MISTERI KELUARGA (Bahagian 1)
karya FateStay Nite
Seorang pelajar perempuan Tahfiz di Johor bernama Adriana yang berada di hadapan aku ini, baru sahaja duduk dan menghidangkan aku secawan air teh O panas,
"Ceritanya macam ni bang........." Yana mula bercerita.
Pada penghujung tahun 2016, Yana telah menunaikan umrah bersama keluarganya. Selama berada di tanah suci itu, Yana tidak mengalami apa-apa masalah. Malah Yana antara yang paling semangat berbanding adik beradik dan ibu bapanya. Tetapi perkara itu bermula setelah Yana pulang ke tanah air.
"Mama... Yana rasa pening macam melayanglah mama," ngadu Yana kepada ibunya.
"Kau makan ubat selepas makan nasi nanti," balas ibu Yana sambil memberikan panadol ActivFast yang baru dikeluarkan daripada beg tangannya.
Yana mengambil ubat itu dan hanya dipegang di tangannya. Terasa seperti lambat sangat untuk sampai ke rumah. Badan sudah letih. Kepala pun melayang, selera makan hilang..!
Setiba di rumah, semua ahli keluarga Yana sibuk memunggah barang turun daripada kereta. Akan tetapi Yana hanya melihat dan terus masuk ke dalam rumah lalu terbaring. Lemah betul badannya! Rasa macam nak demam pun iya. Ibu dan ayahnya menyangka Yana mungkin terlalu kepenatan dan membiarkan sahaja Yana berehat sehingga tertidur.
"Yana.. Bangun Yana. Makan dulu ni..."
"Hurm...peninglah mama... Yana rasa macam tak boleh makan."
"Makan dulu. Lepas tu baru boleh makan ubat," arah ibunya.
"Yela…" Yana membalas sambil bangun. Di tangannya masih memegang ubat yang diberikan oleh ibunya sewaktu di dalam kereta tadi.
Yana hanya menjamah beberapa sudu nasi goreng sahaja sebelum dia menelan ubat dan kemudian menyambung tidur dengan harapan apabila terjaga nanti dirinya akan kembali sihat seperti sediakala.
Masuk hari ini, sudah tiga hari Yana tidak sehat. Malah makin teruk. Badannya panas dan terlalu berat sehingga dia hanya mampu terbaring. Makan dan minumnya juga sudah seperti tidak mampu.
Kerana bimbangkan keadaan anak bongsu mereka itu, ibu dan ayah Yana membawanya ke hospital. Siapa yang tak sayang anak kan? Begitu juga ibu dan ayah Yana apabila melihat kesihatannya semakin teruk. Apatah lagi, setelah doktor menyatakan perlu membuat ujian darah kerana bimbang Yana dijangkiti virus sewaktu melakukan umrah.
Selama 4 hari Yana telah ditahan di wad. Selama 4 hari itu jugalah doktor cuba mengesan penyakit yang dialaminya. Pelbagai ujian sudah dilakukan, akhirnya Yana dibenarkan pulang setelah doktor mengesahkan Yana bebas daripada virus dan mungkin badannya hanya terkejut dengan perubahan iklim. Yana pun pulang ke rumahnya semula tetapi selama beberapa minggu keadaan Yana tidak juga pulih malah adakala semakin teruk.
Sehingga tiba pada suatu hari…
"Mama... Yana dah tak larat sangat ni mama… tolong Yana mama..." Yana merengek kesakitan yang dia sendiri tidak dapat gambarkan. Badannya terasa sangat berat. Sehinggakan tiada kudrat untuk dia bangun berjalan.
"Yana sakit macama mana? Cuba bagitau mama..." soal ibu Yana yang semakin risau melihat keadaan anaknya itu. Akak-akak Yana juga turut risau tentang kesihatan adik mereka.
"Yana tak tau nak cakap macam mana.. Yana sakitttt," perlahan dan mendayu suara Yana mengadu. Sepertinya dia sudah tidak tertanggung azabnya.
Keadaan Yana sampai ke telinga jiran tetangga, ramai jugalah yang datang melawat Yana di rumah. Pelbagai kata semangat dan doa dititipkan kepada Yana. Namun keadaan Yana masih sama.
"Assalamualaikum." Suara Puan Rosmawati yang merupakan jiran baik ibunya memberikan salam.
“Waalaikumusalam,” jawab Norizan sambil menjemput jirannya itu masuk.
Lama Puan Ros melihat Yana. Kesedihan jelas tergambar diwajahnya. Mana tidaknya, Yana tu dah macam anak dia juga. Sebelum pulang, tiba-tiba Puan Ros membuka mulut.
"Kak Izan, boleh tak kalau Ros panggil ustaz? Kita cuba ikhtiar cara lain," tanya Puan Rosmawati walaupun dia tahu Norizan kurang berminat dengan perubatan tradisional. Ini kerana di zaman serba canggih sekarang, dia tidak berfikir bahawa anaknya itu terlibat dengan dunia mistik. Baginya hal berkenaan mistik itu terlalu sukar untuk dipercayai.
"Iyalah Kak Izan. Ani pun bersetuju kalau Kak Izan cuba ubat cara kampung pula," sampuk pembantu rumah Yana. Ani berasal dari Indonesia dan sangat rapat dengan keluarga Yana. Ini kerana sudah berpuluh tahun dia bekerja dengan keluarga Yana. Ke mana sahaja keluarga Yana pergi, akan diajaknya sekali pembantu rumah mereka itu.
Ibu Yana termenung seketika. Mungkin difikirannya ada betul juga cadangan jiran baiknya itu. Apa salahnya kalau mencuba.
“Boleh juga Ros. Malam nanti panggillah ustaz tu datang." Ibu Yana bersetuju dengan cadangan jiran baiknya itu.
*****
Selepas waktu Maghrib kelihatan Puan Rosmawati sudah ada di rumah Yana sambil menunggu ustaz dating. Ibu Yana dan Puan Rosmawati sibuk bersembang tentang bisnes mereka. Yana hanya terbaring mendengar, tidak mampu bangun walaupun untuk duduk.
"Assalamualaikum." Suara ustaz memberi salam.
"Waalaikummusalam," jawab ibu Yana dan Puan Rosmawati sambil mereka berjalan keluar menyambut ustaz untuk masuk ke dalam rumah.
Tidak banyak yang dipersoalkan oleh ustaz kepada Yana. Agak lama ustaz duduk diam bertafakur, sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran. Ibu, ayah, keluarga dan Puan Rosmawati hanya diam melihat. Hanya satu harapan mereka iaitu Allah memberikan kesembuhan kepada anak mereka.
Allahu akbar...!!! Allah hu Akbarr...!! Allah hu akbar..!! Laaa ilaaa ha il Lallahh..!! tiba-tiba suara ustaz sedikit tinggi.
Setelah lebih kurang 1 jam lebih bertungkus-lumus, ustaz itu akhirnya selesai melakukan rawatan secara ruqyah. Tetapi Yana masih sama, tiada perubahan cuma waktu itu jantungnya sedikit laju dan kencang.
Selepas beberapa hari berubat dengan ustaz. Sewaktu baru bangun dari tidur, Yana berasa badannya sudah seperti tidak bermaya dan tidak mampu digerakkan. Yana hanya mampu menangis pada waktu itu. Takut. Sakit. Semuanya bercampur-baur. Akhirnya Yana bersuara.
"Mama....tolongglaahhh...jom kita pergi hospital balik..." rayu Yana sambil menangis teresak-esak.
Ibu dan ayah Yana terus membawa Yana ke hospital kembali. Doktor membuka rekod kesihatan dan mendapati Yana baru sahaja keluar daripada wad tetapi masih tidak beransur pulih. Doktor mencadangkan untuk membuat pemeriksaan MRI untuk mengesan penyakit yang dialami oleh Yana. Namun keputusan nya tetap sama. YANA NORMAL. Tiada apa-apa penyakit.
Setelah beberapa hari, Yana pulang semula ke rumah. Pada pagi itu kawan lama Puan Norizan memberitahu untuk membawa adiknya untuk cuba mengubatkan Yana. Tetapi ibu Yana sudah seperti putus asa kerana sudah dua orang perawat cuba mengubati Yana. Namun keputusan masih sama. Setelah dipujuk, akhirnya ibu Yana bersetuju untuk menerima cadangan kawan lamanya itu.
Pada malam itu selepas maghrib datanglah kawan ibu Yana bersama adiknya. Lama juga dia tengok Yana sebelum dia meminta izin untuk mengurut Yana terlebih dahulu. Nasib baik perawat itu juga wanita.
Sewaktu perawat itu mengurut, Yana terasa segala sendi dan tulang-belulang Yana bagai dihentak dan disentap. Raungan dan tangisan Yana mengegarkan kediaman mereka malam itu. Yana mula meronta kesakitan tetapi adik kawan ibunya hanya menyuruh Yana beristigfar dalam masa yang sama, kaki dan tangan Yana terpaksa dipegang oleh ibu, ayah dan adik beradiknya.
Sedang adik kawan ibunya mengurut, tiba-tiba terdengar adik kawannya itu beristigfar sambil tangannya menarik sehelai rambut uban yang panjang lebih kurang sedepa keluar dari tubuh Yana. Kini barulah ibu Yana nampak dengan matanya sendiri benda pelik yang terjadi.
Setelah diubat dan dirawat akhirnya adik kawannya itu menceritakan apakah sebenarnya yang terjadi. Tubuh Yana telah didampingi oleh seorang nenek tua daripada golongan jin. Nenek itu kecil dan terlalu bongkok. Yang lebih teruknya, makhluk itu telah mendiami tubuh Yana sejak setahun yang lalu tanpa diketahu olehnya.
Akan tetapi sewaktu Yana pergi ke tanah suci, makhluk itu tidak ikut sekali. Apabila Yana kembali ke tanah air, dia cuba menapak kembali dan sebab itulah Yana sakit.
Selesai sudah rawatan Yana. Malam itu Yana tidur dengan lena kerana kepenatan. Tiba-tiba dia didatangi oleh seorang tua sangat kerdil dan seakan ingin memberi tahu bahawa dia sudah pergi daripada tubuh Yana.
Kerana keadaan orang tua itu yang mempunyai muka yang berkedut seribu, rambut panjang dan berbongkok membuatkan Yana tersentak daripada tidur akibat ketakutan. Yana kemudian melihat ke kiri dan kanannya. Semua sedang tidur lena..
"Ya Allah. Mimpi rupanya," bisik hati Yana sebelum tidur kembali.
*****
Keesokan harinya Yana sudah nampak berseri. Tubuhnya mula rasa bersemangat, bertenaga dan paling penting dia sudah mampu menjamah makanan. Nikmat kesihatan yang Allah bagi memang tiada tandingan.
Sebelum adik kawannya pulang semula ke Kuala Lumpur dia ada memberitahu sesuatu…
"Kak Izan, sebenarnya dekat suami dan anak-anak Kak Izan pun ada benda. Tapi saya tak tahu makhluk itu dari mana. Dan mereka bukanlah daripada gangguan yang terkena pada Yana," kata adik kawannya.
"Hahh?? Maknanya ada benda lain ke?" Tanya ibu Yana separuh terkejut.
"Iya Kak Izan. Anak ketiga Kak Izan belum dapat zuriatkan? Benda tu ada duduk berhampiran ari-arinya. Mungkin Kak Izan macam tidak percaya tetapi saya nampak semuanya. Terpulanglah pada Iak Izan. Suami Kak Izan pun teruk juga tu. Makhluk tu duduk di atas kepalanya!"
Ibu Yana terdiam kaku. Apa yang diperkatakan oleh adik kawannya itu mungkin ada benarnya. Malah suaminya suatu ketika dahulu pernah mengalami sakit yang agak pelik tetapi sudah pulih. Cuma mereka tidak pergi berubat secara perubatan Islam. Anak ketiganya memang belum diberikan rezeki untuk memiliki zuriat namun selama ini dianggap sebagai ketentuaan Ilahi.
Yana pula akhirnya sihat seperti sediakala. Dapat kembali ke sekolah dan makan seperti sedia kala. Akan tetapi, segala apa yang terjadi kepada Yana rupanya saling berkait dan membuatkan keluarga Puan Norizan semakin diselubungi misteri.
Aku pun menutup buku nota kecilku sambil meneguk air teh O yang dihidangkan tadi yang kini sudah pun sejuk. Lama juga aku duduk mendengar cerita Yana.
"Okaylah Yana, terima kasih kerana sudi berkongsi cerita. Saya minta diri dahulu ye," kataku sambil mengangkat punggung untuk pulang.
"Eh..dah nak balik ke?" Tanya Yana. "Ada lagi cerita selepas kejadian tu. Kemudian barulah terbongkar semuanya!" sambung Yana lagi cuba menarik minat aku untuk duduk kembali.
Wow, macam makin menarik je ni! Aku duduk kembali kerana ingin mendengar cerita yang bakal Yana sampaikan.
“Okay. Macam ni kisahnya…”
Bersambung Bahagian 2 pukul 10:00 malam ini.
--------------------
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment