Rumahnya tidaklah jauh mana pun. Lebih kurang 10 minit sudah sampai. Afrina pun bersiap-siap dahulu supaya senang nanti.
"Yana jom ikut uda," Afrina memanggil Yana untuk turut mengikutinya.
"Tak naklah," balas Yana sambil mengadap telefon bimbit..
Afrina tidak kisah pun jika Yana tidak mengikutnya sekali kerana dia sudah biasa hantar sendiri tanpa berteman. Afrina sudah menunggu di dalam kereta. Cik ani pula baru lepas siap mengemas sedikit barangnya.
"Hati-hati." Kata suami Afrina yang baru pulang dari kerja apabila melihat Cik Ani dan Afrina sudah berada di dalam kereta.
Afrina tahu suaminya kepenatan jadi dia tidak mahu mengajak suaminya bersama. Seperti biasa selepas menghantar Cik Ani, Afrina akan terus pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah kelihatan suaminya sedang duduk di ruang tamu.
"Aik abang… tak mengantuk ke?” Afrina sengaja membuka soalan. Sebenarnya mahu berbual dengan suami tercinta.
"Taklah. Ehh tadi awak hantar Cik Ani dengan siapa?” tanya suaminya kerana suaminya tahu hanya ada Cik Ani sahaja yang selalu duduk membantu di rumah mereka.
"Eh mana ada. Cik Ani jela,” jawab Afrina sambil muka berkerut. Dia seakan pelik dengan soalan suaminya.
"Tadi saya nampak ada lagi sorang duduk di belakang," jawab suaminya.
"Ishh abang ni....," balas Afrina mula ketakutan. Bulu romanya mula meremang.
*****
Pada suatu malam minggu.
Riuh-rendah dan terang-benderang suasana rumah Puan Norizan bagaikan ada majlis kenduri-kendara yang sedang berlangsung. Tetapi di dalam keriuhan itu ada sepasang mata yang memerhatikan keluarga Norizan.
"Mak...dah nak balik ke?" Aisyah sepupu kepada Yana bertanya kepada emaknya.
"Kejap!!" Balas emaknya.
Malam itu mereka ada buat sedikit makan-makan. Tiga orang adik-beradik Puan Norizan datang bersama anak-anak mereka. Aisyah telah keluar rumah terlebih dahulu dan tiba-tiba muka Aisyah berubah pucat. Dia segera kembali semula ke dalam rumah.
"Ehh budak ini. Kita dah nak balik, dia masuk pulak," mak Aisyah meleterkan sikap anaknya itu.
"Mak lambat sangat…," balas Aisyah dan terus keluar kembali untuk bersama ayah dan emaknya.
Aisyah hanya membatu di tempat duduk belakang sehingga sampai di rumahnya. Ketika sudah masuk ke dalam rumah, barulah Aisyah membuka mulut.
"Mak...tadi dekat rumah Mak Izan, adik nampak hantu," Aisyah memberi tahu emaknya.
"Haaa!! Kau biar betul?" tanya emaknya.
"Betul mak. Hantu tu warna putih. Rambut kasar hitam pekat dekat pagar. Sebab tu adik masuk balik tadi," balas Aisyah.
"Kau ni buat takut emak je," kata emaknya yang kelihatan sudah mula takut.
Cerita itu tidak mati disitu. Emak Aisyah telah menceritakan kepada Puan Norizan dan ketakutan mula menghantui keluarganya semula. Yana dan Afrina sememangnya sudah trauma dengan apa yang dialami.
Selepas kecoh kejadian Aisyah melihat lembaga putih di pagar rumah Puan Norizan, maka barulah keluar cerita bahawa suami Along iaitu anak sulung Puan Norizan juga pernah terlihat lembaga hitam di ruang halaman rumah mereka.
Akan tetapi dia mendiamkan sahaja apa yang dilihat agar tiada yang ketakutan. Ada juga saudara yang lain pernah melihat nenek tua duduk di atas meja di halaman rumah. Nenek itu terlalu tua dan sedang menghisap sesuatu seperti curut.
Nampaknya kisah nenek tua itu belum berakhir. Bagaikan ada sesuatu yang dia mahukan. Adakah itu saka? Atau hanya makhluk halus yang sengaja menganggu tanpa sebab?
"Kak Izan, benda tu duduk depan rumah Kak izan lah," kata Cik Ani pembantu rumahnya.
"Ishh.. janganlah cakap macam tu."
*****
Pada suatu hari Cik Ani berasa tubuhnya sangat letih. Tidak mampu dia bekerja berat. Semakin lama semakin teruk bisa di setiap sendi. Apabila sudah berlarutan tidak juga sembuh, dia pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Selepas pemeriksaan dibuat, doktor mengesahkan Cik Ani sihat.
"Kak Izan.. Ani nak balik seberanglah. Nak berubat di sana dahulu," Cik Ani memberitahu Puan Norizan. Tiada halangan daripada keluarga Puan Norizan. Hanya doa yang mereka sertakan supaya Cik Ani selamat sampai dan kembali sihat.
*****
Di Sumatera, Indonesia
Berteriak kegembiraan sanak-saudara Cik Ani apabila melihat dia kembali ke tanah airnya. Seperti biasa setiap kali pulang ke tanah air, pasti dia ada membawa buah tangan untuk anak buahnya di sana. Adat dan budaya mereka hampir sama sahaja dengan di Malaysia. Maklumlah semuanya serumpun.
"Buk..Pak Masnawi ada lagi tak?" Cik Ani menanyakan tentang Pak Masnawi iaitu seorang perawat Islam di kampungnya.
"Ada aja dirumahnya…"
Apabila diberitahu Pak Masnawi ada di rumah, Cik Ani terus pergi ke rumah perawat itu. Mungkin dia sudah tidak tertahan bisa di badan dan berharap dapat mencari penawar dengan cepat.
Lama juga dia berubat. Setelah diteliti dan dilihat. Akhirnya Pak Masnawi berkata pada Cik Ani. "Saya tidak bisa mengubati. Kamu coba cari perawat lain ya. Kuat benda ini. Nanti aku juga akan mati."
Pak Masnawi menerangkan tetapi tidak mengatakan benda apakah yang menganggu Cik Ani.
Cik Ani pulang dengan hampa. Akan tetapi dia masih belum berputus asa. Saudaranya memperkenalkan seorang lagi perawat. Tetap sama juga jawapan yang diterima. Semuanya tidak mampu mengubatinya. Sebelum pulang ke rumahnya semula, perawat kedua ini ada memberitahu tentang rakannya yang mungkin boleh membantu Cik Ani. Rakannya itu juga seorang perawat. Lalu diambil alamat dan nama perawat itu.
Keesokan harinya.
"Assalamualaikum." Pagi-pagi lagi Cik Ani sudah bertandang ke rumah Wak Pargo untuk berubat.
"Waalaikumusalam," balas suara daripada dalam rumah. Tidak lama kemudian pintu pun terbuka. Kelihatan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 60an. Di tangannya ada sebatang rokok daun yang belum dibakar.
"Masuklah," pelawa Wak Pargo.
Setelah Cik Ani duduk sambil berhadapan Wak Pargo dan juga isterinya. Cik Ani menceritakan apa yang terjadi pada dirinya serta bagaimana dia boleh datang ke rumah Wak Pargo. Wak pargo hanya menganggukkan kepala tanda dia faham.
"Bila kamu mahu balik ke Malaysia?" Wak Pargo bertanya.
"Lagi dua hari Wak," balas Cik Ani.
"Inysa Allah saya akan cuba bantu. Esok datang bawak barang yang seperti saya tuliskan itu," Wak Pargo memesan.
"Terima kasih Wak," balas Cik Ani kemudian pulang ke rumahnya.
Seperti yang disuruh semalam, hari ini Cik Ani membawa barang-barang yang dipesan. Tiada apa yang dikatakan oleh Wak Pargo kepada Cik Ani. Hanya air yang diberi untuk dibuat minum oleh Cik Ani.
*****
Hari untuk pulang ke Malaysia sudah tiba. Tiada apa masalah yang terjadi selama dia bergerak ke Malaysia. Malah dia merasakan dirinya lebih bertenaga sedikit. Tetapi ada lagi pesan Wak Pargo. Jika sudah tiga hari dia minum air itu, dia diminta untuk menelefonnya semula..
Kini Cik Ani semakin pulih. Dia kembali boleh bekerja. Tetapi yang tidak disangka telah terjadi. Pada hari ketiga seperti yang dipesan, Cik ani menelefon Wak Pargo semula. Berita yang dia dapat dari isteri Wak pargo sangat meruntun jiwanya.
"Maaf sangat-sangat, Wak Pargo sudah meninggal semalam." Suara isteri Wak Pargo menangis teresak-esak bila memberi tahu.
"Ya Allah. Innalillah. Maafkan saya buk," balas cik ani. Turut terasa tempiasnya ialah kini proses perubatannya tergantung.
Air yang ada diteruskan minum sehingga habis. Pada hari berikutnya Cik Ani terasa tubuhnya masih lemah. Adakala terasa bisa itu kembali menjalar. Sehingga kini tiada lagi perubatan yang dilalui Cik Ani. Mungkin dia akan berubat dengan perawat Ina atau mungkin dia akan kembali semula ke Indonesia.
Apa yang dimaklumkan, Cik Ani turut melalui perkara sama yang dilalui oleh Yana. Cuma bezanya Yana masih muda. Jadi ketahanan dan semangatnya kurang. Along anak sulung kepada Puan Norizan juga turut berubat atas gangguan yang hampir sama.
Gangguan yang disangka hanya kepada Yana kini sebenarnya telah menyerang seluruh keluarga Puan Norizan. Pelbagai spekulasi bermain terhadap keluarga Norizan. Adakah gangguan ini adalah satu sihir? Atau ia hanya gangguan luar? Semoga keluarga Puan Norizan diberi kesembuhan dan dirahmati Allah.
Aku pun menutup buku nota kecil ku dan bangun untuk meminta izin pulang ke rumah. Saat aku keluar dari rumah Puan Norizan, di bawah pokok nangka di hadapan rumah kelihatan seorang nenek tua memerhatikan aku.
Iya!! Adakala aku juga mampu melihat sesuatu yang ghaib. Aku tahu nenek itu juga tahu. Biarlah aku dengan dunia aku. Kita saling memburu. Sehingga kelak kita bertemu. Aku memecut kereta pulang ke rumah dan menyiapkan karya ini.
-TAMAT-
--------------------
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment