Thursday, 26 October 2017

SINASI-HALUS - DeeFen


SINASI-HALUS
Karya : DeeFen DF
Suntingan Gambar : DeeFen DF

“Azira you jangan lupa haa kunci sama itu pintu.”
“Okay Encik Tan.”
“Lampu juga semua mau tutup. Alarm juga you make sure sudah on.”
“Okay saya tak lupa punya. Saya tak pernah lupa kan?”
“Tarak laa… Bukan itu macam. I tolong ingatkan saja pun sama you.”
“Baik bos. Saya ingat semua pesanan bos.”
Adalah menjadi kelaziman bagi sesebuah syarikat sendirian berhad tatkala menghampiri hujung tahun, kerja-kerja berkaitan urusan akaun syarikat menjadi bertimbun-timbun. Mana tidaknya, auditor luar akan datang untuk mengaudit akaun syarikat. Segala hal berkaitan akaun syarikat perlulah dipersembahkan dengan cantik dan tersusun agar kerja audit berjalan lancar. Bukan murah bayaran yang dikenakan oleh auditor luar.
Azira – seorang gadis berusia 27 tahun. Seorang akauntan. Cantik. Tinggi lampai dan pandai bergaya. Kedai menjual perkakasan pembinaan atau lebih dikenali sebagai kedai hardware merupakan tempatnya bekerja sekarang. Sudah 4 tahun dia mencari rezeki di kedai hardware itu. Sejak dia grad sebagai seorang akauntan, dia terus diambil bekerja di kedai milik Encik Tan tersebut.
Jam di dinding telah menunjukkan 9:45 malam. Namun Azira masih lagi tekun bekerja. Sekali-sekala dia menguap panjang.
Setelah mengeliat dan meregangkan anggota badannya, Azira mula mengemas meja. Pantas dia mengemas supaya dapat segera pulang ke rumah.
Selepas memastikan semuanya dikunci, dia segera menuju ke arah keretanya yang diparkir di lorong kecil di sisi blok rumah kedai. Dia perlu melalui 3 pintu kedai sebelum sampai ke lorong kecil tersebut. Koridor yang dilalui sedikit berbalam lantaran ada 2 buah kedai terakhir masih lagi kosong tiada penyewa.
Azira berjalan pantas sepanjang koridor kerana semua kedai di bloknya telah menutup operasi sejak pukul 7 malam. Jadi, keadaan sangat sunyi selepas waktu tersebut dan keadaan itu sedikit menyeramkan.
Ketika melalui koridor, dia terpandang satu sosok tubuh berdiri di seberang jalan. Berdiri tegak dan sedikit menunduk ke bawah. Sosok itu memakai jaket hoodie berwarna hitam, seluar berwarna coklat cair. Kepalanya ditutup dengan hoodie. Mukanya juga tidak kelihatan lantaran cahaya lampu jalan yang malap.
Sosok itu berjalan perlahan menuju ke arahnya. Azira mula berlari-lari anak kerana ketakutan. Dia risau jika itu merupakan orang jahat yang ingin membuat perkara tidak baik padanya.
Setelah masuk ke dalam kereta, Azira menjeling ke arah cermin pandang belakang dan terlihat sosok itu sudah berjalan hampir ke belakang keretanya. Dia yang terkejut terus terjerit kecil. Dengan pantas dia memasukkan gear dan memecut untuk pulang ke rumah.
***
Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam ketika Azira sudah siap membersihkan dirinya dan bersedia untuk tidur. Dia menyewa sebuah rumah flat kos sederhana bersama dua orang lagi rakan serumahnya. Dua orang rakan serumahnya merupakan pekerja kilang dan pada bulan ini mereka bekerja pada shif malam. Maka tinggallah Azira berseorangan.
Tok! Tok! Tok! Tok! Tok! Tok! Tok! Tok! Tok!
Ketika sedang tidur, Azira dikejutkan dengan ketukan pada pintu rumahnya. Dalam keadaan mamai, dia bangun dan melihat jam pada telefon bimbitnya. Pukul 4 pagi.
“Eh, awal pula diorang balik kerja kilang hari ni. Selalunya pukul 7 baru sampai. Lupa bawa kunci la tu. Kacau betullah aku nak tidur,” monolog Azira sambil melepaskan dengusan.
Ketukan bertalu-talu pada pintu supaya minta segera dibukakan. Dengan langkahan yang sedikit terhuyung-hayang dan mata yang sepet akibat silauan cahaya lampu kalimantang, Azira menuju ke arah pintu rumah.
“Yaaaa! Sekejap, sekejap. Aku nak buka pintu la ni!”
Sebaik pintu dibuka, berdiri di hadapan Azira adalah satu sosok jaket berhoodie hitam seperti yang dilihatnya sewaktu pulang daripada kerja tadi. Matanya terbuntang luas kerana terkejut. Fikirannya yang masih mamai tadi terus serta-merta menjadi aktif.
Dengan lutut yang terketar-ketar, Azira segera berundur beberapa tapak ke belakang. Dia hendak menjerit namun suara seperti tersekat di kerongkong.
Dalam keadaan masih menunduk, sosok itu pantas terus mara ke arah Azira dan mengangkat tinggi tangan kanannya. Satu ketawa pendek bersuara besar kedengaran.
PAPPP!
Azira sedikit terhumban ke tepi dan badannya melanggar dinding. Pipi kirinya terasa panas dan pedih. Dengan kepala yang sedikit pening dan mata yang berpinar, Azira bingkas bangun lagi.
PAPPPPP!!!!
Satu lagi tamparan hinggap di pipi kanan Azira pula. Dia berasa pandangannya semakin kelam dan lantas jatuh terjelepok ke lantai. Pengsan.
***
“Azira! Azira!”
“Bangun weh! Azira!”
Azira terasa badannya digoyangkan. Namanya diseru berulangkali. Perlahan-lahan dia membuka mata. Terpisat-pisat. Kepala rasa memberat. Gerakannya sedikit lambat lantaran sengal-sengal pada bahu dan lehernya. Pipinya masih terasa pedih.
Terpandang wajah dua orang rakan serumahnya, Pijah dan Yani yang masih berpakaian seragam kilang.
“Kau apahal tidur depan pintu ni?” Tegur Pijah dengan muka yang kehairanan.
“Dengan pintu rumah tak berkuncinya! Kalau pencuri masuk naya ja!” Sambung Yani pula. Terdapat nada kemarahan dalam tonasi suaranya.
Azira terus merangkul kedua-dua teman serumahnya itu. Menangis. Perbuatannya itu mengejutkan Pijah dan Yani. Dalam esakan tangisan, Azira menceritakan segala-galanya perihal yang berlaku awal pagi tadi.
Mereka semua berjanji akan lebih berhati-hati dan tidak akan membuka pintu secara semborono lagi.
***
Seminggu telah berlalu sejak kejadian Azira diserang di rumahnya. Seminggu juga Azira tidak membuat kerja lebih masa kerana takut terlihat sosok berhoodie itu lagi.
Tapi hari ini Azira terpaksa juga melakukan kerja lebih masa kerana hari untuk diaudit telah semakin hampir. Jam menunjukkan pukul 10 malam ketika dia berkemas untuk pulang.
Sejak pagi tadi dia telah siap memarkir keretanya di hadapan kedai. Mudah dan cepat untuk dia balik malam ini. Kehadiran sosok berhoodie tempoh hari masih lagi bermain-main di fikirannya.
Azira berasa lega kerana sosok itu tidak kelihatan di sekitar kawasan parkir kedai ketika dia ingin pulang. “Mungkin dah kena tangkap kot sebab selalu berkeadaan mencurigakan,” getus hati kecil Azira.
Sewaktu dalam perjalanan pulang – ketika berhenti di lampu isyarat. Azira terpandang sosok berhoodie tersebut sedang duduk di perhentian bas. Hanya tertunduk memandang lantai. Perasaan gelisah mulai melanda Azira. Dia trauma. Sehingga lampu isyarat bertukar hijau, sosok itu tetap membatu di situ.
Malam itu ketika Azira sedang nyenyak tidur, dia tiba-tiba terjaga kerana merasa pelik di dalam rongga mulutnya. Ketika dia membuka mata, jantungnya bagaikan gugur apabila terlihat sosok berhoodie sedang menyumbatkan sesuatu ke dalam mulutnya.
Azira cuba meronta namun dia terasa anggota badannya seperti terikat. Melalui cahaya yang masuk melalui cermin tingkap, dia dapat melihat pergelangan kirinya terikat pada besi katil.
Kedua-dua pergelangan kakinya juga melekat rapat. Kakinya turut terikat. Manakala tangan kanannya tidak dapat digerakkan kerana telah dipijak dengan tapak kaki sosok berhoodie tersebut.
Resah. Takut. Panik. Semua perasaan tersebut hadir menderu-deru di dalam benak fikiran Azira. Tubuhnya terasa longlai tidak bermaya. Tidak berupaya untuk melawan.
HAHAHAHAHAHAHA!!!
Sosok berhoodie itu ketawa dengan kuat. Ketawanya seperti orang yang kepuasan setelah mencapai sesuatu yang dihajati.
Berbekalkan baki tenaga yang masih tersisa, Azira meronta-ronta dengan kuat. Terkejut dengan perubahan itu, sosok berhoodie terus menekup hidung Azira dengan tapak tangan kanannya. Manakala tangan kirinya menarik rambut Azira agar mukanya terdongak ke atas.
Dengan hidung yang ditekup dan mulut yang disumbat, Azira terasa kepalanya semakin menerawang kerana oksigen tidak sampai ke paru-paru. Rontaannya semakin perlahan. Dia telah hampir pitam apabila tiba-tiba tekupan pada hidungnya dilepaskan.
Dengan segera dia menarik nafas yang panjang sehingga ternaik tinggi dadanya. Cuba menarik seberapa banyak mungkin oksigen. Tangan kanannya juga boleh digerakkan. Bila ditinjau, rupanya sosok berhoodie itu tidak lagi kelihatan di dalam biliknya.
Azira meluahkan benda yang tersumbat di dalam mulutnya – stoking! Dengan terkial-kial dia membuka ikatan pada pergelangan tangan kirinya serta pada kaki. Tali yang digunakan adalah tali rafia berwarna oren. Terdapat kesan calar serta lebam pada pergelangan tangan dan kaki kerana dia meronta kuat sebentar tadi.
Dia terus menelefon pihak polis dan juga rakan serumahnya. Sementara menanti ketibaan mereka, dia menguncikan dirinya di dalam bilik.
Tingkap biliknya terbuka seperti mana biasa. Kalau sosok itu hendak masuk melalui tingkap biliknya, dia perlu memanjat menggunakan tangga yang tinggi kerana rumah mereka di tingkat dua.
Namun, bila difikirkan kembali, Azira turut mempunyai tali rafia berwarna oren. Jarang dijumpai di kedai tali rafia berwarna seperti itu. Dan tali rafia itu disimpan di dalam kotak di bawah katilnya. Sudah lama dia membeli tali tersebut.
“Mungkinkah orang itu menggunakan tali rafia milik aku?” Azira bertanya pada dirinya sendiri.
Telahannya betul kerana kotak yang menyimpan tali tersebut telah tertarik keluar daripada bawah katil dan terbuka. Gumpalan tali rafia juga dijumpai tergolek di hujung katil.
Setelah disiasat, tiada tanda-tanda pecah masuk pada pintu rumah. Berkemungkinan sosok berhoodie itu masuk melalui tingkap bilik Azira atau bilik sebelah.
Tiada juga barang-barang yang hilang. Ini menjadi tanda tanya di kalangan mereka apa tujuan sebenar sosok berhoodie itu memecah masuk rumah Azira. Mungkinkah penjenayah gila seks yang ingin merogol Azira?
Sejak daripada kejadian itu, Azira terus berpindah rumah ke kawasan perumahan yang lain. Pijah dan Yani turut berpindah ke rumah yang lain kerana merasa takut akan gangguan yang mungkin akan datang lagi di masa hadapan.
***
Esok merupakan hari pihak auditor luar akan datang. Jadi hari ini merupakan hari yang sangat sibuk bagi Azira. Kesemua fail akaun syarikat diulang semak agar tidak terdapat sebarang kesalahan.
Jadi Azira bercadang untuk pulang lewat pada malam ini. Namun dia meminta bosnya iaitu Encik Tan untuk menemani dia di pejabat kerana dia takut untuk berseorangan. Encik Tan sebagai bos yang prihatin bersetuju untuk menemaninya.
Pada waktu rehat jam 1 petang, Azira bersama-sama rakan sekerjanya keluar berjalan kaki ke gerai yang berhampiran untuk menikmati juadah tengahari.
Sementelah mengisi perut yang kosong, mereka bergurau-senda pulang ke tempat kerja. Ketika melalui koridor blok rumah kedai bersebelahan tempat kerjanya, Azira terpandang sosok yang dikenalinya.
Sosok berhoodie itu sedang duduk di koridor sambil memandang ke arah depan. Azira berasa sangat gelisah lantas memeluk tangan rakan sekerjanya.
“Azira, kamu apahal peluk tangan saya?” tanya May Ling kehairanan.
“Aku… aku… aku takut itu,” terketar-ketar suara Azira sambil menunjuk ke arah sosok berhoodie itu.
“Ohhhh orang macam itu kah yang kamu cerita ganggu kamu di rumah itu hari?”
“Ye… ye… aku takut May Ling. Aku takut dia buat apa-apa kat kita.”
“Haiya Azira. Jangan takut maaa. Kita ramai. Lagipun itu orang wa kenal looo. Itu anak kepada taukeh workshop kereta. Dia memang ada sikit sakit tapi dia tarak kacau orang punya maaa. Dia suka buat hal sendiri-sendiri dia.”
Azira hanya terdiam mendengar penjelasan May Ling. Mereka terus berjalan menuju ke arah sosok berhoodie itu. Azira yang ketakutan terus memeluk erat lengan May Ling.
Ketika melintasi sosok itu, Azira terperasan yang muka yang terlindung dibalik hoodie itu terdapat kesan parut yang besar. Dan dia juga baru terperasan yang lengan kanannya kudung sehingga paras siku.
“Maknanya tekaan aku salah selama ini! Aku sangkakan orang inilah yang mengekori dan memecah masuk rumah aku. Tapi bila dilihat tangannya yang kudung, mesti orang lain yang buat jenayah tu. Orang yang menyerang aku itu mempunyai kedua-dua tangan yang sempurna,” Azira bermonolog sendirian.
***
“Azira, saya keluar sekejap dengan family saya ye. Mau pergi 7Eleven. Anak saya mau makan keropok,” jerit Encik Tan daripada arah depan pejabat.
“Okay Encik Tan. Beli sama saya juga!”
“Okay!”
Encik Tan telah membawa seluruh keluarganya ke pejabat hari ini. Ini semua gara-gara Azira meminta bosnya itu menemaninya kerana dia masih takut untuk berseorangan di pejabat.
Jam masih awal iaitu 8:00 malam membuatkan Azira tidak terlalu takut untuk berseorangan sementara bosnya keluar sebentar.
Aduhhh…pedihnya mata aku ni! Berpinau-pinau dah ni. Nak meridap sekejaplah.
Lantaran badannya yang telah kepenatan, Azira membaringkan kepala pada meja kerjanya. Mata dipejam untuk menghilangkan pedih. Tak berapa lama kemudian dia terlelap.
TETTTT!
Bunyi pintu dibuka. Azira terjaga daripada tidurnya. Terpisat-pisat. Pasti bos telah pulang fikirnya.
20 minit juga aku tertidur. OK la. Dapat cas tenaga sikit,” getus hatinya.
Kepalanya menoleh ke kiri dan kanan, mengitari ruang kerjanya yang kecil itu. Melalui pantulan skrin komputer yang masih gelap kerana screensaver, dia terlihat seperti ada bayang-bayang di belakangnya.
Azira spontan menoleh. Rupa-rupanya itu adalah sosok berhoodie. Kali ini Azira dapat melihat jelas mukanya. Kosong! Tiada muka! Hitam semuanya.
Sosok itu segera menekup mulut dan hidung Azira dengan tangannya yang dipakai sarung tangan. Azira meronta-ronta sambil memukul badan sosok itu. Tak sampai beberapa saat, badan Azira longlai. Tak bermaya untuk berdiri. Pastinya sosok berhoodie itu meletak sesuatu pada sarung tangannya sehingga Azira mejadi lalok sebegitu.
Dalam keadaan lalok itu, Azira berasa badannya diheret ke ruang belakang. Ruang dimana terdapat banyak barangan hardware.
Melalui ekor matanya, dia melihat sosok itu mengambil tali dan tangga. Kemudian tali itu diikat pada cangkuk kipas di siling.
Perlahan-lahan Azira diangkat menaiki tangga dan kemudian diletakkan lehernya pada tali tersebut. Dia langsung tidak dapat melawan. Tiada tenaga. Hanya matanya yang terkebil-kebil memandang.
PANGGGGGG!
Bunyi tangga aluminium terbalik pada lantai memecah suasana yang sunyi.
Arghkkkkkk… aggkkkkk... agkkkkk………..
***
Encik Tan yang pulang daripada 7Eleven terkejut melihat tubuh Azira yang tergantung dan tidak lagi bernyawa.
Pihak polis menjalankan siasatan dengan memeriksa beberapa CCTV yang terdapat di dalam kedai tersebut.
Melalui rakaman video kelihatan Azira terjaga daripada tidur di mejanya. Ketika dia berpaling ke belakang, dia seperti terkejut dan menekup mulut serta hidungnya sendiri.
Dia meronta-ronta dengan kuat, kemudian berhenti dan berdiri setempat tidak bergerak selama hampir 5 minit. Selanjutnya dia berjalan terhuyung-hayang ke ruang belakang kedai – mengambil tangga aluminium dan didirikan betul-betul di bawah cangkuk kipas.
Setelah memanjat tangga, dia mengikat tali pada cangkuk kipas seterusnya menyarungkan pada lehernya. Dengan tolakan menggunakan kaki, tangga terbalik ke lantai. Azira tergantung menggelupur sebelum diam tidak bergerak lagi.
-TAMAT-
Karya : DeeFen DF
Suntingan Gambar : DeeFen DF

Dapatkan novel terbaru SEGITIGA hasil tulisan DeeFen, Shizu dan Senyuman Perantau. Untuk keterangan lanjut sila lawati laman Facebook DeeFen DF.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: