KEMBAR
Mei 1998
Nadey (10 Tahun)
Lokasi: Banglo Bukit Antarabangsa
Aku Nadey. Ramai tak tahu yang aku ada seorang abang kembar bernama Nadim. Tapi Nadim tak pergi sekolah, ibu kata dia sakit. Kasihan juga si Nadim tiada kawan, nasib baik ada aku. Aku lah kawan, aku lah adik. Disebabkan rumah kami besar, bilik kami asing. Aku suka bilik Nadim, best.. banyak Kamenrider. Aku selalu merasakan biliknya seperti syurga permainan. Apa saja permintaan Nadim pasti Ibu turutkan. Aku ni? Baju pun susah nak dapat apatah lagi mainan. Aku hanya berkongsi mainan dengan Nadim.
Kelmarin, selepas pulang dari sekolah aku mencari Nadim. Puas keliling satu rumah, sehingga ke kebun belakang aku mencari. Nadim tiada. Aku risau, Nadim jarang keluar rumah sebab dia sakit. Sakit apa aku tak tahu. Yang aku perasan badan Nadim sejuk je, Neng Ica kata Nadim tak boleh kena matahari sangat nanti dia demam. Bila tanya semua orang gaji, semua kata tak tahu. Mungkin Nadim main sorok-sorok.
Bila tiba malam, Nadim baru muncul masuk ke bilik aku. “Abang!!”
“Dey, kau tahu tak rumah kita ada bilik rahsia. Abang jumpa pagi tadi.”
“Shhhhhhh, kau janji tak beritahu sesiapa. Jangan buka langsung mulut walaupun pada Neng Ica!” Neng Ica adalah salah seorang orang gaji kami. Neng Ica garang, dia suka pukul aku. Bila diadu pada Ibu, tak pernah dia percaya. Bagi Ibu Neng Ica betul segalanya dari mendidik kami sehingga pengurusan rumah. Kalau Nadim semua orang sanjung, kontra dengan aku. Tapi tak apa, cukup ada Nadim aku bersyukur sudah.
“Abang, kau hilang satu hari sebab cari bilik rahsia tu lah?” Bilik rumah kami secara total mempunyai lapan bilik tidur utama, tiga bilik tidur untuk orang gaji, lima bilik air dan satu stor besar diluar rumah.
“Jom bawa aku bang, aku nak tengok.”
“Tak boleh! Nanti kau nangis sebab ada hantu. Aku tak apa, aku berani.”
“Aku beranilah, kau tak ingat kita curi-curi keluar rumah dulu naik kat bukit belakang tu. Mana ada aku nangis.”
“Tak boleh!” Nadim terus keluar bilik. Pelik sungguh perangai dia ni. Kalau tak nak beri aku ikut, jangan beritahu aku apa-apa rahsia pun! Aku membentak pun tak guna, Nadim mesti akan ke bilik tu malam ni. Aku mesti siasat. Semasa makan malam, pinggan nasi Nadim tiada.
“Neng, Nadim mana tak makan nasi ke?”
“Nadim tak sihat. Kamu makan cepat dan siapkan kerja rumah. Neng nak periksa nanti!” tak ada ribut tak ada hujan memang sudah menjadi perangai Neng Ica suka-suka naik suara. Tunggu aku besar nanti, aku tengking kau Neng!
Dalam kepala aku ligat memikir tentang Nadim dan bilik rahsia tu.
Tepat pukul 9 malam aku sudah berlakon penat dan menarik selimut. Neng Ica siap periksa kerja sekolah tanpa sebarang komen. Mungkin dia juga sudah mengantuk. Air minumnya tadi aku letak pil tidur ibu. Hah! Padan muka. Hampir tersembur ketawa aku melihat Neng berkali-kali memisat mata. Pukul 10 nanti aku dah boleh teruskan misi.
“Adik, bangun jom ikut abang ke bilik rahsia.” Nadim berbisik. Terkejut beruk kerana aku hampir terlelap tadi. Tak sempat nak gosok mata, tangan aku ditarik.
“Diam tau!” Aku hanya menurut sahaja permintaan Nadim. Kami masuk ke dalam bilik Nadim dan dia membuka pintu almari kayu yang besar itu. Saat aku melangkah masuk ke dalam almari itu kelihatan seperti sebuah pintu kecil di atas lantai. Nadim menarik kayu itu dan automatik lampu menyala. Lampu yang menerangi anak tangga yang muat-muat badan kami sahaja untuk melolos. Dalam lebih kurang 10 anak tangga terdapat lorong lurus seperti tiada penghujung.
“Abang… ,” jujurnya aku takut.
“Aku dah kata, kau penakut. Tak apa aku ada. Aku kan abang, aku jaga kau.”
Sehingga hujung jalan, barulah kami berjumpa satu ruang besar yang mempunyai tiga pintu.
“Pintu pertama ini aku sudah tanda, kalau kau buka pintu ini ada jalan terus ke sungai hilir kawasan rumah kita. Kalau ada apa-apa terjadi kau ingat pintu ni.” Aku mengangguk mengerti.
“Pintu kedua depan kita ini, bilik rahsia kita. Kat sinilah ayah kita sembunyi! Pintu buruk ini pula jangan buka. Aku dah letak palang ni. Kau jangan degil. Kalau kau degil kau akan mati Dey.” Takut pula aku dengan ugutan Nadim. Serius betul. Nadim terus melangkah membuka pintu di hadapan kami.
“Ayah!!!!!!!!!!” Meluru laju aku mendapatkan ayah.
“Anak ayah! Rindunya.. Kamu sihat?” Tidak aku menyangka akan berjumpa semula dengan ayah yang sudah menghilangkan diri sejak setahun yang lepas, kecoh mengatakan yang ayah kami lari dari rumah dengan perempuan lain.
“Kenapa ayah duduk kat kerusi roda ini? Siapa potong kaki dan tangan ayah ni?”
“Neng!” Jawab Nadim.
Aku terkejut! Kenapa orang tua yang menjengkelkan itu sanggup memotong kaki tangan ayah! Ibu macam mana? Nanti Ibu juga dalam bahaya.
“Sebab tu kita kena plan. Bunuh Neng! Sebelum dia bunuh kita satu keluarga”, emosi sungguh nada Nadim membuatkan aku terus meremang.
Ayah mengangguk. “Adik je harapan kami.” Sejak hari itu, setiap malam aku akan melawat ayah. Kami berbincang plan untuk membunuh Neng.
Hari kejadian..
Melihat jam sudah pukul tiga pagi, waktu terbaik untuk jalankan misi membunuh Neng. Ini kali kedua aku meracun minuman orang gaji dengan ubat tidur ibu. Lagi-lagi hari ini seawal pagi lagi ibu sudah keluar kerja jauh di Indonesia minggu hadapan baru pulang.
Kami menyelinap ke bilik Neng, mulanya mengikut plan kami nak tekup sahaja bantal ke muka Neng tapi entah datang dari mana Nadim mengeluarkan pisau. Sekelip mata, pisau itu mengelar leher Neng. Terbuntang mata Neng sambil menekup darah yang membuak keluar dari lehernya. Dia cuba bersuara, makin menyembur darah keluar. Seraya itu Nadim menikam pula dada Neng dan meninggalkan pisau yang terpacak itu sehingga Neng tidak lagi memberi respon.
“Kau cuba Dey! Dia dah mati. Aku nak kau tikam dia banyak kali sebagaimana benci kau pada dia dan balasan atas perbuatannya pada ayah. Tikam cepat!”
Aku teragak-agak pada mulanya, Nadim memegang tangan aku ke arah pisau itu.
Chuckkk….. chuckkk….
Aku tersenyum kagum sambil memaling muka ke arah Nadim.
“Best kan bunyi dia? Tikam sini pula… dalam-dalam. Meh abang ajar..”
Bahagian paling seronok apabila kami berdua merodok perut Neng sehingga terburai isi perutnya. Tali perutnya Nadim tarik panjang sehingga ke pintu, disangkut pada tombol pintu. Kami melompat-lompat seperti main lompat getah. Nadim tersadung dan mayat Neng Ica tergolek-golek ke lantai. Lain macam sungguh ghairah si Nadim bermain, kali ini pula dia menarik rambut mayat itu. Dicarik-carik kasar dan laju saja tangannya mengerat pangkal rambut.
“Dey, ambil rambut ni letak di kepala kau. Kasihan kau rambut pendek walhal kau budak perempuan. Biar aku sambung ikat dengan rambut kau, mari!”
Kami ralit seperti bermain lecak, habis basah satu bilik dengan darah. Bau hanyir itu seperti asyik sekali. Ketagihan. Aku menghiris lagi kulit-kulit anggota lain supaya darah sentiasa membasahi kami. Hilaian tawa kami tiada siapa dengar kerana orang lain nyenyak di buai mimpi.
Setelah penat bermain, baru kami sedar mayat Neng sudai lunyai dikerjakan. Hancur, tiada rupa.
“Abang macam mana sekarang,” baru kini aku sedar pada realiti.
“Kau ikut abang kita keluar kat pintu pertama tu dengan ayah. Kita pergi balai polis bagi tau polis yang Neng bunuh ayah.” Tanpa berfikir aku terus mengikut langkah Nadim.
Sampai sahaja di hadapan tiga pintu aku menarik tangan Nadim..
“Ayah macam mana?”
“Ayah mana boleh jalan, biarkan nanti polis selamatkan dia,” tangan aku direntap berlari seiring Nadim.
***************************************
Lokasi: Balai Polis Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa
“Puan, sila beri kerjasama. Apa hubungan Puan dengan Neng Ica?” Gertak salah seorang pegawai polis di dalam bilik tahanan reman itu.
“Saya ni majikan dia!” Menggeletar suara Puan Nazirah.
“Lagi!” kali ini suara dari mikrofon pula yang menjerit. Suara itu dari bilik sebelah, bilik pemerhatian. Sepertinya pegawai tersebut emosi dengan pembunuhan kejam ini.
“Puan, adakah Puan tahu mengenai mayat Tungku Dafri dan Tungku Nadim yang ditemui di bilik bawah tanah rumah Puan? Menurut anak Puan, Neng Ica yang menyiksa Tunku Dafri dengan memotong kedua belah kaki, tangan dan dibiarkan mati kelaparan. Mayat Tungku Nadim pula diawet rapi dan dihias seperti masih hidup di bilik sebelahnya. Anak Puan Tungku Nadine kini tersabit dengan hukuman membunuh Neng Ica namun dia tidak stabil kini. Penyataannya tidak kukuh. Adakah Puan mengaku bahawa semua perancangan bunuh ini dilakukan oleh Puan dan Neng Ica?”
“Bukan!! Bukan saya!!”
"Yang saya tahu, suami saya lari dengan perempuan lain! Dia belum mati. Masakan Neng Ica berbohong dengan saya setelah selama ini dia setia berkhidmat dengan saya.”
“Tungku Nadim?” Soal pegawai itu membuatkan Puan Nazirah terbeliak anak mata, suaranya tersekat-sekat. Kini air matanya sahaja mengalir laju sehingga teresak-esak dia menangis.
“Dia anak kesayangan saya, saya….. saya tak bunuh dia… “
Oleh kerana lama sangat menunggu penjelasan Puan Nazirah, pegawai polis itu mencelah sebelum mereka menjangka penipuan akan direka-reka oleh Puan Nazirah.
“Pihak forensik memberitahu tempoh jangka kematian Tungku Nadim lebih kurang lima tahun. Jika benar Puan bersumpah menafikan pembunuhan terhadap Tungku Dafri, kami membuat spekulasi Neng Ica yang melakukan pembunuhan tersebut dengan motif dendam. Hubungan sulit Puan dan Neng Ica telah kami dapat bukti dari gambar-gambar yang diberi oleh anak Puan sendiri, Tungku Nadine. Motif pembunuhan Tungku Nadim masih samar-samar.”
Puan Nazirah menekup mulut menahan dari meraung kuat di dalam bilik itu. Tak pasti beribu perasaan berkecamuk di jiwanya kini.
“Saya bertanyakan sekali lagi, adakah Puan menjalankan hubungan sulit dengan Neng Ica atas dasar suka sama suka atau dipaksa?” Puan Nazirah menunduk tiada respon, tiada bantahan.
“Adakah Puan tahu tentang kematian Tungku Dafri?” Puan Nazirah menggeleng.
“Adakah Puan tahu mengenai mayat Tungku Nadim yang tersimpan di bilik bawah tanah?” Puan Nazirah mengangguk.
“Saya ... saya sebenarnya tidak boleh menerima hakikat anak kesayangan saya sudah mati..” akhirnya Puan Nazirah bersuara.
“Saya hanya berikan ubat tidur pada Nadine tapi tak sangka...Nadim pula yang terkena. Tak sangka ubat itu membuatkan dia tidur selamanya” Pengakuan Puan Nazirah mengejutkan semua yang menyaksikan soal jawab itu.
“Tak Puan. Anak Puan mati disebabkan kelaran di lehernya. Bukan sebab ubat tidur.”
“Adakah Puan tahu bilik bawah tanah itu dijadikan tempat mengawet mayat Tungku Nadim dan tempat penyiksaan Tungku Dafri?”
“Saya tahu anak saya di bawah tapi saya tak pernah masuk, tak berani sebab saya ada Claustrophobia. Neng yang uruskan sebab saya tak boleh terima hakikat Nadim anak saya sudah mati dan kami membuat keputusan untuk menyimpan Nadim dan menutup kes ini dari diketahui oleh polis. Saya memaksa Nadine menganggap yang Nadim masih hidup. Ya, anak saya Nadim masih hidup, si Nadine yang patut mati....” meraung Puan Nazirah dengan kenyataannya.
----------------------------------------
EPILOG
Menurut Puan Nazirah, keluarga mertuanya menginginkan anak lelaki sahaja untuk meneruskan legasi keluarganya. Namun disebabkan kesilapan Puan Nazirah tersalah beri ubat tidur pada Nadim, anak lelaki kesayanganya terbunuh. Bagi menutup kes atas kematian Nadim, Nadine diubah penampilan menjadi seperti Nadim kerana wajah mereka seiras. Dipakaikan bengkung pada Nadine agar tidak kelihatan seperti remaja perempuan yang sedang meningkat dewasa. Disuntik pelbagai hormon agar berubah penampilan seperti lelaki. Penghuni rumah itu juga semuanya memanggil Nadine dengan panggilan Nadim.
Kematian mengejut anak lelaki kesayangan keluarga itu diketahui oleh Tungku Dafri apabila dia menjumpai bilik rahsia tersebut. Dengan penuh rasa kecewa atas tindakan kejam isterinya, dia mengumpul bukti untuk menangkap Neng Ica malangnya ilmu kebalnya tidak lut. Orang gaji Neng Ica itu sudah berkhidmat puluhan tahun turun-temurun pada keluarganya. Kepercayaan mereka pada Neng Ica tiada tolok gandingan. Semuanya sudah ditangas mengikut seperti perancangannya.
Mujur Tungku Dafri tidak terkesan dengan sihir orang gaji laknatnya itu. Dalam masa yang sama juga dia mengetahui yang isterinya sanggup melakukan perbuatan terkutuk lagi-lagi sesama jantina. Hidupnya kini hanya kenangkan Nadine. Dia tekad untuk hancurkan ketua iblis itu. Namun sebelum dia sempat untuk membuat perancangan untuk perangkap Neng Ica, dia pula menjadi mangsa terlebih dahulu. Dia disiksa dengan kejam di bilik bawah tanah itu. Mulanya kedua-dua belah kaki dipotong, kemudian tangan pula habis dikudungkan. Akibat menahan kesakitan yang amat, Tungku Dafri menggigit lidah sehingga dia mati keseorangan. Mayatnya busuk dan mereput di atas kerusi roda di dalam bilik itu.
Kisah ini melibatkan golongan elit, pihak atasan memastikan tiada sebarangan kebocoran info pada media sosial. Tidak lama kemudian Puan Nazirah pula mati dibunuh semasa masih dalam tahanan reman dan kes bunuhnya masih misteri.
Selepas kes perbicaraan tamat, Tunku Nadine gugur dari disabit bersalah di atas pembunuhan Neng Ica kerana dia mempunyai masalah kesihatan mental. 19 tahun sudah berlalu, kini dia sudah bebas dan menjadi seorang penulis. Dan kisah ini adalah adaptasi daripada kisah sebenar. Harap tiada siapa membuat aduan dan spekulasi bahawa penulis ini adalah seorang....... Hehe
Aku Nadim, eh Nadey lah... Nadim......
Arghh kita kan kembar.
Shhhhh....
Karya: #kamenrider
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment