PATUNG GERGASI: DANNY
WHATAPPS (Arkib Angker Negara- Kurator)
20 Oktober 2017.
XX: Patung Chucky yg sebenar. Nama dia Robert. Dia tak suka orang ambik gambar dia.. Siapa yg ambil, akan diganggu. Menarik kan….?
Nil Kuhaku: Akak ada anak patung macam Annabelle tu tapi mak dah simpan
Nadey: Aku tak berani patung-patung Barbie, macam Teddy Bear tu. Paranoid. Aku ade patung Kamen Rider je.....
(Cik Edot is typing...)
A.Rusydi: Paranoid? Kenapa? Cer cita…. Cer cita...
Wan SC: Kelmarin, masa kita jumpa tu aku nampak ada teddy bear dalam kereta kau tu apa?
Topek GongPal: Aku syak Nadey ni SPLIT, aku nampak juga patung tu dalam kete dia.
Nadey: Teddy Bear??? Kau biar betik? Weh! Aku meremang……….
Shizu: Woi
Rul: Nadey……………… jangan cakap patung tu………..
(Ji SP is recording audio…)
=====================
Teringat kisah 25 tahun yang lepas….
Waktu itu aku berumur 4 tahun, famili kami menyewa rumah di suatu lokasi yang terletak di atas bukit di Taman Seri Gombak, Selangor. Rumah mini teres kami berderet lima buah. Rumah tuan rumah jauh nun atas bukit lagi. Tiap-tiap bulan ibu mesti menyuruh aku naik bukit untuk memberi bayaran sewa. Tuan rumah tersebut dikenali sebagai Cik Yah.
Cik Yah ini wanita berumur dalam lingkungan 50-an, kematian suami membuatkan dia berseorangan saja di rumah yang besar itu. Anak-anak pula sudah besar masing-masing sudah berkeluarga.
Kedatangan aku membuatkan kesunyian Cik Yah terisi, terserlah kegembiraan dari riak wajahnya. Dia masak macam-macam dan semuanya untuk aku (sebab itu sekarang aku gemuk).
Setiap kali aku ke rumah Cik Yah aku selalu nampak salah satu bilik ini ada sebuah teddy bear yang besar sangat duduk atas katil menghadap pintu bilik. Entah mana datang perangai tak reti malu, aku menguak pintu bilik itu lebih luas. Kini jelas suasana bilik itu menarik minat aku, ada beberapa barang permainan, buku-buku mewarna atas meja kecil dan paling menarik adalah teddy bear besar tu. Aku mendekati dan tersenyum. Spontan aku memeluk patung gebu sehingga separa tenggelam.
“Hello, nama saya Danny” Kedengaran bunyi rakaman pada patung tersebut
“Eh awak boleh bercakap! Nama saya Nadine…..,” tak sempat aku ralit bermain dengan teddy bear tu tangan aku direntap kasar oleh Cik Yah.
“Jangan masuk bilik tu…..aaaa…aaa…. ada hantu!” Jerkah Cik Yah. Aku terkedu, kecil hati dimarah sebegitu tapi aku rasa bersalah juga masuk tanpa kebenaran. Kalau ibu tahu aku usik barang orang mesti aku kena rembat dengan getah paip. Mungkin Cik Yah berasa teguran yang agak kasar, dia memujuk aku kembali dengan menjamu aku dengan makanan sedap-sedap antara kegemaran aku adalah Nasi Dagang.
Disebabkan kawasan deretan lima rumah itu tiada anak kecil, maka aku selalu bermain seorang diri. Tiada kawan, kasihan. Biasanya aku akan bermain basikal di hadapan rumah dan paling jauh pun kilang beras di bawah bukit. Aku akan bermain karom dengan abang-abang kilang di situ.
Ada seorang pekerja kilang di situ bernama Abang Lan. Dia merupakan rakan baik ayah dari kampung yang sama. Abang Lan membuat pondok permainan kecil khas untuk aku di tepi kilang yang betul-betul bawah rumah aku. Dia membuat laluan merupakan tangga kecil mudah untuk aku turun dari rumah ke pondok itu. Memang di situlah tempat aku bermain seorang diri.
Satu hari aku balik rumah…
“Akak… Cik Yah datang rumah tadi dia bagi akak hadiah. Nanti kamu pergi hantar kuih ni ke rumah dia ya” Ibu gigih mengukus lepat pisang. Pisang pula hasil dari tanaman ibu di tepi rumah kami. Berjasa dengan tanah, hasil kami merasa.
Mulanya aku kekok menerima pemberian dari Cik Yah, ya lah hari itu aku dimarahi kerana memeluk teddy bearnya namun melihat teddy bear ini sahaja cukup membuatkan aku sangat teruja. Terus aku bersemangat semula untuk berjumpa Cik Yah. Aku memeluk teddy bear yang empuk sambil tergelak-gelak, gembira tak terkata.
===================
“Assalaaaaaaaaaaamualaikum, Cik Yahhhhh”
Tidak lama kemudian, Cik Yah keluar menyambut aku dengan senyuman manis.
“Adik, nanti adik mari lah datang rumah Cik Yah hari-hari main kat rumah ni. Cik Yah sunyi, sian Cik Yah.”
“Tak boleh Cik Yah, ibu marah kacau Cik Yah. Lagipun adik dah janji dengan Abang Lan nak main karom dengan dia. Sekarang ni Danny kat rumah, dia nak main dengan adik. Adik kena balik dulu Cik Yah”
“Haa!!! Danny??” Cik Yah tunduk setara kepala aku. “Sebut sekali lagi adik!”
“Danny, teddy bear Cik Yah kasi tu nama dia Danny. Nah lepat pisang ni ibu kirim. Adik balik dulu, bye~~~”
Sebenarnya aku takut jika sekali lagi Cik Yah marah kepada aku seperti tempoh hari. Aku berlari laju menuruni bukit curam itu. Disebabkan galak sangat, aku tak dapat kawal imbangan badan lalu aku terseret jatuh di jalan tar yang tidak rata itu. Senak dada jangan cakap, aku tak dapat bernafas seketika. Dengan daya yang ada aku bergerak terlentang. Mujur aku dapat bernafas semula, aku terus menangis. Lama aku menangis meraung namun tiada siapa yang sedar. Aku menangis sehingga tertidur.
Sedar je, aku melihat kaki tangan aku berbalut.
“Ibu…. Kenapa tangan akak?”
“Tu lah kamu, yang berlari turun bukit curam tu kenapa? Ni tangan kamu patah! Lepas sebulan baru boleh bukak! Jangan gatal nak kopek-kopek simen ni!”
‘Ibu Danny mana?”
“Kat rumah..,” ibu balas pendek.
========================
Seminggu selepas kejadian patah tangan..
“Abang….. abang tau tak? Arini anak awak yang bertuah tu buat saya gila. Dia pergi campur sabun kita dalam bekas-bekas teh, kopi, nescafe saya! Pastu dia sorok semua koleksi pisau dapur saya main dalam bilik dia!” Mengadu ibu pada ayah. Tak sempat lagi ayah menapak masuk sudah disimbahi bebelan.
“Nadine…. Dah, sudah la menangis tu. Maghrib ni, tak elok” Aku masih meraung setelah disebat dengan getah paip tadi.
“Bukan akak yang buat…… uwarghhhhh” Sengaja aku meraung lebih kuat untuk simpati ayah. Tapi sejujurnya bukan aku yang buat. Setelah ayah menenangkan aku, kami makan malam.
“Tadi kami jumpe Lan berborak jap lama tak jumpa dia kan. Dia beritahu, kelmarin ada pekerja mati termasuk dalam mesin bungkus beras tu. Mayat dia muat-muat masuk dalam guni beras tu. Lan yang perasan sebab guni tu bertompok merah. Rupanya mayat. Kami takut la sebab kawasan rumah kita ni mana ada orang sangat. Awak jangan bagi anak kita keluar la ya buat masa ni. Saya syak pekerja kilang tu juga. Jangan bagi anak kita main kat pondok dia kat bawah tu." Ayah memandang aku sambil memberi amaran.
“Tak pa ayah, akak dah ada Danny. Kami main kat rumah je yah”
“Danny? Oo teddy bear Cik Yah beri tu kan? Kalau macam tu main je dalam rumah, tak payah main kat luar bahaya tau” Aku mengangguk. Anak ayah kan, semua yang ayah cakap aku patuh. Kalau ibu cakap aku rebel sedikit. Hehe..
“Ayah terpaksa kerja malam ni, pintu semua tutup ya. Akak jangan buat hal pula. Tidur. Sian adik dalam perut ibu tu dia nak rehat jangan kacau ibu ya. Kamu tak lama lagi nak jadi akak. Kakak ni tugas dia jaga keluarga kalau ayah tiada” Pesan ayah.
“Ayah…. Sebenarnya tadi sumpah akak tak buat pun semua yang ibu cakap tu. Akak rasa Danny buat. Akak tak buat”
“Masya Allah akak, Danny tu patung. Tak bernyawa….”
“Tapi …. Akak tak buat”
“Dah, dah! Tidur. Biasalah bang, budak-budak ni kan ada rakan imaginasi dia. Lagi-lagi dia excited dapat teddy bear Cik Yah beri tu” Ibu menyampuk. Bengang dari tadi aku menyebut nama Danny je. Ibu tak percaya aku.
Malam itu senyap sunyi, kalau ayah tiada memang aku akan tidur bersama ibu. Tetiba malam tu ibu menjerit. Aku bingkas bangun bukak lampu meja sisi.
“Allahhhhhh….. Alllahhhhhhh”
“Ibu!!!” Aku terkejut melihat darah yang banyak pada tangan ibu. Aku lihat ada kelibat berlari keluar dari bilik. Samar-samar tapi aku yakin itu Danny.
“Kamu buat apa ni kat ibu? Sampai hati kamu gunting jari ibu. Mana kamu dapat gunting ni? Allah…. Allahhh…” Ibu mengigil mencapai kunci kereta. Dalam kekalutan, aku mengekori saja ibu. Dia menghidupkan enjin kereta dan memecut laju. Sesekali aku melihat balutan tangan ibu dengan kain selimut itu basah lenjun dengan darah. Ibu menangis kesakitan.
Sampai di klinik. Doktor mengatakan ibu kehilangan banyak darah, takut tekanan darah terlalu rendah bahaya untuk kandungan. Aku melihat ibu terlantar, aku juga menangis. Aku tahu ini semua angkara Danny.
“Ayah….. Danny buat ayah… Dann”
Pang!! Ayah menampar aku sehingga terduduk. Aku meraung. Kini kebencian aku pada Danny menggunung. Aku yakin patung tu ‘hidup’. Macam mana nak buktikan? Melihat ayah tidak pedulikan aku, aku keluar dari klinik dan menangis. Aku tak tahu salah aku di mana. Anak jenis apa nak cederakan ibu. Walau tegas macam mana pun ibu tidak terlintas langsung untuk aku membalas dendam terhadapnya. Tambahan pula aku tahu, tidak lama lagi aku akan mendapat adik.
Dalam keadaan yang tegang itu, ayah membawa aku balik ke rumah. Sementara itu ibu ditahan sehingga pagi esok untuk pemantauan sehingga stabil. Mujur klinik itu 24 jam. Sepanjang perjalanan ayah diam je.
“Ayah, akak minta maaf” Aku mula menangis. Namun ayah tak endahkan. Sampai sahaja di rumah ayah terus ke bilik aku. Dibuka lampu, aku pula hanya mengikut ayah. Aku lihat Danny duduk di tempat asalnya sepertimana kedudukannya sebelum ini. Ayah keluar ke bilik tidurnya pula. Aku melihat darah yang memenuhi beberapa petak jubin telah bertukar warna. Beku..
“Jari ibu hampir putus. Gunting tu gunting besi tau! Ayah ingat lagi gunting tu berada dalam box besi ayah. Susah untuk kamu buka. Ayah pelik macam mana kamu boleh buka. Tunggu ayah ambil box ayah tu” Aku menunggu. Aku dah kata bukan aku yang buat. Aku pun tak tahu gunting tu pun.
“Cuba kamu buka peti ni” Pinta ayah. Suara ayah kini tenang kembali.
“Urghhhh, urghhhhh akak tak …. Urghhhh” Gigih aku menarik cangkuk peti besi simpanan barang-barang ayah.
“Ayah minta maaf tampar kamu tadi. Ayah terkejut tak sangka kamu sanggup buat ibu macam tu. Nasib baik jari, kalau tak … kita mesti kehilangan ibu. Ayah nak tanya kamu betul-betul, betul kamu tak buat?”
“Betul yah, akak rasa betul Danny. Akak nampak dia lari keluar bilik lepas ibu menjerit. Betul ayah!”
“Tapi Danny kan patung, mana dia bernyawa. Jom ayah tunjuk kamu.” Ayah ke bilik mengambil Danny. Baru aku tahu Danny begitu besar hampir sama saiz dengan ayah. Sambil memeriksa ayah tertekan sesuatu..
“Hello, nama saya Danny” Ayah terkejut. Ayah menekan sekali lagi.
“Hello, nama saya Danny” Ayah tak puas. Sekali lagi dia menekan.
“Hello, nama saya Danny” Sekali lagi dia menekan.
“Hello, nama saya Danny” Sekali lagi dia menekan.
“Hello, nama saya Danny!!!” rakaman suara itu seakan-akan menjerit. Aku dan ayah terkejut. Spontan ayah melemparkan teddy bear tersebut jauh dari kami.
“Ayah, kan akak dah beritahu. Danny memang hidup. Semua orang tak percaya akak”
“Bukan tak percaya. Mungkin tadi ayah tekan banyak kali, pita rakaman bear tu short-circuit la kot. Nak habis bateri sebab tu dia bunyi macam tu." Ayah masih tak percaya. Tak apa, aku doa agar suatu hari nanti aku dapat buktikan.
Sejak dari hari itu, aku tidak lagi bermain-main dengan Danny. Aku sendiri takut melihat Danny. Adakala dia seperti menggerakkan kepala dan mulutnya. Pernah sekali sewaktu aku hampir lelapkan mata, aku terdengar Danny tergelak “He…he….he…” Aku yang ketakutan hanya mampu berselubung bawah selimut.
Setelah sebulan dari kejadian kes jari ibu, aku dihantarkan ke kampung. Hanya ibu dan ayah di rumah. Menurut ibu, pernah suatu petang selepas waktu Zohor ibu terdengar bunyi riuh suara aku dan suara patung Danny itu berborak dalam bilik. Bila dijenguk, kosong dan sunyi sahaja. Sebaik sahaja pintu ditutup, bunyi itu kedengaran semula. Lebih jelas suara Danny bercakap..
“Haha, aku akan bunuh orang dalam rumah ni. Nadine hanya milik aku. Tiada siapa boleh miliki dia” Ayat itu jelas menurut ibu, tergamam, ketakutan itu dikongsi dengan ayah namun responnya masih tidak percaya.
Rentetan kejadian itu macam-macam berlaku pada rumah kami, ada sekali kereta ayah kering minyak disedut. Pelik, kalau minyak dicuri pasti tiada tumpahan minyak berlaku. Ini sengaja pula minyak itu seperti dicurahkan sekeliling rumah. Getah untuk sedut minyak itu tertinggal bodoh di tempat isi minyak. Namun kes itu tidak pula logik untuk menuduh perbuatan Danny, ayah percaya angkara budak-budak motor di sini juga. Sehinggalah suatu hari..
“Idaa!!! Ida!!! Mari sini” ayah terkejut sambil membuka peti sejuk.
“Ini ular sawa ni Ida…. Awak dapat mana ular ni letak dalam peti ais kita ni … Allahuakbar” Ayah mengucap panjang melihat daging ular yang dikerat-kerat dalam peti sejuk bahagian beku di atas.
“Abang, rumah kita ni ada penceroboh mungkin bang. Orang dengki ni mungkin. Mana logik, kita berdua je yang boleh buka peti ni. Akak pun tak sampai nak capai pintu peti ais atas ni.
Ayah terus berlari ke bilik aku.
"Alllah!!!” Ibu dan aku berlari menuju ke bilik. Menurut ayah sebaik saja dia membuka pintu bilik terlihat Danny teddy bear itu menjerit terkejut dan terus terduduk kaku tak bergerak di bucu ruang bilik. Ibu dan aku merapati patung besar tu untuk dapatkan kepastian. Memang tak bergerak, tak bernyawa.
“Abang nak bakar patung ni. Seram sangat dah ni. Sampaikan abang lihat sendiri dia bergerak tadi siap menjerit terkejut. Abang rasa patung ni berhantu. Kita kena bakar sekarang juga. Ayah mendekati dan menarik patung tu. Tiba-tiba…
“Hello, nama saya Danny” Patung itu berbunyi. Ayah berpaling dan mengheret patung itu keluar sehingga sampai ke muka pintu tiba-tiba ayah seperti tertarik ke belakang.
“Eh! Abang patung ni bergerak bang… Ya Allah” Ibu menjerit. Aku pula kaget sehingga terkedu. Patung yang besar hampir saiz ayah itu kini berdiri tegak dan mukanya berubah. Senyuman patung itu lebih menyeringai. Tidak bersuara, hanya pergerakan. Patung itu menarik aku sekelip mata aku berada di pelukannya. Jika dulu aku rasakan begitu empuk memeluk patung ini namun kini seperti berisi. Seolah-olah ada manusia memakai maskot patung itu.
“Lepaskan anak aku! Syaitan!” Ayah menyambar tangan aku namun sentakkan patung itu lebih kuat. Ayah kini menjerit melaungkan azan dan beberapa potong ayat Al-Quran. Responnya, mulut patung itu mengeluarkan beratus-ratus ekor lipan. Lipan bara berwarna merah itu jatuh ke atas kepala aku seperti air terjun lipan. Aku hanya menjerit menyebut nama ayah dan ibu! Ketakutan aku masa itu sukar nak digambarkan dengan kata-kata.
Ayah menguatkan lagi bacaan. Untuk kali ketiga ayah melaungkan azan. Beratus-ratus lipan yang memenuhi ruang lantai bilik kini ghaib. Ibu pula buka pintu depan untuk siap siaga jika berlaku sesuatu pada ayah. Ibu berlari ke rumah jiran dan meminta bantuan. Malangnya hanya seorang sahaja jiran kami yang berada di rumah malahan pula dia wanita berumur.
Aku yang berada dalam pelukan patung berhantu itu menjerit ketakutan akhirnya aku tak sedarkan diri. Menurut ayah, patung itu menggelupur setelah beberapa kali ayah membaca potong ayat. Kelihatan asap hitam itu masuk ke dalam mulut aku. Masa itu mata aku hitam sepenuhnya. Ibu menangis-nangis meraung melihat aku dirasuk. Entah mana datang pisau, aku mengacu pisau itu ke arah ayah.
“Berhenti, jangan sebut lagi” Suara Danny tapi lebih garau memberi amaran pada ayah.
“Mungkin juga kau tak tahu, budak yang kau rasuk ini cucu Pawang Tanah, Haji Sabri! Berani kau rasuk dia ya!” Ayah aku cuba mengugut pula. Dibacakan semula beberapa potong kali ini aku menyerang ayah dengan mengacu pisau, beberapa cubaan berjaya ayah tepis. Akhirnya kepantasan ayah merampas pisau itu dari aku dan kini kami bergelut. Aku yang berumur 4 tahun tapi kederat aku seperti orang dewasa ketika itu.
Sebaik sahaja ayah menyentuh kepala aku yang sedang dirasuk itu menjerit dengan begitu dasyat nyaringnya. Sehingga bergegar isi rumah dan perabot rumah kami. Akhirnya aku terkulai, asap hitam itu keluar dari mulut aku. Ibu datang mendukung aku dan ayah pula sepantas kilat mengheret patung gergasi itu dan mencurah minyak tanah pada patung itu. Tanpa ragu ayah membakar patung itu di luar hadapan rumah kami. Waktu itu Abang Lan datang menyaksikan pembakaran patung itu berlangsung. Bising mulutnya bertanya itu ini.
Menurut ibu, selepas itu aku demam panas sehingga beberapa minggu terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur. Sejak dari itu aku mempunyai masalah gagap dan terlalu paranoid jika melihat patung berupa teddy bear. Kehidupan zaman kecil aku hanya bermain dengan patung kamen rider sahaja. Patung barbie pun haram dimiliki di rumah kami.
Pernah juga beberapa kali aku mendapat hadiah patung teddy bear, ibu terus buang tanpa teragak-agak. Kami sekeluarga terkesan dengan kisah ngeri dahulu.
Selepas kes itu juga, kami ada mencari Cik Yah untuk keterangan. Adakah dia tahu patung itu berhantu atau dia memang ikhlas memberikan pada aku? Akhirnya terbongkar, patung itu dipuja untuk menjadi seperti arwah anaknya bernama Danny yang meninggal akibat kemalangan.
Tak sangka Cik Yah mempunyai koleksi 32 batang gigi anaknya itu dan di bakar sehingga menjadi minyak untuk proses pemujaan. Berjaya, patung itu hidup seperti anaknya Danny, sesekali dilihat seiras seperti manusia namun itu sementara.
Sepertimana yang kita tahu, yang mati pasti tidak akan kembali. Yang dipuja itu adalah iblis, jin ataupun syaitan yang menyerupai Danny. Patung itu minta dipuja dengan habuan darah, darah manusia. Akibat Cik Yah tidak lagi tahan dengan permintaan patung itu dia membuat keputusan untuk memberikan pada aku.
Disebabkan terlalu marah dengan tindakan keji Cik Yah, ibu dan ayah membuat keputusan untuk berpindah. Walau jauh sekalipun kami pindah, kami sekeluarga tetap melihat kelibat Danny. Namun gangguan itu hanya berlaku beberapa tahun selepas kejadian itu sahaja.
========================
Dee Fen: Weh serius ke ni? Kau pergi check semula kereta kau.
Cik Edot: Akak rasa tak sedap hatilah dik. Awak kat mana sekarang?
Nadey: Wehhhhhhhhhhhhhhhhhh!! Aku pun nampak dia dalam kereta aku ni. Kenapa aku boleh tak perasan langsung dua tiga hari ni weh! Macam mana ni??! Tolong aku weh, takuttttttt....
(Nadey is recording audio…)
(Nadey is recording audio…)
Dee Fen: Lama sangat dia ni record ni… cuak lak aku.
Nadey: Hello, nama saya Danny!
Nadey: Hello, nama saya Danny hehehehhee....
-tamat-
Cerita & Gambar: #kamenrider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment