BURUNG KUBUR
Cerita Rantaian - Episod 11
Mereka berpegang tangan, berlari-lari anak sebaik turun dari kereta tadi. Kaki laju menghayun langkah menuju makmal forensik hospital. Masing-masing menangis. Masing-masing belum dapat menerima berita itu tanpa sedikit pun rasa percaya. Malah Aina dan Sofea tidak mahu pun perkara itu berlaku.
Sebaik tiba di perkarangan bilik mayat, Aina melihat saudara-mara dan kenalan lain Salina sedang berkumpul. Ratapan sedih dan tangisan pilu terdengar di sini sana. Aina sendiri jadi lebih sedih. Air mata semakin deras mengalir. Dia menarik tangan Sofea untuk mendekati Fatin, rakan mereka yang sedang berdiri di satu sudut, diam merenung lantai. Mungkin sudah habis dayanya untuk menangisi pemergian kawan karib mereka.
“Fatin, mana Ina? Betul ke apa yang aku dengar tu?” soal Aina dalam sedu-sedan.
Mendengar sahaja pertanyaan yang diiringi tangisan itu, Fatin menjadi sebak semula. Tangisannya terhambur dan hanya mampu mengangguk-angguk menjawab pertanyaan Aina.
“Mana dia sekarang? Mana?” tanya Aina lagi.
“Ada di dalam tu. Belum siap bedah siasat lagi. Aina... Ina dah tak ada. Ina dah pergi tinggalkan kita semua,” tangis Fatin lagi.
“Tak mungkin. Tak mungkin. Baru petang tadi masa nak ke kelas aku selisih dengan dia. Aku sempat cakap-cakap dengan dia, tak mungkin dia dah tak ada,” rintih Aina pula.
“Betul Aina. Ina memang dah tak ada. Janganlah macam ni. Aku pun terkejut bila dengar berita tu,” ujar Fatin cuba meredakan sedikit tangisan Aina.
“Jadi memang betullah apa yang orang cakap pasal Ina tu? Dia memang kena bunuh?” tanya Sofea pula.
Fatin mengangguk lagi. Serta-merta tangisan Aina semakin kuat. Mereka bertiga kini berpelukan. Saling memberi semangat kepada satu sama lain. Salina memang sudah pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Meskipun secara mengejut tapi ia memang benar-benar telah berlaku.
***
Beberapa jam sebelum itu.
“Helo. Waalaikumussalam. Mama. Mama sihat?” lemah sahaja kata-katanya dituturkan.
“Alhamdulillah. Mama okey Ina. Ina macam mana? Okey tak ni? Mama dengar suara tu semacam je,” pantas seorang emak meneka perasaan anak perempuannya.
“Sedih sangat tu tak adalah. Down sikit je ni,” luah Salina.
“Down kenapa ni? Ina dekat mana tu? Dekat kolej?”
“Ina dekat luar ni ma. Dah nak balik pun tapi tengah hujan ni. Reda sikit nanti Ina terus balik,” jawabnya jujur.
“Ina kenapa ni? Apa yang buat Ina kecewa sangat tu? Mama tak suka dengar suara Ina macam ni, tak semangat langsung,” kata emaknya menambah.
“Permohonan Ina untuk student exchange program tu gagal, ma,” keluh Salina.
Emaknya terdiam seketika. Mungkin mencari-cari ayat yang sesuai untuk menenangkan hati Salina. Emaknya kini mula faham perasaan hampa Salina.
“Mungkin lain kali rezeki untuk Ina,” lembut emaknya memujuk.
“Ermmm... tapi Ina ni memang tak layak, ke ma? Nak pergi sana tu? Ina rasa syarat-syarat semua tu Ina dah cukup, Ina ada semuanya,” rungut Salina lagi masih belum mampu menerima kenyataan.
“Ya, betul tu. Memang Ina dah ada semua yang diperlukan, tapi Ina dengar cakap mama ni. Dalam dunia ni, Allah dah tentukan apa yang lebih baik untuk kita. Tak semestinya apa yang Ina mahukan tu, sesuatu yang Ina perlukan. Sabarlah, sayang. Lain kali mungkin ada peluang yang lebih baik lagi,” tenang suara emak Salina memberi perangsang.
“Mama tak kecewa dengan Ina, kan?” lambat-lambat Salina bertanya.
“Ina... Tak ada satu pun yang Ina buat, kecewakan mama dan abah, tahu tak? Ina dan abang-abang Ina semuanya dah buat mama dan abah bangga. Ina janganlah fikir macam tu. Yang lebih penting, Ina fokus pada pelajaran dan habiskan dengan cemerlang. Setakat program pertukaran pelajar tu, bukannya perkara utama, Ina.”
Kembang dada Salina apabila mendengarnya. Salina sebak. Dia mula menangis. Hari ini dia memang terlebih emosional.
“Hei... Hei... Ina menangis, ke? Ina, kenapa ni sayang? Janganlah macam ni. Ina anak mama yang kuat, kan?” pujuk emaknya lagi menahan dia daripada terus menangis.
“Ina risau kalau Ina gagal buat mama dengan abah bangga,” jawab Salina.
“Ina nak minta maaf dengan mama, dengan abah. Kalau-kalau Ina ada buat salah dengan mama, abah. Dengan semualah,” ucap Salina lagi.
“Ina ni, kenapa ni? Jangan risau, sayang. Mama, abah, abang-abang semua tak pernah ambil hati, marah dengan Ina. Kalau ada pun, dah lama kami maafkan,” emaknya hanya melayan perasaan Salina.
“Ina takut Ina tak dapat jumpa mama, abah, abang Is, abang Kir lagi,” kata Salina lagi.
Emaknya mula pelik. “Kenapa Ina cakap macam tu pula? Hujung minggu nanti kan Ina balik sini. Kalau Ina nak mama dengan abah pergi sana pun boleh,” pujuk emaknya.
“Hurmmm... Tak apa, mama dengan abah tak payah susah-susah. Nanti Ina yang balik ke sana. Ina plan nak duduk sana lama-lama sikit kali ni.”
“Boleh, sayang. Boleh,” jawab emaknya sambil berdekih.
“Sudahlah, jangan sedih. Baliklah ke asrama, lewat petang dah ni. Hujan dah berhenti ke belum tu?”
“Renyai-renyai lagi ni tapi Ina rasa Ina nak redah jelah,” ujar Salina.
“Haa... yalah. Baik-baik, ya? Jaga diri tu elok-elok. Kalau ada apa-apa, terus telefon mama atau abah,” pesan emaknya sebelum mereka menamatkan perbualan di talian.
Salina menarik nafas dalam-dalam. Dia lega selepas mendengar suara emaknya. Kekuatan dalam diri muncul semula. Dia mendongak ke langit, melihat titisan air hujan yang mula berkurang tapi masih boleh terasa pada kulit. Demi mengelak terkena hujan, dia memilih untuk terus menyelusuri kaki lima itu sehingga ke hujungnya nanti.
Namun, petang itu dia tidak keseorangan. Pergerakannya seorang diri sudah lama diperhatikan dari jauh. Sebaik Salina melangkah ke depan menuju lorong, lelaki itu ikut sama dari belakang. Semakin dia merapati, Salina mula sedar dia diekori. Langkah Salina dipercepat. Lelaki itu masih terus mengikut dari belakang. Salina lantas membuka langkah seribu.
Lelaki itu terus mengejar. Salina mula ketakutan. Dalam fikirannya cuma satu, ingin cepat-cepat pergi dari situ, menuju jalan besar yang dipenuhi lebih banyak kenderaan dan orang awam. Namun, belum sempat dia ke sana, dia diterkam dari belakang. Tubuhnya dipeluk erat dan ditarik ke belakang.
Kebetulan, pada waktu itu mereka berada di jalan sehala yang memisahkan dua blok rumah kedai. Lelaki itu menarik Salina menuju lorong belakang.
Salina cuba menjerit untuk meminta tolong tapi mulutnya ditekup kasar. Dia mula menangis ketakutan. Badannya dironta-rontakan tapi pelukan lelaki itu semakin kuat. Apabila tiba ke lorong yang memang jauh daripada orang ramai, lelaki itu menghumbankan tubuh Salina ke dinding bangunan. Salina menjerit sakit.
“Tolloong...” jerit Salina sekali lagi mengambil peluang dilepaskan untuk mencari pertolongan.
Pang! Pipinya ditampar kuat oleh lelaki durjana itu. Bibir Salina berdarah. Tangisannya semakin kuat. Lelaki itu dengan wajah bengis terus memandangnya tanpa ada rasa simpati.
“Tollongg... Tollongg...!” laung Salina lagi bersungguh-sungguh, tidak berputus asa untuk menyelamatkan diri.
Tidak lama, suara Salina semakin perlahan. Gemanya semakin hilang. Tenggelam dalam bunyi rintik hujan yang kembali lebat. Tindakannya menjerit-jerit membuatkan lelaki itu hilang sabar lalu pisau dalam poket seluarnya dihunuskan beberapa kali ke tubuh Salina.
Darah merah mengalir laju masuk ke saliran air bersama-sama air hujan. Tubuh Salina mula longlai dan terus rebah ke jalan tar. Tangannya memegang perut, menahan kesakitan ditikam.
Nafasnya turun naik. Setiap kali dia menarik nafas, pedih ngilu pada perutnya begitu terasa. Air mata terus mengalir sehinggalah pandangannya kabur. Nafasnya semakin kuat namun payah dihela. Beberapa saat selepas itu, tubuh Salina kaku tidak bernyawa.
Lelaki itu tanpa rasa berdosa melangkah pergi dengan beg duit, telefon dan gelang emas di tangan. Mayat seorang wanita yang tidak berdosa dibiarkan dalam hujan. Jangankan iman, rasa kemanusiaan pun sudah hilang dari dirinya.
***
Suasana di bilik mayat semakin hiba apabila ibu bapa dan adik-beradik Salina tiba dari Johor. Suara mamanya menangis meratap boleh membuatkan hati sesiapa sahaja ikut sama luruh. Masakan tidak, sama seperti Aina dan rakan-rakan lain; awal petang tadi mamanya baru sahaja berbual-bual dengan Salina di telefon. Salina meminta maaf dan mengucapkan terima kasih. Rupa-rupanya Salina tahu dia akan pergi meninggalkan mereka semua.
Aina duduk di satu sudut. Dia bersendirian sambil mengenang kebaikan diri sahabatnya itu. Salina seorang pelajar yang pintar, rajin dan penyayang. Sudah tentu Aina berasa kehilangan dengan pemergian Salina.
Awal petang tadi, lebih kurang pukul 1 lebih, dia ada terserempak dengan Salina yang baru pulang entah dari mana. Aina pula ingin ke kelas selepas sepanjang pagi dia bebas tanpa kuliah. Tengah hari sebelum itu pula, dia bertemu Bakri dan Anas.
Aina menegur Salina dulu. Rakannya itu berjalan laju, menonong-nonong sehingga tidak sedar mereka berselisih bahu. “Ina. Lajunya, nak ke mana tu?”
Salina tersentak dan barulah dia sedar Aina di sebelahnya. Dia tersenyum, namun ketara ada riak sugul pada wajahnya.
“Nak balik bilik, tukar baju. Cadangnya nak keluar ke bandar sekejap,” terang Salina.
“Oh, patutlah laju semacam. Ermmm... ni kenapa nampak macam tak happy je ni?” duga Aina apabila menyedari perawakan Salina yang sedikit berbeza waktu itu.
“Eh, taklah. Mana ada, Aina. Aku macam biasalah, mana ada tak happy,” teragak-agak Salina menjawab.
“Kau nak ikut tak?” ajaknya pula selepas itu, mungkin untuk mengubah topik perbualan.
“Ala... aku ada kelas petang ni. Kalau tak, boleh je aku temankan. Kita pun dah lama tak keluar sama-sama, kan?” Aina berterus-terang dengan perasaan serba-salah.
Itulah kali terakhir dia dan Salina berbual-bual. Aina tahu Salina ada masalah dan Aina cuba untuk membantu. Cuma belum sempat dia menghulurkan bantuan, Salina pula yang terlebih dahulu meninggalkan dia.
Puuukkk...
Lamunan Aina terbubar apabila bunyi itu kedengaran di telinganya. Dia memandang sekeliling tercari-cari arah datangnya suara itu. Bunyi burung hitam itu kembali semula. Aina mula resah. Rasa takut yang sama muncul semula. Ingatannya kembali kepada saat-saat akhir sebelum dia dan Salina berpisah siang tadi.
“Eh... Eh... Tak apa, tak apa. Aku keluar sendiri jelah. Lagipun, bukan nak pergi mana. Cuci-cuci mata sekejap,” Salina tetap tersenyum walaupun ajakannya tidak dapat ditunaikan oleh Aina.
Namun, Aina pula yang seakan-akan sedang dilanda masalah. Wajahnya berubah. Dia kelihatan sedang memikirkan perkara lain. Perhatiannya lari daripada perbualan dengan Salina.
“Aina. Kau okey ke tak ni? Kenapa kau pula yang macam takut-takut ni?” tanya Salina mengesyaki sesuatu.
“Err... Taklah. Aku okey. Errr.... Ina, kita sembang lagi nanti, ya? Jaga diri baik-baik,” pesannya.
Salina angguk. Dia semakin hairan kerana Aina semacam dalam ketakutan. Gelisah dan panik.
Rupa-rupanya, Aina terdengar burung hitam itu berbunyi. Sayup. Berkali-kali tidak berhenti. Sehingga dia di dalam kelas pun, bunyi itu masih jelas kedengaran. Waktu itu, dia keraskan hatinya dan tidak mahu terlalu memikirkan tentang suara itu. Meskipun dia teringat kepada cerita Bakri sebelum itu tentang mimpi anehnya, namun, sedikit pun tidak terlintas di fikiran Aina, bahawa ada sesuatu yang perlu dia bimbangkan. Sehinggalah bunyi itu muncul menghantuinya pula.
Namun, suara itu hilang dengan tiba-tiba. Aina sendiri berasa pelik, apa maksud sebenar dengan kemunculan suara itu? Apa petanda yang dibawanya? Muncul tanpa diduga dan hilang juga secara tiba-tiba. Aina lega namun dia tertanya-tanya. Berkira-kira dalam kepala, sebab dan musabab kepada perkara itu, sehinggalah dia menerima berita daripada rakan-rakan lain bahawa Salina ditemui tidak bernyawa di satu lorong sunyi.
Puuukkk...
Burung itu berbunyi lagi. Cepat-cepat Aina mendongak ke atas, melihat ke arah bumbung bangunan bertentangan. Seekor burung hitam bermata merah bertenggek di atas bumbung, sedang memandang tajam ke arahnya. Burung itu berbunyi lagi semacam menyergah kepada Aina. Mata dipejam rapat, tidak mahu bertentang mata dengan pandangan menakutkan burung hitam itu. Takut mula menguasai diri. Nafas jadi laju. Apabila dia membuka mata, burung itu sudah tiada, yang kedengaran hanyalah suaranya yang semakin sayup dan akhirnya hilang. Cerita Bakri siang tadi serta-merta menerpa semula dalam fikiran.
Bersambung dalam Bab 12.
Terima kasih buat pembaca setia siri ini.
Jika anda terlepas bab-bab terdahulu, klik sahaja pada pautan berikut:
Pautan untuk bab-bab terdahulu:
Bab 1:
Bab 2:
Bab 3:
Bab 4:
Bab 5:
Bab 6:
Bab 7:
Bab 8:
Bab 9:
Bab 10:
Suntingan: Arkib Angker Negara
Like, comment, share and follow!
*Jika anda ada kisah seram yang ingin dikongsikan dengan para pembaca AAN, kirimkan kisah anda ke inbox kami. Kisah anda akan dikreditkan kepada anda.
No comments:
Post a Comment