Sunday, 29 October 2017

PUAKA KOLAM LAMA - Dani Firdaus


PUAKA KOLAM LAMA

====================
Fauzan merupakan seorang kaki pancing tegar. Pantang ada masa terluang, tanpa mengira hari dan tempat, pastinya Fauzan akan melunaskan gejolak nafsunya dengan memancing.
Termasuklah petang itu. Isterinya tengah sarat mengandung, pun dia masih fikirkan tentang joran, mata kail, pelampung dan ikan toman. Lelaki, kalau dah terlalu taksub dengan hobi, sudah berumah tangga pun masih tidak berubah.
Petang itu, dia ditemani Kamarul memancing di sebuah kolam nun jauh di pedalaman kampung di hulu Selangor. Dengar kata penduduk setempat kolam berkenaan memang banyak ikan yang besar-besar, lebih-lebih lagi si Toman. Memang lubuk ikan itu di situ. Tetapi, menurut orang kampung sekitar itu juga, kolam itu agak ‘keras’. Pernah sekumpulan pemancing diganggu sang penanggal, kononnya.
"Keras kau kata? Memanglah keras sebab ada batu, ada pokok kayu." nada suara Fauzan agak angkuh sambil memasang umpan.
"Kau ni berlagak la..Dah la kita ni dalam hutan." tegur Kamarul lalu melemparkan jorannya.

Rokok dihidupkan sambil menanti umpan mereka disentap sang toman. Asap berkepul ke udara, dilepaskan penuh bangga.
Jam 7.00 petang
"Kolam apa kau bawa aku ni, Rul? Seekor ikan pun tak sangkut!" bentak Fauzan.
Kamarul hanya diam membisu. Langsung tidak berpaling ke arah Fauzan yang sudah menghidupkan rokoknya yang terakhir. Baru satu jam duduk di situ, sudah sekotak rokok dihabiskan.
Pada mulanya Fauzan tidak mengendahkan gelagat rakannya itu. Dia biarkan sahaja Kamarul melayani perasaannya. Kamarul masih setiap memandang ke depan, ke arah jorannya yang entah bila akan disentap sang toman.
"Kamal, kau ok tak ni?"
Soalan Fauzan, langsung tak dijawab Kamarul.
Tiba-tiba telefon milik Fauzan berdering di dalam poket.
"Abang! Abang, dekat mana tu? Ita takut ni, bang!" suara Isteri Fauzan membentak dan menangis di talian. 
"Kenapa ni sayang?"soal Fauzan. Puntung rokok dibalingnya ke tepi.
"Ita dengar suara pelik kat luar rumah, bang! Tolong lah, bang. Balik sekarang! Ita takut!" rintih isterinya lagi.
“Ye lah. Abang balik sekarang. Kolam ni pun nampak macam kolam sial je. Sekor ikan pun takde.” Fauzan meluahkan isi hatinya.
“Abang! Abang pergi memancing? Abang cakap kat Ita abang jenguk kawan abang sakit. Abang pergi memancing rupanya?!” Ita memarahinya.
“Eh, abang bukan ke abang dah bagitahu Ita yang abang nak pergi memancing?”
“Abang balik sekarang!”

Tuut! Tuut!
Talian diputuskan oleh Ita. Fauzan menggeleng-gelengkan kepalanya. Kesal dengan sikap isterinya yang tak pernah faham tentang hobinya yang satu ini.

Telefon Fauzan berbunyi lagi.
“Abang!!!! Ada penanggal kat luar rumah!!!” jerit Ita sekuat hati apabila Fauzan mengangkat panggilan tersebut.
Fauzan menjadi gabra.
"Kamarul, berkemaslah. Jom balik sekarang. Ada benda kacau bini aku kat rumah!"
Kamarul bangun dan mengangguk perlahan. Dalam masa yang sama, kejutan buat Fauzan sekali lagi apabila menerima panggilan telefon kali ini bukan dari isterinya, tetapi..
"Woi, Fauzan kau dekat mana ha!? Seharian aku cari kau hari ini. Kata nak gi mancing petang tadi? Ni dah maghrib. Jangan kata kau tukar plan nak mancing malam pula?" soal Kamarul di talian.
Telefon yg dipegang Fauzan terlepas dari gengaman. Dia terus memandang laju ke arah ‘Kamarul’ yang berada di hadapannya tidak jauh, hanya beberapa meter. ‘Kamarul’ memandangnya sambil tersengih.
"Aku dah pesan tempat ni keras, tapi kau degil. Kau sindir aku sekarang kau terima akibatnya." kata lelaki yang menyerupai Kamarul tadi, kini perlahan-lahan bertukar wajah yang mengerikan, berlumut dan matanya merah menyala. Perlahan-lahan juga badan ‘Kamarul’ semakin membesar dan meninggi.
Waaarggghhh!!
‘Kamarul’ berderam garau.

"Pap!!" satu lebasan joran mengenai muka ‘Kamarul’ menyebabkan joran Fauzan patah. 
"Sakitlah bodoh!" Kata jembalang itu.
"Padan muka kau, dasar jembalang air!"

Dengan pantas Fauzan mencucuk mata jembalang tersebut sehingga ia meronta-ronta kesakitan. Dengan segeranya Fauzan berlari ke arah kereta lalu menghidupkan enjin. Kereta dipacu laju keluar dari kawasan kolam itu untuk pulang ke rumah.
Semasa memandu air matanya mengalir apabila mengenangkan nasib Ita di rumah. Dia sedar akan kesilapannya. “Ya, Allah. Janganlah penanggal itu apa-apakan isteri aku dan anak dalam kandungan Ita, Ya Allah.” Doanya dalam keadaan kaki terus menekan pedal. Air matanya tak henti mengalir apabila dia membayangkan penanggal telah menuju kerumahnya dan telah melakukan sesuatu yang dasyat terhadap isterinya yang dicintai.
1 jam memandu, akhirnya dia tiba di rumah.
Jantungnya berdegup laju. Dalam keadaan terburu-buru, daun pintu hadapan ditolak kuat.
“Ita! Ita..!!” laungnya memanggil isterinya.
Fauzan terus terduduk ke lantai apabila melihat isterinya sedang lena tidur di atas sofa. Televisyen terpasang tanpa ditonton. Di atas meja ada sekeping pinggan kotor, mungkin Ita baru lepas makan lalu terlelap.
Fikirannya berserabut, antara lega dan takut, antara marah dan bersyukur. Namun, dia masih berfikir, kalau bukan isterinya yang menghubunginya tadi, jadi siapa?
Fauzan bangun kembali menghampiri isterinya.
“Sayang, bangun sayang.” Sapa Fauzan sambil menggerak-gerakkan sedikit bahu isterinya.
“Abang..baru balik? Macam mana kawan abang tu, ok?” soal Ita dalam keadaan mamai.

Mendengar soalan dari Ita membuatkan air mata Fauzan makin deras.
“Kenapa abang nangis ni?” soal Ita lalu bangun dari baringannya.
“Ktang! Ktang!” bunyi bising dari luar kedengaran. Fauzan segera menuju ke luar.
Joran, perkakasan memancing dan telefonnya bergelimpangan di atas lantai depan.
"Bodoh punya manusia, dah lah memancing tempat aku kemudian tinggalkan sampah pulak!!"suara itu memarahi Fauzan.
-Tamat-
Ps: Ingat bila kita masuk tempat orang, kawasan hutan dan tempat yang jarang-jarang kita pergi, janganlah kita angkuh dan bercakap besar. Mungkin kita akan terima akibatnya nanti.
====================
Suntingan: Wan SC
Gambar: Wan SC

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: